Novel : Cinta Dari Istana 23

2 September 2010  
Kategori: Novel

8,410 bacaan 63 ulasan

Oleh : Adah Hamidah

DUA PULUH TIGA

Tudung di kepala aku betulkan, cermin di hadapan seolah tersenyum dengan penampilan baruku itu. Aku sudah bersiap sedia untuk pergi menziarahi ibu Ra’if dihospital seperti mana yang telah dijanjikan oleh Ra’if pagi tadi. Jam ditangan sudah menunjukkan pukul lima petang. Hari ini Darwisyah tidak perlu aku risaukan kerana mengikut rancangan yang diatur Ra’if, dia akan mengambil Darwisyah di tadikanya pada sebelah tengah hari untuk di bawa berjumpa dengan neneknya terlebih dahulu, manakala aku diminta untuk tunggu sehingga dia menjemputku pada sebelah petangnya pula.

Sejak tinggal di Malaysia, aku sudah jatuh cinta dengan baju kurung. Cukup selesa untuk dikenakan tidak kira ke mana pun jua. Jadinya aku mengenakan baju kurung berwarna biru bersama tudung yang telah menjadi pilihanku tempoh hari. Aku tersenyum puas, inilah penampilan terbaru Puteri Mahkota Nur Shaafiah, sesuai sekali dengan maknanya iaitu cahaya pembersih. Pasti semua di istana akan terkejut dengan penampilan terbaruku ini.

Istana? Pada masa ini aku tidak mahu mengingati langsung tentang istana, bukan bermakna aku ingin melupakannya, cuma pada ketika ini aku terlebih dahulu harus menyelesaikan semua masalah di sini. Setelah semuanya selesai, barulah aku dengan senang hati mampu kembali pulang ke istana.

Aku mengambil key chain yang tergantung pada tangkai pembuka almari. Entah kenapa ingin pula aku membawa key chain itu bersamaku kali ini. Sekadar menyedapkan hati sendiri, aku mengenggam erat key chain berbentuk bangunan KLCC itu. Lalu aku melangkah keluar daripada bilik. Ra’if pasti akan tiba tidak lama lagi, sementara menunggu kedatangan Ra’if, sempat juga aku menyusun majalah yang sedikit bertaburan di bawah meja kopi. Aku sudah tidak biasa melihat apa saja yang bertaburan. Apabila selesai, barulah aku mengambil tempat duduk di atas sofa. Lama menanti Ra’if di ruang tamu itu, aku mula bergerak pula ke luar, membuka lapang pintu rumah. Aku mengambil tempat duduk pada kerusi kayu sambil menunggu Ra’if.

Aku memandang jam pada tangan, sudah hampir pukul enam petang, namun Ra’if masih tidak pulang. Adakah sebenarnya dia terlupa untuk menjemputku di rumah? Aku membuat andaian sendiri. Namun untuk terus berteka-teki aku sudah tidak sanggup. Lantas aku kembali masuk ke dalam rumah untuk membuat panggilan. Bertanyakan apa yang berlaku sehinggakan Ra’if langsung terlupa tentang diriku.
Puas aku mendail nombornya berkali-kali, namun panggilanku langsung tidak berjawab. Itu membuatkan hatiku bertambah resah, apa yang telah berlaku sebenarnya? Bagaimana keadaan ibunya? Darwisyah, di mana si kecil itu? Dan Ra’if, apa pula yang menimpa dirinya pada ketika ini? Semua rasa tidak senang itu membuatkan aku tidak mampu hanya duduk berdiam diri. Namun apa yang boleh aku lakukan selain menunggu dan terus menunggu?

Apabila berkumandang saja azan maghrib, aku mula menanggalkan tudung di kepala. Aku yakin rancangan untuk aku menziarahi ibu Ra’if sudah terbatal memandangkan masa yang tidak mengizinkan. Aku kembali mengunci rapat pintu rumah dan memasang lampu-lampu bagi memberikan cahaya dalam rumah itu. Setelah itu aku bergegas mengambil wuduk dan menunaikan solat maghrib. Selesai saja menunaikan rukun Islam kedua itu, aku bersedia pula untuk menunaikan solat hajat.

Itu aku lakukan bagi memohon kepada yang Maha Esa, semoga memberkati dan menjauhkan ahli keluarga Ra’if dari sebarang bahaya. Aku turut mendoakan semoga ibu Ra’if lekas sembuh, kembali sihat seperti dahulu. Dan aku tidak lupa untuk berdoa semoga Allah SWT memercikkan sedikit kedamaian dalam hatiku ini.

Ada rasa kecil hati bila Ra’if memungkiri janjinya, namun aku tidak mahu cepat melatah. Aku akan tetap menunggu kepulangan Ra’if dan Darwisyah dan mendapat perkhabaran yang sebenar. Lauk kari ayam yang sempat aku masak tengah hari tadi aku hangatkan kembali, biar rasanya kembali segar dan enak ketika menjamu selera nanti. Aku menyusun lengkap semua keperluan dan hidangan untuk makan malam. Aku mahu, setibanya Ra’if dan Darwisyah di rumah, mereka boleh saja terus menikmati hidangan makan malam tanpa perlu menunggu lama.

Aku menutup hidangan yang sudah aku letakkan di atas meja dengan menggunakan tudung saji dan duduk menunggu mereka di meja makan itu. Dudukku langsung tidak senang, ke kiri salah, ke kananpun begitu juga. Selagi Ra’if dan Darwisyah tidak pulang, selagi itulah aku berkelakuan begitu rupa. Resah, risau dan bimbang, semuanya hanya mampu aku tahan dalam hati. Hanya jasadku di sini sedangkan jiwa sudah entah kemana melayang perginya. Jikalau aku tahu dimana kedudukan mereka diketika ini, sudah pasti aku akan segera ke sana, menamatkan segala rasa yang hanya merebah jiwa.

Sudahnya, aku tertidur di meja makan itu dan terjaga semula ketika telinga menangkap bunyi gril pintu rumah digogah. Aku yang baru saja terjaga terus bangun, yakin Ra’if sudahpun pulang. Hati kembali lega dengan kepulangan itu dan senyuman pantas aku corakkan agar Ra’if senang hati melihat wajah manisku ini. Semoga senyumanku ini berjaya menghilangkan sedikit kepenatan setelah sehari suntuk berkejar ke sana ke mari untuk menguruskan hal ibunya. Ra’if melangkah masuk bersama Darwisyah yang sudahpun lena di bahunya. Kasihan pula aku melihat Darwisyah, masih memakai baju tadikanya, belum lagi bertukar.

Segera aku berlari kecil untuk mendapatkan Darwisyah. Tangan aku suakan bagi mengambil Darwisyah dari dukungan Ra’if, namun dengan kasar Ra’if menepis tanganku. Aku terkejut. Mengapa tiba-tiba saja Ra’if berkelakuan begitu? Wajah Ra’if aku tatap, mencari garis kepastian atas tindakannya itu, tertanya-tanya aku sendirian tanpa sebarang jawapan. Ra’if turut memandangku lama, tiada langsung senyuman pada bibirnya, yang ada cuma panahan-panahan amarah yang menyucuk hatiku ini.

“Mengapa abang Arjuna? Apa yang telah Piya lakukan sehingga abang Arjuna marahkan Piya sebegini rupa?” Aku terus saja bertanya. Mengapa tiba-tiba saja aku dimarahi padahal awal pagi tadi semuanya baik-baik sahaja. Sudah seharian aku tidak bertemu muka dengannya, jadi mana mungkin ada khilaf yang telah aku lakukan.

“Awak ada jawapan yang lebih baik untuk menjawab sendiri soalan awak tu. Terima kasih atas apa yang telah awak lakukan pada ahli keluarga saya.” Ra’if terus saja berlalu menaiki anak tangga.
Aku dibiarkan terpinga-pinga di situ, mencuba sedaya upaya untuk mengerti semua yang diperkatakannya. Tidak mampu untuk aku berganjak daripada situ, walaupun untuk seinci pergerakan itu juga tidak dapat aku lakukan. Aku hanya mampu memandang Ra’if berlalu dan mendengar sahaja dentuman kuat pintu bilik. Apa yang sebenarnya? Ataukah mungkin Ra’if sudah pun mengetahui segala-galanya? Ya, mungkin juga itulah sebabnya, tapi siapa yang membuka lembaran cerita?

“Assalamualaikum Puteri Mahkota Nur Shaafiah. Junjungan kasih buat Puteri.”

Segera aku menoleh apabila mendengar ucapan itu. Melihat gerangan yang munculnya tiba-tiba, munculnya disaat aku dalam kegelisahan yang amat.

“Dato’ Andika!” Tergamam aku seketika.

Melihat Dato’ Andika dan beberapa lagi orang istana muncul di rumah Ra’if itu cukup untuk mengesahkan bahawa Ra’if sudahpun tahu semua kebenarannya. Aku terduduk di atas lantai, longlai semuanya, air mata menitis laju tanpa meminta izikku terlebih dahulu.

“Puteri!” Dato’ Andika dan orang istana yang lain segera mendapatkan aku yang sudah rebah.

“Sudahlah Puteri, marilah kita pulang. Dato’ sudah selesaikan semuanya, tiada apa-apa lagi yang perlu Puteri risaukan. Lagi pula Ra’if Arjuna bukanlah calon yang sesuai untuk menjadi pasangan hidup Puteri? Dato’ pasti, Ra’if Arjuna mengerti segala-galanya.” Dato’ Andika cuba menenangkan tangisku.

Hatiku benar-benar hancur, luluh dengan keadaan. Ra’if! pasti hatinya juga lebur sama sepertiku. Mungkinkah ada kemaafan untukku? Mana mungkin, semuanya terbongkar pada saat Ra’if benar-benar memerlukan aku. Memerlukan aku untuk memberikan semangat dan kekuatan pada dirinya. Tapi apa yang aku lakukan? Aku hanya menghancurkan dan memusnahkan semua kepercayaan yang disulam untukku.

Dan sekarang, tak mungkin bagiku untuk meninggalkan dirinya begitu saja. Berlalu daripada hidupnya di waktu dia melalui detik-detik sukar. Jika itu aku tetap lakukan, pasti aku tidak akan pernah mendapat kemaafan sepanjang kembara hidupku. Dato’ Andika! Bagaimana dia boleh mengetahui tentang lamaran yang di bawa Ra’if? Ad! Pasti angkara Ad, tidak syak lagi.

“Tidak Dato’ beta tidak akan meninggalkan Abang Arjuna sendirian disaat ini. Beta tidak kejam untuk pergi begitu saja. Dato’ pulanglah dahulu, jangan kisahkan beta di sini. Beta tahu apa yang beta lakukan.” Titisan jernih, berkaca-kaca yang menitis dipipi aku hapuskan.

Lalu aku kuatkan juga diri, bangun dan mendaki anak tangga untuk mendapatkan kemaafan Ra’if. Aku tidak tahu sama ada Ra’if masih mahu memberikan kemaafannya padaku, tapi aku sudah bertekad, selagi aku tidak mendapat kemaafan daripada Ra’if, selagi itulah aku tidak akan berganjak ke mana-mana.

“Abang Arjuna, maafkan Piya. Piya tahu semua ini adalah kesalahan Piya. Tolonglah abang Arjuna, Piya mohon kemaafan dari abang Arjuna.” Pintu bilik Ra’if aku ketuk berkali-kali, tiada langsung rasa letih untuk berbuat begitu. Bersama tekad membulat, sudah aku tetapkan untuk terus menunggu di hadapan pintu biliknya sehingga Ra’if keluar dan memberikan kemaafan padaku.

“Piya cuma mahukan kemaafan daripada abang Arjuna dan Piya akan tetap menunggu di sini sehingga abang Arjuna keluar dan memaafkan Piya.” Aku lantangkan sedikit suara, biar Ra’if dapat mendengarnya dengan jelas. Aku terus saja berdiri menunggu di hadapan pintu bilik Ra’if, wajah aku tundukkan, hati sudah bergaris-garis luka, calar balar semuanya.

Tidak mahu aku berganjak dari situ, biarpun aku terpaksa berdiri di situ untuk berhari-hari juga aku sanggup. Mungkin itu satu hukuman yang harus aku jalani dan aku menerima hukuman itu dengan redha kerana memang layak untuk aku hadapinya atas apa yang aku lakukan.

Sudah berjam-jam berlalu, Ra’if masih dengan hatinya yang keras, langsung tidak mahu membuka pintu biliknya dan mengirimkan kemaafan yang amat aku perlukan. Kakiku kian lemah, namun aku tahankan juga. Mutiara yang keluar dari mata terus saja mengalir tanpa ada hentinya. Dato’ Andika berkali-kali memujuk agar aku berlalu saja dari situ, namun pujukan itu hanya menguatkan lagi semangatku untuk terus menunggu kemaafan Ra’if. Tiada apa yang dapat menghalang aku dari terus berdiri di situ.

“Puteri, janganlah begini Puteri. Sudah hampir tiga pagi, sampai bila Puteri mahu berdiri begini? Marilah kita berangkat pulang Puteri. Untuk apa Puteri utuskan kemaafan pada insan yang tidak mahu menerimanya? Ada baiknya jika kita pulang saja.” Dato’ Andika menghampiriku, tidak putus asa untuk membawa aku keluar daripada rumah itu.

“Bukankah sudah beta katakan Dato’ tidak usah ikut serta dalam urusan beta! Dato’ pulanglah, tinggalkan beta di sini. Beta tidak akan berganjak sebelum mendapat kemaafan,” tidak sesekali aku berundur, aku tetap dengan pendirianku.

“Terpulanglah pada Puteri, Dato’ dan yang lain menunggu Puteri di bawah.” Dato’ Andika terus turun, tidak lagi menunggu aku di situ.

Kakiku lemah dan semakin lemah, tidak terdaya lagi. Aku cuba juga untuk bertahan, namun saat demi saat kakiku tidak mampu lagi untuk terus berdiri teguh dan akhirnya aku rebah juga. Namun aku tidak mahu mengaku kalah, aku bersimpuh di hadapan pintu bilik Ra’if bersama jiwa yang kering kontang.

Mengapa Ra’if tidak mahu mendengar luahan hatiku? Walaupun aku bersalah kerana merahsiakan statusku yang sebenar, namun aku tidak pernah berbohong tentang hati dan perasaanku. Cintaku ternyata hanya untuk dirinya, tapi mengapa Ra’if langsung tidak memandang hatiku. Kalau benar cintanya juga untukku, mengapa dia tidak mampu memaafkan diriku ini. Aku cuma mahukan kemaafan daripadanya, itu saja! Apapun keputusannya tentang cinta kami, aku terima dengan redha. Tangisku langsung tidak mahu reda.

“Ibu, kenapa ibu duduk kat sini? Ibu nak tidur kat sini ke? Oh, ibu nak jaga ayah ya.” Darwisyah terus saja menerpa ke arahku bila keluar daripada biliknya.

Aku menundukkan wajah, tidak mahu Darwisyah melihat tangisanku. Pasti tangisanku yang menyebabkan Darwisyah terjaga daripada tidur lenanya. Segera aku mengesat titisan yang tidak mahu henti itu. Darwisyah duduk di hadapanku dan memandang wajahku yang masih aku sorokkan daripada pandangannya

“Kenapa ibu menangis? Ayah marahkan ibu ya? Ibu janganlah menangis, ayah pun pernah marah Puteri, tapi Puteri menangis sekejap aje. Ibu jangan menangis ya, nanti Puteri marah ayah.” Darwisyah mengesat air mataku.

Tangisanku bertambah deras mendengar kata-kata Darwisyah, tangan mulus Darwisyah yang masih lagi menyentuh pipiku aku genggam erat. Dia masih tidak mengerti dengan apa yang berlaku. Jika dia juga sudah bisa memahaminya, mungkin dia juga akan bertindak seperti ayahnya, langsung tidak mahu memaafkanku.

Aku memeluk Darwisyah dengan pelukan yang erat, mungkin itu merupakan dakapan terakhir yang mampu aku berikan padanya melihatkan keadaan yang sepertinya tidak merestui kasihku pada si kecil itu. Darwisyah juga membalas pelukanku erat, mungkin sekadar ingin menenangkanku atau juga dia sudah dapat merasai detik perpisahan yang bakal terjadi.

“Ayah, buka pintu! Kenapa ayah marah ibu? Ibu menangis ni, Ayah tak sayang ibu lagi ke?” Sekilas pelukan dilepaskan, Darwisyah terus saja mengetuk pintu bilik ayahnya bertalu-talu dan melepaskan kata yang menyentuh hatiku.

“Ayah ni, cepatlah buka pintu. Tangan Puteri dah penat ni. Kasihan ibu.” Darwisyah terus menyambung katanya bersama ketukan pintu yang tiada hentinya.

Melihat tekad Darwisyah, hatiku semakin sebak. Segera tangan Darwisyah aku tarik dan sekali lagi aku memeluknya. Tidak mahu dia merayu bagi pihakku kerana belum tentu Ra’if mendengar kata anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu. Badanku kian terasa lemah, tidak tertanggung semua beban yang menghenyak kuat bahuku. Tiada apa yang mampu aku perbuat lagi, sepertinya semua sudah tamat. Mungkin inilah khatimah kepada kisahku dan Ra’if. Aku berdoa dalam hati, semoga aku akan tetap tabah menghadapi apa saja jalan takdir yang ditetapkan-Nya.

Pintu bilik Ra’if terkuak juga akhirnya. Aku dan Darwisyah terus saja memandang Ra’if. Harapanku kembali menggunung tinggi, semoga Ra’if sudah membuka luas hatinya untuk memaafkan diriku. Pandangan Ra’if silih berganti, memerhati aku dan Darwisyah. Sudahnya Ra’if membawa Darwisyah dalam dukungannya. Aku masih memerhati Ra’if dan mengharap Ra’if memperkatakan sesuatu yang mampu membuat hatiku kembali tersenyum.

“Ayah, kenapa ayah marah ibu?” Darwisyah bertanya. Ra’if cuma tersenyum kecil tanpa menjawab pertanyaan anaknya.

“Darwisyah masuk tidur dulu ya, dah jauh malam ni. Nanti esok kita berbual lagi ya.” Ra’if menghantar anaknya kembali masuk ke dalam bilik. Sedang aku masih berteleku di situ, terus menanti.

Ra’if kembali berdiri di hadapanku setelah pintu bilik Darwisyah ditutup rapat. Aku tidak putus-putus memandang mata Ra’if, mendesak hatinya menyelam masuk ke dalam hatiku dan merasainya. Ra’if menarik nafas panjang kemudian membuang keluh dihujungnya. Ra’if tunduk dan membawa aku yang masih bersimpuh di situ kembali berdiri. Aku cuma tertunduk, malu atas segala yang telah aku lakukan. Namun mula ada sinar yang menerpa hati dan jiwa. Tidak sia-sia aku menunggu lama di situ, akhirnya lembut juga hati Ra’if.

“Kita turun dulu.” Perlahan suara Ra’if.
Aku menganggukkan kepala, tanda bersetuju. Rasanya Ra’if mahu berbincang secara baik dengan Dato’ Andika. Aku tahu hati Ra’if, tidak mungkin dengan mudah saja dia ingin melepaskan cintanya. Aku akan menyokong Ra’if atas tindakannya, tidak sesekali aku menongkah arus, menidakkan kasihku yang cukup mendalam.

Biar apapun terjadi, cintaku pada Ra’if tidak akan ada noktahnya. Air mata sudah berhenti sejak Ra’if keluar dari biliknya dan kini tangisan itu sudah putus. Tidak ada apa lagi yang harus aku tangiskan, hatiku dan Ra’if sudah lama bersatu. Tiada sesiapa yang mampu memisahkan kami kerana doa sentiasa aku iringkan bagi memastikan restu-Nya selalu bersama kasih kami.

Aku dan Ra’if berjalan seiringan, turun mendapatkan Dato’ Andika dan yang lain yang masih berada di ruang tamu menungguku. Bila melihat saja aku dan Ra’if turun, Dato’ Andika dan yang lainnya segera bangun dari duduk. Aku memandang Ra’if, mohon Ra’if segera memperkatakan sesuatu, memberi jaminan dan membina kepercayaan dalam diri Dato’ Andika bahawa dirinya akan menjaga diriku dengan sebaik-baiknya.

“Saya tak mahu panjangkan lagi kisah ni. Saya minta maaf, saya memang tak tahu yang menjaga anak saya selama ini adalah Puteri dari Sri Alamar. Saya juga minta maaf kerana hampir-hampir memusnahkan ikatan antara tuan Puteri dengan Putra Aduka. Saya serahkan semula tuan Puteri kepada Dato’. Jangan risau, saya takkan cerita apa-apa pada orang luar. Saya akan anggap yang saya tak pernah kenal siapa Puteri Sri Alamar. Bukan niat saya untuk menghalau rombongan Dato’ tapi kalau boleh Dato’ pergilah sekarang. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan Sri Alamar.”

Aku tersentak dengan kata-kata Ra’if. Mendengarkan itu terasa seperti awan-awan hitam berarak dan menghempap diriku. Aku lemas dalam bicara Ra’if yang menghiris kalbu. Dengan mudah saja dia ingin melupakan aku, menyerahkan aku kembali ke istana sekaligus memadam semua cerita cinta yang telah kami bina. Bila Ra’if mula bergerak meninggalkan semua, aku segera mendapatkan Ra’if.

“Abang Arjuna, tidak bolehkah abang Arjuna memaafkan Piya. Tidak bolehkah abang Arjuna padamkan rasa marah itu dengan cinta ikhlas Piya kepada abang Arjuna. Piya akan menderita tanpa abang Arjuna di sisi,” aku menarik baju Ra’if, menggenggam kuat bajunya yang sempat aku capai itu. Kini air mataku menitis kembali.

“Jangan berani sebut pasal penderitaan. Siapa yang menderita sebenarnya? Saya atau awak? Kenapa berbohong? Mempermainkan hati dan perasaan saya? Awak sendiri tahukan apa yang dah jadi pada mak? Macam mana kalau orang tua tu tahu semua ini? Apa pula yang saya nak cakapkan pada Puteri bila dia bertanyakan awak? Kononnya Aduka tu abang kandung awak padahal…” Ra’if ketawa sinis.
“Sudahlah, saya tak mahu merampas apa-apa daripada orang lain. Cukuplah Piya dengan semua tipu daya awak selama ini. Pergilah, jangan sekali-kali datang lagi ke sini. Mulai hari ini, saya tak pernah kenal awak. Cinta saya pada awak dah mati!” Ra’if menggenggam erat tangannya, hatinya yang bergelora jelas ketara.

Ra’if merentap tangannya kuat sehinggakan terlepas genggamanku pada bajunya itu. Ra’if membuka langkah, menarik tombol pintu rumahnya agar luas ruang yang terbuka. Aku faham benar maksudnya itu dan aku tahu aku tidak akan dapat apa-apa lagi di situ. Orang istana yang lain sudah mula bergerak keluar mengikut arahan Dato’ Andika. Sedangkan Dato’ Andika menghampiriku dan memandangku dengan penuh pengharapan, semoga aku faham bahawa aku sudah tidak dialu-alukan lagi di rumah itu.

Aku melangkah juga kerana aku faham semuanya. Kalau Ra’if sudah membunuh cintanya, tidak mungkin akan ada ruang lagi untukku. Lemah kakiku melangkah keluar dengan pandangan yang tidak lepas pada Ra’if. Ra’if langsung tidak membalas renungan terakhirku itu. Ternyata, cintanya padaku benar-benar telah mati. Aku tidak lagi memandang wajah Ra’if ketika melepasinya yang masih berdiri di muka pintu. Tersiksa setiap kali menatap wajahnya.

“Ibu! Ibu!”

Aku menoleh bila mendengar suara yang menjerit memanggilku. Darwisyah pantas berlari menuruni anak tangga. Aku ingin kembali masuk ke dalam rumah bila melihat langkah Darwisyah bertambah laju, namun kakiku seakan sudah keras di situ.

“Puteri…!”

Aku dan Ra’if menjerit serentak apabila Darwisyah jatuh di tangga, kakinya yang tidak jejak ke anak tangga dengan betul telah membuatkan Darwisyah jatuh tersembam ke lantai. Aku segera berlari masuk ke dalam rumah, mendapatkan Darwisyah seperti mana Ra’if.

“Ibu…!”

Masih terdengar suara perlahan Darwisyah yang tetap memanggilku. Mengalir darah merah pada dahinya, sesak nafasku melihatkan keadaan Darwisyah itu. Lantas aku segera ingin mengambil Darwisyah yang sudahpun berada dalam pangkuan Ra’if.

“Jangan sentuh Puteri, Pergi! Jangan buat Puteri tersiksa lagi, pergi!”

Jeritan Ra’if yang kuat itu membuatkan aku terpaksa bangun. Belum sempat aku menyentuh Darwisyah yang masih memanggil-manggil diriku, yang sudah tentu mengharapkan aku ada bersamanya. Tidak tertahan melihatkan keadaan Darwisyah, aku pergi jua daripada situ dengan rasa bersalah yang penuh di hati.

“Maafkan ibu Puteri,” hanya itu yang mampu aku luahkan. Aku pantas berlari keluar daripada rumah Ra’if menuju ke kereta mewah yang sudah menunggu di hadapan pagar.
Bersama tangisan yang merobek jiwa, aku teruskan juga langkah. Sempat juga aku menoleh pada Ad yang sudah berada di tepi pagar rumah Ra’if. Aku memandang Ad tajam, mengapa dirinya sungguh kejam? Tidakkah dia mempunyai hati dan perasaan? Adakah dia sudah berpuas hati dengan apa yang terjadi kini?

“Tahniah!” Aku ucapkan itu pada Ad atas kejayaannya menyiksa hebat diriku.

Ad hanya memandangku seketika sebelum menundukkan wajahnya sedang aku terus saja melangkah masuk ke dalam kereta yang sudah dibuka pintunya oleh orang istana bersama hati yang sudah berderai, hancur. Sehingga aku sendiri tidak mampu mencantum semula serpihan-serpihannya kembali ke bentuk asal. Selamat tinggal segalanya! Selamat tinggal Puteri! Selamat tinggal Arjuna hati! Lemah hatiku melagukan itu.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

63 ulasan untuk “Novel : Cinta Dari Istana 23”
  1. mrs cadbury... says:

    salam,kak adah…
    thniah kak..nvel akak mmng bes cngt2..
    sya dh lma xbca nvel..tpy bla start bca nvel akak,sya jdy xsbar nx thu smbongn cte ny..sy mcm di dnia sniry bla bca nvel ny..
    keep it up..yow:D :D

  2. waduh says:

    waduh.. tak ada penghujung pulak kisahnya. Bukan kah lebih baik menutup kisah puteri ni dengan perlahan? seperti apakah yang terjadi padanya setibanya di istana? kehidupan kembali normal atau Piya hidup menggunakan ilmu yang dipelajarinya ketika hidup sebagai rakyat biasa? bagaimana pula niat janjinya pada pengawal yang telah menunjukkan jalan ke rumah Ra’if?

    Sudah tentu Piya hidup bersedih di Istana. Tapi apa yang terjadi antara dia dan Aduka selepas itu?

    Namun apa pun, novel ini amat menarik. Tak sangka pula novel melayu pertama yang aku baca adalah novel ini. Inilah takdir namanya.

    Aku harap ada sambungan kisah Piya ni, penutupnya terlalu mengajut. Harap dapat baca Cinta Dari Istana 2 kelak! hehehe

  3. aziemah says:

    Akak adah, sayee dari brunei dan saya bru aje bc akak punya novel nii best .. Saya sanggup tak tidur seharian untuk habiskn ceteee nvl nii .. Saya nak sangat bc ending cete nii .. Tp bila saya kat kedai buku tk penah nampak pun cetakan nvl ni. Tak dtebitkn kt brunei ke kak adah?

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"