Novel : Kau terimalah taubatku 7

8 September 2010  
Kategori: Novel

597 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Orkid Edyliyne

Wan yang berbaring di katilnya membelek rantai tangan yang bergantungan bentuk-bentuk teddy bear di sekelilingnya itu. Seketika, matanya dilarikan pada novel di atas komputer ribanya.

Tubuhnya dipalingkan ke kiri. Rantai tangan itu digerak-gerakkan pula.

“Tapi, kenapa yang aku beli novel yang aku sendiri tulis?” getus Wan seketika bingung dengan dirinya sendiri.

Setelah balik dari pejabat, dia baru membelek buku yang dibelinya. Berniat untuk membaca malam itu. Tiba-tiba dia lihat ada satu novel berada bersama buku yang dia beli.

“Ke… Perempuan tu punya?” Sekali lagi dia berbual sendiri.

Ingatannya kembali pada kejadian siang tadi di kedai buku.

***

“Encik lain kali hati-hati sikit. Tadi tu regular customer. Encik tu, memang baran sikit kalau anak dia tu, orang langgar,” beritahu pekerja kedai itu dengan lembut pada Wan sebelum berlalu.

Dia tu, Melayu ke bukan? Getus hati Wan.

‘Barbie. Dia melayu ke ah?’ Ayat Yasir dua hari lepas berlegar di fikirannya.

Telah nyata dari garis wajah gadis itu, dia adalah Pan Asian dan cara dia berpakaian tidak lansung menampakkan yang gadis itu Melayu. Tambahan pula nama gadis itu membuatkan dia semakin terfikir.

Tapi… Kan dia kerja dekat club semalam tu. Tak heranlahkan kalau dia pakai macam tu. Lailahaillallah… Apa yang aku fikir ni. Wan… Wan… Bual hatinya sendiri.

Baru setapak dia melangkah, kakinya terhenti ketika ada benda yang dia pijak. Kakinya dialihkan.

Dilihatnya ada rantai tangan di lantai.

Sudah. Cicir pula ke? Gumam Wan. Pantas tangannya mengambil rantai tangan itu dan berlalu.

“Ni kira. Sekejap lagi saya datang,” beritahu Wan sebelum berlari anak keluar dari kedai itu untuk mencari gadis itu bagi menyerahkan kembali rantai tangan itu.

Melilau matanya mencari kelibat gadis itu. Namun, tiada tanda.

Rantai tangan yang digenggamnya, dipandangnya seketika.

“Nasib betullah aku hari ni.” Belakang kepalanya disentuh. Sedikit kesal nadanya.

Setelah membayar harga buku, dia terus mengambilnya dan berlalu.

***

Wan meniarap pula. Novel yang tidak jauh darinya itu, digapainya.

“Abang… Mija masuk eh?” pinta Amira Jannah, adik perempuannya itu menjongol dari balik pintu.

“Hah…” Dia mengangguk dan terus duduk.

“Kenapa?” tambahnya lagi. Wajah adiknya itu dipandangnya terus.

“Tak ada apa. Bosan. Tak ada orang. Semua orang pun… Ada kerja. Abang ada kerja juga ke?” tanya Mija pula dengan muka sayunya. Dia terus sahaja berbaring di atas katil abang keduanya itu.

“Tak ada…” Novel di tangan diletakkan ke tepi.

“Eh… Buku ni bukan abang yang tulis ke? Abang beli ke? Baru lagi ni. Plastik pun tak buka lagi,” getus Mija. Novel itu diambil dan dibeleknya.

“Oh… Ini untuk kawan abang.” Novel di tangan adiknya itu diambilnya dan diletakkan di pehanya.

“Kawan abang? Dia tak boleh beli sendiri ke? Kawan perempuan ke, lelaki?” Bertalu-talu mulut itu bertanya dengan satu nafas.

“Banyak tanyalah. Kenapa tak pergi main game ke, apa ke. Selalu boleh je melayan diri sendiri.” Topik sengaja diubah.

Dia tahu, adiknya yang seorang itu banyak mulutnya dan suka benar mencungkil rahsia orang lain. Jika adiknya yang satu itu tahu, pasti umi dan abinya nanti tahu.

“Eh… Ni pula? Abang pakai benda macam ni ke? Macam perempuan punya je. Eh. Cantiklah. Kenalah dengan tangan Mija. Abang belikan untuk Mija ke?” Pantas mulutnya berbicara ketika dia terjumpa rantai tangan yang tadi dibelek Wan. Rantai tangan itu dikenakan dengan dirinya.

“No… Sini. Ish jangan gatal main barang oranglah,” gumam Wan. Cepat sahaja tangannya mengambil rantai tangan itu dan diselitkan di belakangnya. Jauh dari pandangan dan gapaian adiknya.

Mata Mija mula mengecil memandang wajah abangnya.

“Abang dah ada girlfriend, eh?” tanyanya penuh rasa ingin tahu dengan nada perlahan seakan orang berbisik. Wajah abangnya itu terus-terus ditenung.

“Tak… Ada…” Satu-satu perkataan itu disebut dengan matanya yang sengaja dibulatkan menentang pandang adiknya.

“Dah. Abang nak keluar. Banyak benda abang boleh buat dari melayan Mija ni.” Dia terus bangun dan novel juga rantai kaki tadi digapai. Tidak lupa komputer ribanya yang tak pernah lekang dari dirinya.

“Abang…”

“Ah… Jangan lupa… Jangan pandai-pandai nak pergi bergosip dengan siapa-siapa pasal abang. Abang dengar, siaplah Mija,” pesannya pantas memintas ucapan yang baru hendak keluar dari mulut adiknya tadi. Kunci kereta dicapai sekali lalu.

“Abang…” gumam Mija geram kerana dirinya tidak dilayan.

“Jangan lupa. Keluar nanti tutup lampu ni. Bye. Assalamualaikum,” ucap Wan dan terus hilang setelah pintu ditutup.

Pantas kakinya menuruni anak tangga.

Lebih baik aku pergi pulangkan benda ni pada dia. Aku tahu nak cari dia dekat mana. Kan? Dari aku terus-terus macam orang apa fikirkan dia. Pulang benda ni, terus balik. Buang terus dia dari otak kau ni Wan. Bual hati Wan dalam dia menanti engin keretanya panas.

***

Lama Wan menanti di sudut dalam club yang kekal bingit seperti selalu. Matanya sering melilau ke sana sini mencari kelibat diri itu. Namun lansung tiada tanda diri itu ada di sekelilingnya.

Punggungnya diangkat dan berlalu ke tandas.

Belum lagi dia sampai ke tandas, seorang perempuan berselisih jalan dengannya.

“Cik,” panggil Wan menghentikan langkah kaki itu.

“Ye,” jawabnya dengan senyuman yang menguntum memandang wajah Wan yang berdiri tidak jauh darinya.

“Saya nak tanya. Barbie kerja ke hari ni?” Terus sahaja dia bertanya. Jika boleh dia tidak mahu berlama di situ. Duduk sehingga terlekat semua bau di dalam ruang itu ke bajunya.

Perempuan itu berdengus dan senyumannya hilang terus. Cuma muka masam yang ditayangkan.

“Dia kerja luar malam ni. Tidur dengan lelaki. Malam ni, tak ada kerusi tempahan untuk dia. Mungkin esok pagi baru dia balik,” jawab wanita itu pantas dengan nada yang menjengkelkan dan terus hendak berlalu.

“Kenapalah semua lelaki pandang sangat betina tu. Berjuta kali keluar masuk hotel tu. Harga 10 kali lagi mahal dari aku pula tu. Argh! Tak guna,” gumam wanita itu sebelum jauh lagi dia berjalan membuatkan Wan dengar apa yang dituturkannya.

Wan menggeleng.

Dia bukan penari je? Gumam hati Wan. Novel yang masih di tangannya, dipandang.

Betul ke ini buku dia? Dia baca ke buku macam ni? Bual hatinya lagi mengingatkan jalan cerita yang ditulisnya di dalam buku itu mengandungi unsur keIslaman. Jika dilihat pada sinopsis di belakang buku juga sudah dapat agak isi dalamnya yang begitu.

Tapi tak mustahil, kan? Otak rasionalnya pula berbicara.

Argh! Mustahillah. Dahlah lebih baik kau balik. Agaknya sekarang dia dah seronok dengan lelaki dekat hotel. Kau, buang masa menunggu dia dekat tempat maksiat ni. Bidas hatinya.

Wan terus berlalu meninggalkan tempat itu.

Ya Allah… Apa aku buat ni. Aku nak sangat jumpa dia. Kenapa dengan hati aku ni? Kenapa aku membazir masa berjam-jam semata-mata menunggu dia sedangkan aku boleh buat kerja lain. Lailahaillallah… Jauhkanlah hati aku dari terus fikirkan dia. Doa Wan dalam hati sambil kepalanya ditongkatkan ke stereng kereta.

***

Menapak sahaja di di dalam rumah, kelihatan semua lampu sudah ditutup cuma lampu kecil sahaja dibuka di setiap ruang kerana memudahkan sesiapa yang pulang lewat ke rumah itu.

Dia terus membawa langkahnya ke dapur. Botol air di dalam peti sejuk digapainya sebelum air di dalamnya diteguk sahaja begitu tanpa mengambil cawan terlebih dahulu.

“Ke mana Wan? Malam baru jumpa rumah.” Kedengaran lembut suara Datin Farida menyapa pendengarannya membuatkan dia berpaling.

“Umi.” Hanya itu sahaja yang mampu diucapkannya kerana sedikit terperanjat dengan kehadiran uminya yang dengan bertelekung berdiri di hadapan pintu dapur.

“Ke mana? Ada masalah ke?” tanya Datin Farida sambil melangkah mendekati anak keduanya.

Wajah uminya ditatap. Perasaan ibu itu begitu kuat sekali sehinggakan boleh mengetahui apa sebenarnya yang disimpan anaknya.

“Umi tak tidur lagi?” tanya Wan sengaja mengalihkan topik yang ditanyakan uminya tadi.

“Tak. Umi tersedar pukul 12 tadi. Pergi bilik Wan, Wan tak ada dekat bilik. Tiba-tiba malam ni umi rasa tak senang bila Wan balik lewat. Wan tak apa-apa, kan?” tanya Datin Farida lagi. Pipi anaknya itu disentuh lembut. Wajah itu dibelek.

“Wan okey umi. Jangan risaulah. Wan tak apa-apa,” jawabnya cuba menutup rasa dalam hatinya yang semakin kuat mendabik dadanya. Nama gadis itu terus-terus meniti di fikirannya. Wajah gadis itu terus-terus mengusik memorinya.

Datin Farida diam menatap anak mata Wan penuh kasih sayang seorang ibu.

“Kalau Wan ada apa-apa yang nak cerita ke, nak kongsi dengan umi. Umi sentiasa ada masa untuk Wan. Jangan simpan sorang-sorang. Pendam perasaan sendiri macam tak ada orang sekeliling Wan.” Nadanya seakan tahu sahaja apa yang disimpan Wan.

Wan mengangguk lambat.

“Umi naik dulu. Jangan lupa mandi dulu baru tidur.” Kedua tangannya diletakkan di pipi Wan dan mendorong wajah itu dekat dengannya sebelum satu kucupan hangat hinggap di dahi anaknya itu sebelum dia berlalu.

“Umi…” panggil Wan sebelum kaki Datin Farida melangkah keluar dari dapur.

Datin Farida berpaling dan sekadar memberikan senyuman menanti apa yang akan diucapkan anaknya.

“Good night, umi. Assalamualaikum,” tambah Wan dengan senyuman nipis.

“Good night, sayang. Waalaikummussalam,” balas Datin Farida. Bibirnya yang tersenyum, terus melebar sebelum meneruskan langkahnya.

Wan menghela nafas berat. Kepalanya dipegang. Fikirannya cuba dirasionalkan.

***

Wan berbaring terlentang di atas katilnya. Seperti hari-hari sebelumnya, dia tidak tahu kenapa matanya sukar benar hendak lelap sedangkan waktu sudah menganjak ke pukul 3 pagi.

Just think yang kau tak pernah jumpa dia Wan. Kau tak pernah jumpa dia. Tak pernah kenal dia. Dunia kau dan dia, jauh berbeza.

Kau dididik dengan agama yang cukup, lengkap. Sedang dia, entah asas agama pun dia tak ada malahan bertentangan agama dengan kau.

Bukan dia… Bukan dia jodoh kau. Kau boleh dapat yang lebih baik dari itu, Wan. Lupakan dia. Lupakan dia.

Hati dan fikirannya berbual sesama sendiri sedang matanya terkebil-kebil menatap shiling biliknya di dalam kesamaran bilik tidur itu.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"