Cerpen : Cinta terlarang

31 October 2010  
Kategori: Cerpen

15,047 bacaan 69 ulasan

Oleh : ana sofiya

1

Amira membelek dari satu gambar ke satu lagi gambar yang terdapat di dalam album gambar-gambar perkahwinan kakak sulungnya, Zaireen. Dia senang melihat senyuman di wajah itu. Manis dan menawan sungguh! Nyata kakaknya sedang berbahagia.

Perlahan-lahan, album itu ditutup. Sepasang mata rasa basah. Sepasang mata sudah digenangi air. Hujan akan menitis tidak lama lagi. Dan, kala ia menitis, desirannya bukan lagi rintik-rintik halus malah air mata itu berjuraian, berguguran laju turun membasahi pipi mulusnya.

“Maafkan Mira, kak Reen! Maafkan Mira!”
………………………

“Masuklah, Mira. Mira suka tak rumah ni?” Zaireen begitu teruja untuk menunjukkan rumah yang baru diduduki kepada adik bongsunya, Amira Diyana.

Mereka baru sampai dari kampung. Sepanjang hujung minggu, Zaireen berusaha memujuk adik kesayangannya untuk mengikut dia, suami dan anak-anak balik ke Putrajaya. Adik yang baru usai menduduki peperiksaan SPM itu mulanya enggan untuk datang bersama. Katanya, dia lebih senang tinggal bersama-sama ibu dan ayah mereka di kampung. Katanya lagi, biarlah dia bekerja di sana kerana ada banyak syarikat-syarikat kecil, di bawah industri kecil dan sederhana yang mempelawa anak muda belasan tahun sepertinya bekerja.

Amira Diyana memerhati sekitaran rumah itu. Besar dan cantik serta luas. Itu impressi pertamanya. Kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah mewah kakaknya yang bekerja sebagai seorang juruhias dalaman, dia berasa kagum. Benarlah kata ibunya, rumah kakaknya ini bagaikan istana. Cantik sungguh binaan yang dibuat berdasarkan hasil kreativiti arkitek, siapa lagi kalau bukan abang iparnya yang kini sedang menguntum senyum kepada mereka.

Mohd Syafiq masih lagi tersenyum apabila Amira dilihatnya begitu teruja memerhati dekorasi rumahnya. Wajah itu lembut dan asyik menikmati keindahan. Tidak dinafikan, hasil usaha bersama di antara dia dan isteri membentuk keindahan ini. Bukan Amira sahaja yang mengkagumi malah kawan-kawannya juga sukakan apa yang mereka lihat.

“Cantiknya!!” Amira memuji.

“Dia sukalah tu!” Bisik Zaireen kepada suaminya.

Syafiq mengangguk. Wajah ayu milik gadis berusia 17 tahun itu ditatapi. Berbeza daripada isterinya, Amira seorang gadis yang rendah, mungkin dalam 159 cm, kulitnya sedikit gelap, mungkin kerana asyik berbasikal ke sekolah yang sejauh 3 km daripada rumah namun gadis genit ini amat ramah dan mudah mesra. Sejak mengenalinya, Syafiq dapati bahawa Amira Diyana memang suka sangat bercakap. Tentu sekarang emak dan ayah kebosanan di rumah. Tiada lagi suara gemersik itu yang becok untuk didengari. Yang pasti, rumah ini nanti tidaklah sunyi. Tentu Amira akan menceriakan suasana di sini, membuat bising bersama-sama dua orang anak-anaknya, Bazli dan Asilah.

“Maksu, nak tidur, Ilah ngantuk!” tiba-tiba suara anak kecil yang baru berumur 2 tahun itu kedengaran. Amira segera mendapatkan Asilah. Didukungnya si comel dan dia mencium pipi gebu itu.

“Jom, maksu bagi mandi. Lepas tu kita tidur, ya?”

“Maksu, Ali nak ikut!”

Mohd Syafik menjungkit kening. Amboi, bukan main manja lagi anak-anaknya dengan maksu mereka? Fikirnya. Dilihat sahaja Amira menghulurkan tangan lalu digenggam oleh Bazli erat. Bazli tua 2 tahun daripada Asilah.

“Ali laparlah, maksu!”

“Aik, tadi kan kita dah singgah makan di Pizza Hut? Lapar lagi?”

Syafiq mendengar Amira bertanya.

“Tadi Ali makan sikitlah!”

“Sikit? Bukan tadi hampir sebelah dia yang makan sorang?” Syafiq bertanya kepada isterinya.

“Syy, dengar maksu dia jawab apa.” Zaireen meletakkan jari telunjuk di bibir.

“Tapi, kan, sayang, sekarang dah lewat malam. Ali boleh makan tapi nanti kalau perut Ali buncit, Ali dah tak encem tau!”

“Boncit macam perut ayah, ya, maksu?” Bazli bertanya polos.

Entah kenapa Amira berasa seperti ingin mengusik abang iparnya. Lalu dengan lantang dia menjawab, “Yalah, sayang. Nanti perut Ali boroi macam perut ayah. Ali hendak jadi macam tu?”

Cepat-cepat anak saudaranya menggeleng.

“Sebab tu, Ali tak boleh makan dah, ya. Biar semua yang Ali makan yng ada dalam perut Ali tu, hadam dan perut Ali boleh tidur sama-sama dengan Ali, okey!”

“Hmm, maksu, perut ayah tu tak tidur sama ayahlah ya?”

Biasalah, kan? Naluri ingin tahu kanak-kanak!

Amira ketawa. “Tak, sayang.. dalam perut ayah ada cacing. Dia korek-korek, gigit-gigit jadi ayah selalu sakit perut. Tak boleh tidur.” Balasnya.

Tawa Zaireen lepas apabila mendengar celoteh adiknya sementara Syafiq menjadi geram. Adakah kacak bergaya macam aku ni dikatanya boroi?

Budak Amira ni memang nak kena!
…………………………………
2

“Amira? Ya Allah, budak ni! Bukannya dia tolong mengemas, baliknya dia sama naik dengan budak-budak dua orang ni menyepahkan bilik! Kamu bangun, bangun! Cepat kemaskan barang-barang ni semua. Kak Reen tak suka tengok benda bersepah-sepah!”

Zaireen membebel melihat bilik tidur Bazli yang tunggang langgang. Katil belum dikemaskan kini Amira sedang leka membantu anak saudaranya menyusun kepingan-kepingan lego untuk dibentuk dan dijadikan sesuatu. Mentang-mentanglah hari ini hari cuti, masing-masing leka sekali. Hari sudah tinggi namun nampaknya anak-anak ini masih dengan permainan mereka, masih belum mahu bersarapan.

“Amira Diyana!”

Amira Diyana segera berdiri. Dia tersengih memandang kak longnya. Dia tahu, Zaireen sedang marah kerana dia masih leka, seolah-olah dialah budak kecil yang begitu setia dengan permainannya.

Dia terus mengemaskan katil. Bazli dilihatnya sedang berusaha memasukkan lego ke dalam kotak, dibantu oleh Asilah. Hati bagai digeletek kerana dia tahu, anak-anak saudara kesayangannya itu juga, seperti dirinya, gentar mendengar suara Zaireen yang bagaikan halilintar tadi.

“Lepas tu, bagi diorang mandi. Pakaikan baju cantik-cantik.” Arah Zaireen lagi.

“Ali tak nak pakai baju cantik. Ali nak pakai baju Ali!” Bentak Bazli, takut disuruh memakai baju kanak-kanak perempuan agaknya.

Zaireen dan Amira saling berpandangan sebelum tawa mereka meledak keluar.

“Kita nak pergi jalan-jalan ke, ibu?” mulut comel Asilah bertanya.
“Hisy, kak Reen malas nak melayan diorang ni, Mira. Kamu ajelah yang jawab.” Kata Zaireen lalu melangkah keluar meninggalkan ketiga-tiga insan yang semakin akrab itu.

Amira segera menyuruh Bazli pergi mandi. Dia memberitahu mereka bahawa nanti, ayah dan ibu hendak membawa mereka pergi ke Sunway Lagoon. Wah, teruja bukan main si Bazli.

“Jangan lupa gosok gigi Ali, ya!” arah Amira. Suara sengaja ditinggikan supaya Bazli patuh kepada perintahnya. Bazli tidak suka memberus gigi dan selalu mencari peluang untuk tidak melakukannya.

“Tamo..”

Ha. Kan dah cakap? Fikir Amira.

“Apa? Tamo?” Amira segera menangkap tubuh Bazli, bawa tubuh kecil itu ke atas katil dan menggomolnya, membuatkan Bazli ketawa kegelian. Asilah yang melihat keriangan abangnya ingin turut serta. Lalu kini, dia dan abangnya sama-sama menggeletek tubuh maksu mereka.

“Eeii, janganlah, maksu geli ni!” Amira menjerit-jerit manja, cuba mengelak tangan-tangan halus yang meraba-raba tubuhnya. Kanak-kanak dua beradik itu semakin galak ketawa. Nampak jelas, mereka gembira dengan sikap Amira yang memanjakan mereka. Amira tidak segarang ibu!

“Bazli, Asilah, kenapa buat maksu macam tu? Bangun!”

Mendengar jerkahan suara garau itu, Bazli dan Asilah terus diam, tidak lagi berani bergerak. Amira lantas bangun, berdiri sambil membetulkan baju dan rambut yang sedikit kusut. Setelah pasti keadaannya sudah terurus, dia menoleh, menangkap pandangan Syafiq yang tajam menikam. Gementar rasa hati secara tiba-tiba. Redup pandangan itu sungguh mempesona.

‘Aku dah gila! Dia kan abang ipar aku? Yang hati ini tak pasal-pasal nak dup dap dup dap apasal. Hisy, karut betul!’ diri dimarahi sebelum berpaling lalu mengajak anak-anak saudaranya masuk ke dalam bilik air.

‘Aku dah gila! Dia kan adik ipar aku? Kenapa hati aku ni lain macam pulak jadinya bila tengok dia? Aduh!’ Syafiq mengeluh sendiri. Dia semakin bimbang dengan apa yang dia rasa. Dia tidak ingin mengalaminya. Perasaan ini tidak harus dimiliki tetapi ia hadir sejak Amira hadir di dalam hidup mereka sebulan yang lalu.

Jangan, jangan Kau uji aku begini, jangan!
…………………………………..
3

Syafiq meletakkan kereta betul-betul di sebelah kereta isterinya. Melihat jam, dia tahu dia agak terlewat hari ini. Memang tadi, sepanjang hari, dia agak sibuk. Mana dengan projek Taman Indah, kemudian kliennya, Encik Munif mahu dia ke rumah yang sedang disiapkan di Taman Mega. Bergegas dia ke sana, bimbang lelaki itu mempunyai sebarang komplen. Nasib baik, Encik Munif bukan hendak mengomen atau kritik tetapi hendak mengajaknya makan tengah hari. Di sebelah petang tadi pula, ada mesyuarat. Kini, baru terasa betapa letihnya dia.

Sebaik turun daripada kereta, dia mendengar bunyi orang berbual-bual sambil ketawa-ketawa di pinggir kolam renang. Suara lelaki dan perempuan yang didengari mengundang rasa hairan. Siapa yang datang, soalnya di dalam hati.

Kaki laju dibawa ke sana. Wajah terus berubah demi melihat pandangan di hadapannya. Amira sedang duduk di kerusi taman, dan di hadapannya, duduk seorang pemuda. Dia tidak mengenali lelaki itu. Namun apa yang dia nampak membuat hati menjadi geram.

‘Argh, dah pandai bawak jantan ke rumah pulak dah?’ gumamnya.

Pemuda itu berdiri ketika Syafiq datang mendekat. Tangan pantas dihulur untuk bersalam.

“Abang, saya Uzair, anak Datuk Munir dan Datin Munirah, jiran sebelah.”

Syafiq menyambut tangan yang dihulur. Kepala sedikit berserabut. Uzair? Anak Datuk Munir? Isk, tak pernah jumpa di masjid pun!

“Tadi, Uzair datang dengan daddy dengan mummy dia, bang. Bila uncle dengan aunty balik, dia duduk sembang dengan Mira. Alah, bukan jauh nak balik pun, sebelah rumah aje, kan awak?”

Uzair tersenyum meleret. Dia sukakan Amira. Gaya gadis ini begitu bersahaja. Cakapnya lepas. Kali pertama bertembung, Amira marahkan dirinya yang sedang menyiram pokok bunga. Manalah dia tahu gadis itu ada di sebalik pagar. Basah lencun tubuh Amira disimbahnya tanpa sedar.

“Kak Reen mana?” tanya Syafiq. Entah mengapa hati menjadi sakit melihat senyuman Amira yang saling berbalasan dengan Uzair. Api cemburu meledak kuat. Dia cuba menafikan namun tidak berdaya. Kerana itulah, nada suara bergema lantang.

Amira menjuihkan bibir. Kadang-kadang dia jadi geram dengan sikap abang iparnya ini. Selalu sangat menengkingnya sekarang. Dengan Kak Reen, lembut gigi dari lidah tapi kalau dengan dia? Mengapa asyik hendak marah?

Puas Amira mencari kesalahannya tapi tidak berjumpa. Sehingga kadang-kadang dia berasa sangat berkecil hati. Sikap Syafiq sekarang amat berbeza berbanding sebelum dia tinggal di sini. Syafiq sudah tidak pandai bermesra dengannya.

“Awak, saya balik dululah. Esok, saya ambilkan borang yang awak hendak tu, okey.” Uzair meminta diri. Dia cuak melihat sikap Syafiq yang kelihatan sombong. ‘Macam orang cemburu aje.’ Bisik hatinya.

“Sejak bila pandai duduk berdua-duaan ni, Amira? Dah mak bapak dia balik, yang kamu tahan dia untuk berbual dengan kamu tu, kenapa? Teringin sangat nak berboyfriend ke? Dah teringin sangat nak ada pakwe?” tengking Syafiq sebaik kelibat Uzair hilang daripada pandangan.

Air mata bergenang tiba-tiba. Kesatnya kata-kata yang dihamburkan. Sampai hati! Macamlah kesalahan yang dibuat besar sangat, rajuk Amira di dalam hati.

“Yang datang ke sini buat apa? Kalau duduk di kampung tu senyap-senyap, kan bagus? Menyusahkan orang betullah!” marah Syafiq lagi.

Dia sendiri tidak tahu mengapa dia marah sangat. Dia sendiri tidak tahu mengapa begini sikapnya dengan Amira. Yang dia tahu, dia perlu berkasar. Dia perlu menafikan apa yang dia rasa. Perlu!

Kerana sakit hati, Amira membalas, tidaklah kuat suara dilontar sebab dia takut kakaknya dengar dan nanti berkecil hati pula.

“Siapa yang pergi ambil Mira? Siapa yang pujuk Mira datang sini? Bukan abang ke? Kenapa abang berubah? Dulu abang baik dengan Mira. Dulu abang boleh cakap lembut-lembut. Tapi sekarang, abang dah macam singa. Kalau tak suka, cakap! Lepas tu hantar Mira balik kampung. Jangan buat Mira macam tempat abang melepaskan geram, tahu tak?”

Amira sudah tidak mampu bertahan. Sakit hati yang sudah berminggu-minggu dirasai kini terlontar sudah. Dia kecewa dengan sikap Syafiq. Dia sedih dimarah-marah. Dia sayangkan Syafiq. Syafiq bagaikan abang kandungnya namun sikap Syafiq sekarang sungguh menjengkelkan. Mengapa jadi begini?

Kalau tidak disebabkan keadaan kakaknya yang semakin dekat hendak bersalin, dia ingin sahaja pergi. Dia ingin menjauhkan dirinya daripada Syafiq. Tapi apakan daya. Dia tidak sanggup mengecilkan hati kakak kesayangannya.

Dia menangis teresak-esak. Air mata cuba diseka tetapi, masih sedu-sedan tidak mahu berhenti. Argh!

Dan, ketika Amira ingin melangkah pergi, dirinya ditarik oleh Syafiq. Gadis itu terpana kerana kini diri di dalam pelukan abang iparnya. Kemas bagai tidak mahu dilepaskan.

“Jangan nangis, sayang. Jangan menangis kerana abang. Abang tahu, abang banyak buat silap dengan Mira. Tapi, abang ada sebab, Mira. Mira kena faham. Satu hari, Mira akan faham kenapa abang jadi macam ni. Maafkan abang, dik. Maafkan abang!”

Amira kemudian ditinggalkan dalam kebingungan.
…………………….
4

Aiman memandang wajah temannya tanpa berkelip biji mata. Air muka jelas kelihatan sangat terkejut. Berita yang baru disampaikan adalah sesuatu yang tidak disangka-sangka. Terutama bila si tukang cerita ialah Mohd Syafiq, anak Lebai Man, yang merupakan imam besar di Masjid Pinang Tunggal. Sukar hendak percaya. Terlalu sukar!

“Aku tak tahu nak cakap apa dah! Kau betul-betul buat gempaq, Fiq. Sampai otak aku yang geliga ni pun tak tercapai, tak sangka! Hebat woo…!”

Kata-kata Aiman membuat Syafiq rasa tersindir. Rasa pahit lurnya. Rsa tidak sedap di dalam hati.

“Eh, kau dah tak tahu halal haram ke? Betul atau salah? Jatuh cinta dengan adik ipar sendiri yang baru lepas SPM? Adik ipar tu! Yang sah-sah tidak boleh dinikahi selagi kau dengan kakak dia!” Aiman semakin geram dan marah. Dia makin lantang bersuara, “Apa kurangnya Zaireen selepas lebih 5 tahun korang kahwin, hah? Dia tengah mengandung, sarat pulak tu. Lagi sebulan kau nak dapat anak nombor 3. Macam mana tetiba boleh minat sangat sampai terguling hendakkan si adik? Ke, ini apa orang kata tu, pembawa/ bawaan budak? Sementara aje, kut? Lepas Zaireen bersalin nanti, sel-sel otak kau tu akan bersambung balik, kan?”

Syafiq tidak bersuara. Dia tidak mahu ditempelak lagi. Kepala otaknya sudah cukup berserabut.

“Oi, aku cakap dengan kau ni!” Aiman rimas bila Syafiq diam. Dia tak suka. Dia hendakkan maklum balas daripada sahabatnya itu.

Syafiq mengeluh. Asyik mengeluh dan mengeluh.

“Kau ingat aku saja-saja hendak mengurat dia ke, Man? Sumpah! Semua ni aku tak rancang, tahu! Sejak dia datang, rumah aku tu jadi ceria. Anak-anak aku bebas bergelak ketawa dengan dia. Dia manjakan diorang dan aku suka cara dia.” Perasaan sedikit terluah.

“Habis tu? Selama ni, tandus sangat ke budak-budak tu dengan kasih sayang ibu mereka. Bini kau si Zaireen Diyana tu?” sela Aiman.

Syafiq memandang tepat anak mata Aiman. “Kau pun tahu Zaireen tu, kan? Apa gelaran aku pada dia?”

“Mrs Perfect!”

“Ingat pun kau! Zaireen hendak rumah yang bersih, kemas, tersusun, semuanya mesti ‘in order’. Anak-anak sepahkan barang, dia pasti jerit. Dia pasti marah. Aku selalu berbalah dengan dia tentang anak kami yang tak ada kebebasan bermain di rumah. Tapi, sejak Amira hadir di antara kami, dia manjakan budak-budak tu tapi dalam masa sama dia tegas dengan diorang. Rumah tetap kemas sebab dia ajar mereka bahawa lepas main, memunggah barang-barang mainan, semua disusun dan dikemas balik seperti asal. Perkara-perkara kecil macam ni yang buat aku tersangkut pada Mira. Dia muda, dia anak bongsu tapi dia matang.”

Aiman merenung wajah sahabat baiknya. Dia tahu, pengakuan ini bukan mudah dibuat. Syafiq bukan seorang yang mudah jatuh cinta. Zaireen dan dia berkahwin dulupun setelah Zaireen memerangkap, mengajak Syafiq balik ke rumah dan ayah Zaireen, Encik Marzuki telah meminta Syafiq membawa kaum keluarganya melamar secepat mungkin. Waktu itu Syafiq belum bersedia namun tidak mahu menjatuhkan air muka keluarga Zaireen, dia akur. Mereka berkahwin dan kini, melihat Syafiq yang kebingungan menangani perasaannya, Aiman berasa kasihan. Cinta hadir terlalu lewat dalam hidup sahabatnya ini.

Lalu dia menepuk bahu temannya,

“Lupakan perasaan indah kau ni, Fiq. Tak baik! Berdosa! Kau bakal ada anak baru! Isteri kau mesti kecewa kalau dia tahu. Aku rasa, baik kau hantar adik ipar kau balik ke rumah mak dia. Kau pun bukan tak mampu ambil maid, kan? Ambil maid, Fiq! Berpisahlah dengan dia sebelum perasaan kau jadi semakin parah. Sebelum dia balas cinta kau. Kasihan adik ipar kau tu! Jangan nanti perbuatan kau memutuskan silaturrahim dia dan kakaknya, Fiq! Berdosa kau!”
………………………….
5

“Tak, Reen tak setuju. Kenapa pulak nak hantar Mira balik di saat-saat Reen dah nak bersalin ni? Apa masalah abang? Reen tengok Mira tu nak dekat dengan abang pun dia tak berani. Abang asyik hendak menengking dia aje. Kenapa, bang? Apa yang tak kena dengan abang ni?” tanya Zaireen. Dia keliru dengan sikap suaminya. Dia tidak dapat memahami mengapa Syafiq berkelakuan pelik begini. Adiknya cuma Amira seorang dan bila sering Amira dimarahi, hatinya turut terguris.

Di dalam kamar tidur mereka, Syafiq kegelisahan. Permintaannya Zaireen enggan turutkan. Nak hantar Amira balik, tak boleh. Nak ambil orang gaji Indon, tak mahu. Ya, Allah, kenapa susah sangat Zireen hendak memahami dirinya? Kenapalah degil sesangat? Tidakkah dia faham yang aku sedang cuba melawan perasaan ini? Tidakkah dia tahu yang aku cuba menyelamatkan rumah tangga kami? Tidak bolehkah Zaireen menebak hatinya?

“Abang nak turun, nak minum air.”

Tanpa menanti jawapan Zaireen, dia terus meninggalkan isterinya. Dia ingin ke dapur, membuka peti sejuk dan mengambil jus oren ‘peel fresh’ yang ada di situ. Demi menyejukkan diri. Demi menenangkan fikiran. Malangnya, di pintu dapur, kaki terhenti melangkah. Sepasang mata terarah kepada sosok adik ipar yang sedang mengemas pinggan mangkuk. Gadis itu sedang mengelap dan ingin menyimpan semua ke dalam almari.

Tubuh tegapnya disandarkan ke jenang pintu bagi memerhati pergerakan gadis itu. Amira masih tidak menyedari kehadirannya. Dia tahu, kalau Amira sedar pastilah gadis itu akan terus pergi meninggalkan dirinya di situ.

Nafas dihela perlahan dan dilepaskan. Syafiq segera bergerak dan duduk di kerusi. Inilah peluang untuk dia meluahkan. Dia yakin, Amira akan memahami hatinya. Dia yakin, Amira akan menurut kemahuannya. Dia yakin Amira akan mengerti.

“Tuangkan air oren untuk abang segelas, Mira.” Pintanya.

Amira berkalih. ‘Bilalah pakcik ni masuk ke dapur?’ tanya dia dalam hati.

“Air!” tegas Syafiq bila Amira masih tidak bergerak.

Amira segera membuka pintu peti sejuk, menuangkan air oren ke dalam gelas dan meletakkannya di hadapan Syafiq. Semuanya dilakukan dengan cepat sebab dia ingin segera keluar dari situ.

“Duduk!”

Amira mengerutkan dahi bila Syafiq mengeluarkan arahan sekeras itu.

“Duduk!” Kali ini suara Syafiq kendurkan.

Amira akur. Dia duduk di atas kerusi bertentangan dengan abang iparnya. Dadanya berdegup kencang. Hatinya beralun lunak. Dia tidak tahu mengapa setiap kali bersama Syafiq, dia jadi begini. Lidahnya kelu, dan bila Syafiq memandangnya, debaran dalam dada begitu kuat. Perasaan apakah ini?

“Abang nak minta tolong dari Mira. Abang nak Mira cakap dengan Kak Reen yang Mira nak balik kampung. Berilah apa-apa alasan yang Mira fikirkan logik, asal kak Reen setuju. Abang nak, Mira tinggalkan rumah abang ni.” Syafiq meminta dalam keterpaksaan. Hati amat sedih melihat pandangan sayu Amira namun dia harus tegas. Demi kebahagiaan Zaireen. Demi…

“Boleh Mira tahu kenapa abang benci sangat pada Mira? Apa salah Mira pada abang?” Setelah lama berdiam, Amira bertanya soalan yang sudah lama ingin diketahui jawapannya.

Syafiq tunduk. Sayu hatinya mendengar soalan itu. Sedih memikirkan orang yang dicintai menuduh dirinya membenci. Tapi,

“Cakaplah, bang. Beritahu Mira, kenapa abang bencikan Mira. Mira nak tahu!” Pinta Amira bersungguh.

Lama Syafiq diam, lama dia tidak menyahut. Namun bila dia mendongak, Amira tersentak. Wajah sedih itu meruntun naluri keperempuanannya. Tidak pernah dia melihat Syafik begitu.

“Abang harap Mira tak marah kalau abang cakap.”

Amira semakin keliru.

“Abang sayangkan Mira. Abang dah jatuh hati pada Mira. Abang tahu semua ini salah, tapi abang tak mampu menolak. Abang….”

Amira bangun dalam keadaan terketar sehingga kerusi makan itu terjatuh. Wajahnya pucat. Keterkejutannya nyata dan jelas. Rasa tidak percaya terpampang.

“Abang cakap apa ni? Tarik balik, bang! Abang dah gila! Macam mana kalau kak Reen dengar? Hah?” marahnya.

“Abang sedang lawan perasaan ni, Mira. Sebab itu, Mira kena balik kampung. Mira mesti jauhkan diri dari abang. Selagi Mira ada di sini, abang tak boleh hilangkan, tak boleh lenyapkan apa yang abang rasa. Abang tak mampu menolak rasa cinta ni. Mira faham tak?”

Di sebalik dinding, Zaireen yang resah menanti suami naik ke bilik tidur mereka, terpana. Pengakuan berani mati suami menghiris hancur sekeping hatinya.

Jadi itulah sebabnya, hati mendesah. Sedihnya dia, hanya Allah yang tahu.

Bagaimana semuanya bermula? Amira baru saja dua bulan bersama mereka. Mengapa sebegitu cepat cinta hadir di hati. Sedangkan dia? Dia isteri Syafiq namun Syafiq belum pernah melafazkan kalimah itu. Bertahun mereka berkawan, sehinggalah kini, sudah dikurniakan anak, dia tidak pernah mendengarnya.

Sampai hati Syafiq. Sampai hati Amira, fikirnya.

Zaireen melangkah menaiki tangga. Dia ingin ke bilik, membawa hati yang kecewa. Namun, tetiba, ketika di anak tangga ke sepuluh, pandangan mata jadi berpinar. Dia tahu bahawa ketika itu, penyakit darah tingginya menyerang. Dan, pegangan terlepas. Dia jatuh!

Masing-masing tersentak bila mendengar bunyi sesuatu terjatuh. Syafiq dan Amira berlari keluar. Dan, demi melihat Zaireen yang sudah berlumuran darah, masing-masing menjerit,

“Reen!”

“Kak Reen!”
……………………………..
akhir

Si ibu memerhati gelagat si anak yang masih menangis sambil melihat gambar-gambar yang terdapat di dalam album, album yang sudah berusia hampir 15 tahun. Dia faham mengapa anaknya itu bersedih. Malah dia tahu, bahawa sehingga kini, Amira masih lagi dihantui rasa bersalah terhadap kakaknya.
……………………………………..
Amira ketika itu sedang teringatkan kenangan lama yang tidak pernah mahu meninggalkannya. Saat Zaireen jatuh tangga dan mereka berusaha membawanya ke hospital. Di hospital, doktor memberitahu Syafiq bahawa isterinya perlu dibedah. Selepas hampir 3 jam, doktor menggendong bayi lelaki yang comel dan menunjukkannya kepada Syafiq. Amira yang duduk tidak jauh dari situ membiarkan Bazli dan Asilah berlari melihat adik mereka. Dia kemudian mendengar suara sayu Syafiq mengalunkan azan dan iqamah.

Doktor kemudian berbisik-bisik dengan abang iparnya. Dia hanya memerhati, kebimbangan mengatasi segala.

“Isteri Encik Syafiq lumpuh dari paras pinggang ke bawah. Maafkan kami kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuknya.”

Amira tersentak. Syafiq tergamam. Berita yang doktor bawa itu sangat-sangat memeranjatkan mereka. Syafiq kemudian meminta izin doktor membawa masuk anak-anak untuk melihat keadaan isterinya. Amira ditinggalkan sendirian di luar.

Setelah agak lama menanti, dia ingin menjenguk ke wad kelas 1 yang diduduki kakaknya. Ketika ingin membuka pintu, dia mendengar suara lemah Zaireen merayu Syafiq….
“Jangan tinggalkan Reen, abang. Maafkan Reen jadi lumpuh begini, tapi ini bukan kehendak Reen. Jangan pergi! Reen tak mahu kehilangan abang. Reen tak sanggup berpisah dengan abang. Pleaseee….”

Amira mengelap sepasang mata yang basah. Dia tahu apa yang harus dibuat tika itu. Dia harus menunaikan permintaan abang iparnya. Kalau sebelum itu dia teragak-agak, kini dia sudah pasti, itulah jalan terbaik yang harus diambil. Baginya, Syafiq harus bertanggungjawab terhadap Zaireen. Kalau tidak kerana pengakuannya, Zaireen tentu tidak akan jatuh dan menjadi lumpuh!
………………………
“Semua yang terjadi dah ketentuan Allah! Tak baik Mira salahkan Syafiq. Lagipun Mira, kalaulah betul Syafiq bersalah, dia dah tebus kesalahannya, nak. Bertahun dia menjaga kakak Mira yang lumpuh. Mana dengan anak-anak, kerja lagi, semuanya dia buat sorang-sorang. Tak pernah mak tengok dia mengeluh. Tak pernah mak dengar dia merungut. Mahal harga yang terpaksa dia bayar untuk menebus kesalahannya yang jatuh cinta pada kamu.”

Amira merenung sayu seraut wajah ibunya. Sesungguhnya, tiada rahsia yang disembunyikan. Kata ibunya, Syafiq mengaku kesalahannya lama dulu. Melalui ibunya, Syafiq juga telah meminta maaf kepadanya.

Mereka tidak pernah bertemu selepas Amira meninggalkan rumah itu. Sementelahan pula, Amira mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPMnya. Selepas setahun mengikuti kelas persediaan, Amira kemudian terbang ke Ireland, menyambung pelajaran di School of Medicine and Medical Science, University College Dublin. 3 tahun dia belajar ‘pre clinical programme’ diikuti 2 tahun berkhidmat di St Vincent’s University Hospital sebelum dianugerahi Ijazah di bidang surgeri.

Amira tidak pulang ke Malaysia selepas itu. Dia memohon untuk terus berkhidmat di hospital berkenaan. Semasa di sana, dia menerima berita kematian kakaknya 3 tahun lepas dan diikuti berita kematian ayahnya, tidak lama kemudian. Dia enggan pulang. Dia boleh pulang kalau dia mahu tetapi hanya bila emaknya menangis di talian telefon, barulah hatinya lembut.

Ya, kini, dia sedang bercuti sementara menunggu untuk memulakan tugas sebagai doktor di Hospital Putrajaya dalam tempoh sebulan lagi. Emak yang beria-ia mahukan dia bekerja di sana. Kata ibunya, dia sudah biasa dengan kesibukan kota, bimbang nanti Amira tidak betah duduk di kampung dengannya.

Amira akur. Dia tahu, apa juga yang dia lakukan mendapat restu ibunya.

Dahi Amira berkerut bila dia mendengar deru enjin kereta memasuki halaman rumah. Entah mengapa, dadanya berdegup kencang. Dia bagaikan tahu siapa yang datang.

“Pergilah tengok. Diorang rindukan kamu.”

Amira menoleh ke arah ibunya. “Diorang?” tanya dia.

“Anak-anak saudara kamu, Mira. Si Bazli dengan si Asilah. Tu, si kecil, Naim pun kamu tak pernah kenal. Pergilah sambut. Mereka tu dah tak sabar-sabar nak jumpa kamu.”

Amira segera melangkah ke muka pintu. Di halaman, kereta Mercedes ML 350 sedang tersadai megah. Perlahan-lahan Amira menuruni anak tangga. Dia menanti mereka yang berada di dalam kereta itu keluar menemuinya.

Seorang gadis sunti yang mula-mula menghadiahkan senyuman untuknya. Ayu dan anggun berbaju kurung. Kini, gadis itu melangkah penuh sopan ke arahnya.

“Maksu…”

Amira tidak dapat menahan sebak. 10 tahun jarak waktu memisahkan, tidak membenarkan dia melihat Asilah membesar di hadapan matanya. Kini, penuh sopan gadis itu mengucup tangannya.

“Asilah? Dah besar dah anak saudara maksu.” Bisiknya sambil memeluk gadis itu erat-erat.

“Ali pun dah besar maksu.”

Entah bila Bazli menghampiri mereka. Terlontar tawa dari bibir Amira. Air mata segera diseka.

“Ya, memang pun! Tingginya kamu, Ali. Dah macam anak teruna.”

Bunyi suara garau ketawa membuatkan semua merenung ke arah itu. Bazli dan Asilah saling berpandangan kerana buat pertama kali selepas sekian lama, mereka mendengar ayah mereka ketawa. Walau seketika, wajah ceria itu membahagiakan mereka.

Amira dan Syafiq berbalas renungan. Ada rindu yang sudah terbebat. Ada rasa kembali menghias. Ada senyum yang kembali terukir. Ada hati dimekari jambangan indah.

“How are you?” Syafiq bertanya lembut.

Amira tidak menjawab. Dia sebaliknya tunduk lalu menghulurkan tangan kanannya kepada si kecil yang malu-malu, yang berdiri di sisi ayahnya.

“Salam. Ini maksu. Nama maksu, Amira. Maksu tahu nama sayang, Mohamad Naim, kan? Boleh kita kenal?”

Lama Naim diam dan membiarkan tangan Amira tidak bersambut. Amira mengerti, Naim masih malu-malu dengannya. Untuk mendekati anak kecil itu, dia harus bersabar. Dia lantas berdiri.

“Jom naik. Patutlah nenek masak banyak hari ini, rupa-rupanya ada orang jauh nak sampai. Mari!”

Ketika dia ingin melangkah, tangannya dicapai dan jemari halus Naim menggenggam erat. Air mata menitis laju. Amira lantas menyambar tubuh kecil itu lalu memeluk dengan erat. Pipi diciumi dengan penuh kasih sayang. Saat itu dia melepaskan sepenuh kerinduannya.

Syafiq menarik nafas lega. Perasaan takut dan resah, bimbangkan penerimaan Amira terhadap diri dan keluarga, tiada lagi. Melihat gadis itu yang kini kelihatan cukup matang dan dewasa, mengembalikan nostalgia lama. Bunga-bunga cinta yang disangkakan sudah layu dan berkubur, kini kembali segar di hati. Soalannya, mahukah Amira menerima cintanya?
………………………….

Malam sudah larut. Masing-masing kini berada di hadapan TV. Menonton berita larut malam di TV3. Naim kini sedang terbaring di atas toto. Lenanya dia. Wajah mulus itu comel sungguh di dalam tidurnya. Asilah dan Bazli begitu setia dengan nenek mereka. Entah apa yang diceritakan oleh ibunya, Amira tidak tahu. Namun kedua-duanya begitu ralit mendengar.

Syafiq menghampiri dan kini duduk di sebelah Amira. Dahi gadis itu berkerut, bimbang ibunya menyedari namun lelaki itu selamba sahaja air wajahnya.

“Tadi, masa abang tanya Mira apa khabar, Mira tak jawab pun.”

Oh, rupa-rupanya itu yang ingin diketahui Syafiq. Ek eleh…

“Abang buta ke apa? Dah satu hari tengok Mira masih nak tanya soalan tu?” Dia berpura-pura marah. Entah mengapa, dia rasa ingin mengusik. Mendengar Asilah bercerita tentang keadaan papanya selama ini mengundang rasa kasihan. Dia cuba menceriakan lelaki itu.

Syafiq tersenyum. “Ada rindukan sesiapa tak?” tanya dia lagi.

Amira membalas senyuman itu. “Kalau ada?”

Syafiq mendengus tiba-tiba. Marah dan kecewa jelas kelihatan. Namun dia tidak bersuara. Merajuk agaknya.

“Rindu memang ada, tapi yang kesiannya, kan, Mira tak tahu siapa yang paling Mira rindu, tau. Nak kata rindukan anak, teringat bapak. Nak kata rindukan bapak teringat anak. This feeling kan bang, sangat komplikated. Makin nak lari, makin kaki jadi lemah. Tak boleh melangkah. Ingatkan bila berjauhan, boleh melupakan. Ditambah dengan rasa bersalah pada arwah kak Reen, Mira sungguh mahu membenci abang. Cuba bercinta dengan lelaki-lelaki lain, tapi Mira tak boleh hilangkan perasaan ini.”Wajah Syafiq ditatap dengan suatu renungan lembut memukau.

“Abanglah yang salah! Orang kecik lagi dah abang ajar bercinta, inilah padahnya.” Amira berbisik, hanya untuk pendengaran Mohd Syafiq yang begitu tekun memasang telinga.

Syafiq segera mencapai tangan Amira, digenggam dan dibawa ke bibir. Dia mengucup setiap jari, diiringi titis manik halus di pipi.

“Abang cintakan Mira. Percayalah, abang bahagia menjadi suami Zaireen Diyana tetapi adik dia, Amira Diyana, membahagiakan abang dengan pengakuan tulus tadi. Abang fikir, selama ini, Mira membenci abang sampaikan Mira tak mahu balik ke sini. Abang redha kerana itu kesalahan abang. Tapi, Allah masih kasihankan abang, kan Mira?”

Amira hanya mmapu mengangguk.

“Eh hmm, ayah! Ayah cakap, ayah nak lamar maksu depan kitorang. Cepatlah cakap! And, tangan tu, lepaslah! Belum kahwin tak boleh pegang, kan?” Bazli mengusik.

Amira terkesima. Rupa-rupanya, perasaan ayah dikongsi bersama-sama anak-anaknya. Entah apalah keistimewaan dirinya sehinggakan dia mendapat peluang untuk dicintai dan menyintai lelaki yang kini sudah berusia 37 tahun itu. Masih segak dan tampan tetapi yang penting masih setia menunggunya.

Syafiq berlutut di hadapan Amira, menghulurkan sebentuk cincin belah rotan kepadanya.

“Amira Diyana binti Marzuki, sudikah menerima abang, duda anak 3 ni menjadi suami? Abang tak pandai bercakap belit-belit dan berbunga-bunga tapi di hadapan saksi-saksi kita ni semua, emak, Bazli, Asilah, Naim, abang ingin mendengar jawapan Mira. Kalau sudi katakan sudi, sudah lama ternanti-nanti.”

Amira memerhati setiap wajah. Penuh pengharapan, menanti dalam debaran. Amira tahu, dia tidak perlu bersuara. Hanya anggukan. Ya, sebaik sahaja dia mengangguk, dirinya didakap erat. Hisy, bukan Syafiqlah! Alisah dan Bazli. Kedua-duanya mendakap tubuh Amira erat-erat.

“Welcome home, mummy. Welcome home!”

Alangkah bahagianya. Ketika mengintai Syafiq, lelaki itu sedang mengelap mata. Hisy, tak boleh blah mamat ni, fikirnya. Sentimental betul. Hmm!
………………………….
harap anda suka




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

69 ulasan untuk “Cerpen : Cinta terlarang”
  1. huhuu..suke3..
    comel..hehee

  2. ali says:

    rasa geli dan aneh plak
    bila dia tu kawin dgn abang ipar sendiri

  3. lontong says:

    YIAKKKKKSSSSSSS……..x ska gla……

  4. Kambing Hitam says:

    Fuhhhh x boleh blah citer. Mungkin logic jer(pernah jd kt saudara mara aku). Tapi kalau aku bayangkan aku kat tempat diorang, laju laju aku tarik2 telinga aku. x sanggup nak teruskan bayangan aku tuh.

    Abang ipar mcm abang sendiri kot (bg aku la) walaupun dah jd title ‘bekas’ abg ipar. kalau apa yg aku rasa sekarang, mmg x boleh la nk kawen ngan bekas abg ipar. mintak simpang!

  5. Annur Asha says:

    Sokong Ali! hahahaha KAN?!

  6. julieyat says:

    kalau saya jadi zareen pun sya akn kcwa sgt-ii
    xpa kalau suka pompuan lain,, nie adik ipar sndri .. fuhyooo daebak

  7. jep says:

    terkena diri sendiri..memang perasan jatuh cinta kepada adik ipar teramat sakit hati memendam rasa..cinta kepada kembar kedua adalah amat perit untuk dilalui.sifat tamak untuk memiliki kedua dua kembar…mujur isteriku memahami dan aku mengambil jalan supaya perasaan ini dapat dihapuskan walaupun hati ini merasa teramat sakit…terima kasih isteri kerana memahami..

  8. khairiah khaizu says:

    best citer nie tapi tak suka knapa jatuh hati pd adik ipar uwekkkkkk!!!!!

  9. humayra says:

    Sbb tu adq ipa n abg ipa x bole duk sebumbung bahaya!,

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"