
Novel : Menggenggam Bayu 9
3 September 2010
Kategori: Novel
739 bacaan Jom bagi ulasan
Oleh : nurazilah ariff
BAB 9
Ema mengemas-ngemas pakaiannya. Baju, seluar, keperluan peribadi dan beberapa barang penting. Semuanya di sumbat ke dalam begnya yang sederhana besar. Ikut kira-kira dia akan tinggal di sana lebih kurang tiga hari sahaja. Hari keempat, iaitu hari pernikahan Bayu Azalea dia akan balik bersama emak dan ayahnya yang akan turut menghadiri sama majlis di rumah Luqman itu nanti.
Semalam Bayu Azalea menelefonnya. Menyatakan keyakinan untuk meneruskan pernikahan ini. Demi rumah itu, dia akan sanggup. Kehilangannya nanti hanya akan menambah sedih hatinya. Ema hanya mengangguk setuju. Kalau Bayu Azalea sudah dengan pilihannya, maka dia juga sudah punya pilihannya sendiri. Antara Luqman dan Azman, dia akan memilih Azman. Tetapi antara Bayu Azalea dan Azman, dia akan memilih Bayu Azalea dan akan melakukan apa saja untuk gadis itu.
Setelah siap semuanya, Ema keluar menuju dapur. Emaknya Puan Jamilah sedang menyediakan sarapan pagi. Jemput-jemput udang. Ema duduk di meja makan berdekatan. Jemput-jemput yang masih panas itu sempat di capai.
“Bas kamu pukul berapa?” Puan Jamilah bertanya sedang matanya masih pada kuali di hadapan.
“10.30.”
“Hmm…sampai sana nanti kamu kena pandai jaga diri kat tempat orang.”
Ema tersengih saja mendengar nasihat itu. Dilihat emaknya sudah menyudahkan gorengannya. Jemput-jemput itu diletakkan di dalam pinggan. Ema capai pinggan itu dan meletakkannya di atas meja. Melihat ayahnya, Encik Sahak, segera dia bangun dan menyediakan seteko kopi. Tak lama selepas itu muncul adiknya, Amin. Mereka sekeluarga bersarapan bersama.
“Lea okey ke kat sana?” tanya Puan Jamilah. Dia agak risau juga memikirkan keadaan Bayu Azalea semenjak Ema menceritakan tentang situasi yang dihadapi gadis itu. Dia sudah menganggap Bayu Azalea seperti anaknya sendiri. Jadi segala yang berlaku pada gadis itu, seolah-olah telah menjadi tanggungjawabnya juga. Lebih-lebih lagi sejak atuk dan neneknya meninggal dunia. Simpati sungguh dia melihat nasib anak itu.
“Ikut kata dia, okey. Tapi tak taulah…” Ema menjelaskan perkara yang dia sendiri kurang jelas.
“Ayah rasa, insya-ALLAH tak apa-apa. Lea tu mudah mesra budaknya.”
Ema mengangguk sahaja. Kalaulah hidup ini semudah itu. Semua manusia baik, mesra, tiada prasangka, saling menyayangi. Kalau begitu tentu hidup mereka lebih mudah.
“Semalam Abang Man ada tanya Amin tentang Kak Lea, kak.”
Ema terkejut mendengar kata-kata adiknya itu. “Dia tanya apa? Dan kau jawab apa?” Ema risau tiba-tiba. Bagaimana kalau Azman dapat tahu dia akan menemani Lea di Kuala Lumpur. Apa reaksi lelaki itu nanti?
“Dia tanyalah tentang Kak Lea. Tapi Min cakap tak tau. Dan…err…” Wajah Amin macam orang bersalah. Terkebil-kebil dia memandang wajah kakaknya itu. Ema tidak sedap hati.
“Apa err,err…? Cakap cepat!”
“Err…Amin pun tercakap yang akak nak ke KL hari ni sebab nak teman Kak Lea.”
Waktu itu Ema terasa ingin mencekik-cekik adiknya itu. Tetapi segera diredakan oleh emaknya. Amin tersengih-sengih. Mereka meneruskan sarapan. Melihat jam di dinding sudah menginjak angka 9.00 pagi. Dia perlu bergerak sekarang. Perjalanan ke perhentian bas mengambil masa lebih kurang empat puluh lima minit.
Amin membantu meletakkan beg kakaknya ke dalam kereta yang dipinjam dari jiran sebelah. Encik Sahak sudah siap menunggu di tempat pemandu. Ema bersalam dengan emaknya.
“Sampaikan salam mak pada Lea. Cakap dengan dia, mak dan ayah sayang kat dia dan suruh dia banyakkan bersabar.”
Ema mengangguk sahaja. Baru saja dia mahu meneroboskan tubuhnya ke dalam kereta, kelibat Azman muncul di situ. Ema mengeluh. Dia tahu bakal wujud masalah sekejap lagi.
“Tunggu kejap ye, yah?” Encik Sahak mengangguk. Puan Jamilah perhatikan sahaja. Amin sudah tersenyum-senyum. Merasa bersalah sendiri. Ema menghampiri Azman dan mengajaknya berbual di tempat yang agak tersorok.
“Kenapa kau tak bagitau kau nak ke KL?” Azman merenung Ema. Ema memandangnya, sayu. Nampaknya Azman masih tetap tidak mahu menerima keadaan ini.
“Aku tak rasa aku perlu cakap pada kau.”
“Kau pergi sana sebab nak pujuk dia supaya kembali pada aku, kan?” Penuh harapan di wajah Azman. Tetapi Ema hanya tersenyum sinis.
“Aku tak akan ke sana untuk menghancurkan rumah tangga orang lain, Man.”
Azman terkilan dengan sikap Ema. Dia berharap supaya Ema memberi sokongan kepadanya. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku. “Tapi kenapa? Kau taukan lelaki tu hanya pergunakan dia? Lelaki tu tak cintakan Lea. Hanya aku yang cintakan Lea!” Perasaan Azman sudah semakin tidak menentu. Dia seperti orang yang telah hilang akal. Wajahnya sudah tidak terurus lagi.
“Aku tak boleh menilai perasaan orang lain. Tetapi hati aku yakin dia mampu membahagiakan Lea.” Jujur jawapan itu. Dia tahu Azman akan terluka. Tetapi biarlah terluka sekarang daripada memberinya sebarang harapan lagi.
“Jadi kau fikir aku tak mampu membahagiakan Lea?” Mata Azman telah mula berair. “Aku cintakan dia dengan sepenuh hati aku. Bagaimana kau boleh kata macam tu?” Azman terduduk. Dia benar-benar hilang punca. Dia tidak boleh hidup tanpa Bayu Azalea. Dia telah cuba. Tapi tetap tak boleh… Cinta itu terlalu menyesakkan.
Ema merenung simpati. Salahkah tindakan aku itu? Memilih antara dua sahabat. Siapa yang dia pilih sebenarnya? Bukan Azman. Dan bukan Lea juga. Kerana kalaupun betul Bayu Azalea turut mencintai Azman, tetapi entah kenapa dia tidak lagi dapat melihat bahagia di mata lelaki ini.
Ema duduk di hadapan Azman. Merenung dalam ke anak mata itu. “Di mata kau, aku hanya nampak hati orang yang kecewa, Man.” Azman memandangnya. “Lea, dia tidak perlukan cinta untuk terus bertahan. Tapi dia perlukan jaminan. Jaminan bahawa dia akan selalu disayangi. Aku tak rasa kau dapat memberi jaminan itu.”
Azman menggelengkan kepala. Dia tidak dapat menerima kata-kata Ema kali ini. Baginya, cinta adalah segala-galanya. Tanpa cinta manusia akan mati!
Ema mengeluh. Hatinya tersentuh melihat penderitaan hati ini. Melihat kedua-dua sahabatnya yang sering bergelut dengan mainan perasaan yang memeritkan, menjadikan dia takut hendak berhadapan dengan perasaan itu.
“Kau tak mahu terima kata-kata aku tentang takdir dan ketentuan Tuhan, kan? Jadi sekarang kau nak tau kenapa Lea tetap memilih rumah itu?” Azman diam. “Kerana rumah itu adalah jaminan. Jaminan untuk dia terus bertahan dan tersenyum.” Azman tetap diam. Ema mengeluh perlahan. Dia bersila di atas tanah. Masih merenung Azman.
“Walau berapa banyak kau menyatakan cinta, dia akan menghargai cinta kau. Tapi bila dia terpaksa membuat pilihan, dia akan memilih sesuatu yang memberi jaminan kepada kebahagiaannya. Dia sudah terlalu banyak menderita. Cinta sudah tidak bermakna pada dia, kerana dia sudah tidak sanggup untuk terluka. Dia dah tak sanggup merasai kehilangan lagi. Untuk mendapatkan dia, bukan dengan cinta. Tapi jaminan bahawa dia akan berasa selamat hidup di sisi kau.”
“Kenapa kau merasakan lelaki tu dapat memberi jaminan kepada Lea?” Azman menyindirnya dengan kata-kata itu. Apa jaminan Luqman pada Lea yang Ema dapat lihat?
Ema terdiam. Masakan dia tahu sedangkan dia baru sekali bertemu dengan Luqman.
Azman senyum menyindir. “Kenapa kau diam?”
Ema pandang Azman.
“Kalau kau yakin, kau sepatutnya…”
“Aku tak tau!” Ema menjawab cepat. Renungannya semakin dalam merenung anak mata Azman. “Aku tak tau… Apa yang aku tau, bukan kau orang yang dapat beri jaminan itu!”
“Kau terlalu yakin dengan kata-kata kau. Itu cuma cakapan mulut saja!”
Ema senyum tiba-tiba. “Aku berkata guna mulut, Man. Tapi kata-kata itu datang dari hati aku. Hati aku merasakan seperti itu!”
Encik Sahak sudah membunyikan hon kereta. Ema bangun. Membersihkan seluarnya yang berpasir. Kemudian memandang Azman semula.
“Kata hati tak selalunya betul. Kerana ikut hati, mati. Tapi selagi hati ini yakin pada takdir Tuhan itu, aku tak perlu risau apa-apa!”
Azman merasa terpukul dengan kata-kata itu. Dia perhati saja Ema berlalu dari situ. Dia dapat merasakan Ema sengaja mahu memerlinya. Dia cuba akui, benar dia cuba menerima kenyataan tetapi cinta yang telah lama berputik menjadikan dia goyah semula. Dia mesti memiliki cinta itu walau dengan apa cara!
“Bagi aku nombor telefon Lea. Dan alamat rumah dia!”
Ema berpaling. Tetapi dia hanya menjawab dengan gelengan sebelum berlalu. Azman cepat-cepat bangun.
“Kau mahu aku menghalang perkahwinan ini, kan? Kau mahu aku bawak Lea balik, kan? Jadi kenapa kau nak menghalangnya sekarang?”
Ema berpaling menghadap Azman semula.
“Masa tak pernah menunggu manusia, Man. Walau satu saat kau terlewat, itu tetap dikira lewat!”
“Apa maksud kau?”
“Lea dah nak kahwin hari sabtu ni!”
Azman terkejut. Benar-benar terkejut! Larian jantungnya bergerak dengan begitu kencang sekali. Dia hampir sesak nafas kerana kekejutan itu. Dia terduduk sekali lagi. Bayu Azalea nekad untuk berkahwin. Ema pula telah berpihak kepada Bayu Azalea sepenuhnya! Akhirnya, akukah yang harus mengalah?
Bayu Azalea mengekori dari belakang langkah Puan Sri Zahra dan Tan Sri Iskandar. Dia rasa janggal sekali. Apalagi melihat Tan Sri Iskandar yang turut menemani mereka hari ini.
“Mari, Lea.”
Puan Sri Zahra menariknya masuk ke sebuah lagi butik. Bayu Azalea ikutkan saja. Senyumannya tawar melihat baju-baju yang bergantungan. Harganya tentu sekali mahal. Dia lihat sepanjang mereka keluar, senang saja mereka mengeluarkan duit. Membeli apa saja yang berkenan di hati. Tak perlu fikir dua kali, ambil dan bayar. Bayu Azalea semakin tidak sedap hati berhadapan dengan situasi yang baru baginya ini. Situasi dan keadaan yang sama sekali bertentangan dengan gaya hidupnya. Begitu kayakah mereka?
“Kenapa termenung, Lea? Pilihlah mana-mana yang Lea berkenan. Ambik je, okey?”
Lambat-lambat Bayu Azalea mengangguk. Dia kembali membelek-belek baju-baju tersebut. Terlalu mewah. Terlalu eksklusif. Terlalu bergaya. Walaupun memang cantik, tetapi langsung tak sesuai dengan dirinya. Dia tak mahu kerana dia tak suka. Tapi, takkan jawapan itu yang mahu dia berikan kepada bakal ibu dan bapa mertuanya ini?
“Dah jumpa, Lea?” Puan Sri Zahra tersenyum senang.
“Err…Lea ikut je pilihan puan sri. Lea pun tak tahu nak pilih yang mana. Semuanya cantik-cantik.”
Puan Sri Zahra memandang suaminya. Mereka saling tersenyum. Bayu Azalea tidak lagi menghiraukan mereka. Dalam hatinya wujud satu lagi kekusutan baru; kenapa mereka berdua melayannya terlalu baik?
Pulang ke rumah Bayu Azalea terus menghempas tubuh di atas katil. Dia menekup mukanya dengan bantal. Dia semakin tertekan. Kali ini bukan tertekan dengan pilihan, kerana pilihan telahpun dibuat. Tetapi dia tersepit dengan kehidupan barunya nanti di samping Luqman dan keluarganya. Dapatkah dia menyesuaikan diri sedangkan dia tidak mahu menyesuaikan diri? Dapatkah dia menutup segala kelemahannya, sungguhpun dia tidak malu mengakui kelemahannya? Apa yang paling penting, bagaimana dengan penerimaan orang lain terhadap dirinya?
Di kalangan keluarga mereka, semuanya serba sempurna. Semuanya serba lengkap. Serba ada. Kenapa dia yang tidak punya apa-apa harus terlibat dengan keluarga ini? Memikirkan dia adalah gadis kampung yang tidak punya apa, menjadi bakal isteri kepada Luqman Hakim Bin Tan Sri Iskandar, yang serba ada. Wah, kenyataan apakah itu? Kenapa dia tak berasa teruja langsung? Kenapa dia tak terasa betapa bertuah dan beruntungnya dia? Sebaliknya dia menjadi semakin rindu pada kehidupan lamanya pula? Kenapa, Ya ALLAH!!! Kenapa Kau masih tak bangunkan aku dari mimpi pelik ini!!!
Semerta telefon bimbitnya berbunyi. Melihat nama Ema yang tertera, segera dia mengangkatnya.
“Lea, aku dah nak sampai ke rumah kau ni!” Jeritan Ema menyusul dengan jeritan Bayu Azalea. Terlonjak-lonjak dia di atas katil. Gembiranya bukan kepalang. Terbang segala kekusutan yang mengusutkan tadi.
“Terima kasih, Ya ALLAH!!!”
Mimi mengambil tempat di antara mama dan papanya yang sedang minum petang di luar rumah. Dia ada perancangan terbaru untuk menghalang pernikahan ini.
“Apa kata kalau kita bagitahu uncle dan aunty siapa Lea tu yang sebenarnya, papa? Kita ceritalah semua pasal latar belakang dia. Tentang atuk dan nenek dia?”
Datuk Razlan berkerut mendengar rancangan Mimi. Datin Farah hanya tersenyum simpul. Dia akan bersetuju apa sahaja yang anak tunggalnya ingin lakukan. Dia akan mendokong kuat dari belakang.
“Mustahil mereka masih nak terima menantu macam tu? Lagipun Lea tu bawak sial dalam keluarga ni. Mimi yakin, mereka tentu akan batalkan pernikahan ni serta merta!”
“Kalaupun mereka terima cakap kita, mereka mungkin akan batalkan pernikahan tu, tapi nama kita juga yang buruk nanti. Lepas ni lagi Luqman takkan mahu berurusan dengan syarikat kita.”
“Takkan sampai macam tu sekali?”
“Apa saja yang kamu katakan pasal Lea, tentu akan melibatkan kita semua sebab dia sebahagian daripada keluarga kita. Takkan kita nak bukak pekong sendiri?”
Mimi membentak. Kenapa jadi susah pula?
“Tetapi sekarang yang menjadi masalahnya ialah Lea. Dia tak sesuai langsung dengan kehidupan kita. Kalau kita beritahu mereka, tentu mereka akan berterima kasih pada kita kerana tak menjebakkan mereka ke dalam lebih banyak masalah.”
Datuk Razlan diam.
“Betul kata Mimi tu, pa. Takkan mereka nak salahkan kita kalau kita bagitau pasal Lea? Lagi pulak Lea tu…”
“Farah…!”
Datin Farah terdiam. Mimi pelik memandang kedua ibu bapanya yang seakan menyembunyikan sesuatu.
“Kalau masalah ni boleh selesai dengan cara macam tu, dari awal lagi papa dah bertindak. Tapi perkahwinan ni bukan melibatkan Lea dan Luqman saja, tetapi segala urusan perniagaan, kerjasama dan kepercayaan semua pemegang saham syarikat. Walaupun tidak secara rasmi, perkahwinan ni boleh dikatakan satu penggabungan antara syarikat papa dengan syarikat Tan Sri Iskandar. Ini sekaligus meningkatkan kepercayaan orang ramai pada syarikat kita. Kamu tau kan sekarang kita berdepan dengan banyak krisis? Ini salah satu langkah untuk kita menyelamatkan diri.”
Mimi mendengus kasar. Sekarang kelihatan seolah-olah Lea menjadi penyelamat keluarga mereka pula? Tak adil!
“Jadi papa lebih pentingkan perniagaan papa berbanding dengan anak papa sendiri?”
Datuk Razlan menggeleng kepala. “Apapun, papa mesti menyelamatkan syarikat papa dulu. Lepas tu kita akan fikirkan macam mana mahu mengambil Luqman dari Lea. Papa serahkan pada Mimi nak buat macam mana pun. Papa takkan halang.”
Mimi tersenyum tawar. Datin Farah hanya mengangguk.
“Mimi akan pastikan dia takkan dapat tersenyum lagi selepas ni!”
Datuk Razlan tiada reaksi. Hanya memerhati saja anak dan isterinya itu yang tersenyum-senyum memikirkan rancangan selanjutnya.
“Ana mungkin tak dapat pulang minggu ni…” Beritahu Puan Sri Zahra sebaik ternampak kelibat Luqman yang baru pulang dari kerja. “Dia kata kamu buat cepat sangat.”
Luqman senyum. Dia mencapai tangan mamanya dan mengucupnya.
“Sayanglah Kak Ana takde…” Wajah Luqman sedikit kecewa. Dia bersandar di sofa. Letih kerana terpaksa menguruskan kerjanya yang berlambak. Dalam masa yang sama terpaksa menguruskan hal perkahwinannya pula.
“Dia kirim salam sayang tadi.” Luqman menjawab salam itu. “Mama pun rindu nak jumpa kakak kamu tu. Agaknya si Daniel tu dah tinggi dah sekarang.” Terdapat keluhan di situ tatkala terkenangkan cucu tunggalnya yang sudah lama tidak ditemui. Luqman diam. Mak Mah datang membawa segelas jus oren. Luqman meneguknya setelah mengucapkan terima kasih.
“Macam mana dengan persiapan, ma? Semuanya okey?” Luqman bertanya. Untuk pernikahan ini, mama yang menguruskan hampir keseluruhannya. Mujurlah cuma buat majlis nikah. Kalau tidak, tentu lagi parah dan kelam kabut. Luqman pandang wajah mamanya. Tangan wanita itu di sentuh.
“Mama menyesal? Sebab Luke nikah tergesa-gesa?”
Wajah Puan Sri Zahra jelas terkejut. Dia menepuk-nepuk tangan anaknya itu. “Kenapa pulak kata macam tu?” Tegurnya. “Luke anak mama. Segala keperluan Luke dan keinginan Luke mama akan tunaikan walau apapun.”
“Walaupun mengecewakan hati mama sendiri?”
Puan Sri Zahra hembus nafas. “Memang mama kecewa sebab tak dapat buat majlis besar-besaran untuk kamu. Mama nak sangat tengok anak lelaki mama ni naik pelamin. Tapi semua tu boleh dibuat nanti, kan? Yang penting sekarang anak mama ni bahagia. Dan mama dan papa juga bahagia dapat menantu macam Lea.”
Mata Luqman bersinar. Puan Sri Zahra perasan itu. “Bahagia?”
Puan Sri Zahra mengangguk senang. “Mama tengok, dia sangat istimewa. Mungkin sebab cara pembesaran dia yang lain dengan cara kita.”
Luqman senang mendengarnya. “Apakah mama juga jatuh cinta pandang pertama macam Luke jugak?” Luqman sengaja mengusik mamanya. Bahagianya dia kerana pilihan hatinya ini diterima dengan sepenuhnya oleh kedua orang tuanya juga.
Puan Sri Zahra ketawa. “Masa mama dengan papa keluar shopping baju nikah dan barang-barang lain, mama tengok dia senyap je. Bila tanya pendapat, dia senyap. Bila tanya suka ke tak suka, dia senyap juga. Tapi satu perkara yang mama dan papa perasan…” Di situ Puan Sri Zahra terhenti. Dia teringat semula saat mereka bertiga keluar bersama pagi tadi. Dia dan suaminya merasa senang sekali menatap wajah itu.
Luqman yang melihat mamanya bermenung, jadi tidak sabar. Apa lagi yang istimewanya tentang gadis ini? Sungguh dia istimewa, bukan?
Puan Sri Zahra merenung Luqman. Cahaya keibuannya menyerlah. Luqman menjadi semakin sayang. “Apa dia, ma? Janganlah sengaja nak mendera hati Luke…”
Puan Sri Zahra tersenyum. “Setiap kali kami tanya, sebetulnya, setiap kali kami pandang atau terpandang wajah dia, pipi dia akan kemerah-merahan! Sangat cantik. Bila matahari terpancar pada wajah dia, dia seperti bidadari dari syurga.”
“Wah! Mama dah pandai bermadah pujangga. Seolah-olah mama pulak yang jatuh cinta.” Luqman ketawa. Dalam hati dia semakin rindu pada gadis itu. Semakin tidak sabar untuk menjadikan Bayu Azalea sebagai miliknya. Selama-lamanya!
“Sekarang Luke tak menyesal, kan?” Puan Sri Zahra merenung Luqman. “Dan sekarang Luke tau mama dan papa juga tak menyesal.”
Luqman tersenyum. Dia memejam mata. Bersabarlah wahai hati. Sekejap saja lagi. Keputusan telah pun dibuat. Pilihan telah ditetapkan. Segala-galanya akan dibiarkan berlaku mengikut apa yang telah direncanakan. Mungkin pilihan itu salah. Mungkin juga betul. Tetapi buat masa ini, itu saja yang mampu untuk seorang manusia bertindak. Kudrat seorang manusia; ada kemampuan untuk merancang, tetapi tiada kuasa untuk menentukan. Tetapi dia berdoa agar semuanya berjalan dengan lancar.













