Novel : Akukah Juwita 7

3 September 2010  
Kategori: Novel

960 bacaan 3 ulasan

Oleh : SWEET BUTTERFLY

BAB 7

Bekerja di Deco Astana, sebuah firma seni bina yang menyediakan khidmat rekaan dalaman dan hiasan laman membuatkan aku sedikit bosan. Apa tidaknya aku mempunyai masa yang lapang dan panjang. Di sini kerja tak banyak, pekerja pun tak ramai. Setakat kerja-kerja pentadbiran, itupun aku selalu membantu rakan sekerja yang lain dalam menguruskan tempahan material atau bahan yang diperlukan untuk dekorasi.

“Minah, mari masuk sekali.” Aku terpinga ketika Kak Anis memanggil aku masuk ke bilik mesyuarat. Yang aku tahu, mesyuarat yang sedang berlangsung mengenai projek terbaru dan ianya tidak ada kena mengena denganku.

“Kami kekurangan orang untuk team landskap, why not you assist them.” Aku tercengang untuk seketika. Selama aku bekerja, belum pernah aku turut serta dalam projek landskap yang biasanya diketuai oleh Gaban.

“Tapi kita,”

“Bukan senang nak dapat ilmu lebih-lebih lagi dari orang yang bijak macam Encik Aqil tu.” Sampuk Nelly, seorang lagi pengurus projek. Serentak itu aku memandang pada Gaban yang nampak bersahaja, tiada sebarang reaksi darinya. Aku memandang semula pada Nelly, gadis yang hanya tua dua atau tiga tahun dariku itu memang selalu cantik dan bergaya. Nelly memang rajin bekerja malah sangat baik. Dengan Nelly aku banyak belajar dan dia seorang guru yang sangat baik. Tidak lokek ilmu dan suka mengajak aku menemaninya keluar bertemu dengan pelanggan. Seronok juga bertemu dengan pelanggan yang pelbagai permintaan mengenai minat dan kehendak mereka tentang dekorasi yang diinginkan. Bukan senang hendak menyatukan selera pelanggan dengan konsep pereka dan arkitek sebenar. Kebanyakan pelanggan mahu selera dipenuhi tanpa memikirkan material atau bahan yang dipilih bersesuaian atau tidak.

Aku tersentak apabila Gaban mengetuk pen di atas meja untuk menyedarkan aku dari lamunan. Aku malu sendiri dan tidak sedar apabila bilik mesyuarat itu sudah kosong. Yang tinggal hanya aku dan dia saja di situ. Mata kami bersatu tapi tidak lama apabila aku segera melarikan pandangan. Takut untuk menatapnya lama-lama, takut marah yang tersisa akan terpadam. Aku segera bingkas dan bersedia untuk pergi.

“Nanti.” Tidak jadi aku hendak menghayunkan langkah apabila Gaban segera menegah. Mungkin dia mahu gunakan kesempatan ini untuk berbicara denganku setelah seringkali aku mengelak dan tidak mengendahkan Gaban. Bila dia bertanya, sepatah saja jawapanku. Tentu dia merasa sukar untuk mendekati aku apabila aku sering menghindar darinya. Namun dia masih tidak mahu mengalah, masih cuba mendekati aku biarpun aku terus bertahan dengan sikap acuh tak acuh. Kalau difikir-fikirkan, apalah dosa si Gaban padaku. Kesalahannya hanya sedikit tapi aku saja yang membesar-besarkan perkara ini. Keras sungguh hatiku tapi sudah nasib kau Gaban!

“Aku minta maaf kalau pendapat aku ni salah tapi bukankah komunikasi yang berkesan itu apabila kita memberi tumpuan pada orang yang hendak berkata-kata.” Pantas aku menoleh pada Gaban. So? Apa aku kisah? Aku hanya memandang Gaban yang semakin galak membalas renunganku. Renungannya yang tajam itu menggoncang kalbu dan kini bagaikan terhunus tepat ke jantungku. Aku tak mampu bernafas dengan baik. Macam mahu pengsan! Sudah terlalu lama Gaban tidak merenungku begitu. Namun aku segera menarik nafas dalam-dalam, tak mahu pengsan depan Gaban. Buat malu aja tak pasal-pasal nak pengsan depan dia pula.

“Ada aku suruh kau bercakap dengan aku? Jadi aku peduli apa komunikasi itu berkesan atau tidak,” dengan kasar aku membalas. Aku tahu Gaban terasa tetapi nampaknya dia seakan tidak mahu mengambil kira sangat. Dia boleh tersenyum, manis pula tu. Aku pernah terbaca, jika kita tersenyum ketika berhadapan dengan musuh, senyuman adalah senjata paling berkesan untuk meruntuhkan tembok peperangan. Dengan senyumanlah musuh akan tersungkur dari keegoan. Benar belaka, kini aku sedikit goyah lalu aku mengalihkan pandangan. Tak tahanlah tengok senyumannya yang manis tu. Saja nak buat aku malu!

“Cik Minah, kita sekarang ni satu kumpulan. Peduli atau tidak, kita tetap akan berkomunikasi. Tapi Cik Minah janganlah perasan sangat ya, aku bercakap dengan Cik Minah pun tentang hal kerja saja,” sahut Gaban perlahan. Masih tersenyum dan merenungku. Aku pula hanya memandang sekilas padanya sebelum berlalu keluar dari bilik mesyuarat itu. Padan muka aku, terkena juga akhirnya! Huh, geramnya aku.

Dan selepas itu Gaban mula berubah laku, mungkin kerana sudah bosan hendak memujuk atau berbaik denganku. Timbul juga sedikit kekesalan di hati kerana meleret-leretkan permasalahan yang remeh sedangkan dengan Naja dengan mudah aku memaafkannya. Entahlah aku sendiri tidak faham dengan diriku sendiri. Kenapa aku jadi marah pada Gaban. Tapi apa nak dihairankan memang sebelum ini pun aku dan dia begitu. Perhubungan kami tidak pernah akrab namun aku dapat rasakan sesuatu yang berlainan ketika Gaban mula menunjukkan kemesraannya sebaik dia makan kuih bakarku. Dan kini hubungan kami kembali dingin kerana perangaiku yang degil. Ah lantaklah, malas aku nak memikirkannya.

“Hei, Minah!” Aku segera menoleh. Dengan lantang Gaban melaung namaku sekuat tidak, macamlah aku pekak! Mendidih juga perasaanku tapi memandangkan aku berada di dalam pejabat, aku terpaksa bersabar. Nantilah, tunggu masa yang sesuai tahulah aku nak ajar dia!

“Kenapa panggil macam tu? Tak baiklah.” Berubah seketika riak wajah Gaban apabila seorang wanita yang berada di sebelah Gaban menegur. Walaupun teguran itu perlahan, lebih kepada berbisik tetapi aku dapat mendengarnya dengan jelas.

“Kenapa pula Puan Ros?” Soal Gaban perlahan.

“Setiap orang ada nama, kan elok dan manis didengar kalau panggil nama dia. Lagipun panggilan macam tu tak baik untuk orang yang baik macam dialah,” jawab wanita itu seakan kesal, seolah Gaban bersikap biadap sebentar tadi.

“Betullah Puan Ros, memang pun saya panggil nama dia.” Sahutan Gaban buat wanita itu tersentak lantas memandangku dengan penuh curiga. Aku pula yang suspen. Ada masalah ke dengan namaku?

“Nama dia Minah Bte Temon, tak kan saya nak tukar jadi Isabella atau Aspalaila?” Terang Gaban. Yang Gaban ni pulak satu, siap bagi tahu nama penuh aku. Serentak itu Puan Ros tergelak-gelak. Hui, bengang betul aku!

“Kalau salah sebut, mau tersasul jadi Timun,” ujar Puan Ros dan secara spontan Gaban pun tergelak sama. Buat hatiku panas saja, ada juga yang makan meja! Kerana nama jugalah aku dan Gaban berperang. Oleh kerana dia kata nama abah aku macam Timun, aku pulak kata nama bapak dia macam Gaban. Sebabnya nama sebenar Gaban ialah Muhammad Aqil Bin Sangaiban. Last-last nama bapak jadi mainan sampai sekarang. Tapi yang aku tak puas hati tu macam mana Puan Ros boleh sependapat dengan Gaban tentang nama abahku itu.

“Maaf kalau Minah berkecil hati.” Cepat-cepat Puan Ros memohon maaf setelah melihat reaksiku. Nak tak nak terpaksa juga aku maniskan muka, kalau si Gaban yang kata begitu, siaplah dia!

“Orang Jawa, ya?”

“Ya, samalah macam Encik Aqil. Malah kami ni sekampung.” Sengaja aku kata begitu, mahu Puan Ros tahu yang lelaki di sisinya itu pun dari suku kaum yang sama denganku.

“Sebenarnya saya ada hal yang hendak diuruskan sekejap, tak lama 5 minit saja. Apa kata kalau Puan Ros duduk dulu dan minum air, sekejap lagi saya jumpa Puan Ros.” Gaban kembali bersuara dan Puan Ros hanya mengangguk. Tidak kisah dengan permintaan itu. Pandai betul Gaban mengelak, takut kena gelaklah tu.

“Minah, tolong bawa Puan Ros ke guest room dan sediakan minuman ya,” arahan Gaban hanya aku patuhi. Puan Ros aku bawa ke bilik tetamu, sambil aku menyediakan minuman untuknya, Puan Ros rancak bercerita. Dia memang ramah, ada saja ceritanya hingga aku pula yang rasa semacam.

“Sedap air yang Minah buat ni, tentu kalau masak pun sedap, kan?”

“Eh, tak adalah Puan Ros, biasa-biasa aja.” Malu pula aku bila Puan Ros memuji. Kembang aku dibuatnya. Tak cukup dengan itu boleh pula dia kata, aku cantik dan manis sangat bila tersenyum. Suka dia tengok aku, kalau boleh nak jadikan aku menantu. Dia masih ada anak bujang, yang bongsu. Hii, kelakarnya, macam nak tergelak badak aku kat sini. Tapi terpaksalah aku kawal, takut Puan Ros pengsan pulak sebab terkejut tengok perangai aku yang sebenar.

“Puan Ros nak buat apa di laman rumah?” Soalku pula, saja mahu mengalihkan topic perbualan.

“Tak payah panggil puan, panggil auntie saja. Nak panggil mummy pun boleh. Sebenarnya auntie tak tahu lagi, dalam kepala ni cuma mahu ruang laman tu nampak cantik dan berseri saja. Tapi auntie bukan tinggal di kediaman ni pun, kediaman ni auntie bagi pada anak.”

“Oh ya ke? Untung anak puan.”

“Auntie, bukan puan.” Puan Ros membetulkan dan aku sekadar tersenyum.

“Alah anak lelaki, bujang. Biasalah orang bujang, selalu tak ada di rumah, tak hirau pun ruang laman berseri atau tidak. Kita yang datang sesekali ni rasa tak seronok pula.” Sambung Puan Ros.

“Maaf, saya terlambat sikit.” Kami semua menoleh, Gaban berdiri tenang sambil melemparkan senyuman manis.

“It’s ok, seronok dapat kenal dengan Minah ni,” sahut Puan Ros. Ketika aku hendak meninggalkan mereka, Puan Ros mendesak agar aku turut serta dalam perbincangan pengubahsuaian laman. Jadi terpaksalah aku bertepek bersama mereka. Namun Gaban nampak bengang bila kerap kali Puan Ros asyik bertanya hal yang tidak berkaitan.

“Minah dah ada boyfriend ke?” Aku terkedu, tak sangka soalan itu yang ditanyanya. Puan Ros sudah hilang kisah nak berbincang tentang ubah suai lamannya. Gaban pula semakin bengang, sempat dia berdehem beberapa kali sambil memandangku dengan tajam. Nak buat macam mana, customer always right, terpaksalah aku layan.

“Err…susahlah nak jawab soalan tu.” Aku tersengih, segan sendiri. Pandangan Gaban yang masih tajam aku biarkan. Nampaknya Puan Ros dah berkenan betul dengan aku ni.

“Yalah, orang cantik macam Minah ni mustahil tak ada boyfriend kan? Tapi tak salah kan kalau nak berkenalan dengan anak auntie. Saja, kenal-kenal….” Puan Ros buat aku macam nak lari dari situ. Biar betul, hish, hish, payah macam ni. Aku cuma tersenyum, sudah tak berani bersuara apabila pandangan Gaban semakin menggerunkan. Cemburukah dia?

*******

Selesai perbincangan yang lebih berkisarkan kehidupan peribadi, aku menghantar Puan Ros sampai ke muka pintu. Setelah itu Gaban memanggil aku masuk ke biliknya. Di dalam biliknya, Gaban sudah duduk di tempatnya sambil memerhatikan aku dari atas ke bawah. Aku mengerutkan dahi, pelik dengan sikapnya itu. Tengok orang macam tu macam sedang menilai peserta ratu cantik pula. Cantik ke aku? Ahaks!

“Lain kali tolong jangan campur aduk personal life dalam perbincangan projek.” Ayat Gaban itu buat aku terkejut. Bukan aku yang sibuk nak bercerita tentang hal peribadi aku, tapi Puan Ros yang asyik bertanya. Salah ke kalau aku sekadar menjawab pertanyaannya.

“Buang masa saja,” keluh Gaban. Aku sudah mula panas, nampaknya Gaban sengaja mahu melepaskan ketidakpuasan hatinya terhadapku.

“Tapi bukan aku yang…” tak sempat aku meneruskan bicara, Gaban sudah memotong.

“Kita berjumpa dengan client atas urusan kerja, membincangkan apa yang client mahukan dalam pengubahsuaian bukan adakan sesi temuramah atau cari jodoh.”

“Itu aku faham, tapi kalau dia yang…”

“Kau tahu tak, masa itu amat penting? Kalau perjumpaan tadi tu sekadar berbual kosong, bila kerja nak siap? Bila projek boleh dijalankan?” Sekali lagi Gaban memintas. Seolah tidak membenarkan aku menjawab atau bela diri. Geram sungguh aku. Apa hal yang si Gaban ni tiba-tiba nak naik angin? Aku tak nampak di mana rasionalnya dia hendak menuduh aku begitu.

“Tapi bukan salah aku. Bukan aku yang mulakan,” akhirnya aku menjawab dengan laju. Tidak mahu Gaban memintas lagi ayatku.

“Jadi salah aku?” Soal Gaban dengan serius dan aku mula kebingungan. Langsung tak faham! Gaban ni betul atau tidak?

“Tapi…” Sekali lagi Gaban memotong ayatku.

“Enough! Selepas ni kalau kau berada di dalam perbincangan projek sila beri tumpuan dan serius.” Ayat itu buat aku benar-benar terasa. Tak adil dia buat aku begini. Salah aku ke?

“Sekarang tolong keluar, aku ada banyak kerja nak dibuat. Tolong tutup pintu sekali.” Keras Gaban bersuara dan langsung tidak lagi memandang padaku sebaliknya sibuk memandang kertas yang bersepah di atas meja. Dengan sebal aku terus berlalu dan pintu biliknya aku tutup dengan agak kuat. Saja mahu tunjuk perasaan pada dia. Ingat dia saja yang boleh marah?

Bersambung……


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Akukah Juwita 7”
  1. aini nisha says:

    bru bc bez trus cr bab2 dulu….smbung cpt yek…

  2. nadia says:

    btl la mmg best..tergelak sy bc ayat2 brutal si minah tu..thumb up

  3. SWEET BUTTERFLY says:

    :razz: ye ker? tq, tq, tq……nantikan eh sambungannya! :lol:

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"