
Novel : Akukah Juwita 8
Oleh : SWEET BUTTERFLY
BAB 8
“TAK naklah!” Aku memang sengaja mengelak untuk mengikuti Gaban ke kediaman Puan Ros untuk meninjau tapak projek. Lagipun setelah aku disembur oleh Gaban kelmarin, serik rasanya untuk bertemu dengan Puan Ros. Nanti entah apalagi yang Gaban akan kenakan padaku setelah bertemu dengan Puan Ros. Bukan aku yang mulakan pun, aku terkena juga.
“Kau kena pergi juga lagipun bukan aku yang nak sangat bawa kau tapi Puan Ros minta kau datang sekali.” Aku mencebik. Lantak kaulah, hari tu bukan main marah orang, hari ni sibuk suruh ikut dia.
“Aku tak beranilah, nanti dibuatnya Puan Ros merapu lagi, aku juga yang kena.” Kataku sejujurnya, biar Gaban tahu perasaanku. Sehingga ke hari ini pun aku masih belum melupakan apa yang dah Gaban katakan padaku.
“Jangan mengada-ngada, nanti tak pasal-pasal aku pula yang kena. Cepat siap, aku tunggu kat kereta.” Arahan Gaban itu buat aku geram sungguh. Dah aku kata tak nak, tak nak ler. Nak main paksa-paksa pulak. Hiii…..nyampah betul. Nak tak nak terpaksa aku menurut. Nanti kalau aku engkar, aku juga yang kena. Ah, senang kata, aku sajalah yang kena. Mentang-mentanglah syarikat ni abang ipar dia yang punya.
Ketika tiba di kediaman milik Puan Ros, aku terpana. Keindahan kediamannya membuatkan aku kehilangan kata-kata. Kediaman ini bukan rumah biasa, tapi banglo lama yang masih cantik, terletak di atas bukit pula tu. Lamannya luas dan lapang, memang elok sangat kalau diindahkan lagi dengan seni landskap. Kedatangan kami disambut oleh Puan Ros yang sudah tiba lebih awal dari kami. Puan Ros seperti biasa, ramah dan mesra sekali. Malah dipautnya bahuku ketika kami berjalan beriringan masuk ke kediamannya.
“Minumlah dulu, lepas ni nanti auntie akan tunjukkan lagi sekitar kawasan rumah ni,” ujar Puan Ros sambil menghulurkan padaku secawan air.
“Besar juga kawasan di sini,” kata Gaban sambil menghirup air teh dengan perlahan. Puan Ros tersenyum kemudian mengangguk sebelum bersuara.
“Hmmm, ini peninggalan turun temurun. Dah lama banglo ni, tengoklah dah buruk pun.”
“Tapi masih cantik,” celahku. Walaupun banglo ini sudah lama, tapi masih cantik seolah dijaga dengan rapi. Kalau aku pun, aku akan jaga macam jaga emas. Sayang kalau banglo yang cantik begini hendak dibiarkan begitu saja.
“Cantik tapi tak berseri. Maklumlah penghuninya bujang, jadi suram sajalah. Tapi kalau si bujang ni dapat isteri barulah seronok,” tambah Puan Ros sambil ketawa. Dah mula dah. Aku sekadar tersenyum dan mengerling pada Gaban yang kelihatan bersahaja.
“Apa kata kalau Puan Ros tunjukkan pada saya, ruang laman yang hendak diubahsuai.” Gaban mengubah topik perbualan, mungkin tidak mahu Puan Ros melalut lagi. Nanti kalau biarkan Puan Ros terus bercerita, satu kerja pun tak jalan. Lalu kami dibawa oleh Puan Ros ke ruang laman yang hendak diubahsuai. Ruang laman yang bermula dari hadapan hingga ke sisi banglo itu, memang luas. Elok sangat kalau diindahkan lagi agar tidak nampak kosong. Gaban dan Puan Ros sedang rancak berbicara. Puan Ros pula berkali-kali menekankan agar ruang laman yang mahu diubahsuai itu haruslah cantik, tenang dan sesuai untuk dijadikan tempat bersantai. Aku yang tidak tahu tentang landskap hanya mendengarkan saja. Ketika Gaban bertanyakan tentang konsep yang dikehendaki, Puan Ros memandang padaku pula. Seolah bertanyakan pula pendapatku walhal bukan aku yang hendak ubah suai laman.
“Errr, kita tak tahulah,” jawabku mula binggung. Dia yang hendak ubahsuai, tanya aku pula. Lainlah kalau kediaman ini aku yang punya, tahulah aku macam mana nak adjust!
“Tentu Minah ada idea.” Kata Puan Ros. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Serentak itu aku memandang pada Gaban, minta dia membantuku. Nak cantikkan laman seluas ini tentu memerlukan idea yang baik tapi aku, tak tahu apa-apa. Fikiranku kosong.
“Puan Ros, apa kata kalau kita bina satu kolam ikan di sini dengan menggunakan material daripada kayu. Kayu bukan saja membangkitkan kemewahan tapi cantik juga dipandang mata. Kemudian kita boleh buat ruang bersantai, hmm maybe berdekatan dengan kolam?”
“Hmm, ok juga tapi kalau boleh saya mahukan kelainan.” Alah, kalau mahukan kelainan buat aje reban ayam atau kambing. Memang lain dari yang lain sebab di bandar mana nak jumpa benda tu semua.
“Minah, berilah idea pada auntie. Agak-agak apa yang menarik?” Sudah dia ni! Asyik-asyik tanya aku, karang aku suruh buat Taj Mahal kat sini baru tau.
“Apa ya, kita ni bukan pandai sangat pun. Err…kalau buat gazebo?” Secara spontan aku berikan idea tu dan tak tahulah kalau boleh dipakai atau tidak. Alah, gazebo dengan kandang ayam lebih kurang sama, cuma gazebo besar dan cantik.
“Gazebo? Yeah, why not? Ok, Aqil, saya mahukan gazebo di sini, boleh?” Soal Puan Ros pada Gaban. Gaban sempat memandang padaku seketika sebelum mengangguk perlahan. Mungkin dia tak sangka yang aku tahu tentang gazebo. Apa? Ingat orang kampung tak tahu pasal gazebo? Depan rumah aku pun ada gazebo tapi main pacak-pacak saja, tak lah cantik dan indah macam dalam cerita orang putih tu. Abah yang buat sendiri untuk kita orang melepak, itu pun sebab ada lebihan kayu dan buluh.
Akhirnya aku terpaksa menunggu lagi hampir satu jam apabila Gaban meneliti dan mengambil ukuran sebenar sekitar laman banglo lama yang terletak di atas bukit itu. Terpaksalah aku layan Puan Ros berbual. Walaupun senang dengan Puan Ros ada ketikanya aku jadi seram. Mau taknya, Puan Ros asyik bercerita perihal anak bujangnya yang masih belum berpunya dan dari caranya, dia macam nak kenenkan aku dengan anaknya.
Aku lega, perbualan kami terhenti sebaik Gaban menghampiri. Setelah berbincang dan berjanji akan membentangkan konsep yang hendak diaplikasikan seterusnya minggu hadapan, aku dan Gaban akhirnya meninggalkan banglo itu. Kami terus pulang ke pejabat kerana Gaban mahu menyediakan kertas kerja.
*********
“APA lagi yang kau tahu mengenai gazebo?” Soal Gaban serius ketika sedang mencari konsep untuk diaplikasikan pada gazebo itu. Walaupun Gaban telah melakukan beberapa lakaran namun belum ada satu pun yang sesuai untuk dipilihnya. Lalu lakaran-lakaran itu disuakan kepadaku untuk ditatap sama. Mungkin hendak mengetahui mana satu lakaran yang menarik minatku.
Aku tidak segera menjawab, sebaliknya merenung Gaban untuk seketika. Sejak kebelakangan ini Gaban mulai berubah. Dia lebih serius ketika bekerja dan tidak lagi mengusik. Dia akan bersikap bersahaja tapi sedikit keras denganku. Sekarang sudah tidak cakap banyak dan hanya berbicara yang penting-penting saja. Satu perubahan yang aku tidak tahu sama ada baik atau tidak untukku. Mungkin perubahan ini kerana aku yang tidak mengendahkannya dulu.
“Sejak bila suka termenung ni?” Soal Gaban mengejutkan aku, lantas aku segera meneliti lakaran-lakaran yang telah disediakan olehnya. Tidak dinafikan lakaran Gaban cantik tetapi mengapa semua lakaran gazebo itu dengan hanya berkonsepkan gaya Inggeris. Kalau ikutkan kehendak dan gaya Puan Ros, dia tentu lebih suka jika gazebo yang hendak dibina itu berkonsepkan seni bina Melayu dan gaya kedesaan. Sesuai dengan citarasa Puan Ros yang mahukan sesuatu yang lebih indah dan eksotik.
“Tak banyak yang aku tahu mengenai gazebo. Aku cuma melihatnya di dalam majalah, filem dan cerita dari negara barat. Sejak aku melihat sebuah gazebo yang cantik di dalam sebuah filem barat, terus jatuh cinta. Hmmm…gazebo, satu bangunan atau pondok kecil yang dibina dan terletak ditengah-tengah atau tepi halaman, biasanya dijadikan tempat bersantai. Dan kalau di negara barat, ianya sering dijadikan tempat melangsungkan perkahwinan. Wedding garden, romantic!”
“Yup, most women like it. Romantiklah konon….” Sela Gaban. Aku sekadar menjeling, menyesal kerana memberitahu minatku itu. Tak pasal-pasal diperlekehkan oleh lelaki itu.
“So, which one that you prefer?”
“Mengapa kita sering mengagungkan seni bina barat? Bukankah seni bina Melayu tidak kurang cantiknya. Malah seni bina Melayu lebih berestetika dan eksotik.” Kata-kataku membuatkan Gaban tersentak. Segera wajahku direnungnya dan aku pula mempamerkan reaksi bersahaja. Aku tahu saat ini Gaban sudah tercabar dengan pendapatku itu namun bukan niatku malah jauh sekali untuk mencabarnya kerana dia bukan lawanku.
“Jangan lupa, siapa yang mencadangkan untuk membina gazebo? Don’t you know, gazebo digunakan sejak dahulu lagi oleh orang barat terutamanya dari golongan bangsawan?” Balasan Gaban aku sambut dengan keluhan. Sudah tentu aku tahu serba sedikit tentang sejarah gazebo tetapi nampaknya Gaban yang masih belum mengerti maksudku.
“Bukan tak tahu tapi kau yang sudah salah faham. Cuba lihat, semua lakaran yang di lakarkan ini berkonsepkan Inggeris. Mengapa tidak kita aplikasikan seni bina Melayu dan gaya kedesaan? Tentu lebih menarik, membuatkan seolah-olah kita berada di desa. Bukankah itu yang diinginkan oleh klien kita? Dan jika mahukan lebih privacy, kita boleh pasangkan kain yang bersesuaian pada tiang gazebo. Kemudian kita gunakan barang perhiasan seperti tikar mengkuang atau bakul rotan untuk menghidupkan suasana dan budaya Melayu. Dan kalau kita gunakan material daripada atap rumbia untuk membuat bumbung tentu tampak asli dan menarik,” penjelasanku yang panjang lebar itu akhirnya dipotong oleh Gaban.
“Atap rumbia? Tidak praktikal. Atap rumbia perlu ditukar selalu dan untuk makluman awak, penggunaan material sangat penting. Atap genting adalah paling sesuai dengan suhu dan cuaca di negara kita walaupun ianya tidak berapa cantik dibandingkan dengan material yang lain. Tapi kita mahukan sesebuah hasil yang bukan sahaja nampak cantik tetapi tahan lasak dan selamat. Kerana itu pemilihan material untuk membuat bumbung juga harus dititikberatkan bagi melindungi pengguna di dalamnya.” Aku sekadar memandang kemudian mengangkat kening.
“Well, aku cuma beri cadangan, tidak semestinya cadangan itu perlu diterima bulat-bulat, lagipun selebihnya adalah hak kau untuk menentukan mana yang baik untuk pembinaan gazebo ini. You’re the boss, boss…..” Kataku sambil mengerling sekilas pada Gaban yang nampak bengang. Mungkin kini perasaan Gaban semakin terbakar. Namun Gaban tidak terus membalas ayatku itu, mungkin sudah tidak kuasa melepaskan amarahnya di saat ini sebaik terpandangkan senyuman manis yang sengaja aku ukir di tubir bibir. Aku tahu hanya senyuman itu yang mampu menyelamatkan aku dari menjadi mangsa kemarahannya.
“Terdapat pelbagai material untuk membina gazebo antaranya kayu, batu atau besi. Kalau kita mahukan konsep seni bina Melayu dan kedesaan, kayu cengal adalah yang paling sesuai digunakan dan ianya berkualiti tinggi serta tahan lama. Hanya perlu menyapu habuk yang melekat dan menggilap dengan varnish bagi memastikan warna kayu kekal cantik dan bersinar. Gazebo dengan reka bentuk seperti bumbung bertingkat daripada kayu cengal berupaya menahan hujan dan pancaran matahari serta serangan anai-anai.” Jelas Gaban sekaligus menyatakan persetujuannya secara halus untuk menuruti cadanganku yang berkonsepkan seni bina Melayu dan gaya kedesaan. Pantas tangannya melakar konsep itu sambil diperhatikan oleh ku. Senyum simpul aku kerana dia menerima cadanganku itu.
“Mengapa tidak letakkan gazebo bersebelahan dengan banglo, kan lebih menarik? Sebaik kaki melangkah ke perkarangan banglo, sudah terlihat dari jauh gazebo yang tersergam indah.” Ajuku disambut dengan senyuman sinis Gaban sebelum dia menidakkan cadangan itu.
“Gazebo tidak sesuai jika diletakkan bersebelahan dengan banglo kerana tidak memiliki nilai estetika, ia akan menghilangkan suasana santai yang hendak diciptakan. Lagipula, ia tidak memenuhi konsep arkitek sebenar kerana titisan hujan dari atap rumah akan terpercik ke dalam gazebo,” kata Gaban. Aku terdiam, manalah aku tahu tentang itu. Aku bukannya pakar dalam bidang itu, yang aku tahu sesebuah binaan itu haruslah indah dipandang mata.
“Dan bagi kepercayaan masyarakat Cina, gazebo tidak boleh diletakkan di kawasan yang menghalangi laluan pintu utama rumah kerana dikatakan menghalang kekayaan dan kebaikan memasuki kediaman.” Tambah Gaban lagi.
“Eh, kita sebagai orang Islam mana boleh percaya kepercayaan sebegitu. Rezeki itu datang daripada usaha kita dan doa yang dipohon. InsyaAllah kalau kita rajin berusaha dan berdoa, dikabul permintaan kita itu.” Sengaja aku membalas info yang diberikan oleh Gaban untuk mewujudkan lagi kemeriahan dalam komunikasi kami. Aku letih bila Gaban terlalu serius. Dalam marah dan geram padanya, aku masih inginkan hubungan kami ketika bekerja sedikit mesra agar aku tidak terasa tegang dan bosan.
Gaban membulatkan matanya sebelum menarik hidungku dengan perlahan. Aku terkejut namun hanya mendiamkan diri kerana tidak tahu mahu bereaksi seperti apa. Inilah kali pertama Gaban bertindak sebegitu, menyentuh hidungku. Untuk seketika kami hanya saling berpandangan tanpa sepatah kata. Mungkin Gaban telah menyedari perbuatannya dan merasa bersalah atau dia pun sepertiku, tidak tahu harus bereaksi seperti apa saat ini.
“Err, apa yang aku beritahu tadi hanya satu info, kepercayaan masyarakat Cina. Tak suruhpun kita mempercayainya apatah lagi kalau hendak mengikutnya. Tetapi dalam bidang ini, kita harus tahu juga mengenainya kerana klien yang datang tak kira bangsa. Sekurang-kurangnya info ini boleh menghindarkan kita dari menyinggung sensitiviti kaum lain.” Akhirnya Gaban bersuara perlahan dan tangannya semakin lincah melakar di atas kertas.
“Kenapa tenung aku macam tu?” Soal Gaban tanpa menoleh padaku.
“Eh, siapa yang tenung dia? Orang tengok lakaran tu. Perasannya….” Sengaja aku meleretkan hujung ayatku untuk mengenakan Gaban. Kemudian cepat-cepat aku menutup mulut, menahan tawa yang hampir terburai. Gaban melonggarkan tali lehernya sambil berdehem beberapa kali, mungkin mula lemas dikenakan begitu. Gaban menoleh, pandangan tajam dilemparkan padaku. Aku sekadar membalas pandangan itu dan akhirnya aku mengalah. Tidak sanggup untuk berlawan mata dengannya, bimbang hati tidak cukup kuat menahan gelora.
“Timun, boleh tak buatkan air? Tekak ni dah haus sangat.” Segera aku tarik muka. Bukan Gaban tidak tahu yang aku tidak suka dipanggil begitu tapi masih sengaja dia nak sakitkan hati aku. Aku terus bingkas dan mula mengorak langkah, sebelum keluar dari biliknya aku pula kenakan dia.
“Nak air apa Mr.Gaban? Nescafe ke?” Gaban sekadar tersenyum, manis sekali! Entah kenapa aku begitu senang melihat senyumannya itu. Sudah agak lama dia tidak tersenyum seperti itu dan menjadikan aku rasa ada yang tidak lengkap. Dah gila ke aku ni? Sekejap rasa marah, benci, menyampah tapi dalam masa yang sama aku mengharapkan dia akan tersenyum pula. Masih mengharapkan yang dia akan melayaniku dengan mesra biarpun aku yang kadang-kadang buat perangai. Entahlah, tak tau kenapa aku jadi begini.
Bersambung…..













ok… not bad…. smbung cpt yek…..
hati kita pun rasa berbunga2 bc citer ni….tahniah penulis…