
Novel : Hyperzia 8
3 September 2010
Kategori: Novel
189 bacaan Jom bagi ulasan
BAB 12 : HYPERZIA TEWAS?
Apa yang diharapkan oleh Zaitun kini menjadi kenyataan. Sebelum matanya terpejam akibat tidak sedarkan diri, seukir senyuman terlukis di ulas bibirnya menandakan keyakinan mereka akan memenangi pertempuran pada hari itu. Tubuh Zaitun didakap oleh seseorang yang telah menyelamatkannya sebentar tadi. Bagaikan tahu Rash tidak akan menyerang balas kerana masih terkesima dengan apa yang terjadi, penyelamat itu dengan tenang membawa tubuh Zaitun yang sudah tidak bermaya ke sebuah bangunan berhampiran.
Rash bagaikan bermimpi. Musuh barunya itu bagaikan tidak menghiraukannya. Langsung tidak memberikan perhatian kepada kemungkinan akan diserang oleh Rash. Tubuh Zaitun dihempaskan perlahan di puncak sebuah bangunan berhampiran.
Kedua biji mata Rash tidak lepas memandang gelagat seterunya itu. Berbagai persoalan timbul didalam fikirannya. Siapa dia? Sekuat mana kuasanya? Apakah asas Kawalan Tenaga Sejagatnya? Semuanya belum terjawab. Gadis itu berpaling ke arah Rash setelah meletakkan Zaitun ditempat yang selamat.Apa yang dilihat oleh Rash kini hanyalah seorang gadis yang mempunyai ketinggian separuh ketinggian dirinya. Melindungi wajah dengan kain tudungnya dan hanya menampakkan sepasang mata yang menawan.
Perasaan ingin tahu Rash tidak boleh disembunyikan lagi sehingga tergerak hatinya untuk bertanya kepada seterunya itu.
“Siapa kau wahai budak mentah? Sepertinya kau memiliki kuasa yang begitu hebat sekali sehinggakan auraku yang sebesar itu kau dapat lunakkan dengan sebelah tangan kau saja. Adakah kau berketurunan Aramus?
“Ya.. Aku berasal dari tamadun seperti kau. Tapi aku bukan pengkhianat dunia seperti kau juga.” Balas gadis itu tenang.
“Hm! Pengkhianat dunia… suka hati kaulah apa kau nak cakap. Sebelum kita bertarung, aku nak tahu asas Kawalan Tenaga Sejagat kau.” Sambung Rash lagi. Gadis itu tersenyum lalu menggenggam kedua belah tangannya dan menghela nafas panjang. Rash yang berada beberapa meter di hadapannya merasakan dirinya diterpa satu tenaga yang memaksa dia berundur beberapa langkah di udara. Baru dia tahu apa asas tenaga gadis itu. Jantungnya berdegup kencang. Kini dia berhadapan dengan asas antara yang paling digeruni dalam sejarah Aramus iaitu asas angin… Tapi mungkinkah asas angin milik seorang gadis muda dapat mengalahkan asas airnya? Tapi sekiranya diambil kira tindakan gadis itu memberhentikan putaran aura gergasinya dengan menggunakan sebelah tangan, tak mustahil. Rash mula mengambil langkah berhati-hati. Dia harus yakin dengan kemampuan asas airnya.
“Oh… Asas angin rupanya. Pasti kau seorang gadis yang hebat. Lebih hebat dari mereka bertiga. Adakah kau juga anggota Dashing Dolls?:” Rash meneruskan pertanyaan dengan nada garaunya untuk menutup kebimbangan hatinya.
“Dashing Dolls hanya ada 3 orang saja, tiada galang gantinya. Mereka bertiga adalah wira yang aku sanjungi.” Jawab gadis itu ringkas.
“Wira apa macam ni?! Kau tengok mereka bertiga. Tewas dengan mudah ditangan kami. Umur baru setahun jagung dah memandai-mandai Berlagak nak jadi hero. Sekarang mereka mati sia-sia saja. Elok mereka duduk kat sekolah belajar rajin-rajin. Tak payah nak kacau rancangan kami. Kalau kau bukan dari anggota Dashing Dolls, siapa kau sebenarnya?” Kata-kata Rash memang menaikkan darah gadis itu.
“Kalaulah ditakdirkan tiada orang seperti mereka bertiga, maka akupun takkan berkesempatan menghapuskan kau serta rakan-rakan kau dan sekiranya itu berlaku, dunia mengalami satu kerugian dan masalah yang besar satu hari nanti. Atas sebab itu, HYPERZIA akan pastikan Putrajaya akan menjadi pusara kalian bertujuh!!!” kata-kata gadis itu mendatangkan gerun kepada Rash. Nampaknya Rash adalah orang pertama yang akan berdepan dengan maut sekiranya apa yang diucapkan oleh musuhnya itu benar-benar menjadi kenyataan.
HYPERZIA…
Itulah gelaran yang diberikan oleh Noor kepada dirinya buat pertama kali di medan pertempuran Putrajaya pada hari bersejarah itu. Dia melangkah megah di udara Putrajaya dengan tusukan tajam renungan matanya ke arah musuh yang berada di hadapan. Tiga tenaga luar biasa dari unsur Kilat dan api yang dicetus oleh Encik Hamid, Shah dan Chong tidak sedikit pun memesongkan perhatian Noor yang kini bergelar Hyperzia. Apa yang berada difikirannya kini adalah tiga sahabatnya yang telah tewas di tangan musuh. Api kemarahannya sedang membuak-buak. Sekali-sekala dia melirikkan mata ke arah Sophia yang sedang diheret kejam oleh Sang Helang Biru. Rasanya dia perlu mempercepatkan tindakannya untuk menyelamatkan Sophia.
Sementara itu Raz yang bosan menunggu terkejut dengan kehadiran seorang lagi musuh yang tidak dikenali. Jangkaannya awal tadi meleset setelah kemunculan musuh belum lagi berakhir. Hatinya tertanya-tanya siapakah musuhnya yang beselindung wajah di sebalik kain tudung. Raz masih lagi tidak berganjak kerana ingin melihat sejauh mana kehebatan musuh baru mereka itu.
“Sekiranya Rash tewas, aku takkan teragak-agak lagi!” Bisik hati Raz sambil menggenggam erat penumbuk di kedua belah tangannya. Mata Raz yang merenung tajam sambil menumpukan sepenuh perhatian ke arah musuh barunya itu tiba-tiba terbeliak. Dia seakan-akan teringat seseorang apabila melihat gadis yang baru muncul itu. Ketinggiannya, bentuk tubuhnya, penampilannya… Mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang dia amat cintai.
“Ah! Tak mungkin dia berdarah Aramus! Dia hanyalah anak angkat Tuan Jaque dan bukan pemilik asas Titanium! Tak mungkin Noor! Aku terlampau memikirkan Noor.” Raz menidakkan andaiannya. Dia memejamkan matanya dan cuba untuk melupakan Noor buat sementara waktu. Beberapa ketika barulah dia dapat menenangkan fikirannya dan kembali fokus kepada lawan yang bakal dihadapinya sebentar lagi sekiranya Rash tewas dan itulah sebenarnya yang diharapkan oleh Raz supaya dia boleh beraksi di medan pertempuran.
Encik Hamid yang dikelilingi panahan kilat di sekelilingnya sudah sedia melancarkan sesuatu yang akan menggemparkan bumi di sekitarnya, iaitu peringkat ketujuh tendangan Hypersonik yang bergelar ‘RIBUT ANGKASA’!! Ianya adalah kemuncak kepantasan dan kekuatan Tendangan Hypersonik. Chong pula sudah mengumpul tenaga yang secukupnya untuk mengaktifkan ‘TARIKAN TITIK MAUT’ bila-bila masa dan Shah Pula sudah mula memanaskan udara di sekelilingknya untuk di lepaskan ke arah musuhnya sebagai aura sepanas teras matahari yang berkumpul di tapak tangannya.
Encik Hamid seakan-akan tidak percaya apa yang akan dilakukannya sebentar nanti. Namun dia terpaksa melakukannya demi ananda tercintanya yang sedang di ambang maut. Encik Hamid meraung sekuat hati. Semakin banyak halilintar memancar di sekitarnya. Bajunya juga habis koyak rabak. Tangannya digenggam kemas. Kedua belah kakinya mula bergerak ke kiri dan ke kanan mengikut gerakan khusus gaya terulung Tendangan Hypersonik peringkat terakhir. Chong yang merasakan sudah tiba masa dia mengaktifkan Tarikan Titik Maut juga meraung sekuat hati. Semua benda yang berada dalam lingkungan 200 meter di sekelilingnya mula menunjukkan reaksi akan tertarik ke arahnya. Shah juga yang berada dalam lingkungan itu tidak menahan tarikan dari Chong itu menggunakan aura apinya. Dia memilih untuk ditarik bersama ke arah Chong supaya mudah menyerang Encik Hamid. Encik Hamid terdorong ke arah Chong serta merta tetapi masih dalam keadaan sedia dengan serangannya. Nampaknya Encik Hamid sengaja membiarkan dirinya ditarik oleh kuasa Tarikan Titik Maut Chong supaya dia boleh merapatkan diri dengan musuhnya itu. Chong juga sedar akan situasi itu.
Shah dan Encik Hamid ditarik serentak ke arah Chong dengan kelajuan yang amat tinggi. Chong bersedia untuk menyerang musuhnya menggunakan aura tarikan titik maut yang sudah lama terkumpul di tengah-tengah badannya. manakala Shah pula bersedia menghayunkan tumbukan aura api sepanas teras matahari ke arah Encik Hamid.
“Kita lihat siapa lebih pantas!!” Jerit Encik Hamid setelah berada beberapa meter di hadapan Chong.
Chong mula menghayunkan telapak tangannya yang dipenuhi aura padat ke arah Encik Hamid yang sudah berada di hadapannya. Begitu juga dengan Shah. Dia yang berada di belakang Encik Hamid dalam zon Tarikan Titik Maut itu melakukan tumbukan. Sekiranya Encik Hamid tidak berbuat apa-apa ketika itu, dia akan berkecai di tengah-tengah Shah dan Chong.
Apa yang berlaku memang di luar dugaan. Kedua-dua kaki Encik Hamid berjaya menepis serangan musuh yang berada di hadapan dan belakangnya.
“BOOOM!!!!”
Bumi bergegar akibat perlanggaran itu. Tak cukup dengan itu, Encik hamid yang telah mencapai tahap kepantasan dan kekuatan sejati kuasanya sekali lagi menjerit dan menekan kuasa ‘Ribut Angkasa’ ke satu tahap yang tak pernah dicapai oleh mana-mana pemilik Kawalan Tenaga Sejagat asas Kilat selama ini. Kilat sabung menyabung ke arahnya seakan-akan mengecas kembali kuasa Encik Hamid. Momentum tumbukan Chong dan Shah berjaya diimbanginya.
“Aku akan membuktikan yang kepantasan asas kilat Aramus Tenggara adalah kepantasan yang tiada tolok tandingannya!!” Laung Encik Hamid.
Kaki kiri yang menahan serangan aura api Shah mula dilepaskan dan dengan kepantasan maksimum asas kilat, ianya dihayun ke arah kepala Chong sebelum kembali lagi ke posisi asal iaitu aura api Shah. Sekiranya tidak cukup pantas, sudah pasti aura api Shah sudah mengenai dirinya. Chong yang terkena tendangan pantas dan berat itu terpelanting jauh ke sisi. Darah terpacul keluar dari hidung dan mulutnya. Kini Encik Hamid hanya menahan kuasa aura api Shah setelah Chong berjaya dilontar jauh olehnya.
“Kau tahu tak yang tendangan tadi boleh meruntuhkan bangunan Burj Al-Dubai dengan sekali serangan saja?” Encik Hamid berkata demikian untuk menghadirkan gerun Shah. Tetapi Shah hanya tersenyum mendengarnya.
“Walaupun kau boleh meruntuhkan 20 bangunan Burj Al-Dubai dengan sekali serangan, tapi kau takkan dapat menahan panasnya bahang teras matahari yang sebenar! Kau akan hangus terbakar dalam aura aku setelah aku meningkat kepanasan Asas Api ke tahap maksimum. Tak percaya? Kau boleh serang aku sesuka hati kau sekarang… Seranglah…” Jawab Shah bersahaja. Encik Hamid tidak menghiraukan gertakan itu lalu dia menyerang Shah menggunakan kedua belah kakinya. Beribu-ribu tendangan dihujankan diikuti dengan kilat sabung menyabung. Shah membiarkan saja semua tendangan itu. Dia meraung sambil menahan kesakitan yang amat sangat. Tubuhnya seperti hancur berkecai. Tetapi tidak berapa lama selepas itu, badannya mula bersinar. Seluruh Putrajaya bagaikan diterangi oleh satu lagi matahari. Tubuh Shah mengeluarkan satu haba yang begitu panas dan suhu di sekitar 10 meter dari dirinya naik mendadak sehingga 1000 darjah celcius dalam masa tak sampai 3 saat!!! Encik Hamid yang melakukan serangan mautnya tiba-tiba terhenti dan meraung kepanasan dek suhu yang meningkat mendadak. Encik Hamid tidak dapat menahan kepanasan itu. ‘Baju Kebal Elektron’nya juga sudah hampir terburai akibat kepanasan yang melampau. Shah yang cedera teruk diseluruh badan kini diselubungi aura panas maksimumnya. Dia menggenggam leher Encik Hamid yang sudah tidak bermaya. Semakin panas Encik Hamid rasakan sejurus tangan Shah menyentuh lehernya.
“Kau hanya berjaya mencederakan aku, tapi aku bakal berjaya membakar dan menghapuskan kau dalam kedaan hangus!! Ha ha ha!!” Shah ketawa terbahak-bahak.
“Kau takkan dapat bertahan lagi. Ini adalah suhu terpanas yang aku pernah hasilkan. Semua benda yang berada di sekitar aku akan hancur termasuk kau!!! Mengucaplah sebelum nyawa kau melayang!!!” Shah menggenggam erat leher Encik Hamid yang sedang melecur sedikit demi sedikit di seluruh badannya. Kesakitan tidak dapat digambarkan lagi. Hasrat Encik Hamid untuk membantu Sophia mungkin tidak kesampaian sekiranya ianya berterusan beberapa saat lagi.
Dalam kegilaan Shah membakar musuhnya, tiba-tiba tangannya yang mengenggam leher Encik Hamid terlepas hasil dari tolakan satu tenaga luar biasa. Sebujur tubuh kecil baru sahaja merentas pantas antara dirinya dan Encik Hamid. Encik Hamid yang separuh melecur seluruh badan jatuh ke bumi. Shah terperanjat dengan kehadiran lembaga di depannya sebentar tadi yang telah menggagalkan usahanya untuk menamatkan riwayat Encik Hamid. Satu suara berkumandang di udara, “Nampaknya masih ada mahluk Allah yang mampu bertahan dalam aura api kau ini. Ini bererti, Kawalan Tenaga Sejagat kau masih boleh ditewaskan.”
Shah Terperanjat mendengar suara itu. Ianya suara seorang gadis. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, ke hadapan dan ke belakang. Tiada sesiapa… Shah menoleh ke atas. Serentak dengan itu, sebujur tubuh kaku jatuh ke atasnya memaksa dia menyambut tubuh itu.
Ianya adalah tubuh Rash yang sudah tidak bermaya dengan kesan robekan di dada yang amat mengerikan!!! Nampaknya Rash sudah tewas di tangan Hyperzia dalam masa yang amat singkat. Ini bermakna orang yang menyelamatkan Encik Hamid dari maut sebentar tadi adalah….
“Jangan kau takut. Giliran kau mati belum tiba lagi. Aku berikan tubuh rakan kau supaya kau sedar betapa sukarnya untuk kamu semua menang dalam pertempuran ini.” Sekali lagi suara itu berkumandang tanpa diketahui dari mana datangnya. Shah yang sedang mendakap tubuh rakannya yang tidak bernyawa itu masih lagi terpinga-pinga mencari asal-usul suara yang menakutkan itu. Di satu sudut dia terlihat di mana Sang Helang biru sedang cuba untuk menamatkan riwayat Sophia. Ada sesuatu objek yang bergerak laju ke arah Sang Helang Biru! Mungkin itulah pemilik suara yang menakutkannya tadi!
“Siapa lagi agaknya. Sepertinya dia cuba untuk menyelamatkan rakannya terlebih dahulu. Sebab itu dia tidak menyerang aku. Nampaknya dia jauh lebih hebat dari Dashing Dolls. Dia berupaya masuk ke dalam zon aura api aku yang paling panas.” Bisik hati Shah yang sedang dalam kebingungan. Dia menoleh ke arah Raz. Sudah sampai masanya Raz beraksi sekarang.
“Hei!! Apa kau tercegat lagi!!! Tunjuklah belang kau sekarang!!” Jerit Shah ke arah Raz.
Sebenarnya Raz masih lagi terbayang-bayang cara gadis itu menewaskan Rash sebentar tadi. Keyakinannya sedikit kendur selepas menyaksikan kehebatan gadis yang baru muncul itu. Laratkah dirinya menentang gadis itu? Mampukah dia menghadapi seseorang yang boleh merobek dada tegap Rash yang dilindungi baju perisai gangsa dengan sekali serangan di saat Rash menggunakan peringkat tertinggi Asas Airnya dengan sepenuh tenaga? Raz dibelenggu rasa tidak yakin. Dia mahu melangkah dan menceburkan diri dalam pertempuran itu tetapi dia tidak mahu gagal. Apa yang dilihatnya sebentar tadi ssedikit sebanyak menjatuhkan moralnya untuk menjadi seorang pahlawan Aramus yang terbilang.
Shah yang tidak faham apa yang berlaku pada Raz terus meluru ke arah Raz.
“Hei budak! Dengar sini!!! Ini adalah kata-kata Tuan Jaque. Setiap pemilik Asas Titanium akan semakin kuat sekiranya dia dalam keadaan marah dan dibakar dengan semangat yang berkobar-kobar. Kau adalah pemilik Asas Titanium yang bertuah kerana kau memiliki sifat panas baran yang berlebihan dan semangat yang melampaui batas. Dan kau akan menjadi selemah-lemah manusia sekiranya semangat kau direnggut. Kerana itulah Tuan Jaque mahu kau menjadi penyelamat kami semua!! Rash sudah mati. Aku rasa Chong juga.”Terang Shah sambil menggoncang kedua bahu Raz yang lemah.
Mendengar kata-kata itu… Raz baru sedar akan sesuatu yang dia tidak ketahuinya selama ini tentang Asas Titaniumnya. Kalau betullah apa yang dikatakan Shah sebentar tadi, dia tidak perlu takut malah perlu lebih yakin dan meningkatkan kemarahannya terhadap musuhnya yang telah membunuh rakannya. Tiba-tiba Raz menjerit sekuat hati di tempatnya berdiri tanda dia akan melangkah ke medan pertempuran sebentar lagi!
Sang Putih Sedang tertawa terbahak-bahak melihat aksi Sang Helang Biru menyeret kepala Sophia di dinding luar bangunan. Dia seakan-akan terhibur melihat kekejaman itu berlaku di hadapannya. Dia tidak sedar yang udara di sekelilingnya semakin bergerak pantas. Rambutnya yang panjang hingga bawah paras bahu itu tiba-tiba mengurai liar ke satu arah. Begitu juga dengan pakaian yang dipakainya yang berkibar ke arah yang sama.
Lama kelamaan dia berhenti ketawa setelah menyedari perubahan suasana ketika itu. Gerakan udara semakin pantas sehingga Sang Putih tidak dapat mengimbangi tubuhnya lagi. Sang Helang Biru tidak dapat merasakan gerakan angin itu kerana dia sedang sibuk ‘mengerjakan’ Sophia yang sudah tidak bermaya.
Tanpa mengetahui asal-usul gerakan angin itu Sang putih menjerit ke arah Sang Helang Biru kerana dia yakin sesuatu yang buruk akan berlaku, “Helang Biru! Lari dari situ!!!!”
Sang Helang Biru menoleh ke belakang setelah mendengar jeritan Sang Putih. Sang Putih sudah tiada di tempatnya lagi bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk yang bakal berlaku. Apa yang dilihatnya kini adalah segenggam penumbuk bersalut kain hitam sejengkal dari mukanya! Siapa lagi kalau bukan Hyperzia.
Dia terpaksa melepaskan cengkaman pada muka Sophia untuk menangkis serangan itu. Dia berjaya. Tapi satu suara mengeluarkan kata-kata maut betul-betul berkumandang sayup-sayup di sebelah telingan kanannya sementara Sophia yang dalam keadaan nyawa-nyawa ikan jatuh ke bumi dengan tidak tahu di mana dia akan terhempas.
“Aku akan perlakukan sesuatu yang lebih kejam dari apa yang kau lakukan ke atas kawanku itu. Bersedialah dengan segala kekuatan Asas Angin yang kau ada.”
Sang Helang Biru yang menganggap kata-kata itu hanya ungkapan untuk menakutkannya, lantas mengaktifkan Cakar Helang Peringkat Ke-5 sekali lagi.
“Walaupun kau datang tanpa diundang, tapi aku masih tetap mengalu-alukan kau untuk mengikut jejak kawan kau itu. Bersedialah..!”
Darah Sang Helang Biru menggelegak geram kerana hasratnya menamatkan riwayat Sophia tergendala. Sepantas kilat direnggutnya tangan Hyperzia lalu dihayun dengan kuat ke arah bangunan berhampiran. Hyperzia terperosok jauh ke dalam bangunan sambil menghemtam beberapa dinding di dalam bangunan. Sang Helang Biru tidak duduk diam selepas itu apabila dia serentak meluru ke arah Hyperzia yang dihayunnya sebentar tadi. Sang Putih yang berang dengan kehadiran seorang lagi musuh itu juga sama-sama meluru ke dalam bangunan yang sama.
Belum pun Hyperzia sempat bingkas bersedia, Sang Helang Biru sudah berada di hadapannya dan mencengkam lehernya.
“Aku ingatkan sakaratul maut yang datang. Rupanya seorang budak mentah berhingus yang dah tak sayang nyawa. Rasakan kesakitan sebelum kepala kau hancur dimakan batu konkrit di sekeliling kau ini. Ha ha ha ha!!!”
Dihentamnya Hyperzia pada dinding konkrit yang ada di sebelahnya berkali-kali. Aura Biru Cakar Helang menyelubungi Sang Helang Biru yang sedang berada dalam kemuncak kuasanya. Setelah dia berasa puas, tangan yang menggenggam leher Hyperzia dilepaskan lalu jari jemari gagahnya dihayunkan pada abdomen Hyperzia yang dalam keadaan terdedah.seperti sebilah sabit tajam yang bakal menyiat isi perut lawannya itu.
Hyperzia bagaikan tidak berkesempatan untuk menyerang balas kerana kepantasan Cakar Helang dari Sang Helang Biru amat tinggi.
Baju-T putih Hyperzia koyak rabak di bahagian abdomen kesan dari serangan maut itu. Tak cukup dengan itu Sang Putih yang berada di belakang Sang Helang Biru melepaskan satu aura magnet pantas ke arah abdomen hyperzia bertujuan untuk menambahkan derita pada kesan luka musuhnya itu. Kejadian itu berlaku amat pantas. Debu-debu konkrit berterbangan di dalam bangunan. Tiada tindak balas dari Hyperzia.
“Budak tu hanya pandai cakap saja.” Ujar Sang Helang Biru sambil menghela nafas panjang. Kepuasan terpancar pada wajahnya walaupun kelihatan sedikit keletihan kerana menggunakan tenaga yang banyak.
“Tak sangka Cakar Helang milik kau begitu hebat sekali. Aku rasa aura magnet aku pun tak tentu boleh menang dengan Cakar Helang kau itu.” Puji Sang putih disebelahnya.
“Bila lagi kau boleh melihatnya kalau bukan sekarang.” Balas Sang Helang Biru bangga.Mereka berdua memerhatikan lokasi musuh yang mereka tewaskan itu. Debu-debu yang berterbangan di sekitar mereka melindungi pemandangan. Sejurus kemudian Raz melangkah masuk ke dalam bangunan itu. Tiada musuh yang kelihatan. Hanya dua rakannya saja yang berada di situ.
“Mana budak tadi?” Tanya Raz kehairanan.
“Hm! Tiada seorang pun yang akan terlepas dari Cakar Helangku.” Jawab Sang Helang Biru ringkas sambil memulakan langkah untuk keluar dari bangunan itu. Sang Putih hanya tersenyum sambil mengikuti langkah Sang Helang Biru yang melangkah megah melewati Raz di hadapannya.
“Tunggu dulu! Begitu mudah kau menewaskannya?” Raz tidak berpuas hati dengan jawapan Sang Helang Biru.
“Kan aku sudah katakan, tiada siapa boleh terlepas dari Cakar Helang aku!!” Sang Helang Biru mengulangi jawapan yang sama tanpa memandang Raz sedikit pun dan meneruskan langkahnya keluar dari bangunan.
“Adakah kau masih ingat pertarungan kau dengan Rash di kem latihan dulu?” Ujar Raz bagi memastikan Sang Helang Biru menghentikan langkahnya.
“Aura Air gergasi Rash yang berputar dan tajam itu tak dapat kau musnahkan dengan Cakar Helang Peringkat ke-5 kau secara berdepan. Kau tewaskan Rash pun kerana kepantasan kau mengelak semua auranya dan menyerang balas. Tapi untuk bersemuka dengan Aura maut Rash adalah satu fobia pada diri kau bukan?” Nada suara Raz semakin tinggi.
Kata-kata Raz itu berjaya menghentikan langkah Sang Helang Biru dari terus keluar dari bangunan itu. Sang Helang Biru berpatah balik ke rah Raz dengan wajah bengis.
“Aku tak faham apa yang kau ingin sampaikan pada aku. Memang betul aku tak boleh berhadapan dengan aura gergasi Rash. Tetapi kepantasan Asas Angin aku berjaya menewaskannya semasa latihan di hadapan Tuan Jaque dulu. Apa kena mengena semua tu dengan keadaan sekarang ni? Boleh kau jelaskan pada aku. Atau kau dengki dengan aku kerana berjaya menewaskan dua musuh pada pertempuran kali ni?” Sang Helang Biru masih lagi dengan sikap bongkaknya walaupun dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya maksud Raz berkata demikian.
“Ya… Kepantasan Asas Angin kau memang tiada tolok bandingnya lagi. Tapi kau akan terkejut dengan apa yang akan aku katakan.”Ujar Raz sambil membetulkan penutup kain pada wajahnya.
Sang helang Biru dan Sang Putih terdiam sambil menanti sambungan hujah Raz. Mereka benar-benar masih lagi kalut dengan maksud kata-kata Raz itu.
“Setujukah kau kalau aku katakan seseorang itu lebih hebat dari kau sekiranya dia menewaskan Rash secara berdepan dengan aura air gergasinya berbanding dengan kau yang tak mampu berbuat demikian? Dan yang paling mengagumkan lagi, dengan hanya satu serangan saja!”
Sang Helang Biru terbeliak besar mendengar penerangan Raz. Jauh di lubuk hatinya dia bersetuju dengan kata-kata Raz itu.
“Ha ha ha.. Tolonglah… tolong jangan bagitahu aku budak tadi adalah orang yang kau maksudkan. Tak mungkin dia mampu berdepan dengan aura gergasi Rash sedangkan aku dengan mudah menewaskannya menggunakan Cakar Helang Peringkat ke-5 aku. Ha ha ha!!! Mustahil!!” Sang Helang Biru diselubungi dengan perasaan tidak percaya dan pada masa yang sama peluh dingin sedikit demi sedikit membasahi dahinya.
Raz tersenyum sinis melihat gelagat rakan seperjuangannya itu yang sudah seperti orang hilang pedoman.
“Bukan itu saja. Sebelum dia menewaskan Rash dengan hanya satu serangan, dia telah menyelamatkan nyawa rakannya dengan memberhentikan putaran aura air gergasi Rash hanya menggunakan sebelah tapak tangan yang pastinya kau takkan larat melakukan kerja gila seperti itu! Aku sendiri melihat dengan mata kepala aku sebentar tadi. Rash sudah mati dalam keadaan ngeri. Kau boleh lihat sendiri mayatnya di bawah sana.” Kali ini dia menambahkan lagi kesangsian dan keresahan Sang Helang Biru.
“Tapi aku sendiri menyaksikan yang budak tu telah Sang Helang Biru kerjakan dengan teruk. Aku juga sudah menyerangnya dengan aura magnet bagi mamastikan yang dia benar-benar tertewas.” Sang Putih menyokong Sang Helang Biru dari apa yang dilihatnya sendiri.
“Kau mereka-reka cerita. Aku tak percaya sama sekali! Kalaulah betul apa yang kau cakap? Apa tujuan dia bersembunyi di sebalik debu-debu konkrit tu?! Takkan dia sengaja mendiamkan diri di sana. Aku akan buktikan kepada kau yang aku, Sang Helang Biru telah menewaskannya. Aku akan cari mayatnya dalam debuan konkrit itu.” Sang Helang Biru meluru ke arah Hyperzia yang berada dalam debuan konkrit.
“Aku harap kau tidak silap langkah, kawan..” Raz kurang yakin dengan tindakan Sang Helang Biru itu.
“Helang Biru!!! Jangan bertindak melulu!! Aku tahu kau mengikut perasaan kau yang kecewa sekarang ni.” Tiba-tiba Shah muncul di antara mereka. Dia juga berpendapat sama seperti Raz kerana Shah pernah bertembung seketika dengan Hyperzia semasa dia bertarung dengan Encik Hamid tadi.
“Gadis itu mampu memasuki zon aura api peringkat kedua milik aku yang paling panas pernah aku capai. Aku yakin dia masih hidup dan tidak cedera parah ketika ni!” kata-kata Shah itu semata-mata bertujuan untuk menyelamatkan nyawa rakan seperjuangnya.
Tersentak Sang Helang Biru mendengar kata-kata Shah yang tiba-tiba mucul di dalam bangunan itu. Dia tidak dapat membayangkan betapa hebatnya seseorang yang boleh bertahan dan berada dalam zon aura api milik Shah yang paling panas kerana dia sendiri pernah merasakan keadaan di dalamnya semasa di kem latihan dahulu. Beberapa saat cukup untuk membakar hangus apa-apa saja yang ada di dalamnya. Tiada siapa yang mahu dengan sengaja mencari maut dengan memasuki zon aura api Shah. Dia memberhentikan langkahnya. Hatinya semakin dapat menerima kenyataan. Bukan hanya Raz, Shah juga menjadi saksi kehebatan gadis yang masih misteri pada mereka bertiga. Hanya Rash yang sudah menemui ajal saja yang sempat mendengar nama gadis itu.
“Kalau benarlah dia sebegitu hebatnya, siapakah dia sebenarnya? Kenapa dia tidak bertahan dan kembali menyerang aku tadi?” Mata Sang Helang Biru tertumpu ke arah debuan konkrit tempat di mana musuh mereka berada. Begitu juga Raz, Shah dan Sang Putih yang masih tercegat di tempat masing-masing dan menumpukan perhatian ke tempat yang sama dengan Sang Helang Biru.
“Seronok aku dengar kamu semua memuji aku dari tadi.” Satu suara lunak bergema di dalam bangunan tempat mereka berpijak. Benar-benar menyentap jantung mereka berempat terutama Sang Helang Biru dan memaksa mereka berada dalam keadaan bersedia sambil mencari-cari dari mana datangnya suara itu.
“Hei budak! Tunjukkan diri kau! Sehebat mana pun Kawalan Tenaga Sejagat yang kau gunakan, kau takkan boleh lari apa lagi menang menentang gabungan kami berempat. Beritahu kami siapa kau sebenarnya.” Jerit Shah.
“Jangan kamu semua risau. Hyperzia takkan lari. Hyperzia sengaja mendiamkan diri untuk mengumpulkan kamu semua di satu tempat supaya boleh melihat wajah-wajah pengkhianat bumi yang tak berperikemanusiaan sebelum mereka dilenyapkan dari muka bumi ini. Tapi yang pastinya, Hyperzia akan melakukan sesuatu yang lebih dasyat dari apa yang kamu semua lakukan pada Dashing Dolls.” Suara itu bergema lagi memberikan jawapan kepada soalan Shah.
“Aku akan perlakukan sesuatu yang lebih kejam dari apa yang kau lakukan ke atas kawanku itu. Bersedialah dengan segala kekuatan Asas Angin yang kau ada.”
Berderau darah Sang Helang biru mengingatkan kata-kata gadis yang menggelarkan dirinya sebagai Hyperzia itu semasa pertama kali dia bertembung dengannya di luar bangunan tadi.
Mereka berempat menunggu kemunculan musuh mereka dengan hati yang berdebar-debar. Musuh yang semestinya memaksa mereka berhempas-pulas mengerah tenaga ke peringkat tertinggi ilmu mereka.
Tiba-tiba debuan konrit yang menyelubungi ruangan di situ hilang dengan sekelip mata. Suasana kabur bertukar jelas serta merta setelah semua debu yang berterbangan dihambat oleh satu kuasa luar biasa yang datang dari satu lokasi yang mereka berempat fokuskan dari mula tadi.
Sebujur tubuh genit seorang gadis yang melindungi wajah dengan kain tudungnya berdiri di hadapan mereka. Ada kesan koyak seperti kesan cakar pada baju-T putihnya di bahagian abdomen. Tetapi tanpa kesan cedera! Benar seperti apa yang dikatakan oleh Shah. Gadis itu tidak cedera sedikit pun.
“Kecil saja budak ni. Tak sangka dia mempunyai ilmu tempur yang hebat. Gayanya menampilkan diri sungguh menarik.” Bisik hati Raz yang belum mengetahui di hadapannya itu adalah kekasih hati yang sangat dicintainya. Begitu juga dengan Noor yang menggelarkan dirinya sebagai Hyperzia, nama yang diberikan oleh Ima melalui sistem pesanan ringkas! Antara empat orang musuh di hadapannya, salah seorang daripada mereka adalah cinta pertama dalam hidupnya. Hanya pelindung muka di wajah masing-masing memisahkan mereka berdua.
“Betul ke kau dah menyerangnya menggunakan Cakar Helang Peringkat ke-5 kau, Helang Biru?” Tanya Shah kepada Sang Helang Biru dengan nada yang perlahan.
“Ya… Aku sudah menyerangnya dengan kejam sekali. Dia langsung tak melawan. Aku ingatkan dia sudah tidak bernyawa sekarang ni.” Balas Sang Helang Biru dengan merapatkan kepalanya pada Shah.
Shah mengetap bibirnya tanda rungsing. Dia tahu benar gaya terakhir Cakar Helang. Sekiranya musuhnya itu mampu bertahan tanpa sebarang kecederaan, ini bermakna mereka berempat harus bekerjasama menentangnya.
“Hercules… Aku mahu kau menyerangnya dahulu.” Arah Shah ringkas kepada Raz. Hercules adalah nama samaran Raz dalam misinya kali ini bertujuan untuk melindungi identitinya. Tersentak Raz mendengar arahan itu. Tapi inilah masanya untuk dia menunjukkan kehebatannya. Dia perlu menguatkan semangat bagi meningkatkan tenaga Asas Titaniumnya.
“Baik!” Jawab Raz dengan mata yang menyorot ganas memandang musuhnya.
Raz berganjak satu langkah ke hadapan. Dia mula mengaktifkan Asas Titanium miliknya. Satu aura kelabu keluar dari hujung jari-jari tangan Raz dan mula menjalar keseluruh tubuhnya. Setelah keseluruhan tubuh penuh diselaputi aura itu, ianya mula menipis setebal setengah sentimeter menyaluti tubuh Raz. Itulah ‘Perisai Titanium’ yang akan melindungi dirinya dari serangan musuh. Ianya adalah pertahanan terampuh sekali dalam sejarah pertempuran Aramus purba.
Serangan pertama akan dilakukan sebentar lagi oleh Raz. Tangan kanannya didepakan ke arah Hyperzia dan mengeluarkan satu aura berantai yang meluru pantas ke arah musuhnya itu.
PERISAI TITANIUM
GAYA PERTAMA : RANTAI PENJERUT NAGA
Itulah nama gaya yang digunakan oleh Raz dalam serangan pertamanya terhadap Hyperzia. Belum pun sempat aura rantai itu mengenai sasaran, ianya terbias ke arah lain akibat manipulasi angin yang diwujudkan oleh Hyperzia menggunakan pergelangan tangannya yang lemah gemalai. Ada sesuatu yang memeranjatkan Hyperzia tentang aura rantai titanium Raz ini. “Aku tak pernah merasa aura Kawalan Tenaga Sejagat yang seringan ini. Walaupun ringan aku dapat rasa kekuatan kuasanya. Ianya seoalah-olah begitu mudah melekat pada kulit aku. Aku perlu menepis semuanya sekali. Tak boleh ada yang lolos. Sekali ianya melilit badan aku, masalah besar pasti akan timbul.”
Raz melontarkan lagi aura rantai menggunakan sebelah lagi tangannya. Juga berjaya ditangkis oleh hyperzia dengan mudah. Bertubi-tubi aura rantai dilepaskan oleh Raz menggunakan kedua belah tangannya silih berganti. Semakin sibuk Hyperzia menangkis aura rantai yang bertali arus itu. Lontaran aura rantai Raz semakin lama semakin laju dan semakin banyak dan dia mempelbagaikan arah sasarannya. Beribu-ribu aura dilepaskan dalam masa beberapa minit itu. Tangkisan Hyperzia terhadap aura rantai itu menyebabkan kehancuran pada struktur bangunan yang mereka pijak itu. Aura dari Raz menghetam ke semua arah dan menyebabkan kerosakan yang teruk. Sepertinya bangunan itu sudah tidak selamat untuk diduduki lagi. Tiba-tiba keadaan menjadi hening seketika. Tiada lagi lontaran aura rantai dari Raz. Rupa-rupanya Raz berjaya menjerut tubuh dan tangan Hyperzia menggunakan aura rantainya. Apa yang ditakuti Hyperzia terjadi juga akhirnya. Kini Hyperzia terbelenggu oleh aura berantai milik Raz. Dia cuba mengembangkan aura anginnya bagi melepaskan dirinya. Belum sempat aura rantai itu diputuskannya, satu lagi aura berantai melilit batang tubuh Hyperzia menjadikannya lebih sukar untuk dilepaskan.
“Rantai titanium ini begitu ketat sekali! Aku tak boleh melepaskan diri buat masa ini.” Bisik hati Hyperzia yang sedang sedaya upaya melepaskan diri. Sang Helang Biru, Sang Putih dan Shah mengharapkan sesuatu dari serangan Raz. Raz menyentap rantai titanium ditangannya seraya tubuh Hyperzia tersentak kehadapan iaitu ke arah Raz dengan pantas sekali.
Shah kurang yakin dengan tindakan Raz menarik musuh ke arah Raz.
“Hercules! Awas! Mungkin dia sengaja buat macam tu!” Shah melaungkan amaran kepada Raz.
“Aku tak yakin ini helah dia. Apa yang aku yakin sekarang, rantai titanium aku ini memang tak mampu dia putuskan.” Balas Raz pantas sambil meneruskan langkah menarik Hyperzia ke arahnya.
Memang benar… Hyperzia tidak mampu lepas dari belenggu rantai titanium milik Raz itu. Tatkala tubuh Hyperzia melayang ke arah Raz, Raz sudah menghulurkan kakinya yang panjang itu untuk dikenakan ke tubuh lawannya. Hyperzia yang terperangkap dalam jerutan rantai titanium Raz tidak sempat berbuat apa-apa kerana sentapan Raz itu terlampau laju menyebabkan bahagian abdomennya sekali lagi menjadi sasaran dan itu memang sengaja dilakukan oleh Raz. Setelah itu Raz menghayunkan tubuh Hyperzia ke lantai dan menembusi ke tingkat di bawah mereka. Hyperzia masih lagi dalam belenggu rantai titanium Raz. Ketika ini, wajah Raz menampakkan yang dirinya kini dipenuhi dengan rasa marah dan teruja yang amat sangat.
Shah, Sang Putih dan Sang Helang Biru berasa hairan kenapa semua kuasa Kawalan Tenaga Sejagat mereka begitu mudah diatasi oleh gadis itu sedangkan Aura rantai titanium gaya pertama sedang mendahului ketika ini.
Raz menyentap kembali musuhnya ke atas dan dihumbankan pula ke siling yang berada di atasnya. Kedengaran suara Hyperzia mengerang kesakitan. Serangan dasyat dari Raz tidak berakhir di situ setelah dia menghayun dan memutar-mutarkan musuhnya itu pada dinding bangunan disekitar mereka berdiri. Tubuh Hyperzia kini tak ubah seperti sebiji bebola besi besar yang sedang dihayun untuk meruntuhkan sebuah bangunan. Kini tubuh Hyperzia dihayunkan ke merata arah oleh Raz. Di mana masih ada konkrit atau dinding yang belum runtuh, di situlah sasaran Raz menghayun tubuh musuhnya itu yang dibelenggu erat oleh rantai titanium yang dikawal dari tangannya. Keadaan ini memaksa tiga rakan seperjuangan Raz yang berada di dalam untuk keluar dari bangunan yang bakal runtuh tidak lama lagi itu. Mereka semua tertanya-tanya apakah nasib gadis yang sedang tersiksa oleh gaya pertama Asas Titanium Raz.
Seperti yang dijangka, bangunan yang sebenarnya ibupejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri yang telah dikosongkan atas sebab kecemasan itu akhirnya runtuh setelah semua struktur utamanya rosak akibat gaya pertama Asas Titanium Raz.
“Ini pula adalah gaya kedua Perisai Titanium! Kau akan terkubur ditimbus oleh cecair titanium di bawah sana! Rasakan!!!!”
PERISAI TITANIUM
GAYA KEDUA : METEOR MENGHEMPAS LAUTAN.
Untuk serangan terakhir di babak yang pertama ini, Raz menggenggam erat aura rantai titanium menggunakan kedua belah tangannya bagi mengecas tenaga gaya kedua Perisai Titanium untuk dialirkan ke tubuh musuhnya. Urat-urat dibadan Raz timbul seraya aura bewarna kelabu muncul dari serata tubuhnya dan mengalir ke rantai titanium. Setelah mendengar jeritan musuhnya semakin kuat akibat aliran aura di dalam rantai titaniumnya, Raz menghayun musuhnya dengan kuat ke bawah iaitu ke arah bekas runtuhan bangunan tadi. Kini Hyperzia tak ubah seperti sebiji komet berkelajuan tinggi yang akan terhempas ke bumi!
BOOM!!!!!!
Serpihan bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri berterbangan ke merata tempat hasil dari letupan pertembungan dengan tubuh Hyperzia yang diselaputi aura gaya kedua Perisai Titanium. Satu kawah gergasi berdiameter lebih kurang 100 meter terbentuk. Rupanya serangan Raz tidak berakhir sampai di situ! Kini dia akan meneruskan lagi gaya seterusnya dari Perisai Titanium.
GAYA KETIGA: PERSEMADIAN DI MAKAM TITANIUM
“Aku akan menggunakan tenaga yang banyak dalam gaya ini. Harap-harap ini adalah pengakhir bagi segala pertempuran pada hari ini. Tiada sesiapa yang dapat lolos di dalam pepejal titanium yang keras dan mampat!” bisik hati Raz sebelum dia sekali lagi meraung sekuat hati bagi mengeluarkan kuasa aura gaya ketiganya yang akan ditukar menjadi pepejal titanium bagi menimbus musuhnya yang kini berada di dalam kawah gergasi yang terbentuk di bawahnya.
Raz memancarkan cecair titanium yang terhasih dari tubuhnya tepat di tengah-tengah kawah gergasi. Cecair yang sudah menutupi kawah menjadi keras serta-merta dan menidakkan kemungkinan Hyperzia akan selamat di dalamnya.
Shah, Sang Helang biru dan Sang Putih tergamam dengan apa yang dilakukan oleh Raz. Mereka tak pernah melihat sesuatu yang seperti itu sebelum ini. Kepantasan, kekuatan dan gaya tempur bergabung menjadi satu dan kelihatan tersusun. Kesemua itu menjadi elemen penting dalam tiga gerakan serangan Raz sebentar tadi.
“Aku tak sangka yang Raz sehebat ini kalau dia sedang marah. Selama ni dia langsung tidak pernah menang dengan sesiapa di kem latihan. Tapi sekarang, aku sendiri takkan berani nak cari pasal dengan dia.” Ujar Sang Helang Biru kepada dua rakannya sambil menggeleng-gelengkan kepala.
“Kerana itulah Tuan Jaque menyuruhnya berada di posisi paling akhir antara kita. Dia sedar potensi Raz. Kini, dia adalah penyelamat kita berempat. Tiga rakan kita sudah tiada. Rash, Lucifer dan Chong. Aku sudah melihat Chong di bawah sana. Kepalanya mengalami kecederaan yang teruk akibat tendangan dari lelaki Asas Kilat yang begitu dasyat itu.” Ujar Shah.
Sementara itu, Raz dalam keadaan sedikit tidak bermaya. Ternyata serangan hebatnya sebentar tadi memakan banyak tenaganya. Dia berdiri betul-betul di sebelah ‘pusara’titanium yang dihasilkannya. Dia dihampiri oleh tiga rakannya yang masih terselamat. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Apa lagi sekarang ini?” Sang Putih mula-mula bersuara.
“Mari kita cari kesemua musuh-musuh kita yang kita telah tewaskan tadi dan tamatkan riwayat mereka bagi memastikan kemenangan kita pada hari ini.!” Shah bersuara dan disambut dengan baik oleh rakan-rakannya. Ketika mereka mula beredar dari situ, Raz melutut di belakang mereka dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Ini mengejutkan rakannya yang lain.
“Kau tak apa-apa ke?” Shah berpatah balik mendapatkan Raz.
“Ini keadaan biasa bagi seseorang pemilik Asas Titanium selepas menggunakan gaya berangkai Perisai Titanium. Gaya pertama hingga ketiga Perisai Titanium jika digunakan secara terus menerus seperti tadi adalah sama hebatnya seperti menggunakan gaya terakhir iaitu gaya ke tujuh Perisai Titanium. Tenaga yang aku keluarkan tadi sama seperti aku melancarkan gaya terakhir Perisai Titanium”Ujar Raz yang dalam keadaan lemah tak bermaya.
Bagaimana keadaan Hyperzia sekarang? Dia yang tadi kelihatan begitu mudah menewaskan dua musuh dalam jangkamasa yang sangat singkat kini seperti tidak melakukan apa-apa tindakbalas ke atas serangan Raz yang begitu dasyat itu. Ya, Hyperzia sudah cuba membebaskan diri dari rantai titanium itu semasa Raz menghentamkan tubuh Hyperzia ke seluruh struktur bangunan tadi, tetapi tidak berhasil.Kini dia terkubur di pusara pepejal titanium yang terhasil dari kuasa istimewa Raz.
Sementara itu…
Jauh di dalam ‘pusara’ titanium…














