Novel : Kejarlah Daku, Engkau Kutangkap 11

7 September 2010  
Kategori: Novel

950 bacaan 5 ulasan

Oleh : Riesna Zasly

BAB 11

Maria berkeluh lesu. Ulas bibirnya mencibir dengan riak hambar. Sekilas raut wajah Ardi membayang di ruangan mata. Justeru mengamit rindunya yang menggebu-gebu pada sesosok tubuh jejaka bermata redup itu. Maria akui terlalu sukar untuk melenyap watak Ardi dari relung ingatan. Lebih-lebih lagi, lelaki itu adalah pelopor cinta sulongnya yang bersemarak tegar di sudut jiwa. Tiada mungkin mampu dicari ganti.

Maria yakin. Pasti Ardi tercari-cari akan kehilangannya. Tak mustahil Ardi turut disungkup bingung menggapai jejak langkahnya yang lenyap sekelip mata dari untaian kasih mereka. Apatah lagi, cenderung meratap takdir perpisahan mereka yang terjadi di luar batas kerelaan. Tak mungkin juga, lelaki itu mampu berpaling dari mengingati dirinya. Lebih-lebih lagi tega melenyap rasa sayang yang pernah dilewati bersama.

“Abang benar-benar menyayangi dirimu, Maria. Kita harus memberi masa pada hubungan kita. Menanti sehingga Maria juga ikut menjadi dewasa. Setelah itu barulah kita tentukan hala tuju cinta kita!” Untaian kata manis Ardi masih terngiang-ngiang di halwa telinga.

Tak mungkin Maria lupa pada ungkapan tulus Ardi padanya dulu. Tak mampu terlupus di cepu ingatan akan ikrar janji lelaki itu pada citra kasih mereka. Masih diingat akan genggaman erat tangan Ardi yang mengutus ikatan setia. Masih terimbas kucupan mesra jejaka berkumis tipis itu pada padang dahi serta ubun-ubun kepala. Kehangatan dari cumbuan itu masih memijar di perdu hatinya. Membarakan semarak api kasih yang tidak berpenghujung.

Maria terjentik hiba. Babak demi babak alam percintaannya bersama Ardi semakin rakus melayar ke cepu kepala. Mengenang semula detik-detik asmara yang terjalin, semerbak rindu kian marak membakar sekujur jiwa remajanya. Mengingat pada kemesraan kasih yang tersingkap, gairah mudanya melonjak semu serta bergebu-gebu tak mampu dikawal. Batinnya seolah-olah hangus dalam sebak yang tidak berkesudahan

Maria menarik nafasnya dalam-dalam. Sejurus kemudian dihela segugus nafasnya yang berbaur gas karbon dioksida itu perlahan-lahan sembari berkeluh lagi. Jauh di sudut benak, dia benar-benar teringin hendak menghubungi Ardi. Sekurang-kurangnya hanya sekadar untuk bertitip kabar buat seketika. Justeru memberitahu di lokasi mana dirinya terlempar jauh. Di sela menghurai secebis rasa rindu yang terpendam lama.

Maria berdengus lemah. Disuap ke ulas bibir, saki-baki bihun goreng yang ada di dalam pinggan dengan riak kurang berselera. Fikiran kian tenggelam dalam ulit khayalannya sendiri. Selain merindui Ardi, dia turut alpa berlamun panjang. Terutama pada beberapa peristiwa pahit yang mengores lara di relung jiwanya sepanjang berada di situ. Akalnya lelah!

Situasi yang serba hinggar-binggar di dalam ruang besar di sekitar, langsung tidak diambil endah. Kuping telinganya seakan telah menjadi tuli. Sepertimana riak perasaan yang turut mati dalam kekakuan nelangsa. Hanya lewat sorotan matanya sahaja, pandangan menancap pada telatah para penghuni Pusat Jagaan Nurul Haqim itu, bersama raut tawar.

Suasana di ruang makan yang merentang empat buah meja panjang itu riuh rendah dengan gelagat para penghuni yang sedang rancak menjamu selera. Ada yang menyantap hidangan sarapan sambil berbual dengan rakan sealiran. Ada yang khusyuk menonton peti televisyen yang turut disediakan. Bahkan, tak terkecuali yang ralit berulit dengan buku mahupun majalah. Justeru tenggelam dalam dunia bisu mereka sendiri. Maria mencemik bosan.

Sesekali turut tertangkap ke halwa telinganya, bunyi dentingan sudu serta garpu logam yang saling berlaga dengan permukaan tray makanan. Tak terkecuali bunyi derap tapak kaki yang sedang mundar-mandir di sebahagian pelosok ruang makan yang tidak sebesar mana. Justeru bergandeng dengan suara hiruk-pikuk yang rakus berbicara entah apa-apa. Serba sedikit terkesan memecah keheningan alam di awal pagi itu.

Sekilas mata Maria melirik pula ke sosok tubuh rendang Mak Temah yang lincah melayan para penghuni itu bersarapan. Turut terdengar bebelan wanita tua itu memarahi sekelumit penghuni yang kian galak berbual sesama sendiri. Bimbang melengah-lengahkan masa yang ada. Justeru tegas memberi peringatan agar tidak terlewat mengikut jadual program mereka yang selanjutnya. Itulah rutin Mak Temah hampir di setiap hari. Peranannya selaku pengurus dapur hatta tenaga pengasuh sukarela kepada para peserta di situ tidak pernah dibuat sambil lewa.

Maria meneruskan suapannya yang sudah semakin berakhir. Menekur baki bihun goreng yang tersisa di dalam pinggan, hatinya terdetak haru. Maria tahu, makanan itu merupakan hidangan kegemaran Ardi sewaktu persamaan mereka dulu. Di setiap kali mereka keluar bertemujanji di mana-mana, Ardi pasti tidak pernah culas memesan makanan tersebut. Malah akan tetap menyantapnya rakus dengan penuh berselera. Biarpun agak kerap menikmatinya saban waktu tanpa digamit jemu.

Maria beralih pandang. Direnung hambar ke arah sebuah kerusi kosong di hadapan. Selalunya dia tidak pernah bersantap sendirian di meja kecil khas yang diletak tersorok berdekatan pintu ruang dapur itu. Selain Mak Temah, kelibat Kak Rosnah juga sering menemaninya menjamu selera. Lebih-lebih lagi pada sesi bersarapan pagi yang tak pernah culas dilewati.

Entah apa silapnya, Kak Rosnah tidak hadir pula ke ruang makan di hari itu. Bayang dirinya yang sering melawat dorm asrama para penghuni termasuk bilik Maria pada setiap awal pagi turut terabai begitu sahaja. Mak Temah pula, seusai meneguk secawan kopi di sebelahnya tadi, terus bergerak ke arah kelompok meja makan para penghuni. Bertinjau dengan raut tegas persis seorang warden penjara.

Maria menghela nafas lemah. Tangannya bingkas meraih sebiji gelas yang berisi saki-baki air kopi dari atas meja. Dihirup perlahan air yang sudah suam-suam kuku itu seraya terpekur jauh.

Sekilas, matanya menerjang ke arah sebuah jam besar berbentuk lonjong yang menekap kaku pada dinding di atas palang pintu ruang dapur. Justeru bingkas dialih pandang seraya diamati suasana di laman luar pula dari sebuah jendela yang separa terbuka. Tekun merenung situasi pagi yang mulai berarak cerah.

Peristiwa pada dua hari yang lalu masih segar menempel di cepu ingatan. Kejadian yang tak mungkin mampu dilupa buat seumur hidup. Yang mana benar-benar menganugerah kesan yang amat mendalam pada batin remajanya. Bagaikan diserang trauma, ia utuh hadir mengawang ke puncak perasaan. Ibarat sebuah mimpi ngeri yang begitu menyeramkan. Bahkan menghantui jiwanya di segenap waktu.

Masih diingat pada pandangan gadis itu yang melotot tajam padanya. Turut terimbas akan raut wajahnya yang membengis serta kesan tarahan panjang di pangkal pipi kiri. Bagai berpadan pula dengan penampilannya yang berpakaian seragam penghuni dari Jabatan Penjara. Mengenangkan itu, Maria menelan ludah beberapa kali.

Justeru tak lupa pada tuturkatanya yang terluah kesat dalam riak penuh emosi. Membentak serta meraung-raung bagai menghambur dendam yang berbuku. Beronta-ronta dalam situasi tubuh yang cenderung hamil. Mencederakan tapak kakinya dengan menginjak-injak kaca. Ikut membuakkan luka berdarah di sebahagian tubuhnya. Ah! Maria makin bergeletar untuk terus membayangi situasi itu semula. Dia jera!

Sehingga kini Maria masih tertanya-tanya akan keadaan penghuni baru yang sedang sarat mengandung itu. Entah nasib malang apa yang menimpa gadis muda yang berwajah bengis itu. Sehingga dirinya dipalit kecelaruan emosi sebegitu rupa. Bahkan tampak keras meratap takdir diri lewat memaki hamun tanpa hujung pangkal. Persis orang yang telah hilang siuman. Berentap dengan tingkah serba kasar ibarat sekujur tubuh yang dirasuk hantu. Adakah gadis itu waras?

“Sabarlah, nak! Mak temah sudah pun bawa budak tu masuk ke bilik kawalan khas. Sudah-sudahlah menangis itu ya!” Masih diingat raut bujukan Mak Temah di hari itu.

Tutur kata wanita tua itu terhambur lembut. Tak putus menenangkan diri Maria yang kecundang kaku bahana diterpa perasaan terlalu panik. Malah riak gementar yang mengundang gigilan deras ke sekujur tubuh Maria bagai turut mengamit rasa kasihannya yang dalam. Semuanya gara-gara terlanjur menghadapi tingkah luar dugaan penghuni baru tersebut.

Sejurus selepas Maria melarikan diri ke sudut dapur dalam riak ketakutan, barulah Mak Temah muncul di Pusat Jagaan Nurul Haqim. Terkocoh-kocoh wanita tua itu merempuh gelagat gila gadis muda itu seorang diri di ruang tamu. Entah apa tindakan Mak temah sehingga emosi gadis hamil itu berhasil dikawal. Dengan sekelip mata, kemarahan gadis itu juga turut mereda. Bahkan, dengan begitu mudah Mak Temah segera menempatkannya ke sebuah bilik khas di bahagian hujung pusat itu.

Setelah itu, Mak Temah bingkas datang mengamit sekujur tubuh Maria yang terduduk lesu di sebalik daun pintu ruang dapur. Tanpa berlengah, wanita tua itu segera mententeramkan dirinya yang sedang menggeletar kaget.

Membujuk perasaannya dengan kata-kata pemulih semangat. Seolah-olah mengerti benar akan rasa terkejut Maria bahana situasi yang tegang sebegitu.

“Kenapa dia jadi begitu, Mak Temah? Maria takut sangat tengok keadaan dia itu! Mak temah pula tak ada. Maria benar-benar terkejut, Mak Temah!” Protes Maria dengan sedu-sedan yang masih tersisa.

Butiran air mata masih tak putus melemas ke sebujur wajah. Bahunya juga turut terhenjut-henjut kecil mengikut rentak esak tangis. Maria akur. Dia benar-benar disungkup trauma dengan situasi di waktu itu. Perasaan terperanjatnya memuncak. Turut tergamit rasa jengkel bahana terpaksa menempuh kes amokan melulu sang gadis. Berperilaku bagai orang yang tidak stabil mental. Dipohon benar agar dijauhkan dari perkara-perkara yang semacam itu lagi dari jalan hidupnya. Maria serik!

“Perkara begitu biasa berlaku di sini, nak! Lebih-lebih pada para penghuni yang masih baru ditahan di pusat begini. Bermacam-macam gelagat memberontak yang mereka lakukan! Lebih teruk dari itu pun Mak Temah pernah tengok! Sampai dah lali menempoh! Sabarlah, Maria ya! Mungkin Maria masih belum biasakan diri lagi!” Bujuk Mak Temah lagi dengan penuh jujur.

Sekujur tubuh Maria yang tersimpuh lesu di atas lantai didakap erat dengan penuh rasa prihatin. Ubun kepalanya juga turut diusap mesra memaut tenang. Bahkan tak lupa Mak Temah membaca beberapa potong ayat suci sembari meniup-niup perlahan ke padang dahi Maria. Buat pemulih semangat, katanya.Termakan pujuk juga benak Maria diperlakukan begitu. Tak semena-mena ketakutan yang menyelubungi batin berhasil diusir pergi. Biarpun rasa serik masih berbekas memamah hati.

“Apa yang terjadi pada dia ya, Mak Temah? Dia naik gila tiba-tiba. Dia sakit mentalkah?” Maria mengusul persoalan yang telah lama memukim di benak.

Hati Maria keliru. Tak sanggup mindanya hendak menghimbau semula situasi gadis muda itu. Telapak kakinya di kala itu membuak darah pekat bahana memijak-mijak serpihan kaca dari gelas yang telah pecah berderai di atas lantai. Pengelangan tangannya juga sudah meleleh darah merah bahana cuba memberontak untuk melepaskan diri dari digari. Bahkan dahi gadis itu turut terluka gara-gara dihentak kuat pada tiang besi pintu gril yang bercat hitam.

Tak dilupa pada ratapan hiba gadis yang sedang sarat hamil itu yang berlantun dengung. Justeru kedengaran sayu menggegar nubari. Begitu juga dengusannya yang menggema kuat dalam nada yang benar-benar menakutkan. Apatah lagi sepasang matanya yang membuntang tajam sarat pendaman amarah. Jauh di sudut hati, Maria akui tidak mengerti akan tindak-tanduk gadis itu. Lebih-lebih lagi akan sebab-musabab dirinya yang spontan naik gila sebegitu rupa. Masyallah!

“Cukup-cukuplah itu, Maria! Jangan diingat-ingat lagi perkara itu ya! Nanti semakin hilang pula semangat yang baru hendak pulih tu!” Tungkas Mak Temah lunak.

Tampak Mak Temah seperti cuba mengelak dari terus memperkatakan perihal gadis penghuni baru itu. Sebaik mungkin dicantas setiap reaksi ingin tahu Maria dengan nada berhemah. Sedangkan benak Maria masih tak berpuas hati untuk melanjut kabar terbaru tentang gadis yang sedang hamil muda itu. Lebih-lebih lagi setelah mendengar pengakuan tragiknya sebagai seorang pembunuh.

Semalam ada juga Maria terdengar desas-desus kabar angin perihal gadis tersebut. Secara sepintas lalu dia terpasang telinga dari perbualan di antara Kak Rosnah dan Mak Temah di sudut ruang dapur. Gadis itu rupanya sudah dihantar ke Hospital Kangar di waktu malam tadi. Bagi merawat kecederaan yang dilakukannya sendiri itu.Terutama untuk memelihara dengan sempurna perkembangan janin yang berada dalam kandungannya. Mungkin dirinya akan terus ditahan dalam wad sehingga proses melahirkan.Terjentik juga rasa kasihan akan takdir malang gadis yang diketahui agak sebaya dengannya itu.

“Maria! Lekas makan tu! Jangan asyik hendak termenung sahaja! Nanti lewat pula nak ke sekolah!” Tak semena-mena Maria disapa keras di luar alam separa sedarnya.

Maria tersentak. Segenap awangan khayalnya langsung mati andar. Tambah terperanjat tatkala menyedari sosok tubuh gempal Mak Temah yang sudah berdiri tegak di hadapannya. Bercekak pinggang seraya beraut tegas. Mata tua itu juga turut melotot tajam ke arahnya dengan bibir yang bercibir garang.

Maria terus terperangah dalam riak serba-salah. Dia faham benar kepantangan Mak Temah. Wanita tua itu paling menyampah andai menyedari Maria sedang sibuk berangan. Lebih-lebih lagi sedang berulit leka sewaktu sedang menghadap sumber rezeki di depan mata. Apatah lagi berkhayal di hadapannya tanpa hala tuju. Pasti Maria dileternya panjang-lebar sehingga telinganya naik loya.

Dengan tingkah kelam-kabut, Maria segera menghirup rakus sisa air kopi sejuk dari dalam gelas sehingga kosong. Tak lupa diangkut pinggan serta gelas jamahannya itu ke sudut sinki dapur. Lantas mencucinya serba sedikit sehingga bersih. Setelah itu Maria bingkas meraih beg sekolahnya dari atas sebuah kabinet kayu yang berdekatan. Tak lupa dijinjing sepasang kasut putih beserta stokin dari warna yang senada dari balik daun pintu dapur.

“Nanti jangan lupa singgah ke bilik Kak Rosnah kau tu dulu. Mak Temah ikut hantar kau ke sekolah sekali pada pagi ni. Mak Temah bersiap sekejab ya!” Ujar Mak Temah dengan nada spontan. Matanya masih mencerlung tajam ke sekujur tubuh Maria. Bergetus tegas.

Maria terkebil-kebil mendengar saranan itu. Parasnya cenderung terpinga-pinga sendirian. Dengan minda yang terkedu leka, tangannya segera mencapai sebuah beg plastik berisi sedikit makanan serta sebotol air suam yang dihulur Mak Temah buatnya. Tak semena-mena benaknya tercuit ragu. Terasa pelik pula bila memikirkan usul Mak Temah yang akan ikut serta menghantarnya ke sekolah dipagi itu.

Padahal rutin tersebut biasa dilakukan oleh Kak Rosnah saban hari. Malah ibu saudaranya itu tidak pernah culas berulang-alik menghantarnya untuk bersekolah. Samada dikala berangkat pada waktu awal pagi.

Mahupun semasa mengambilnya di pintu pagar sekolah pada waktu tengahari. Langsung tak pernah mempercayai sesiapa pun termasuk kakitangan di Pusat Jagaan Nurul Haqim untuk mengambil alih tugasnya itu. Tak terkecuali Mak Temah sendiri. Namun ternyata situasi dihari itu agak berbeza pula. Maria pelik!

Maria kian berteka-teki di dalam hati. Semenjak awal pagi tadi Kak Rosnah tidak muncul-muncul di depan matanya. Bahkan, rutin bersarapan pun tidak dihadirinya seperti selalu. Ke mana Kak Rosnah pergi di waktu pagi tadi agaknya? Kereta ibu saudaranya itu sedang rosak kah? Atau Kak Rosnah mempunyai urusan lain yang lebih mustahak sehingga terpaksa keluar sebentar? Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Maria menyusap-usap lembut kulit di pangkal dagunya seraya terus khusyuk bergapai persoalan.

“Maria! Yang kau tercegat di depan pintu ini buat apa! Pergilah jumpa Kak Rosnah kau tu di biliknya. Masyallah! Budak ni lah!” Sergahan Mak Temah tergetus kuat ke halwa telinga.

Turut terdengar wanita tua bertubuh rendang itu beristiqhar beberapa kali. Dilihat Mak Temah sudah pun meraih sebuah raga kecil yang kosong dari dalam kabinet dapur. Turut dicapai sehelai selendang panjang berwarna coklat muda dari balik daun pintu buat penutup aurat rambut di kepala. Pandangan Mak Temah masih melotot garang ke arah Maria. Bagai menyampah benar menjergah Maria yang masih terus kaku seraya tenggelam dalam alpa.

Maria terpempan. Tubuhnya terus mengeras kaku bahana terkejut dengan teriakan kuat Mak Temah. Terasa hampir gugur tangkai jantungnya disergah sedemikian rupa. Nyaris-nyaris terlucut beg plastik berisi bekal sekolahnya itu dari pegangan. Mujurlah jemari tangan masih erat memaut. Lamunannya juga spontan berderai di bawa angin lalu. Tanpa berlengah, Maria bergegas mengorak langkah ke arah bilik tidur Kak Rosnah yang terletak di aras atas pusat jagaan tersebut.

Sesampai sahaja di depan bilik itu, Maria segera mengetuk perlahan daun pintu. Akalnya masih utuh terselit sangsi. Sebelum ini, tak pernah sekali pun dilihat Kak Rosnah terperap lama di dalam kamar tidurnya. Lebih-lebih di kala matahari telah pun muncul menjergah alam pada waktu pagi nan cerah seperti itu.

Bahkan, ibu saudaranya itu sering bangun lebih awal dari para penghuni yang lain. Tak pernah culas dari rutin memantau setiap orang yang tinggal di situ. Justeru tegar memulakan urusan kerjanya seawal subuh lagi. Begitu berdisiplin seperti seorang ketua kadet tentera. Namun, mengapa pula di hari itu Kak Rosnah bertindak mengurung diri sebegitu rupa? Kak Rosnah sakitkah? Minda Maria kian berkacau-bilau disulut perasaan tanda tanya.

“Hei! Masuk sahajalah! Yang kau terlangut-langut di situ lagi buat apa!” Sekali lagi telinga Maria menjadi mangsa sergahan tanpa belas kasihan. Malah jeritan lantang itu terhambur betul-betul hampir di belakang kuping telinganya.

“Opocot! Mak kau!” Maria benar-benar terperanjat besar.

Mulutnya sampai terlatah-latah bahana disergap kaget secara melulu. Diusap-usap muka dadanya lembut dengan telapak tangan kanan. Tersurup beku jantungnya gara-gara diteriak dengan sengaja sedemikian rupa. Tak henti bibirnya berkumat-kamit merungut kecil setelah berasa diri diperolokkan.

Maria berketus geram. Tampak Mak Temah berkekehan kecil menghambur ledakan tawa memerhati telatahnya. Malah wanita tua itu siap menekup mulut dengan bucu selendang menyembunyikan sengih. Digamit lucu mendengar latahnya barangkali. Maria yang diterjah bengang hanya mampu menjeling tajam lewat sorotan mata. Langkah kakinya bingkas bergorak masuk ke perut kamar Kak Rosnah seusai menguak daun pintu. Tak diendah karenah Mak Temah yang ralit menyakatnya itu.

“Ha! Maria! Mari ke sini! Mari dekat kakak!” Terdengar suara lesu Kak Rosnah menyapanya dari atas katil.

Maria mengamat paras Kak Rosnah bersama sunggingan senyum. Didekati sekujur tubuh ibu saudaranya yang sedang berbaring lemah bersama dahi berkerut kerisauan. Turut dilabuh pinggulnya duduk di atas tubir katil bersaiz kelamin itu tanpa semerkap janggal. Raut Kak Rosnah yang memucat lesi itu diperhatikan dalam-dalam. Sakitkah makciknya itu?

Keadaan Kak Rosnah tampak lesu tak bermaya. Selain raut wajah yang dibungkus hambar, gurai rambutnya juga terlihat kusut-masai tak bersisir. Tubuh yang kurus kecil itu terlantar telentang seraya dilitupi dengan sehelai gebar tebal sehingga ke paras dada. Malah suasana dalaman di ruang itu juga jelas menyuram tanpa sekelumit pun serlahan cahaya. Daun tingkap beserta selembar langsir masih tertutup rapat memendungkan keadaan.

“Kak Rosnah jatuh sakit ke?” Tegur Maria penuh prihatin.

Mata Maria masih galak menerawang ke sekitar ruang dalam kamar beradu ibu saudaranya itu. Sepanjang menghuni di Pusat Jagaan Nurul Haqim, belum pernah sekali pun dia berkesempatan menerjah ke bilik yang agak besar itu. Apatah lagi untuk diperlawa datang berkunjung. Kak Rosnah begitu menitik berat batas-batas ruang peribadi dalam hidupnya. Seperti juga perihal hayat persendiriannya yang erat disorok tanpa dihebah keluar ke khalayak umum. Ternyata wanita yang masih belum berkahwin itu begitu teguh menjaga privasi diri.

“Akak demam pula hari ini! Badan pun sakit-sakit! Maria pergi sekolah dengan Mak Temah ya! Naik bas. Kebetulan Mak Temah pun hendak singgah ke pasar juga di pagi ni!” Saran Kak Rosnah dengan nada suara yang terluah lesu tak bermaya.

Sorotan mata Kak Rosnah utuh memandang hambar wajah Maria. Tangan kanan ibu saudaranya itu bingkas meraih sebuah beg tangan yang bersaiz sederhana besar dari atas meja kecil yang berdekatan. Diletakkan beg kulit sendat berwarna coklat tua itu di pangkuan dada. Sejurus kemudian dibukakan zip lalu menyeluk keluar sebuah dompet kecil yang kelihatan gemuk memadat dengan pelbagai isi.

“Nah! Maria ambil duit ni untuk tambang bas waktu hendak balik nanti ya! Waktu hendak pergi, Mak Temah yang akan tolong bayarkan!” Diserah sehelai wang not lima ringgit ke telapak tangan Maria.

Maria mengangguk akur. Dimasukkan wang tersebut ke dalam kocek baju kurung seragam sekolah yang dikenakan. Pandangan masih leka meliar ke sekitar ruang kamar yang dihias cantik itu. Hanya sesekali matanya menancap ke sekujur tubuh Kak Rosnah yang sedang terkedang demam. Mak Temah pula masih tercegat di belakangnya seraya hanya diam memerhati.

“Mak Temah tolong tengok-tengokkan Maria ya! Saya tak berapa sihat pula hendak memandu di pagi ni. Cadang nak berehat di bilik sahaja!” Kak rosnah menitip pesan pula kepada Mak Temah. Mata bundar ibu saudaranya yang cenderung kuyu itu beralih pandang ke sosok tubuh Mak Temah yang sedang bersandar santai pada dinding daun pintu bilik.

“Ye lah! Cik Rosnah berehat lah dulu! Nanti sarapan saya suruh Murni bawa naik ke atas ya!” Sahut Mak Temah pula dengan penuh perhatian.

Maria hanya membatukan diri mendengar perbualan dua hala itu. Langsung tak tergerak hatinya untuk menyampuk mahupun mencetus persoalan. Jauh sekali untuk tegar memprotesnya dalam diam. Biarpun pesanan tersebut lebih menjurus pada perihal dirinya yang harus dikawal rapi di segenap gerak geri.

“Maria pergi dulu ya, kak!” Getus Maria setelah merasa lengannya dicuit lembut oleh Mak Temah. Maria bingkas memohon pamit. Memahami benar akan reaksi spontan Mak Temah itu. Sebelum bangun untuk berlalu, tak lupa disalam sembari dikucup tangan kanan ibu saudaranya itu dengan penuh santun.

Maria akur. Dirinya masih erat menyemat rasa hormat kepada Kak Rosnah selaku penjaga tetapnya selama berada di situ. Biarpun ibu saudaranya itu sering bertingkah kasar serta mengawalnya ketat tanpa secebis pun simpati. Namun, Maria tetap menganggap Kak Rosnah sebagai pengganti kedua orang tuanya yang jauh. Perlu sentiasa patuh pada setiap saranan yang diusul. Tanpa sedesis pun menyanggah.

“Maria!” Tiba-tiba nama Maria dipanggil sebaik sahaja dia melangkah bendul daun pintu. Mengekori Mak Temah yang turut bergegas keluar dari situ. Langkah mereka berdua spontan tersangkak.

“Ye kak?” Kepala Maria bingkas menoleh ke arah belakang secara serta merta. Menancap lurus ke paras Kak Rosnah seraya menyahut panggilan tersebut. Berlurah pangkal dahinya digetus reaksi pelik.

“Kau jangan melencong pulak! Terus ke sekolah ya! Pulang dari sekolah nanti, terus balik tau!” Getus Kak Rosnah secara tiba-tiba sembari menghambur segugus amaran. Kelam benar paras ibu saudaranya itu dipalit perasaan bimbang.

Maria tersengih sinis tatkala mendengar peringatan tegas itu. Dilihatnya Mak Temah juga sudah meledak tawa kecil. Sekilas mereka saling berpandangan sejenak mempampang benak yang tercuit lucu. Sempat dia menggangguk akur kepada Kak Rosnah sebelum bingkas mengatur langkah semula meneruskan perjalanan yang terjeda.

Benak Maria terjentik rasa geli hati. Kak Rosnah dalam reaksi terkedang sakitnya itu pun, masih betah untuk bertingkah memerintah serta mengacu amaran keras. Tak sudah-sudah dengan sikap tak percayanya pada Maria. Sentiasa tercetus riak bimbang yang keterlaluan tanpa hujung pangkal. Mengenangkan itu, kepala Maria bergeleng-geleng kecil menahan gejolak bungkam.

Sesampai sahaja mereka di sebuah tempat perhentian bas, matahari pagi sudah mulai melebar sayap panasnya yang serba memijar ke serata perosok alam. Maria bingkas berlabuh duduk di atas sebuah bangku kayu panjang yang disediakan di situ. Beg sekolah yang sendat berisi itu turut direbahkan di sosok kanan diri. Beserta bekal makanan yang diperolehi dari Mak Temah tadi.

Pandangan Maria segera melebar ke segenap arah jalanraya besar yang terhampar di hadapan. Setiap kelibat kenderaan yang bertali-arus ditelitinya dengan riak gusar. Sesekali jarum jam di pengelangan tangan dikerling lewat sorotan mata. Mak Temah yang turut tercegat berdiri di sampingnya, ikut meliar pandangan ke arah yang sama.

“Lambat pula bas di pagi ni!” Rungut Mak Temah perlahan.

Tubuh rendang Mak Temah sudah berlabuh duduk di sisi kanan Maria. Butiran peluh yang merenik keluar di sekitar padang dahi yang sudah dicemari garis kerut mamahan usia itu, bingkas diseka dengan bucu selendang panjang. Turut diurut-urut perlahan sendi di sekeliling kepala lutut dengan jemari tangan kiri. Mereda tenggeran pegal bahana terlalu lama berdiri sebentar tadi.

Terdapat beberapa orang dalam pelbagai garapan usia turut sama menanti di penghentian bas tersebut. Tampak dua orang budak sekolah rendah sedang duduk bercangkung di pinggir kanan Maria seraya ralit berbual. Turut dilihat seorang lelaki muda yang berpakaian kemas ikut duduk di atas bangku panjang yang sama di sebelah kiri Mak Temah. Manakala sekelompok empat orang wanita yang bertudung litup tegar berdiri di sosok kiri Maria pula. Semuanya dengan paras yang serba gelisah menanti kemunculan bas yang masih tidak kunjung tiba.

“Kalau sepuluh minit lagi tak ada bas juga, kita tahan sahaja teksi yang lalu-lalang ya! Takut kau terlambat pula hendak ke sekolah!” Cadang Mak Temah spontan.

Ada riak kerisauan dari nada suara Mak Temah itu. Paras Maria ditenung Mak Temah dalam-dalam. Tangan kanan wanita tua itu juga utuh mengelus pundaknya mesra. Seolah-olah memahami kegalauan yang bertandang di relung jiwa Maria. Mungkin menyedari Maria lebih banyak terpekur sejak akhir-akhir itu. Cenderung mengasingkan diri dari semua orang. Malah semakin membisu berbanding dulu.

Maria hanya menggangguk akur dengan saranan Mak Temah itu. Ulas bibirnya utuh tersenyum hambar. Semasa dirinya dibawa menginap di Pusat Jagaan Nurul Haqim dulu, tercubit sedikit keliru di hatinya dengan peri laku Mak Temah. Bagai sebuah negara empat musim di Eropah, Mak Temah sering bertukar rentak perilaku tanpa mengira waktu mahupun tempat.

Adakala, wanita tua itu melayannya terlalu baik seakan seorang ibu. Terkadang bertingkah tegas tak menentu pula. Pernah juga Mak Temah bersikap garang seraya tak henti-henti membebel panjang tanpa diketahui hujung pangkal. Malah ada waktunya, perempuan bertubuh rendang itu memanjakan Maria dengan riak prihatin yang agak keterlaluan. Memang aneh!

Sekilas Maria terhimbau semula perbualannya dengan Mak Temah pada dua hari yang lalu. Menurut wanita berdarah jawa itu, sudah hampir empat tahun dirinya menginap sebagai tenaga kerja sukarela di Pusat Jagaan Nurul Haqim. Bertugas membantu Kak Rosnah dalam mengurus para penghuni yang mempunyai pelbagai ragam tingkah laku serta bercorak asal usul di situ.

Sudah terlalu banyak peristiwa yang ditempoh Mak Temah sepanjang bergabung diri dengan Pusat Jagaan Nurul Haqim. Terutama dalam menangani emosi serta mental para penghuni yang kebanyakannya tidak stabil. Lebih-lebih lagi tatkala terpaksa mengawal tingkah keras memberontak di awal penghijrahan mereka di pusat pemulihan akhlak tersebut.

Ada waktu-waktu tertentu, para penghuni itu menjadi terlalu sukar dikawal. Paling teruk menghadapi gelagat para gadis yang terlibat dalam kancah jenayah yang mana memerlukan sesi pemulihan mendadak. Apatah lagi, menggarap tenang pada gadis-gadis bermasalah yang membenih zuriat tidak berbapa dalam usia yang terlalu muda. Emosi mereka boleh menjangkau ke tindakan di luar jangkaan. Reaksi kemuraman yang terlampau, penyakit histeria serta berperilaku ganas sering dihadapi dengan penuh sabar bersama kakitangan lain di pusat itu. Begitu mengerunkan!

“Maria! Pergi tahan teksi yang mana ada? Dah lewat sangat ni!” Teguran spontan Mak Temah serta-merta memecah suasana jeda di antara mereka.

Tak semena-mena, lamunan Maria mati andar. Ditatap raut Mak Temah yang sedang marak diterjah bimbang itu dengan nada berkeluh. Tangan kanan Maria bingkas menekap sebahagian wajahnya dengan sehelai saputangan kecil berona biru muda. Menyingkir butiran peluh yang merembes dari pori-pori kulit dengan penuh teliti. Maria akur. Pasti kulit mukanya sudah cenderung memerah ranum dijamah bahang matahari yang semakin memijar di sela waktu pagi itu.

Tanpa berlengah, Maria segera bangun lantas maju ke hadapan mendekati pinggir jalanraya dua hala itu. Matanya rakus memerhati pelbagai kenderaan yang tertib berlalu-lalang dengan dahi yang berkerut resah. Sekilas dilambai spontan pada sebuah teksi yang tampak muncul beberapa ela sahaja dari situ.

Setelah pasti teksi berdinding hitam serta bertompok coklat itu betul-betul behenti, bingkas dipimpin lengan Mak Temah agar masuk ke perut teksi tersebut seusai dikuak daun pintu.

“Mahu ke mana, kak?” Sapa pemandu teksi lelaki itu dengan sikap ramah.

“Pergi ke Pekan Arau ya. Hantar akak ke pasar besar dulu. Kemudian baru hantar adik akak ni ke sekolahnya pula ya!” Bilang Mak Temah lancar.

“Baik lah!” Akur pemandu teksi berbangsa India itu pula. Ulas bibirnya yang memucat itu bingkas merekah senyum.

Dengan pantas, teksi itu mengaum deras lantas meluncur semula di dada aspal. Meninggalkan puing-puing asap nipis berona kelabu di bahagian belakangnya. Bunyi enjin kenderaan yang sudah uzur itu berderum kuat sehingga membingitkan halwa telinga. Sesekali tubuh Mak Temah dan Maria terhentak-hentak kecil. Turut teroleng-oleng ke kiri dan ke kanan tatkala ia menempuh liku jalan yang serba berkerikil serta tidak rata.

“Maria! Mak Temah dah terlewat benar hendak ke pasar ni. Mak Temah turun dulu ya! Selepas tu, teksi akan terus hantar kau ke sekolah pula!” Saran Mak Temah dengan wajah yang serba berlengas dibanjiri peluh.

“Makcik tak ikut hantar Maria terus ke sekolah ke? Kan Kak Rosnah sudah usulkan begitu tadi?” Soal Maria pula sembari memprotes. Agak sangsi dengan usul Mak Temah itu. Dia khuatir akan dipersalahkan kelak andai Kak Rosnah dapat tahu dia dibiarkan melayar perjalanan seorang diri untuk ke sekolah.

“Kebetulan arah jalannya sudah mengarah ke pasar. Jadi elok Mak Temah yang turun dulu!. Tak payah teksi ini kena berulang-alik lagi menambah belanja!” Jelas Mak Temah penuh hemah. Bibir wanita tua itu bingkas mengulum senyum. Langsung tidak terpamer riak ragu lewat usul mendadaknya itu. Seakan sudah mulai mempercayai Maria dengan sepenuh hati tuanya. Dielus sekali lagi pundak Maria dengan riak mesra.

“Baiklah, Makcik!” Akur Maria tertib.

Dapat dirasa sinar tanggungjawab yang dipaut pada bahunya kini. Nilai kepercayaan yang terhulur itu benar-benar menyenangkan hatinya dalam diam. Sekilas terimbas gelagat Kak Rosnah yang tegas mengutus kata dua padanya di awal pagi tadi. Maria tersengih sinis. Ibu saudaranya itu tampak begitu bimbang jika dirinya melencong arah ke tempat lain. Justeru amat takut andai dia terlanjur berbuat onar. Padahal, ke mana harus di tuju di sekitar tempat yang serba asing bagaikan jin bertendang seperti itu. Langsung tak terkutik niat ingin kabur pun di sudut hatinya.

Maria memandang tulus ke paras Mak Temah. Dapat dikelam reaksi gusar lewat hati tua Mak Temah yang tak mahu membazir waktu yang ada. Lagipun, Maria sedar wanita tua itu harus segera membeli barang keperluan dapur tanpa berleka-leka lagi. Justeru berangkat pulang seawal yang mungkin untuk sesi memasak pula.

Mengenang hari yang kian berganjak tinggi, pasti benak Mak Temah tergetus bimbang andai terlewat menyedia hidangan tengahari buat mereka nanti.

“Selepas ni, Maria terus ke sekolah ya! Pulang nanti hati-hati juga ya!” Tutur Mak Temah lembut seraya menitip pesanan akhir.

Di waktu itu, teksi yang dinaiki mereka sudah pun sampai di hadapan bangunan Pasar Besar Arau. Maria sekali lagi menggangguk akur. Diperhatikan sosok tubuh Mak Temah bergegas keluar dari perut teksi seraya mengandeng raga kecilnya itu. Tak lupa wanita tua itu menyerahkan beberapa helai wang kertas kepada pemandu teksi seraya membayar tambang.

Sekilas Maria menatap lesu pada lambaian Mak Temah dari dalam teksi yang sudah mulai kembali bergerak.Terpekur sejenak memerhati kelibat Mak Temah yang menghilang di sebalik kerumunan orangramai di muka pintu gerbang pasar yang luas ternganga. Berlalu gontai tanpa menoleh lagi padanya.

Maria berdengus lemah. Rentak tubuhnya terhenyak-hentak mengikut liku perjalanan teksi yang sudah meluncur laju di dada aspal. Meninggalkan Pasar Besar Arau yang semakin lenyap di belakang. Maria menebarkan pandangan ke luar jendela kaca. Merenung pemandangan yang berlalu silih berganti di pinggir jalan bersama benak yang kecundang bosan.

Maria sedar. Selama menghuni di Pusat Jagaan Nurul Haqim, dia langsung tidak diberi kesempatan untuk menghubungi sesiapa pun. Apatah lagi dibiarkan keluar bebas seorang diri. Kongkongan ketat Kak Rosnah membuat batinnya kian rimas terikat. Kawalan tegas ibu saudaranya itu juga menjurus jiwanya gerah mati kutu. Dia bungkam.

Rasanya tidak salah andai dia memesong sedikit hala tuju dirinya kali ini. Cuba menghubungi orang-orang yang ingin ditanyakan kabarnya. Terutamanya Ardi. Lagipun Maria yakin dirinya tidak terlalu terpesong jauh dari arahan Kak Rosnah andai berbuat demikian. Senyap-senyap menggunakan telefon sekadar meluah satu dua kata sebelum bergegas masuk ke dalam sekolah. Tambahan pula, tiada sesiapa pun yang akan tahu.

Akal Maria mulai ligat mengatur strategi dalam diam. Terbayang di cepu ingatan akan sebuah pondok telefon yang terpacak kaku di seberang sebuah jalanraya berhadapan pintu pagar sekolah. Dia berhasrat hendak menggunakan talian telefon awam tersebut untuk menghubungi Ardi. Beberapa keping wang siling yang sentiasa disimpan dalam kocek bajunya disentuh dengan penuh yakin. Mengenangkan itu, benaknya kian meronta-ronta mengulit kesabaran.

Maria tersengih sendiri melayan girang hati. Sepasang matanya masih leka berkeliaran ke arah suasana yang luas terbentang di luar jendela. Seolah-olah membayang akan sebuah kebebasan yang pasti kembali dihirup. Seakan membuai jiwanya dengan senandung rindu yang turut menanti detik-detik penamat untuk dilerai. Hatinya bingkas berlagu riang.

“Adik! Sudah sampai ni!” Teguran lelaki India berusia separa abad itu menyentak Maria dari khayalannya yang panjang.

Terkebil-kebil pelupuk mata Maria mengamat alam di sekelilingnya. Sempat digaris sebuah senyuman berbasa-basi seraya bergegas keluar dari perut teksi itu. Tak lupa diraih sebuah beg sandang sekolah miliknya yang berada di berdekatan. Termasuk sebuah beg plastik berisi bekal sekolah yang turut dibawa bersama.

Lewat sorotan mata, diperhatikan sepintas lalu teksi uzur itu bergerak jauh bersama letusan asap tipis yang keluar mengabur pandangan. Meninggalkan bau hangit yang menyenakkan liang hidu. Setelah itu, Maria kembali tersengih sendiri. Tanpa berlengah, dia bergegas ke arah sebuah pondok telefon seraya melintas sebuah jalanraya besar di hadapan. Berlangkah penuh waspada sambil menyelit cermat di sebalik kesibukan pelbagai kenderaan yang berlalu-lalang. Justeru mendekati pondok telefon itu bersama benak yang bergementar resah.

Maria segera menyelok ke dalam saku baju kurungnya seraya mengeluarkan beberapa butir wang syiling yang utuh disimpan. Sedikit berjengkek kedua kaki semasa meraih gagang telefon yang terletak agak tinggi dari saiz sosok tubuh remaja miliknya. Spontan dimasukkan satu persatu syiling logam tersebut ke dalam lubang wang yang disediakan. Batinnya sekilas disungkup debar.

Setelah itu, jari mulus Maria lincah menekan-nekan nombor telefon bimbit Ardi. Sememangnya angka-angka itu tersemat kukuh di cepu kepalanya. Tak lupa ditekap gagang telefon yang berbentuk lonjong itu ke kuping telinga kanan. Bunyi nada dail yang berdengung semu di halwa telinga kian merajut debar yang bermukim di relung dada. Sejenak Maria menyeka butiran peluh yang membasahi sebujur wajah serta tengkoknya yang jenjang.

Bahang pijar matahari pagi mulai terasa menghangat persada bumi. Maria tahu dirinya sudah agak terlewat benar untuk masuk ke dalam kelas. Pasti pelajaran pertama telah pun bermula tanpa kehadirannya. Tak mustahil namanya akan dicatat sewaktu hendak menyeberang pintu pagar sekolah nanti untuk tindakan tatatertib. Namun dia tetap tidak ambil perduli. Dia tahu. Hanya kali inilah sahaja kesempatan yang ada untuk menghubungi kekasih hatinya itu. Peluang yang sudah sekian lama ditunggu-tunggu.

Sejenak matanya melirik ke arah pintu pagar sekolah yang sudah mulai lengang di hadapan. Hanya terdapat beberapa orang pengawas yang masih mundar-mandir di situ. Tegas menahan para pelajar yang tiba lewat untuk sesi persekolahan yang sudah pun berlangsung. Benak Maria spontan disurup jengkel.

Maria berdengus kuat menahan kalut jiwa. Dia tak mengambil endah akan hukuman hadir lewat yang pasti terpaksa ditempohnya kelak. Biarlah dirinya dimarah atau dihukum dengan tindakan tatatertib sekalipun. Dia redha menerima. Tambahan pula, bukan selalu peluang kebebasan seperti itu berhasil digapai. Demi Ardi, dia tega mengingkar segalanya. Lantaklah!

Tidak lama kemudian, terdengar suara garau seorang lelaki menjawab talian dari dalam corong telefon. Tak semena-mena Maria terbias teruja. Raut wajah spontan mencerah gairah. Sekujur tubuh turut terbuai alpa. Batinnya juga serentak terlambung ke awangan kasih yang menerobos padu di seluruh pelosok rongga dada.

Tatkala mendengar kembali suara lunak Ardi yang penuh kelelakian, hati Maria terbuak pilu. Tangan kanannya bingkas menekup mulut yang meratap sayu dalam diam.Tak semena-mena tubir matanya terasa sarat membendung air-air bening yang terbias dek keharuan jiwa.

“Abang Ardi! Maria ni!” Airmata Maria serentak jatuh berjuraian semu membasahi pauh pipi.

***


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Kejarlah Daku, Engkau Kutangkap 11”
  1. Noorfadzillah says:

    Tak sabar nak tahu ttg Ardi tu. Hebat gay bahasa Rena, cantik sgt. Kagum. terpana. Tersusun. Jln cerita menarik :mrgreen:

  2. Kak Azi says:

    best..best..n best..
    akhirnya muncul ksmpatan buat maria.. :smile:

  3. zila dan kak azi
    terima kasih sudi membaca
    love u :mrgreen:

  4. Wazrul Shah says:

    OMG. Best giler. Suke sgt dengan gaya bahasanya. Terpana dan terpukau. :D

  5. Siti Soleha Yahaya says:

    dpt ker Maria bercakap ngan Ardi…..berdebar2 lak….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"