Novel : Aku Yang Kau Tinggalkan 11

13 October 2010  
Kategori: Novel

8,914 bacaan 12 ulasan

Oleh : Alina Haizar Anuar

Bab 11

“Asalamualaikum Wan.” Suara Yati yang ceria kedengaran memberikan salam dari laman rumah.

“Waalaikum musalam.” Nia menjawab bagi wakil tuan rumah. Wan ada berada di dapur bersama Neng, sibuk menyediakan hidangan makan tengahari. Nia dan Zaril Ikhwan berada di bahagian atas rumah, Nia sedang menunjukkan perkataan-perkataan mudah kepada Zaril Ikhwan. Dengan ini mungkin dapat mengingatkan Zaril Ikhwan apa yang dia sudah lupa. Tetapi Nia tahu apa yang dia lakukan tidak banyak memberi kesan kepada suaminya. Ada sesuatu yang menghalang dia dari membentuk perkataan-perkataan itu dalam otaknya. Walaupun Nia tahu dia faham tetapi dia tidak dapat menghubungi benda itu dengan perkataan yang sesuai dengannya. Nia rasa mesti ini membuat Zaril Ikhwan terseksa.

Menurut Wan, Zaril dulu seorang pelajar kejuruteraan yang paling cemerlang di Universitinya. Semasa dia di sekolah dan juga di Universiti dulu pun dia seorang pemidato, pemimpin pelajar, seorang yang aktif dalam sukan. Bermakna dia seorang yang petah bercakap. Dia seorang pelajar popular yang telah di sebut-sebut sebagai pelajar yang akan paling berjaya sekali di masa depan. Tetapi kini Zaril Ikhwan berada di hadapannya sedang cuba mempelajari A, B, C semula. Membuat Nia rasa insaf, bagaimanan hebatnya kita, takdir kita hanya tuhan yang menentukan. Walau bagaimanapun, Nia bersyukor kerana Allah mentakdirkan dia bertemu jodoh dengan lelaki yang disebelahnya itu. Nia sedang memandang sebelah kiri wajah suaminya masih elok, yang tidak dirosakkan oleh parut. Zaril Ikhwan memang seorang yang amat kacak dan tampan sebelum kemalangan meninggalkan parut itu merentasi pipinya. Pada Nia kini pun dia masih lagi kacak, hidungnya mancung, dia mempunyai sepasang matanya yang cantik, berkelopak besar. Keluk bibirnya begitu sempurna dan menawan sekali. Malahan parut itu membuat dia kelihatan seorang seorang hero yang tampan dan penuh misteri, membuat jantung Nia berdebar kencang setiap kali dia memandang wajah suaminya itu. Tanpa Nia sedari dari sehari ke sehari dia sudah jatuh cinta dengan suaminya, Zaril Ikhwan. Cinta yang datang secara lembut dan dengan perlahan-lahan telah menyerap ke seluruh jiwa raga Nia.

“Kak Nia, Buat apa tu dengan Abang Zaril.” Soal Yati, tanpa dipelawa dia terus duduk dikerusi sebelah Nia.
“Tak ada apa-apa, kami tengok-tengok perkataan-perkataan ini untuk Abang Zaril kuatkan ingatannya.”

“Oh, ..” Yati melihat buku-buku di atas meja itu. “Eh, Buku Stephen King! Cerita ni dah lama. Yati cari-cari buku ni sebab kawan Yati kata sedap? Kak Ni sedang baca ke?….Setahu Yati….Kak Nia tak….” Kata-kata Yati terhenti begitu sahaja. Nia boleh agak apa yang Yati hendak katakan, setahu Yati, Nia tidak habis sekolah. Tahu ke Nia membaca novel Inggeris yang tebal hasil karya penulis cerita seram yang terkenal seperti Stephen King. Nia terus shaja menukar tajuk perbualan.

“Eh! Yati datang sorang ke? Daniel? DZ?” Teringat Nia adik perempuan Yati yang ceria dan comel itu, rindu juga Nia kepadanya. Yati dan DZ begitu baik dengan Nia.

“Taklah, abah, emak, Daniel dan DZ semua ada, Dia orang di bawah. DZ tu apa lagi, hendak tengok cerita Disney kat TV. Dia takut miss siaran kegemarannya, Hannah Montana. Masuk je rumah Wan terus pasang TV.”
“Oh ye ke?”
“Yati ada bawa gambar masa kawin Kak Nia dengan Abang Zaril dulu. Sorrylah Kak, lambat baru siap. Daniel tu yang simpan sahaja dalam komputernya. Ini pun Yati ambil semua gambar digital tu, print dekat Kedai. Yati besarkan dua keping Gambar ni dan framekan sekali. Cuba Kakak Tengok. Cantikkan?” Kata Yati sambil menghulurkan album gambar dan dua keping gambar yang sudah diframekan kepada Nia.

Nia mengambil kedua gambar itu. Dia hulurkan sekeping kepada suaminya. Memang betul kata Yati, entah macamana mereka berdua di dalam gambar itu boleh kelihatan sama cantik sama padan. Wajah Zaril Ikhwan di ambil dari sebelah kiri, parutnya tidak kelihatan. Dia sedang memandang Nia. Nia pula kelihatan ayu sedang membalas pandangan mata suaminya. Mereka kelihatan seperti pasangan yang bercinta sedang melangkah ke alam perkahwinan.

“Sayang! Ini Sayang.” Tiba-tiba Zaril Ikhwan bersuara. Jarinya menunjukkan kepada gambar Nia. “Sayang…..” Tetapi dia tidak memeneruskan kata-katanya itu. Tidak dapat hendak luahkan apa yang ingin dia katakan.
“Cantikkan Kak Nia, Abang Zaril?” Kata Yati. Zaril Ikhwan menganggukkan kepalanya. Matanya memandang tepat ke arah Nia. Panahan mata Zaril Ikhwan yang tajam menusuk hingga ke hatinya. Wajah Nia bertukar menjadi kemerah-merahan kerana menahan rasa malu.

Kepada Zaril, ketika dan saat itu, Sayanglah orang yang paling cantik sekali dalam dunia ini. Ingin dia menatap wajah itu sepuas-puas hatinya kerana dia khuatir satu hari nanti dia tidak dapat menatap wajah yang paling disayanginya itu lagi. Zaril tidak tahu bagaimana hendak beritahu kepada Wan dan Sayang, hari ke hari penglihatannya makin kabur. Adakalanya tidak tidak dapat melihat dengan terang. Begitu juga dengan pendengarannya. Apa akan jadi kalau dia sudah tidak boleh mendengar dan melihat lagi. Macamana dengan nasib Sayang nanti? Sanggupkah Sayang bersama dia lagi? Zaril Ikhwan memandang wajah isteri yang cintai, sejak kali pertama dia temui. Ingin dia luahkan rasa cintanya yang mendalam tetapi dia tidak dapat lakukan. Perkataan apa yang harus dia katakan untuk dia beritahu Sayang yang dia cinta pada Sayang.

Yati melihat sahaja kedua pasangan suami isteri yang sedang duduk bersebelahan itu. Dia tersenyum sendiri. Nampaknya kedua-dua mereka saling sayang menyayangi antara satu sama lain tetapi masih malu-malu walaupun sudah hampir sembilan bulan mereka telah mendirikan rumah tangga. Perhubungan bagaimanakah yang mereka jalani? Perhubungan platonik atas dasar saling memerlukan tanpa ada hubungan suami isteri? Nampaknya tidak ada tanda-tanda perkahwinan mereka mendatangkan hasil pada Kak Nia walaupu sudah lama berkahwin. Tetapi wajahnya kian berseri dan wajahnya tidak lagi begitu cengkung seperti mula-mula berkawin dahulu. Yang nyata mereka berdua saling mencintai. Yati harap mereka dapat hidup bahagia. Antara sepupu-pupu yang lain, Yati rapat dengan Abang Zaril. Abang Zaril baik dengan Yati. Yati ingat masa mereka kanak-kanak lagi, walaupun Yati masih kecil, dia tetap membenarkan Yati bermain dengan kumpulan mereka, Abang Zaril macam seorang hero kepada Yati. Yati sentiasa menyanjungi Abang Zaril, begitu juga DZ. Apabila kemalangan menimpa Abang Zaril, semua orang lain yang pernah rapat dengan Zaril Ikhwan telah menjauhkan diri. Kecuali keluarganya, emak, abah dan juga Daniel yang tidak begitu. Manakala DZ pula memang sayang sangat dengan Zaril Ikhwan. Pada mereka walau apa pun keadaan Abang Zaril sekarang . Mereka tetap sayang pada Zaril Ikhwan. Tetapi mereka sering sibuk dengan tugas. Selepas ini Yati pula akan menyambung pengajiannya di United Kingdom. Selama ini pun dia dia tidak dapat menjaga sepupunya itu , cuma datang menjenguk sekali sekala. Bila dia sudah jauh nanti, lagilah tidak ada siapa yang kisahkan tentang Zaril Ikhwan. Tetapi kini Yati sudah lega, Abang Zaril sudah ada orang yang menyayangi dan menjaganya dengan baik.

Yati kemudiannya membiarkan mereka berdua meneruskan usaha mereka dan duduk membaca surat kabar `Star’ yang dibelinya semasa dalam perjalanan ke sini tadi.

“Yati, Mari turun makan. Panggil Abang Zaril dan Kak Nia sekali.” Laung Wan dari bawah setelah menjelang hampir pukul satu tengahari. Mereka kemudiannya turun ke dapur bertiga untuk menyertai yang lainnya menikmati hidangan tenghari yang Wan sediakan istimewa untuk anak-anak dan cucu-cucunya itu.

******************************

Nia dan Zaril Ikhwan berehat di bilik tidur selepas waktu makan tengahari, waktu begini ialah masa untuk Zaril Ikhwan berehat setelah dia makan ubat. Nia mengambil surat kabar `Star’ yang dibawa oleh Yati ke dalam bilik. Dia ingin membaca mengenai berita semasa. Sudah lama dia tidak berpeluang membaca surat kabar berbahasa Inggeris tersebut. Selama ini dia hanya menonton berita di televisyen.

Suaminya sudah baring di katil, menunggu Nia yang selalunya akan duduk disebelahnya untuk berehat bersama. Waktu ini Nia gunakan untuk membaca Novel Inggeris yang banyak tersusun di rak buku dalam bilik itu. Semua novel-novel ini ialah koleksi Zaril Ikhwan semasa dia sihat dahulu. Hampir kesemuanya ialah Novel ‘Top Best Seller’ dari penulis–penulis terkemuka dari Barat. Kadang-kala Nia bacakan petikan-petikan dari Novel itu kepada Zaril Ikhwan, nampaknya bila mendengar suara Sayang yang membaca ayat demi ayat dari cerita novel itu membuat Zaril Ikhwan tenang dan selalu dia dia khusyuk mendengar suara Nia membaca cerita sehingga dia tertidur.

Nia memandang wajah suaminya yang sudah pun tertidur. Sekarang ini Zaril Ikhwan tidak boleh berpisah jauh dari Nia. Wajahnya nampak bersih dan seperti kanak-kanak. Kadang-kala Nia rasakan Zaril Ikhwan seperti kanak-kanak yang tidak berdosa, naïf dan sangat mempercayainya dan bergantung kepadanya seratus peratus. Hanya dia harapan Zaril Ikhwan untuk meneruskan hidupnya dalam dunia ini. Nia tertanya apa yang bermain dalam kepala Zaril Ikhwan. Sinar matanya menunjukkan kebijaksaannya tetapi malangnya tiada ada perkataan yang dapat keluar dari bibirnya itu. Hidup Zaril Ikhwan mesti terseksa. Nia akan cuba mencari jalan untuk membantu suaminya itu, meringankan bebanan yang ditanggungnya.

Kadang-kala hati Nia kecilnya tertanya-tanya, di manakah kedudukan dia di hati Zaril Ikhwan? Walaupun Zaril Ikhwan tidak boleh berenggang dari Nia, tetapi itu mungkin kerana dia terpaksa bergantung kepada Nia. Bukan kerana dia sayang dengan Nia. Sebab Nia tahu ada orang lain dicintai. Mungkin Zaril sendiri secara sedar tidak tahu mengenainya. Tetapi minda separa sedarnya mengetahui yang ada gadis lain dalam hati dan kepalanya. Dalam tidurnya, dia sering menyebut-yebut nama gadis itu. Setiap kali itu berlaku, Nia terasa kepedihan melanda hatinya. Apakan daya, dia bukan pilihan pertama Abang Zaril. Ada orang lain yang bertahta di hatinya. Nia yang di sisinya bukan yang dikehendaki. Dia mahukan Linda, dia sering merayu Linda supaya jangan tinggalkan dia.

Nia mengeluh sendirian. Dia sudah hilang mood untuk membaca novel itu tadi. Lagipun Zaril Ikhwan akan meminta dia baca semula sambungan cerita itu besok, di mana dia berhenti hari ini. Dia kemudiannya mencapai surat kabar `Star’ yang lalu di sisinya dan membaca artikel di dalam surat kabar itu satu persatu. Tiba-tiba satu artikel yang terdapat dalam surat kabar itu menarik perhatiannya. Artikel itu bertajuk `Help at Hand’. Artikel itu mencerita tentang teori Dr Feuerstein yang mengatakan bahawa otak kita boleh dimodifikasikan. Ianya elastik dan boleh diregangkan seperti plastik. Dalilnya, dengan rangsangan yang betul kepada otak, tidak kira macamana teruknya kerosakan atau kecederaan yang dialami, otak masih boleh berfungsi secara optimal.

Dr. Feuerstein menekankan bahawa otak memerlukan simulasi sistematik untuk membina fungsi kognitif, iaitu metodologi spesifik untuk menterjemahkan informasi dan penyelesaian masalah untuk menyokong pembelajaran dan pembangunan otak. Inilah intipati dari teori Doktor Feuerstein di mana dia mula-mula sekali mencuba teorinya itu ke atas kanak-kanak yang mengalami trauma, kecederaan akibat peperangan atau yang menunjukkan kecenderungan terhadap autisme.

Selama 50 tahun, pengajaran Dr Feuerstein berdasarkan kepada `Teori Pembolehuban Struktur Kognitif dan Pengalaman Pembelajaran bermediasi telah berjaya menolong orang ramai dan juga para guru di hampir lebih dari 80 negara seluruh dunia..

Yang paling menarik perhatian Nia ialah ada dua orang ahli terapi tempatan bernama Vicky Tan dan Casey Lim yang telah mengadaptasi pendekatan Dr Feuerstein mengajar anak murid mereka dari pelbagai masalah seperti yang mengalami Down syndrome, sehinggalah sindrom hiperaktif yang menyebabkan pelajarnya tidak dapat menumpukan perhatian dan masalah IQ yang tinggi dan trauma akibat dari kecederaan otak.

Menurut mereka berdua, terdapat kemajuan yang sangat signifikan yang diperhatikan ke atas anak murid mereka. Mereka yang tidak boleh bercakap sebelum ini telah mula bercakap, yang tidak boleh membaca juga telah mula boleh membaca. Pada mereka yang mengalami masalah kurang daya ingatan untuk mengingat fakta juga telah mula menunjukkan kemajuan dalam pembelajaran mereka. Artikel itu juga menceritakan testimonial-testimonial ibu bapa yang telah menghantar anak-anak mereka kepada Vicky Tan dan Casey Lim

Nia menjadi betul-betul teruja. Mungkin suaminya juga boleh menghadiri sessi dengan kedua ahli terapi ini? Di akhir artikel tersebut terdapat nombor telefon dan alamat ahli terapi tersebut. Nia segera mencatitnya. Dia mesti cuba untuk menghubungi Vicky atau Casey. Nia rasa mereka boleh menolong Zaril Ikhwan untuk pulih. Walaupun mereka beroperasi di Kuala Lumpur, Nia akan mencari jalan untuk menemukan suaminya dengan mereka. Nia akan berusaha apa sahaja untuk suaminya menjadi pulih seperti sediakala.

*****************************

“Zakuan, tengok tak ada apa-apa perubahan dengan Zaril la ni? Soalan Puan Zainun ditujukan kepada anak lelaki bungsonya iaitu ayah kepada Yati.
Puan Zainun bersama Zakuan dan isterinya sedang duduk berbual-bual di bawah wakaf setelah selesai waktu asar. Puan Zainun minta Zakuan balik sebab hendak berbincang tentang kesihatan Zaril Ikhwan, Puan Zainun dapati dia selalu mengalami sakit kepala. Walaupun sejak akhir-akhir ini dia jarang mengamuk seperti dahulu tetapi sakit kepalanya memang sering menyerang. Puan Zainun ingin membawa Zaril Ikhwan untuk pemeriksaan doktor Pakar di Pulau Pinang. Tetapi memang dari dulu Zaril Ikhwan tidak mahu di rawat. Dia jadi phobia bila cakap tentang hospital. Zaril Ikhwan tidak mahu menjalani rawatan lanjut. Apatah lagi kalau hendak menjalani pembedahan plastik untuk menghilangkan parut di mukannya. Tetapi kini kesihatannya kian terganggu, Puan Zainun mesti berbuat sesuatu. Dengan adanya Zakuan sebagai Pak Usunya mungkin Zaril Ikhwan akan mendengar kata-katanya.

“Nampak dia makin baik emak. Dulu dia berkurung dalam bilik dia sahaja. Sekarang ini dia mahu juga duduk sama-sama kita. Walaupun dia masih tidak boleh bercakap-cakap banyak, tetapi nampak perubahan dalam dirinya tu.”

“Betul kata abang Zakuan tu emak. Nampak jauh beza dari kali akhir sekali kami balik sini.” Aina, isteri Zakuan mengiyakan kenyataan Zakuan.

“Itu sebab isterinya tu yang jaga setiap hari.” Kata Puan Zainun. Sekarang ni emak memang senang banyak sangat. Semuanya Nia yang ambil alih. Kadang-kadang emak kesihan juga tengok dia tu, teruk dia jaga Zaril tu.”

“Apa yang penatnya emak, semua kerja rumah Neng yang buat. Dia bukan kena basuh baju, berkemas ke, masak ke? Zakuan tengok dia rilek aje duduk kat atas tadi, emak dan Neng yang masak.”l

‘Rilek apa? Kain baju Zaril, dia basuh sendiri tahu. Semua tentang suaminya dia jaga sendiri. Dia pun kemas sendiri bilik tidur, bilik air atau bilik kat bawah tu. Kalau ikutkan dia semua dia buat. Tolong Neng masak pun dia buat juga. Tapi emak tak bagi, suruh dia jaga Zaril Ikhwan sepenuh masa.” Hari ni memang emak tak bagi dia masak, sebab emak nak masak lauk special untuk hang pa semua.”
“Iye ke? Kalau macam tu baguslah. Lagipun emak bagi dia elaun banyak ape untuk jaga Zaril Ikhwan. Mahu tidak mahu dia kena buat juga.”

“Nurse-nurse yang jaga Zaril tu lagi banyak gaji dan elaun dia orang, tak sanggup juga dia orang dia nak jaga. Emak rasa dia ikhlas menjaga Zaril Ikhwan. Dia sayang dengan Zaril Ikhwan.”

“Entahlah emak, kalau ikut Kak Nida tu kata, emak sudah bayar budak Nia tu. Semua harta bahagian emak pun emak sudah wasiatkan pada dia.”

“Ituke sebab ke Hanida tu marah sangat! Sampai sekarang tak balik-balik jenguk anak dia. Apa Zakuan pun marah ke emak wasiatkan harta emak pada Zaril dan Nia?”

“Emak, emak… apa hendak marah, kami semuakan sudah dapat bahagian kami. Tak cukup lagi ke? Itukan semua bahagian emak. Emak boleh buat apa emak suka dengan harta bahagian emak tu. Zakuan tahu emak hendak bagi pada Zaril sebab takut Zaril jadi macam ni sepanjang umur dia. Apa akan jadi dengan dia? Zakuan faham. Abang Zahari dan Kak Zimah pun faham. Lagipun harta bahagian Abang Zahari tu, Kak Nida tak habis buat makan dia anak beranak. Itu tak masuk lagi harta pencarian dia orang sendiri. Kak Nida tu aje yang suka kecoh. Bukan harta emak bapa dia pun. Harta emak bapa dia pun dah banyak. Sudahlah emak, jangan layan dia tu.”

“Baguslah kalau Zakuan adik beradik fikir macam tu. Emak takut juga kau orang kecil hati. Kalau nasib buruk tak menimpa Zaril Ikhwan dan keluarganya sendiri tak ambil perduli pasal dia, emak takkan buat keputusan begini. Zahari tu, ikut sangat cakap bini dia.”

“Tak tahulah apa Zakuan hendak cakap emak.”

“Sekarang ini emak sudah lega sangat, Zaril Ikhwan ada orang yang baik untuk menjaganya. Emak harap dia semboh dan mereka akan menjadi suami isteri macam orang lain, punya anak, dan berkeluarga. Nia tu bersungguh-sungguh mencuba untuk memulihkan Zaril. Setiap hari dia akan ajar Zaril mengenal huruf, menyebut perkataan-perkataan susah. Kadang-kadang emak rasa macam Nia tu boleh jadi cikgu. Sabar betul orangnya. Kalau Zaril tak dapat pun dia ulang berkali-kali, tak jemu-jemu.”

“Baguslah kalau macam tu emak.” Kata Zakuan. Aina pun setuju dengan kata-kata suaminya itu kemudian dia menyampuk, “mana pergi budak-budak ni tak hendak minum petang ke?”
“Entah, Tadi nampak Yati dan Nia sedang berbincang berdua, Nampak serious. Zaril masih tidur agaknya. DZ sedang menonton TV dan Daniel pulak merayau cari kawan-kawan dia kat kampong ni lah.” Terang Puan Zainun.

Mereka kemudiannya berbual-bual kosong mengenai perkembangan kampung mereka.

*************************
‘Kak Nia rasa orang berdua ini boleh tolong abang Zaril.”

“Kenapa Kak Nia rasa orang ni boleh bantu.” Soal Yati, matanya sibuk membaca artikel yang ditunjukkan oleh Nia. Kebetulan artikel itu keluar hari ini, dan Yati membeli akhbar itu dan membawa balik ke rumah Wan. Yati agak kagum juga dengan Nia, setahu Yati, Nia tak habis belajar, sampai PMR, tetapi penguasaan bahasa Inggerisnya tinggi. Dia boleh baca Novel Stephen King dan kini sedang meneliti artikel mengenai pertumbuhan otak.

“Okay, kalau dia orang boleh tolong apa Kak Nia hendak buat?”

“Kak Nia hendak telefon dia orang. Boleh tak bantu kes macam Abang Zaril. Yang mengalami kecederaan otak. Banyak contoh yang dia orang tulis di sini mengenai kanak-kanak sahaja. Macamana dengan orang dewasa. Adakah kecederaan otak pada peringkat dewasa macam Abang Zaril tidak dapat pulihkan lagi. Atau teori otak sebagai elastik boleh terjadi pada orang dewasa.”

Okay, mari kita telefon Miss Tan esok, nombor telefonnya ada di sini. Kita minta dia datang ke sini untuk penilaian awal.”

“Dia hendak ke datang ke sini? Jauh tu dari KL hendak ke Perlis.” Soal Nia.
“Kita bayarlah, semua perbelanjaannya dan yurannya. Kalau dia hendak double pun tak mengapa. Bukan jauh kalau dia naik kapal terbang. Janji kita minta dia tengok Abang Zaril.” Cadang Yati.

Nia ingat duit elaunnya yang tidak banyak digunakan itu. Dia akan keluarkan semuanya kalau mahu, asalkan boleh untuk mengubati Abang Zaril.

“Okay, esok kita telefon, sekarang ini sudah petang sangat, mungkin mereka sudah habis bekerja.”Kata Nia sambil tersenyum. Timbul harapan yang mengunung dalam hatinya agar kedua pakar ini dapat menolong Abang Zaril. Nasib baik Yati ada bersamanya hari ini untuk menyokong tindakannya.

“Baik, itu dah settle, sekarang ni Yati hendak tanya Kak Nia. Yati rasa Kak Nia bukan budak yang tak habis sekolahkan?” Tiba-tiba Yati memajukan soalan yang agak mengejutkan.

Nia termenung sebentar. Dia sedang berfikir sama ada dia patut atau tidak memberitahu Yati rahsianya.

“Kenapa Kak Nia diam. Yati dengar dulu Wan cakap orang yang nak dikawinkan dengan abang Zaril tu budak tak pass PMR pun. Memang Wan cari macam tu sebab hendak suruh jaga Abang Zaril sepanjang masa. Beranak aje untuk abang Zaril supaya dapat anak yang akan menjaganya pulak.”

“Iye ke, Yati pun tahu.”

‘Memang Yati tahu. Masa tu Wan cakap dengan abah dan emak tujuannya tu.”

“Emak dan abah Yati setuju ke?”

“Memanglah kalau ikutkan macam satu tindakan drastik. Tetapi kalau difikir-fikirkan logik juga tindakan Wan tu. Wan tu strategist, tau tak. Kalau jadi menteri pun boleh. Dia fikir jauh ke hadapan.” Bisik Yati. Nia tersenyum mendengar kata-kata Yati.
“Yati rasa kalau Kak Nia ni setakat PMR tak pass Kak Nia tak boleh faham maksud artikel dalam Star itu, apatah lagi boleh menerangkan tentang teori Dr Feuerstein tu pulak. Ceritalah dengan Yati.”
“Baiklah, Kak Nia tak bermaksud hendak membohongi sesiapa. Sebenarnya yang sepatutnya kawin dengan Abang Zaril ialah adik Kak Nia, nama dia Ani. Ani yang menjadi pilihan Puan Zainun. Ani memang tak habis belajar, sampai PMR aje. Tapi dia pandai buat kerja rumah dan dia cantik. Memang padan dengan Abang Zaril.”

“Eh! Kak Nia pun cantik juga. Okay…Habis tu apa jadi?”

“Ani jadi takut hendak kawin dengan orang yang dia tak kenal. Rupa-rupanya dia sudah ada teman. Jadi dia lari.”

“So Kak Nia ganti. Kenapa kak Nia snggup buat macam tu?”

“Kak Nia terpaksa, duit hantaran Ani emak sudah gunakan untuk tebus tanah tapak rumah. Ayah Kak Nia pulak habiskan baki duit itu. Emak jatuh sakit sebab risaukan tentang masalah yang menimpa.”

“Kesihannya Kak Nia. Patutlah masa kawin hari tu emak Kak Nia pucat lesi betul. Kak Nia nampak susah hati dan sedih. Kena kawin paksa ye.”Usik Yati lagi kemudian dia menyambung.

“Wan tak tau ke? Sudah ada pertukaran?”

“Wan tahu ada pertukaran, itu sahaja. Wan agak disebabkan Ani tak habis sekolah, Kak Nia juga macam agaknya. Kak Nia pun tak pernah ceritakan pada Wan yang Kak Nia habis belajar.”

“Sebenarnya Kak Nia buat apa? Apa yang Kak Nia patut lakukan kalau tak kawin dengan Abang Zaril?”

“Kak Nia belajar di UUM Sintok, buat Bahasa Inggeris. Sepatutnya Kak Nia menjadi guru Bahasa Inggeris.”

“Oh…patutlah Kak Nia terror Bahasa Inggeris. Kak Nia, Yati hendak tanya ni. Kalau boleh jangan marah. Kak Nia takkan tak ada boyfriend masa di Universiti.”

Nia hanya tersenyum, teringatkan Farid. Sudah lama dia melupakan Farid.

“Adakan? Mesti ada. Siapa Nama dia?”

“Itu dulu..”

“Taulah, saja Yati hendak tahu, nama dia siapa.”

“Farid. Ah..itu kisah dulu. Sekarang ni tak ada lagi dah”

“Oh…Yati tahu sekarang ni hanya ada abang Zaril di hati Kak Nia.”

Yati ketawa mengekek-ngekek melihat wajah Nia serta merta bertukar menjadi merah. Yati gembira, nampak sangat Kak Nia sayang betul dengan Abang Zaril. Yati suka sangat keadan begitu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

12 ulasan untuk “Novel : Aku Yang Kau Tinggalkan 11”
  1. huhu..mantap ah citer ni..
    olahan idea yang menarik..tak sabar nak tunggu sambungannya..
    cepat2 ye

  2. najim says:

    salam mahabbah buat penulis novel
    alhamdulillah…novel in i masih ada sambungannya..hope dapat terus menulis…saya suka gaya penulisan awak…..x sabar tggu awak upload next epsode n ad d pasaran…tq ;-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"