
Novel : Syurga Di Wajahmu 17
Oleh : Laila Hanni
Bab 27
Perlakuan polos Engku Lokman menyedarkan semula Idayu dari lenanya yang seketika. Tetapi dia terus memejamkan matanya. Tak mampu rasanya untuk dia menatap wajah itu. Hatinya masih bungkam dengan peristiwa yang berlaku. Bisikan lembut Engku Lokman di telinganya bagaikan meramas-ramas tangkai hatinya. Apa lagi yang nak dibincangkan. Semuanya telah hancur musnah. Lelaki memang mudah berbicara, tapi adakah semudah itu mereka mengotakan kata?
Apabila mendengar pintu biliknya ditutup rapat Idayu bangkit dari perbaringan. Selimut yang ditarik oleh Engku Lokman untuk menutupi tubuhnya sebentar tadi disekanya. Baju tidur kain kapasnya yang terselak hingga paras dada ditariknya ke bawah menutupi kembali tubuhnya yang terdedah. Dia duduk sambil memeluk lututnya. Sakit di bahagian ari-arinya mengingatkan dia pada peristiwa hitam yang berlaku beberapa jam yang lalu. Fikirannya kosong dan buntu. Untuk berfikir pun, tidak mampu dirasakannya.
Mengapa dia diperlakukan begini? Apakah salahnya hingga dia menerima nasib yang sebegini? Sepanjang waktu Engku Lokman memeluknya erat sebentar tadi, bagaikan terasa yakin di hati Idayu yang lelaki itu akan bertanggungjawab ke atas apa yang telah diperlakukannya. Tapi kini bila ditinggalkan begini, keyakinan Idayu hilang. Mengapa mesti dia percaya pada lelaki yang menghancurkan hidupnya, meranapkan impiannya dan memusnahkan masa depannya. Lelaki yang sepatutnya melundungi insan yang lemah sepertinya.
“Aku mesti pergi dari sini. Di sini bukan tempat untukku lagi. Engku Lokman telah memusnahkan segalanya. Aku mesti pergi,” bentak hati Idayu.
Lantas dia bangun, memasukkan semua pakaian dan barang-barang peribadinya ke dalam beg. Dia tidak lagi menghiraukan rasa sakit di bahagian ari-arinya. Sakit itu akan hilang, tapi sakit di hatinya sudah pasti tidak akan terpadam untuk selama-lamanya. Selesai mengemas semua pakaiannya, dia mandi. Tak pasti jenis mandi apa yang perlu dilakukan, dia meniatkan kedua-dua jenis niat mandi hadas besar dan mandi junub untuk menyucikan dirinya yang telah kotor. Selesai mandi, dia bertahajjud dan melakukan sunat taubat, memohon keampunan ke hadrat Allah Subhanahuwataala. Dia pasrah dengan ketentuan ini. Namun, sepanjang waktu itu airmatanya tidak dapat dibendung, terus berlinangan membasahi telekungnya.
Selepas selesai solat Subuh, dia menulis sedikit catatan selamat tinggal untuk Mak Nab. Sebelum berlalu, dia sempat menjenguk Engku Maryam yang masih dibuai lena. Menatap sayu wajah tua itu mengembalikan ingatannya kepada lelaki yang telah merampas semua hak milik peribadinya sebentar tadi. Membawa sebak yang tidak bertepi di hatinya. Dan dengan hati yang pilu Idayu melangkah meninggalkan rumah besar yang mencatat satu sejarah hitam dalam hidupnya. Dia terus pergi mengikut langkah kakinya dalam kebeningan pagi.
***
Selesai sembahyang Subuh, Mak Nab seperti biasa terus memulakan tugas hariannya. Setiba di dalam rumah majikannya, kedengaran Engku Maryam memanggil-manggil namanya. Terkocoh-kocoh dia berlari ke bilik Engku Maryam.
“Hai, ke mana pulak si Idayu ni. Takkan tidur balik kut,” getus hati Mak Nab.
Bila sampai di bilik Engku Maryam kelihatan orang tua itu masih lagi belum mandi. Dengan rasa hairan, dia menjenguk ke bilik Idayu. Kelihatan katilnya masih belum dikemaskannya lagi.
“Agaknya di bilik air kut,” teka Mak Nab dalam hati.
“Hai, ke mana semua orang ni. Kenapa tak gerak Mak Engku sembahyang Subuh…, Idayu ke mana ?” bebel Engku Maryam dengan nada yang agak marah.
Dia menjeling jam di dinding, sudah pukul 6.30 pagi. Hairan di hati Mak Nab kerana selalunya seawal 6.00 pagi Idayu sudah siap dan menggerakkan Engku Maryam untuk mandi dan sembahyang Subuh.
“Tak taulah Mak Engku, katilnya kosong, dah bangun dah tu. Tengah mandi agaknya,”
“Dahlah, aku nak mandi ni, nak sembahyang. Tolong bawa aku ke bilik air,”
Muka Engku Maryam masam mencuka. Hai Engku Maryam ni, perangai garangnya masih lagi ada. Kalau ada yang tak kena, habis semua orang dimarahinya, keluh Mak Nab. Dia cepat-cepat menolak kerusi roda Engku Maryam itu ke sisi katil. Dia membantu Engku Maryam naik ke kerusi roda dan tanpa buang masa lagi menolak kerusi itu ke bilik air. Tiba di bilik air, dia membantu pula Engku Maryam beralih ke kerusi yang biasa digunakan oleh Engku Maryam untuk duduk ketika dia mandi membersihkan diri. Engku Maryam mengibas-gibas tangannya untuk memberi isyarat supaya Mak Nab keluar dari bilik mandi.
“Cuba pergi tengok, Idayu tu tengah buat apa..,” katanya. Api kemarahannya sudah sedikit reda kedengaran di telinga Mak Nab.
“Baik Mak Engku,”
Mak Nab segera keluar dari bilik air, memberi ruang untuk Mak Engku membersihkan dirinya. Lantas dia ke bilik Idayu. Terasa cukup hairan di hatinya bila melihatkan pintu bilik yang menyambung ke bilik Engku Maryam terbuka agak luas. Semalam katanya dia sentiasa kunci pintu ni, getus hati Mak Nab. Bila masuk ke bilik Idayu dilihat gadis itu tiada. Malah pintu bilik airnya terbuka luas dan tidak nampak tanda-tanda ada sesiapapun di dalamnya.
Kehairanan, Mak Nab memandang sekeliling. Suasana bilik itu kelihatan agak ganjil pagi ini. Tiada satu pun barang dandanan Idayu kelihatan di atas meja cermin. Kain tuala dan telekungnya juga tidak kelihatan di tempat penyangkut kain. Entah mengapa hati Mak Nab mensyaki sesuatu. Lantas dia menuju ke almari pakaian. Bila dibuka, didapati tiada sehelaipun pakaian Idayu yang tinggal. Matanya terus memandang sekeliling, dan di atas meja cermin, kelihatan sehelai kertas ditindih oleh sebatang pen. Mak Nab mendekati meja cermin lantas mengambil kertas itu.
Assalamualaikum Mak Nab,
Terlebih dahulu Idayu ingin mohon maaf dari Mak Nab. Idayu terpaksa pergi dan Idayu harap Mak Nab jangan tanya mengapa. Cuma, anggaplah yang Ayu dah tak boleh lagi tinggal di rumah ini. Kirimkan salam Ayu untuk Mak Engku. Katakan padanya yang Ayu nak minta halalkan semua makan minum selama ini dan maafkan sekiranya ada dosa-dosa yang tidak disengajakan. Tentu dia marah dengan pemergian Ayu ini. Begitu juga dengan Engku Badrul dan Pn Khatijah. Idayu pergi dulu. Maaf…
Idayu
Tak semena-mena mata Mak Nab berkaca. Dia terduduk di katil Idayu. Gadis ini sudah pergi? Ke mana? Mengapa? Mak Nab buntu, apakah yang akan dikatakan kepada Engku Maryam dan Engku Badrul nanti? Mengapa Idayu pergi? Semalam dia langsung tidak menampakkan sebarang reaksi yang berlainan dari biasa. Malah Idayu kelihatan gembira bila berbual dan langsung tidak menunjukkan ada riak sedih di wajahnya semalam. Tapi, lain pulak dengan isi kandungan surat ini. Ia menggambarkan kekecewaan dan kesedihan. Apa maksud gadis ini dengan “anggaplah yang Idayu dah tak boleh lagi tinggal di rumah ini.”
Dalam termanggu-manggu begitu, tangan Mak Nab menguis kain selimut yang masih lagi bergumpal di atas katil. Gadis ini pergi dengan tergesa-gesa, hinggakan katil pun tidak sempat dikemasnya. Mengapa? Tangan Mak Nab lantas mengambil kain selimut itu. Apabila menggangkat kain itu matanya tertumpu kepada sesuatu yang ada di di atas cadar. Diamatinya dengan hati yang tertanya-tanya. Tompok darah…? Darah apa..? Tersirap darah Mak Nab, apabila dia mula terfikir sesuatu yang mungkin berlaku. Idayu…. Apakah….. Engku Lokman…..?
Mak Nab tak mampu untuk berkata-kata ketika itu. Kedengaran Engku Maryam memanggilnya. Dia perlu segera melayan Engku Maryam. Mak Nab meletakkan selimut itu di tempat asalnya dan kembali ke bilik Engku Maryam. Perlakuan paniknya ketika itu menyebabkan apa yang dibuatnya serba tak kena. Menyemarakkan lagi kemarahan di hati Engku Maryam.
“Kenapa dengan engkau ni Nab, aku suruh bentangkan sejadah tu, aku nak sembahyang ni, dah lewat ni….,” marah Engku Maryam apabila Mak Nab kelihatan termanggu-manggu. “Idayu tu pergi mana…?”
“Entahlah Mak Engku… nanti saya cari..,” bohong Mak Nab.
Dia tak boleh beritahu Engku Maryam ke mana Idayu. Engku Maryam mesti tertanya-tanya sepertinya. Dan jika dia tahu apa yang Mak Nab tahu, mesti dia terkejut. Jantung Mak Engku tidak begitu kuat untuk menerima berita sebegini. Dan, Mak Nab nekad, dia perlu memberitahu kejadian ini kepada Engku Badrul.
Ah, apa yang dibimbangkan malam tadi rupa-rupanya berlaku juga. Kesian Idayu…. tentu sekarang dia amat kecewa dengan kejadian yang berlaku. Hatinya sebal bila membayangkan wajah Engku Lokman. Dia yakin ada sesuatu yang dilakukan oleh Engku Lokman kepada gadis itu. Tidak berani untuk dia memikirkan apa yang telah berlaku. Tetapi tentunya kejadian itu sungguh menyayat hati Idayu sehingga dia pergi dengan tiba-tiba.
Bab 28
Sepanjang waktu dia menyediakan sarapan pagi kepada keluarga majikannya, Mak Nab tak senang hati. Kejadian yang berlaku pada Idayu mengasak-asak di fikirannya. Tak sabar-sabar rasanya dia menunggu Engku Badrul untuk turun bersarapan. Engku Lokman pula nampaknya mendiamkan dirinya di dalam bilik.
Kalau diikutkan hatinya mahu sahaja dia menjerit memanggil semua orang untuk disampaikan khabar ini. Dan yang paling tak sabar sekali adalah untuk melihat bagaimana reaksi Engku Lokman bila diberitahu tentang kemungkinan Idayu dirogol. Buktinya, kesan topok darah di atas cadar Idayu. Sengaja Mak Nab tidak mengemas katil Idayu untuk dijadikan bukti kejadian. Bebelan Engku Maryam juga begitu mengganggunya. Sudah beribu kali soalan yang sama ditanya, ke mana Idayu…. Dan sudah puas Mak Nab memberikan alasan, tak tahu gadis itu ke mana.
Akhirnya penantiannya berakhir apabila kelihatan Engku Badrul dan Puan Khatijah melangkah turun dari tingkat atas rumah besar itu. Kedua-dua anak-anak mereka belum nampak kelibatnya lagi. Mereka terus menuju ke meja makan dan duduk. Hati Mak Nab tak sabar-sabar rasanya untuk meluahkan kejadian itu.
“Mak Engku mana Mak Nab, kenapa Idayu tak bawa dia keluar lagi?” tanya Puan Khatijah.
Sebelum majikannya terus berkata apa-apa, Mak Nab bersuara.
“Engku… saya nak beritau… em.. Idayu dah pergi..,” sepontan dia menyuarakannya. Engku Badrul kelihatan terkejut.
“Apa maksud Mak Nab?”
“Pagi tadi, dia tak kejutkan Mak Engku sembahyang Subuh. Bila saya pergi jengok ke biliknya dia dah tak ada. Dia tinggalkan surat ni..,” lantas dihulurkan surat itu kepada Engku Badrul. Seketika suasana sepi, dan kemudian Engku Badrul kembali menatap wajah Mak Nab.
“Apa maksud semua ni? Kenapa dia pergi tiba-tiba? Mak Nab tahu kenapa…?”
“Em… tak..tahu, tapi…,” Mak Nab teragak-agak.
“Tapi apa Mak Nab…,”
“Saya rasa, Engku kena tengok ni…,”
“Apa…?”
Mak Nab rasa serba salah. Tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan apa yang bermain di kepalanya. Terasa kecewa kerana, sebentar tadi dia telah menyusun ayat dengan baik sekali di mindanya untuk menyampaikan berita ini kepada Engku Badrul. Tapi kini, ayat-ayat itu hilang entah ke mana.
“Em.. mari Engku, saya tunjukkan,” dia melangkah ke bilik Idayu yang terletak berdekatan ruang makan.
Engku Badrul dan Puan Khatijah turut bangun dan mengikuti Mak Nab dengan penuh tanda tanya. Bila memasuki bilik Idayu, Mak Nab terus menarik selimut yang masih bergumpal tadi. Mata kedua-dua majikannya itu terus tertumpu pada kesan yang ada di atas cadar. Masing-masing terkejut dan berpandangan sesama sendiri, penuh tanda tanya.
“Apa maknanya ni Mak Nab…..,” Puan Khatijah bersuara.
“Saya pun tak pasti, tapi… saya rasa inilah yang menyebabkan Idayu pergi,” kata Mak Nab perlahan. Tak berani menyebut nama Engku Lokman. Takut dikatakan dia cuba menabur fitnah pula.
“Idayu ada teman lelaki ke Mak Nab?” tanya Engku Badrul pula.
“Setahu saya tak ada.., dia budak baik Abang Engku, tak kan lah dia buat kerja yang tak senonoh macam ni pulak,” kata Puan Khatijah bagaikan cuba membela Idayu.
“Atau, ada sesiapa yang masuk ke rumah dan rogol dia..? Mungkin jaga baru tu kut..” kata Engku Badrul bila teringatkan pengawal keselamatan yang baru tiga hari bertugas menggantikan Abang Kob, pengawal keselamatan yang terdahulu.
“Saya tak tahu Engku, tapi, budak tu tak masuk ke dalam rumah pun. Dia tak ada kunci pun untuk masuk. Cuma berkawal di luar aje…,” ujar Mak Nab. Eh, tak kan lah budak tu.
“Habis siapa….?”
Mak Nab jadi serba salah, tapi dia merasakan tidak patut untuk dia berdiam diri. Kalaulah benar seperti tanggapannya, perkara ini tidak boleh didiamkan. Engku Lokman mesti menerima pembalasan atas apa yang telah dilakukan. Idayu mesti dibela. Biarlah Engku Badrul yang menyiasat.
“Em… Engku… saya …saya…,”
“Apa Mak Nab…,”
“Saya tak pasti, tapi… semalam lepas makan malam… em… saya terserampak dengan Engku Lokman….. mengusik Idayu…,”
“Apa Mak Nab…,” suara Puan Khatijah pula terkejut. Kelihatan agak marah. Muka Engku Badrul merah padam tanda marah. Berani orang gaji aku menuduh anak aku buat benda ni… getus hati Engku Badrul.
“Maaf Engku… saya…. bukannya nak menuduh, tapi … saya…,” Mak Nab kehilangan kata-kata. Darahnya terasa seperti membeku. Pucat lesi mukanya, menahan ketakutan. Keadaan sunyi seketika. Masing-masing melayan perasaan, Engku Badrul, dengan perasaan marahnya, Puan Khatijah dengan perasaan terkejutnya dan Mak Nab dengan perasaan takutnya.
“Mak Engku dah tahu perkara ni…?” akhirnya Puan Khatijah memecahkan kebuntuan itu.
“Belum puan…,” jawab Mak Nab perlahan. Air matanya mula mengalir mengenangkan Idayu. “Engku… saya minta Engku siasatlah perkara ni. Saya..tak tuduh sesiapa. Cuma, saya beritahu apa yang
saya nampak dan apa yang saya dengar….Kesian pada Idayu Engku…, dia tak salah…,” kata-katanya terhenti sebentar menahan hatinya yang sebak. ” Kalau Engku rasa saya bersalah, saya rela diberhentikan, tapi….kasihanilah Idayu… dia budak baik,” rayu Mak Nab lagi.
Hati Engku Badrul sebak mendengarkan kata-kata Mak Nab. Ya, Idayu budak baik. Sepanjang tujuh bulan dia bekerja di sini, tak pernah dia menunjukkan sikap yang tidak baik. Sedangkan dia kenal siapa Engku Lokman, anaknya itu. Tapi, bila darah daging dituduh sebegitu, hati siapa yang tidak marah. Puan Khatijah seperti memahami perasaan suaminya. Dia memegang tangan suaminya untuk memujuk.
“Tak apalah.., mari kita sarapan dulu, lepas tu kita bincang perkara ni baik-baik. Kathy rasa baik kita jangan cakap apa-apa depan Mak Engku. Takut nanti terkejut pulak dia, kan Abang Engku…?”














mmg best, seronok aku baca dgn susunan ayat dia yg memukau good job writer
huhuhuhu…ksiannya idayu…

Bahasanya menarik, ringkas dan padat, nvel ni boleh tahan cerita dan plotnya. Memang power. Novel ni membawa pembaca kepada suspens dan tertanya2, geram, marah dan terkejut. Bagus, penulis ni telah melakukan kerjanya dengan baik. Tahniah!
suke nya…tak sabar nak tunggu next entry…good job writer!

ke mana rahnya kaki Irdayu melangkah…
adakah lokman akan bertanggungjawab…
byk persoalan yg timbul…..