Novel : Sandiwara cinta 5

8 September 2010  
Kategori: Novel

419 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : as abdul

AKU masih berselimut di atas katil. Mengantuk, beb. Maklumlah pukul lima pagi baru aku terlena. Itupun teramat susah aku hendak memejamkan mata. Sekejap-sekejap terbayang wajah Roy. Angau gamaknya aku sekarang ini. Cuma nasib baik tidak terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi. Kalau tidak, lagilah parah.

Bunyi ketukan dipintu membingitkan telinga. Aku yang masih di awang-awangan terus merengus tanpa membuka mata. Huh! Gerenti Si Mizan yang cuba menganggu lenaku ini. Tak boleh tengok orang senang langsung.

Ketukan berbunyi lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Aku merengus kasar. Dengan mata yang masih tertutup rapat, aku terus menarik selimut menutupi kepala.

“Tak reti-reti nak bangun lagi ke?” Suara Mizan menerjah gegendang telingaku. Diikuti bunyi derap kakinya mendekati aku.

“Eeeiii…apa kau nak pagi-pagi buta ni, Zan? Aku tengah tidur la.”

“Pagi buta kepala hotak kau? Sekarang dah pukul satu tengahari, tahu tak? Mak akupun dah bising sebab kau tak keluar-keluar dari bilik lagi.” Dia menghempas punggungnya ke atas tilam aku dengan kasar.

Aku menguap sambil membuka mata separuh. Kepala aku masih terasa pening bahana minum terlampau banyak semalam.

“Oi! Semalam kau balik dengan jantan mana hah?”

“Jantan mana pula?” Aku mengomel kecil. Mulalah nak berkhutbah tu.

“Jantan mana lagi…yang hantar kau balik itulah.”

“Ooh..itu Boss akulah,” jawab aku acuh tak acuh.

“Boss ke boyfriend kau?”

“Apa kena dengan kau ni, Zan? Pagi-pagi lagi dah membebel macam mak nenek. Leceh betullah!” Aku merungut.

“Marahlah tu…”

“Bukan marahlah, Zan…aku mengantuk ni. Kau pergilah main jauh-jauh.” Aku terus menarik selimut semula. Malas hendak melayan karenah Mizan.

Mizan mendengus. Sebentar kemudian, aku terdengar bunyi pintu ditutup perlahan. Aku tersenyum di dalam selimut. Lega!

Ingatkan aku boleh lena dengan aman selepas Mizan keluar. Tapi nampaknya nasib aku memang malang pagi ini. Tak semena-mena handphone aku pula menyanyi-nyanyi minta di angkat. Isy…kacau daun betullah Tanpa melihat skrin, aku terus menjawab dengan suara yang masih mengantuk.

“Hai sayang….tidur lagi ke?” Suara dihujung sana membuat aku hampir terlompat. Aku pasti sangat, suara itu adalah milik Roy.

“Hai…”aku menjawab sepatah. Itupun rasa susah sangat nak keluar dari mulut aku. Sebenarnya aku terkejut. Yelah..mimpi apa pula mamat tu sampai bersayang-sayang dengan aku. Geli hati den!

“Tak elok tau anak dara bangun tengahari,” Dia mengusik nakal.

“Tidur? Takdelah…I baru je balik dari berenang ni ha…Entah-entah you yang baru bangun tidur,” Aku tersengih sendirian. Memang aku baru lepas berenang tadi. Heh..berenang gaya terlungkup atas tilam. He..he…

“Berenang? Tengahari cam ni, you pergi berenang? Boleh percaya ke?”

“Why? Salah ke?”

Roy tergelak. Tak percaya gamaknya. Aku turut tergelak. Lucu dengan penipuan aku sendiri. Tapi takkan nak mengaku aku masih tidur? Jatuhlah saham aku.

“Petang ni you free tak?”

Aku tersenyum. “Petang ni? Err…rasanya free. Kenapa? You nak ajak I keluar ke?” Aku bertanya selamba. Rasa-rasanya itulah tujuan dia bertanya.

“Aah…itu pun kalau you sudi.”

“Mmm…boleh juga.” Aku terus bersetuju tanpa banyak soal. Pucuk dicita ulam mendatang, beb. Lagipun, memang itulah yang aku harap-harapkan dari lelaki yang sudah mula mencuri hati aku ini. Apatahlagi, aku memang tidak ada rancangan petang ni. Daripada melahu di rumah, lebih baik aku keluar dengan Roy.

“Kalau macam tu, I’ll fetch you around five. Okay, bye!” Tanpa menunggu jawapan daripada aku, dia terus memutuskan talian.

Aku terus melompat turun dari katil dengan penuh semangat. Hilang terus rasa mengantuk dan sakit kepala. Sambil mencapai tuala, aku mengerling jam di dinding. Baru pukul satu setengah. Lambatnya hendak tunggu pukul lima. Tak sabar aku rasa! Alahai…gatalnya anak dara seorang ini.

Aku melintasi bilik Mizan. Samar-samar aku terdengar suara perempuan sedang bercakap dengan nada yang agak kasar dari dalam biliknya. Langkah aku terhenti. Kalau tak silap aku, itu suara Lily. Agaknya dia tidur di sini semalam.

Sesekali pula terdengar suara Mizan lembut memujuk. Aku cuba memasang telinga. Bergaduh lagi kah mereka berdua? Hai…Baru sahaja mereka berbaik-baik, sekarang bergaduh pula. Kalau diikutkan hati, hendak juga aku tahu kisah sebenar, namun akalku melarang. Katanya lebih baik jangan masuk campur hal peribadi mereka. Karang tak fasal-fasal aku dituduh penyibuk.

Bila difikir-fikirkan, betul juga kata akalku. Buat apalah hendak cari penyakit. Lebih baik aku menunaikan hajat aku untuk membersihkan badan dulu. Lepas itu, bolehlah fikirkan baju apa pula nak dipakai. Lantas aku terus menuruni anak tangga menuju ke bilik mandi.

**** *************************

ANGIN petang di Batu Feringghi terasa sungguh mendamaikan. Sedamai hatiku ketika ini. Sejujurnya, inilah perasaan aku sekarang. Tambah-tambah lagi semenjak hubungan aku dan Roy kian menjadi mesra. Ataupun lebih tepat dikatakan lebih akrab. Perbualan kamipun sudah banyak berkisar tentang hal-hal peribadi. Semakin banyak yang dibualkan, semakin bergelora perasaan aku terhadap Roy.

Adakah ini dinamakan cinta?

Adakah ini tandanya aku sudah jatuh cinta?

Susah aku hendak bayangkan bahawa aku sudah jatuh cinta pada lelaki yang terkenal dengan sikap playboynya itu. Tapi kalau bukan cinta, apakah tandanya ini?

Petang itu, aku dan Roy hanya melepak di atas batu besar menghadap ke pantai. Sesekali kami menyusuri pantai sambil berpegangan tangan. Mengalahkan hero dan heroin dalam filem Bollywood. Tapi ikhlas cakaplah, sebenarnya aku senang diperlakukan begitu oleh dia. Rasa macam disayangi. Lagipun setakat pegang tangan, aku tak kisah sangat. Asalkan dia jangan buat benda yang tidak senonoh, sudahlah.

“Mata you ni macam ada magnet”

Aku mengangkat kening. Mulalah hendak merepek tu!

“Seriously! Rindu kalau tak tengok mata you.”

Aku tergelak kecil. “Rindu? Semalam baru jumpa, hari ini dah rindu ke?”

“A’ah..pelik, kan? Tapi memang itulah yang I rasa. Rindu sangat-sangat dekat you.”

Aku mencebik. Amboi! Baru kenal pun dia sudah mula mengucapkan ayat jiwang. Dia ingat, aku akan terpedaya dengan kata-kata manisnya itu. Boleh jalanlah! Tetapi aku buat-buat bodoh. Biarlah apa yang hendak diiucapkannya.

“I suka berkawan dengan you. Rasa macam hidup I ni lebih bermakna.”

“Ye ke?” Aku sengaja mengusiknya.

“You tak seronok ke kawan dengan I?”

“Apalah you ni! Soalan macam budak tadika. Kalau I tak seronok, I tak akan keluar dengan you sekarang ni. Itupun nak kena cakap.”

“Yelah…cinta kena diucapkan. Bukan disimpan dalam hati. Nanti terlepas, you jugak yang rugi.”

“Hey! Apa yang you merepek bab cinta-cinta ni.”

“Bukan merepeklah…Cuma I rasa macam dah jatuh cinta pada you.”

Aku menelan air liur. Terasa takut dengan kata-kata yang lahir dari mulut Roy. Erm..Boleh percaya ke? Orang seperti dia jatuh cinta pada aku? Tak logik langsung!

Roy memandang tepat ke dalam anak mata aku dengan pandangan yang sukar digambarkan. Aku cepat-cepat melarikan pandangan. Tidak sanggup bertentang mata dengannya. Silap haribulan, aku pun turut hilang pertimbangan.

Apatahlagi, aku pun sudah mula menyukainya. Cuma jauh lagi untuk aku jatuh cinta rasa-rasanya. Lagipun perkenalan ini baru bermula. Masih banyak yang perlu aku pertimbangkan jika ingin mencintai dia. Itupun jika dia betul-betul jatuh hati pada aku. Ah! Biarlah takdir yang menentukannya.

Semakin lama berbual dengannya, perasaan aku menjadi semakin kurang selesa. Malah boleh semakin parah perasaan aku ini agaknya. Silap haribulan, aku pula yang gilakan dia. Tak ke haru!

Untuk mengelakkan aku turut sama mengarut seperti Roy, aku terus mengajaknya pulang. Itupun selepas puas menjamu selera dengan steak. Mujurlah dia tidak banyak songeh. Terus dihantarnya aku pulang dengan senyum yang tidak putus-putus. Agaknya puas hati sebab dia dapat meluahkan perasaannya. Hehe..

*******************************

SEJAK balik dari bertemu Roy tadi, aku cuma duduk menongkat dagu di depan meja solek. Merenung wajahku yang bujur sireh. Membelek-belek jerawat gatal yang tumbuh di daguku. Sepasang mata aku pula kelihatan agak suram. Kesan lebam yang melingkari bahagian bawah mataku membuat aku rasa sedikit kecewa.

Hmm…jenuhlah aku hendak merawat kesan lebam tersebut. Sapulah dengan apa jenis krim pun, bukannya senang benda alah itu hendak hilang. Aku teringat kata-kata Roy tadi. Mata aku ini bagaikan ada tarikan magnet. Heh…banyaklah dia punya magnet. Ayat hendak memikat sebenarnya tu.

Tiba-tiba saja aku terasa rindu padanya. Padahal baru tadi kami bergurau senda. Cuma bila mengingatkan ayat-ayat jiwangnya itu, hati aku terasa sedikit kecut. Bimbang jika dia benar-benar jatuh cinta pada aku. Dan juga takut jika aku juga turut mencintainya.

Aku mula rasa gelisah. Gossip yang banyak aku dengar tentang Roy sedikit-sebanyak mempengaruhi perasaan aku. Aku takut aku hanya berangan-angan kosong. Lagipun mustahil lelaki seperti Roy akan jatuh hati pada aku. Mustahil!

Siapa tahu..dia cuma mahu memainkan perasaan aku. Sengaja menjerat aku dengan cintanya agar aku jatuh ke pangkuannya. Dan setelah memiliki aku, dia akan terus meninggalkan aku begitu sahaja. Semua itu kemungkinan-kemungkinan yang ada.

Tapi jangan haraplah dia hendak berangan memiliki tubuhku ini. Kecualilah kami sudah memiliki ikatan yang sah. Aku bukannya bodoh hendak menggadai harga diriku hanya semata-mata kerana cinta. Tidak sama sekali!

Bukan seorang dua lelaki yang pernah mencuba nasib untuk menghirup maduku ini tapi aku masih tetap berjaya mempertahankannya. Pendek kata, aku masih lagi mampu bergelar anak dara walaupun sekali pandang, aku tidak ubah seperti bohsia di tepi jalan. Terutama bila aku berpeleseran di disko dengan lagak yang memang mengundang berahi lelaki.

Aku menghela nafas. Kalaulah Roy juga berniat demikian bermakna pudarlah harapan aku. Ah! Biarlah masa yang menentukannya. Kalau dia benar-benar ikhlas dengan aku, Alhamdullillah. Kalau sebaliknya…menangis tidak berlagu lah aku.

Tapi aku tidak akan salahkan dia. Aku juga yang sengaja membiarkan diriku ini dilamun perasaan. Sepatutnya aku cepat-cepat memadamkan api cinta yang baru hendak marak ini. Sepatutnya aku tidak mudah cair dengan godaan seorang lelaki yang memang sudah terkenal dengan sifat buayanya itu. Sepatutnya…

Aaarrrgh…lagi lama aku memikirkannya, lagilah kepala aku berserabut. Aku pun satu hal..buat apalah aku pening-peningkan kepala. Biarlah takdir yang menentukan..

Fikiran sedang melayang kembali semula ke pangkuan otakku tatkala aku terdengar bunyi pintu bilikku ditolak dari luar. Spontan aku menoleh. Seperti yang aku jangka, hanya Mizan yang selalu masuk ke dalam bilikku tanpa salam dan juga tanpa keizinan aku.

“Amboi! Sibuk betul anak dara sorang ni. Sampaikan nak bersembang dengan dia pun susah.” Rungut Mizan sambil berdiri di samping meja solekku. Err…meja solek itu milik Kak Rozy sebenarnya. Cuma sekarang, bila ia berada dalam bilikku…maka ianya secara tidak langsung menjadi milik aku.

“Engkau tu yang sibuk. Seharian berkepit dengan Lily. Err…dia dah balik ke?” Aku tergelak kecil sambil memulangkan paku buah keras. Mengata aku konon! Tapi memangpun agak sibuk sekarang ini. Sibuk memikirkan tentang Roy. Sibuk melayan perasaan aku yang sudah di timpa penyakit angau ini.

Tapi Mizan pun apa kurangnya. Dia juga agak sibuk dengan kekasihnya itu. Maklumlah mereka sudah berbaik. Si Lily itu pula semakin kerap bertandang ke rumah ini. Agaknya takut hendak membiarkan Mizan bersendirian dengan aku.

“A’ah…dia dah balik.” Jawab Mizan dengan muka yang kurang ceria.

“Kau ni macam ada problem je. Bergaduh lagi ke dengan Lily?” Aku sengaja menebak. Kebetulan pagi tadi aku terdengar pertelingkahan mereka.

Mizan tiba-tiba saja bertempik sambil menumbuk meja solek di depanku. Bergegar alat-alat mekap aku dibuatnya. Aku pula bukan main terkejut lagi. Nasib baik aku tidak pengsan. Sudahnya aku cuma mendiamkan diri. Tidak berani hendak bersuara.

Aku biarkan Mizan meluahkan kemarahannya dengan bertindak ganas ke atas meja solek itu. Asalkan jangan sampai dia bertindak ganas ke atas aku sudahlah.

“Semuanya salah aku! Apa yang aku buat semua tak betul!” Mizan merengus. Kalau sekali pandang, tentu orang ingat kami ini sepasang suami isteri yang sedang bergaduh.

Aku masih membisu. Tidak tahu bagaimana hendak memulakan ayat untuk meredakan kemarahannya. Lagipun aku takut hendak bersuara. Buatnya dia menumbuk aku pula, terus pengsan aku dibuatnya nanti.

“Kalau ikutkan hati aku ni, dah lama aku tinggalkan pompuan tu.” Dia terus meluahkan apa yang terbuku didadanya tanpa segan silu.

Aku masih teraba-raba mencari ayat yang sesuai. Isy..kenapa lembap sangat otak aku hari ini. Biasanya pantang diberi peluang, mencurah-curah idea yang datang.

“Kalau kau jadi aku…kau rasa apa yang patut aku buat?”

Alamak! Soalan cepu emas. Silap jawab, aku yang lemas.

“Err…mula-mula…aku nak kau bertenang dulu.” Mulut aku memulakan mukhadimahnya. Tangan aku pula turut memainkan peranannya. Aku menarik Mizan agar duduk disebelah aku.

Kata orang, jika kita sedang marah dalam keadaan berdiri…hendaklah kita duduk. Supaya tahap kemarahan itu menurun sedikit. Maka aku mencuba teknik itu. Manalah tahu kalau-kalau berkesan.

“Sekarang…kau ceritakan pada aku..apa sebenarnya yang sudah berlaku. Apa yang buat kau rasa macam tu?” Aku menyambung dengan lembut dan penuh bersemangat ketika melihat dadanya tidak lagi berombak kencang. Sekurang-kurangnya dia sudah dapat mengawal perasaan marahnya itu.

Mizan menarik nafas panjang. “Aku dah fed up dengan perangai dia. Selama ni, aku banyak bersabar…tapi kesabaran akupun ada limit jugak.”

“Ok…tapi apa puncanya? Jealous?” Aku agak itulah puncanya. Selama inipun memang buah hatinya itu cukup sinonim dengan cemburu. Cuma aku tidak pasti, masalah mereka yang selebihnya. Mungkin juga ada lagi masalah mereka yang belum aku ketahui.

Dia menarik nafas panjang sekali lagi. “Susah aku nak cerita, Mira. Macam-macam hal.”

“Kalau kau tak cerita..macamana aku nak jawab soalan kau tu? Macamana aku nak bagi idea untuk kau selesaikan masalah kau ni?” Aku membalas dengan suara yang lemah. Sebagaimana semangat aku yang mula luntur untuk membantunya.

Akibatnya sepanjang malam itu, Mizan sentiasa terkena sindiran aku. Nasib dialah! Siapa suruh dia main-main. Tapi Mizan macam kereta kebal. Puas aku sindir dan kutuk pun, dia masih tidak mahu menceritakan masalah sebenarnya kepada aku.

Konon-kononnya dia tidak mahu menyusahkan aku. Ceh! Sengaja hendak membuat aku geram. Kalau setakat bercerita separuh jalan, lebih baik jangan cerita langsung. Buat penat saja aku menadah telinga.

“Satu hari nanti…kau akan tahu juga masalah aku dengan Lily. Tapi masa tu…kau mungkin akan bencikan aku.” Dia mengeluh. Namun begitu, dia masih lagi menyimpan rahsianya dengan rapi.

“Suka hati kaulah, Zan. Tapi kalau kau perlukan aku, aku akan sedia membantu.” Akhirnya aku mengalah. Lagipun tak ada gunanya aku memaksa jika dia masih belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan aku.

Biarlah dia sendiri yang memilih untuk meluahkan atau tidak. Itupun jika dia rasa sahabatnya ini layak untuk berkongsi masalah dengannya.

“Eh! Apa kata kita keluar makan fish and chip malam ni. Lagipun dah lama kita tak keluar berdua, kan?”

“Why not?” Aku mengangguk. Dalam hati aku mengakui kebenaran kata-kata Mizan. Memang sejak akhir-akhir ini, kami berdua jarang keluar bersama.

Malam itu kami menyambung perbualan di Fourt Court di Bayan Baru. Itulah tempat yang kami selalu lepak kalau ada masa lapang. Sambil makan, kami mulalah merapu dari satu bab ke satu bab.

Tapi aku tetap sembunyikan fasal Roy dari pengetahuan Mizan. Malas aku hendak bercerita tentang sesuatu yang masih kabur. Lainlah kalau aku dah benar-benar menjadi kekasih Roy, mungkin Mizan orang pertama yang akan tahu cerita itu.

Hampir pukul sebelas malam, barulah aku dan Mizan angkat punggung. Itupun rasa masih tidak puas lagi berborak. Kalau bukan kerana Mizan mendapat panggilan telefon dari aweknya yang banyak songeh itu, mungkin punggung kami masih melekat di situ.

Isy…tetiba saja perut aku meragam. Masa inilah juga dia hendak buat hal. Siap ada bunyi gendang lagi. Aku mengerling Mizan yang sedang memandu dengan tenang.

“Zan…jom pergi cari toilet jap. Aku tak tahan dah ni…” Muka aku berkerut menahan rasa tidak selesa.

“Macam-macamlah kau ni…” Mizan merungut kecil. Aku tersengih. Apa boleh buat. Bukan aku sengaja. Dah perutku ini suka buat hal. Maklumlah tangki saiz S.

Kami singgah di Shell Jelutong. Alang-alang menunggu aku mengosongkan tangki aku, dia pula mengisi tangki keretanya. Barulah adil.

Hmm…Lega rasanya selepas keluar dari tandas. Nasib baiklah kami berada berhampiran dengan stesen minyak. Kalau tidak, mahu berterabur dalam kereta. Hehe…

Aku berlenggang-lenggok menuju ke kereta Mizan. Opss… mata aku tertancap pada seseorang yang kalau sekali pandang tak ubah seperti tong drum. Hassan Buncit!

Aku mengecilkan mata dan fokus betul-betul ke wajah insan berbadan ala tong drum itu. Takut-takut jika mata aku ini hanya menipu tuannya. Alamak..memang betullah.! Matilah aku kali ini, desis hatiku mula terasa kecut. Buatnya Si Buncit itu ternampak kelibat aku, mahu haru bin biru jadinya.

Aku jalan terhendap-hendap menuju ke kereta Mizan. Ya Tuhan…janganlah Kau biarkan dia ternampak aku. Sesungguhnya hamba Mu ini sudah dilanda kebimbangan yang teramat sangat.

Maklumlah…Lapan ribu ringgit bukannya jumlah yang sedikit. Sudah merata-rata tempat agaknya Si Buncit itu mencari aku gara-gara wang sebanyak itu. Tapi kalau nak diikutkan bukan salah aku. Siapa suruh dia sanggup hamburkan duit itu untuk aku semata-mata hendak meratah tubuh badanku ini.

Dan aku rasa bukan salah aku juga jika aku menabur janji palsu padanya. Sekurang-kurangnya aku ini berjaya mengelakkan daripada berlakunya satu lagi maksiat di atas muka bumi ini. Baik tak aku? Hehe…

Masalahnya, Si Buncit itu tidak berasa bahawa sikap aku itu suatu sikap yang baik. Bagi dia, aku ini umpama satu mala petaka dalam hidupnya. Maklumlah…RM8000 hangus begitu sahaja. Jangankan berangan hendak meniduri aku, peluk akupun dia tidak sempat. Padan muka dia! Muahahha…

Sebaik sahaja sampai ke kereta Mizan, aku terus membuka pintu bahagian penumpang dengan pantas. Sekaligus menghamburkan punggungku ke atas kusyen. Fuhh…selamat satu bala.

“Hoi! Apa awak buat dalam kereta saya ni hah?”

Aku tersentak. Rasa macam hendak luruh jantung aku. Spontan aku menoleh.. Erk…Siapa pula mamat ini? Apa dia buat dalam kereta Mizan ini? Aku tercengang-cengang. Keliru!

“Hey! Awak pekak ke? Apa awak buat dalam kereta saya ni hah?” Sepasang matanya terjegil bulat memandang aku. Ditambah pula dengan suaranya yang alahai…mak datuk…tak ubah seperti singa yang hendak menerkam mangsanya.

Aku menelan air liur yang terasa pekat. Kereta dia? Hisy..Biar betul! Takkan aku tersilap masuk kereta orang lain pula. Alangkah tidak logiknya. Lagipun aku memang teramat yakin, ini adalah Iswara milik Mizan.

“Awak ni pekak ke bisu?”

“Saya….saya…” Ah! Apa sudah jadi dengan suara aku ini. Rasa seperti ada batu yang tersekat dikerongkong. Habis satu bala, timbul lagi satu bala. Mengeletar jugalah kepala lutut aku bila direnung seperti itu. Gamaknya kalau mamat itu singa, tentu sudah lama aku tinggal nama saja.

“Saya…saya apa? Dah menonong masuk kereta orang, dia buat bodoh pula.” Kali ini, suara mamat itu semakin meninggi. Nasib baik aku baru lepas buang air, kalau tidak tentu aku terkencing dalam seluar. Muka aku pula rasanya sudah pucat lesi. Kalau ditoreh dengan pisau belati sekalipun, rasanya tidak ada setitik darahpun yang mengalir keluar.

Aku memandang ke sekeliling. Ya Rabbi! Patutlah mamat itu menjadi seperti singa. Rupa-rupanya aku memang tersilap masuk ke kereta dia. Nun dihujung sana, aku melihat Mizan tercangak-cangak di tepi keretanya. Gamaknya dia sedang mencari aku.

Serta-merta muka aku panas membahang. Tebalnya pula susah hendak cerita. Rasa-rasanya sudah setebal tembok China. Malu betul aku! Tanpa bertangguh lagi aku terus menyumpah Si Buncit itu di dalam hati. Kalau bukan kerana dia, tidak mungkin aku timpa kejadian yang amat memalukan ini.

“Hoi! Awak ni memang cari fasal betullah. Lebih baik awak blah cepat!” Mamat itu terus menyinga. Baru baru lepas telan anak tebuan agaknya. Garangnya Tuhan saja yang tahu!

“Err…sorry….saya tak sengaja, ingatkan kereta kawan saya tadi,” dengan suara yang agak mengeletar dan tergagap-gagap, aku terus membuka pintu dan berlari ke arah Mizan.

“Kau buang air apa punya lama ha? Batu ke?” Mizan mendengus sebaik sahaja melihat kelibat aku. Aku cuma tersengih tanpa menjawab. Mustahil aku hendak menceritakan kejadian tadi kepada Mizan. Buat dia gelakkan aku saja. Bukannya aku tidak kenal perangai dia.

Sepanjang malam itu aku diselubungi perasaan malu yang masih berbaki dek kerana kejadian tadi. Tuhanku, janganlah Kau ketemukan aku dengan mamat itu lagi di masa akan datang. Kalaulah ditakdirkan aku terserempak dengan mamat itu lagi di atas muka dunia ini, entah macamana aku hendak sorok muka aku ini. Isy..simpang Malaikat empat puluh empat.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Kaki Novel"      "Penerbit Fajar Pakeer"