Novel : Aku Yang Kau Tinggalkan 10

5 October 2010  
Kategori: Novel

10,667 bacaan 15 ulasan

Oleh : Alina Haizar Anuar

Bab 10

“Abang, bangunlah abang, Pergi mandi, lepas tu kita boleh makan sekali.” Pujuk Nia. Zaril masih lagi berselimut. Melihat Zaril Ikhwan tidak bergerak langsung, Nia mengoncang-goncang badannya perlahan-lahan.

“Abang Zaril, bangunlah.” Lantas Nia naik ke atas katil dan duduk di sebelah Zaril Ikhwan. Dia mengoncang-goncang bahu Zaril Ikhwan, ingin mengejutkan suaminya. Kenapa hari ini Zaril Ikhwan tidak mahu bangun? Apa sebabnya pulak hari ini? Memang Zaril Ikhwan selalu buat begini. Ada sahaja alasannya setiap kali dia tidak ada mood untuk bangun pagi. Tetapi mereka semua tidak boleh biar sahaja Zaril Ikhwan buat kehendak hatinya. Kadang-kala Nia kena pujuk dia perlahan-lahan, baru dia mahu menurut kata Nia. Nia tahu dia harus banyak bersabar. Semenjak dia balik dari rumah emak tempoh hari, Nia sedikit demi sedikit belajar menyesuaikan dirinya. Dia juga mengikhlaskan dirinya untuk menjaga suaminya. Nia kena cuba memahami kehendak suaminya itu. Zaril Ikhwan juga nampaknya cuba bersungguh-sungguh mengawal dirinya dari mengamok, seperti yang dia lakukan pada Nia tempoh hari. Lama kelamaan Nia menjadi biasa dengan rutin hariannya. Tugasnya setiap hari ialah mengejutkan Zaril Ikhwan pagi-pagi, menyuruh dia mandi, selepas itu menyediakan pakaiannya. Mereka kemudiannya bersarapan bersama Puan Zainun, kemudian Nia memberikan Zaril Ikhwan makan ubat. Selepas itu Nia membasuh dan menjemur pakaian. Setelah itu mengemas rumah dan menolong Neng di dapur untuk menyediakan makan tenghari. Bila selesai makan tenghari, Nia sekali lagi memberi Zaril Ikhwan makan ubat, kemudian dia akan menemani Zaril Ikhwan tidur. Waktu ini yang Nia amat hargai kerana sementara dia menemani suaminya berehat, Nia boleh menghabiskan masanya dengan membaca buku-buku yang banyak terdapat di rak buku yang terletak di dalam biliknya itu.

Hampir pukul lima petang, baru Zaril Ikhwan bangun, Nia selalunya sudah selesai sembahyang asar, mereka akan minum petang bersama Puan Zainun dan mengambil angin petang sambil menunggu waktu maghrib tiba. Itu rutin mereka seharian, bila mood Zaril Ikhwan baik. Kalau tidak baik macam hari ini, Nia kena banyak memujuk suaminya, baru dia akan mengikut kata Nia.

“Tak hendak.” Perlahan sahaja suara Zaril Ikhwan. Perhatian Nia kembali pada suaminya. Walaupun selalu bersama, tidak banyak perkataan yang Zaril Ikhwan akan ucapkan pada Nia.

Nia mendekatkan dirinya ada Zaril Ikhwan, menundukkan mukanya kepada muka Zaril Ikhwan, ingin menangkap apa yang Zaril katakan.

“Apa dia Bang? Kenapa abang tak mahu bangun.”Soal Nia dengan lembut. Nia memandang tepat pada wajah Zaril Ikhwan. Dia cuba memaksa Zaril Ikhwan memandang wajahnya juga. Suatu yang nyata begitu sukar buat Zaril Ikhwan lakukan.

“Abang, pandang muka Sayang.” Kata Nia sambil menunjukkan dua jari telunjuk dan jari hantunya ke matanya. Zaril Ikhwan cuba memandangnya tetapi tidak lama.

‘Tak mahu! Tak mahu! Keluar! Keluar!” Tiba-tiba Zaril Ikhwan menjerit-jerit sambil mengangkat tangannya menyuruh Nia keluar dari bilik itu. Puan Zainun dan Neng yang terdengar jeritan Zaril Ikhwan meluru masuk ke dalam bilik. Sudah lama Zaril Ikhwan tidak mengamuk.

“Abang! Abang Zaril, sabar bang, kenapa ni?” Kata Nia, dia tidak tahu kenapa suaminya tiba-tiba mengamuk. Nia telah berjanji akan cuba sedaya-upayanya untuk memahami suaminya. Dia mesti bersabar memujuk suaminya.

“Kenapa Nia, Zaril jerit-jerit ni.” Soal Puan Zainun sebaik sahaja mereka sampai di bilik tidur itu.

“Tak ada Wan, Abang Zaril ni, hari ini dia tak mahu bangun.” Kata Nia sambil tersenyum. Dia sedang duduk bersimpoh di atas katil disebelah Zaril Ikhwan yang sedang mengerikut. Nia kembali cuba memujuk Zaril Ikhwan, cuba memegang bahunya tetapi dengan secepat kilat Zaril Ikhwan menepis tanganya dan menolak tubuh Nia, Nia hilang keseimbangan dan terus jatuh, kepalanya terhantuk ke lantai.

“Ya Allah! Zaril, Apa yang Aril buat ni. Nia! Nia.” Puan Zainun dan Neng menerpa ke arah Nia yang terbaring di tepi katil. Dia kelihatan kebingungan akibat kepalanya yang terhantuk.

Zaril Ikhwan terus menjerit-jerit kesakitan, sambil memegang kepalanya. Dia nampak dalam kesakitan yang amat sangat.

“Sayang keluar! Keluar!” Jerit Zaril Ikhwan, kakinya menendang-nendang ke arah mereka. Salah satu tendangannya terkena kepala Nia yang sedang cuba menghampiri suaminya. Nia mengerang kesakitan.

Melihat Zaril Ikhwan makin menjadi agresif, Puan Zainun bertindak.

“Neng bawa Nia keluar.”

“Wan, tak pe Wan, biar Nia tunggu abang Zaril.” Kata Nia.

“Tak hendak .. Sayang.. Tak hendak Sayang… tak hendak tengok… Keluar! Keluar!” Jerit Zaril Ikhwan sekuat-kuat hatinya. Dia mula mencapai botol-botol ubat dan mencampak ke arah Nia dan Neng. Sebiji botol ubat terkena kepala Nia. Nia mengaduh kesakitan lagi. Hari ini sudah tiga kali dia terkena penangan suaminya.

“Mari Dik Nia, Mari kita keluar, nanti dia baiklah tu.”KataNeng sambil mengelak dari terkena balingan botol ubat dari Zaril Ikhwan.

Nia dan Neng keluar dari bilik, sambil menutup pintu. Terdengar suara Puan Zainun sedang bercakap-cakap dengan Zaril Ikhwan, nampaknya Puan Zainun berjaya memujuknya. Kerana tidak lama selepas itu, Zaril Ikhwan sudah tidak menjerit-jerit lagi. Neng membawa Nia duduk di sofa di ruang keluarga. Kemudian dia masuk ke dapur untuk meneruskan kerjanya.

Nia duduk termenung sendirian. Tanpa disedarinya air matanya mengalir. Kepalanya yang terantuk tadi terasa amat sakit. Matanya terasa berpinar-pinar. Sampai bila dia boleh tahan dibuat tempat suaminya melepaskaan marahnya begini? Tiba-tiba Nia rasa rindu kepada emak dan adik-adiknya. Ingin dia balik ke rumah, walaupun sekejap. Buat apa dia duduk di sini kalau suaminya tidak suka dengan dia. Nia ingat selama tiga bulan ini Zaril Ikhwan sudah dapat menerimanya. Tetapi nampaknya sangkaannya meleset sekali. . Apa agaknya yang salah pada diri Nia sampai dia tidak boleh pandang Nia? Sampai dia menghalau Nia keluar dari bilik itu. Nia sudah cuba bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri yang baik. Tetapi dia tidak tahu apa lagi yang dia boleh lakukan supaya Zaril Ikhwan suka dengan dia. Zaril Ikhwan hanya menganggap dia sebagai seorang pembantu di dalam rumah ini. Sanggupkah Nia hidup begini selama-lamanya? Hidup tanpa kasih sayang seorang suami. Masa begini mengingatkan Nia kepada Farid. Farid yang menyayanginya, yang ingin menyuntingnya sebagai suri dalam hidupnya. Nia tidak membalas surat Farid tempoh hari, tidak menelefon dan terus mendiamkan diri tanpa sebarang berita. Dia harap Farid tidak kecewa dalam penantiannya itu. Mungkin Nia patut memberitahu Farid yang antara mereka sudah tidak ada jodoh, supaya Farid tidak ternanti-nanti. Nia telah menerima takdir yang tersurat ke atas dirinya itu. Sebenarnya dia tidak menyesal mengahwini Zaril Ikhwan, dia telah banyak menyelesaikan masalah keluarganya dengan perkahwinan ini. Nia redha dengan itu jodohnya. Nia juga sedar yang mereka bukan suami isteri yang normal. Nia juga tidak mengharapkan mereka jadi suami isteri seperti orang lain.. Nia cuma berharap dia dapat hidup bersama Zaril Ikhwan dengan aman, Zaril Ikhwan dapat menerimanya sebagai temannya dan tidak membenci dirinya.

Sebentar kemudian Puan Zainun keluar dari bilik tidur Zaril dan Nia, dia menghampiri Nia.

“Zaril sudah tidur. Nia kenapa ni, Nia menangis ye?”

“Nia mengesatkan air matanya.

“Kenapa nangis, Kepala Nia sakit lagi ye.” Kasihan betul Puan Zainun melihat apa yang berlaku pada Nia tadi. Nia tidak menyangka Zaril akan tergamak menolaknya, lantas dia hilang kawalan dan terjatuh lagi. Puan Zainun tak hairan kalau Nia lari sahaja dari rumahnya itu. Siapa yang akan tahan hidup dalam keadaan begini. Nia masih muda, dia perlukan kasih sayang seorang suami, bukan ditolak-tolak sana sini macam bola, dicederai sesuka hati oleh suaminya.
“Wan, boleh tak Nia balik rumah emak sekejap? Sekejap saja. Malam nanti Nia balik sini balik. Kalau Nia duduk sini pun hari ni nampaknya abang Zaril tak mahu pandang muka Nia. Nia buat Abang Zaril makin marah. Kalau Nia ada di sini pun buat dia mengamuk aje.” Kata Nia.

Baiklah, Nia balik ke rumah emak hari ni. Nia pun sudah lama tak tengok emak. Kirim salam dengan emak Nia ye.” Kata Puan Zainun. Nia mengangguk kepalanya, bangun dan terus masuk ke biliknya dengan perlahan, untuk bersiap-siap untuk balik ke rumah emak.

******************************************************

Zaril dan Puan Zainun sedang duduk menikmati minum petang di bawah wakaf yang terletak di luar rumah. Doktor telah menasihatkan agar Zaril Ikhwan dibawa untuk berjalan-jalan di luar untuk menghirup udara segar. Kadang-kala dia boleh di ajak berjalan-jalan ke luar dengan senang. Tetapi kadang-kala dia kena dipaksa untuk berjalan-jalan ke luar. Hari ini ialah salah satu dari hari itu, hari yang menyukarkan buat mereka semua. Sudah beberapa bulan Zaril Ikhwan tidak buat perangai dan tidak mengamuk. Semenjak dia mengamuk dengan menolak Nia tempoh hari, dia berkelakuan baik dan nampaknya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengawal kemarahannya.

Pagi-pagi tadi dia mengalami sakit kepala yang teramat sangat. Penglihatannya menjadi kabur. Pendengarannya juga menjadi kurang jelas. Kalau boleh dia hendak duduk diam-diam dan hanya berbaring ditempat tidurnya. Isterinya seperti biasa mengejutkanya pagi-pagi lagi, mengajak dia ke bilik air dan membersihkan dirinya. Tetapi Zaril Ikhwan tidak mampu untuk mengikuti kehendaknya. Ingin dia memberitahu `Sayang’ yang dia tidak mampu hendak bergerak pun. Ingin dia katakan pada Sayang, kepalanya sakit, bagai hendak pecah tetapi dia perkataan yang hendak katakan tidak dapat di bentuk dalam otaknya untuk dikeluarkan dari mulutnya. Itulah membuat Zaril rasa kecewa, banyak perkara yang dia hendak luahkan, hanya terperangkap dalam otaknya. Banyak isi hatinya yang hendak di sampaikan tetapi perkataan tidak dapat dibentuk dan disusun dalam bentuk ayat untuk dikeluarkan dari mulutnya. Apa yang dia hendak katakan tidak dapat disampaikan dalam bentuk yang difahami oleh orang lain. Kegagalan ini membuat dia rasa kecewa dan naik marah. Yang paling menyedihkannya ialah Sayang sering kali menjadi mangsa kemarahannya. Padahal dia mengambil berat tentang Sayang. Dia tidak mahu menyakiti Sayang.
Pertama kali Sayang datang bertemu Zaril telah menimbulkan satu perasaan aneh dalam dirinya. Wajah Sayang yang bersih tanpa sebarang mekap, begitu menarik pada Zaril. Bentuk wajahnya yang bujur, hidungnya yang terletak, matanya bulat dan bibirnya yang kemerah-merahannya membuat Zaril terpikat kepadanya. Zaril tidak sangka gadis manis seperti Sayang hendak berkahwin dengan orang seperti dia. Zaril sekarang bukan macam Zaril yang dahulu. Mukanya yang dahulunya kacak dan tampan kini berparut hodoh. Dia sudah tidak boleh membaca satu patah perkataan pun. Dia sudah jadi bodoh. Itu yang ibunya katakan tentang dirinya.

“Zaril sudah jadi bodoh!”

Alangkah sedihnya hati Zaril Ikhwan mendengar ibunya sendiri menghinanya. Manakala Zainal Azman hanya ketawa sahaja mendengar kata-kata ibunya itu.

Pada hari perkahwinannya, sebelum ibu pulang, ibu telah memberitahu Zaril bahawa tidak ada orang yang hendak kawin dengan orang bodoh macam Zaril, kecuali sebab wang. Zainal Azman ketawakan Zaril Ikhwan sekali lagi. Ketika itu baru Zaril sedar yang Sayang kawin dengannya kerana wang yang Wan sogokkan. Buat Zaril rasa terhina. Kalau dia tahu dia tidak akan setuju dengan perkahwinan ini.

“Gadis jenis apa yang sanggup berkahwin dengan orang hodoh dan bodoh seperti Zaril kalau bukan kerana wang? Kalau bukan seorang mata duitan! Zaril bukannya lelaki sempurna lagi.” Begitulah kata-kata ibunya kepada Zaril Ikhwan.

Apabila Nia melari-larikan dirinya pada malam pertama mereka berkahwin, baru dia sedar yang apa yang ibunya katakan itu benar belaka. Zaril begitu marah bila mendapati kata-kata ibunya itu benar belaka. Zaril tidak tahu bagaimana hendak luahkan perasaan marah dan rasa terhinanya itu dengan kata-kata. Dia tunjukkan dengan perbuatannya. Kemarahannya di tujukan kepada Sayang. Dia tidak benarkan Sayang tidur bersama dia. Zaril tidak benarkan Sayang dekati dirinya. Zaril cuba buat hidup Sayang sesengsara mungkin.
Dia telah melampaui batas apabila dia mendera dan menghalau Sayang dari rumah tempoh hari. Apabila dia sedari Sayang sudah tiada di rumah, Zaril begitu menyesali perbuatannya. Dia tahu dia perlukan Sayang dalam hidupnya. Semalam malaman Zaril tidak dapat tidur. Dia mencari Sayang di merata ceruk. Wan kata Sayang balik ke rumah emaknya. Ingin dia keluar ke sana menjemput Sayang pulang. Ingin dia memohon maaf dari Sayang. Tetapi dia tidak berdaya untuk berbuat demikian. Dia bukan Zaril macam dulu, dia tidak boleh memandu kereta, dia sudah hilang daya orientasinya. Dia tidak tahu ke mana dia harus tuju. Dia hanya boleh menunggu Sayang pulang ke pangkuannya. Apabila Sayang masih tidak pulang sehingga malam pada hari kedua, Zaril rasa Sayang telah meninggalkannya. Sayang tidak tahan didera oleh Zaril. Dia begitu menyesal. Dalam kedaifannya itu dia berdoa kepada tuhan, agar Sayang dikembalikan ke pangkuannya. Alangkah gembiranya dan bersyukornya Zaril bila dilihatnya Sayang tiba-tiba terpacul di biliknya. Sayang masih lagi sanggup balik kepadanya walaupun dia sudah buat macam-macam perkara yang menyakiti Sayang secara mental dan fizikal.

Banyak perkara yang ingin dikatakan kepada Sayang, tetapi perkataan-perkataan itu tidak dapat dibentuk dalam otaknya. Membuat dia kecewa. Zaril ingin mengatakan terima kasih kepada Sayang yang susah payah menjaga saban hari, tetapi dia tidak berupaya menyuarakannya. Zaril ingin memberitahu Sayang, betapa lega setiap pagi apabila dia bangun, wajah Sayang yang ayu memberikan senyuman manis kepadanya. Membuat dia bangun juga walaupun kadang-kala dia terlalu sakit untuk bergerak. Dia hanya ingin membuat Sayang gembira dan bangga dengan dia. Sudah lima bulan Sayang menjadi isterinya, Zaril tahu dia sangat perlukan Sayang dalam hidupnya. Tetapi bolehkah Sayang bahagia hidup di sampingnya. Dia bukan lelaki sempurna seperti dahulu. Benar kata ibunya.

Dahulunya Zaril Ikhwan seorang lelaki tampan dan kacak, yang sangat pintar otaknya. Jadi buruan gadis. Punyai seorang teman wanita yang cantik bergaya. Kini dia hanya seperti sayur yang lembik, tidak bermaya. Dia terperangkap dalam dirinya sendiri. Perasaan dan fikirannya terperangkap, tidak dapat dikeluarkan dan diluahkan. Semua orang tidak dapat memahaminya, Apakah ini hukuman tuhan terhadap dirinya. Dahulu dia begitu bangga dengan apa yang ada pada dirinya. Dia tidak ubah seperti ibu dan adiknya Zainal Azman, selalu memandang hina pada orang yang tidak bernasib baik dari mereka.
Apabila dia sudah jadi begini, semua yang dahulu sering mendampingi telah meninggalkannya. Malah mereka sudah merancang hendak menghantarnya ke rumah jagaan orang kurang upaya di Ipoh. Zaril tahu semua itu. Bukan dia tidak tahu tetapi dia tidak mampu meluahkan perasaan hatinya. Temannya yang merupakan bakal tunangannya pun meninggalkannya. Ironinya, Zaril tidak ingat siapa namanya. Zaril Ikhwan sudah tidak punya apa-apa kecuali Wan yang menyelamatkannya dari di hantar ke rumah Jagaan dan kini dia ada Sayang.

Ingin dia memeluk Sayang kuat-kuat supaya Sayang tidak pergi dari hidupnya, tetapi kadang-kala dalam masa itu juga, tanpa dia sedari dia melukai Sayang. Hari ini Zaril panik kerana matanya kabur dan pendengarannya kurang. Dia takut dia tidak akan dapat memandang wajah Sayang yang ayu selepas ini. Dia juga takut dia tidak dapat mendengar suara Sayang lagi, yang begitu merdu pada dirinya, menyejukkan hatinya yang kesunyian. Dalam kekalutan dan kesakitan yang dia alami, sekali lagi dia telah menyakiti Sayang, dia menolak Sayang sehingga jatuh ke bawah katil. Ingin Zaril memohon maaf, memeluk Sayang, mengosok kepalanyanya yang sakit. Tetapi dia tidak mampu. Dia terlalu menderita kesakitan. Dia tidak boleh luahkan apa yang hendak dia katakan. Ketika itu Zaril rasa lebih baik dia bebaskan Sayang dari penjara dunia ini. Isterinya yang sudah 5 bulan dikahwininya, kini masih dara lagi. Dia di sini bukan untuk menjadi isteri tetapi menjadi hamba pada Zaril yang tidak mampu menjadi suami. Penderitaan Sayang membuat dia rasa tertekan kerana dialah punca kesengsaraan Sayang. Dalam beberapa patah perkataan yang mampu dia luahkan, Zaril menyuruh Sayang pergi. Zaril mahu Sayang pergi dan hidup bahagia di samping seorang lelaki yang mampu memberikan kebahagian kepadanya.

Apabila Zaril bangun tengahari tadi, sakit kepalanya sudah hilang, dia dapati Sayang sudah tiada. Hanya Wan dan Kak Neng yang ada di rumah itu. Hatinya nya rasa bagai dihiris-hiris sembilu tajam. Sayang tidak tahan juga akhirnya, dia telah meninggalkan Zaril. Zaril tidak sanggup bertanya dengan Wan tentang Sayang. Dia takut dia akan kecewa jika Wan kata Sayang sudah meninggalkannya. Memang patut pun Sayang pergi, dia sudah banyak menyakitkan hati Sayang. Dia bukan suami yang sesuai untuk Sayang. Dia tidak sesuai untuk sesiapa pun. Dia harus bersedia dengan kenyataan bahawa dia ditakdirkan untuk hidup sendirian. Semua orang yang dia sayangi telah tinggalkannya.
“Minum Aril, nanti sejuk air teh tu. Makan pisang goreng tu. Sedap tau.” Pujuk Puan Zainun. Sejak bangun tenghari tadi, Zaril Ikhwan nampak sugul tetapi dia tidak bertanya pasal Sayang. Puan Zainun pun tidak mahu menimbulkan kegelisahan Zaril Ikhwan dengan menyebut tentang Sayang di hadapannya. Kenapa Zaril Ikhwan begitu marah dengan Nia? Padahal Puan Zainun sebagai seorang tua dan seorang yang mengenali Zaril Ikhwan tahu yang Zaril Ikhwan sayang dengan Nia. Walaupun Nia tidak perasaan, adakalanya Zaril Ikhwan mencuri-curi memandangnya, apabila Nia memandang ke arah Zaril Ikhwan, dia memandang ke arah dinding.

Puan Zainun juga hendak Zaril Ikhwan belajar mengawal kemarahannya, dia biarkan Zaril Ikhwan tertanya-tanya pasal Nia. Biar dia ingat Nia sudah lari, lain kali baru dia rasa serik hendak membuat Nia sesuka hatinya.

Tidak lama selepas itu Zaril Ikhwan minta diri untuk masuk ke dalam rumah dan dia mengurung dirinya dalam bilik tidurnya. Zaril Ikhwan tidak keluar dari biliknya, tidak mahu makan malam dan asyik bermurung di dalam bilik. Puan Zainun membiarkan sahaja Zaril Ikhwan bermurung, Dia cuma berharap Nia akan menepati kata-katanya dan balik pada malam ini. Kalau Nia enggan balik ke pangkuan Zaril Ikhwan, Puan Zainun tidak akan hairan kenapa? Tapi dia harap Nia akan balik ke pangkuan Zaril. Zaril Ikhwan terlalu memerlukan Nia dalam hidupnya.

***************************************

Lewat malam baru Nia pulang. Dia agak terlewat balik malam ini kerana banyak perkara yang hendak dibincangkan dengan Ani dan emak. Tidak puas rasanya dia menghabiskan masa dengan keluarga. Emak sudah kelihatan sihat. Selepas pembedahannya yang dijalaninya, wajahnya kian segar. Sekarang ini emak tidak perlu bekerja keras lagi. Ani dan Sazali yang sudah dinikahkan, kini tinggal bersama emak. Mereka menjaga emak dengan baik. Mereka nampak sungguh bahagia. Sebagai seorang isteri, Ani kelihatan begitu cantik dan berseri sekali. Begitulah rupanya seorang isteri yang mendapat kasih sayang suami tercinta. Bukan macam Nia, yang semakin hari semakin cengkung dan layu.

Oleh kerana malam sudah lewat, hampir pukul dua belas, Sazali dan Ani telah menghantar Nia pulang dengan lori Pak Deris. Sazali sekarang ini membuat balik kerja-kerja lamanya itu, menjadi peraih hasil-hasil tani penduduk kampong untuk di jual di pasar Tani.

Nia masuk ke dalam bilik tidur dengan perlahan. Menurut Kak Neng yang tolong bukakan pintu untuk Nia, Zaril Ikhwan telah lama tidur. Dia masuk tidur awal-awal tadi.

Seperti biasa bilik tidur mereka begitu dingin dan malap. Kali ini peti televisyen tidak di pasang. Nia segera masuk ke bilik air, membersihkan dirinya dan menukar pakaiannya. Dia berjengket-jengket mengambil bantalnya untuk tidur di kerusi sofa. Di tengah-tengah katil, kelihatan suaminya sudah tidur, berselimut hingga tidak nampak kepalanya.

Nia merebahkan badannya hendak tidur. Dia sudah agak mengantuk kerana malam sudah larut. Dia tidur mengiring memandang suaminya yang sedang tidur lena. Dia teringatkan Ani dan Sazali, walaupun mereka tidak banyak wang tetapi hidup mereka bahagia. Kadang-kala Nia ternampak mereka saling jelling-menjeling antara satu sama lain, bercakap dalam bahasa cinta yang hanya mereka yang tahu sekali sekala, ketika mereka rasa orang lain tidak perasan, jari mereka saling bersentuhan. Nia rasa cemburu melihat kemesraan mereka. Walaupun hidupnya mewah di rumah yang besar ini, Nia tidak dapat merasa kasih sayang seorang suami. Dia merasa begitu kesunyian. Apakah nasib yang menimpa dirinya? Suaminya tidak suka kepadanya. Apakah kekurangan yang ketara sangat pada dirinya? Nia akui dia tidak cantik macam Ani. Badannya kurus cengkung, tidak mempunyai potongan yang menarik. Bukankah Puan Hanida sudah memberitahunya kalau Zaril Ikhwan tidak sakit, perempuan macam Nia ini dia tak akan pandang. Nampaknya tidak perlu tunggu Zaril sihat pun, dalam sakit-sakit begini pun, Nia tidak dipandangnya. Kurang sangat ke dirinya ini? Nia terasa cukup rendah diri. Air matanya mengalir perlahan-lahan membasahi pipinya. Nia cuma berdoa agar dia dapat tabahkan hatinya untuk menempohi segala dugaan yang mendatang. Sekurang-kurangnya emak dan adik-adiknya sudah bahagia sekarang ini. Nia terlena dalam mengenangkan emak dan adik-adiknya.

“Sayang! Sayang! Jangan pergi Sayang! Abang minta maaf. Sayang!”

Nia terkejut dari tidurnya, suaminya sedang meracau-racau dalam tidurnya. Suaranya kedengaran begitu sedih sekali. Dia begitu gelisah, berpusing ke kiri dan ke kanan. Nia bangun untuk menenangkannya. Nia naik ke atas katil untuk mengejutkan suaminya dari igauannya itu.

Timbul rasa kasihan di hati Nia. Suaminya sedang memanggil-manggil namanya. Agaknya betul kata Wan, Zaril Ikhwan tidak benci pada Nia, dia cuma mahu melindungi dirinya. Dalam hatinya dia hendak Nia di sampingnya.

“Jangan tinggalkan Abang!” Hatinya terus mencair cair mendengar rayuan Zaril Ikhwan. Selaut kasih tercurah ke atas suaminya itu. Nia rasa bersyukor sangat dengan tuhan. Rupa-rupanya suaminya memerlukan dirinya. Nia mendekati suaminya, ingin mengejutkan Zaril Ikhwan dari mimpinya itu. Dia nampak begitu sengsara dan sedang gelisah di dalam tidurnya. Tidak sampai hati Nia melihat kesengsaraan suaminya itu. Dia kedengaran begitu sedih sekali. Dia sudah kehilangan semuanya dalam hidupnya. Tetapi dia masih lagi ada Nia. Nia akan cuba sedaya upaya untuk melindungi suaminya itu dari apa jua yang menyedihkannya. Nia tersenyum gembira. Nia menyentuh bahu suaminya, ingin digoncang perlahan supaya Zaril Ikhwan tidak terkejut.

Linda! Please don’t go. Linda. Please..Please…Sayang! Jangan pergi.! …… Sayang! Jangan tinggalkan abang!”

Nia terhenti. Dia tidak jadi hendak mengoncang bahu suaminya! Dia ingat suaminya memanggil namanya. Rupanya dia memanggil nama orang lain. Siapa Linda! Malunya Nia! Tiba-tiba sahaja terasa pedih hatinya, bagai dihiris sembilu tajam. Dia tersalah anggapan. Bukan Nia yang dia seru-seru. Suaminya itu merindui orang lain dalam hidupnya. Mungkinkah bakal tunangannya itu. Nia patut sedar bukan dia yang Zaril panggil sayang dalam mimpinya itu sebab Zaril membahasakan dirinya abang! Zaril Ikhwan tidak pernah membahasakan dirinya abang pada Nia! Zaril Ikhwan tidak pernah bercakap apa-apa pun secara langsung dengan Nia selama ini.
Nia mengambil keputusan untuk berpatah balik ke tempat tidurnya. Kesakitan dalam hatinya tidak tertanggung. Dia juga malu dengan dirinya sendiri kerana tersalah anggap. Dia rasa seperti menganggu privasi suaminya, yang sedang bermimpikan orang tersayang. Ingin Nia meraung kehampaan di situ juga tetapi dia mengawal kesedihan hatinya. Dia seharusnya sedar dengan dirinya sendiri. Dia tidak boleh mengharap kasih dari Zaril Ikhwan. Zaril Ikhwan ada kehidupan lain sebelum dia berkahwin dengan Nia. Patutlah selama ini Zaril Ikhwan tidak membenarkan Nia tidur bersamanya. Ada insan lain di hatinya. Tidak ada tempat untuk Nia di hatinya. Dia kawin dengan Nia kerana dia perlukan Nia sebagai pembantu dalam hidupnya. Nia rasa malu! Malu sangat. Dia segera mengesot ke belakang, berundur dari katil Zaril Ikhwan sebelum Zaril Ikhwan sedar yang dia sudah menceroboh ruang privasi suaminya itu..

Tiba-tiap tangannya di pegang. Nia terkejut! Dia memandang wajah Zaril Ikhwan, dalam kemalapan bilik itu, di lihatnya Zaril Ikhwan sedang tepat memandangnya. Nia cuba menarik tangannya dari genggaman Zaril Ikhwan, rasa hangat menyelinapi ke tubuh Nia, hingga naik ke mukanya. Tetapi peganganya tangan Zaril Ikhwan begitu kuat, tidak mampu dia lepaskan.

“Jangan tinggalkan abang.” Kata Zaril Ikhwan, agak perlahan. Zaril Ikhwan kemudiannya mengangkat selimutnya dan menarik Nia ke dalam pelukannya. Nia menurut sahaja apa yang suaminya arahkan kerana genggaman Zaril Ikhwan terlalu kuat bagi Nia untuk lepaskan dirinya. Zaril Ikhwan kemudiannya menyelimutkan badan Nia yang sudah di dalam pelukannya dan kemudian dia memejamkan matanya. Naik turun nafasnya dirasai Nia semakin tenang. Nia tidak tahu kenapa dia boleh berada dalam pelukan suaminya. Adakah dia yang suaminya kehendaki berada dalam pelukan itu, atau wanita yang bernama Linda yang sebenarnya Zaril Ikhwan inginkan berada dalam pelukannya itu? Adakah Zaril Ikhwan tahu apa yang dia lakukan? Nia biarkan dirinya menikmati pelukan Zaril Ikhwan, walaupun dia sedar mungkin bukan dia yang suaminya kehendaki. Mungkin kali ini sahaja dia berpeluang berada dalam pelukan suaminya. Biarkanlah, biarkanlah dia menikmati kehangatan pelukan suaminya. Mungkin besok Zaril Ikhwan akan menghalau Nia lagi? Mungkin besok dia menyesal membenarkan Nia tidur bersamanya? Mungkin besok tempat tidur Nia ialah di atas kerusi sofa itu lagi, yang sudah menjadi tempat tidurnya selama 5 bulan? Atau mungkin esok Zaril Ikhwan akan menghalau Nia keluar terus dari rumah itu? Jadi malam ini, Nia mahu puaskan hatinya, dapat tidur dalam pelukan suaminya. Nia sedar Linda yang suaminya rindukan. Nama Linda yang disebut bukan Nia… Suaminya tidak tahu sebut nama Nia. Nia Atirah tidak ada dalam pembendaharaan katanya. Tetapi Nia biarkan saja… Untuk malam ini sahaja… Ritma gerak nafas suaminya semakin menenangkan hati Nia, membuat dia juga terlena akhirnya.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

15 ulasan untuk “Novel : Aku Yang Kau Tinggalkan 10”
  1. za says:

    salam alina, cte ni sgt best..lain dr yg lain.. thx :grin:
    tp knp setiap episode lmbt sgt diuploadkan.. dah xsabo rsnye.. :cry:
    p2u.. cpt2 upload! like~

  2. nina says:

    cpat lar smbung..

  3. hartiqa says:

    tak sabar nak tunggu episode seterusnya

  4. najim says:

    salam…
    saya suka baca novel nie…hope awak akan trs dberi ilham untk berkarya…cm episodnya lmbt duploadkn…pe pun tahniah…hrp dpt baca next episod… ;-)

  5. Nur Dara Adalia says:

    sangat menyentuh hati!
    Alina pandai mengusik emosi pembaca dgn berkesan melalui tulisanya..
    tahniah..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"