
Novel : Gelak Tergolek 5, 6
Oleh : Wann Azlan
5
SEBUAH MPV separa mewah berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah Pak Brahim. Cermin pintu belakangnya menggelongsor turun. Seorang wanita separuh umur yang berkaca mata besar terjenguk-jenguk ke luar. Selain wanita itu, kelihatan ramai lagi kelibat yang ada di dalam kereta besar itu.
Seorang dara yang telah anggun berhias memerhatikan dengan penuh minat dari sebalik langsir. Sudah sekian waktu dia berdiri di situ, tertunggu-tunggu akan kunjungan tersebut. Wow, Toyota Wish! Kayalah aku, teriak hatinya.
Maimun meluru ke arah bilik emaknya. “Mak, cepatlah. Mereka dah sampai tu,” panggilnya.
“Oh, dah sampai,” sahut Mak Hendon yang sedang leka merapikan tudung.
“Pergilah sambut,” gesa Maimun sambil menggoncang-goncangkan bahu ibunya itu.
“Mak tak siap lagi ni.”
“Cepatlah, mak.”
“Sabarlah. Biarlah mereka datang. Nanti mereka beri salam kita jawablah. Kemudian buat-buat terkejut sikit, barulah best,” balas Mak Hendon sambil mengangkat kening. Sengaja dia mengusik.
Maimun mengerutkan muka. “Ada ke buat macam tu pulak,” katanya lalu berlalu ke luar bilik.
Tersenyum lebar Mak Hendon melihatkan gelagat anak daranya yang seorang ini. Kelam-kabut dan riang semacam. Mak Hendon faham. Normallah tu. Dia pun dulu pernah merasai saat-saat yang indah sebegitu.
Puan Senah turun dari MPV. Dia melangkah masuk ke laman. Sememangnya pintu pagar telah pun sedia terbuka, semenjak Pak Brahim pergi ke masjid awal subuh tadi.
Kagum sungguh Puan Senah melihat laman rumah yang penuh dengan pokok bunga. Sambil melangkah, tangannya mengusik-usik bunga yang menguning. Tiba-tiba, prap…! Serta-merta Puan Senah tunduk melihat kakinya. Satu cecair pekat berwarna kuning meleleh pada rumput dekat kaki kirinya. Ada pecahan kulit telur pula di bawah sepatunya.
Belum sempat Puan Senah berbuat apa-apa, tiba-tiba bunyi tempikan meletus di belakangnya. Belum sempat dia berpaling, punggungnya terasa dipatuk. Dia menjerit terkejut. Sakitnya bukan main. Dan sejurus kemudian bertubi-tubi lagi patukan diterimanya. Rupa-rupanya Puan Senah sedang diserang oleh sekawan angsa!
Puan Senah cuba melarikan diri. Namun kakinya terpijak seketul bata. Dia terpelecok lalu jatuh tersembam ke tanah. Maka terjerit-jeritlah ibu Rahman itu bertingkah-tingkah dengan tempikan angsa yang mengerumuninya. Segenap ruang tubuh Puan Senah menerima ‘ciuman’ dari muncung angsa yang keras itu. Rahman dan bapanya segera datang membantu, namun tak terlawan mereka dek kerana angsa lebih banyak.
Menambahkan gamat lagi keadaan, nenek Rahman yang turut datang bersama rombongan pula terlatah-latah. Dia terlenggok-lenggok seperti orang menari ronggeng, sambil mulutnya becok menyanyi ‘lagu rap’ yang entah apa-apa.
Mendengar bunyi riuh-rendah itu, Pak Brahim anak-beranak meluru keluar. Alangkah terperanjatnya Pak Brahim apabila melihat apa yang berlaku. Kelam-kabut Pak Brahim dengan Mak Hendon menangkap angsa-angsa tersebut. Namun angsa-angsa itu sungguh agresif. Pak Brahim dan Mak Hendon sendiri pun dipatuknya walaupun angsa-angsa itu amat jinak dengan mereka sebelum ini. Marah sungguh angsa-angsa itu nampaknya!
Bagaikan ada pesta di halaman rumah Pak Brahim. Jeritan manusia berserta tempikan angsa hingar bingar menggamatkan suasana. Belum pun apa-apa acara merisik bermula, suasana sudah pun menjadi begitu happening. Meriah sungguh!
Lima minit kemudian keadaan pun terkawal. Angsa-angsa itu telah pun dapat dikurung di kandangnya. Puan Senah kelihatan serabai. Sanggulnya terlerai. Sebelah subangnya hilang entah ke mana. Nasib baik cermin mata besarnya tidak pecah.
Mak Hendon membantu Puan Semah berdiri. “Macam mana, cik puan. Tak apa-apa ke?” tanyanya. Disapu-sapunya tanah yang melekat pada baju kebaya Puan Senah.
“Aduih, perit mata aku. Nasib baik tak buta,” gerutu Puan Senah. Ditenyeh-tenyeh mata kanannya dengan jari.
“Oh, ada lebam dekat mata mak cik,” kata Maimun. Dia cuba memeriksa mata bakal ibu mertuanya itu. Namun Puan Senah melarikan mukanya dari tangan Maimun.
“Marilah naik ke rumah, mak cik. Nanti saya sapukan minyak Afiat,” pelawanya dengan penuh sopan santun.
“Tak payahlah. Aku tak apa-apa,” Puan Senah menolak dengan agak sombong. Walaupun dia sememangnya merasa sakit-sakit dan tidak selesa, tetapi dia terpaksa menjaga egonya.
“Minta maaflah semua, ya. Tak sangka pulak jadi macam ni. Selalunya angsa-angsa saya tu jinak,” kata Pak Brahim sambil menghulurkan tangan kepada ayah Rahman.
Ayah Rahman menyambutnya dengan penuh mesra. “Tak apalah. Perkara kecik saja tu. Kami datang ni sebenarnya ada perkara lagi besar yang dibawa.”
“Saya Ramli.”
“Oh, saya Ibrahim.” Mereka ketawa-ketawa seraya bertepuk-tepuk bahu seketika.
“Kalau begitu jemputlah naik ke atas dulu. Tak elok rasanya bercakap kat laman ni saja,” Pak Brahim mempelawa.
“Ah, elok jugak tu,” balas bapa Rahman.
Pak Brahim memanggil anaknya. “Maimun, pergi siapkan minuman untuk tetamu kita ni. Mereka datang dari jauh, tentu haus.”
“Baik abah,” balas Maimun lalu segera masuk ke dalam.
Dek kerana kakinya yang terpelecok tadi masih lagi sengal, sewaktu Puan Senah memanjat tangga, langkahnya telah terlepas dari tubir salah satu anak tangga. Dia hilang kawalan lalu tumbang ke belakang. Pak Brahim yang berada dua anak tangga di atas pantas bertindak. Namun dia hanya sempat menyambar kain sarung Puan Senah sahaja. Akibatnya sarung itu terburai.
Nasib baiklah Rahman ada di bawah. Sempatlah dia menyambut ibunya. Jika tidak, sudah tentu Puan Senah akan tergolek untuk kali keduanya di kaki tangga pula.
Mak Hendon turut terjerit sama. Pak Brahim pula tergamam. Menyedari yang dia telah memegang kain sarung bini orang, dia pun melepaskannya. Kain sarung itu pun melondeh jatuh. Kecoh sekali lagi.
“Jatuh tangga, eee! Jatuh cinta. Eee… jatuh tangga eee! Jatuh mata, Jatuh kaki eh! Jatuh laki. Laki bini eee! Laki-laki,” nenek Rahman melatah-latah.
Puan Senah memakai kebaya yang labuhnya hanya paras punggung sahaja. Oleh itu pahanya yang lembik dan menggeleber itu pun terserlahlah. Bagaimanapun Rahman segera mengawal keadaan. Dibetulkannya semula kain sarung ibunya itu.
“Eh, bapaknya tengok apa?” tanya Mak Hendon sambil menepuk belakang suaminya yang masih terpegun melihat Puan Senah.
Pak Brahim tersedar. “Eh, tak apa-apa,” ujarnya lalu melangkah ke atas.
Sebaik sahaja semua orang duduk di sofa ruang tamu, Puan Senah berkata, “Ehem… saya mulakan ya.”
“Indah rupawan adinda puteri,
Mari bersiar di pinggir taman,
Besar hajat kami ke mari,
Bertanya khabar bunga di taman.”
Lemah lembut sahaja Puan Senah menjual pantun. Disambut pula ketawa mengilai ibunya.
Mak Hendon tergamam. “Eh, saya tak tahu berpantun, macam mana nak jawab ni?” dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak menjangka yang dia kena berpantun pula. Biasanya majlis bertunang yang dibuat di kampung itu ringkas sahaja, straight to the point, tidak pernah pula berpantun-pantun.
“Jawab ajelah emaknya. Takkan nak biarkan pantun yang dijual tak terbeli,” tingkah Pak Brahim. Padahal, dia sendiri pun tidak mahir dalam hal pantun memantun ini. Jangan suruh aku jawab, sudah! getus hatinya.
Selepas termenung sejenak, Mak Hendon pun membalas.
“Pergi ke kedai membeli roti,
Tuan kedai bernama Pak Abu,
Bunga khabar baik saja,
Bunga… hmmm… bunga khabar baik sajalah.”
Lantas ia disambut juga dengan ilaian nenek Rahman. Mengilai sahaja yang dia tahu. Dengar ke tidak, entah!
Tertelan liur Pak Brahim mendengarnya. “Apa ke benda yang kamu jawab emaknya? Buat malu saja,” katanya sambil mengusap-usap muka mengontrol malu. Walaupun tidak sepandai mana, tetapi dia merasakan yang dia boleh membuat pantun yang lebih baik daripada pantun isterinya yang entah apa-apa itu. “Biar saya jawab ya,” ujarnya kemudian.
“Anak ayam berlari-lari,
Anak itik menari-nari,
Kalau tuan-tuan sudi,
Kami pun sudi.”
Pantun itu juga disambut gelak tawa mesra dari sebelah pihak Rahman. Yang paling galak ketawa sudah tentulah neneknya. Rahman hanya tunduk tersipu.
“Sudi apa pulak bapaknya. Orang belum apa-apa lagi, dia dah sampai ke situ. Jangan gelojoh sangat,” Mak Hendon meningkah suaminya dengan suara separuh berbisik.
“Eh, awak ni. Dah memang hajat itu Encik Ramli ni sekeluarga, nak jawab macam mana lagi?” Pak Brahim membalas balik.
“Haha haha… betul tu Cik Brahim. Kita buat cara senang saja. Tak perlu dipanjang-panjangkan cerita,” sampuk ayah Rahman. Dan mereka ketawa lagi.
“Dengar kata, yang empunya diri tu kerja bergaji besar, betul ke Cik Senah oi?” tanya Mak Hendon berbasa-basi.
Belum sempat Puan Senah menjawab, ibunya terlebih dulu menyampuk. “Betul tu, waktu tu sampan tak ada. Nak bawak ke hospital pun payah. Jadi terpaksalah mak cik lahirkan Senah ni tengah banjir besar.”
Merah padam muka Puan Senah!
Mak Hendon terkesima. “Eh, banjir besar?” dia mengerutkan dahinya. Apa kena-mengena pulak kerja dengan lahir tengah banjir? Jauh benar lari tajuknya. Betul ke apa yang aku dengar? Atau mereka tak faham apa yang aku cakap? Mak Hendon tertanya-tanya dalam hati.
“Maafkanlah kami, Cik Hendon oi…. Ibu mertua saya ni kurang dengar sikit,” kata Encik Ramli sambil ketawa tawar. “Ikutkan hati memang kami tak nak bawa dia ni tadi. Tapi dia menangis-nangis nak ikut. Maklumlah nak tengok bakal isteri cucu manja dia. Jadi terpaksalah kami bawa bersama,” tambahnya lagi.
“Ooo…” Mak Hendon mengangguk-angguk sambil menutup mulut. Geli benar hatinya. Terpaksalah dia menahan ketawa untuk menjaga air muka tetamu-tetamunya itu.
“Tak adalah besar sangat. Si Rahman ni kerjanya ambil projek kecil-kecil aje dulu. Maklumlah baru mula cuba-cuba berniaga,” ayah Rahman menjelaskan soalan tergantung tadi.
“Oh…. Kontraktor le tu…” Kata-kata Mak Hendon terputus.
“Bukan, Rahman tak bawak sendiri traktor, dia jadi tauke. Dia duduk di pejabat saja. Yang bawak traktor tu kuli dia,” nenek Rahman menyampuk pantas. Segera Rahman memberi isyarat jari telunjuk di bibir pada neneknya.
“Ooo, gitu,” kata Mak Hendon mengangguk-angguk. “Apa pulak tak besarnya kerja kontraktor, Cik Ramli. Orang kerja kontraktor semuanya hebat-hebat. Ada kereta besar, rumah besar, pokok pangkalnya semua besarlah.”
“Tak adalah macam tu sekali, Cik Hendon. Rahman ni kontraktor biasa saja. Bukannya buat bangunan besar atau jalan raya. Kalau yang macam itu barulah boleh dikatakan besar,” ayah Rahman berdalih lagi.
“Jadi sekarang ni Rahman tengah buat projek apa?” tanya Pak Brahim.
“Sekarang ni, anak saya ni tengah buat projek pasang longkang kat Jalan Kamaruddin. Akhir bulan depan siaplah. Lepas ni katanya, mungkin dia dapat projek di Batu Rakit. Yalah, makin lama makin besarlah projeknya. Lambat-laun dapatlah projek jalan raya pulak,” Puan Senah pula menjelaskan.
“Projek longkang lagi besar ke?” Tiba-tiba terpacul soalan dari mulut Mak Hendon.
Berdetak di hati Pak Brahim. “Apalah dia ni. Perli-perli orang pulak!”
Encik Ramli dan Puan Senah terdiam gamam.
Menyedari situasi yang kurang mesra itu, Rahman berdeham sekali. “Bukan, mak cik. Lepas ni saya buat projek tangki septic pulak. Baru minggu lepas saya menang tender ni. Sekarang ni hanya tunggu pelan daripada majlis perbandaran saja,” jawab Rahman dengan tenang.
“Wah, hebat sungguh bunyinya. Tapi tangki septic tu apa bendanya?” tanya Mak Hendon lagi.
“Errr… tangki tu yang macam…” Rahman tercari-cari makna yang sesuai.
“Alah… tangki plastiklah tu, yang semua rumah buat isi air tu. Dulu kita pakai fiberglass. Sekarang dah moden sikit, pakai tangki plastiklah pulak,” potong Puan Senah dengan segera.
“Oh, ya, ya, haha haha haha…” Pak Brahim tergelak besar. Sengaja dia mengiakannya. Sebenarnya dia tahu Puan Rosnah berbohong. Tidak apalah, hal kecil sahaja. Setiap orang ada taktik. Setiap taktik mesti dibalas taktik juga, fikir Pak Brahim.
Rahman meraup muka. Fuh! Selamat aku, bisik hatinya. Hampir-hampir jatuh air mukanya tadi. Dikontrolnya semula cepat-cepat supaya nampak selamba.
Dan proses runding-merunding itu pun berjalan lancarlah adanya. Puan Senahlah yang paling lebat bercakap. Yang lain pula menambah dan menyoal sekali-sekala. Malahan ada ketikanya mereka semua hanya terlopong sahaja.
Akhirnya Puan Senah pun mengeluarkan satu kotak kecil berwarna merah. “Inilah tandanya,” katanya lalu menghulur kepada Mak Hendon.
Mak Hendon mengambil kotak itu dan membukanya. “Isy, cantiknya. Mesti mahal cincin ni. Bertuahlah Maimun. Kita dulu tak dapat rasa benda-benda macam ni,” katanya kagum.
Mak Hendon membelek-belek cincin yang mempunyai sebutir permata itu. “Tengoklah bapaknya…. Cantik, kan?” kata Mak Hendon menunjukkan jari hantunya yang telah disarungkan cincin tersebut.
Pak Brahim terkejut. “Eh, apa awak buat ni. Cincin tu bukan untuk awak. Buka balik,” marahnya.
“Alah, saya cuba aje. Awak pun mana pernah belikan saya cincin macam ni,” kata Mak Hendon sambil melentur-lenturkan jarinya itu ke depan.
Pak Brahim mengetap bibir. Mengada-ada betullah orang tua ni. Aku tangankan karang baru tahu. Tak senonoh sungguh! hatinya menyumpah-nyumpah. “Bukak balik!” jerkahnya agak keras.
“Nak bukaklah ni,” jawab Mak Hendon. “Eh, tak boleh bukak pulak. Ketatnya,” ujarnya sambil menarik-narik cincin itu. Namun cincin itu tidak mahu melurut. Ia bagaikan melekat pada kulitnya.
Pak Brahim mencapai tangan Mak Hendon lalu membelek cincin di jari isterinya itu. “Hah, itulah awak. Memandai sangat pakai siapa suruh,” dia menggerutu. “Cincin ni kecil. Jari awak tu besar. Yang awak gatal tangan pergi sarung tu kenapa?” bebelnya lagi. Dia pun cuba merentap cincin itu dengan kuat.
“Adoi! Janganlah tarik kuat sangat, putus jari saya karang,” jerit Mak Hendon. Dia menarik kembali jarinya daripada tangan Pak Brahim.
“Biar putus saja tak apa. Mengada-ada sangat!” balas Pak Brahim marah. “Potong sajalah jari awak tu,” ujarnya lagi.
Mak Hendon menyuakan jari hantunya itu ke mulut.
“Hei, nanti. Awak nak buat apa tu?” Puan Senah pula menjerit.
“Nak gigit, tarik pakai gigi pulak,” kata Mak Hendon.
“Jangan! Rosak pulak cincin tu nanti,” Puan Senah melarang.
Puan Senah pun mencuba pula menarik cincin itu. Pak Brahim membantu dengan menarik Mak Hendon dari belakang. Encik Ramli pula menarik pinggang Puan Senah. Mereka saling tarik menarik. Sekejap menginjak ke belakang, sekejap terdorong ke depan pula. Macam berlawan tarik tali lagaknya.
Tiba-tiba jari Mak Hendon terlucut dari cengkaman Puan Senah. Keempat-empat mereka jatuh telentang. Merudum bunyi rumah Pak Brahim.
“Tercabut ke?” tanya Pak Brahim.
“Tak,” jawab Mak Hendon.
Cik Tun, jiran sebelah yang sedari tadi terhendap-hendap di tepi laman memasang telinga, cemas bila mendengar hingar bingar itu. Memikirkan sesuatu yang buruk berlaku, dia pun berkejar naik ke rumah Pak Brahim. Dia yang sememangnya mulut becok dengan tanpa membuang masa lagi, terus mempotpet-potpet semahunya.
Akhirnya, Imi yang turut berada di situ mencadangkan supaya cincin itu dilonggarkan menggunakan sabun. Dia mendapat idea ini daripada pengalamannya yang selalu tertanggal cincinnya semasa mandi bersabun.
Maka apabila air sabun digunakan, cincin itu pun dapatlah dilucutkan dari jari Mak Hendon dengan mudahnya. Kesan melecet yang ditinggalkan pula terasa pedih bila terkena air sabun.
Akhirnya cincin yang sudah tidak ‘perawan’ lagi itu disarungkan pada jari hantu Maimun. Nampaknya cincin juga terpaksa menempuh pelbagai halangan untuk sampai kepada bakal tuannya!
Tiba masanya untuk pulang, sekali lagi Puan Senah menjerit dari tangga. Masing-masing menyerbu. Ingatkan dia jatuh lagi, tetapi tidak. Rupa-rupanya ada selambak tahi angsa di atas selipar talinya. Entah macam mana pula angsa itu boleh terlepas dari kandang!
6
KINI dengan cincin bertatahkan sebiji permata tersarung di jari manisnya, Maimun sudah selangkah ke alam rumah tangga. Ia adalah tanda yang Maimun sudah dimiliki. Dan ini juga bermakna Maimun tidak boleh diusik oleh jejaka lain lagi.
Sejak cincin tersebut ada bersamanya, Maimun kelihatan lebih ceria. Dia tidak pernah berpisah dengan cincinnya itu walau ke mana dia pergi, hatta sewaktu mencuci diri di tandas sekali pun. Cincin itu juga membuatkannya kerap kali dilihat berangan-angan dan tersenyum-senyum seorang diri.
Pernah sekali ketika berangan-angan di birai tangga, sedar-sedar sahaja ada seorang pemuda Pakistan tercegat di hadapannya dengan memikul segulung karpet. Pemuda Pakistan itu pula tersenyum lebar sambil memandangnya dengan penuh minat.
“Cik adik manis, jauh-jauh banyak senyum sama saya, mau beli ini karpet ka?” tanya pemuda Pakistan itu sambil menggoyang-goyangkan kepalanya.
Merah padam muka Maimun. Tidak disangka, senyumannya dapat dilihat dari jalan besar, sampaikan si penjual karpet Pakistan pun terpikat. Padahal dia sendiri pun tidak menyedari yang dirinya sedang tersenyum.
Entah macam mana Maimun boleh tidak perasan penjual karpet itu datang. Agaknya Maimun nampak Rahman yang datang tadi. Nasib baik dia tidak bangun menerpa ataupun memeluknya. Maimun berasa malu sendiri. Lantas dia bangun dan berlari masuk ke dalam rumah meninggalkan pemuda Pakistan itu terpinga-pinga.
Petang itu Rahman datang menjemput Maimun untuk bersama-sama pergi ke klinik. Mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan sebelum berkahwin. Mak Hendon juga akan turut bersama menemani Maimun.
Prosedur pemeriksaan kesihatan ini dijalankan bagi menyaring bakal pengantin pembawa HIV. Ia adil untuk semua agar tiada mana-mana pihak teraniaya kemudian hari nanti. Seseorang yang zahirnya nampak sihat tidak semestinya betul-betul sihat sebenarnya.
Rahman dan Maimun juga akan melalui ujian talasemia. Talasemia bukan penyakit, tetapi kecacatan pada genetik. Anak yang akan dilahirkan cenderung menjadi lumpuh jika kedua-dua ibu dan bapanya adalah pembawa talasemia. Pastinya mereka juga tidak mahu perkara ini terjadi kepada mereka kelak.
Setibanya di klinik, mereka mendapati pesakit yang sedang menunggu untuk berjumpa doktor tidaklah ramai, hanya tiga orang sahaja. Di kaunter kelihatan seorang lelaki tua sedang berurusan. Pada agakan Rahman, lelaki tua itu berusia sekitar tujuh puluh tahun. Dia nampak sedikit uzur dan bercakap pun lambat-lambat.
Namun suasana tampak tegang bila lelaki tua mula itu meninggikan suaranya. Dia seperti tidak berpuas hati. Namun Rahman tidak berhajat untuk masuk campur. Dia akan bersabar menunggu gilirannya untuk mendaftarkan diri.
Apabila lelaki tua itu nampaknya seakan sudah hampir selesai berurusan, Rahman bersama Maimun dan Mak Hendon pun merapati kaunter. Di kaunter itu ada seorang gadis muda sedang melayan lelaki tua itu.
“Tak apalah, pakcik pergi duduk dulu. Saya akan uruskan juga rawatan pak cik hari ini. Sekejap lagi ada jururawat akan panggil pak cik untuk masuk berjumpa doktor,” kata gadis kaunter itu. Lelaki tua itu pun berlalu dengan muka masam.
Rahman pun menyatakan tujuan mereka kepada gadis kaunter itu. Kemudian mereka diberi borang untuk diisi. Setelah selesai diisi, mereka pun memasukkan borang tersebut ke dalam sebuah rak kecil di atas kaunter. Kemudian mereka diberi nombor giliran dan diminta duduk dahulu di ruang menunggu.
Rahman mengambil tempat duduk di sebelah lelaki tua tadi. Rahman memperkenalkan diri dan mengajak lelaki tua itu berbual. Lelaki tua itu pun memberitahu yang gadis kaunter itu telah memarahinya. Dia mendakwa gadis kaunter itu tidak mahu menerima buku rekod rawatannya. Rahman mengambil buku rekod rawatan yang dikatakan apabila dihulurkan oleh lelaki tua itu.
Sebaik sahaja Rahman melihat ‘buku rekod rawatan’ itu, dia terpegun. Rupa-rupanya ia bukanlah buku rekod rawatan pesakit, tetapi geran kebun getah! Parah orang tua ini, bisik hati Rahman. Patutlah dari tadi lagi Rahman nampak dokumen yang dipegang oleh lelaki tua itu lain macam sahaja. Rahman tidak dapat menahan diri lalu tergelak juga akhirnya.
Namun untuk tidak membuatkan lelaki tua itu tidak berkecil hati, Rahman pun meminta maaf. Mungkin orang tua ini buta huruf, fikir Rahman. Lagipun dia tidak mengetahui akan kisah sebenar lelaki tua ini.
“Macam mana pak cik tak naik angin. Budak perempuan tu suruh pak cik balik rumah. Lepas tu datang semula,” ujar lelaki tua itu.
“Kenapa pulak pak cik kena balik dan lepas tu datang lagi?” tanya Rahman.
“Dia kata ini bukan buku rawatan darah tinggi pak cik. Inilah buku yang pak cik bawak setiap kali datang sini,” tekan lelaki tua itu yang masih berkeras.
Rahman terdiam. Dia tercari-cari kata-kata yang terbaik bagi menyatakan bahawa orang tua itulah yang tersalah sebenarnya.
Dengan penuh geram, lelaki tua itu menambah lagi: “Kalau budak perempuan tu tak benarkan jugak pak cik ambil ubat tu tadi, pak cik nak koyakkan buku ni depan dia.”
Rahman terkejut. “Eh, jangan pak cik. Jangan koyakkan. Ini geran kebun getah pak cik. Bukannya buku rekod rawatan,” katanya dengan pantas. Dia terpaksa berterus terang, kalau tidak lagi susahlah orang tua itu nanti.
“Eh, apa pulak geran kebun getah. Inilah buku rawatan yang selalu pak cik bawak ke klinik,” lelaki tua itu memarahi Rahman pula.
Maimun dan Mak Hendon hanya terkebil-kebil memandang mereka dan tidak berani masuk campur.
“Pak cik, ini geran kebun getah, bukannya buku rawatan. Pak cik sudah tersilap,” kata Rahman dengan lembut. Ada nada memujuk pada suaranya. Dia tahu tiada sudahnya jika dia bermati-matian meningkah orang tua itu.
Orang tua itu termenung seketika. “Betul ke geran kebun getah ni?” tanyanya meminta kepastian. Nampaknya dia sudah mula mengalah.
“Betul, pak cik. Jangan koyakkan geran tu. Balik nanti simpan elok-elok,” pujuk Rahman lagi.
Lelaki tua itu terdiam sejenak. Dia merenung tepat ke mata Rahman. Rahman menganggukkan kepalanya untuk meyakinkan lelaki tua itu.
“Astaghfirullahalazim…. Pak cik ingat budak perempuan tu main-main tadi,” keluh lelaki tua itu.
“Budak perempuan tu cakap benda yang betul, pak cik. Memang ini geran kebun getah, bukannya buku rekod rawatan,” Rahman cuba meyakinkan lagi orang tua itu.
“Pak cik manalah tahu. Pak cik tak tahu baca. Lagipun mata pak cik tak nampak sangat tulisannya. Banyak sangat kertas-kertas dalam laci tempat pak cik simpan buku rawatan tu. Semuanya nampak serupa saja. Jadi pak cik ambil sajalah salah satu, ingatkan dah betul,” luah lelaki tua itu akhirnya dengan kesal.
“Habis tu, tadi budak perempuan tu suruh pak cik pulang ambil buku rawatanlah?” Rahman bertanya.
“Ya, tapi pak cik nak pulang dengan apa? Datang tadi pun cucu yang tolong hantarkan,” jelas lelaki tua itu.
“Oh, begitu. Kenapa tak mintak cucu pak cik tu tolong temankan?”
“Memang dia selalu datang temankan. Dia jugak yang ambil buku rawatan tu setiap kali nak datang klinik. Tapi hari ni pak cik ambil sendiri sebab dia kelam-kabut tadi. Dia nak cepat pergi ditin.”
“Ditin tu apa pak cik? Datin? Atau dating ke?”
“Entahlah, tin-tin macam tulah…. Tapi penting katanya.”
Rahman menarik nafas panjang. Kasihan betul orang tua ni. Sudahlah tua tak larat, buta huruf pulak. Tapi keras kepala lagi tu! Payah aku nak tolong kalau macam ni. Ada cucu, pentingkan diri sendiri pulak, hati Rahman berbisik sendirian.
Beberapa ketika kemudian Rahman mendengar namanya dipanggil oleh gadis penjaga kaunter. Rahman memeriksa nombor gilirannya. Belum tiba lagi. Tetapi mungkin ada hal lain. Rahman pun segera bangun dan mendapatkan gadis itu di kaunter.
“Encik lupa tulis umur encik di borang ni,” kata gadis kaunter itu sebaik sahaja Rahman tiba.
Rahman tersenyum. “Awak tolonglah tuliskan,” katanya.
“Berapa umur encik?” tanya budak perempuan itu meninggikan sedikit suaranya. Boleh tahan juga kasarnya budak ni, patutlah orang tua tadi pun naik angin, fikir Rahman
“Umur saya… atas dua puluh dan bawah empat puluh,” jawab Rahman main-main. Sengaja dia mahu mengajar sedikit gadis kaunter itu supaya dia menghargai pelanggan. Dia sepatutnya mematuhi etika ketika melayan pelanggan.
Gadis kaunter itu tiba-tiba tersenyum lebar pula. “Umur di atas dua puluh? Umur di bawah empat puluh? Kenapa boleh jadi macam tu?” tanyanya sinis. Hidungnya dikembangkempiskan juga.
“Eh, bukan begitu. Umur saya dua puluh lapan tahun,” kata Rahman. Mukanya serta-merta menjadi merah. Kurang asam budak ni, aku pulak yang terkena, getus hatinya. Dia menjeling ke arah Maimun dan Mak Hendon.
Menyangka mereka dipanggil, Maimun dan Mak Hendon pun segera datang ke kaunter.
“Sudah boleh masuk jumpa doktorkah?” tanya Maimun.
“Belum lagi, cik. Tadi borang Encik Rahman ini tidak lengkap,” jelas gadis kaunter itu.
“Oh, begitu,” sambut Maimun perlahan. Setelah menyemak dan mengembalikan borangnya, Rahman pun mengajak Maimun dan Mak Hendon ke tempat menunggu semula.
Baru sahaja dua tiga langkah mereka meninggalkan kaunter, gadis kaunter itu memanggil Rahman semula. “Encik Rahman, tunggu sekejap.”
“Ada apa lagi?” tanya Rahman dengan menekan suaranya. Rasa geramnya belum hilang setelah dikenakan lawak bodoh oleh gadis itu tadi.
“Errr, encik ada tulis di sini yang encik pernah menghidapi sakit tuan. Jadi mahukah encik menjalani pemeriksaan tambahan?” tanya gadis kaunter itu.
Mereka bertiga terkejut besar. Lebih-lebih lagi Rahman. Segera dia menyambar borang itu dari tangan gadis kaunter.
“Mana?” tanya Rahman pantas. Matanya liar meneliti borang itu.
Gadis kaunter itu menunjukkan satu ruang pada borang. “Di bahagian sejarah kesihatan diri dan keluarga,” ujarnya.
Mata Rahman membulat besar. Benar dia telah menulis perkataan ‘sakit tuan’ di situ.
“Alamak! Bukan ni. Saya silap tulis. Bukan sakit tuan, tapi sakit taun. Saya kena sakit taun ni masa berumur sembilan tahun,” terang Rahman menahan malu. Gadis kaunter itu pun tertawa sakan. Maimun terpisat-pisat, manakala Mak Hendon pula hanya tersengih.
Sebenarnya hati Maimun sungguh cemas tadi. Berderau darah dibuatnya. Hampir-hampir sahaja dia menangis. Bukan sedikit penangannya jikalau bakal suaminya ini menghidapi sakit tuan. Besar akhibatnya nanti! Minta dijauhkanlah…
Dan setelah setengah jam menunggu, kini tibalah giliran Rahman. Rahman memasuki bilik doktor. Rupa-rupanya seorang doktor wanita sedang menunggunya. Setelah bertanya beberapa soalan, doktor itu mengarahkannya membuka baju.
Doktor melekapkan stetoskop beberapa tempat di dada Rahman. Kemudian beralih ke bahagian bawah, hampir dengan perutnya. Di kala itulah tiba-tiba perut Rahman mengeluarkan bunyi berkeriut. Kuat dan panjang bunyinya, persis pintu yang engselnya berkarat sedang dibuka.
“Wow! Solid bunyinya. Bergegar anak telinga saya,” kata doktor itu lalu tergelak. Dia menanggalkan stetoskop dari telinganya.
“Oh, sorry,” kata Rahman, yang turut tergelak sama.
“Encik belum makan tengah hari ke?” tanya doktor.
“Belum,” jawab Rahman pendek.
“Kalau belum makan, ada risiko sikit. Lepas ni saya nak ambil sampel darah awak. Jangan pitam sudahlah,” kata doktor wanita itu lembut.
“Jangan risau, saya boleh tahan. Saya sudah banyak kali derma darah,” kata Rahman tersenyum.
Selepas Doktor mengambil sampel darah sebanyak empat tiub kecil, Rahman diminta memberikan sampel air kencingnya juga. Malangnya dia masih belum berasa mahu membuang air. Puas dia meneran, tetapi tidak berhasil. Malah dia hampir tercirit pula!
“Tak apalah. Kita tinggal dulu prosedur ini. Kita buat prosedur yang seterusnya,” kata doktor akhirnya. Rahman hanya mengangguk.
“Untuk prosedur ini, saya kena mohon kebenaran untuk memeriksa bahagian sulit encik. Harap encik tidak salah anggap. Ini adalah prosedur biasa,” kata doktor perempuan itu.
“Errr… doktor nak periksa alat sulit saya? Ehem, tak boleh ke doktor tak buat?” tanya Rahman gugup.
“Ini prosedur wajib, encik. Jangan takut, encik tak perlu sembunyikan apa-apa dari saya,” jelas doktor perempuan itu.
“Bukan takut doktor, tapi saya malu. Tak ada doktor lelaki ke yang boleh buat?” tanya Rahman lagi.
“Doktor lelaki cuti minggu ini. Tiada apa untuk dimalukan. Kita buat kerja secara profesional. Okey, sekarang encik berbaring di katil sana dan longgarkan seluar,” arah doktor perempuan itu. Rahman tiada pilihan lain, melainkan terpaksa menurutnya.
Inilah satu-satunya prosedur yang amat segan dilakukannya seumur hidup. Rahman terpaksa menahan ‘sengsara’nya apabila alat sulitnya dibelek-belek oleh seorang doktor perempuan. Seram sejuk menjalar seluruh tubuhnya.
Hari telah pun lewat petang apabila Rahman dan Maimun siap membuat pemeriksaan kesihatan. Keputusannya akan diketahui tiga hari lagi. Mereka pun masuk ke dalam kereta dan terus bergerak keluar dari pekarangan klinik.
“Lepas ni kita nak ke mana lagi?” tanya Rahman.
“Kita ke butik pelaminlah. Kita pilih baju, pelamin, bekas hantaran dan barang-barang lain lagi,” cadang Maimun.
“Dah lewat petang ni. Takut tak sempat aje nanti. Kita pergi esok sajalah,” kata Rahman.
“Okey,” balas Maimun pendek.
“Kita pergi daftar kursus kawin sekalilah besok,” cadang Rahman pula.
“Maimun dah ambil pun kursus kahwin dua tahun lepas,” kata Maimun.
“Eh, kenapa ambil awal sangat? Nasib baik Maimun tak kawin terus. Kalau tak, melepaslah abang nampaknya,” kata Rahman bergurau.
Maimun tergelak manja. “Saja ambil awal dulu. Ada kawan mintak temankan dia berkursus kawin,” katanya. Kereta terus meluncur menghala ke jalan pulang. Selepas itu masing-masing mendiamkan diri, mungkin penat setelah di‘kerjakan’ oleh doktor tadi.
“Abang, Maimun rasa nak singgah nanti beli bunga telurlah. Abang tahu tak di mana ada jual bunga telur?” tiba-tiba Maimun memecah kesunyian.
Ia mengejutkan fikiran Rahman yang sedang merawang entah ke mana. “Rasanya tepi 7-Eleven di pekan Manir ada kut,” balas Rahman pendek.
“Nanti abang singgah, ya,” kata Maimun.
“Okey,” balas Rahman.
Tiba di pekan kecil Manir, Rahman memperlahankan kereta dan berhenti betul-betul di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven.
“Mana bang? Tak nampak pun,” kata Maimun sambil matanya melilau-lilau.
“Tu hah,” kata Rahman lalu keluar dari kereta. Rahman menghampiri sebuah gerai burger, lalu berkata sesuatu kepada penjualnya. Sebentar kemudian penjual menghulurkan sebuah beg plastik yang sarat berisi, mungkin burger. Rahman pun membayar harganya.
Setelah Rahman kembali masuk ke dalam kereta, Maimun pun bertanya: “Bang, mana kedainya? Tak nampak pun. Kata kat sini?”
“Kedai apa?” soal Rahman semula kehairanan.
“Kedai bungalah.”
“Errr, kedai bunga? Abang tak tahu,” Rahman menggaru-garukan kepalanya.
“Jadi abang berhenti kat sini nak beli burger ajelah?” tanya Maimun kepelikan.
“Iyelah. Tadikan Maimun minta burger telur.”
“Bukan burger telurlah bang. Bunga telur.”
“Aik, bunga telur pulak? Tadi abang dengar Maimun cakap burger telur.”
“Bunga telurlah bang. Nak buat bunga telur kenduri nantilah.”
“Alamak, macam mana sudah boleh salah dengar ni? Tapi tak apa, burger telur ni pun boleh dibuat kenduri jugak, kan?” seloroh Rahman lalu tertawa kecil.
“Abang ni, takkan abang nak buat kenduri dengan burger telur pulak. Tak pernah dibuat orang. Nanti apa pulak orang kata,” kata Maimun pura-pura meradang.
“Agaknya sampai mati pun kita kena kutuk lagi,” tambah Mak Hendon pula. Mereka pun ketawa beramai-ramai.
“Dah tu kita makan ajelah burger telur ni. Sedap jugak, kan?” kata Rahman lagi.
“Habis tu bunga telur macam mana?” Maimun masih merasa tidak puas hati.
“Lepas nilah kita pergi cari. Kalau tak jumpa jugak, kita cari esok sajalah. Alah, kenduri lambat lagikan,” kata Rahman memujuk. Maimun hanya mengangguk sahaja.














gile klakar cite nie..
sakit perut ktawe..
Lawak2 sakit perut baca episod kali ni…..tolong sambung…..

i thin kn…biasew jew…but adew yg klkr gilew…ha..ha…wk2 d org dtg mrisik…
aku dah terburai isi perut.. best
adoi…lawaklah citer ni….cari kat popular takde lak…nak kena serang MPH lepas ni…best! (^_^)
Hi,
Baru last week saya baca novel nie… ceritanya mmg lawak giler… tp akhirnya ada juga unsur pengajaran buat si hero…
gelak sakan dgn telatah si hero…. nakalnya kdg2 x bertempat… hahahaha… best sangat…
-dewi-
lawak samapi tergolek2.. sakit pewot di buat nyer.. heheheh
best.. mmg best…
mmg gler klaka…sakit perut ketawa n tergolek2.
tp yg plg kesian si senah la.
penat ketawa….