Novel : Terlanjur Mencintaimu 15

7 September 2010  
Kategori: Novel

15,589 bacaan 24 ulasan

Oleh : Syamnuriezmil

Tanggal 27 Jun 2010, hari yang dinanti-nantikan semua pihak. Pagi itu, Tengku Hanis cantik lengkap berpakaian serba putih. Bajunya lengkap dengan kain lace dari Perancis yang cantik beserta jahitan manik-manik yang indah. Solekan yang ringkas dan natural, membuatkan wajah Tengku Hanis bertambah cantik. Sudahlah kulitnya putih gebu, hidung pula mancung, kalau seimbas orang akan ingat gadis belanda mana yang tersesat.

“Tudung ini, Ku Hanis pakai dulu. Nanti akak kemaskan.”

Tengku Hanis mengangguk-angguk. Disarungkan tudung putih menutupi rambutnya yang keperang-perangan. Ayah yang memohon dia untuk bertudung sewaktu dinikahkan. Almaklumlah, nikah di masjid. Bagi Tengku Hanis, kalau Tengku Hishamuddin tak minta pun dia tahu, lebih afdal bertudung. Sebenarnya di dalam hatinya, dia sudah berniat untuk bertudung selepas berkahwin. Tengku Hanis tidak mahu dosanya ditanggung suami. Argghh.. suami?

Kak Fatty yang menjadi mak andam hari itu mengemaskan tudung putih yang disarung Tengku Hanis. Kemudian diletakkan selendang di atas nya sebelum dikemaskan dengan kerongsang agar tidak jatuh.

“Hanis… macam anak mat salleh lah kau ni!” Jerit Sarah. Tengku Hanis terkejut. Kawan baiknya semasa di universiti dulu, Siti Maisarah, akhirnya sampai juga. Tengku Hanis sebak.

“Sarah!”

Mereka saling berpelukan. Kak Fatty hanya membiarkan. “Akak biarkan Ku Hanis dulu sekejap. Akak nak pergi tengok pengantin lelaki pula. Jangan nangis-nangis ya. Jangan sampai comot make-upnya. Nanti nak kena touch up lagi.” Pesan Kak Fatty.

“Okay, kak.”

“Macam mana? Nervous, lurve?” tanya Maisarah.

“Apa punya soalan kau ni? Kalau kau di tempat aku, kau mesti gugup juga kan? Apalah… Cantiknya kau Sarah! You loose weight beb! Ada pinggang tu…”

“Well… biasalah! Sooo.. excited! Abang Johan okay? Apa perancangan malam ni, ehem ehem??” usik Maisarah.

“Bodohlah dia ni…” Marah Tengku Hanis, ‘bergurau tidak bertempat!’
Maisarah tergelak.

“Hanis, kalau aku nak ambil sirih junjung kau tu sikit, kau jangan marah ye!”

“Kenapa nak ambil?”

“Nak cepat bertemu jodoh!”

“Hoii… kalau nak ambil, mana boleh bagitaulah. Nanti jodoh bukan datang cepat, tak datang langsung tau!” ujar Tengku Hanis. ‘Apalah Sarah ni!’

Mereka berdua tergelak gembira tetapi di dalam dada Tengku Hanis, debaran semakin kencang. Takut!

******

Pihak pengantin perempuan telahpun tiba di masjid. Tengku Hanis didudukkan di atas bantal yang turut dihias. Jari-jemarinya yang berinai merah diletakkan di atas pahanya. Tengku Hanis sangat manis duduk bersimpuh sambil menenangkan hatinya. Dia rasa sangat berdebar-debar. Sekali sekala, Maisarah mengelap peluh di wajah Tengku Hanis. Di sebelahnya, Tengku Zahariah berborak-borak dengan kaum kerabatnya, wajah mummynya nampak begitu gembira. Sekejap-kejap lampu flash dari kamera jurugambar gemerlapan. Terasa macam seorang selebriti pula hari ini. Di sekeliling yang mengelilingi Tengku Hanis, budak-budak kecil yang menjadi flower girlnya seperti bidadari-bidadari kecil yang comel. Tengku Hanis berdebar menunggu kedatangan pihak pengantin lelaki.

“Assalamualaikum!” Suara Johan memberi salam memecahkan hiruk pikuk di dalam masjid. Salam Johan di jawab. Johan sempat melemparkan senyumannya kepada Tengku Hanis. Johan juga sangat tampan dengan baju melayu berwarna putih dan wajahnya yang rapi dan bersih seperti sewaktu dia pergi ke STH dahulu. Serta merta, Tengku Hanis membalas senyuman itu.

Dup… dap… dup… dap… Jantungnya berdegup kencang, dadanya berdebar-debar tatkala mendengar salam dari Johan. ‘Hish… kenapa jadi macam ni pula!’

Setibanya Johan di dalam masjid, Johan terlebih dahulu menunaikan solat tahiyatul masjid. Johan nampak begitu tenang, tidak setenang Tengku Hanis. Usai bersolat, Johan duduk di atas bantal yang disediakan. Tok kadi di depan Johan membicarakan sesuatu kepadanya, Johan hanya mengangguk-angguk.

“Kita mulakan ya, Tan Sri?”

“Ya. Silakan.” Jawab Tengku Hishamuddin.

Tok kadi menyerahkan sekeping kertas kepada Johan. Johan dengan bacaan bismillahnya memulakan bacaan khutbah nikah. Bacaan Johan sangat teratur dan tidak gugup. Setelah bacaan khutbah selesai, upacara ijabkabul dijalankan. Tengku Hishamuddin bertindak sebagai wali anaknya, berjabat erat tangan Johan.

“Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku Tengku Hanis Zulaikha binti Tengku Hishamuddin berwalikan aku Tengku Hishamuddin bin Tengku Hasanuluddin dengan mas kahwinnya RM2,000.00 tunai.”

“Aku terima nikahnya Tengku Hanis Zulaikha binti Tengku Hishamuddin dengan mas kahwinnya RM2,000.00 tunai.”

“Sah!”

“Sah!”

“Sah!”

Dengan sekali lafaz sahaja, Tengku Hanis telah sah menjadi isteri Johan. Tidak disangka, Tengku Hanis menitiskan air matanya. Terasa bagaikan segunung tanggungjawab jatuh di atas bahunya. Tanggungjawab seorang isteri! Isteri??
Setelah upacara bacaan doa oleh Tok Kadi, giliran Johan pula untuk membaca lafaz taklik.

“Saya, Johan Iskandar bin Izhar mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya, Tengku Hanis Zulaikha binti Tengku Hishamuddin selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya sepuluh ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”
Mendengar bacaan lafaz taklik itu, air mata Tengku Hanis menitis lagi.

“Kita mulakan majlis penyerahan dan penerimaan tanggungjawab, kemudian barulah majlis batal air sembahyang ya, Tan Sri.”
Tengku Hishamuddin mengangguk-angguk.

“Adalah saya Tengku Hishamuddin bin Tengku Hasanuluddin, wali kepada Tengku Hanis Zulaikha binti Tengku Hishamuddin dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, pemeliharaan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepada kamu, Johan Iskandar bin Izhar sebagai suami yang sah. Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungan kamu, serta zuriat keturunan kamu. Amin.” Ucap Tengku Hishamuddin dengan sedikit sebak. Tengku Hanis menitis air mata lagi, kali ini lebih laju.

“Dengan ini saya, Johan Iskandar bin Izhar, suami yang sah kepada Tengku Hanis Zulaikha binti Tengku Hishamuddin bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas anugerah nikmat iman, Islam, kesihatan dan isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majils akad nikah ini. OIeh itu mulai saat ini, saya menerima tanggungjawab sebagai suami kepada isteri saya, Tengku Hanis Zulaikha binti Tengku Hishamuddin dan akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut, memberi nafkah zahir dan batin, pemeliharaan dan perlindungan yang sempurna, keselamatan yang terjamin dan memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t. Saya mengharapkan doa restu dari semua pihak terutama ibu dan kedua ibubapa mertua saya. Sekian, terima kasih.”
Kali tangisan Tengku Hanis tidak dapat tertahan lagi. Tengku Zahariah terus memeluk puterinya dan menenangkannya.

“Hanis… Hanis sudah sah menjadi isteri Johan. Hanis kena taat pada suami, Hanis kena jaga maruh keluarga tau. Hanis jangan menangis sayang. Mummy dan ayah akan sentiasa berada di sisi Hanis.” Ucap Tengku Zahariah sambil menyeka air mata puterinya. Tengku Hanis betul-betul sebak. Dia sebak, di saat majlis pernikahannya, nenda sudah meninggalkannya. Nenda tiada di hari bahagianya. ‘I miss my old boyfriend! Kalaulah nenda ada, mesti nenda yang akan menjadi orang yang paling gembira! Tetapi kalau nenda ada pun, mungkin perkara ini tak akan terjadi juga…’

Johan bingkas bangun dari tempat duduknya dan mengerjakan solat sunat dan bersujud syukur. Usai sudah solat sunat, Johan menghampiri Tengku Hanis untuk penyerahan mas kahwin dan menyarung cincin sekaligus membatalkan air sembahyang. Berdepan dengan Johan, Tengku Hanis berdebar-debar. Getaran hatinya sangat kuat tatkala mata mereka bertentangan. Johan menunjukkan isyarat jangan menangis kepada Tengku Hanis. Tengku Hanis hanya mengangguk.

Lutfiah di sebelah Johan menyerahkan cincin yang bertakhtahkan sebutir belian dan Johan menyarungkan ke jari manis Tengku Hanis. Tengku Hanis pula menyarungkan cincin suasa delima merah ke jari Johan dan menyalami dan mencium tangan Johan.

“As this ring has no end, neither shall my love for you! Walau apapun yang akan terjadi, jangan pernah tanggalkan ya, sayang.” Bisik Johan kepada Tengku Hanis sambil mengucup jemari Tengku Hanis. Kening Tengku Hanis dikucup juga. Tengku Hanis betul-betul terharu…


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

24 ulasan untuk “Novel : Terlanjur Mencintaimu 15”
  1. MiCha2402 says:

    menarik…best & sweet..
    saya suka sgt cite ne…
    X sbar nak jdikn koleksi novel saya..
    bla nak di bukukn ya.. :smile:

  2. affeira says:

    so sweet.. :cry:

  3. norhidaya says:

    best..

  4. Sha Hashim says:

    sangat suka citer ni…terbuai2 dengan rentak romantis yang dipaparkan..tahniah penulis berjaya membawa saya ke alam romantis johan & hanis..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"