Novel : Siapa Jodohku? 7, 8

8 September 2010  
Kategori: Novel

1,446 bacaan 5 ulasan

Oleh : ADIT ZULFATAH

EPISOD 7

KELUHAN Zumira kedengaran begitu berat. Dia masih lagi di sudut meja di dalam kafe itu. Sesekali dia menungkat dagu. Sekejap dia mengurut dahi sendiri, sekejap dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kemudian dia menjengah jam tangannya, sudah pukul sepuluh lima belas minit malam tetapi dia masih belum pulang ke hostel.

Di hujung dapur kafe Hizal memandang. Dia mahu selesaikan kerjanya dulu kemudian baru dia akan menemani Zumira semula setelah Deja memanggailnya tadi. Deja memang selalu memanggil dia kalau ada gelas atau pinggan yang belum dicuci. Dia pantang kalau ada gelas atau pinggan yang masih berbaki tidak dibasuh segera.

Selepas itu Hizal terus menuju ke arah Zumira. Kemudian dia segera memandang Hizal yang sedang berjalan ke arahnya dengan wajah kendur. Dia masih menanti apa apa yang mahu dikatakan oleh Hizal yang tertangguh sekejap tadi kerana Deja memanggil Hizal.

Si teruna yang kurus dan berjanggut nipis itu terus melabuhkan punggung pada sebuah kerusi yang telah ditinggalkan sebentar tadi.

“Hah..apa dia kau nak cakapkan tadi Zal? Jenuh aku tunggu, badan aku pun dah melekit-lekit dah ni, mandi pun belum..” soal Zumira yang cuba mengingatkan semula Hizal tentang hal yang dibicarakan tadi.

“Err…sebelum tu aku nak tanya.. kau ada dapat tak?” soal Hizal

“Dapat apa?”

“Sesuatulah, err..maksud aku, Syima ada beri apa-apa tak pada kau?” soal Hizal sambil mengelap wajahnya dengan tuala kecil.

Zumira hanya menggeleng. Dia tidak menerima apa-apa pun daripada Syima. Lantas dia bertanya pada Hizal.

“Beri apa?” Zumira tertanya-tanya dengan keningnya terangkat.

“Apa-apa je, hmmm..”

“Memang tak ada, tapi lebih baik kau cakap pada aku sekarang…” pinta Zumira bersungguh-sungguh.

Hizal mencebik. Dia menduga, Syima pasti lupa atau dia sengaja tidak sampaikan amanahnya. Tapi itu semua belum pasti.

“Kalau macam tu, kau tunggu sekejap ye, tapi aku nak kau pejamkan mata..boleh?” Hizal menyuarakan permintaan.

Rasa bingung menjengah di fikiran Zumira. Dia menelaah apa pula yang Hizal mahu lakukan. Mata Zumira dipejamkan tapi Hizal kurang yakin dengan cara Zumira pejamkan mata yang seperti mengintai-ngintai. Maka dia mengambil tuala kecil yang baru lalu diikat pada mata Zumira.

“Haa.. sekarang baru kemas, kau dah tak boleh intai lagi..” kata Hizal sambil ketawa kecil.

Zumira meraba-raba kain itu yang diikat pada matanya. Kini sudah gelap semuanya. Dia dibutakan buat seketika. Selepas itu Hizal terus meluru ke arah rak di mana kek telah disediakan istimewa buat Zumira iaitu gadis yang dicintainya. Namun cinta itu adalah sebuah cinta yang terpendam. Dirinya sendiri pun tidak pernah tahu.

Dia membuka kotak kek yang masih terbungkus kemas. Tingkah Hizal diperhatikan oleh Deja.

“Kau nak buat apa tu Zal?” Soal Deja sebaik sahaja memerhatikan gerak geri Hizal yang agak kelam keabut dan tergesa-gesa itu.

“Shhh..diam-diam kak..” balas Hizal.

Rasa tidak sabar buat Zumira untuk terus menanti kerana dia mula rimas selepas agak lama pula menunggu. Hizal cepat-cepat menyalakan sebatang lilin lalu dipacakan di atas kek yang tertulis

‘Selamat Hari Jadi Yang Ke Dua Puluh Satu Buat Insan Istimewa Zumira Mazlan’

Kek perisa coklat vanilla itu ditempah khas buat Zumira. Dia berharap gadis itu suka. Dan pada malam ini juga dia berhasrat untuk melafazkan isi hatinya juga terhadap Zumira. Biar gadis cantik ini tahu bahawa dia sudah lama mencintai Zumira seawal gadis itu menjalani praktikal di sini.

“Hizal! Lama lagi ke?” laung Zumira yang tidak sabar-sabar ingin tahu apa yang sebenarnya Hizal mahu lakukan.

Gadis itu sedikit pun tidak menduga bahawa hari lahirnya ingin diraikan oleh Hizal.

Hizal yang mendengar suara Zumira yang sudah tidak sabar-sabar lagi itu terus membawa kek tersebut dengan segera. Lalu dia meluru pantas ke meja Zumira yang berada di sudut itu. Langkah demi langkah diaturkan. Sebaik sahaja hampir sampai, dia tersilap langkah, salah seorang pelanggan di situ mengesok kerusi secara melulu. Pelanggan tersebut tidak sengaja. Hizal tidak sempat mengelak dan menyebabkan kakinya tersadung di situ.

Hizal cuba mengimbangi badannya yang sedang membawa kek tetapi gagal. Lalu kek tersebut terlepas dari pegangan dan jatuh tertempek ke lantai maka berderai sudah hasrat hatinya untuk meraikan ulang tahun Zumira. Kecewa dan hiba menguasai ruang hatinya.

“Maaf.. saya tak sengaja,” balas pelanggan di situ yang sedang membangunkan tubuh Hizal yang terhumban di situ bersama sisa-sisa kek.

“Tak apa-apa, hmmm,” balas Hizal dengan mengeluh panjang.

Sebenarnya tidak tergambar lagi perasaan Hizal saat itu yang hanya melihat sahaja kek tersebut yang sudah terlepas dari tangannya. Zumira yang mendengar sedikit gamat dengan bunyi sesuatu yang telah jatuh segera membuka ikatan pada matanya. Dia terkejut melihat Hizal yang sudah terduduk di lantai. Matanya terpandang pula pada kek yang menempek di sisi Hizal. Kemudian dia melangkah ke arah Hizal.

“Kau tak apa-apa ke Zal?” soal Zumira.

Hatinya masih tertanya-tanya, kek yang turut terjatuh itu sebenarnya untuk apa.

“Mira…sebenarnya, aku nak raikan hari jadi kau…” ujar Hizal.

Terharu sejuta rasa bila Zumira mendengarnya. Benar-benar dia tersentuh. Hizal sedang cuba yang terbaik untuk membuat kejutan buat dirinya tapi semua itu tidak berjaya. Namun sudah cukup dengan rancangan Hizal untuk meraikan hari lahir Zumira itu telah membuatkan dirinya diingati. Tiada apa lagi yang boleh ditebus dengan kek yang sudah jatuh melainkan rasa kecewa yang menular.

Hizal tunduk hampa. Tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Otaknya kusam. Fikirannya kusut gara-gara insiden tadi.

“Zal.. kau buat semua ini untuk aku?” soal Zumira dengan suara lembut. Hizal mengangguk perlahan. Nampak begitu jelas wajah yang kendur telah dipamerkan oleh Hizal.

“Nak buat macam mana dah tak ada rezeki untuk aku makan kek malam ni..hehe!” gelak Zumira.

Pandangan Hizal kini tertumpu pada sebaris gigi Zumira yang tersusun rapat dan cantik. Perasaan hampa tadi digantikan dengan sebuah senyuman meskipun sebentar tadi dia mencebik.

“Terima kasih Zal sebab kau sudi nak sambut birthday aku walaupun aku tidak pernah meraikannya sebelum ini..” ujar Zumira.

Sisa kek tadi dikemaskan oleh Hizal. Kemudian Deja menjengah ke situ sambil diperhatikan oleh Zumira.

“Tengoklah, buat benda tak baca Bismillah dulu,” kata Deja dengan berkerut dahi.

Hizal yang sedang terbongkok membersihkan tempat itu terus menyeringai sendiri. Walaupun dalam hatinya masih lagi berbaki rasa hampa. Sudah nasib hatinya yang terhalang. Perasaannya juga turut dihalang oleh keadaan.

“Kak ni, benda dah nak jadi.. apa boleh buat..” balas Hizal dengan rasa risau yang masih terbuku tebal.

Di situ Zumira sedang berdiri di antara mereka dengan hanya memerhatikan sahaja mereka berbalas kata. Dia tidak tahu apa lagi yang patut diucapkan. Maka dengan itu dia cuma mendiamkan diri dari mencampuri perbualan dua beradik itu. Sesekali timbul satu perasaan yang entah apa sebenarnya. Dia sendiri tidak pasti. Kemudian dia teringatkan tujuan Hizal sebentar tadi,

‘Sebenarnya, aku nak raikan hari jadi kau.’

Dia sendiri tidak menduga. Sudah pasti ini satu kejutan yang bergetar pada sekeping hati. Kejutan yang tidak terlaksana dengan sempurna. Begitu juga dengan kata cinta yang ingin dilafazkan oleh Hizal yang tidak kesampaian.

Di hati Hizal sedang menaruh harapan yang menggunung. Cita-cita untuk bersama dengan Zumira sudah tertanam sekian lama. Cuma belum lagi diluahkan. Zumira masih belum mengerti apakah makna semua ini.

‘Aku cukup bertuah kerana memiliki seorang kawan lelaki seperti Hizal yang boleh mengingati hari jadi aku berbanding Azrul bekas kekasihku,’ bisik hati Zumira.

Hizal di situ sempat memandang pada sepasang mata Zumira yang cantik dengan bulu mata yang lentik. Deja yang tadinya sibuk mengambil tahu telah meninggalkan mereka dan kembali ke dapur untuk berkemas. Kafe sudah hendak ditutup. Aduh! Kenapalah peluang ini hancur? Mungkin belum ada kesempatan yang sesuai untuk aku meluahkan isi hati aku pada Mira, atau sememangnya aku.. Ah! Aku tak boleh berfikiran macam itu, aku kena berusaha untuk dapatkan dia, bisik hati Hizal pula.

Kaki Zumira mula melangkah ke depan pintu Kafe. Dia menghela nafas macam sebaik sahaja sampai ke situ. Dia nampak seperti kebingungan. Sekejap dia menoleh ke kiri, sekejap menoleh ke kanan, selepas itu dia mendongak ke dada langit melihat bintang-bintang yang bergemerlapan. Tidak lama kemudian padangan matanya beralih pula pada dua kelibat manusia yang sedang berjalan bersama untuk menuju ke kenderaan masing-masing. Zamri dan Raudah.

“Raudah pergilah dulu, saya ikut belakang awak ya,” kata Zamri yang ingin Raudah segera menuju ke kereta. Dia akan menyusul pula mengekori belakang kereta Raudah.

Mereka ingin ke tempat yang telah dijanjikan itu ke Restoran Cahaya Bulan untuk menjamu selera.

“Kau tengok siapa Mira sampai terbeliak biji mata?” tiba-tiba Hizal bersuara dari arah belakang. Zumira tersentak lalu menoleh ke arah Hizal dengan begitu menggelabah.

“Eh! Tak ada apa. Aku tengok bintang,” dalih Zumira.

“Bintang ada kat atas, bukan kat depan..” balas Hizal.

Bibir Zumira mengukir senyuman yang terpaksa. Sengaja membiarkan Hizal tertanya-tanya. Sedangkan hatinya ketika ini sedang berdetik rasa cemburu setelah apa yang dilihat sebentar tadi.

Hizal sebenarnya sudah menyedari bahawa Zumira sebentar tadi itu telah memandang Zamri. Seketika tadi Zamri datang ke kafe dan duduk berborak dengan Zumira di sini. Rasa cemburu di hati Hizal juga menebal, tidak tahu sudah berapa inci ketebalannya. Pada saat itu, dia sedang membancuh air yang di pesan Zamri. Sukar untuk digambarkan betapa dia tidak sedap hati apabila melihat Zamri dan Zumira berbual-bual bersama di dalam kafe sebelum waktu Isyak.

“Haaa aku tahu kau tengok Doktor Zamri kan?” Hizal sengaja menduga begitu. Zumira tunduk malu.

“Hehe..” tawa kecil Zumira.

“Kau suka dia ke..?” Soal Hizal lagi.

Perasaan malu Zumira menjadi-jadi, dia tersengih sendiri dan mula segan setelah Hizal menanyakan soalan itu. Sudah tentu sekali dia suka pada Zamri. Pipi Zumira mula merah. Sekilas dia memandang Hizal yang sedang berdiri di sisinya.

“Doktor Zamri tu segak orangnya, mesti dia dah ada girlfriend..Aku ni tak ada peluang untuk kenali dia dengan lebih rapat, Doktor Zamri takkan pandang orang macam aku ni..” ujar Zumira merendahkan diri dengan tiba-tiba.

Bagaikan luruh segala isi hati, berkecai segala impian. Harapan Hizal seakan tipis kerana Zumira terpaut hati pada Doktor Zamri. Mulut Hizal terkunci. Wajahnya redup sekali. Mungkin hampa. Sudah pasti dia kecewa. Tapi itu tidak bermakna dia perlu berputus asa. Dia cuba menceriakan wajah sendiri, menyembunyikan segala rasa susah hati dari pandangan Zumira.

“Ha`ah, dia memang segak, tapi dia mana ada kekasih lagi, Doktor Zamri pernah cakap kat aku yang dia belum bersedia untuk berkasih.” Hizal bersuara jujur setelah dia terdiam sebentar tadi.

“Ye ke..? hehe..” balas Zumira.

Wajah gadis itu yang seakan kendur kini kembali segar setelah mendengar ucapan Hizal sebentar tadi. Dia tersenyum sendiri. Akalnya berkata bahawa dia masih ada peluang.

“Adakah kau berminat dengan orang yang jauh lebih tua dari kau, Mira?” soal Hizal.

“Mungkin..” jawapan yang tidak pasti dari Zumira.

Memang hati dan perasaan Zumira kini tertumpu pada Zamri. Usia bukan ukuran. Perasaan yang dilayan sendiri masih belum diucapkannya lagi kepada Zamri. Di saat ini Zumira sudah lama diperhatikan oleh Hizal. Dia masih tidak sedar tentang itu. Seseorang yang telah menyanjunginya selama ini dan dia sepatutnya lebih peka dengan keadaan itu.

Hati seorang lelaki yang amat mencintai Zumira sedang goyah. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan tatkala jiwa dan perasaannya mahu memiliki gadis itu. Namun dalam kedudukan sekarang ini ternyata tidak semudah yang disangka.

Fikirannya masih lagi tertumpu pada soal hati, dia mahu melafazkan juga isi hatinya terhadap Zumira, cuma waktu begini sangat-sangat tidak sesuai. Mungkin dia merasa sungguh kerdil di mata gadis itu. Namun, dia juga mempunyai hak untuk jatuh cinta.

EPISOD 8

DUA insan sedang rancak berbual. Seperti ada sesuatu yang sedang dibincangkan oleh mereka. Sesekali kedengaran gelak tawa, silih berganti dengan deheman. Mereka sedang hiburkan hati masing-masing.

“Awak ni kelakarlah..” kata Raudah setelah mendengar canda Zamri.

“Tak adalah, biasa aje, sesekali kita melawak apa salahnya, dengan ini kita boleh hilangkan sikit tekanan kerja tadi tu…” ujar Zamri.

Raudah mengangguk bersetuju dengan kata-kata Zamri sebentar tadi. Senak perut Raudah menahan gelak. Tapi dia tidak melampaui batas. Sekadar gelak apa yang patut. Dia masih mengawal perasaan sendiri. Kalau tidak, mahu pecah tawanya.

“Dah lama kita tak makan kat sini bersama kan?” Raudah menyoal dengan senyuman.

“Ha`ah, lama juga, kita kan sibuk mana sempat, tapi dah dapat keluar makan macam ni kira saya beruntung, sebabnya Tuhan telah izinkan saya untuk makan malam bersama dengan awak.” Balas Zamri.

Raudah terseringai sendiri. Seketika dia menungkat dagu dengan sebelah tangan kirinya. Selepas itu dijatuhkan semula tangan itu. Kini kedua-dua belah tangannya berada di atas peha sendiri. Kemudian jarinya disilangkan. Segan agaknya setelah mendengar jawapan Zamri. Mereka berdua telah selesai makan. Kini mereka sedang berborak-borak kosong.

“Ya, dan Tuhan juga telah menganugerahkan kepada saya seorang rakan yang cu…kup baik macam awak, sekarang baru saya tahu kenapa saya sudi keluar dengan awak..”

“Kenapa?” soal Zamri pantas.

“Sebab awak memahami..” Zamri tersengih apabila Raudah berucap sedemikian.

Rasa malunya pula bertamu di hati. Selepas itu Raudah mengangkat punggung melangkah pergi ke kolam ikan yang berada tidak jauh dari mereka. Dia berpaling pantas kerana dia segan sendiri dengan kata-katanya tadi biarpun itu adalah kebenaran yang lahir dari dalam.

Zamri memandang Raudah dengan ekor matanya. Dia masih tersengih sendiri. Raudah pula telah sampai ke tepi kolam itu, lalu dia melabuhkan punggung duduk di atas tepian kolam itu. Zamri segera bangun lalu menghampiri Raudah.

“Cantik tempat ini, saya suka..” puji Raudah sambil tersenyum.

Zamri hanya memandang gerak bibir Raudah yang sedang menutur kata. Selepas itu dia membalas senyuman Raudah. Tidak lama kemudian gadis bertudung litup itu pula menundukkan sedikit kepalanya sebaik sahaja Zamri memandang tepat ke arah matanya. Raudah jadi malu dengan cara pandangan itu dilemparkan.

“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Raudah menambah lagi soalan. Pandangan itu jelas membuatkan dirinya berasa sungguh segan.

“Kenapa? Tak boleh ke saya nak tengok wajah manis awak?” kata Zamri.

Sorotan mata Raudah pula seakan mahu lari. Mungkin berasa sedikit malu.

“Bukan tak boleh, tapi…”

“Tapi apa Dah…?” soal Zamri lembut.

“Saya takut la dengan cara awak tengok saya.. macam nak makan orang aje..” dalih Raudah.

“Ye ke..? Tapi ramai wanita yang saya kenal cakap pandangan mata saya ni menggoda.. awak lain pula, cakap saya ni nak makan orang, awak takut ke dengan cara saya pandang awak?” Raudah terus mencebik setelah mendengar Zamri membalas kata sebegitu.

Dia tahu Zamri memang ramai kenalan wanita. Dia salah seorang dari mereka. Orang setampan dan peramah seperti Zamri mudah disenangi dan didekati oleh mana-mana wanita. Tambah lagi kalau dia tersenyam pasti ramai yang terpikat, cuma cara dia pandang Raudah sebentar tadi itu agak lain macam sedikit. Mungkin pandangan yang luar biasa, atau juga pandangan yang penuh bermakna.

Kadangkala kalau dia bercakap pasti ada dia akan angkat bakul sendiri. Saat ini Zamri terseringai melihat Raudah yang tunduk malu. Dia tahu batas pertemuan ini. Maka Zamri tidak pernah mengambil kesempatan. Apatah lagi untuk menyentuh wanita bernama Raudah ini.

“Perasan…hehe..” tawa Raudah.

“Eh Eh! Ketawa pula dia! Ini adalah kenyataan dan saya menilai dengan berdasarkan kebenaran..” balas Zamri sekilas dia mendengar suara tawa manja Raudah.

“Kebenaran yang macam mana tu agaknya ye? Kebenaran yang awak memang ada watak penggoda? Atau juga pesonaliti yang boleh memukau mata setiap perempuan?” Raudah memuncungkan mulut.

Zamri mengangguk dan dia lebih tahu siapa dirinya. Raudah mungkin rasa kaku dengan jawapan Zamri tadi tu.

“Tuhan dah ciptakan setiap hamba-hambaNYA dengan kelebihan dan kekurangan. Jadi kita patut bersyukur. Saya bersyukur dengan apa yang ALLAH anugerahkan kepada saya..”

“Tapi ALLAH murka dengan orang-orang yang bersifat bangga diri..”

“Eh! Awak macam peril saya je..”

“Awak terasa ke..? hehe..” Raudah ketawa lagi.

Zamri diam. Dia tidak mahu berbalas bicara. Dibiarkan sahaja Raudah menyindir dirinya. Dia juga tahu dia sendiri ada sikap riak. Sudah banyak kali dia cuba mengusir sikap riak dan takbur itu. Namun masih ada sisa berbaki. Zamri perlu mengawal sikap itu. Dia mesti singkirkan perasaan yang akan menjatuhkanya suatu hari nanti. Yang pasti dan nyata di akhirat kelak akan dipersoalkan tentang itu.

“Err..tak adalah saya biasa je,” ujar Zamri berselindung.

“Saya nak tanya awak sesuatu, tapi awak kena janji yang awak takkan marah,” pesan Raudah.

Zamri mengangkat kening. Tiba-tiba sahaja Ruadah ingin bertanya tentang sesuatu. Otaknya ligat menelah apa yang bakal ditanya oleh si gadis manis ini.

“Apa dia Dah?” soal Zamri.

“Awak kena janji dulu..” pinta Raudah lagi.

“Baiklah saya janji..”

“Janji takkan marah..?” Raudah menyoal lagi benda yang sama. Mungkin dia takut pertanyaan itu bakal membuatkan Zamri berkecil hati atau pun marah.

“Ye janji,” balas Zamri lagi.

Kemudian Raudah tundukkan sedikit kepalanya. Dia bermain dengan jari sendiri. Zamri masih menanti. Sesekali dia mencebik. Kepala Raudah diangkat. Mata Zamri dipandang dalam-dalam. Hati Zamri sedikit berdebar. Dia hanya memerhatikan sahaja tingkah Raudah.

“Apa yang awak nak tanya ni Dah..? Tadi kata nak tanya..saya tunggu ni..”

“Errmm, saya takut awak marah..” ujar Raudah perlahan.

“Buat apa saya nak marah, saya pun nak tahu juga apa yang awak nak tanya sangat.. saya dah ternanti-nanti ini, awak buat saya tak sabar,” Zamri membalas cepat.

“Tu..awak dah nak marah..” kata Raudah.

“Mana ada marah, ish! Awak ni, tanyalah..” pinta Zamri.

Zamri menanggalkan kaca mata kemudian dilap kaca mata itu. Barangkali sudah kelam. Raudah terdiam. Dia serba salah untuk bertanya atau pun tidak. Tapi dia sudah terlanjur bicara. Raudah harus teruskan juga kerana Zamri sudah tidak sabar-sabar lagi.

“Saya nak tahu apa masalah Nurul..?” Akhirnya soalan yang mahu ditanya sudah pun disoal.

Zamri mencebik sambil mengangkat bahu. Dia tidak mahu menghuraikan lebih lanjut tentang perkara yang terjadi hari ini. Raudah masih tidak mendapat berita tentang Nurul yang telah ditampar.

“Awak… saya mahukan penjelasan, Nurul hari ini marah-marah pada saya, sebelum ini dia tidak pernah sekali pun meninggikan suara terhadap saya bila ditanya apa masalah dia, tapi hari ini berbeza sekali. Fikiran saya pun kusut memikirkan soal Azima, dia jatuh pengsan dengan tiba-tiba. Dan saya yakin perkara ini mesti ada kena mengena dengan pesakit awak…” duga Raudah dengan panjang lebar.

Zamri memberi perhatian semasa Raudah berucap. Sesekali dia menggaru kepala yang tidak gatal. Rambut yang masih tersikat rapi itu masih lagi kemas.

“Maksud awak Shuzziyana?” soal Zamri tiba-tiba.

Raudah mengangguk perlahan. Kemudian dia menganggkat punggungnya lalu berdiri. Zamri yang baru melabuhkan punggungnya juga turut bangun.

“Saya tak faham kenapa awak jadikan pesakit saya sebagai penyebab atas apa yang berlaku.. awak tak percaya pada takdir ke?”

“Saya tak salahkan pesakit awak dan bukan saya tak percaya pada takdir cuma saya mahu tahu apa masalah yang sebenarnya..,” balas Raudah pantas.

“Habis tu, kenapa awak perlu fikirkan benda yang remeh macam ni?” ujar Zamri.

Tangannya pula menggaru kepala kemudian melurut lembut kumisnya.

Raudah membulatkan mata.

“Remeh awak cakap..? Awak.. awak mesti tahu, Azima tu budak praktikal, apa-apa yang terjadi pada dia, kita akan dipersalahkan.. ibu bapa dia belum lagi dimaklumkan tentang hal ini. Saya tengah risau tau tak..” adu Raudah.

Zamri memakaikan semula kaca matanya yang dari tadi dipegang saja.

“Itu saya faham..tapi..”

“Tapi apa awak..?” soal Raudah cepat.

“Boleh tak kita lupakan sekejap soal ini..” Rayu Zamri.

Raudah mencebik. Terus dia diam. Dia yakin Zamri telah berubah angin. Dia dapat mengagak dari dahi Zamri yang berkerut itu.

Zamri serba salah sama ada mahu menceritakan apa yang berlaku pada siang tadi ataupun tidak. Dia menjangkakan Raudah sudah tahu. Tapi rupanya tidak. Sebaliknya yang berlaku. Sekarang baru dia faham kenapa Raudah sudi keluar dengan dia. Rupanya Raudah ingin bertanyakan tentang hal ini.

Sebenarnya si jejaka tampan ini tidak mahu memikirkan hal yang berlaku kerana dia ingin merehatkan sekejap mata fikirannya tapi malangnya Raudah pula mengingatkan kembali.

Persoalan yang ditanya tidak dijawab oleh Zamri. Dia malas. Hilang mood. Malam ini dirosakkan dengan sebuah pertanyaan yang telah pun dia membenci. Benci dengan sikap Nurul. Dia tidak mahu menerangkan apa yang telah Nurul lakukan terhadap pesakitnya kepada Raudah dan ingin membiarkan si gadis ini bertanya pada Nurul sendiri.

Jiwa Zamri celaru dek Nurul yang tidak sopan. Entah kenapa sekarang ini perasaan dia bergelora. Umpama tsunami akan berlaku. Dia tidak menduga bahawa Nurul lebih biadap dari itu. Sampai hatinya melaungkan perkataan yang tidak sepatutnya di depan seorang ibu.

Raudah tiba-tiba mendegar Zamri mengeluh sendiri. Sesekali matanya mencuri pandang Zamri yang seperti tengah memikirkan sesuatu tetapi dia tidak berani bertanya apa-apa lagi. Sebaliknya dia terus diam membisu seribu bahasa.

***

PERKARANGAN hospital di luar kafe, kelihatan Deja telah pun siap mengemas. Hizal sedang menunggu Deja keluar mengunci pintu utama kafe tersebut. Sebaik sahaja kakaknya mengunci pintu, dia terus menghidupkan enjin motor Yamaha Legendanya. Kemudian Deja pula terus memulas kunci kereta Viva. Mereka ke kafe dengan kenderaan masing-masing.

Saat ini Hati Hizal tidak tenang. Dia masih terfikirkan apa yang telah dinyatakan oleh Zumira. Sedih dalam hatinya masih lagi terasa. Kesedihan hati yang tidak dapat memberikan yang terbaik dalam meraikan hari lahir gadis itu sebentar tadi. Dia tidak tahu kenapa semua ini boleh berlaku. Kek yang dibelinya tidak dapat disantap oleh Zumira.

Hizal merancang untuk menyuapkan sepotong kek ke mulut Zumira. Dia berangan-angan begitu. Ucapan selamat hari lahir mahu diungkap lembut. Dia mahu melafazkan isi hatinya juga pada saat itu. Biar Zumira tahu akan perasaannya.

Perasaan sedih bertukar ganti dengan cemburu. Hizal tiba-tiba cemburukan Zumira yang menaruh hati pada Zamri. Hati Hizal mahu menolak kenyataan itu dan berkali-kali dia mencuba untuk menafikan tetapi hakikat tidak dapat disangkal lagi.

Biarpun akan lemah segala urat tubuh, biarpun gugur jantung dan hingga sampai menutup mata pun hatinya tetap pada Zumira. Selagi ada cinta selagi itu dia akan mempertahankanya.

Hizal berazam untuk segera menjangkau masa bagi menambat sekalung hati Zumira yang telah terpaut pada si kumbang emas manakala dia pula umpama gagak di rimba yang tiada siapa yang sudi menjengah ke dalam hatinya untuk melihat mutiara itu yang tersergam indah. Mutiara yang terbina dari bibik-bibik sebuah cinta yang terkurung dalam kerinduan.

Zumira belum dapat melihatnya lagi. Kalaulah gadis itu memberinya peluang pasti indah dirasakan. Mungkin juga gadis itu tidak tahu atau sengaja buat-buat tidak tahu mengenai hal itu. Sejurus itu Hizal terfikirkan mengenai kad ucapannya.

‘Adakah benar kad ucapan tersebut belum diserahkan lagi kepada Mira? Mungkin juga Syima lupa agaknya tapi di mana kad itu sekarang? Masih ditangan Syima lagi ke?’ Hizal bertanya pada diri sendiri.


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Siapa Jodohku? 7, 8”
  1. ADIT ZULFATAH says:

    :grin:

    Salam, adit masih baru dalam penulisan dan adit harap sangat-sangat pada sesiapa yang sudi baca karya ini dapat memberikan komen, tidak kira apa jua komen, adit menerimanya dengan hati yang terbuka. Terima kasih adit ucapkan dan Semoga adit dapat memperbaiki gaya penulisan adit untuk tatapan bacaan semua. Di kesempatan ini juga adit nak ucapkan SALAM AIDILFITRI buat semua warga p2u dan peminat penulisan2u.my

    SELAMAT HARI RAYA
    MAAF ZAHIR DAN BATIN.

    drp : ADIT ZULFATAH
    love u all ::muah::

    ;-)

  2. ezaty says:

    macam nak best je citer ni :razz:

  3. ezaty says:

    slmt hari raya jugak, maaf zahir dan batin :grin:

  4. alfa says:

    good job

  5. faizal says:

    mula2 mcm bosan tapi lama2 best pulak
    kisah ni mmg latar belakang hospital je ke yg menjadi utamanya??

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"