
Novel : Antara Cinta dan Rahsia 2
7 September 2010
Kategori: Novel
394 bacaan Jom bagi ulasan
Oleh : Nadi Ays
‘Ahh, lambat lagi aku hari ni.’ Hasniza terkocoh-kocoh memasuki Dewan Besar. Sesudah sahaja dia selesai mengemas radas dan bahan projeknya, dia bergegas menuju ke sini. Berlari-lari anak mendaki anak-anak tangga dan laluan berbumbung tika gerimis mula menitis.
‘Alamak, dia dah sampai pula!’ Hasniza mula gelisah apabila kelibat Zaihan mula kelihatan. Zaihan yang sibuk memberi arahan itu dan ini sempat lagi mngerling ke arah Hasniza.
‘ Hai, dia ni lagi yang lewat. Dia memang ada sindrom datang lewat ke apa?’ Mata Zaihan masih tertmpu ke arah Hasniza. Merah padam wajah Hasniza waktu direnng sebegitu.
“Hai, Cik Hasniza Ha…”
“Just call me Has,” pantas Hasniza memotong kata-kata Zaihan. Melopong mulut Zaihan mendengarnya.
“Awalnya cik Kuda kita datang hari ni kan,” sindir Zaihan. Bibirnya tersenyum sinis. Tatkala terlihatkan wajah Hasniza yang menahan geram, dia tertahan-tahan tawanya.
“Sekurang-kurangnya, saya datang juga, kan Beruk?” Hasniza berpaling meninggalkan Zaihan yang terkulat-kulat di situ. Agak tinggi suaranya, hingga beberapa AJK lain turut memandang mereka.
Geram sungguh hati Hasniza. Mengapa nama kuda itu disebut lagi. Ada ke Zaihan katakan Hasniza ketawa seperti kuda. Hingga kini nama kuda itu melekat padanya. Dan oleh sebab itulah, Zaihan digelar Beruk Jantan. Baru adil. Getus hatinya.
Para AJK yang terlibat sibuk menjalankan tugas masing-masing. Dua tiga pasang mata yang melihat drama Hasniza dan Zaihan tersenyum sendiri. Tak kurang juga yang berbisik-bisik antara satu sama lain. Apa yang dibisikkan, hanya mereka yang tahu. Dan yang pasti, cerita Hasniza dan Zaihan tentu sahaja akan menjadi hangat esok pagi.
Hasniza melangkah naik ke pentas. Para penari yang sibuk mengadakan latihan tidak diendah. Lakaran kasar hiasan latar pentas di tangannya dilihat sekali lagi lalu dia cuba menzahirkannya di pentas itu. Beberapa beg plastik berisi barang-barang untuk menghias yang sedari tadi berada di atas pentas itu di belek-belek. Lalu dia cuba mengira, dan ternyata apa yang telah ada ini memang tidak mencukupi.
Salah seorang AJK lelaki datang menghampiri Hasniza. Seakan berbisik cara mereka bercakap. Hasniza mengerutkan dahinya. Lalu dia pula yang menyoal. Dan jawapan yang diberi oleh siswa itu memang cukup tidak dia gemari.
Hasniza bingkas bangun setelah siswa tadi meninggalkannya. Bergegas dia menuruni tangga. Zaihan yang hanya duduk berehat di atas anak tangga di tengah-tengah dewan itu dia dapatkan.
“Beruk, banyak benda tak cukup ni,” Hasniza bersuara. Zaihan masih seperti tadi. Diam membatu. Hasniza makin geram.
“Beruk…. Oooo, berukku sayang,” mahu sahaja Zaihan terhambur tawa mendengar cara Hasniza memanggil dirinya.
“Awak panggil saya ke?” Zaihan pura-pura tidak mengerti.
“Saya panggil awak la Beruk. Awak ada nampak beruk lain ke kat sini?” Hasniza makin geram.
“Awak nak apa kuda?” Zaihan sengaja memulangkan paku buah keras.
“Banyak benda tak cukup ni. Nak hias pentas macam mana. Tadi Izwan kata audio system pun banyak yang tak cukup. Projector pun tak ada. Microphone pun ada satu je ni. Hari ni dah Jumaat. Esok Unit Fasiliti tutup. Function malam esok. Bila nak dapat barang tu semua?” Panjang lebar penerangan Hasniza.
“Barang-barang audio tadi Kamal dah pergi ambil. Sampai sekarang tak balik-balik lagi. Yang barang dekat unit ILQAM, Yus dah uruskan. Barang nak hias pentas, jom kita pergi beli sekarang.” Lancar suara Zaihan memberi jawapan. Tegas namun tidak memaksa. Zaihan cukup komited melaksanakan tugasnya. Dia mementingkan kualiti dalam setiap apa yang dikerjakannya.
Zaihan berjalan menuju ke luar dewan. Pantas menekan punat kekunci pada kunci keretanya. Hasniza sekadar menyusul dibelakangnya. Sebentar kemudian Proton Satria Neo berwarna putih pantas bergerak meninggalkan kawasan kampus mereka.
Mereka menuju ke sebuah pasaraya yang terletak di Bandar Kangar.Hasniza mendapatkan barang-barang yang diperlukannya. Zaihan tidak membantu sekadar memerhatikan gelagat Hasniza.
‘Cantik perempuan ni. Kecantikan yang asli. Tampak menawan walau tanpa secalit make-up.’ Hati lelaki Zaihan terusik lagi waktu ini.
“Kuda, jom kita pergi makan dulu,” pelawa Zaihan tatkala Hasniza selesai membayar harga barang-barang yang dibelinya.
“Tapi, maaflah, makanan kegemaran awak tak ada kat sini.” Hasniza terpinga-pinga. Kata-kata Zaihan membuatkan dia membuntangkan matanya melihat lelaki itu.
“Mana awak tahu makanan kegemaran saya?” Soal Hasniza.
“Yelah, awak kan kuda, makanan kegemaran awak mestilah rumputkan?” Zaihan tertawa kecil. Seronok rasa hatinya dapat menyakat Hasniza lagi.
Hasniza sudah tidak mampu mahu bertikam lidah dengan Zaihan. Ada sahaja modal Zaihan untuk menang. Tidak habis-habis mahu menggiat dirinya. Ah, biarlah Zaihan nak kata apa pun. Yang pasti, perutnya yang kosong perlu di isi.
‘Apalagi kalau makan free. Baik juga hati beruk jantan ni.’ Fikir Hasniza.













