
Novel : Pautan Cinta 11
4 September 2010
Kategori: Novel
585 bacaan Jom bagi ulasan
Oleh : Wan Mohamad Hidayat
Bab 16
AWAL pagi itu cuaca agak mendung. Tompok-tompok awan hitam sudah memenuhi ruang atmosfera. Angin bertiup kencang. Suhaila baru selesai mandi. Dia menutup jendela kamar yang terbuka. Tubuhnya menggigil kesejukan. Segera dia menyarungkan pakaian. Pagi jumaat yang suci itu, dia memakai baju kurung bercorak bunga-bungaan. Sesuai dengan bentuk tubuhnya.
Wajahnya tampak ayu apabila bertudung. Di tambah pula dengan solekan bedak yang nipis membuatkannya begitu anggun. Dia mengerling jam di tangannya. Hampir pukul 7 pagi. Setelah siap berhias ala kadar, dia menjamah sekeping roti serta secawan kopi. Kemudian turun menuju ke tempat letak kereta. Dia melangkah penuh gaya. Tangannya membawa sebuah beg yang bersaiz kecil.
Ketika sedang memandu, rintik-rintik hujan mulai turun membasahi bumi ciptaan Ilahi. Semakin lama hujan itu bertambah lebat. Suhaila memperlahankan kereta. Memandu dalam keadaan hujan lebat begitu amat berbahaya. Dengan keadaan jalan raya yang licin, kalau tidak berhati-hati boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Suasana di luar telah dilitupi oleh kabus tebal.
Suhaila terus memandu sehingga tiba di perkarangan sekolah. Dia memparkirkan kereta Myvinya di sebelah Perodua Kancil. Lama juga dia berkurung di dalam kereta. Hujan masih belum reda sejak tadi. Dia lupa hendak membawa payung. Ingatkan lambat lagi hujan turun. Sebab itu, dia tidak berapa kisah. Setelah lama menunggu, tiba-tiba datang seorang lelaki dalam kesamaran hujan. Pintu kereta diketuk beberapa kali. Kelihatan Razlan sedang berdiri di luar sambil membawa payung.
” Apa Lan buat kat sini?” soal Suhaila setelah membuka pintu. Desiran angin lembut yang menerjah masuk membuatkan suasana menjadi lebih dingin dan sejuk.
” Lan tunggu Ila. Risau sebab hujan masih tak berhenti. Lan dah agak mesti Ila terperangkap dalam hujan. Sebab tu Lan datang bawa payung,” ucapnya prihatin. Payung yang dibawanya tadi diletakkan di bawah.
” Thanks, Lan. Ila lupa nak bawa payung. Nasib baik Lan datang. Kalau tak, sampai hujan reda baru Ila turun.” Suhaila melangkah keluar selepas beberapa minit berada di dalam kereta. Dia mencapai begnya yang terletak di bahagian seat belakang.
” Jomlah kita gerak. Lan takut makin lebat pulak hujan ni. Tak pasal-pasal kita berdua mandi hujan nanti. Esok-esok demam siapa yang susah. Kita jugakan. Heheeee…”
” Muat ke payung ni, Lan? Macam kecil aje Ila tengok,” ucap Suhaila ragu-ragu. Sebenarnya dia segan untuk berpayung dengan Razlan. Teringat pula lagu memori daun pisang nyanyian Iwan dan Amelina yang sering menjadi nyanyiannya suatu ketika dulu. Kali ini igauannya akan menjadi kenyataan. Ish, malunya aku kalau cikgu-cikgu lain tengok. Tak pasal-pasal jadi buah mulut orang.
Suhaila berdiri di sebelah Razlan. Tubuhnya agak rapat dengan pemuda itu. Mereka berjalan beriringan. Langkah dipercepat. Hujan semakin lebat apabila mereka melalui kawasan surau. Akibat mahu mengelak dari percikan hujan, tiba-tiba Suhaila terpegang tangan Razlan. Wajahnya kelihatan serba-salah.
” Opps..sori, sori, Lan. Ila tak sengaja, ” ucap Suhaila meminta maaf. Tidak terniat langsung di hatinya untuk memegang tangan Razlan. Dalam keadaan cemas seperti itu apa-apa pun boleh berlaku.
” Takpe, Ila. Lan tak kisah. Nak pegang lama- lama pun tak kisah.” Razlan tersengih macam kerang busuk. Sebenarnya dia gembira kerana dapat merasakan betapa lembutnya tangan Suhaila. Jiwanya berbunga riang. Suhaila pula hanya diam tanpa sebarang kata.
Ha, dia cakap tak kisah. Biar betul budak ni. Suka sangat dia dapat pegang tangan aku. Nasib baiklah kau tu bakal boyfriend aku. Kalau orang lain minta maaflah. Mesti dah lama makan penampar sulung aku. Sabar, Ila. Sabar. Bawa bertenang.
” Ok, Lan. Kita dah sampai ni!”
Mereka berdua sudah tiba di bilik guru. Suhaila dan Razlan melangkah masuk ke ruang dalam. Payung tadi disimpan di bawah meja. Mereka membuat hal sendiri. Tak mahu mempamerkan kemesraan di hadapan guru-guru yang lain. Bimbang menjadi buah mulut orang nanti.
Dari jauh, kelihatan Maizura sedang tercegat berdiri di tempat parking. Wajahnya masam mencuka. Sejak tadi dia asyik melihat adegan mesra yang dipamerkan oleh Suhaila dan Razlan. Sebenarnya dia cemburu melihat kemesraan mereka berdua. Hubungan mereka telah menghancurkan hatinya. Sengaja dia duduk terperap dalam keretanya kerana ingin melihat tingkah merpati dua sejoli itu.
Dia amat yakin mereka berdua ada ikatan istimewa yang sengaja di rahsiakan dari pengetahuannya. Benarlah sangkaannya selama ini. Tidak silap lagi. Entah kenapa Suhaila tega menipunya hidup-hidup. Dia terkilan dengan sikap sahabat baiknya itu. Lebih-lebih lagi apabila lelaki yang menjadi pujaannya itu memilih orang lain sebagai kekasih. Hatinya remuk redam mengenangkan hal itu.
Sudah lama dia menaruh minat pada Razlan. Sejak mula mengenalinya, hati Maizura telah terpaut. Pada lirikan matanya yang sungguh redup. Pada riak wajah yang selalu ceria dan juga pada senyuman Razlan yang menggoda. Dia amat lemah dengan ujian itu. Batinnya menjerit hiba. Tak sanggup lagi menahan gelodak jiwa yang melanda.
Maizura terpaksa akur dengan ketentuan Illahi. Semua yang berlaku telah ditakdirkan. Dia tak mampu melawan suratan kehidupan. Razlan lebih mencintai Suhaila. Bukan dirinya. Dia harus menerima hakikat yang sebenar. Aku amat menyayangimu, Lan. Apakah yang perlu aku buat? Mestikah aku mengejar bayang-bayangnya? Oh Tuhan! Aku tak berdaya untuk menanggung penderitaan ini. Kau bimbinglah daku. Maizura berdoa dalam hati.
” Kat sini rupanya kau!” Tiba-tiba bahunya ditepuk oleh seseorang. Pantas dia berpaling ke belakang. Dilihatnya, Suhaila sedang tercegat berdiri di hadapannya.
” Ha, Ila!” Maizura memandang wajah sahabat baiknya. Tulus benar wajah itu. Dia tak sampai hati untuk menghancurkan perasaan Suhaila. Tapi, bagaimana dengan perasaannya? Adakah dia perlu berkorban demi kebahagiaan kawan baiknya itu?
” Muka kau muram aje hari ni? Nape? Ada masalah ke?” soal Suhaila lembut.
” Bukan. Aku tak cukup tidur malam tadi. Tu yang nampak lesu.” Maizura cuba menyembunyikan kesedihannya. Dia cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain. Tak sanggup menentang mata Suhaila yang jernih itu kerana akan membuatkannya dihimpit rasa bersalah yang tak berpenghujung.
” Kau pergi mana semalam?”
” Tak pergi mana-mana pun. Kat rumah aje.”
” Habis tu napa lambat tidur?” tanya Suhaila lagi. Pelik dia dengan perangai Maizura. Dia cakap tak cukup tidur, tapi tak pergi ke mana pun malam tadi. Entah apa yang dia buat sampai terlewat masuk tidur.
” Aku semak buku latihan sampai pukul 1 pagi. Sebab tu aku lambat tidur.” Maizura memberikan alasan yang dirasakan paling logik.
” Ish kau ni. Suka sangat tidut lewat. Lain kali nak semak buku latihan time-time petang. Bukannya malam buta. Kalau kau sakit macam mana. Aku juga yang susah tau.” Suhaila membebel memarahi Maizura. Dia amat menyayangi sahabatnya itu.
” Aku faham, Ila! Next time aku tidur awal. Sayang juga kau kat aku kan. Bertuah aku dapat kawan macam kau.”
” Mestilah aku sayang. Kau aje kawan karib aku kat dunia ni. Kitakan dah kawan sejak sekolah lagi. Susah senang kita lalui bersama. Aku ingat semua tu!”
Maizura amat menghargai segala nasihat dan pesanan Suhaila. Baginya, cinta yang paling besar dalam hidupnya sudah tentu pada sahabat. Hilang kekasih boleh cari lain. Tapi kalau kawan pergi, sukar untuk ditukar ganti. Bukan mudah mencari sahabat sejati. Teman yang boleh berkongsi suka duka bersama-sama. Sanggup meredah lautan api.
*******************************
SELEPAS waktu rehat, Suhaila masuk ke kelas 6 Melur. Seperti biasa, dia merekodkan kedatangan pelajar terlebih dahulu. Setelah itu baru dia mengajar. Dia menuju ke papan hitam. Tangannya mencapai kapur putih. Dia menulis sesuatu di situ. Pelajar-pelajar hanya emerhatikan apa yang ditulis oleh guru mereka. Terpampang perkataan PERIBAHASA dalam huruf besar. Suhaila menghampiri semua pelajarnya. Dia berdiri tegak sebelum bersuara.
” Hari ini, cikgu nak ajar kamu tentang peribahasa. Ada siapa tahu maksudnya?” soal Suhaila kepada anak-anak muridnya. Dia mundar-mandir di hadapan kelas sambil memegang buku teks.
” Saya tahu, cikgu!” jawab Ariff sambil berdiri.
” Ha Ariff! Apa maksud peribahasa?”
” Kalau tak silap saya, peribahasa ni macam perbandingan kata.” Ariff agak yakin dengan jawapannya. Dia memang pintar berbanding kawan-kawannya yang lain. Suhaila hanya tersenyum memandang wajah anak muridnya itu. Senang hatinya apabila Ariff mengetahui maksud peribahasa tanpa perlu dia menjelaskan secara terperinci. Kalaulah semua pelajarnya sepintar Ariff, sudah tentu ramai guru goyang kaki ketika mengajar.
Terasa lapang fikiran apabila mencurahkan ilmu kepada pelajar yang pintar begitu. Namun, sudah menjadi lumrah dalam kehidupan kita. Tiada orang yang bijak di dunia ini tanpa belajar. Mahu tidak mahu, setiap guru harus memikul tugas untuk mendidik anak bangsa dengan rela hati.
” Boleh kamu bagi contohnya?” pinta Suhaila lagi.
” Bagai pinang di belah dua.” Lantang suara Ariff memberikan jawapan.
” Amboi-amboi. Lain macam aje bunyi peribahasa tu, Ariff. Ada maksud tersirat ke?” Suhaila cuba mengusik anak muridnya itu. Kelakar apabila mendengar contoh jawapan yang diberikan oleh Ariff sebentar tadi. Teringat pula dia pada kata-kata Maizura yang mengaitkan dirinya dengan Shahril kelmarin. Ungkapan kata itu seakan klise sahaja di telinganya.
” Takde, cikgu. Saya hanya bagi contoh.”
” Ala cikgu. Ariff ni kan ada hati kat Hanim. Sebab tu dia bagi contoh macam tu.” Tiba-tiba Hisham bersuara sambil tersenyum-senyum. Dia menyindir Ariff.
” Ish awak ni, Sham. Pandai-pandai aje nak reka cerita. Tak baik tau. Dosa!” Suhaila menegur pelajarnya itu. Budak-budak ni tak ada kerja lain agaknya. Suka sangat buat gosip liar. Mengalahkan artis pulak tu. Sebagai pendidik, dia ingin membimbing mereka agar menjadi seorang insan yang berguna pada masa hadapan kelak. Bukannya asyik bertikam lidah macam ni. Sebolehnya dia mahu anak-anak muridnya sentiasa bersatu padu dan hidup dalam suasana yang harmoni. Baru lengkap tugasnya sebagai seorang guru.
” Hisham tak tipu, cikgu. Memang betul. Ariff sukakan Hanim.” Razali pula menyokong. Semua pelajar bersorak-sorak. Suasana kelas menjadi bingit. Ariff dan Hanim tertunduk malu. Mereka berdua hanya diam apabila diejek.
” Diam semua!” tengking Suhaila agak kuat. Semua pelajar tercengang-cengang. Mereka senyap kembali. ” Saya ajar ilmu pengetahuan. Bukan suruh kamu bercinta. Lepas ni saya tak nak dengar lagi. Kalau ada siapa yang berani sebut benda macam ni, cikgu tak teragak-agak untuk panggil ibu bapa kamu. Faham semua!” Nada suara Suhaila meninggi. Moodnya tiba-tiba berubah dalam sekelip mata. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian dihembus keluar perlahan-lahan. Suhaila beristighfar sejenak. Dia berharap dengan cara itu dapat meredakan kembali kemarahannya. Tidak pernah dia meninggikan suara kepada anak-anak muridnya. Entah mengapa hari itu berlainan sekali. Mungkin ini semua berlaku disebabkan oleh masalah yang sering membenani fikirannya sejak akhir-akhir ini.
Suhaila melepaskan keluhan berat.. Dia cuba melupakan perkara itu dan menganggap ia hanya sekadar mainan perasaan. Jiwanya kembali tenang seperti sediakala. Wajahnya juga cuba dimaniskan seboleh mungkin. Dia meneruskan semula pengajarannya yang tertangguh sebentar tadi.
” Baiklah semua pelajar. Kita lupakan kisah tadi. Semua ambil perhatian. Cikgu nak terangkan maksud peribahasa. Dengar baik-baik. Lepas tu salin kat buku latihan.”
Semua pelajar diam sambil memasang telinga. Mereka tekun mendengar Cikgu Suhaila bercakap di hadapan. ” Peribahasa ialah ayat yang mengandungi susunan yang tetap serta mengandungi makna yang tertentu. Contohnya macam peribahasa ‘ bagai isi dengan kuku’. Peribahasa ini bermaksud suatu hubungan persahabatan yang sangat rapat dan akrab,” jelas Suhaila panjang lebar. Kelihatan semua pelajar sedang tekun menulis maksud peribahasa di dalam buku latihan. Tiada siapa yang berani berbual-bual seperti kebiasaan.
Mereka amat takut apabila melihat kemarahan Cikgu Suhaila sebentar tadi. Tidak menyangka cikgu muda yang cantik itu garang juga orangnya. Barulah mereka tahu siapa Cikgu Suhaila sekarang. Benarlah kata orang, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Sedangkan ombak ada pasang surutnya. Inikan pula manusia.
” Balik rumah nanti, cikgu nak kamu semua buat sepuluh contoh peribahasa. Lengkap dengan maksudnya sekali. Tapi selain contoh yang diberikan tadi. Ada apa-apa masalah?” soal Suhaila sambil memandang semua pelajarnya.
” Bila nak hantar, cikgu?” Musliha bertanya.
” Hari rabu depan. Semua wajib hantar. Kalau ada siapa tak hantar, cikgu akan denda lari keliling satu sekolah. Ingat!” Suhaila memberi amaran keras kepada anak muridnya. Amaran itu sering kali dibuat untuk mengelakkan mereka lupa dan memberi berbagai-bagai alasan untuk membela diri. Kadang-kadang, ada juga diantara mereka sengaja melengah-lengahkan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
Pulang sekolah sahaja terus lupa tanggungjawab sebagai pelajar. Asyik berkhayal memikirkan perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Akibatnya, apabila tiba masa untuk menghantar kerja sekolah, baru terhegeh-hegeh nak menyiapkannya. Bukan dia tak tahu kerenah pelajar-pelajarnya itu. Dia sudah masak dengan perangai mereka.
Tugas seorang guru sememangnya tidak mudah. Memerlukan banyak kesabaran dan kecekalan. Sejak di bangku sekolah lagi, dia memang berazam untuk menjadi guru kerana ingin mencurahkan ilmu pengetahuan kepada anak-anak bangsa. Kalau bukan kita yang mendidik mereka, siapa lagi? Tambahan pula, profesion perguruan dianggap sebagai satu bidang kerja yang menitik beratkan soal disiplin dan etika diri.
Suhaila tidak pernah menyesal apatah lagi merungut kerana memilih bidang ini sebagai kerjaya. Walaupun terpaksa berkorban tidak kira masa, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti selagi termampu. Apa yang penting, segala impiannya suatu
ketika dulu telah dapat dicapai dengan jayanya.
**********************************
SELEPAS selesai latihan bola sepak, Razlan singgah ke Kipmart. Dia ingin berbelanja kerana barang-barang dapur sudah habis. Di situlah tempat dia selalu membeli-belah. Bukan sahaja dekat, tetapi harganya agak berpatutan. Selain itu, terdapat banyak pilihan barang yang boleh dibeli. Tak perlu nak pergi jauh.
Orang ramai penuh sesak membanjiri pasar raya tersebut. Razlan berhimpit dalam kesesakan. Langkah kakinya bergerak perlahan. Dia menuju ke sebuah toko yang menjual barang-barang keperluan harian. Banyak yang dibelinya. Setelah membayar harga di kaunter, dia segera beredar ke tempat lain. Dia menolak troli berisi barang-barang yang baru dibeli.
Razlan singgah pula ke kedai kek. Dia ingin membeli kek untuk Suhaila. Suhaila tentu menyukai hadiah pemberiannya itu. Ketika melangkah masuk, tiba-tiba bahunya dilanggar oleh
seorang gadis. Segera dia menoleh. Wajah gadis itu dipandang lama. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Gadis itu tersenyum memandangnya.
” Eh, Lan. Apa awak buat kat sini?” soal Maizura agak terkejut.
” Mai rupanya. Saya ingat sapa tadi. Saya nak beli kek ni.” Razlan memberhentikan langkah sebelum mendekati Maizura. Mereka berdua akhirnya berbual.
” Untuk siapa? Awek ke?” teka Maizura. Sopan sahaja tingkahnya saat itu. Dia mahu kelihatan sempurna pada pandangan Razlan. Maklumlah dapat jumpa pujaan hatinya itu. Sudah tentu dia gembira tidak terkata.
” Ya..untuk girlfriend saya.” Razlan berbohong. Dia ingin merahsiakan hubungan cintanya dengan Suhaila. Itulah janji Suhaila padanya tempoh hari.
” Ingatkan solo lagi. Rupanya dah ada awek, ya,” usik Maizura cuba menyakat Razlan.
” Saja nak rahsiakan…oh ya, awak sorang aje ke? Boyfriend tak temankan?” Kali ini Razlan pula memulangkan paku buah keras kepadanya. Wajah riang Maizura tiba-tiba sahaja berubah. Ha baru tau. Sibuk sangat pasal aku.
” Oh sindir saya ek. Mana saya ada boyfriend. Single lagi tau.” Maizura cuba membela dirinya. Jantungnya berdebar apabila berbicara dengan pemuda pujaannya itu. Sungguh tak sangka boleh jumpa dia kat sini. Dah rezeki aku. Tak rugi aku keluar petang ni. Bisik Maizura lembut. Hatinya begitu gembira.
” Opss…sori. Saya tak tau. Awak beli kek juga ke?” tanya Razlan sambil mengambil dua potong kecil kek keju dan satu keping kek coklat. Dia membungkusnya di dalam plastik.
” Aah.. saya memang suka makan kek. Alang-alang dah sampai sini, saya singgahlah. Tak sangka pulak jumpa awak. Macam dah janji aje.” Maizura ketawa.
” Kebetulan, kot.”
” Mungkin juga. Lepas ni, awak nak pergi mana?” Maizura semakin galak bertanya. Peluang baik dah ada kat depan mata. Apalagi yang ditunggu. Ingat senang ke nak jumpa Razlan time-time macam ni. Kalau nak tunggu kat sekolah, jangan mimpilah. Pandang sebelah mata pun dia tak mahu. Tapi kali ini, aku tak akan biarkan dia terlepas. At least, aku kena cuba pikat hati dia. Manalah tahu umpan aku mengena. Belum try belum tahu.
” Balik rumahlah. Nape?”
” Cepat sangat nak balik. Lepaklah dengan saya dulu. Boleh kita borak lama sikit. Awak dah janji kan tempoh hari. Please! Saya harap awak sudi,” pancing Maizura lagi.
” Tak bolehlah, Mai. Saya nak jumpa kawan lepas ni. Sori ya!”
Razlan menolak lembut pelawaan Maizura. Sebenarnya dia ada temujanji dengan Suhaila malam nanti. Tak mahu membatalkan temujanji yang telah dibuat awal-awal lagi. Jiwanya menjadi gelisah. Macam manalah aku boleh jumpa pompuan ni? Menyesal pulak aku datang sini tadi. Kalau aku tau, aku balik aje terus. Razlan menyalahkan dirinya sehingga menemukannya dengan Maizura.
” Please, Lan! Kali ini aje. Saya nak sangat jalan-jalan dengan awak.” Maizura masih tidak puas memujuk berulang-ulang kali. Dia tidak berputus asa. Selama ini, sudah puas dia mencuba untuk memenangi hati Razlan. Namun usahanya hanya sia-sia. Dia ibarat pungguk rindukan bulan. Asyik memuja sang jejaka walau pun cintanya tidak berbalas.
” Baiklah. Tapi tak boleh lama. Sekejap aje tau!” Akhirnya Razlan terpaksa mengalah. Dia tidak boleh mengelak lagi. Serba-salah pula dia jadinya. Dia pernah berjanji untuk meluangkan masa dengan gadis itu tempoh hari. Nampaknya dia kena mengotakan janji-janji itu. Kenapalah malang sangat nasib aku hari ini. Maizura hanya tersenyum meraikan kejayaannya itu. Nampaknya Razlan tergoda juga dengan rayuan aku. Yes!
Razlan menghubungi Suhaila. Dia ingin membatalkan temujanji dengan gadis itu. Razlan terpaksa menerima ajakan Maizura untuk bersiar-siar. Pada mulanya dia menolak. Namun apabila Maizura tak puas-puas memujuk, akhirnya dia mengalah. Kasihan pula pada Maizura. Tidak salah rasanya jika meluangkan masa bersama rakan baik kekasihnya sendiri.
” Ila, Lan rasa tak jadi nak keluarlah. Ada urgent sikit.” Razlan terpaksa berbohong. Dia benar-benar terpaksa. Tiada niat untuk menipu Suhaila.
” Kalau macam tu, takpe lah. Lagi pun bukan kita yang rancang. Benda nak jadi. Ila faham! Lan kat mana ni?” soal Suhaila lembut.
Razlan amat merindui suara itu. Suaranya begitu tenang. Dia rasa bersalah apabila membohongi Suhaila. Maafkan aku, Ila. Lan tak berniat nak batalkan temujanji kita. Lan benar-benar terpaksa. Keadaan dan masa telah menjeratnya kini. Dia tidak boleh mengelak lagi. Lambat-laun, Maizura akan menuntut juga janji yang pernah dikotakan dulu. Alang-alang dah jumpa, baik teruskan aje.
” Lan ada kat luar ni. Jumpa pakcik. Ada family problem,” jelasnya lagi. Entah mengapa, setiap kali dia berbohong, perasannya menjadi gelisah tidak menentu. Sesungguhnya dia bimbang jika Suhaila tahu pembohongannya ini.
” Teruk sangat ke?” Suara Suhaila terdengar lagi di hujung talian. Suara gadis itu seakan risau memikirkan dirinya di sini.
” Taklah. Hal kecil aje. Ila tak perlu risau ya.”
” Lan dah makan?” tanya Suhaila prihatin.
” Belum. Tak lapar lagi. Ila?”
” Baru aje lepas makan. Kenyang tau! Hehee…” Terusik juga hati Razlan. Dia terhibur apabila dapat berbual dengan Suhaila. Kalau boleh, sekarang juga dia mahu bertemu gadis itu. Tapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkannya waktu itu. Dia telah terperangkap dalam jerat yang dipasang oleh Maizura. Licik betul gadis itu memainkan peranannya. Layak sangat dinobatkan sebagai pelakon terbaik abad ini.
” Ok, Lan. Ila ada kerja ni. Nak basuh baju kejap. Nanti call lagi tau! Take care! Bye!”
” Bye sayang!” Talian segera dimatikan. Razlan terus menuju ke arah Maizura. Mereka berdua berjalan beriringan ibarat pasangan kekasih sahaja. Maizura pula sudah tersenyum-
senyum simpul. Macam orang baru menang loteri sahaja tingkahnya.
” Jom kita minum kat situ!” ajak Maizura ketika mereka melalui sebuah kafe.
” Boleh juga. Saya pun haus ni. Mari!” Razlan mengiringi Maizura menuju ke kafe yang dimaksudkan. Mereka segera memilih tempat duduk. Kemudian seorang waiter lelaki datang untuk mengambil order.
” Excuse, me! Nak minum apa, encik?” tanya waiter itu.
” Bagi I Kopi Cappucino satu!” pesan Razlan.
” Mai?” soal Razlan sambil merenung wajah Maizura.
” Sama ajelah dengan Lan. Mai ikut aje!” Maizura agak malu apabila bertentangan mata dengan Razlan. Perasaannya menjadi gelisah tidak menentu. Dia membetulkan posisi tubuhnya.
” Kopi Cappucino dua ya!” Waiter itu beredar setelah mengambil order.
” Oh, ya. Ila tak ikut Mai ke? Selalu berkepit aje saya tengok?” Razlan memulakan bicara setelah waiter itu berlalu ke ruang dalam.
Soalan Razlan benar-benar tidak diduga. Maizura agak terganggu. Time-time macam ni, Ila juga yang dia ingat. Aku kat depan mata ni macam tunggul kayu aje. Menyampah betul. Lama dia membisu.
” Nape Mai diam?”
” Tak de apa-apa. Cuma tak tahu nak cakap apa.”
Beberapa minit kemudian, waiter tadi datang semula membawa pesanan. Dua buah gelas kopi cappucino diletakkan atas meja. Berasap-asap.
” Silakan.” Waiter itu tersenyum sebelum berlalu pergi.
” Terima kasih. Jemput minum, Mai. Sedap minum time-time panas macam ni.”
” Emm…” Maizura menghirup kopi yang masih panas itu dengan perlahan-lahan sebelum bersuara. ” Boleh saya tanya satu soalan?”
” Sudah tentu boleh. Tanyalah!”
” Apa hubungan Lan dengan Ila?” Maizura cuba mencungkil rahsia.
” Sebagai kawan aje. Tak lebih dari tu.” Wajah Razlan serius. Dia tak mahu menyatakan apa-apa mengenai hubungannya dengan Suhaila. Biarlah dia merahsiakan dulu hubungan mereka buat sementara waktu. Apabila tiba masa yang sesuai, perkara itu akan dikhabarkan juga nanti.
” Boleh percaya ke ni? Mai tengok mesra semacam aje.”
” Biasalah tu. Saya memang mesra dengan kawan-kawan. Dah lali.”
” Tapi, nape dengan Mai nampak lain?” luahnya masih mencurigai kata-kata Razlan.
” Saya kan baru kenal Mai. Nanti dah lama-lama oklah. Mai tengok aje sendiri nanti.” Razlan cuba memaniskan muka. Ucapannya sengaja direka-reka untuk mengambil hati Maizura.
Bukan susah nak berlakon ni. Kalau dia pun boleh buat, takkan aku tak boleh kot.
” Baik, Mai akan tunggu!” Jawapan Razlan menggembirakan hati Maizura. Rupa-rupanya dia dan Suhaila cuma berkawan. Ada peluanglah aku nak couple dengan dia. ‘Yes!’ bisik Maizura. Angan-angan tinggi melangit mula terlayar di fikirannya saat itu. Khayalannya terbang jauh entah ke mana.













