Novel : Kau Milikku 6, 7

8 September 2010  
Kategori: Novel

3,662 bacaan 3 ulasan

Oleh : Penerbitan Kaki Novel

JAM LOCENG berbunyi nyaring hingga membangunkan penghuni bilik itu. Dizyan menggosok mata yang masih mengantuk. Dia mengeliat sedikit. Terasa lega. Kemudian, perlahan-lahan dia bangun dari katilnya dan berjalan ke arah bilik air. Dicapai tuala yang tersangkut di penyidai dan membuka lampu bilik air. Masuk untuk membersihkan diri. Usai mandi, Dizyan keluar dengan sudah siap berwuduk untuk menunaikan solat yang wajib. Disarungkan telekung ke tubuhnya dan segera menjalankan perintah-Nya.

Selesai bersolat, Dizyan melangkah ke arah almari dan mengambil baju sekolahnya. Dia duduk di hadapan cermin solek dan membelek wajahnya. Kenapalah dia asyik dibuli? Pernah sekali Dizyan memberitahu Puan Hajah Karissa bahawa dia ingin berpindah sekolah. Sudah tidak tertahan lagi mendengar kata-kata ejekan mereka. Tetapi Misha dan Yasmin selalu menasihati Dizyan agar buat tidak tahu sahaja dengan mereka. Yang paling dia tidak tahan sekali dengan geng Faizal. Entah apa yang dibuatnya sehinggakan mereka menjadikan Dizyan sebagai musuh mereka.

Dizyan segera mencapai beg galas yang diletakkan di atas meja tulis lalu mengatur langkah turun ke tingkat bawah. Aroma masakan sarapan pagi menusuk hidung. Nasi lemak daun pisang terhidang di atas meja. Perutnya berkeroncong minta diisi. Tuan Haji Azmin dan Puan Hajah Karissa turut menyertai Dizyan di meja makan.

“Morning, umi. Morning, abah.” Dizyan tersenyum ke arah kedua-dua orang tuanya.

“Assalamualaikum. Kita ni orang Islam, Yan,” tegur Tuan Haji Azmin lembut. Dizyan terdiam.

“Ops… sorry. Assalamualaikum umi, abah…” Dizyan membetulkan semula kata-katanya.

Puan Hajah Karissa tersenyum melihat gelagat anak perempuan tunggalnya ini. Asyifa yang baru sahaja melangkah ke arah meja makan turut melabuhkan punggung di sebelah Dizyan. Gadis itu menghulurkan pinggan makan kepada Asyifa.

“Syifa, hari ni ada kes apa?” tanya Tuan Haji Azmin dan disuapkan sesudu nasi lemak ke mulutnya. Asyifa tersentak dan mengangkat muka memandang lelaki tua yang bercermin mata itu.

“Hari ni pasal kes cerai Puan Sharifah Mahani against Tuan Syed Akhbar.” Asyifa menuturkan. Cuba mengingat kembali fasal kes tuntutan cerai yang difailkan oleh Puan Sharifah Mahani di mahkamah syariah bulan lepas. Tuan Haji Azmin mengangguk.

“Abang ni pun… biarlah budak tu makan dulu. Belum sempat dia nak menyuap ke mulut lagi, dah ditanya pasal kerja,” tegur Puan Hajah Karissa lembut.

“Abang kena tahu Syifa ke mana hari ni,” ujar Tuan Haji Azmin pula.

“Syifa kena ke mahkamah hari ni, Abah Az,” jawab Asyifa.

Puan Hajah Karissa mengangguk. Kasihan pula pada Asyifa yang terpaksa menggantikan tempat Izham sementara anak lelaki yang bakal menjadi pewaris kepada firma guamannya itu pergi menuntut ilmu di perantauan.

“Kesian umi tengok Syifa. Ke hulu, ke hilir. Terkejar-kejar ke court memanjang.” Gelengan kepala Puan Hajah Karissa semakin laju.

“Tak apalah, Umi Rissa. Syifa tolong Abah Az uruskan dulu firm ni sementara nak tunggu Iz balik,” tukas Asyifa dengan senyuman manis. Dia ikhlas ingin membantu keluarga yang telah banyak berjasa kepadanya. Tidak terbalas budi baik mereka kepadanya selama ini.

“Susahkan Syifa pulak. Umi tahu, Syifa ada cita-cita sendiri. Tapi terpaksa jugak ikut kehendak abah kamu ni.” Tidak senang hatinya kerana telah menyusahkan anak muda itu. Dizyan hanya diam memerhatikan Puan Hajah Karissa dan Asyifa silih berganti.

“Tak susahlah, Umi Rissa. Kalau nak diikutkan jasa Umi Rissa dan Abah Az pada Syifa, belum dapat Syifa balas walaupun Syifa tolong Abah Az uruskan firm ni.” Asyifa tidak mahu mereka terasa bersalah kerana menyusahkannya.

“Dahlah tu. Makan cepat. Nanti Syifa lambat pulak nak ke mahkamah,” ujar Tuan Haji Azmin. Gadis itu mengangguk pantas dan segera menyuapkan nasi lemak ke mulutnya.

“Yan nak abah hantar Yan hari ni?” tanya Tuan Haji Azmin kepada anak kandungnya. Gadis itu seperti berfikir.

“Tak payahlah, abah. Yan ambil bas aje,” tolak Dizyan. Dia tidak mahu rakan-rakan sekolahnya tahu dia anak peguam bela dan peguam cara terkenal, Tuan Haji Azmin yang bertanggungjawab ke atas kes perceraian artis-artis terkenal di Malaysia. Biarlah orang kenal dia sebagai Dizyan Farhana binti Azmin. Itu sudah cukup buat Dizyan jika ada yang sudi mengenali dirinya. Hanya Misha dan Yasmin sahaja yang tahu tentang rahsia diri Dizyan itu.

“Takkan Yan nak ambil bas waktu macam ni? Dah pukul berapa dah ni? Bas pun dah lepas. Kak Syifa hantar Yan pergi sekolah, ya?” Asyifa pula yang mempelawa.

“Tak menyusahkan Kak Syifa ke?” Risau juga jika dia menyusahkan peguam muda itu.

“Taklah. Kak Syifa nak lalu jalan yang sama jugak,” ujar Asyifa.

Dizyan mengangguk perlahan tanda setuju dengan cadangan itu.

“Okeylah, umi… abah. Yan pergi dulu,” ujar Dizyan dan tunduk menyalami kedua-dua ibu bapanya. Asyifa juga turut melakukan perkara yang sama.

Dizyan menyarungkan kasut sekolahnya. Kemudian, dia segera masuk ke dalam perut kereta apabila jarum jam tangannya sudah menunjukkan pukul tujuh, lima belas minit pagi. Kalau dia lambat, alamatnya pasti namanya akan dimasukkan ke dalam buku pengawas. Sudah beberapa kali namanya tercatat di dalam buku itu. Dia tidak mahu disenarai hitamkan pada tahun terakhirnya di sekolah itu. Perkara sebegitu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Cukuplah dia hanya berada di dalam senarai yang paling dikehendaki oleh ahli kumpulan Faizal.

KERETA ASYIFA berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar sekolah. Dizyan turun dari kereta itu dan melambai ke arah kakak sepupunya. Lambaian dibalas. Kereta Asyifa terus menderum pergi meninggalkan kawasan sekolah Dizyan. Pintu pagar sekolah dibuka sekecil yang mungkin. Segera Dizyan membolosi diri sebelum pintu pagar tersebut ditutup oleh pengawas sekolah yang bertugas pada hari itu. Tersengih Andika melihat Dizyan.

“Nasib baik kau awal beberapa minit, Yan. Kalau tak, nama kau dah ada dalam buku aku ni,” sindir Andika. Dizyan mencebik.

“Nak tunjuk dia berkuasalah tu,” gumam Dizyan. Andika mengerutkan dahi.

“Apa, Yan?” tanya Andika tiba-tiba. Dizyan tersentak.

“Tak ada apa-apa. Hari ni bangun awal, tulah sebabnya datang awal beberapa minit,” perli Dizyan semula.

Kali ini Andika pula yang mencebik. Dizyan pun pelik. Kenapa pengawas sekolah dan juga geng yang terkenal dengan sikap pembuli mereka itu selalu sahaja cari pasal dengannya? Terus sahaja Dizyan melangkah ke laman sekolah untuk beratur bersama rakan sekelas. Berdiri di belakang Misha. Diletakkan beg galas ke bawah. Misha beralih ke belakang.

“Mamat poyo tu tak pulak tulis nama kau,” kata Misha.

Dizyan menggeleng.

“Kesemua pelajar dikehendaki meluruskan barisan dan pandang ke hadapan.”

Pelajar-pelajar yang berdiri di laman sekolah segera mematuhi arahan yang diberikan oleh ketua pengawas sekolah.

Selesai perhimpunan, mereka semua kembali ke kelas masing-masing. Kerusi di sebelah Dizyan kosong. Dizyan tercari-cari akan wajah itu. Dipandangnya ke arah Misha dan Yasmin.

“Mana Tika?” tanya Dizyan.

“Hari ni dia tak datang. Demam, katanya. Dia suruh aku cakap dengan cikgu. Tika call aku pagi tadi. Pepagi buta pulak tu. Nasib baik aku dah bangun dari membuta,” seloroh Yasmin. Mereka berdua tergelak kecil.

Seketika kemudian, Puan Wong yang mengajar subjek matematik melangkah masuk. Satu kelas bangun dan mengucapkan selamat pagi. Mereka mengeluarkan buku latihan matematik masing-masing. Satu per satu langkah pengiraan diajar oleh Puan Wong. Setelah faham, mereka harus menyiapkan latihan yang diberikan di dalam kelas. Sedang Dizyan leka menyiapkan latihannya, tiba-tiba seorang pelajar tingkatan tiga mengetuk pintu. Mata seluruh kelas tertumpu ke arah pelajar tersebut. Dizyan tunduk semula menghadap buku latihan di hadapan. Malas hendak mengambil tahu urusan pelajar itu dengan Puan Wong.

“Dizyan Farhana Azmin,” panggil Puan Wong.

Dizyan segera mengangkat kepala memandang guru yang sedang tercegat berdiri di hadapan. Kesemua mata rakan sekelas tertumpu pula kepadanya.

“Adik kamu nak berjumpa. Dia sedang tunggu kamu di kantin.” Fasih sekali Puan Wong berkata-kata.

Dizyan mengerutkan dahi. Pelik. Mengalih pandang ke arah Misha dan Yasmin yang turut sama mengerutkan dahi.

“Adik? Kaukan tak ada adik…” bisik Misha perlahan. Dizyan mula gelisah duduknya.

“Memanglah. Aduhh… siapa pulak yang nak kenakan aku ni?” Dizyan masih tidak berganjak dari kerusi yang diduduki.

“Dizyan, ada apa-apa masalah ke?” Puan Wong bertanya. Diturunkan sedikit cermin matanya supaya dapat nampak Dizyan dengan lebih jelas.

“Tak ada apa-apa, Puan Wong. Nanti waktu rehat saya jumpa dengan ‘adik’ saya tu.” Sengaja ditekankan perkataan adik itu.

“Pergilah sekarang. Katanya, urgent.” Puan Wong memandang pelajar tingkatan tiga itu. Segera pelajar tersebut mengangguk.

“Saya masih tak siapkan lagi latihan ni, cikgu.” Sedaya upaya Dizyan cuba menolak.

“Tak apa. Kamu boleh hantar pada saya kejap lagi atau esok saja.” Beria-ia Puan Wong menyuruhnya pergi berjumpa dengan budak yang dikatakan ‘adik’ Dizyan itu. Dizyan sudah tidak boleh mengelak lagi. Mahu atau tidak, perlahan-lahan dia bangun dari kerusinya dan keluar dari kelas tersebut. Pelajar tingkatan tiga itu telah kembali ke kelasnya semula setelah melihat Dizyan menurut arahan Puan Wong itu. Tidak boleh disalahkan Puan Wong juga. Dia tidak tahu latar belakang keluarga Dizyan dan juga tidak tahu ada orang yang berniat untuk mengenakan gadis itu.

Misha dan Yasmin saling berpandangan. Kemudian, mereka segera menyiapkan latihan yang diberikan oleh guru matematik mereka itu.

Dizyan melangkah malas ke arah kantin. Siapalah pula yang berniat jahat ingin mendajalkannya? Dizyan sudah mendekati kantin. Hati berasa kurang enak. Diurut dada berulang kali. Bersabar. Dilabuhkan punggung di atas bangku di dalam kantin tersebut. Menunggu kedatangan ‘adik’nya itu. Tiba-tiba, Dizyan terasa diri dilanggar dari belakang dan ada cecair panas yang mengalir di belakangnya. Terus sahaja Dizyan berdiri dan memandang gerangan yang melanggarnya itu. Terlihat Ku Zhety memegang semangkuk mi rebus. Dan, di dalam mangkuk itu hanya separuh mi serta kuah sahaja yang tinggal. Dizyan teringat akan cecair panas yang mengalir di belakangnya. Dipegang. Berlendir dan berbau kuah mi rebus. Dizyan sedaya upaya menahan amarah. Melihat wajah Ku Zhety yang memandangnya seperti orang tidak bersalah dan tersenyum sinis.

“Opsss… sorry. Sengaja,” ujar Ku Zhety dengan sinis sekali.

“Apa you dah buat ni, Zhety?” jerit seorang lelaki. Tidak perlu Dizyan memandangnya. Sudah tahu akan gerangan pemilik suara itu.

“I tak sengajalah, sayang.” Ku Zhety berkata manja.

“You tak sengaja? Takkanlah you tak nampak dugong sesat ni duduk kat depan you yang sikit punya besar ni?” ejek lelaki tersebut.

“Ini memang kerja kau orang, kan? Apa salah aku sampai kau orang dendam sangat dengan aku? Aku tak kacau hidup kau orang. Apasal kau orang nak kacau hidup aku? Kau sendiri semalam kata nak berdamai dengan aku. Apa dah jadi sekarang ni? Kalau macam nilah perangai kau, cancel aku nak berdamai dengan kau.” Perlahan sahaja Dizyan bertanya. Faizal tersenyum sinis.

“Aku nak berdamai dengan kau? In your dreams. Kau patutnya jaga sikit mulut kau tu. Jangan biadab sangat. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Siap berperibahasa lagi Faizal berkata-kata. Perlahan sahaja dia mengucapkan kata-kata itu di telinga Dizyan.

“Oh… pandai jugak kau gunakan peribahasa. Aku ingatkan kau ni buta bahasa!” sindir Dizyan.

“Tak kisahlah kau nak cakap apa pun. Kau balik mandilah. Dah bau mi rebus.” Selepas sahaja Faizal habis berkata-kata, ahli kumpulannya ketawa berdekah-dekah.

Dizyan mendengus kuat. Terlupa pula dia akan kuah mi rebus yang sudah mewarnai baju putihnya. Dizyan segera berlalu menuju ke tandas.

Dibuka baju yang dipakainya dan digosok menggunakan tisu untuk membersihkan kotoran kesan kuah mi rebus tersebut. Semakin teruk, bukan semakin bersih! Dizyan melepaskan keluhan. Dia menyarungkan semula baju tersebut ke tubuhnya dan menuju ke pondok telefon yang terletak di dalam kawasan sekolah. Sudah dipegang gagang telefon itu, tetapi diletakkan kembali. Siapa yang boleh diharapkan untuk mengambil dia dari sekolah? Kalau Asyifa, wanita itu sudah lama ke mahkamah. Lagipun tidak elok mengganggu orang yang sedang sibuk bekerja. Tuan Haji Azmin? Abahnya itu mempunyai kes yang perlu diselesaikan juga pada pagi itu. Puan Hajah Karissa? Wanita anggun itu tidak boleh membawa kereta. Mak Kiah? Sudah pasti orang tua itu juga tidak boleh memandu.

Pening! Dizyan memegang kepala. Dia harus menjalani sisa-sisa persekolahannya hari ini dengan baju yang berbau kurang enak itu.

Perlahan-lahan Dizyan melangkah masuk ke dalam kelasnya. Nasib baik guru subjek seterusnya belum lagi masuk ke dalam kelas. Sebaik sahaja Dizyan masuk ke dalam kelas, semua mata tertumpu ke arahnya. Ada yang berbisik sesama sendiri, ada yang tertawa melihat keadaannya itu. Misha dan Yasmin ternganga.

“Kenapa dengan kau ni, Yan?” tanya Yasmin. Dia segera berubah tempat dan duduk di sebelah Dizyan. Gadis itu menjadi tidak selesa apabila menjadi tumpuan kelas pada hari itu.

“Ni semua kerja Zhety dengan Faizal,” ujar Dizyan perlahan.

“Lagi-lagi syaitan dua ekor tu punya kerja. Dia orang ni memang cari pasal!” Yasmin sudah mengepal penumbuk.

“Kesian kat kau, Yan.” Misha berkata simpati. Yasmin mengangguk.

“Thanks sebab kau orang ada masa aku dalam susah macam ni,” ucap Dizyan bersungguh-sungguh. Yasmin menggenggam erat jemari Dizyan.

“Nasib baik Si Asrul tu tak bersekongkol dengan geng syaitan tu. Kalau tak, dah lama aku debik Si Asrul.” Yasmin berkata sambil menunjukkan gayanya. Dizyan dan Misha tergelak kecil.

“Habis, apa kau nak buat sekarang?” Misha bertanya pula.

“I… declare… war. Perang ni dia yang mulakan, biar aku aje yang habiskan.” Dizyan berkata dengan penuh perasaan yang sukar dimengertikan oleh Misha dan Yasmin.

“Aku nak join, boleh?” tanya Yasmin dengan penuh teruja.

Dizyan menggeleng perlahan.

“This is between me and him,” ujar Dizyan. Diangkat kening sebelah kiri. Mukanya penuh dengan semangat.

“Kau jangan buat sampai kantoi dengan Cikgu Alias, sudah!” pesan Yasmin sebelum berlalu semula ke tempat duduknya apabila guru subjek perdagangan mereka masuk ke dalam kelas.

Puan Chiu membuka buku teks perdagangan. Tiba-tiba hidungnya terbau sesuatu. Cuba mengesan dari mana bau tersebut datang. Pelajar-pelajarnya pelik dengan tindakan guru mereka itu.

“Kenapa cikgu bau mi rebus?” tanya Puan Chiu.

Seluruh kelas tergelak. Dizyan masam mencuka. Puan Chiu pelik apabila melihat pelajar-pelajarnya tergelak sakan.

“Macam mana cikgu tak bau mi rebus. Ni ha… Yan mandi dengan kuah mi rebus,” seloroh Zahim. Mata Puan Chiu terarah kepada Dizyan.

“Yan mandi kuah mi rebus?” tanya Puan Chiu kebingungan.

Dizyan hanya mendiamkan diri.

“Hmmm… tak apalah. Sila buka buku teks kamu. Muka surat tiga belas.” Selepas menerima arahan dari Puan Chiu, segera mereka menyelak buku teks perdagangan.

LOCENG SEKOLAH berbunyi nyaring, menandakan waktu untuk pulang. Dizyan mengemas buku yang berselerak di atas meja dan disimpan di dalam beg galasnya. Dia segera bergerak keluar dari kelas bersama Misha dan Yasmin. Beg tersebut tidak digalas sebaliknya hanya dipegang sahaja. Takut beg tersebut melekat bau kuah mi rebus. Mereka bertiga melintasi geng Faizal yang sedang melepak di tempat biasa mereka. Entah lawak apa yang dibuat oleh Yasmin sehingga Dizyan tertawa kuat. Misha menekup mulutnya. Yasmin memang pandai menghiburkan hati mereka berdua.

“Baju dah kena kuah mi rebus pun masih boleh gelak lagi. Kalau aku, malu gila! Entah-entah aku terus pindah sekolah aje.” Aneeq berkata kuat.

Terhenti gelak tawa tiga gadis tersebut secara tiba-tiba. Mengalih pandang ke arah kumpulan yang sedang merehatkan diri di bawah pokok.

“Aku ingatkan jembalang mana tadi. Rupa-rupanya beruk hutan ni.” Selamba sahaja Yasmin berkata.

Dizyan tertawa kecil. Misha malas mahu ikut campur. Dia mendiamkan diri sahaja. Asrul pernah memberi amaran kepada Misha supaya jangan mencari pasal dengan geng-geng Faizal. Mereka itu mampu lakukan apa sahaja perkara yang berada di batasan fikiran mereka.

“Woi… perempuan jual mi rebus… balik ni nak jual mi rebus ke?” ejek Aneeq.

Faizal hanya tersenyum sinis. Ahli-ahli lain hanya tertawa yang menyakitkan hati.

“Kalau aku jual mi rebus pun, sekurang-kurangnya dapat duit yang halal dari rezeki yang halal. Bukan macam kau orang, asyik peras ugut orang. Makan duit haram.” Dizyan meluahkan perasaan geram yang tidak terkata kepada mereka.

Aneeq berjalan laju menuju ke arah mereka bertiga dengan penumbuk yang dikepalnya. Ingin sekali dia menumbuk wajah mulus itu, tetapi sempat ditahan oleh Asrul yang kebetulan lalu di situ. Memerah wajah Asrul menahan marah.

“Neeq, kau ni tak malu ke nak pukul perempuan? Pilihlah orang yang boleh lawan kau balik.” Asrul berbisik di telinga Aneeq sambil menahan tubuh anak muda itu dari terus menghampiri ketiga-tiga gadis tersebut.

Yasmin cuak. Misha seperti mahu menangis sahaja. Tetapi wajah Dizyan masih selamba.

“Fez… kau nasihatkan sikit kawan kau ni. Kalau dia berani sentuh dia orang bertiga ni, aku takkan maafkan kau. Forever!” Laung Asrul dari jauh.

Faizal mendengus geram.

Asrul cepat sahaja mengajak mereka bertiga beredar.

SEBAIK SAHAJA Dizyan melangkah masuk ke dalam rumah, dia diserbu oleh Mak Kiah. Berkerut dahi orang tua itu sebaik melihat warna baju sekolah Dizyan.

“Yan pergi sekolah ni, pergi belajar ke pergi main?” tanya Mak Kiah. Tergelak kecil Dizyan mendengar soalan Mak Kiah.

“Pergi belajarlah, Mak Kiah.”

“Habis, kenapa setiap hari Yan balik aje baju mesti kotor?”

“Entahlah, Mak Kiah. Ada orang gila kat sekolah tu suka kacau Yan,” ujar Dizyan. Dia membuka kasut sekolah yang dipakainya. Diletakkan di atas rak kasut.

“Hmmm… Mak Kiah tak faham dengan budak-budak zaman sekarang ni,” rungut Mak Kiah. Dizyan tersenyum.

“Tak perlu nak susah-susah faham, Mak Kiah. Buat pening kepala aje,” kata Dizyan. Dia berjalan perlahan menuju ke tangga untuk ke biliknya yang berada di tingkat atas.

“Sudahlah tu. Kamu pergi naik mandi. Bau bacin.” Mak Kiah pura-pura menutup hidungnya. Lagi galak Dizyan mengusik orang tua yang kuat melatah itu.

“Mestilah bau bacin. Namanya pun baru balik dari sekolah.” Dizyan sudah tahu akan maksud bacin itu apabila setiap kali pulang dari sekolah Mak Kiah akan merujuk bau itu dengan dirinya.

Terus sahaja Dizyan melangkah naik ke tingkat atas untuk membersihkan diri. Diletakkan baju yang kotor tersebut ke dalam baldi lantas direndam dengan air sabun. Selesai mandi, Dizyan memakai pakaian bersih sebelum berbaring di atas katil. Waktu keuzurannya ini digunakan sepenuhnya untuk berfikir bagaimana cara yang terbaik untuk mengenakan Faizal dan Ku Zhety.

Dapat! Dizyan tertawa kuat seorang diri. Entah bila masa dia terlelap kerana terlalu seronok untuk melaksanakan rancangannya esok.

FAIZAL DAN AHLI KUMPULANNYA yang masih melepak di bawah pokok tepi sekolah itu tertawa sesama mereka apabila teringatkan kejadian Dizyan ‘disimbah’ kuah mi rebus oleh Ku Zhety. Aneeq pula yang lebih gelaknya.

“Padan muka dengan si gemuk tu. Kita dah banyak kali dah buat naya dia. Tapi, dia macam tak sedar diri, kan?” Aneeq berkata sambil memandang Faizal.

“Apa yang kita buat tu, belum teruk lagi. Tunggulah satu hari nanti. Aku akan buat lebih teruk dari hari ni. Aku akan balas dendam sampai dia malu. Tapi aku akan buat rancangan tu on the last day. Sebelum aku pergi Australia.” Faizal mengecilkan mata apabila cahaya matahari menyilau. Kesemua ahli kumpulan memandang Faizal dengan tanda tanya di benak masing-masing.

“Australia?” tanya Ku Zhety.

Faizal tergamam. Dia tahu dia sudah terlepas kata. Apakah alasan yang sesuai untuk diberikan kepada mereka? Tercari-cari alasan yang sesuai untuk dicipta.

“Hmmm… parents aku nak pergi holiday. So, aku pun ikut sekalilah,” bohong Faizal. Mereka yang lain mengerutkan dahi. Hairan.

“Holiday? Selama ni you tak pernah pun follow your parents pergi holiday. Adik-adik you aje yang pergi.” Ku Zhety mula curiga. Tertanya-tanya apa yang sedang bermain di fikiran Faizal.

“Kali ni my parents insist untuk I pergi sama.” Semakin lama semakin menjadi pembohongan yang dicipta Faizal.

“Betul ke dia orang yang suruh you pergi holiday sekali? Or your father nak hantar you pada auntie you yang duduk kat Australia tu?” duga Ku Zhety lagi.

Faizal sudah berpeluh. Dia berjanji pada dirinya tidak akan memberitahu apa-apa tentang pemergiannya ke Australia. Biarlah ianya dirahsiakan.

“Kau ni buang tabiat ke, Fez? Nak pergi holiday, konon!” ejek Aneeq. Dia sudah tersenyum sinis.

“Anggap ajelah aku tak pernah cakap apa-apa.” Faizal berkata hambar.

Ku Zhety menyilangkan tangan ke dada. Berasa ada yang tidak kena dengan kekasih hatinya itu.

PINTU UTAMA rumah banglo itu dikuak luas. Faizal melangkah masuk. Ditanggalkan kasut sekolah dan diletakkan di atas rak kasut. Rumah hari itu sangat sunyi. Ke mana semua orang? Faizal tertanya-tanya. Menjenguk ke dalam dapur. Tiada orang. Tetapi pintu belakang dapur terbuka luas. Dia menjenguk ke dari pintu dapur. Kelihatan Sutinah sedang leka bersembang dengan pembantu rumah jiran mereka.

“Bik…” panggil Faizal.

Sutinah mengalih pandang. Tersengih melihat tuan mudanya.

“Jal udah pulang,” ujar Sutinah.

“Yalah, bik. Takkan nak tidur kat sekolah pulak. Bik ni asyik gosip aje. Makan tengah hari dah siap ke?” tanya Faizal sedikit seloroh. Sutinah tersenyum.

“Udah, Jal. Bik udah letak di atas meja itu.” Sutinah menjawab.

Faizal beralih dan masuk ke dalam rumah semula. Menjenguk makanan yang sudah siap terhidang di bawah tudung saji atas meja. Kemudian dia menjenguk semula ke pintu belakang.

“Yang lain mana, bik?” Faizal bertanya.

Sutinah sekali lagi mengalih pandang ke arah Faizal.

“Datuk ke kantor. Datin ada meeting persatuannya. Fikhri sama Fathiq ke rumah temen. Lagi belajar, kata mereka.” Sutinah berkata panjang lebar. Faizal mencebik tidak puas hati.

“Yelah tu. Pergi belajarlah sangat. Bukan pergi belajar tapi pergi main game. Lain kali, bik, jangan bagi dia orang pergi rumah kawan-kawan dia orang tu. PMR tak lama aje lagi… tapi pemalas,” sela Faizal.

Sememangnya Faizal jarang ada di dalam kelas sewaktu pembelajaran tetapi markah peperiksaan tidak pernah berada bawah daripada sembilan puluh peratus. Tidak dinafikan Faizal lebih pintar daripada adik-adiknya.

“Bibik harus gimana? Datin udah ijinin mereka keluar. Bibik nggak bisa melarang mereka,” tukas Sutinah.

Faizal mengangguk. Betul juga kata Sutinah itu. Kalau umi yang sudah memberikan kebenaran, apa hak pembantu rumah untuk menghalang mereka. Faizal menggeleng perlahan.

“Udah deh, Jal. Kamu makan aja. Bentar lagi, mereka pasti pulang,” ujar Sutinah. Dilihat tuan mudanya itu mengangguk perlahan. Sutinah kembali menyambung perbualan yang terhenti dengan pembantu rumah sebelah.

Sedang Faizal leka menonton televisyen di ruang tamu, terlihat kelibat adik-adik kembarnya baru pulang dari rumah sahabat mereka. Mereka melintasi ruang tamu. Tidak perasan akan kehadiran Faizal di situ. Dia berdeham kecil. Fikhri dan Fathiq beralih pandang.

“Baru teringat nak balik ke? Ingatkan dah tak ingat jalan nak balik rumah,” sindir Faizal. Adik-adiknya mencebik masam.

“Alah… abang tu. Kadangkala balik dah malam pun, kita orang tak bising. Yang kita orang balik dah petang, abang dah kecoh-kecoh. Apa hal?” lantang Fathiq berkata.

Mata Faizal mencerlung ke arah mereka. Panas hatinya mendengar kata-kata sebegitu dari mulut adik yang muda dua tahun daripadanya.

“Kau jangan kurang ajar dengan aku. Ingat sikit aku ni abang kau,” jerit Faizal pula. Fikhri berusaha menahan adik kembarnya dari bergaduh dengan Faizal. Fathiq menepis kasar.

“Kau jangan halang aku. Kau sebelahkan siapa sebenarnya ni?” suara Fathiq semakin meninggi.

“Fathiq, kau ingat sikit Fikhri ni abang kau! Walaupun dia kembar kau tapi dia lahir awal beberapa minit dari kau. Jangan kau kurang ajar dengan dia. Hormat sikit!” Keras sahaja nada suara Faizal. Tidak berapa suka dengan sikap Fathiq yang semakin kurang menghormati abang-abangnya sejak dia sudah menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

“Ahhh…!” Malas Fathiq hendak mendengar kata-kata Faizal. Dia cuba untuk berlalu dari situ tetapi Faizal menarik bajunya sehingga dia terdorong ke belakang.

“Abang ni apa hal?” Fathiq berkata lantang.

Sutinah yang berada di dapur, terkedek-kedek lari ke ruang tamu. Ingin melihat apa yang terjadi.

“Ya Allah! Ngapain, Jal? Ngapain kamu berantem?” tanya Sutinah.

Faizal sudah mencekak baju Fathiq. Peluh jantan sudah memercik di dahi Fikhri. Kalau abang dan adiknya itu bergaduh, pasti berbulan mereka akan melancarkan perang dingin.

“Bik jangan masuk campur!” Keras Faizal memberikan amaran.

“Usah ikut campur! Usah ikut campur! Ngapain kamu bentak-bentak ni? Kepala bibik ini pusing tau nggak?” ujar Sutinah. Dia menggeleng pantas. Pening kepala dengan sikap anak-anak majikannya yang tidak pernah berubah itu.

“Udah deh, Jal.” Sutinah cuba meleraikan pergaduhan itu. Sudah lama dia berkhidmat di rumah itu. Kesemua anak-anak majikannya sangat menghormati Sutinah. Faizal melepaskan genggamannya itu.

“Nasib baik ada bik. Kalau tak, nahas kau aku kerjakan,” ugut Faizal.

Fathiq mendengus kasar.

“Fik, bawa Fathiq ke kamar, ya,” arah Sutinah lembut kepada Fikhri. Anak muda itu mengangguk pantas. Terus sahaja Fikhri menarik Fathiq dan menuju ke tingkat atas untuk ke bilik mereka.

“Kurang ajar budak tu sekarang,” ujar Faizal. Sedikit berang dengan perangai adiknya itu..

“Sabar aja, Jal. Kamu nggak boleh bentak-bentak Fathiq begitu. Dia udah gede,” tingkah Sutinah. Faizal memandang wajah pembantu rumahnya itu dengan wajah kehairanan.

“Gede?” Faizal bertanya kembali.

“Ya iyalah, gede. Oh… lupa kamu nggak ngerti gede itu apa. Gimana sih? Kalau orang Malaysia, mereka bilang…apaan, ya? Aduhhh… lupa.” Tergaru-garu Sutinah cuba mencari perkataan yang sesuai untuk menggantikan perkataan yang disebutnya itu.

“Besar?” Faizal menduga.

“Ya itulah. Fathiq itu udah besar. Kamu sebagai kakaknya, harus jagain dia.” Kata-kata Sutinah sekali lagi membuatkan dahi Faizal berkerut. Tidak faham bahasa pembantu rumahnya itu.

“Zal ni abang dialah, bik. Bukan kakak,” sela Faizal. Tergelak kecil Sutinah dibuatnya.

“Iya. Tapi di Indonesia, mereka nggak bilang abang. Mereka bilang kakak,” jawab Sutinah lagi.

Faizal menggeleng. Setiap hari ada sahaja perkataan baharu yang dipelajarinya daripada Sutinah.

“Hesh… lagi lama Zal duduk dengan bik ni, nanti lagi pening kepala Zal. Dahlah, Zal masuk bilik dulu.” Faizal segera meminta diri.

JAM BERDENTING sebanyak enam kali. Dizyan menggosok mata yang masih terasa kantuknya. Sempat menggeliat di atas katil. Dengan penuh perasaan malas, Dizyan gagah jua untuk bangun. Pagi itu hujan renyai-renyai menyebabkan dia bertambah malas untuk bangun dari tidur. Alangkah bahagianya kalau hari ni hari Sabtu, desis Dizyan. Pintu bilik diketuk perlahan.

“Yan, bangun sayang. Nanti Yan lambat pergi sekolah.” Puan Hajah Karissa berkata dari luar pintu. Dizyan menutup mulut yang terbuka luas. Menguap.

“Ya, umi. Yan dah bangun,” sahut Dizyan. Dicapai tuala yang disangkutkan di penyidai baju. Melangkah perlahan ke dalam bilik air. Tiba-tiba teringat rancangan yang akan dilaksanakan hari ini. Terus sahaja wajahnya menjadi segar.

“Dizyan Farhana! Kuatkan semangat. Kau nak kenakan mangkuk dua ekor tu.” Dizyan berkata kepada dirinya sendiri. Memberi semangat sedangkan hatinya berdebar-debar. Dada terasa hendak meletup. Takut apa yang dirancang tidak menjadi.

Dizyan memasang pancuran air panas. Pagi yang sejuk tidak membenarkan dia bermandi air sejuk. Diletakkan kepala di bawah pancuran air. Terasa lega. Lama dia berada di bawah pancuran air tersebut. Seperti tidak mahu keluar dari bilik air.

Usai mandi, Dizyan berdiri di hadapan singki. Mengambil berus gigi dan menggosoknya. Sambil itu, fikirannya menerawang. Rancangan yang hendak dilaksanakan ini sebenarnya masih tidak cukup sifat jahat. Tetapi tidak mengapalah. Asalkan dapat membuatkan Faizal dipanggil oleh Cikgu Alias sudah memadai.

Dizyan keluar dari bilik air dan menyarungkan baju sekolahnya. Dia turun ke tingkat bawah untuk bersarapan bersama keluarga.

Semasa bersarapan, Dizyan asyik tersenyum seorang diri. Pelik Asyifa melihat kelakuan adik sepupunya itu. Puan Hajah Karissa mengerutkan dahi. Hairan melihat sikap anak gadisnya.

“Yan okey ke?” tanya Asyifa.

Dizyan tersentak dan memandang wanita di sebelahnya.

“Apa yang okeynya, kak?”

“Yelah. Dari tadi Kak Syifa tengok Yan asyik senyum sorang diri aje.”

“Adalah, kak.” Dizyan berkata sambil tersenyum penuh misteri.

Asyifa dan Puan Hajah Karissa menggelengkan kepala mereka.

SEBAIK SAHAJA SAMPAI di sekolah, Dizyan meletakkan beg di dalam kelas dan terus turun ke tingkat bawah. Awal sekali Dizyan tiba di sekolah hari itu. Semata-mata untuk melaksanakan rancangannya. Kakinya laju melangkah ke arah tandas lelaki. Dipandang ke kiri dan ke kanan. Nampaknya, tidak ramai lagi yang berada di sekolah pada pagi itu. Dia masuk ke dalam tandas tersebut. Diconteng sesuatu di dinding tandas. Setelah berpuas hati dengan hasil kerjanya, Dizyan kembali semula ke kelas. Menyimpan alatan yang digunakan untuk menconteng.

Seketika kemudian, ternampak kelibat Ku Zhety melintasi kelasnya sambil menggalas beg. Tidak lama kemudian sekali lagi Ku Zhety melintasi kelasnya untuk turun ke tempat yang selalu dijadikan tempat untuk melepak geng-geng Faizal. Pantas Dizyan keluar dari kelasnya dan memerhatikan keadaan sekeliling. Bagus! Line clear. Cepat-cepat Dizyan masuk ke kelas Ku Zhety dan membuka beg galas gadis itu. Mengambil tudung yang dipakainya semasa kelas pendidikan Islam. Dizyan tahu ustazah paling tidak suka orang tidak memakai tudung sewaktu pembelajarannya. Dimasukkan tudung tersebut di dalam poketnya dan segera keluar dari kelas tersebut sebelum dituduh mencuri barangan. Maklumlah, itu bukan kelasnya. Jadi, orang akan menuduh dia cuba untuk mencuri.

Dizyan meletakkan tudung yang baru diambilnya itu di bawah meja guru. Tidak mahu letak di dalam begnya. Nanti kalau dilakukan pemeriksaan secara mengejut atau spot check, kantoi pula. Lebih selamat bukti tidak diletakkan berdekatan dengannya.

Misha dan Yasmin yang baru sahaja sampai, terkejut melihat Dizyan sudah berada di dalam kelas. Belum pernah Dizyan tiba seawal itu ke sekolah. Selalunya hampir-hampir waktu persekolahan bermula, baru muncul gadis gempal ini.

“Awal hari ni, Yan?” tanya Misha.

Dizyan hanya tersenyum manis. Pura-pura tersenyum sebenarnya. Ingin menutup perasaan gementar. Risau juga rancangannya tidak menjadi.

“Jomlah, Yan. Turun. Kejap lagi dah nak start beratur,” ujar Yasmin. Setiap pagi pasti kena beratur dulu sebelum masuk ke dalam kelas masing-masing. Kecuali hari Isnin yang akan diadakan perhimpunan mingguan. Mereka bertiga beratur mengikut kelas. Tiba-tiba berdiri seorang pengawas di hadapan sambil memegang mikrofon. Mereka yang lain berasa pelik. Hari ini sepatutnya beratur sahaja. Bukannya ada perhimpunan. Masing-masing masih menunggu pengawas itu berkata-kata.

“Fezrull Faizal bin Farid. Kamu dikehendaki berjumpa dengan Cikgu Alias di biliknya. Yang lain boleh balik ke kelas masing-masing. Sekian terima kasih,” kata pengawas sebelum beredar.

Dizyan sudah tersenyum sinis. Tidak sabar untuk melihat Faizal menerima hukumannya.

Faizal yang mendengar namanya dipanggil oleh pengawas, kelihatan terpinga-pinga. Serasanya dia tidak melanggar mana-mana undang-undang sekolah. Dia memanjat tangga untuk menuju ke bilik disiplin. Sempat menjenguk ke bawah untuk melihat rakan-rakan yang sudah pulang ke kelas. Matanya tertancap pada Dizyan yang berada di bawah. Kebetulan juga gadis itu memandang ke arahnya. Apabila terlihatkan wajah gadis itu yang sinis, dia tahu pasti Dizyan ada kaitan dengan kejadian yang membuatkan Cikgu Alias memanggilnya. Faizal melangkah masuk ke dalam bilik Cikgu Alias.

“Kamu ni apa nak jadi ni, hah?” bentak Cikgu Alias kuat sebaik sahaja Faizal melangkah masuk. Kakitangan pejabat yang ada di situ, terkejut mendengar jeritan Cikgu Alias. Faizal hanya mendiamkan diri. Menundukkan wajah ke bawah.

“Kamu dahlah jarang masuk ke kelas, gengster sekolah. Lepas tu kamu buat vandalisme pulak. Saya tahu kamu pandai. Keputusan tak pernah di bawah sembilan puluh peratus. Kamu tak boleh tunjukkan teladan yang buruk ini kepada junior kamu. Kamu tahu tak, saya kenal ayah kamu tu. Kami berkawan baik. Saya boleh saja beritahu pada dia yang kamu telah melakukan vandalisme dengan menconteng tandas sekolah. Tapi, kali ni saya lepaskan kamu. Saya cuma akan hukum kamu. Lepas waktu sekolah, bersihkan tandas. Bersihkan dinding yang kamu conteng tu.” Hukuman telah pun dijatuhkan tanpa mendengar apa-apa rayuan daripada pesalah.

Faizal mengangguk perlahan. Malas untuk membantah. Dia melangkah keluar dari bilik guru disiplin itu.

Faizal melintasi kelas Dizyan. Melihat ke dalam kelas itu melalui cermin tingkap. Kelihatan gadis itu sedang tekun mendengar penerangan guru. Tetapi Dizyan turut mengalih pandang ke luar. Tersenyum sinis dan mengangkat ibu jarinya. Faizal menggenggam penumbuk dan terus beredar menuju ke kelasnya pula.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Kau Milikku 6, 7”
  1. aqif_mia says:

    aqif suke cite ni…

  2. sue says:

    nk blog….
    best arrr.. ape jd pasni?

  3. Badros sholeh says:

    mana gak ada lagi ta dah bosen ni….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"