Novel : Dia Suamiku 8, 9

7 September 2010  
Kategori: Novel

13,230 bacaan 22 ulasan

Oleh : norisha natasya

8

Bukk!! Ini beg yang terakhir. Semua beg itu aku biarkan di situ. Aku melabuhkan diri di sofa. Fuh, leganya rasa badan. Letih hari ni setelah 4 jam memandu dari Johor. Nak masuk tol terpaksa pula merentasi kesesakan lalu lintas.

Demam emak semalam ada sedikit kurang. Cuma batuk yang belum berkurangan. Tapi sekurang-kurangnya sakit mak ada perubahan. Mak masih banyak mendiamkan diri sewaktu bersamaku. Namun begitu ada sedikit perubahan pada caranya memandang aku. Tiada lagi amarah di matanya. Hatiku sedikit lega. Walaupun begitu aku takkan jemu untuk terus memujuk emak yang masih kecewa dengan sikapku. Apabila difikirkan kembali apa yang abah katakan semalam ada baiknya aku mengikut sahaja cadangan abah. Mungkin itu jalan terbaik untuk aku dan emak berbaik semula. Mudah-mudahan cepatlah sejuk hati emak.

“Ai, balik-balik jer terus termenung ke?” aku tersentap dengan teguran Hamra.
“Ish, dia ni. Suka buat aku terkejut,” marahku.
“Dia yang kuat berangan nak marahkan kita pula. Waaa… banyaknya barang kau bawa dari kampung,” laju sahaja Hamra melangkah ke arah barang-barang itu.
“Hurm… laju aje kalau nampak makanan ye,”
“Ni semua bapak kau ke yang tanam?” tanya Hamra.
“Keledek aje abah aku tanam. Pisang tu beli kat kedai Pak Tam,”
“Apa lagi Ryna. Gorenglah keledek ni, aku dah terliur ni,” aku memandang Hamra yang sedang membelek-belek keledek. Ish, budak ni. Pasal makan laju je.
“Kau ni Ham.. Penat aku pun tak hilang lagi. Tunggulah malam nanti. Kalau kau tak tahan sangat kau masaklah,” kataku yang masih tetap dipembaringanku.
“Oklah, malam nanti jelah kita makan. Banyak ni kau bawa cukup untuk setahun,” kata Hamra.
“Abah aku la. Semuanya dia sumbat. Selagi tak penuh bonet tu selagi tulah dia masukkan,”
“Sayang je nanti busuk. Kita buka kedai kat tepi jalan mesti laku,” usul Hamra.
“Ikut kau la Hamra. Kau nak jual ke kau nak sedekah ke atau nak tidur dengan keledek tu pun boleh. Sekarang ni aku nak pergi mandi. Malam ni kalau rajin aku buat karipap lebih sikit tuk budak office,” kakiku mula melangkah menuju ke bilik.
“Hurm…. untuk budak office ke untuk buah hati?” usik Hamra dan tawanya meletus.

Aku membiarkan sahaja pertanyaannya itu. Biarlah Hamra dengan telahannya itu. Sesungguhnya tidak terlintas di hati memikirkan lelaki itu saat ini. Hatiku masih lagi walang memikirkan emak di kampung dan perbualan abah yang menuntutku jalani hidup yang lebih baik. Bingung memikirkan semua ini. Tidak tahu sama ada menerima keputusan abah ataupun mengikut kehendak hati.

****************

Malam tadi bertungkus-lumus Hamra membantuku membuat karipap. Kepenatan minah tu membantu aku. Tu lah nak sangat aku memasak. Sudahnya Hamra dipaksa untuk mengupas dan memotong keledek menjadi kiub-kiub kecil. Dalam terpaksa Hamra membantuku tetapi mulutnya tidak berhenti membebel. Ada sahaja yang tak kena. Nak tergelak pun ada melihat kerenah minah tu. Kadang-kadang ada juga rasa nak marah. Mana tidaknya kerja yang boleh disiapkan cepat menjadi lambat. Mulutnya sahaja yang laju berceloteh tetapi tangannya macam siput tertinggal cengkerang.

Aku meletakkan dua bekas makanan di atas meja pantry pejabatku. Kemudian aku mencari dua tiga pinggan untuk dihidangkan kepada bos-bos yang ada dipejabatku ini. Mereka tu bukan tahu nak ke pantry. Seharian tahunya cuma duduk terperap dibilik sendiri melaksanakan tugas masing-masing.

“Hah!!~” terpelanting karipap yang berada ditanganku. Jatuh ke lantai. Sayangnya.
“Wei, Mayesa! Terkejut aku. Tengok dah membazir satu,” marahku dengan kehadiran Mayesa yang mengejut.
“Sorry, Ryna. Aku tak sangka sampai terpelanting karipap kau tu. Sorry okay?” Mayesa segera mengambil karipap yang terjatuh itu.
“Hurm… karipap kau aku tolak satu. Sebab kau jatuhkan tadi,” kataku mengusik.
“Alaaa, janganlah macam tu. Aku baru terliur tengok karipap kau ni. Sorry la. Aku tak sengaja tadi,” rayu Mayesa.
“Ha, tahu takut. Lain kali buat lagi langsung terus tak dapat tau,” Mayesa tersengih.
“Ryna aku dah tak tahan lah tengok. Aku makan dulu okay,” laju sahaja tindakan Mayesa. Karipap sudah pun berada di mulutnya tanpa sempat aku berkata apa.
“Hish, budak ni. Tak senonoh betul. Ambillah May berapa banyak kau nak makan pun makanlah. Aku buat untuk kawan-kawan kat pejabat ni,” tanganku meneruskan kerja menyusun karipap di pinggan.
“Banyaknya kau bawa Ryna. Dari mana kau dapat ni? Sedapnya…. Ni yang dalam pinggan untuk siapa pula?”
“Hari minggu lepas aku balik kampung. Abah aku bawakan keledek satu guni. Keledek untuk kau pun aku dah tinggalkan dalam bonet aku. Balik nanti ambillah. Yang ni pula untuk bos-bos kita. Macam kau tak tahu diorang tu kena berhidang,” ujarku dan Mayesa mengangguk sambil tangannya menyuap karipap kedua ke dalam mulutnya.
“Sedaplah karipap kau ni. Untung kalau siapa yang kahwin dengan kau kan?” aku membiarkan sahaja pertanyaan itu berlalu. Untung ke dapat aku? Tragis lagi ada lah…
“Ryna… kalau aku tapau karipap ni untuk laki aku boleh? Kesian dia tak merasa lagi karipap sedap macam ni,” kata Mayesa sambil membuka kasihan.
“Itu nak bodek la tu. Ambillah May karang ada yang kempunan pula nak makan karipap aku,” Mayesa hanya tersengih.

Laju sahaja tingkah gadis bertubuh sederhana itu menyelongkar pantry mencari tupperware untuk dibawa pulang. Aku hanya mampu menggeleng kepala melihat tingkah lakunya. Sayang benar dia pada suaminya. Seronok melihat kehidupan Mayesa yang tidak dibebani masalah seperti aku. Bila la kebahagiaan ini akan menjadi milikku?

*********************

Sedar tak sedar jam hampir menunjukkan ke angka 7. Cepat benar masa berlalu. Patutlah sunyi benar pejabat ni. Rupanya aku sahaja yang berada di sini. Lantas aku mengemas barang-barangku. Seram pula bila berseorangan dipejabat ini. Ligat sahaja kepala aku memikirkan perkara-perkara yang tak tercapai akal fikiran. Makin difikirkan kemungkinan-kemungkinan yang timbul dalam fikiranku semakin bergolak perasaanku.

Tiba-tiba bunyi dentuman pintu mengejutkanku. Berderau darah seketika. Siapa pula yang tak balik lagi ni? Atau ada ‘sesuatu’ dipejabat ni? Terinjit-injit aku memantau sekitar pejabat itu. Mata melilau ke kanan dan ke kiri. Aku terpandang bilik yang masih terang. Dia tak balik lagi ke? Aku memanjangkan leher untuk melihat keadaan dibilik tersebut. Nafas ditarik tanda lega. Sah memang dia! Lega rasa hati bila memikirkan yang aku tidak keseorangan dipejabat itu. Perasaan takutku beransur pergi.

Lewatnya dia balik. Sibuk sangatkah dia? Atau selama ini aku sendiri tidak sedar waktu baliknya. Ataupun ini yang dinamakan jodoh? Aku masih tidak dapat menepis segala persoalan yang bermain difikiranku ketika ini. Yang pasti ingin sahaja aku menyapanya tetapi bagaimana? Aku tersenyum sendirian. Ya, aku tahu bagaimana.

Kakiku dengan pantas melangkah menuju ke pantry dan sejurus itu aku telah berada dihadapan biliknya. Pintu diketuk sebelum masuk. Matanya tajam merenungku sebaik sahaja aku memasuki biliknya. Masih tiada senyuman untukku.

“Ada apa?” keras sahaja bunyinya.
“Err… saya bawakan En. Aleef air,” lantas aku meletakkan air milo O di atas mejanya.

Buat seketika pandanganku kaku melihat mejanya. Di atas mejanya masih terdapat sepinggan karipap yang aku agihkan pagi tadi. 1,2,3…4,5… Cukup semuanya. Masih tidak terusik walaupun satu. Dia masih tidak menjamah makanan yang aku berikan pagi tadi. Hatiku terusik. Kecewa. Jijik sangatkah aku dimatanya? Aku sedar bahawa ketika ini wajahku sedikit berubah. Aku tak pasti dia perasaan atau tidak dengan perubahan wajahku ini. Tapi yang aku cukup pasti hatiku amat berkecil hati dengan sikapnya. Mungkin air ini juga bakal tidak diminum oleh dia. Mungkin akan dibuang begitu sahaja. Menyesal rasanya berada dibilik ini ketika ini.

“Saya balik dulu…” tanpa menunggu katanya aku lantas beredar dari bilik itu. Tidak sedikitpun mata ini memandang wajahnya.

Aku lantas mengambil barangku dan beredar untuk pulang. Sebaik sahaja tiba dikeretaku aku terpandang pada tayar kiri sebelah hadapan. Pancit!! Biar betul. Dalam keadaan begini pula tayar ni boleh pancit. Aku melihat keadaan tayarku. Langsung tiada angin. Apalah malangnya nasibku ini. Sudahlah tadi hatiku sakit dengan sikap Aleef Aakif. Sekarang ni kereta aku buat hal pula. Macamana aku nak balik ni? Macamana aku boleh tak perasan keadaan keretaku semasa aku memberikan Mayesa ubi keledek tengahari tadi? Aduh, geramnya…..

Aku menyeluk beg tanganku. Nombor Hamra didail. Tiada jawapan. Hati semakin panas. Kenapa pula minah ni tak nak jawab pula? Aku mendail buat kali kedua.

“Assalamualaikum..” Suara Hamra kedengaran.
“Waalaikumsalam. Ham, kau ada dekat mana?” tanyaku.
“Aku on the way ke Midvalley ni. Ada date malam ni. Kenapa Ryna?” jawapan Hamra menyesakkan dadaku.
“Tak ada apa-apa. Saja je nak tahu. Okaylah, have a great night,” aku memutuskan panggilan.

Fikiranku buntu. Siapa yang harus aku telefon ketika ini? Adakah aku perlu tinggalkan sahaja keretaku di sini atau perlukah aku memanggil mekanik? Malam semakin berlabuh. Ada lagi ke kedai yang buka? Nampaknya terpaksalah aku balik naik teksi malam ni.

Tiba-tiba sebuah kereta hitam berhenti dihadapanku. Aleef Aakif!! Dia menurunkan sedikit cermin dan aku hanya memandangnya.

“Naiklah,” kata Aleef Aakif sepatah dan aku termangu. Aku memandangnya. Seperti tidak percaya dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Betulkah apa yang aku dengar? Atau dia sengaja nak permainkan aku? Ataupun dia hendak kenakan aku seperti mana dia kenakan aku sewaktu aku ikutnya pergi mesyuarat. Hatiku ragu-ragu dengan ajakannya.

“Nak tumpang ke tak ni? Cepatlah,” suaranya meninggi.

Sakit hati mendengar suaranya sebegitu. Apa hal dia nak marah-marah aku pula? Bukan aku yang nak tumpang dia pun. Sudahlah makanan aku sedikit pun kau tak jamah. Lepas tu sekarang ni nak marah-marah aku. Buang tebiat ke orang tua ni?

“Saya boleh balik sendiri!” tegas. Dan aku mula melangkah.

Kedengaran seperti pintu dibuka dan aku masih lagi terus melangkah. Sakit hati dengan perlakuan Aleef Aakif. Apa dia ingat aku ni tiada perasaan? Nak marah aku sesuka hati dia?

“Degil!!” tanganku disentap. Aku terkedu.
“Apa ni? Lepaslah….” Aleef Aakif menarikku menuju ke keretanya. Pegangannya sungguh kejap dipergelangan tanganku.
“Sakitlah…”
“Diam kalau tak nak sakit. Masuk!” arah Aleef Aakif.

Aku memandang Aleef Aakif dengan perasaan marah berbuku-buku. Hatiku sakit. Sakit dengan perlakuannya. Aku menghenyakkan tubuhku ke dalam keretanya. Tiada kuasa untuk melawannya. Balik-balik aku juga yang sakit. Aku juga yang menderita.

Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Aku cuma bersuara ketika dia bertanya di mana rumahku. Setelah itu aku lebih banyak mendiamkan diri. Melayan perasaanku yang sedang sakit. Sakit dengan sikapnya seperti orang gila!

————————-
9

Aku merebahkan tubuhku di sofa. Merenung kipas yang sedang berpusing di siling. Hatiku masih lagi panas dengan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Walaubagaimanapun hati ini tertanya-tanya dengan tindakan Aleef Aakif. Kenapa dia begitu? Kenapa dia beria-ia mahu menumpangkan aku? Sedangkan bukan aku yang pinta. Adakah dia sudah mula menerima kehadiranku dalam hidupnya? Ambil beratkah dia ke atas diriku? Jika benar firasatku ini bermakna aku masih ada peluang untuk memenangi hatinya. Tetapi sikap dinginnya yang kadangkala membuatkan aku lemas dalam ketakutan dan kerisauan. Denganku dia begitu dingin tetapi tidak dengan teman sepejabat yang lain. Cukup mesra dan ramah. Penuh dengan senyuman.

Lamunanku terhenti sebaik sahaja terdengar gril pintu dibuka. Pastinya itu adalah Hamra. Aku mengerling ke arah jam dinding. Jam 9 malam. Awalnya minah ni balik. Kata mahu ke Mid Valley.

“Awal balik,” tegurku.
“Tak jadi ke Mid Valley. Tiba-tiba Halim ada hal penting,” kata Hamra. Jelas terpancar kekecewaan di wajahnya.
“Kau baru sampai ke?” tanya Hamra.
“Lebih kuranglah. Kereta aku tayar pancit. Kereta tinggal dekat pejabat,” beritahuku.
“La, kenapa tak beritahu tadi?”
“Kau kan nak dating. Takkanlah aku nak ganggu pula,”
“Habis tu kau balik naik apa?”
“Aleef hantar…..” perlahan sahaja aku menjawab.
“Owh, really!! Wa, dah ada perkembangan baik ni,” ceria sungguh Hamra.
“Hurm…. baik apanya. Dia tu tiba-tiba je paksa aku tadi. Aku tak suruh pun. Tangan aku ni pun tak abis lagi sakit,” kataku sambil mengusap-ngusap pergelangan tanganku yang masih merah.
“Okay what! Dia dah mula terima kau tu. Kau patutnya bersyukur. Usaha kau tak sia-sia,”
“Aku pun tak tahulah Ham. Pening dengan reaction dia,”
“Takpelah lama-lama nanti okaylah tu. Mungkin dia pun keliru. Eh, nanti kita sambung balik. Aku nak mandi dululah,” kata Hamra seraya bangun menuju ke biliknya.

Aku turut bingkas bangun dari pembaringanku. Langkah di atur menuju ke bilik. Badan pun dah hilang peluh, bolehlah aku mandi. Kalau tak mandi nanti satu malam tak boleh tidur. Haru jadinya nanti. Silap-silap haribulan nanti pergi pejabat dengan mata bengkak macam kena sengat tebuan. Gara-gara tak cukup tidur.

***************************

Jam sudah menunjukkan ke angka 1. Sudah tiba masanya untuk keluar makan tengahari. Perut pun sudah menyanyi irama keroncong. Sementara menunggu Mayesa datang, aku merapi mukaku dengan compact powder dan memperkemaskan lagi dandanan di muka.

“Ryna, jom lunch dengan Harith,” tegur Harith teman sepejabatku.
“Ryna lunch dengan Mayesa. Ha, tu pun dia,” Aik, tiba-tiba je ajak aku. Peliknya.
“Hah, kau kenapa Harith. Kacau Ryna ye?” sakat Mayesa sebaik sahaja tiba di mejaku.
“Ish, kau ni. Potong stim betullah. Kasilah aku chance lunch dengan Ryna hari ni,”
“Jangan nak ngada-ngada. Habis aku nak makan dengan siapa? Kau tu yang menyibuk kitorang nak dating,”
“Ish, korang ni. Asal jumpa je nak bertekak. Perut aku dah lapar ni. Jomlah sekali Harith join kitorang,” aku menghentikan pertelingkahan mereka. Kalau di layan sampai ke sudah tak habis. Jawabnya nanti ada orang mati kelaparan pula melihat drama mereka.

5 minit selepas itu kami tiba di restoran yang berdekatan dengan pejabat kami. Terhidang lauk-pauk yang begitu menyelerakan. Rambang mata dibuatnya. Tak tahu nak makan lauk yang mana. Bau pun dah semerbak. Aku lantas mengambil pinggan dan menceduk nasi.

“Alamak, Ryna. Aku balik office kejap. Handphone aku tertinggal,” kata Mayesa.
“Takpelah. Kita makan pun tak lama. Takde siapa pun yang nak call waktu lunch,”
“Tak boleh. Nanti laki aku cari. Risau pula dia nanti,” Mayesa terus berlalu.

Aku meneruskan kerjaku memilih lauk yang terhidang. Di suatu sudut Harith sedang melambai-lambai ke arahku. Aku terus menuju ke arahnya.

“Mana May?” tanya Harith sebaik sahaja aku duduk di hadapannya.
“Balik office semula. Handphone dia tertinggal,”
“Owh…Aik, sikitnya makan. Jaga badan ke?”
“Eh, taklah. Memang dah biasa makan macam ni,”
“Takpe, hari ni Harith belanja. It’s on me. Makanlah apa pun yang Ryna nak,” kata Harith sambil tersengih.
“Betul ke ni? Alamak, rugilah ambil sikit. Kalau tahu Harith nak belanja Ryna ambil lebih. Untung lebih ke hari ni?” gurauku.
“Adalah sikit. Tapi untuk Ryna apa pun Harith tak kisah,” aku cuma mampu tersenyum dengan kiasan itu.

Harith, jejaka tinggi lampai ini menaruh hati denganku. Itu kata budak-budak pejabat. Benar atau tidak aku tidak pasti. Yang pasti khabar angin ini selalu sahaja aku terima. Tetapi perkhabaran ini bagaikan masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Aku malas untuk mengambil tahu hal sebegitu. Kerana aku hanya menganggapnya sebagai teman sekerjaku. Tidak lebih dan tidak kurang. Cukuplah sudah hati ini menyukai seseorang. Kerana mencintai seseorang itu amat perit dan masih berbekas dihatiku.

*********************

Nampaknya hari ini aku pulang lewat lagi. Mesyuarat petang tadi yang dijangka habis awal berlarutan hingga ke petang. Dan petang itu pula aku perlu menghantar laporan kepada En. Hisham. Terkejar-kejar aku menyiapkan laporan tersebut. Sebaik sahaja laporan itu siap En. Hisham lebih dulu pulang awal. Tidak sedar masa berlalu dengan pantas dan juga tidak sedar bila En. Hisham pulang. Cuma ada satu laluan sahaja untuk ke pintu keluar iaitu melalui hadapanku. Mungkin kerana terlalu khusyuk aku tidak sedar siapa yang lalu-lalang dihadapanku.

Langkah di atur menuju ke pintu keluar. Butang turun ditekan sebaik sahaja tiba dihadapan lif. Pintu lif terbuka. Aku memboloskan diri ke dalam perut lif. Sebelum pintu lif tertutup, tiba-tiba tangan seseorang menghalang pintu lif. Dan tangan itu adalah milik Aleef Aakif. Aku hanya memandangnya sekilas. Buat seketika lif itu sunyi dan sepi. Tiada satu suara pun yang kedengaran dari mulut masing-masing.

Tiba-tiba kami dikejutkan dengan suasana yang tidak diduga dan dijangka. Sentakan yang kuat berlaku. Enjin yang menggerakkan lif ini bagaikan tiba-tiba mati. Beg ditanganku terlepas akibat sentakan itu. Hatiku berderau. Hampir terduduk dibuatnya. Nasib baik aku dapat mengimbangi tubuhku. Hati mula gelisah. Aku bergegas menekan-nekan loceng dan mengetuk-mengetuk pintu. Harap-harap ada yang mendengar diluar.

“Tolong!! Ada sesiapa kat luar?!” jeritku. Aku cuba bersuara.

Berkali-kali aku menjerit tetapi tiada siapa yang menyahut. Tangan semakin lenguh mengetuk pintu dan menekan loceng. Peluh sudah mulai memercik. Hati semakin gelisah.

“Tolong!! Lif rosak!!”
“Boleh diam tak?!” tiba-tiba Aleef Aakif bersuara.

Buat seketika aku terlupa yang aku tidak bersendirian di dalam lif tersebut. Tetapi ketakutan lebih menghantui diriku di kala ini. Aku tidak mempedulikan arahannya. Ini bukan masanya untuk aku berdiam diri. Aku perlu beritahu dengan orang luar bahawa ada orang terperangkap di dalam lif ini. Aku masih lagi memanggil dan menekan loceng. Risau sekiranya perlu bermalam di sini. Tidak!! Aku tidak mahu! Macamana ni? matilah aku duduk dalam lif ni. Air takde, tandas takde. Semua benda takde dalam lif ni. Tolong!!!

Tiba-tiba tubuhku ditolak ke dinding. Aku tergamam. Aku tersepit di antara dinding dan juga tubuh Aleef Aakif. Gagau seketika dengan reaksi Aleef Aakif. Matanya mencerun. Aku membalas renungannya.

“Diam boleh tak! Bising! Tekan loceng je dah la,” katanya sambil merengus.
“Kalau takde orang dengar macamana? Takkan nak berkhemah dekat sini pula?”
“Kalau kau jerit takde orang dengar pun tak guna juga,”
“Atleast Ryna cuba minta tolong. Tak macam orang tu diam diri je,” kataku geram sambil menolak tubuhnya. Sesak rasa nafas berada dekat dengannya. Ya Allah, bantulah hambaMu ini. Aku tidak mahu berada di dalam ini lebih lama. Tanganku pantas menekan lagi loceng berkali-kali.

Aaarghhhh!!!!!!
Aku menjerit. Sekali lagi aku dikejutkan dengan perkara yang tak disangka. Lampu tiba-tiba sahaja terpadam. Gelap. Satu benda pun tak nampak. Bukan kepalang aku menjerit akibat terkejut. Hatiku begitu takut dengan kejadian ini. Aku cukup takut dengan keadaan yang gelap. Sehinggakan tanganku sendiri pun aku sendiri tidak nampak. Tanganku mula terketar-ketar. Air mataku tidak dapat dibendung lagi. Sesungguhnya aku cukup takut dikala ini. Aku cuba meraba-raba mencari sesuatu untuk dicapai. Sebaik sahaja aku tersentuh tubuh itu dengan pantas aku memeluknya erat. Aku sudah tidak memikirkan siapa empunya badan itu. Yang pasti aku mahu menghilangkan ketakutan yang sedang bermaharajalela di dalam diriku ini.

“Heii…..”
“Please….Ryna takut,” aku mengejapkan lagi pelukanku. Esakanku sudah mula kedengaran.

Dalam hati ini, aku tidak putus-putus berdoa. Cepatlah semua ini berlaku. Janganlah ada perkara buruk lagi yang menimpaku di saat ini. Fikiranku mulai memikirkan yang lif ni akan jatuh terhempas. Sekiranya terhempas maka berkecai la tubuh yang berada di dalam lif ini. Semakin takut dan semakin erat pelukanku memikirkan hal itu. Cepatlah ia berlalu. Aku sudah tidak sanggup berada di dalam kegelapan yang pekat ini.

Entah berapa lama aku dan dia berada di dalam keadaan seperti itu. Tiba-tiba sahaja lampu mula terpasang kembali. Dan sayup-sayup kedengaran suara memanggil dari luar.

“Ada!! Ada orang dalam ni,” sahut Aleef Aakif.
“Berapa orang?”
“Dua orang,”
“Okay, tunggu yer. Kami akan cuba buka pintu ni,” kata suara itu.

Perlahan-lahan aku melepaskan pelukanku. Aku mengambil beg yang berterabur di lantai sambil menyeka air mata yang berlinangan. Aku tidak mahu melihat wajahnya ketika ini. Terasa malu yang amat dengan tindakanku. Tetapi jujur sahaja aku katakan bahawa aku sememangnya takut dengan suasana yang gelap. Lebih-lebih lagi gelap yang teramat sangat. Hilang punca penglihatan. Aku tak mahu memikirkan reaksi atau pandangannya terhadapku. Biarlah dia hendak memikirkan apa sahaja. Aku tidak kisah. Maki herdik pun aku tidak kisah. Janji aku dapat keluar dari dalam lif ini.

Perlahan-lahan pintu itu terbuka apabila dituil oleh orang luar. Sebaik sahaja pintu terbuka aku mengucapkan terima kasih kepada penjaga keselamatan yang berjaya membuka pintu itu. Langkah di atur laju menuju ke kawasan parkir. Tidak sanggup lagi melihat reaksi orang yang bersama-sama di dalam lif itu. Aku terus melangkah meninggalkan tempat itu dan tidak berpaling lagi.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

22 ulasan untuk “Novel : Dia Suamiku 8, 9”
  1. sufi says:

    :sad: x sabar nak bace smbgan….cpat la smbung pleezzzzz..best cter nie!!! :roll: :?: :grin:

  2. gayathiri says:

    best cerita ni… :grin:

  3. bella_rofid says:

    :?:

  4. jannah says:

    great…haha…smbng la cpt… :lol:

  5. teddydazz says:

    :cry: PLIZZ!!!!!!!!!!! CTER NYEH MMG BESH SGT33..!! TLG LARH SMBG BLEK..!!! XSBR NUCK BCER ENDING..!!! PLZ…!!! :cry: :cry: :cry: :cry:

  6. norisha natasya says:

    thanks pd sume yg sudi baca… bru nak bjinak2…n byk lg yg perlu dipelajari… nxt n3 10-13 da upload.. tggu kmunculannya… thanks again ^___^

  7. sally says:

    novel stiap ari per kluar…

  8. Nur Dara Adalia says:

    owhhhhh….. :mrgreen:

  9. musana says:

    tersentuh gak hati ni… ;-)

  10. kasya humayra says:

    tp scene dlm novel ni mcm ada satu cite cina yg penah sy tgk… neway.. gud writing.. best jugak layan.. keep it up.. :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"