
Novel : Omak Den VS Ayah Hang 12
Oleh : G.Y haniey
Bab 12
“Hish..ni semua kak long punya pasal lah ni. Kalau tak tolong,nanti merajuk pulak..tak nak bertegur. Aku jugak yang susah..”,rungut Norman sambil matanya liar mencari petak parking yang kosong. Kalau boleh,hendak cari tempat redup sedikit sementelah cuaca hari itu hangat pijar walaupun ketika itu jam baru saja menunjukkan pukul 10 pagi.
Aha..adapun!. Segera isyarat diberi dan parking lot yang terletak di bawah redup pohon itu menjadi miliknya.
Norman keluar dari kereta sambil matanya melingas sekeliling. Wah..sekolah di atas bukit ini,memang besar. Bangunannya jelas masih baru kerana catnya masih nampak cantik dan tidak luntur dimakan hari. Perlahan-lahan dia bergerak menaiki bukit yang tidaklah setinggi mana. Janggal pula rasanya berjalan sendirian sedangkan orang lain datang berpasangan. Hai..apa nak buat,kan?
“Assalamualaikum Pak cik!”,sapa seorang pengawas sekolah yang tersenyum mesra menyambut kedatangan ibubapa di pintu masuk. Norman sengih sambil mengangguk. Pak cik?
“Selamat datang,Pak cik!.
Sila naik ke dewan sekolah di tingkat dua”,seorang lagi kanak-kanak lelaki menegurnya. ‘Tua sangat ke aku ni?’,getus Norman dalam hati. Lupa sekejap di mana kaki berpijak. Kan lantai sekolah tu?
Norman geleng kepala pula. Macam tak percaya..
Di tingkat dua bangunan,sudah ramai ibubapa menunggu untuk menulis nama masing-masing dalam buku daftar kedatangan. Norman mengasingkan diri jauh ke belakang membuka ruang kepada golongan penjaga yang sudah berusia. Telefon di saku seluar bergetar tiba-tiba menandakan panggilan masuk..
“Man,dah sampai ke?”,suara kak long jelas di telinga.
“Dahh..tengah tunggu nak tulis nama ni..”,jelasnya.
“Oo..ya ke? Terima kasihlah sebab tolong kak long. Bukan kak long tak nak pergi tapi tak boleh. Man tau lah,kan? Anak-anak nak tinggal dengan siapa? Budak-budak ni beria-ia sangat sampaikan pesan cikgunya suruh pergi sana”. Mana mungkin anak-anak itu hendak ditinggalkan sendirian. Hendak dihantar ke rumah pengasuh seperti biasa,bimbang pula berjangkit penyakit mereka kepada kanak-kanak lain.
“Alah..tak kisahlah. Man dah sampai pun. Kak long jangan risaulah. Nanti Man baca usul yang kak long cakap tu..ok?”. Norman bergegas ke meja pendaftaran bila bilangan ibubapa di luar dewan itu makin susut.
Guru perempuan yang bertugas mengambil kedatangan penjaga itu tersenyum memandangnya,tanda mengalukan kedatangan. Beberapa orang lain ditepi meja tertoleh-toleh memandang. Norman jadi cuak. Kenapa pulak ni?
“Encik,tolong tulis nama anak sekali,ya?”,pinta cikgu tersebut. Norman angguk sahaja. Laju tangannya menulis nama Fatin Farhana binti Fadzil tahun 3 Alfa dan Fakrul Faiz bin Fadzil tahun 1 Alfa. Hmm..anak buah kesayanganku..
Sebaik saja dia melangkah ke dalam,Cikgu Mona yang bertugas di meja pendaftaran mengurut dada.
“Alamak..hensemnya dia!. Kalau Lisa nampak ni,mesti dia menganga sama. Saling tak tumpah..”. Dua tiga orang guru perempuan yang berada di sampingnya, mengerut muka. Tidak memahami apa yang dibebelkan oleh Cikgu Mona itu. Apa benda yang tak tumpah?
Dari luar dewan,Mona nampak lelaki itu..siapa namanya? oo..Norman,duduk di kerusi belakang padahal masih banyak ruang-ruang kosong di bahagian hadapan dewan tidak berpenghuni. Mona menggeleng kepala,kesal. Memang begitulah selalunya sikap kebanyakan ibubapa yang datang. Tidak mahu terlalu menonjolkan diri. Duduknya pun, di belakang sahaja. Tipikal!
Dewan terbuka sekolah tersebut semakin dipenuhi para penjaga dan ibubapa anak-anak pelajar. Bilangan yang hadir juga menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya. Kerusi tetamu Kehormat,Yang dipertua serta pemegang jawatan penting dalam persatuan pun,sudah dipenuhi. Tidak lama kemudian,agenda pun bermula..
Norman berpaling memandang kerusi di sebelahnya. Seorang pakcik yang agak berusia sudah tersengguk-sengguk melawan kantuk,macam ayam patah leher. Ucapan panjang lebar dari Pengetua, bersambung pula dengan ucapan perasmian oleh Pegawai Pendidikan mengundang rasa jemu yang tidak terperi.
‘Ish..kalau ada kawan,boleh juga buat lawan berborak’,getus hati Norman.
Selang dua barisan di hadapannya,ada satu kerusi kosong. Dia bangun perlahan-lahan bertukar tempat. Lelaki yang duduk di sebelah kerusi itu tersenyum mengalukan. Salam dihulur..
“Bang,berapa orang anak kat sini?”’tanya Norman dalam nada terkawal. Pegawai PPD sudah selesai merasmikan mesyuarat. Ada beberapa orang pelajar naik ke pentas untuk acara persembahan.
“Tiga..”,jawab abang itu. Dia mengenalkan diri sebagai Rahim. “Tahun depan masuk sorang lagi. Yang sulung,tahun depan dah tingkatan satu”,jelasnya lagi,tanpa dipinta.
Norman mengangguk faham. Fokusnya beralih ke pentas,melihat persembahan bacaan puisi pelajar yang berbakat. Boleh tahan!
“Norman pulak,berapa?”,tanya abang Rahim semula. Norman angkat dua batang jari sambil senyum. Abang Rahim ikut sengih.
Di hadapan dewan,Yang di Pertua meminta bendahari membentangkan lapuran belanjawan bagi sepanjang tahun lepas. Norman masih belum memberi tumpuan. Bagi dirinya, hanya menunggu untuk mencadangkan usul yang dibawa kak long sebentar nanti. Matanya mengitari keliling dewan terbuka itu. Sesekali singgah di lukisan mural yang cantik di dinding. Fikirannya langsung tiada di dalam perbincangan mesyuarat tersebut.
Seorang penjaga bangun hendak bertanyakan sesuatu tentang belanjawan sekolah. Habis sahaja soalan diutarakan,semua mata mula fokus kearah cik bendahari yang manis bertudung ungu cair, menunggu soalan tersebut dijawab. Norman turut memandang ke arah yang sama.
‘Macam kenal saja..,betul ke ni?’,matanya dipicingkan,kedut didahi jelas tampak. Sukar percaya dengan apa yang tertayang di depan mata kepala sendiri.
“Hah..dia? Betullah!”, rasa hendak putus tangkai jantungnya. Wajah yang susah dibuang dari ingatan beberapa hari ini, sekarang ada di hadapan sana. Wajah yang sering mendatangi mimpinya itu sedang menjawab soalan penjaga dengan berhati-hati. Suara itu penuh santun dan beralun lembut. Merdu sungguh pada pendengaran Norman. Kalah suara Dato’ Siti…
“Kenapa Norman?”,tanya abang Rahim di sebelah. Terkejut juga dia bila dengar suara Norman berteriak begitu.
“Tak apa-apa bang. Cikgu tu..muka dia sebiji macam kawan saya. Siapa nama cikgu tu,bang?”,tanya Norman tanpa malu. Abang Rahim pun membelek-belek kertas di tangan. Senang saja nak cari. Kan bendahari,tu?
“Nurul Alissa..bendahari PIBG ni. Kawan kamu ke?”,wajah teruja Norman di renung. Norman geleng. “Bukan..salah orang”,jawapnya menyorok rasa seronok.
Norman kembali memaku mata di hadapan. Ingin sekali dia bangun bertanyakan soalan,mencari peluang berinteraksi. Dia kepingin mahu tahu,adakah gadis itu masih mengingati dirinya. Tapi,apakan daya..
Norman mengeluh. Menyesal pula rasanya kerana tidak mengikuti minit mesyuarat tadi betul-betul. Sekarang,dia sendiri pun bingung,tidak tahu apa yang mereka semua sedang bahaskan. Wajah kesayangannya itu nampak kalut menjawab soalan bertubi-tubi dari penjaga pelajar. Akhirnya,Tuan Pengetua membantu menjawab semua soalan. Lega!
Kemudian,tiba ke minit yang ditunggu-tunggu Norman. Dia bangun membentangkan usul yang dibuat kakaknya.
“Assalamualaikum. Saya Norman..err.. menggantikan Puan Normah Hani. Usul yang dibawa ialah er..membenarkan pelajar duduk semasa perhimpunan pagi dijalankan kerana masa yang terlalu lama membuatkan ada pelajar yang pitam. Saya sokong usul ni dan err..saya harap dapat sokongan dari penjaga semua”, tersekat-sekat suaranya. Maklumlah,sekarang ini,tumpuan puluhan, atau mungkin juga ratusan ibubapa berpusat kepadanya. Paras Norman lurus ke hadapan, terlekat di wajah Lisa yang saat itu juga sedang ralit memandangnya.
Masa bagaikan terhenti sejenak. Pandangan bertemu, dada bergemuruh debar dan adrinalin bergerak pantas membikin satu perasaan indah hadir tanpa diundang. Tika itu, Norman sudah tidak nampak orang lain lagi. Senyuman manisnya dihulur buat Cikgu Alissa.
“Er..Encik Norman dari mana tadi?”,terdengar suara Pengetua bertanya memutuskan anganan Norman. Agaknya untuk rekod..
“Oh..dari Seksyen 8″. Pandangannya masih tidak lari dari orang di sebelah Pengetua tersebut.
Bagi Lisa pula, dia mula terperasankan renungan tajam itu. Pandangan yang sama dilihat suatu petang ketika berurusan di bank. Senyuman ikhlas yang dihulur,dimatikan serta-merta. Menyedari pandangan mereka berlaga terlalu lama,cepat-cepat Lisa membuang pandang.
‘Bahaya betul bapak budak ni..,pandang orang macam nak telan. Tak ingat bini kat rumah ke? Sudahlah hari tu,terpegang tangan nyonya tua..’,kritik Lisa dalam hati. Dia diam tidak berkutik di sebelah Pengetua. Wajahnya ditekur ke meja.
Yang di Pertua pula sedang membincangkan rasionalnya usul tersebut terhadap kepentingan pelajar. Setelah persetujuan dicapai,usul itu diterima dengan sebulat suara tetapi hanya dibenarkan pada perhimpunan pagi isnin sahaja kerana masa yang diambil agak lama sedikit berbanding pagi lain.
Kali ini,Norman buka telinganya luas-luas. Kak long di rumah pasti sudah bersedia dengan soalan-soalan maut untuk ditanyakan nanti.
‘Kalaulah tak dapat jawab ,mesti tersumbat telinga aku ni kena leter’,getus hati kecilnya.
Sebaik saja majlis bersurai,ibu bapa diminta hadir ke kantin sekolah untuk menikmati jamuan tengahari. Mona mengambil peluang untuk bertemu Lisa yang sangat sibuk sepanjang hari itu. Dari kejauhan,dia nampak Lisa menghulurkan senyuman.
“Macamana? Ok tak?”, Lisa angguk kepala. Tangannya diangkat paras bahu sambil ibu jari bertemu telunjuk.
Mona ketawa sambil menyambung kata “Teruk jugak kau kena soal tahun ni..Aku yang kat belakang pun,berdebar semacam”.
“Apa nak buat,kan? Kerja kita..Nasib baik Pengetua tolong..Kau jaga meja depan,kan? Berapa jumlah yang hadir?”
“Ramaii..dua ratus lebih. Dewan pun nak penuh..”, Mona sengih menayang gusi. Lain macam saja. Mesti ada apa-apa ni..Bukan Lisa tidak tau..
“Lisa! Aku jumpa seseorang. Aku rasa,kau pun cam juga!” teruja saja bunyinya.
“Kau ni..tak habis-habislah. Siapa pulak kali ini? Jangan kata kau jumpa Barrack Obama, Osama Laden pulak, lepas ni.”. Marah Lisa. Jarinya sudah bersedia untuk di transform kepada sepit udang tapi Mona lebih pantas mengelak. Tangan Lisa dipegang.
Mona ketawa lepas. Lisa mengedutkan muka.
“Rafael Nadal!”
Lisa mencebir. Sepatah dari Mona itu menghilangkan keterujaannya.
“Sekejap Woo Bin..,sekejap Nadal. Perasan artis ke? Semua orang glamour,kau jumpa”.
“Mana ada!. Pandai-pandai saja..”Bibir Mona pula sudah memuncung. Geramkan Lisa yang tidak mahu melayan ceritanya.
Nun di meja hujung kantin sekolah itu,ada seseorang yang ralit memerhati tingkah bersahaja kedua-dua guru tersebut. Nasi minyak dan ayam masak merah yang ditelan ,sudah tidak tahu rasa. Suapannya pun lambat-lambat sahaja. Rongga dada sebu dengan rasa teruja yang teramat sangat.
“Kenapa makan sikit saja?”,tanya satu suara di tepinya. Lekas-lekas Norman berpaling. Laa..tak perasan pulak ada orang kat sebelah aku ni..
“Ah..pakcik!. Saya masih kenyang lagi. Pagi-pagi dah makan nasi lemak kat rumah”, Padahal pagi tadi hanya minum kopi sejuk dari dalam peti ais lebihan malam semalam. Auta betul!
Norman perhatikan pakcik itu berselera sekali mengadap sepinggan penuh nasi minyak. Lauk ayamnya berketul-ketul. Suapannya pula besar-besar saja.
‘Ish..pakcik ni..Tadi bukan main lagi tersengguk-sengguk. Time makan,tak sempat pandang kiri kanan..laju saja!’,umpatnya.
Terleka sebentar dengan pakcik yang sedang kelaparan itu, Norman jadi lupa seketika dengan Cikgu Lisa yang menjadi pujaan hati. Apabila diangkatnya kepala semula,cikgu berdua tadi itu tadi sudah sirna. Terjenguk-jenguk kepala Norman mencari,namun bayangnya pun sudah tiada. Buru-buru dia bangun. Nasi yang belum luak dipinggan,ingin diangkat ke singki tapi belum sempat dia bergerak..
“Eh..dah siap ke? Nasi belum makan lagi tu?”,tegur pakcik tadi.
“Haah..tak seleralah”,ringkas jawapan Norman. Tidak mahu berlengah-lengah membuang masa di situ.
“Err..tinggalkan saja pinggan kamu tu..Biar pakcik habiskan. Membazir saja!”,
Melopong mulut Norman mendengarnya. Nasi dalam pinggan sendiri pun masih banyak. Sekarang,nasi dalam pinggan orang pun,dia hendak. Macam ni pun,ada ke? Buruk lantak betul!
“Eh,betul ke ni?”,tanyanya meminta kepastian. Pakcik itu pantas menarik pinggan di tangan Norman kemudian menyambung kembali suapannya dengan muka langsung tidak beriak. Norman menggeleng kepala.
*********
“Betul Lisa. Aku ni duduk depan muka dia. Kan dia tulis nama kat luar tu..aku nampak jelas. Memang iras betul cuma kulit saja macam melayu. Hairan juga aku..Kat sekolah kita ni,mana ada budak-budak yang darah mix macam tu..Mixed jawa,ramailah….”Soalan-soalan lazimpun,mulalah mengisi kotak fikiran. Contohnya,siapa anak dia? Siapa isteri dia?
“Biarlah..tak ada kena-mengena dengan aku pun. Yang beria-ia sangat ni,kenapa?”, Lisa sudah hilang mood mahu melayan. Dia mahu cepat-cepat pulang. Di kepalanya sudah terbayang tilam dan bantal yang empuk juga nikmat tidur yang susah hendak dapat sejak seminggu lalu.
“Hish..kau ni? Kenapa tayang muka kayu macam tu?..Tak ada perasaan ke,apa?”,marah Mona pula. Tangan Lisa yang laju menuruni tangga ditariknya. Nasib baik kawannya itu tidak terlentang. Muka Lisa sudah merah..
“Wei..kau ni kenapa?.Aku tak terliurpun. Aku tak mahu Rafael Nadal. Aku nak bantal..sekarang!. Letih ni,tau tak? Mengantuk!”. Wah..angin Lisa sudah datang..
Serta-merta muka Mona berubah. Terasa hati bila Lisa memarahinya begitu sekali.
“Sampai hati kau marah aku. Aku cuma nak cerita je..Itukan idola kau. Sebab tu aku beritau. Dahlah tak terima kasih,marah-marah pulak..”
Lisa mengeluh panjang. Paras Mona ditentang. Muka cemberut kawannya itu di renung.
“Bukan tak mahu terima kasih. Masalahnya,apa motif kau beria nak cerita dengan aku? Kalau betul muka dia serupapun, aku nak buat apa?”. Mona diam mengangkat bahu. Masuk akal juga. Dia pun tidak tahu apa tujuannya bercerita bagai nak rak dengan Lisa.
“Dahlah..jom balik. Aku nak tidur!”,diheretnya tangan kawan baiknya itu. Laju sekali hinggakan Mona rasa bagai nak rebah melangkah tangga. Mengantuk sungguh si Lisa ni..
Ketika hampir sampai ke tempat parkir, Lisa berhenti tiba-tiba. Mona yang masih melangkah di belakangnya,tidak sempat mengelak dan badan Lisa dirempuh kuat.
“Adui..! Kenapa kau ni? Nak stop, tak beri signal..Nasib tak benjol kepala!”,nyaring suara Mona. Cepat-cepat mulut itu dicekup Lisa. Buntang mata memandang jari telunjuk Lisa yang sedang tegak di tepi bibir. Mona naik pelik. Pantas isyarat matanya hadir..Kenapa?
Dari bibir,jari Lisa menuding ke tempat parking. Mata Mona mengikut gerakan jari runcing itu. Mata Mona yang bulat tadi tambah membuntang..
Nun di sana,di bawah pondok tempat rehat pelajar berhampiran parking lot khusus untuk guru..lelaki yang disebut-sebut tadi sedang menyandar selesa. Jelas pada pandangan Mona,lelaki itu sedang memerhati sederetan kereta guru-guru yang diparkir di situ bagaikan menunggu sesuatu.
Tangan Lisa yang masih menutup mulutnya,ditarik. Muka Lisa yang masam,di telek.
“Lisa, tuu..”,Mona menjuih,menunjuk dengan bibir. “Buat apa dia duduk kat situ? Macam tunggu orang saja?”.
“Tunggu isteri dia,kot?”,tanya Lisa semula. Suaranya perlahan saja. Mona tambah hairan dengan sikap Lisa.
“Eh..mana ada. Tadi dia datang soranglah. Yang kau ni pulak,kenapa berhenti tiba-tiba? Biar aja lah dia kat situ. Bukan ada urusan dengan kau pun..”,muka Lisa yang putih itu mula bertukar merah. Mona terus dapat mengagak,ada sesuatu yang telah berlaku. Lisa memang sukar hendak menyorok rahsia. Air mukanya memang tak sepakat dengan badan..
“Haa..baik kau cakap dengan aku! Kau ada affair dengan mamat handsome tu,ya?Oo..patutlah kau marah-marah bila aku cerita pasal dia lebih-lebih. Kau takut aku tau rahsia kau rupanya..”,serkap Mona memang hampir kena. Lencong sedikit saja.
Lisa memang tertarik pada lelaki itu sejak bertentang mata kali pertama. Hatinya ikut bergetar saat dihadiahkan senyuman manis. Namun bila rahsia sudah tersingkap, muka itulah yang paling meluat untuk dipandang. ‘Gatal!’,kritik Lisa.
“Jangan buat drama swasta dekat sini,boleh tak? Tak ada maknanya aku nak rahsia..Aku kenal pun tidak..Lagipun,itukan bapak orang! Gila kau,affair dengan laki orang?..Nak suruh muka aku kena simbah asid ke?”
“Habis..kenapa berhenti kat sini? Jomlah..tadi kata nak balik cepat,mengantuk sangat.. Tu..tilam bantal kau dah panggil,tu..”, Mona pula ambil alih menarik tangan Lisa. Puas dia heret,tapi Lisa tetap memaku kakinya ke lantai di tepi bangunan itu. Kepalanya saja digeleng-geleng. Macam lembu degil..
“Mona..kau tolong aku,boleh?”, Lisa dapat mengagak,siapa yang sedang ditunggu lelaki tersebut.
“Apa?”
Mata Mona masih menutas ke arah lelaki tadi. Siapa namanya? Oh ya..Norman. Mana mungkin dia lupa nama lelaki kacak itu..Gelisah saja kelihatannya dia. Sesekali Norman bangun berdiri,panjang lehernya menjenguk tempat parking bila ada guru lain yang datang. Kemudian, dia duduk semula bila yang ditunggunya belum tiba.
“Kau keluar dulu,boleh?..Aku rasa,dia tengah tunggu kau tu..”. Mona mengerut dahi. Pandai-pandai saja Lisa ni..Dia ingat, dia tu keturunan
Pak Belalang ke?
“Tolonglah Mona. Kau kawan aku,kan?..Kalau dia tanya pasal aku,kau cakaplah aku dah balik,ya? Please..”,rayu Lisa terus.
“Hish..kau ni..”,sebelum sempat dia membantah,Lisa sudak menolak badannya hingga terdorong keluar dari tempat mereka menyorok. ‘Minah ni memang nak kena dengan aku’,jerit Mona hanya dalam hati sahaja kerana tepat seperti jangkaan Lisa, Norman bangun serta-merta bila nampak muka Mona terjengul di tepi bangunan.
Bergaya sekali lelaki itu melangkah. Rambut coklat gelap semulajadinya itu beralun dihembus angin. Kemeja biru gelap berjalur hitam yang tersarung di tubuh memang kena dengan kulit nya. Tubuh tegap itu menghampiri Mona yang berdiri umpama patung cendana.
‘Agaknya..Lisa ni memang betul ada bau-bau bacang dengan Pak Belalang,kot?’,nampak sangat Encik Norman itu memang sedang menunggunya. Dalam ketar,kedatangan lelaki itu disambut juga dengan senyum palsu.
“Err Cikgu Lili?”,mata itu tajam memandang nama yang terlekat di tudung. Mona angguk deras.
“Panggil Mona saja!”,dalam tidak sedar dia mengarah. Jangan panggil aku Lili..I hate that!
“O..Cikgu Mona?..Dah nak balik?”,Norman senyum mempamerkan giginya yang cantik. Mona membalas senyuman itu. Nasib baik dia kurang minat dengan Rafa Nadal..Kalaulah yang berdiri dihadapannya sekarang Woo Bin,mesti kaki Mona sudah lembik macam daun pisang kena layur.
“Ya..,cadangnya memang macam tu lah. Encik Norman tak balik lagi?”, Norman angkat kening bila dengar namanya keluar dari ulas bibir Mona.
“Cikgu tau nama saya?”,tanyanya sedikit hairan. Bila masa pulak mereka berkenalan?
“Oh..tadi tu.err..”,Mona gelabah. Bimbang kalau-kalau dilihat seperti dia nak mengayat mamat tu,pulak. “Err..tadikan,Encik Norman tulis nama kat buku pendaftaran. Sebab tu saya tau!”,nasib baik sempat kepalanya mengarang ayat. Fuhh..selamat!
“O..ya tak ya!. Cikgu duduk luar dewan tadi,kan? Kuat betul ingatan cikgu,ya? Punyalah ramai yang tulis nama kat situ..cikgu boleh ingat nama saya”,puji Norman,ikhlas. Thump-up untuk cikgu ini..
Mona tunduk menyorok senyum. ‘Memanglah,kau tu dah jadi bahan umpatan aku..’,getus hati kecilnya.
“Cikgu Mona..err saya nak tanya sikit,boleh?”, Norman cuba bersuara tenang padahal Tuhan saja yang tahu gejolak hatinya.
“Boleh,apa salahnya walaupun saya ni bukan kaunter pertanyaan”, Mona ketawa menutup debar,begitu teruja menunggu soalan yang bakal dilontarkan Norman. Lelaki itu ikut ketawa. Baguslah cikgu ni..Sporting!
“Tadi, err..dekat kantin…Yang bercakap-cakap dengan cikgu tadi,namanya Cikgu Alissa,kan?” Norman tambah bergemuruh apabila melihat Mona mengangguk lagi, kali ini lebih laju.
“Ya..,Lisa tu housemate saya! Kami dah lama kenal”, terlebih peramah lah pula. “Kenapa Encik Norman? Kenal dengan Lisa ke?”. Tanyanya lagi,terus kepada persoalan.
“O..house-mate ke?” Norman mengulum senyum, gembira sekali. Di matanya jelas terlihat ada sparkle. Cikgu pujaan hati masih single..,mungkin juga available!
“Muka dia, mengingatkan saya pada kawan lama..Tapi,kawan saya tu dah bertunang. Mungkin dah kawin pun sekarang ni..”,pandai sekali dia memasang jerat. Jerat Percintaan macam Dato’ Siti nyanyi tu..
Mona ketawa lepas,macam selalu. Sedikitpun tidak berniat hendak control ayu..Dia bukannya bodohpun untuk tidak memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat.. Mona sudah dapat meneka walaupun masih dalam kesamaran.
“Oh..Awak dah salah oranglah ni..Lisa kawan saya tu..usahkan tunang, yang special pun belum ada. Solo lagi tu..”, Memang itu yang kau nak tau,kan? Tak payahlah susah-susah nak berlakun..
“Hahaha..Mungkin betullah saya ni dah salah orang.. Maaflah sebab saya dah menyusahkan. Cikgu ni.,balik sorang saja,ke? Mana Cikgu Lisa? Tak balik sekali? Kata tadi,tinggal serumah?” Sekejap-sekejap,Lisa juga yang ditanya.
“Lisa?..Oh..dia dah balik dah. Dah lama dah pun..Katanya letih sangat. Nak balik tidur. Dia tu memang kaki tidur! Kalau tak ada kerja kat rumah,asyik membuta saja”, Bukan main lagi mulutnya mengata. Kalau Lisa dengar,mesti sepit udangnya sudah singgah di tubuh Mona. Memang,Lisa selalu sangat melakukan penderaan fizikal terhadapnya.
“Dah balik? Bila? Dengan siapa? Tak nampak pun?”, Norman bagai tidak sedar,pertanyaannya itu mampu mengundang persoalan.
Mona terseringai. Memang tepat telahannya. Lelaki kacak itu,sudah terikat hatinya pada Lisa. ‘Nasib badan kaulah Lisa..Bapak budak ni dah angau dengan kau..’,bisik hati Mona. “Tadi..err,masa orang tengah sibuk makan. Haa..masa tulah dia cabut..”,kalau pasal mereka-reka cerita, markah penuh patut diberi kepada Mona. Expert!
Norman mengeluh perlahan. Kerut di dahi jejaka itu jelas terlihat. Bila masa pulak dia lalu kat sini? Dari tadi aku melangut,tak nampakpun dia? Ada jalan lain ke? Rasanya pintu masuk sama saja dengan pintu keluar..
Hai..nampaknya, sekali lagi peluang terlepas dari genggaman..
Mona diam menilai perubahan air muka Norman. Dia tahu, lelaki itu kecewa,hampa,frust dan seangkatan dengannya. Paras yang manis tadi, sudah berubah keruh. Mona tidak sabar-sabar hendak menyampaikannya pada Lisa. Modal yang sangat lumayan untuk mengenakan kawan baiknya itu..
Sebaik saja Norman beredar,Mona tidak tunggu walau seminitpun. Buru-buru dia mendapatkan si Lisa yang masih menyandar di dinding bangunan sekolah. Kemunculannya secara tiba-tiba itu,memeranjatkan Lisa. Sekejap saja,lengannya jadi mangsa cubitan.
“Kau ni..,betul tak tahu nak berterima kasih. Aku dah tolong kau halau mamat tu..,kau cubit aku pulak. Tak patut betullah. Badan aku ni dah naik lunyai kau dera. Nanti aku telefon teledera,baru kau tau…”angin merajuk sudah berhembus perlahan. Muncung saja mulutnya..
“Alah..sorry. Yang kau main terjah saja tu,kenapa? Tak tahu nak bagi salam dulu? Aku ingatkan siapa yang datang tadi. Sorry ya?”, rayu Lisa. Betul dia tidak sengaja mahu mengetam lengan Mona. Itu tindakan reflek!
Mona menjuih bibir, Lisa menayang gigi..
“So,apa cerita? Bapak budak tu,dah pergi ke? Apa yang kau sembang dengan dia lama-lama sangat tadi? Aku ni berjemur dari tadi,dah macam pisang salai kat tepi ni,tau tak?”, jari runcing Lisa menggosok perlahan lengan Mona, bekas tangannya sebentar tadi. Perlahan-lahan,cikgu berdua itu menapak ke kereta masing-masing. Hari ini,mereka tidak berkongsi kenderaan kerana Mona ada date sebentar nanti..
“Hehehe..cerita? Baeek punya! Kalau nak tau,tunggu aku balik”, tukasnya selamba,sengaja hendak membakar hati sahabatnya itu. Si Lisa yang sudah hampir ke kereta sendiri,berpatah balik mendapatkan Mona. Geram dengan tingkah kawannya itu. Mengada-ngada sangat..
Lekas-lekas Mona masuk dalam kereta. Seram dia tengok muka Lisa yang merah macam udang kena panggang. Lebih baik dia selamatkan dirinya dahulu. Malas hendak berlama-lama bercerita panjang lebar,bimbang dia terlewat bertemujanji.
Elok sahaja Lisa sampai di tepi keretanya, Mona terus undur dan bergerak pergi. Buntang mata Lisa melihat Mona tersengih menjelir lidah sambil melambai. Diangkat tinggi tangannya ke udara sambil menggenggam penumbuk menala ke arah Mona. Geram tidak terucapkan lagi..
Jaga kau!














sempoi dan bersahaja
menarik plot ceritanyer…
suker… suker…
Memang sempoi & menarik plot citer
this is awesome man
reena..zila n jim…thanks


terima kasih juga kpd yg sudi bc n kongsi di fb anda..
ikuti episod seterusnya…mungkin dpt mmbantu mnceriakan mood anda..
best sangat….suke

hehe..mona gi dating ngan sape la tu ? mesti member si norman tu kan..hehe
tapi yang best bab ni sebab norman tu dah disalah anggap bapak budak lak..haha
memang kelakar la..
apit..hehehe..kalau bc dr awal,mesti dpt agak,kan?

salah anggap trhdp norman itu akn brtrusan..tunggu aje ye..!!
thanks..
suka….sukaaaaa…
