Cerpen : Andai Ku Tahu

31 October 2010  
Kategori: Cerpen

4,249 bacaan 9 ulasan

Oleh : Iris Sophia

“Rini, ayah nak Rini sambung belajar sampai masuk ’U’. Ayah nak tengok kamu berjaya. Ayah bukan tak izin kamu kerja, tapi janganlah kerja kilang. Tu, tengok anak Mak Piah di kampung sebelah, apa dah jadi? Baru setahun dua kerja kilang di Penang tu, tiba-tiba perut dah membuncit. Kahwinnya tak lagi. Kesian pada Mak Piah tu. Dah la ibu tunggal, anak pula jadi macam tu. Ayah tak nak kamu jadi budak tak tentu arah. Dengar cakap ayah ni. Nasihat ayah panjang lebar. Walaupun pemikiran ayah masih konservatif, tetapi sedikit sebanyak masuk juga ke telinga remajaku.

Betul tu Rini, mak tak nak anak mak jadi macam tu. Sekarang ni macam-macam cerita yang mak dengar pasal anak-anak gadis yang kerja kilang ni. Anak pakcik Atan kau tu pun satu, Si Esah yang keje kilang di Shah Alam tu, kerja tak sampai setahun dah minta nak kahwin dengan budak kristian dari Sabah. Sekarang apa dah jadi dengan dia? Suaminya telah bawa lari ke Sabah. Anak dah dua orang tapi tak pernah balik ke kampung lagi. Tiap-tiap bulan dok telefon pakcik kamu tu suruh pergi ambil. Pakcik kamu tu bukannya ada duit nak bayar tiket kapal terbang. Nak bawa balik tiga beranak tu bukannya murah. Rini, bukan kami sengaja melarang kamu kerja kilang di Bangi tu, tapi kami bimbang kamu menerima kejutan nanti. Fikirlah baik-baik Rini….”

Mak, Ayah, Rini nak kerja sebab nak cari duit. Bukannya nak berfoya-foya. Nanti Rini tahulah nak jaga diri.” Aku masih tak puas dengan hujah mak dan ayah yang ingin samakan aku dengan gadis-gadis lain yang bekerja kilang. Walaupun aku tahu ada di kalangan minah-minah kilang yang mudah terjebak dengan kegiatan sosial yang di luar batasan dan mudah terpedaya perasaan sendiri, ditambah pula dengan tuntutan hidup di kota-kota besar.

“Rini, kalau kamu nak pergi juga, mak dan ayah tak boleh halang, cuma kamu fikirlah sendiri, kamu pergi ni tanpa restu dan redha kami, dan sekiranya terjadi sesuatu yang tak diingini kami tak akan bertanggungjawab.” Putus mak muktamad. Ayah hanya memerhati dari tubir tangga hadapan rumah yang sudah berlumut itu.

Setelah memberi nasihat dan kata dua kepadaku, mak dan ayah meninggalkan aku di ruang tengah rumah. Mereka terus ke kebun sayur yang terletak di belakang rumah. Sekarang ini musim menuai buah. Cuma aku yang masih tidak bergerak-gerak dari tadi. Kakak dan adik-adik telah dahulu ke kebun sayur bagi membantu mak dan ayah.

Alhamdulillah, keputusan STPM kali keduaku telah diumumkan. Dengan keputusan yang cemerlang, kali ini akan membawaku ke universiti seperti yang aku idamkan dan keluarga harapkan. Seandainya aku berdegil mahu meneruskan niatku untuk bekerja, setelah gagal memasuki universiti dengan keputusan STPM yang pertamaku dahulu, sudah tentu aku tidak dapat mengecap kejayaan seperti sekarang.

Ayah bersusah payah memasang telefon rumah semata-mata ingin berhubung denganku. Selang seminggu aku akan bertanya khabar keluarga di kampung. Penat lelah aku mengabdikan diri dengan buku selama tiga tahun di Universiti Malaya, akhirnya membuahkan hasil dan aku akhirnya diterima bekerja di sektor kerajaan lewat tahun 2001.

“Rini, awak balik dengan apa hari ni?” Tegur Zaen mesra menunjukkan keperihatinannya terhadapku.

“Biasalah Zaen, saya naik komuter dan LRT,” jawabku pendek.

“Jom lah, saya boleh tumpangkan awak. Lagipun haluan kita sama,” ajak Zaen ramah.

“Tak apa lah Zaen, saya nak jumpa kawan di KL Sentral sekejap.”

“Baiklah, saya jalan dulu ye?” Zaen terus berlalu menghampiri kereta yang diparkirnya di ruang letak kereta bangunan kerajaan di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur. Zaen merupakan rakan sekerja yang peramah dan mesra dengan semua pegawai dan staf di pejabat.

Aku meneruskan perjalanan ke stesen komuter Bank Negara yang terletak berhadapan dengan pejabatku. Sampai di stesen KL Sentral, aku akan menaiki LRT ke stesen Bangsar. Untuk sampai ke rumah di Jalan Tempinis, aku lebih suka berjalan kaki dari menghabiskan masa menunggu bas. Itulah rutin harianku pergi dan balik kerja.

Ketika di dalam komuter menuju ke stesen KL Sentral, aku mendapat panggilan telefon dari kampung. Suara Kak Marisa kedengaran agar cemas.

“Rini, ayah sakit tenat. Sakitnya tak macam biasa. Rini balik yer?” Suara Kak Marisa terketar-ketar. Aku amat faham dan jelas keadaan ayah yang telah hampir tiga tahun sakit dan tidak dapat berjalan. Seandainya perkhabaran ini yang ku terima, aku sudah faham bahawa ayah dalam keadaan tenat. Aku harus pulang.

“Terima kasih Kak Mar. Rini cuba dapatkan tiket bas malam ni. Kalau ada apa-apa perkembangan, akak beritahu Rini segera ye?”

“Baiklah Rini. Jaga diri ye. Assalamualaikum.” Kak Marisa menamatkan panggilannya.

Aku tidak membuang masa lagi. Setibanya di stesen KL Sentral, aku terus mendapatkan tiket komuter ke stesen Putra. Di dalam hati sentiasa berdoa supaya tiket bas ekspres ke Kota Bharu malam ni masih ada. Aku menghubungi Encik Othman selaku penyeliaku untuk memaklumkan yang aku akan mengambil cuti kecemasan. Kebetulan hari ini hari Khamis, dapatlah aku mengambil cuti selama dua hari, jumaat dan sabtu dan mujur juga Encik Othman memahami keadaanku.

Kurasakan perjalanan komuter ke stesen Putra agak lambat dan aku mula merasa cemas dan rimas dalam keadaan tersebut. Jam menunjukkan tepat pukul 7.00 malam. Keadaan di Hentian Putra tidaklah sesak seperti musim cuti. Nasib aku amat baik. Tiket bas ke Kota Bharu masih ada. Sambil menunggu bas aku singgah sebentar di pusat membeli-belah The Mall yang berhadapan dengan stesen bas Hentian Putra, untuk membeli buah tangan untuk adik-adik sambil mengisi perutku yang sudah mula berkeroncong. Usai sahaja makan aku terus melangkah ke hentian bas. Tepat pukul 9.30 malam bas bertolak keluar dari Hentian Putra.

“Alhamdulillahh,” ucapku dalam hati.

Menyingkap kegigihan ayah mengusahakan tanah kebun. selepas musim menuai padi, ayah tidak duduk diam. kebun sekangkang kera itu diusahakan untuk menanam sayur-sayuran dan dijual kepada peraih-peraih di kampung. Seingat aku, tidak pernah dalam setahun dia duduk diam, cuma apabila musim tengkujuh baharulah aku dapat melihat ayah duduk di rumah. Itupun tak sampai sebulan. ada-ada sahaja kerja yang ingin dibuatnya di atas tanah itu.

Baru kini aku sedar betapa ayah menyayangi diriku berbanding dengan kakak dan adik-adik yang lain. Mungkin kerana kebijaksanaanku dan kegigihanku untuk maju dalam pelajaran. pernah satu ketika semasa aku berada di tingkatan tiga, mak menyerahkan duit RM300.00 untukku membeli buku-buku rujukan. Katanya ayah yang beri. Begitulah betapa percayanya ayah dan mak kepada aku.

Namun sejak kecil lagi aku memang terkenal dengan sifat degil dan suka melawan cakap orang tua. Entah berapa kali ayah memukulku dengan tali pinggang gara-gara melawan cakap. Pantang kalau anak-anak meninggikan suara dan melawan cakapnya. Sebab itulah, sepanjang aku mengenal hidup, tidak pernah sekali pun aku mendengar mak meninggikan suara mahupun melawan kata-kata ayah. Permohonanku untuk bekerja kilang pun kerana ingin lari dari kongkongan ayah.

Aku tidak suka dengan sikap tegas ayah yang membuatkan aku memberontak dan ingin keluar dari sangkar ini. ketika itu aku tidak mengerti mengapa ayah bersikap demikian terhadap anak-anaknya.

Ayah yang selama ini cukup anti dengan kemajuan teknologi dan barang-barang canggih ketika zaman 90-an itu sanggup memasang talian telefon di rumah semata-mata kerana aku. Sedangkan setahu aku, sekiranya mak ingin membeli almari pinggan mangkuk pun dia tidak benarkan apatah lagi hendak tukar televisyen atau membeli radio. Tidak sama sekali dia benarkan walaupun aku mengetahui yang ayah mampu untuk membelinya.

Aku mula mengerti mengapa ayah melarang keras aku bekerja selepas aku gagal dalam STPM dahulu. Seandainya aku bekerja mungkin aku tidak sampai ke tahap ini. Ayah amat bijak menilai anak-anaknya.

Namun walaupun aku mengerti tentang kasih sayang ayah kepadaku, aku tetap dengan kedegilan dan tidak dapat menerima sepenuhnya kata hatiku. Walau banyak kali aku menyusahkan hidup ayah tetapi ayah tidak pernah meminta balasan atas segala pengorbannya. Seharusnya aku perlu tahu peranan aku sebagai anak.

“Rini tak balik ke cuti penggal nanti?’ Tanya ayah di hujung talian.

“Tak ayah. Rini nak kerja kilang di Syah Alam.” Balasku pendek dengan niat supaya ayah tidak bertanya lagi. Aku tahu ayah dan mak amat merindui aku yang sudah tiga bulan tidak pulang ke kampung sewaktu masih belajar di universiti dahulu. Tetapi kerana keras hati, aku tetap tidak mahu pulang semata-mata ingin mencari pengalaman bekerja kilang. Aku ingin merasai pengalaman itu yang sepatutnya aku telah lalui semasa tamat STPM dahulu.

“Tak apalah kalau Rini nak kerja. Kalau ada cuti nanti pulanglah. Adik-adik dah rindu pada Rini.”

“Ye lah ayah. nanti Rini pulang. Oklah ayah, duit syiling dah habis ni, kirim salam pada mak dan adik-adik ye ayah. Assalamualaikum ayah.”

“Waalaikumusalam. Jaga diri baik-baik ye dan jangan lupa telefon mak dan ayah.”

“Insyaallah.”

Hati kecil begitu sayu bila berbual dengan ayah tetapi kedegilanku mengatasi segalanya.

“Rini, ayah nak Rini balik hujung bulan ni. ayah nak buat doa selamat sempena Rini dapat kerja ni.” Itulah pesanan mak satu ketika dahulu sejurus aku mendapat tawaran kerja.

“Insyaallah mak, nanti Rini beritahu mak bila Rini nak balik.”

Mulai saat aku dapat menggenggam duit sendiri, aku tidak pernah lupa pada mak dan adik-adik. Setiap kali aku balik ke kampung, ada sahaja buah tangan dariku. Cuma kadang-kadang sahaja aku menyediakan buah tangan untuk ayah. Degilnya hati ini untuk mengakui betapa aku menghargai pengorbanan ayah. Aku cuma berharap agar duit yang aku beri kepada mak tiap-tiap bulan itu dapat dirasai oleh ayah betapa aku menghargainya. Namun aku tidak mampu menunjukkan kasih sayangku kepadanya sepertimana yang aku buat untuk mak dan adik-adik.

Ayah yang telah lama menderita sakit buah pinggang telah dimasukkan ke wad ICU di Hospital Kota Bharu setelah kegagalan ayah untuk bertahan di dalam bilik pembedahan. Perubahan suhu membuatkan badan ayah bertindak balas. Akibat dari itu, salah satu urat di kepalanya telah terputus dan paru-parunya dijangkiti kuman. Tekanan darah meningkat secara mendadak. Itulah detik-detik cemas yang keluarga aku lalui ketika aku di tahun akhir pengajianku.

Akibat dari keadaan itu, ayah tidak dapat mengenali ahli keluarganya sendiri. Tidak dapat berjalan seperti sedia kala. Tidak boleh bercakap dan telor seperti kanak-kanak dan dia selalu bercerita tentang zaman kanak-kanaknya. Apatah lagi untuk menyara keluarga. Ibu trauma dengan keadaan tersebut. Dengan 8 orang anak yang masih bersekolah dan perlu disara dan hanya aku yang mampu membantu keluarga. Ibu terpaksa menyambung kerja-kerja di kebun bersama adik-adik dan terpaksa menjaga ayah yang sakit. Kakak pula telah mengikut suaminya ke Terengganu. Begitu perit laluan hidup mak. Aku dapat merasai tempiasnya. Selama hampir tiga tahun ayah berkeadaan tersebut sehinggalah kak Marisa menelefonku petang tadi. Terasa betapa jauhnya perjalananku malam ini. Sejak dari tadi aku tidak dapat melelapkan mata. Dalam hanyut diterjah mimpi-mimpi semalam, aku lihat ke luar sana di dalam kesamaran cahaya papan tanda, Selamat Datang Ke Gua Musang. Pemandangan diluar yang gelap dan suram itu lebih kerap menemaniku.

Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi. “Rini, ayah dah tak ada.” suara Kak Marisa ditenggelami dengan sendu tangisnya yang silih berganti. Namun ungkapannya masih jelas kedengaran. Bagaikan halilintar yang menyambar jantung hatiku ketika mendapat berita itu.

“Ayah, Maafkan Rini. Ampunkan Rini! Ampunkan Rini ayah! Tunggu Rini ayah! Rini telah banyak menyakiti hati ayah. Ampunkan Rini ayah! Rini anak derhaka! Rini anak derhaka! Ampunkan Rini ayah!” Laungan itu tidak henti-henti dikotak fikir yang meronta dijiwaku. Tanpa dapat ku bendung lagi, air mataku meluncur laju tanpa rasa segan dan malu dengan penumpang bersebelahan denganku.

Seandainya ku tahu begitu cepat masa berlalu tak kan kulengahkan masa untuk kutunjukkan rasa kasih dan sayangku kepada ayah. Seandainya kutahu aku akan kehilanganmu, sudah tentu dari dahulu aku memelukmu dan menjaga hati dan perasaanmu. Seandainya dari awal lagi aku sedar akan pengorbananmu, akan kubalas segala jasa-jasamu. “Ayah, ampunkan Rini ayah…,” sayu menatap pilu memori semalam. Andainya ku tahu betapa tingginya nilai kasihmu….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Cerpen : Andai Ku Tahu”
  1. nana suhani says:

    jalan cerita ok,menarik juga.. :cool:

  2. anum93 says:

    ala, cite nie ulang balik….
    dulu dah ade dah..

  3. farah says:

    sedih~~
    teringat kat ayah aku..
    ermmm…
    :sad: :sad:

  4. iera says:

    sad..though it’s a typical story bout her father,but it still make my tears rolling down…gudjob… ;-)

  5. Nurul Sufian says:

    Seorang ayah tidak mampu untuk mengakui kasih sayangnya seperti ibu. Jarang sekali kita melihat si ayah menangis, namun itulah hakikatnya, dia juga terlalu menyayangi kita walaupun tidak terungkap dengan kata-kata, cukup melalui pengorbanannya… ;-) ;-)

  6. siti normah adzemi says:

    rindu kat ayah nih,,,,,long kat riyadh,saudi…ayah kat phg…ayah long sayang ayah…bulan februari nti long balik ye huhuhu

  7. nazirah says:

    teringat arwah ayah :cry: :cry: sesungguhnya aku terlalu menyayanginya.tp entah kenapa terlalu sukar untuk melupakan kisah dulu…….hati sering bertanya sayangkah dia padaku……ampunkan anak mu ini…moga dia ditempatkan disisi orang yang beriman…….. :cry: :cry: :cry:

  8. green says:

    teringat kat ayah…teringat kat mak….
    terima kasih, ayah…terima kasih mak…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"