
Novel : Cantiknya Si Comot 6
Oleh : Miazal Zahra
SUDAH seminggu majlis perasmian hotel dijalankan. Semuanya kini sudah berjalan dengan lancar. Dengan berbagai promosi yang diadakan, Palace of Golden Dew sentiasa ramai dengan pengunjung walaupun kini bukannya musim cuti.
Namun pelik dirasakan oleh Ammar, selama seminggu ini Rosmina tidak pernah menghubunginya lagi, tidak juga untuk meminta bayaran dari hasil kerjanya. Bukannya sedikit, lebih dari dua puluh ribu ringgit juga jumlahnya. Tidak mungkin dia tidak mahukan bayarannya. Atau mungkin dia masih marahkan Ammar?
Hati Ammar sudah tidak dapat menahan untuk bertemu dengan Rosmina. Dia sudah nekad, dia yang harus menghubungi Rosmina. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Namun niatnya mati tiba-tiba. Baik terus ke kebun bunga milik Rosmina fikirnya, dapat juga melihat orangnya sekali.
Kereta Mazda Rx-7 kesayangannya di hentikan berdekatan kebun bunga Rosmina. Matanya meliar mencari wajah yang sudah terpahat dihatinya itu, namun tidak dapat ditemukan. Dilihatnya Puteh sedang melayan beberapa orang pelanggan. Cepat Puteh dihampiri bila semua pelanggan sudah berlalu.
“Mina ada?” soalnya sudah tidak sabar.
“Cik Mina tidak datang hari ni. Encik Ammar mahu beli bunga?” soal Puteh kembali. Hampa rasa hati Ammar, harapan untuk bertemu Rosmina sudah musnah. Sebuah keluhan dilepaskan.
“Kenapa dia tak datang?” soalnya lagi masih ingin tahu.
“Oooo! Dia kurang sihat.”
“Ha! Dia sakit. Sakit apa?” Begitu terkejut sekali Ammar dengan jawapan yang didengarnya. Rosmina sakit? Semakin berdebar hatinya, cuak juga jika sesuatu yang buruk menimpa Rosmina.
“Ala biasalah Encik Ammar, sakit orang perempuan..” jawab Puteh tersenyum, membuat Ammar semakin penasaran.
“Sakit orang perempuan…?”
“Aduh Encik Ammar ni… biasalah, sakit sebulan sekali… kalau tidak faham sudahlah. Ada apa Encik Ammar cari cik Mina?” sambung Puteh sudah tidak sabar melayan Ammar yang kelihatan seperti orang bengong lagaknya.
“Sebenarnya saya… saya nak minta bil untuk gubahan bunga hari tu. Tak apalah kalau Mina tak ada, besok saya datang lagi….” Hampa sekali kedengaran suara Ammar.
“Ohh! Bilnya ada. Sudah disiapkan. Nanti saya ambil. Cik Mina sudah pesan untuk berikan bilnya jika Encik Ammar datang.” Puteh lantas berlalu ke dalam kedai untuk mengambil bil tersebut. ‘Buat apalah kau ambil, besok aku boleh datang lagilah..!’ Gerutu Ammar. ‘Tak apalah esok boleh datang juga untuk berikan bayarannya.’ Kata Ammar cuba memujuk hatinya. Esok tentu dia dapat bertemu dengan Rosmina… Minachi… Ammar tersenyum sendiri memikirkan gelarannya pada Rosmina tempoh hari.
AWAL pagi lagi Rosmina sudah bersiap. Seperti semalam hari ini juga dia tidak akan ke kebun bunganya. Bukan sebab sakit, tapi ada banyak barang yang perlu dibelinya di Ipoh. Stok dikedainya juga sudah berkurangan, begitu juga stok barangan dapur. Bukan tidak ada barangan dapar dijual di kedai-kedai di Cameron, tapi harganya agak tinggi sedikit juka dibandingkan dengan harga di Ipoh. Kebetulan dia hendak ke sana eloklah dibeli barang-barang dapur sekali.
Tepat pukul lapan pagi dia sudah berada di hadapan rumah Encik Harun untuk menjemput kawan karibnya Hidayah, adik Hakimi. Hidayah juga akan mengikutnya ke Ipoh, bukan untuk membeli barang tapi untuk jumpa buah hati…!
Rosmina berjalan berseorangan menuju kereta. Keluar sahaja dari bank tadi Hidayah sudah menerima panggilan dari Ariff, buah hati kesayangannya. Dia kini sedang menunggu Ariff di hadapan bank tersebut. Masih banyak perkara yang perlu Rosmina lakukan. Hidayah telah berjanji untuk berjumpanya semula sebelum dia pulang ke Cameron.
Sampai di kereta, Rosmina dikejutkan dengan satu masalah pula, salah sebuah tayar keretanya didapati telah pancit. Rosmina hanya mampu mengeluh dan menepuk dahi. Perlahan tayar simpanan dikeluarkan. Mampukah dia menukar tayar tersebut. Seumur hidupnya tidak pernah dia melakukan kerja tersebut. Aduh! Macam mana ni? Sudahlah cuaca semakin panas, seakan mahu menangis rasanya bila berhadapan dengan masalah sebegini. Cuba sajalah, nasib baik juga dia pernah melihat ayahnya menukar tayar dahulu.
Ammar berasa agak kesal, niatnya untuk ke kebun bunga Rosmina terpaksa diurungkan. Dia terpaksa ke Ipoh hari ini untuk menyelesaikan urusan pekerja-pekerjanya di pejabat KWSP. Apa dayanya, hal ini perlu diselesaikan segera. Jika ada masa, lepas pulang dari Ipoh nanti dia akan ke kebun tersebut untuk berjumpa Rosmina.
Selesai urusan di pejabat KWSP Ammar memandu ke gerai makan kegemarannya untuk mengisi perut. Baru dia hendak melangkah pergi bila terlihat seorang gadis sedang terkial-kial menukar tayar kereta yang pancit. Kasihan pula dia dengan gadis tersebut. Hari pun masih awal, dia boleh makan kemudian. Berapa lamalah sangat masa yang diperlukan untuk menukar tayar itu, tak sampai lima belas minit pun.
Perlahan gadis tersebut dihampiri.
“Cik, perlukan bantuan?” sapanya ramah pada gadis tersebut yang tekun memutar skru di tayar keretanya.
“Arrrr…” Agak terkejut gadis tersebut bila disapanya. Bukan sahaja gadis itu terkejut, Ammar juga turut terkejut melihatnya.
“Mina…? Kenapa ni, tayar pancitkah?” soal Ammar seperti orang bodoh. Masakan Rosmina bersusah payah menukar tayarnya jika tidak pancit! Rosmina hanya mengangguk sambil mengeluh kecil.
“Biar saya tolong.” Rosmina berganjak dari tempatnya membiarkan Ammar meneruskan kerja menukar tayar tersebut.
Panas terik membuatkan Ammar sudah memercikkan peluh walaupun hanya sekejap di situ. Tiba-tiba terasa keadaan semakin nyaman dan sudah tidak berbahang. Rosmina sudah duduk disisinya dengan memegang sekaki payung.
“Terima kasih. Kesian juga awak dekat saya ye?” selorohnya dengan senyum manis.
“Yelah, dah Encik Ammar tolong saya, takkan nak tolong payungkan pun tak boleh. Panas sangatlah hari ni. Tengok, peluh bukan main banyak lagi, macam dah nak banjir ni,” giat Rosmina menjawab seloroh Ammar. Ammar hanya tersenyum. Hatinya sudah berlagu riang. Dia tidak kisah berpanas dan berpeluh begitu bila kini dia berada di sisi gadis yang selalu mengganggu lenanya.
“Ok.. dah siap.” Ammar mengangkat tayar yang pancit untuk disimpan. “Lepas ni Mina kena bawa kereta ni ke kedai. Tak tahulah tayar ni masih boleh guna atau tidak. Ada skru kat situ. Nampak macam lubangnya besar juga tu.”
Rosmina hanya diam melihat Ammar menyimpan semua peralatan yang digunakan, namun tangannya masih saja setia memayungi Ammar, mengikut setiap arah pergerakan lelaki tersebut.
“Mina dahlah tu. Saya dah siap ni. Tak payahlah nak payung sampai macam ni.”
“Ohh!” Rosmina mula tersedar akan keadaannya yang sudah seakan mati akal. “Tak adalah.. saya kesian tengok Encik Ammar.. sampai basah baju tu lencun dek peluh.”
“Kesiankan saya?” Ammar ketawa kecil, sambil mengeluarkan saputangan dari kocek seluarnya. “Ni kesiankan muka awak ni dulu.” Tangannya terus menunjuk ke arah pipi Rosmina.
“Kenapa?” soal Rosmina yang masih lagi memayungi Ammar.
“Bercomot.., hitam, kena tayar agaknya.” Spontan itu juga Ammar terus mengelap pipi Rosmina dengan saputangannya. Entah kenapa secepat itu juga Rosmina menutup matanya.
Ammar tersenyum nakal. Wajah Rosmina yang terpejam direnung puas-puas. Alisnya, bibirnya, hidung dan keningnya semuanya begitu indah kelihatan di matanya. Walaupun dengan hanya secalit gincu di bibir gadis dihadapannya itu tetap menawan. Sengaja diteruskan menggosok pipi Rosmina yang mulus dengan saputangannya walaupun bekas hitam diwajah gadis itu sudah hilang. Dia ingin terus menatap wajah yang sudah mula mengisi setiap penjuru hatinya itu.
Merasakan terlalu lama Ammar menghilangkan kotoran di mukanya Rosmina mula membuka matanya. Semakin berdebar kuat jantung yang sudah berdenyut laju tadi bila melihat renungan lembut Ammar ke wajahnya.
“Tak apalah Encik Ammar, biar saya buat sendiri.” Tangan Ammar yang masih diwajahnya ditolak perlahan. Malu dirinya diperhatikan sebegitu rupa. Ammar tersenyum senang.
“Dah habis. Tak ada lagi dah tanda hitam tu.” Selamba sahaja jawapan Ammar tanpa sedikit rasa bersalah atas sikapnya tadi. Ialah, Rosmina memejam matanya, mana dia tahu apa yang Ammar lakukan.
“Mina nak ke mana lepas ni?” soal Ammar sambil tangannya mula mengelap muka dan lehernya yang lencun dengan saputangan yang sama.
“Saya nak shopping kejap. Beli barang dapur sikit.”
“Saya haus ni. Apa kata kita minum dulu. Lepas ni kita hantar kereta awak ke kedai.” Ajak Ammar yang memang sudah berasa amat haus setelah bekerja keras menolong Rosmina tadi.
“Hmm! Ok. Saya belanja, sebagai tanda terima kasih sebab Encik Ammar dah tolong saya. Kita nak minum kat mana?”
“Kat situ,” jawab Ammar sambil menunjuk ke satu arah. “Tapi saya yang belanja. Kan saya dah janji nak belanja Mina hari tu.” Kakinya sudah mula melangkah ke destinasi yang dimaksudkan.
“Kat mana? Asiah Bagus? Kalau kat situ biar saya yang belanja. Hari tu kata nak belanja saya makan kat hotel, takkan nak belanja kat warung pula….” ujar Rosmina dengan ketawa mengusik. Langkahnya terus saja diayun mengiringi langkah Ammar
“Oklah.. saya belanja awak kat hotel. I mark your words. Make sure awak datang nanti bila saya ajak.” Ammar turut ketawa, namun kata-katanya kedengaran tegas sahaja bunyinya.
“Tengoklah kalau saya tak…”
“No.. Mina, awak selalu bagi excuse bila saya ajak. Hari tu pun awak tak datang untuk majlis perasmian hotel. Kali ni awak mesti datang.” Rosmina terdiam. Ahh! Mengapalah dia gatal-gatal mengungkit pasal makan di hotel itu, sekarang dia juga yang sudah terjerat. Pasti Ammar akan mengotakan janjinya nanti.
“Kita duduk kat sini,” ajak Ammar setelah tiba di gerai bihun sup Asiah Bagus tidak jauh dari tempat mereka meletak kereta tadi. Tanpa kata Rosmina mengambil tempat betentangan dengan tempat duduk Ammar.
“Awak selalu datang sini,” tanya Ammar setelah mereka memesan makanan.
“Selalu juga. Kalau ke Ipoh selalunya tak pernah miss, mesti ke sini. Satu keluarga sukakan bihun sup dan koew tiau kat sebelah tu. Encik Ammar selalu datang juga?”
“This is my favourite stall, sejak kecil lagi.”
“Iye? Encik Ammar asal dari mana?” Rosmina kelihatan semakin berminat untuk mengetahui latar belakang diri Ammar.
“Cameron..”
“Dari kecil..?” soal Rosmina kurang percaya.
“Kenapa, ingat Mina sorang saja duduk kat atas kayangan tu?” usik Ammar. Tertegun Rosmina melihat lelaki yang selalu serius itu ketawa ceria. Terlihat jelas lekuk dalam di kedua pipinya. Emmm! Manis sekali. ‘Boleh juga dia ni ketawa rupanya.’
“Taklah macam tu..” Rosmina juga sudah turut ketawa. “Saya tak pernah nampak Encik Ammar kat sana pun,” sambungnya setelah ketawanya reda.
“Dah awak tak cari saya, mana nak jumpa..” seloroh Ammar lagi membuat Rosmina kembali ketawa. ‘Pandai juga rupanya mamat serius ni berlawak.’ Getusnya sendirian.
“Sebenarnya bila masuk sekolah menengah saya cuma tinggal kat rumah masa cuti sekolah saja. Saya bersekolah kat sekolah asrama penuh, mana ada masa nak lepak kat rumah. Lepas tu ke US sambung study. Balik sini terus kerja kat PJ dengan Hilton. Bila abah mula bina Golden Dew baru saya menetap di sini, tak sampai setahun lagi.” Rosmina hanya mengangguk-ngangguk tanda faham. Patutlah selama ini tidak pernah pun dia terserempak dengan Ammar, padahal Cameron Highlands tu bukannya luas mana pun.
“Mina pula?”
“Apa?” Terangkat kening Rosmina, kurang faham dengan pertanyaan Ammar.
“Dari dulu sampai sekarang tak pernah turun dari kayangan tu?”
“Ohhh! Saya turun juga. Nikan dah turun ni..” selamba saja jawapan Rosmina membuat Ammar penasaran.
“Maksud saya, Mina tak pernah tinggal kat luar dari Cameron tu?”
“Sejak kecil saya ni duduk bawah ketiak ibu saja. Sampai lepas sekolah tu dah tak ada pilihan terpaksalah tinggalkan ibu bila nak sambung study kat USM. Tu pun dah rasa jauh sangat. Siksanya masa tu. Tiap-tiap bulan saya balik rumah. Kalau ikutkan hati tak belajar pun tak kisah. Tapi yelah, nak hidup. Takkan orang lain semua berilmu kita nak jadi orang bengap bertapa kat atas tu. Saya memang tak sanggup nak ke oversea.. tapi sebenarnya tak dapat tawaran pun…bodoh sikit…” jawap Rosmina disambung dengan ketawa berderai.
“Saya memang home sick gila. Kalau tak balik rumah week end saja mula buat muka sedih bila room mate saya nak balik rumah dia. Selalulah dia bawa saya balik rumah dia. Kat rumah dia tu memang best… kat tepi laut. Seafood dia sedappp, fresh pulak tu. Maklumlah bapa dia tu taukeh bot nelayan.” Ringan sekali Rosmina berceloteh mneceritakan pengalaman lalunya.
Ammar hanya tersenyum mendengar. Setiap tutur Rosmina begitu menarik hatinya. Yelah hati sudah berkenan. Rosmina ingin menyambung ceritanya bila telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi.
“Assalamualikum.. Ehh! Yayah, dah nak balikkah? Aku belum beli barang lagipun. Tayar pancit tadi” cerita Rosmina pada si pemanggil.
“Tak balik sekali? Habis aku balik sorang..!!!” Terdengar rasa kurang puas hati Rosmina setelah agak lama berdiam diri. “Oklah. Kau tu pun jangan balik lambat sangat.” Pesannya pula kedengaran. “Waalaikumusalam.” Jawab Rosmina sebelum mematikan talian.
“Kenapa?” soal Ammar bila melihat riak muka Rosmina yang berubah kelam.
“Hidayah.., tak jadi balik sekali,” terangnya perlahan. Sebuah keluhan berat terlepas juga. Nampaknya terpaksalah dia memandu sendirian mendaki bukit dari Simpang Pulai ke Cameron Highlands.
“Hidayah.. siapa?” soal Ammar lagi ingin tahu.
“Kawan saya. Adik Hakimi staff Encik Ammar tulah… tadi datang sekali. Pak we dia nak bawa dia jumpa emaknya yang datang dari kampung, jadi dia balik lambat sikit, nanti pak we dia hantar. Nampaknya saya kena balik soranglah.”
“Mina takut?” soal Ammar lagi, menduga.
“Bukan takut. Saya tak kisah. Jalan tu pun taklah teruk sangat. Tapi dah janji dengan ibu saya datang dan balik dengan dia, ibu tak izinkan datang sorang-sorang. Risau dia bila jalan kat bukit tu sorang-sorang. Dah macam ni terpaksalah juga. Nak buat macam mana. Ni silap-silap lain kali kena kuarantin, dah tak boleh datang Ipoh kalau bukan dengan ibu atau abah,” jelas Rosmina panjang lebar sambil leka memainkan telefon bimbit ditangannya.
“Kalau macam tu apa kata kita balik saing sekali. Maksud saya awak pandu kereta awak kat depan saya ikut dari belakang,” cadang Ammar. Kasihan juga dia untuk membiarkan Rosmina pulang seorang diri.
“Tak menyusahkan Encik Ammar?”
“Tak. Apa pula nak menyusahkan, kitakan nak ikut jalan yang sama!” Ikhlas jawapan Ammar.
“Tapi saya masih ada tempat nak pergi. Saya boleh cancel shopping, tapi kena ke Jalan Kuala Kangsar untuk beli stok untuk kedai bunga. Encik Ammar nak kemana lagi lepas ni?” soal Rosmina mula risau. Dia tidak mahu keadaannya mengganggu urusan Ammar pula nanti.
“Saya tak kemana-mana. Kerja saya dah selesai. Apa kata lepas ni kita hantar kereta Mina kat kedai, lepas tu saya bawa Mina ke supermarket, kemudian kita pergi Jalan Kuala Kangsar. Siap semua kita datang ambil kereta balik. Setuju?” usul Ammar memberi pendapatnya.
“Mana boleh..!” Rosmina ketawa kecil mendengar cadangan Ammar. “Encik Ammar tahu saya nak beli apa? Saya nak beli span dua kotak besar, bunga dan macam-macam lagi. Bonet kereta sport Encik Ammar tu mana muat.” Ammar yang mulanya hairan juga turut ketawa bersama Rosmina. Yelah kereta Mazda RX-7 kesayangannya itu memang tidak dapat menampung semua barang yang akan dibeli oleh Rosmina.
“Yelah, mana boleh kereta saya tu lawan dengan Harrier awak tu. Macam tu lepas shopping nanti kita datang ambil kereta Awak. Dari jalan Kuala Kangsar nanti tak payah patah balik, boleh terus masuk highway. Macam tu tentu bolehkan?”
“Boleh memang boleh.. tapi menyusahkan Encik Ammar sajakan nak usung saya ke sana ke mari..!”
“Apa pula saya nak usung awak. Kaki tu nak buat apa? Atau awak nak saya dukung ke? Saya sanggup kalau awak suruh. Bukannya berat mana pun.”
“Encik Ammar…..! Jangan nak melalut pulak, saya bukan maksud macam tu laaa!” Kata-kata Ammar membuat keduanya meledakkan ketawa. Kemanjaan dan keramahan Rosmina membuatkan Ammar semakin bahagia. Tentu saja hari ini merupakan hari yang amat membahagiakan baginya bila dapat menghabiskan masa bersama dengan Rosmina.













best…
Terima kasih pada yang sudi membaca Cantiknya Si Comot 1 hingga 6. Kepada semua dan yang terlibat dalam penulisan2u diucapkan ‘Selamat Hari Rayan Maaf Zahir Batin’
best la….


sweet la plk…
he he he he he
jangan jadi cam kebanyakkan cita yg kena tangkap basah la konflik sana sini…
tu bertambah2 musykil la…tapi bagos dijadikan pengajaran agar kita tak terpesong dan lebih berwaspada …
kalau wat jenis suka mengusik sampai meledakkan ketawa tu la yg best….
cite yg lain dari yg lain
jln crite yg rgks dan sgt mnarik:)
syoknye..dah mula cerita cinta….bestt…
best sangat2.taktaw nak ckp pew.pokoknya,interesting ar!!!!!!!!!!
macam menarik citer ni…nanti nak bace