
Novel : Saya, Awak, Dia dan Cinta 2
Oleh : Faratira Aimiza
Bab 2
Zikri bersungguh menceritakan kejadian awal petang tadi kepada Syamil. Muaz tidak turut serta dalam perbualan itu walaupun dia dan perempuan yang tertangkap ketika sedang merenungnya itu adalah watak utama. Muaz duduk di satu sudut sambil menghisap sebatang rokok. Walaupun begitu, dia tetap memasang telinga. Muaz ingin sekali tahu siapa perempuan yang merenungnya itu.
Muaz sudah merancang satu agenda. Dengan mengetahui nama perempuan itu, Muaz lebih senang mendekati perempuan itu dan rancangan yang diaturkannya ini akan terlaksana dengan cepat. Paling utama, fikiran Muaz akan menjadi lapang setelah segala-galanya selesai nanti.
“Mengikut apa yang telah kau diceritakan, perempuan yang merenung Muaz itu, namanya Afi Hanani. Dia pelajar kejuruteraan kimia, tahun ketiga,” beritahu Syamil dengan yakin. Zikri terangguk-angguk.
Muaz mengukir senyum. “Afi Hanani,” ujarnya perlahan. Nama itu kedengaran indah di telinganya. Menurut pandangan matanya, wajah Afi Hanani bersifat kemelayuan. Warna kulitnya tidak cerah, tidak juga gelap. Senyuman gadis itu yang paling bernilai. Setiap kali Afi Hanani tersenyum, sepasang lesung pipit akan muncul di pipi gadis itu. Ketika itu, Muaz sangat suka melihat wajah Afi Hanani, cukup ayu.
“Tapi, aku macam tak percaya perempuan tu adalah Afi,” luah Syamil. Wajah Syamil nampak serius. Sambil memandang Zikri, Syamil mengurut dagunya yang licin. Muaz mula mengerutkan dahinya. Rokok yang tinggal separuh itu masih dihisapnya dengan penuh nikmat.
“Kenapa?” soal Zikri. Dia mula meragui kehebatan Syamil dalam mengenal pasti nama perempuan yang tertangkap ketika sedang galak merenung Muaz itu.
Syamil menarik nafas panjang sebelum menyambung hujahnya. “Kerana Afi adalah satu-satunya mahasiswi yang tak bergaul dengan lelaki. Afi tak pernah pandang wajah mana-mana lelaki walaupun ketika berbicara. Aku tak percaya Afi boleh pandang Muaz tanpa kelip. Mustahil,” ujar Syamil sambil tergeleng-geleng.
Zikri ternganga mendengarnya. Kerutan di dahi Muaz semakin bertambah. Siapa gadis itu sebenarnya? Ah! Zikri memang tidak boleh diharap. Syamil mana mungkin mengenali semua mahasiswi di universiti mereka. Muaz mendengus sambil melemparkan puntung rokok ke atas tanah.
“Mungkin, perempuan tu bukan Afi,” sangkal Zikri.
Syamil menggeleng. “Aku yakin, perempuan yang kau ceritakan tu adalah Afi,” bantahnya.
Muaz berpaling, menumpukan kembali perhatiannya kepada perbualan di antara Syamil dan Zikri. Bibirnya mengunyum senyum. Dia berasa lega apabila Syamil menegaskan bahawa perempuan yang merenungnya itu adalah Afi Hanani. Senanglah dia merangka langkah yang seterusnya.
“Kenapa?” soal Zikri yang semakin keliru.
“Afi saje yang memakai gelang getah. Tiada mahasisiwi lain selain Afi,” tegas Syamil.
Senyuman di bibir Muaz semakin melebar. Muaz senang hati mendengar penjelasan itu. Semoga apa yang telah direncanakan akan menjadi kenyataan. Hanya gadis yang bernama Afi Hanani itu sahaja yang diharapnya sekarang. Muaz berjalan masuk ke dalam rumah dengan rasa gembira. Syamil dan Zikri tercengang melihat perubahan Muaz.
“Aku rasa Muaz pun dilanda sindrom yang sama dengan perempuan yang merenungnya itu.”
Syamil mengangguk. “Pasti ramai gadis yang kecewa dengan keputusan Muaz.”
*****
Buku teks bagi mata pelajaran Kejuruteraan Tindak Balas dibuka dengan lafaz Basmalah. Afi membaca dengan tenang. Mana-mana kata kunci dibulatkannya dengan menggunakan pen bewarna merah. Biar nampak jelas apabila dia membuat ulangkaji nanti. Pembacaan Afi terhenti apabila terdengar suara seseorang memberi salam. “Waalaikumsalam,” jawab Afi.
Wajah teman sebiliknya, Nuha muncul di sebalik pintu. Afi menghadiahkan senyuman kepada Nuha yang kelihatan penat. Buku teks bagi mata pelajaran Kejuruteraan Tindak Balas juga telah ditutupnya.
“Penat,” ujar Nuha ringkas. Gadis itu terus baring di atas katil bagi menghilangkan lelahnya.
Afi mengangguk. “Ya, aku tahu. Macam mana dengan tugasan kau? Dah hantar?” Sejak sebulan yang lepas, Nuha sibuk menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh pensayarahnya. Hampir setiap hari Nuha tiba di rumah tatkala jam sudah menghampiri angka 11 malam. Afi rasa kasihan, namun dia tidak boleh berbuat apa-apa. Nuha mendalami bidang kejuruteraan mekanikal, manakala Afi pula mendalami bidang kejuruteraan kimia. Apa yang Nuha belajar, kebanyakannya tidak sama dengan apa yang Afi pelajari.
“Alhamdulillah. Semuanya dah selesai. Aku nak berehat sepuasnya malam ini,” ujar Nuha senang hati sambil menggeliat.
Afi terangguk-angguk. Niatnya mahu bercerita tentang kajadian awal petang tadi terus terkubur begitu sahaja. Biarlah Nuha berehat dahulu. Afi kembali ke meja belajarnya. Buku teks Kejuruteraan Tindak Balas dibukanya sekali lagi.
“Afi,” panggil Nuha ketika Afi baru sahaja memulakan semula pembacaannya. Afi berpaling. Dia lihat, Nuha sedang tersengih-sengih memandangnya. Afi hairan.
“Kau tak rasa Hafizi tu kacak ke?” soal Nuha.
Afi segera menggeleng. Hafizi adalah mahasisawa kejuruteraan mekanikal tahun ketiga, seperti Nuha juga. Walaupun berlainan pengkhususan dan dia sendiri jarang bertegur sapa dengan Hafizi, Afi cukup kenal dengan pemuda itu melalui cerita-cerita yang dibawakan oleh Nuha. Malah, Afi juga mengenali semua mahasiswa kejuruteraan tahun ketiga yang lain. Semuanya melalui Nuha.
“Cuba kau pandang wajah Hafizi. Aku suka pandang wajah dia. Wajah dia nampak tenang, sejuk mata memandang,” tambah Nuha lagi. Bibir mungil gadis itu sudah tersenyum lebar. Afi juga ikut tersenyum.
“Bercakap mengenai wajah kacak, petang tadi aku terjumpa seseorang,” beritahu Afi sambil tersengih. Dia segera terbayang seraut wajah yang sudah terlekat di dalam kotak fikirannya.
Nuha segera bangun dari pembaringan, bersedia untuk mendengar cerita selanjutnya daripada Afi. Melihatkan reaksi Nuha, Afi terus sahaja menceritakan kejadian awal petang tadi kepada teman sebiliknya itu. “Kau tahu tak, wajah dia tu comel. Aku suka sangat tengok.”
Nuha hanya mengangguk. Nuha sudah arif dengan pilihan hati Afi. Afi suka lelaki yang berwajah comel, perangainya sedikit nakal tetapi lelaki itu harus baik.
“Kau tahu tak siapa dia tu?” Afi bertanya dengan penuh pengharapan. Jika Nuha mengetahui nama lelaki itu, Afi boleh menyelidiki latar belakang lelaki itu melalui laman sosial facebook.
Nuha tergeleng-geleng. Dia tidak dapat meneka siapa yang dimaksudkan oleh Afi itu. Afi mengeluh hampa. “Nanti, aku tanya kepada Syamil.” Nuha mencadangkan apabila melihat wajah keruh Afi. Nuha yakin Syamil mengenali jasad yang dimaksudkan oleh Afi itu.
Afi segera menggeleng. “Tak payahlah. Apa pula kata Syamil nanti kalau dia tahu aku sedang mencari identiti seorang lelaki.”
Nuha hanya tersengih mendengar jawapan Afi. “Malu, tapi mahu.”
Afi tersipu-sipu. “Kau tak payah tanya pada Syamil. Kalau aku dan dia ditakdirkan untuk berjodoh, tanpa bantuan Syamil pun aku akan mengenali dia.”
“Kau memasang impian untuk berjodoh dengan dia?” soal Nuha dengan rasa terkejut.
“Jodoh bukan diertikan dengan perkahwinan. Aku dan kau misalnya, kita berjodoh untuk menjadi kawan. Begitu juga dengan aku dan dia,” terang Afi.
Dalam mencari pasangan hidup, Afi lebih menitikberatkan sikap berbanding rupa paras. Buat masa sekarang ini, Afi hanya ingin menjadikan lelaki yang berwajah comel itu sebagai seorang kenalan sahaja.
Nuha terangguk-angguk. “Semoga kau berjodoh dengan dia.”














Best novel ni..suka ayat2 dia..senang dan mudah dibaca..

bestttt arrr..