Novel : Kirimkan Aku Malaikatmu 5, 6

8 September 2010  
Kategori: Novel

956 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Muliati Abdul

5

AKHIRNYA ulas bibir Abang Hakim sudah mampu mengorak senyum. Tiada lagi wajah bersalah dan gundah yang terpamer. Abang Hakim sudah kembali pada sifat asalnya. Ceria. Tidak seperti lima minit yang lalu. Wajah Abang Hakim muram. Lebih banyak mengeluh daripada berkata-kata.

“Kenapa tak inform abang yang Nurul nak balik hari ni? Balik mengejut dan buat abang terpinga-pinga. Abang ingat abang bermimpi bila nampak Nurul tadi. Semalam abang call, Nurul beritahu abang nak balik esok. Apa dah jadi? Dah rindu sangat dengan abang sampai tak boleh tunggu sehari lagi? Abang tahu, Nurul memang tak boleh lupakan abang. Tengok muka Nurul pun abang dah tahu.”

Nurul membesarkan mata. Dalam hatinya dia seperti mahu tergelak besar. Namun hanya seketika bila menyedari betapa seriusnya wajah Abang Hakim saat menuturkan kata-kata tersebut.

“Abang ni suka sangat membebel tentang perkara yang bukan-bukan. Siapa cakap Nurul rindukan abang? Nurul dapat rasa abang yang sebenarnya terlalu rindukan Nurul. Abang sendiri dah mengaku tadi. Lagipun di London sana lebih ramai jejaka yang jauh lebih handsome, jauh lebih baik hati daripada abang yang boleh buat Nurul merindu. Nurul…”

Belum sempat Nurul menyudahkan kata-kata, jari telunjuk Abang Hakim singgah menyentuh hangat ulas bibirnya. Terpegun Nurul. Darahnya terasa menyirap ke muka. Entah kenapa tiba-tiba sahaja dia malu untuk menatap bola mata Abang Hakim. Sesungguhnya dia tidak mahu Abang Hakim menangkap gundah hatinya tatkala ini.

“Tapi tetap tak sama dengan Abang Hakim, kan? Sebab tu Nurul lekas-lekas balik ke sisi abang,” gumam Abang Hakim, cukup perlahan dan cukup rapat pada wajahnya. Sekali lagi pipinya membahang dek rasa malu yang menebal.

‘Kenapa hatiku berdebar-debar?’

‘Kenapa helaan nafasku tiba-tiba saja terasa sempit?’

‘Adakah kerana sikap Abang Hakim padaku?’

‘Tapi Abang Hakim adalah abangku, kenapa perlu resah pula?’

“Nurul memang rindukan abang,” ucap Abang Hakim. Cukup yakin dengan telahannya.

Nurul tidak berani bernafas. Takut hembusan nafasnya mengenai wajah Abang Hakim. Debaran di dada tiada terkira lagi mendengar ucapan Abang Hakim sebentar tadi. Semua itu membuat Nurul tertanya-tanya, geroda mana yang telah melanggar tunggak hatinya?

“I knew you missed me so bad for the past four years. Your eyes told me, Nurul. Your body language also told me the same feeling. You’re truly, deeply missed me so much. Jadi cik adik sayang, jangan nak main tarik tali dengan abang. Abang tak sudi nak tarik tali tu.” Hakim mengingatkan. Tersemat senyuman lebar pada ulas bibirnya tika ini. Kemudian jarinya begitu nakal mencuit hidung Nurul. Seperti tadi, Nurul kian terpegun melawan gejolak rasa yang membahang.

“Nonsense! Nurul sikit pun tak rindu pada abang. Nurul balik awal pun sebab nak kenakan abang. Abang ni cepat perasanlah! Patutlah selalu putus cinta.”

Itu sahaja yang terdaya Nurul lafazkan. Tidak punya keberanian untuk membalas secara berlebih-lebih. Lain pula jadinya nanti. Siapa lagi yang susah kalau bukan dirinya sendiri? Mengingati perkara tersebut, hati perempuan Nurul mula berlagu panik!

Hakim ketawa besar lantas merebahkan tubuhnya. Dia masih lagi ketawa dengan mata yang terpejam rapat. Tangannya memangku kepala. Hanya helaan nafasnya yang sekali-sekala menerjah pendengaran Nurul.

Sesungguhnya Nurul tidak menyukai sikap Abang Hakim sekarang. Kerana sikap seperti itu ternyata memerangkap dirinya. Dia malu dengan apa yang dirasakannya kini. Sungguh-sungguh malu.

Lalu Nurul bangkit dengan perasaan yang berbaur. Sungguh berkecamuk mindanya setiap kali mengingati rasa segan yang tiba-tiba wujud tatkala bersama Abang Hakim.

‘Kenapa perasaan ni perlu hadir? Dia adalah abangku, aku tak boleh mencintainya. Ya Allah, aku tak boleh membiarkan perasaan ni mengusai hati dan fikiranku.’

“Nurul nak ke mana tu? Abang belum dapat jawapan pada soalan abang tadi. Sudi Nurul berikan jawapan tu? Abang tak mendesak, tapi abang tetap mahukan jawapan.”

Langkah deras Nurul terhenti. Segera dia berpaling, dan senyuman Abang Hakim meresahkan dirinya.

“Nurul memang rindu pada abang, kan?” desak Abang Hakim sambil mengenyitkan mata. Sengaja menekankan perkataan rindu. Biar Nurul mengerti dia juga merindui Nurul dengan sepenuh jiwa meskipun cukup sedar keinginannya seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

Abang Hakim masih nakal mengusik. Tuhan sahaja yang tahu apa yang bergolak dalam hati perempuan Nurul melihat reaksi ‘nakal’ Abang Hakim mengenakannya.

“Tak,” balas Nurul.

Hakim ketawa lucu mendengarnya.

“Dah kena tangkap basah pun, masih tak nak mengaku lagi. Hmmm… tapi abang tak sangka, Mak Limah pun boleh terbabit sama dalam komplot nak mengenakan abang. Tapi tak sangka pulak, akhirnya Nurul jugak yang terkena sendiri.”

Nurul tidak berani membuka mulut biarpun Abang Hakim sudah mengubah topik perbualan. Soal kerinduan tidak lagi dibangkitkan.

Tidak semena-mena Abang Hakim melutut di hadapannya. Terperanjat Nurul. Semakin kalut bila Abang Hakim meraih jari-jemarinya, kemudian dielus dengan berhati-hati. Cukup hangat. Cukup lembut sehingga Nurul seperti bermimpi menerima layanan sebegitu ‘baik’ dari Abang Hakim.

Nurul mula menanam impian. Alangkah indahnya dunia ini seandainya dirinya dibenarkan mencintai Abang Hakim…

“Cakap dengan abang, berapa Nurul rasuah Mak Limah sampai Mak Limah setuju jadi tali barut Nurul?” pinta Abang Hakim dengan mimik muka merayu. Sengaja merendahkan suara seolah-olah jawapan balas Nurul bakal memberikan sejuta bahagia.

Nurul tergelak kecil. Ucapan Abang Hakim tentang rasuah yang diberinya pada Mak Limah sungguh-sungguh mencuit hati. Hilang segala resah hatinya. Dia segera membalas tatapan Abang Hakim. Dengan bibir yang mengukir senyum lebar, Nurul memberikan jawapan.

“Pelukan plus ciuman dan air mata. Nurul rasuah Mak Limah dengan semua tu.”

“Oh, tiga ramuan rahsia. Abang ada idea yang baik. How about we try the barter system. Nurul peluk plus berikan ciuman pada abang and then sebagai tukaran abang janji takkan paksa Nurul mengaku tentang rasa rindu Nurul pada abang.”

Mengada-ada! desis Nurul. Mengerling Abang Hakim yang tersengih-sengih.

“Kalau abang cakap lagi tentang barter system tu, siaplah abang. Peluk plus ciuman? Abang ni demam ke? Abang mimpi apa semalam? Ini mesti ada sesuatu ni…! Nurul tahu, abang sembunyikan sesuatu dari Nurul. Abang jangan fikir Nurul tak tahu… Nurul tahu segala rahsia hati abang.”

“Nurul tahu?” tanya Hakim mendadak dengan rupa terkejut. Seolah-olah baru terkena kejutan arus elektrik. Sorotan matanya kian tajam. Tanpa disedari, dia mencengkam kukuh lengan Nurul. Seperti tidak mahu dilepaskan lagi.

Nurul menjadi kalut. Keliru dengan segala tindakan Abang Hakim padanya. Dia menyeringai kesakitan.

“Apa yang Nurul tahu?” Hakim berusaha menahan debaran cintanya yang tidak menentu kala ini.

“Apa yang Nurul tahu?” tanya Nurul, bertambah-tambah keliru meskipun dialah penyebab perubahan sikap Abang Hakim.

“Rahsia hati abang.”

“Rahsia hati abang? Abang cakap pasal apa ni?”

“Tentang perasaan abang pada Nurul? Nurul tahu?”

“Tentu saja Nurul tahu. Abang Hakim abang Nurul. Dan Nurul jugak tahu, abang dah ada special girlfriend. Kerana tu abang berubah sikap malam ni. Abang bergaduh dengan si dia?”

Hakim terkedu. Rasa kecewa berlumba-lumba memenuhi segenap rongga dada. Kecewanya kian melarat saat menyedari Nurul baru sahaja mengingatkan dirinya sekali lagi tentang hubungan adik dan abang.

“Abang ingat Nurul tahu,” keluh Hakim berkali-kali. Cengkaman tangannya mulai longgar lalu terlepas. Dia melangkah longlai menuju ke sofa lantas merehatkan fikiran di situ. Sejuta rasa perit terasa menggamit perasaan yang terluka.

Hanya Nurul pengubatnya, sayangnya Nurul tidak sudi memberikan rawatan. Sesungguhnya Hakim sudah tersungkur dengan hakikat yang terbentang di hadapan mata.

“Abang ada masalah?”

Suara itu antara dengar dengan tidak pada pendengaran Hakim. Jiwanya sudah melayang jauh meninggalkan jasadnya.

“Abang tak suka Nurul balik awal?”

Sepantas kilat Hakim berpaling. Jiwanya yang melayang sudah meresap kembali ke dalam jasad. Sungguh-sungguh Hakim kurang senang dengan pertanyaan Nurul. Rindunya sungguh mendalam terhadap Nurul, sehingga dia tidak sanggup lagi berpisah. Tetapi bagaimana kalau Nurul sendiri yang ingin pergi jauh darinya? Persoalan itu timbul. Monyok sahaja mukanya membayangkan kemungkinan tersebut.

“Kenapa Nurul cakap macam tu? Abang suka Nurul balik awal. Abang sungguh gembira. Cukup gembira hingga susah abang nak jelaskan dengan kata-kata. Abang harap Nurul jangan cakap begitu lagi.”

“Abang boleh tipu Nurul sebanyak mana yang abang suka. Tapi mata abang tak boleh tipu Nurul. Something is wrong with you, Abang Hakim. Kalau Abang Hakim sudi, Nurul sedia mendengar masalah Abang Hakim.”

‘Memang masalah abang berat, Nurul. Cukup berat hingga abang berulang kali dihinggapi penyakit putus asa. Abang kecewa, sakit hati. Biarpun Nurul dah berada di depan mata abang, ternyata abang belum mampu meluahkan apa yang sepatutnya. Lidah abang kelu.’

“Abang melamun. Boleh Nurul tahu sebabnya? Atau sebab abang tak suka Nurul…”

“Nurul, tolong jangan cakap lagi perkara tu. Abang suka Nurul balik awal. Terlalu suka. Having you right beside me is the greatest moment in my life.” Hakim berhenti seketika untuk mengumpul kekuatan. Kerana kelembutan sinar mata Nurul menggoyahkan kekuatan dirinya.

Nurul tersenyum panjang mendengar luahan itu. Hati nuraninya ikut bahagia.

“Abang memang tak jangka langsung Nurul balik awal satu hari. Abang ingat Nurul yang tertidur di sofa tadi hanya ilusi. Tapi alhamdulillah, hasrat abang dimakbulkan. Allah dengar doa abang.”

“Kalau abang tak kisah, boleh beritahu Nurul apa yang abang doakan?”

Hakim merenung tajam sebelum perlahan-lahan berubah lembut. Agak lama Abang Hakim mengambil masa untuk membuka rahsia hatinya.

“Abang buat tiga hajat malam semalam. Pertama, abang berdoa supaya Nurul pulang awal. Kedua, abang berdoa semoga Nurul selalu sihat dan tak melupakan keluarga. Dan yang ketiga, abang berdoa semoga Nurul dapat menerima…” Hakim tidak menyudahkan kata-katanya. Sengaja menduga reaksi Nurul.

Hakim tidak mahu kerana terburu-buru mahu memiliki Nurul, dia terlepas peluang tersebut. Tersilap langkah mungkin boleh membuat hubungan mereka berdua renggang.

“Kenapa berhenti? Beritahulah Nurul apa doa abang yang ketiga tu. Cara abang ni buat Nurul rasa berdebar. Rasa lain macam.”

Hakim menggeleng. “Belum sampai waktunya.”

“Tengok tu. Abang ni memang! Beritahulah Nurul… Nurul bukannya nak jaja rahsia abang. Abang tak percayakan Nurul ke? Abang pandang muka Nurul, muka Nurul ni ada macam muka si mulut tempayan ke?”

“Jangan salah faham, Nurul. Abang memang percayakan Nurul. Nantilah, bila tiba waktu yang sesuai, Nurul akan tahu jugak akhirnya. Tapi abang berharap, bila tiba waktu tu, Nurul dapat menerimanya dengan seikhlas hati. Jangan meragui abang. Jangan sesekali biarkan rasa ragu tu menjejaskan keputusan Nurul.”

“Abang ni cakap berbelit-belit. Macam ada perkara besar. Abang buat Nurul keliru dengan berkias-kias begitu. Just straight to the point. Nurul faham, abang pun senang,” luah Nurul dengan jiwa yang tidak keruan.

Reaksi Abang Hakim sungguh-sungguh meresahkan jiwa. Jari-jemarinya digenggam erat. Sekujur tubuhnya dirasakan membahang biarpun penghawa dingin di kamar itu sudah dipasang.

“Sudah abang katakan tadi, bila tiba masanya Nurul akan tahu juga. Sekarang abang belum bersedia nak beritahu Nurul. Abang belum punya cukup keyakinan. Abang tak sanggup diketawakan dan dikecewakan. Abang tak sanggup!”

“Tentu perkara peribadi. Kalau tak, abang takkan berperangai begini? Abang nak kahwin? Dengan siapa? Nurul kenal tak calon isteri abang tu? Berapa umurnya?” tanya Nurul dengan hati yang berbaur.

Resah yang sudah reda kembali berkocak. Perasaan halusnya cukup takut andainya jawapan Abang Hakim adalah ‘ya’. Dia tidak sanggup melihat Abang Hakim pergi bersama wanita di dalam gambar tadi.

Hakim tersenyum panjang. Matanya mengamati wajah tidak sabar Nurul. Lama renungannya terpaku pada ulas bibir yang memerah itu.

“Nantilah.”

Nurul mendengus. Wajahnya dipalingkan. Sengaja dia tidak mahu memandang wajah Abang Hakim. Kalau Abang Hakim tidak sudi berkongsi rahsia, Nurul faham dan cukup mengerti. Malah dia pun tidak akan terus mendesak. Dengan syarat jangan dibangkitkan perkara yang menjadi pokok pangkal cerita.

Tetapi Abang Hakim seperti menduga. Sesudah menghulurkan kunci pintu rahsia, Abang Hakim kembali merampas kunci itu. Tentu sahaja dia tertanya-tanya apa rahsia tersebut. Sesungguhnya hatinya terlalu sakit bila Abang Hakim terus menduganya.

“Nurul marah?”

“Abang rasa?”

“Abang rasa Nurul tengah marah sekarang.”

“Kalau abang dah tahu Nurul tengah marah, kenapa abang tanya lagi? Abang memang sengaja nak sakitkan hati Nurul.”

Abang Hakim hanya tergelak kecil.

Nurul kian jengkel mendengar tawa itu. Seolah-olah mengejeknya.

“Merajuk?”

Terasa terhenti nafasnya, bila sekali lagi Abang Hakim dengan sengaja mengajukan soalan. Pada perkiraannya soalan itu sungguh-sungguh menguji kesabaran yang cuba dipupuk dengan usaha yang bukan sedikit.

‘Kurang mengertikah Abang Hakim apa yang aku rasai kini?’

‘Bebal sangatkah Abang Hakim untuk mengerti aku benar-benar menjeruk rasa?’

“Terpulang. Kalau abang rasa Nurul merajuk.”

“Abang rasa Nurul tengah merajuk.”

Betapa Nurul sudah tidak sanggup lagi menahan sabar dengan segala pertanyaan dan andaian Abang Hakim. Bagi Nurul, Abang Hakim terlalu sengaja menduga.

Bagi Nurul, empat tahun ini telah banyak mengubah sikap Abang Hakim. Sesungguhnya dia cukup benci dengan situasinya sekarang. Sesungguhnya dia tidak mampu lagi mengawal rasa sakit hatinya…

“Nurul, nanti dulu! Okey, abang minta maaf. Sekarang abang beritahu doa ketiga tu.”

Tidak jadi Nurul membuka daun pintu. Langkahnya diayun menghampiri Abang Hakim semula.

“Cakaplah. Sebelum Nurul ubah fikiran.”

“Tak sangka, Nurul makin garang. Sejak bila Nurul pandai nak marah-marah ni? Dengan abang pulak tu!”

Nurul merengus lalu sekali lagi bangkit dari tempat duduknya. Perasaan geramnya sudah mencuit-cuit tangkai hati.

“Tengok, abang usik sikit aja Nurul dah naik angin. Macam mana abang nak kongsi rahsia ni? Nurul langsung tak berikan abang kekuatan untuk berterus terang.”

“Abang ni kenapa? Dari tadi asyik kritik attitude Nurul? Dari dulu pun Nurul macam ni. Abang Hakim tu yang banyak berubah, bukan Nurul!”

“Baiklah. Abang yang salah. Tapi Nurul masih nak tahu doa yang ketiga itu, kan?”

Biarpun masih geram, Nurul tetap mengangguk.

Hakim menghela nafas panjang. Kedua-dua belah tangannya hinggap pada bahu Nurul lalu dia menyorot Nurul dalam-dalam. Ada rasa kalut yang tidak diundang sedang menjengah hati tika ini.

“Nurul dah sedia?”

“Nurul dah lama sedia. Abang aja yang banyak main-main dengan perasaan Nurul.”

“Sebenarnya abang tak harapkan apa-apa dari Nurul. Cuma sejuta pengertian. Kerana doa abang yang ketiga ni berupa satu hajat yang sangat besar.”

Berdebar-debar hati Nurul bila Abang Hakim berkata begitu. ‘Hajat yang sangat besar?’ Hajat apa yang cuba disembunyikan oleh Abang Hakim?

Rasa menyesal pula kerana terus mendesak Abang Hakim. Bukankah bagus kalau dia menunggu sahaja masa itu tiba sendiri? Sayangnya sudah terlewat untuk melangkah ke belakang semula.

“Abang menyayangi Nurul. Kasih sayang abang pada Nurul bukan sekadar kasih sayang antara adik dan abang, tapi lebih daripada tu. Abang mengharapkan hubungan yang lebih bermakna. Dalam erti kata lain, abang mahu Nurul menjadi isteri abang. Abang tahu permintaan abang mengejutkan Nurul. Tapi abang tetap berharap Nurul sudi memberi pertimbangan.”

Sesaat dua pandangannya terasa gelap. Nurul sungguh terkejut. Sungguh-sungguh terkejut sehingga bibirnya terkunci rapat. Seperti halilintar menerjah ke muka mendengar luahan hati Abang Hakim.

‘Sungguhkah Abang Hakim menyayangiku lebih daripada seorang adik?’

‘Sungguhkah Abang Hakim mencintaiku?’

‘Sungguhkah Abang Hakim mahu menjadikanku isteri?’

‘Sungguhkah… Ah! Kacau.’

‘Kenapa jadi begini pula?’

‘Abang Hakim menyimpan perasaan?’

‘Bermimpikah aku???’

Semua persoalan yang berlegar di mindanya lenyap sekelip mata bila suara tawa Abang Hakim memecah suasana. Barulah Nurul menyedari sesuatu.

Tidak dapat menahan perasaan, penumbuknya berulang kali mendarat pada dada Abang Hakim. Memukul tanpa henti.

“Abang tipu Nurul! Nurul percayakan abang tadi! Abang!” ucap Nurul tanpa henti, seiringan dengan tangannya yang terus mendarat keras pada dada Abang Hakim.

Dalam ketawa itu Hakim merintih sayu. Rupa terkejut dan cemas Nurul tadi memaksa dirinya untuk berbohong tentang rasa hatinya. Hakim sudah kalah, sudah tewas. Dia tidak berdaya memaksa.

Nurul sudah memberikan jawapan pada hasratnya. Biarpun belum diluahkan secara rasmi, namun sinar mata Nurul sudah memberikan jawapan yang cukup jelas. Hakim cukup yakin harapannya sudah terhempas saat dia berlari mengejar bayang-bayang mimpi. Dalam kesayuan itu, hati lelakinya sempat berbisik.

‘Masih adakah secebis harapan supaya Nurul mengenali isi hatiku?’

6

PAGI yang indah belum mampu membahagiakan hati Nurul. Dia termenung merenungi

hamparan rumput yang menghijau di laman rumah. Sebenarnya mindanya tidak di situ, sebaliknya melayang pada Abang Hakim.

Pandangannya terpaku pada susuk tubuh yang sedang menghampiri pagar rumah. Sesusuk tubuh itu tidak lain tidak bukan milik Abang Hakim. Mungkin lelaki itu baru selesai berjoging.

Namun Nurul dihimpit rasa kecewa. Cukup kecewa sehingga untuk menghela nafas pun tersekat-sekat. Jauh di sudut hati dia merasa seolah-olah empat tahun ini telah memisahkan dirinya dengan Abang Hakim.

Kalau dulu, setiap kali Abang Hakim keluar berjoging, pasti tidak lupa mengajaknya untuk turut serta. Hakikatnya keadaan telah jauh berubah. Mungkin sekali pada saat ini wanita di dalam gambar itu yang telah mencuri waktu-waktu Abang Hakim.

‘Kenapa wanita itu perlu muncul dalam hidup Abang Hakim? Kenapa Abang Hakim menerima kehadiran wanita itu di hatinya?’

Nurul mengucap panjang bila menyedari fikirannya sudah jauh tersasar.

‘Ya Tuhan, sampai bila aku mesti membawa rasa cintaku pada Abang Hakim? Aku tahu diriku sungguh tak layak untuk Abang Hakim, jadi aku mohon hapuskanlah rasa cintaku padanya. Sebaliknya suburkan rasa sayang seorang adik terhadap abangnya. Sesungguhnya aku tidak mahu menyukarkan hubungan Abang Hakim dengan teman wanitanya. Aku hanyalah seorang adik. Sebagai insan yang memegang gelaran tu, aku perlu menjaga keharmonian hubungan mereka berdua.’

Namun itu sekadar kata-kata untuk menyenangkan hati. Realitinya dia tidak punya keyakinan untuk membuang rasa sayang di hatinya. Kasih sayang ini sudah lama tersemai. Sudah menjadi karang dalam hatinya.

Dengan fikiran yang masih runsing, Nurul mengekori langkah Abang Hakim. Padanan kemeja-T dan celana serba putih semakin menyerlahkan karisma Abang Hakim.

Nurul tidak hairan ramai wanita yang cuba mencuri perhatian Abang Hakim. Tetapi Nurul percaya, Abang Hakim bukan lelaki yang mudah digoda. Abang Hakim jenis lelaki setia, cinta dan sayangnya hanya untuk kekasih hati. Entah kenapa rasa cemburunya pada wanita di dalam gambar itu datang lagi.

Keluhan berat mula lahir dari bibirnya. Dengan malas dia meninggalkan balkoni rumah saat melihat Abang Hakim sudah melepasi pagar. Terburu-buru dia mengemaskan baju namun masih sempat menatap figuranya buat kali terakhir di hadapan cermin. Dia mahu selalu kelihatan anggun di hadapan Abang Hakim.

Sesaat kemudian Nurul kembali menyandar lesu pada kerusi lantas memejamkan matanya rapat-rapat. Dalam diam dia mengutuk dirinya sendiri. Mengakui kebodohan yang terlalu sengaja dilakukan. Yang terlalu sukar untuk dihalang oleh kata hatinya. Dia tidak seharusnya bersikap begini. Sikap yang begini hanya akan menakutkan Abang Hakim.

Tatkala mendengar suara umi dan abah saling bertingkah, Nurul memanggung kepala. Hilang segala wajah Abang Hakim yang menyerkup benaknya tadi. Langkahnya cukup panjang melewati daun pintu. Sudah tidak sabar-sabar untuk berada dalam dakapan kemas umi. Rindu yang menggebu membuat dia lupa seketika jiwanya yang hangat berperang dengan bayangan Abang Hakim.

Namun sekali lagi dia terpaku bila Abang Hakim sudah menantinya di hadapan pintu kamar. Hilang cerianya. Hilang rindunya pada umi dan abah. Abang Hakim telah sekali lagi mencuri segala rasa itu lalu meninggalkan rasa gelisah dalam dirinya.

“Errr… errr… Abang Hakim..” bisiknya dalam kepayahan. Senyumannya juga terlalu keras. Tiba-tiba ketenangan dirinya luruh dek panahan sinar mata Abang Hakim.

“Abah dengan umi ada di bawah tu. Pergilah jumpa mereka. Abang dah beritahu pada abah dan umi tentang kepulangan Nurul malam tadi.”

Terdiam Nurul. Abang Hakim memang sudah berubah seratus peratus. Abang Hakim telah menjadi Mr Serious di hadapannya.

Sungguh, Nurul tidak mahu Abang Hakim berubah sikap. Kerana perubahan itu ternyata menjerat rasa dan mindanya sebagai seorang perempuan. Nurul mahu Abang Hakim kembali pada sikap asalnya. Supaya dia sedar batas-batas dirinya di sisi Abang Hakim.

“Nurul turun dulu.”

Cepat-cepat dia melangkah pergi. Dalam hati dia mengutuk dirinya. Sejak bila dia menjadi terlalu bersopan di hadapan Abang Hakim? ‘Nurul turun dulu…’ Aduh!

‘Apa dah jadi ni?’

‘Kenapa aku tak boleh bersikap biasa saja?’

‘Kenapa aku tak dapat lagi menjadi seperti Nurul empat tahun yang lalu? Nurul yang mampu bergurau senda dan bergelak tawa tanpa sebarang rasa segan dan malu?’

“Nurul! Ya Allah, Nurul ke ni? Umi sampai tak kenal Nurul. Tengok ni, rambut panjang. Dah pandai touch-up. Amboi…! Makin lawa anak umi sekarang ni ya? Kenapa tak cakap Nurul nak balik semalam? Nurul balik senyap-senyap saja ya?”

Nurul merangkul kemas tubuh uminya. Abah sekadar memerhati dengan senyuman lebar.

“Nurul rindukan umi. Tersangat rindu pada umi. Empat tahun ni Nurul cuba tahan rindu tu.”

“Umi tahu. Umi tahu, Nurul…” keluh umi berkali-kali. Berulang kali pipi dan dahinya menjadi sasaran ciuman umi. Kemudian sekali lagi tubuhnya didakap kemas.

“Sudahlah tu, Mah. Lemas Nurul tu nanti. Kalau iya pun rindu, janganlah melampau sangat. Kamu tu macam tak pernah jumpa Nurul.” Abah mengingatkan. Di hujung kata-katanya terselit dehaman panjang.

Umi hanya menjeling geram pada abah. Namun umi tetap menuruti nasihat abah. Rangkulan pada tubuhnya beransur longgar. Kemudian tubuhnya didudukkan di sofa.

“Bila Hakim telefon umi semalam dan cakap Nurul dah balik, umi rasa macam mimpi. Umi ingat Hakim bergurau. Mana tahu Nurul betul-betul dah balik!”

“Nurul sengaja balik awal, umi. Nak buat kejutan pada umi dan abah.”

“Pandai pulak dia nak mengenakan orang…” gumam umi. Jarinya sempat singgah mencubit lengan Nurul.

Terjerit Nurul dibuatnya. Hanya beberapa saat kerana selepas itu umi mendakapnya seperti tidak mahu dileraikan lagi. Dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu betapa dia sungguh bersyukur kerana dikurniakan keluarga angkat yang cukup menyayanginya seperti anak sendiri. Merekalah yang telah memberinya rumah dan keluarga. Jika tidak kerana budi umi dan abah, pasti Nurul masih berada di Cheras. Di rumah kebajikan anak-anak yatim! Mengenangkan semua itu, air matanya hampir menitis. Tanpa umi dan abah, pasti kehidupannya tidak bersinar seterang ini.

“Apa perancangan Nurul lepas ni? Degree dah ada dalam genggaman.” Abah mula menyoal setelah umi kembali tenang. Sorotan mata abah tepat terarah pada wajahnya.

Nurul tersenyum panjang. Namun senyumannya mati tatkala matanya terpandang tubuh tegap Abang Hakim sedang menuruni anak tangga. Haruman sabun mandi bercampur baur dengan cologne. Cukup menyegarkan. Matanya cukup mengagumi penampilan Abang Hakim sehinggakan sepasang matanya tanpa segan-segan lagi mengekori langkah tegap Abang Hakim.

“Assalamualaikum abah, umi,” sapa Abang Hakim sambil mengerling ke arah Nurul. Seperti kilat hati perempuan Nurul berkocak resah. Biarpun sekadar kerlingan biasa, namun dia sudah terkapar-kapar menahan perasaan yang bergelora.

‘Begitu sekalikah penangan pesona Abang Hakim? Sehinggakan jiwaku sudah dihinggapi angau yang menjerat minda? Ya Allah, aku tidak ingin digelar anak angkat yang melangkaui batas-batas dirinya!’

“Waalaikumussalam… Hai, Hakim. Umi tak mimpi ke ni? Dari mana kamu dapat seluar jean tu? Bila kamu beli? Umi tak tahu pun. Hmmm… macam mana pun umi suka tengok Hakim pakai macam ni. Barulah nampak muda sikit.”

“Nurul yang hadiahkan umi,” jelas Abang Hakim sambil menyorot ke arah Nurul. Cukup lembut. Cukup hangat. Hinggakan sekali lagi Nurul hampir terbabas daripada kawalan kuasa fikirannya.

Dari ekor matanya Nurul dapat menangkap senyuman meleret umi. Namun semua itu bukan perkara pokok. Aroma segar dari tubuh Abang Hakim sudah menjadi aura yang menyenangkan. Sekali terjerat, angaunya setengah jiwa.

Tersentak Nurul saat Abang Hakim dengan selamba mengambil tempat di sisinya. Pada bibir Abang Hakim tersemat senyuman.

Nurul meneguk liur.

‘Apakah drama risau jiwaku akan kembali bermula?’

‘Apakah jantungku akan terus berdegup laju?’

‘Apakah akan ada ‘tersasul’ kata nanti seandainya renungan Abang Hakim menembusi rantau hatiku? Nurul, lekas bangun. Jangan terus menyimpan impian karut itu,’ desis hati kecilnya. Riak wajahnya sudah mula berlainan.

“Abah dengan umi tengah bincang apa dengan Nurul? Hakim tengok bukan main serius lagi muka cik adik ni. Bincang pasal kahwin ke? Iyalah, Nurulkan dah dewasa. Dah boleh urus rumah tangga.”

Terasa ingin dicili mulut Abang Hakim kerana telahan melulu itu. Merah pipinya. Geram dan risau bersatu menjadi satu rasa yang tidak menyenangkan pada sekujur tubuhnya tika ini.

Sekelip mata tubuhnya terasa hangat. Mungkin sebentar lagi dia akan pengsan kalau Abang Hakim terus membangkitkan isu tersebut.

Umi ketawa kecil lantas memukul lengan Abang Hakim. Abah ikut tersenyum. Kepalanya digelengkan. Hanya Abang Hakim yang masih selamba menuntut jawapan.

“Kamu ni, Hakim. Belum apa-apa dah cakap pasal kahwin. Abah tanya Nurul tentang perancangannya lepas ni. Bukan pasal menamatkan zaman bujang. Lain kali cuba dengar dulu, kemudian baru menyampuk. Ini tak, main redah aja…” Abah sempat mengingatkan Abang Hakim. Nurul seakan mahu bersorak riang menerima pembelaan daripada abah.

“Sorry, abang tersasul,” bisik Abang Hakim.

Nurul mengulum bibirnya dengan sejuta rasa.

“Kalau Nurul nak bekerja, abah setuju sangat. Kebetulan syarikat kita ada kerja kosong. Abah memang sengaja suruh Hakim reservekan satu post penting untuk Nurul. Nurul boleh cuba. Sambil tu Hakim boleh tengok-tengokkan Nurul. Apa-apa Nurul tak faham, boleh terus tanya pada Hakim.”

Mendadak Nurul mengangkat muka. Silih berganti pandangannya antara Abang Hakim dan abah. Sama sekali tidak menduga abah sudah merancang segalanya.

Pada pandangan Nurul, dia lebih sudi memulakan karier di syarikat lain berbanding syarikat abah. Dia tidak mahu segala tingkah lakunya menjadi perhatian hanya kerana dia mempunyai ‘kabel kerja’ yang cukup hebat.

‘Tetapi bagaimana hendak disuarakan rasa hatinya ini?’

‘Apakah ada jaminan abah akan tetap bersikap biasa?’

‘Tidak marah-marah seperti yang dibayangkan?’

“Kalau boleh Nurul nak cuba di syarikat lain dulu, abah, Abang Hakim. Nurul nak mula dari bawah. Nurul tak mahu ada staf yang meragui kebolehan Nurul. Memang Nurul dah tanam niat ni sejak dulu lagi. Bila Nurul rasa Nurul dah cukup pengalaman, Nurul akan mula bekerja di Bumi Architectural.” Lambat-lambat dia menyusun kata.

“Abah nak tanya, macam mana Nurul nak ukur Nurul dah cukup pengalaman, hmmm?”

“Bila Nurul rasa mampu berdiri sendiri, abah.”

“Itu bukan satu keputusan yang bijak. Abah faham dan mengerti kenapa Nurul pilih keputusan tu. Tapi abah tetap tak setuju. Kenapa Nurul nak membuang masa menimba pengalaman di syarikat orang lain? Sedangkan bermacam-macam pengalaman Nurul boleh kutip dari Bumi Architectural. Ada baiknya Nurul kerja saja dengan Hakim. Hakim will teach you, guide you whenever you need his help. Fikirkan sekali lagi keputusan Nurul tu. Abah percaya Hakim pun setuju dengan pendapat abah.”

Nurul merenung Abang Hakim yang kelihatan tenang di sisinya. Kemudian wajah tegas abah.

“Abah bukan nak dera Nurul. Jauh sekali nak mematahkan semangat Nurul. Nurul kena ingat apa yang abah lakukan semata-mata untuk kebaikan anak-anak abah. Abah harap Nurul nampak abah sedang cuba tolong Nurul memilih jalan yang betul. Sebab abah tak suka anak-anak abah memilih lorong gelap semasa memulakan kerjaya. Nurul faham maksud abah, kan?” lanjut abah.

Nurul meneguk liur. Tidak menduga sesukar ini laluan untuk memulakan kariernya tanpa perlu bergantung pada keluarga angkatnya lagi. Abah nampaknya jelas-jelas menentang keras hasratnya yang satu ini.

“Apa salahnya Nurul berdikari, abah. Cuma setahun. Lepas tu Nurul janji akan mula berkhidmat di Bumi Architectural. Nurul cuma…”

“Dalam perkara lain abah memang takkan memaksa, tapi kalau soal kerjaya, abah bantah keras kalau Nurul nak kerja di syarikat lain. Setahun atau satu bulan sekalipun, jawapan abah tetap sama. Apa gunanya abah bersusah payah tubuhkan syarikat kalau anak-anak tak mahu membangunkan syarikat yang dibina? Abah hanya ada Hakim dengan Nurul. Abah hanya ada kamu berdua untuk teruskan perniagaan keluarga kita. Sikap Nurul ni buat abah rasa kecil hati. Susah payah abah bina empayar perniagaan keluarga, tapi Nurul senang-senang nak ranapkan semuanya…” abah memintas dengan kata-kata yang cukup merusuhkan minda Nurul. Nafasnya dihela dalam-dalam. Mencari ikhtiar terbaik supaya abah memahami hasratnya untuk berdikari.

“Nurul tak bermaksud macam tu, abah. Please, don’t get me wrong. Bukan tu maksud Nurul. Nurul tak pernah terfikir nak mengecilkan hati abah dan umi. Cuma Nurul rasa Nurul belum layak berkhidmat di Bumi Architectural. Nurul belum cukup berpengalaman untuk menjawat jawatan penting tu. Nurul cuma mohon diberikan masa. Cuma setahun sebagai persediaan sebelum Nurul memasuki Bumi Architectural. Nurul tak nak satu-satu projek kecundang di tangan Nurul. Gagal merupakan satu tamparan hebat, abah. Lebih-lebih lagi orang baru seperti Nurul.”

Terjegil biji mata abah mendengar alasannya. Semuanya membuatkan Nurul tidak senang duduk. Berdetap-detup jantungnya. Sesaat pandangannya tertumpu pada Abang Hakim yang seolah-olah sedang berfikir panjang. Dalam hati dia melolong merayu ihsan Abang Hakim.

“Kegagalan juga yang mengajar manusia supaya terus berusaha untuk berjaya, Nurul. Abah harap lepas ni jangan jadikan isu gagal sebagai alasan. Abah tak suka. Abah tak suka Nurul cakap tentang kegagalan lagi.”

Nurul memicit dahi. Menghalau sejuta kalut yang singgah di minda.

“Nurul tak yakin mampu memikul tugas berat di Bumi tanpa asas yang kukuh, abah. Berilah Nurul peluang tu.”

“Itulah sebabnya abah mahu Nurul bekerja di bawah Hakim. Hakim boleh guide Nurul. Ajar mana-mana yang Nurul tak faham. Abah jamin dalam masa satu bulan Nurul boleh berbangga dengan kejayaan yang Nurul capai.”

“Cubalah abang pertimbangkan dulu rancangan Nurul. Mungkin Nurul lebih selesa kalau begitu. Abang juga yang selalu cakap tak mahu memaksa anak-anak.”

“Abang memang tak kisah kalau perkara lain, tapi jangan soal kerjaya. Memang pantang datuk nenek abang anak-anak membantah.”

“Habis tu, takkanlah abang nak biarkan Nurul bersedih. Berilah Nurul peluang, bang. Lagipun Nurul dah janji cuma setahun. Apa salahnya kita biarkan Nurul cari pengalaman dulu, kemudian baru bekerja di syarikat.”

Abah tetap menggelengkan kepala.

“Kalau abang dah kata hitam, maknanya hitamlah jawapannya. Abang takkan berganjak.”

Terdengar keluhan panjang umi.

Nurul menundukkan wajah. Tiada daya lagi untuk membalas renungan abah. Terbayang di ruang mata impian untuk berdikari melambaikan tangan tanda ucapan selamat tinggal. Hatinya merintih di dalam. Tercarik dengan sikap abah.

“Abah, Hakim rasa ada baiknya kita berikan Nurul peluang untuk mengutip pengalamannya sendiri. Biarlah jatuh bangun Nurul, Nurul tanggung sendiri. Cari sendiri jalan penyelesaian.”

‘Abang Hakim…’ hatinya berbisik. Matanya tidak lepas-lepas memandang wajah Abang Hakim. Sungguh-sungguh Abang Hakim telah menjadi seorang abang yang cukup memahami hasrat hatinya.

Abah kelihatan panar. Dengan wajah terpinga-pinga dia memandang tajam wajah Hakim.

“Maksud Hakim?” soal abah.

“Hakim setuju dengan rancangan Nurul, abah. Nurul…”

“Abah tetap tak setuju. Esok Nurul akan ke Bumi. Mula kerja di sana. Lupakan niat nak kerja di syarikat lain. Keputusan abah muktamad.”

“Abah, jangan macam ni. Abah dah bunuh semangat Nurul. Berilah Nurul peluang merasa kesusahan di luar. Hakim mahu Nurul berdikari.”

Abah merengus kasar.

“Hakim merayu, abah. Berilah Nurul peluang tu.”

“Keputusan abah tak berubah.”

“Abah, Hakim cuma…”

“Abah, Abang Hakim… tak apalah, esok Nurul akan ke Bumi,” pintas Nurul secekal mungkin. Tidak sampai hati dia melihat Abang Hakim pula melawan cakap abah.

“No, abang tak setuju. Itu kerja gila. Selagi Nurul belum bersedia, abang tak benarkan Nurul bekerja di Bumi.”

“Biarlah, Abang Hakim. Nurul tak nak pasal Nurul, abah dengan Abang Hakim bergaduh. Abah jangan risau, Nurul akan ikut cakap abah.”

Hening. Abah memandang ke laman luar.

Abang Hakim tidak senang duduk. Wajahnya berbaur resah. Dia memandang wajah sendu Nurul.

Nurul hanya mampu tersenyum pahit. Kerana hatinya telah lebih dulu menangis.

“Hakim merayu, abah. Demi kebaikan Nurul, benarkanlah Nurul membuat pilihannya sendiri.”

Lambat-lambat barulah abah membalas tatapan Abang Hakim.

“Okey, sekarang abah nak dengar apa kebaikan kalau Nurul bekerja di syarikat lain?”

Rasa-rasanya, kata-kata abah itu meminjamkan sedikit sinar pada wajah Nurul. Dia ingin bersuara, namun segera dihalang oleh Abang Hakim melalui isyarat mata.

“Pertama, sudah semestinya Nurul akan lebih bertanggungjawab pada tugasnya. Kerana Nurul tak ada tempat untuk bergantung harap. Segala-galanya perlu dilakukan sendiri. Kedua, Nurul berpeluang membina keyakinan diri. Dalam erti kata yang lain, Nurul berupaya mengembangkan bakatnya tanpa perlu merasa bimbang kalau-kalau Hakim tak bersetuju dengan cara kerjanya. Dan yang terakhir, Hakim percaya Nurul mampu membawa business besar hasil daripada pengalaman bekerja dengan syarikat luar. Setiap pengalaman yang Nurul kutip pasti memberikan batu loncatan kepada Bumi Architectural seandainya berdepan masalah yang sama.”

Abah sekadar memandang. Tidak bersetuju mahupun membangkang. Tetapi yang jelas, sinar mata abah masih sukar untuk menyetujui hasratnya.

“Betul Nurul akan mula bekerja di Bumi selepas satu tahun?” tanya abah setelah lama mendiamkan diri.

Tersenyum Nurul mendengar pertanyaan abah. Dia mengerling ke arah Abang Hakim.

Terima kasih, Abang Hakim! Hati yang berduka sudah bersorak gembira.

“Ya, abah. Lepas setahun, Nurul akan mula berkhidmat di Bumi Architectural.”

“Janji dengan abah hanya satu tahun. Tak boleh lebih walau satu hari sekalipun. Mesti tepat.”

“Nurul janji, abah.”

“Baiklah. Abah pegang pada kata-kata Nurul. Hanya satu tahun.”

“Terima kasih, abah,” tingkah Nurul kemudian memberikan senyuman paling manis buat abah dan umi.

Syukurlah, abah sudah menyetujui keputusannya untuk memulakan karier di syarikat lain. Rasa-rasanya dia sudah tidak sabar untuk menatap ruangan kerja kosong di dada akhbar. Mujurlah abah memahami niatnya. Dan hati perempuannya kian tersentuh saat abah mengunjukkan akhbar The New Straits Times padanya.

“Mulakan mencari dengan niat yang ikhlas,” nasihat abah sebelum beredar ke ruang dapur. Sepuluh saat kemudian, umi mengikut jejak langkah abah.

Kini hanya tinggal dirinya dengan Abang Hakim. Sedaya upaya cuba dibuang rasa ‘aneh’ itu dari terus bermain di sudut kalbunya. Biarkan Abang Hakim dengan urusannya. Tetapi Nurul tahu, Abang Hakim selalu merenung padanya, kemudian tersenyum hangat. Sesungguhnya tingkah Abang Hakim membuat lamunannya terbang jauh. Sehingga dia mula lupa siapa dirinya di sisi Abang Hakim.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"