Novel : Akukah Juwita 11

23 October 2010  
Kategori: Novel

1,428 bacaan 10 ulasan

Oleh : SWEET BUTTERFLY

BAB 11

Pagi itu aku ambil keputusan untuk cuti dua atau tiga hari. Mahu tenangkan perasaan yang sejak semalam tak tenteram. Sebaik meletakkan drawing dan kertas kerja yang diarahkan Gaban di bilik kak Anis, aku terus keluar pejabat. Sebelum itu aku sudah mohon cuti dan beritahu pada Nelly yang aku ada hal di kampung. Dengan Gaban aku tak maklumkan apa-apa. Lantak dialah nak jadi apa. Dia nak marah ke, nak berhentikan aku kerja ke, aku peduli apa. Susah-susah aku jadi saja orang gaji Naja. Tak sakit hati dan kepala. Kira aku ni orang gaji tercunlah! Aku senyum sendiri, bila lagi nak perasan? Dan ketika kaki tiba di laman rumah, aku jadi begitu terharu sekali. Emak yang sedang menyapu rumput kering di sekitar ruang laman tiba-tiba menoleh padaku. Pandangan kami bersatu dan emak nampak terkejut melihat aku. Apa tidaknya sejak aku tinggalkan kampung, satu khabar berita pun aku tak maklumkan kepada mak. Bukan sebab merajuk saja tapi kerana kesibukan kerja.

“Lah, ingatkan orang jual kain tadi.” Selamba mak bergurau. Aku terus ketawa dan merapati emak. Aku segera memeluk tubuhnya yang semakin susut, rindu agaknya dia padaku. Tiba-tiba aku rasa rindu sangat dan juga rasa berdosa kerana buat emak macam tak wujud saja. Jangan kata nak kirim surat nak hantar sms pun tak pernah. Jahatnya aku, macam aku ni sudah tak ada mak bapak!

“Kenapa pulak ni?” Soal emak apabila tiba-tiba aku menangis di bahunya.

“Kenapa?” Emak mula gelisah, agaknya bimbang kalau ada sesuatu yang tidak baik berlaku padaku.

“Ish, cubalah berhenti menangis. Cakap apa dah jadi?” Aku pula hilang kata-kata dan hanya menangis tanpa henti sampai terhenjut-henjut bahu. Banyak yang ingin aku katakan pada mak tapi semuanya tersekat dikerongkong.

“Tulah asyik bagi Jebon makan sampai mak yang kurus kering, sedih kita tengok!” Akhirnya aku bersuara. Emak pantas menepuk bahuku, mungkin geram aku mengusiknya begitu.

“Dahlah, masuk. Nanti orang pikir apa pulak bila nampak kakak Jebon ni menangis kat sini.” Emak pun tak mahu kalah, siap mengusikku kata aku ni kakak Jebon.

“Abah mana?”

“Mana lagi?” Aku sudah faham. Abah pasti bersama Jebon, lalu setelah beg pakaian diletakkan di muka pintu aku memberitahu pada emak hendak menjenguk abah. Emak hanya menggeleng dan kemudian mengangguk.
Dari jauh aku nampak abah sedang duduk mengadap Jebon sambil bercakap-cakap. Memang itulah kerja abah, bercerita dengan lembu kesayangannya itu macam orang bercinta. Sekali lagi hatiku menjadi sayu, sepertimana aku merasa sedih ketika memeluk emak begitulah juga waktu ini.

“Abah, kita…” ayat tidak dapat aku sudahkan, kerana airmata telah mengalir laju tanpa dapat ditahan-tahan. Abah menoleh dan tercengang memandang aku. Mungkin abah sendiri terkejut dengan kepulangan aku dan boleh pula menangis macam kanak-kanak mahukan gula-gula di situ. Aku segera memeluk abah dan ketika itulah aku rasa macam dah sepuluh tahun tak berjumpa. Rindu dengan abah dan gurauannya yang seringkali buat aku geram.

“Kenapa ni?” Abah pula bertanya.

“Abah tu lah asyik bagi Jebon makan, abah dan mak kurus kering tapi Jebon bukan main gemuk!” Sekali lagi aku berikan alasan yang sama pada abah. Aku sudah tidak ada alasan lain sedangkan sejujurnya aku rasa rindu dan berdosa. Aku mengesat air mata dan meleraikan pelukan.

“Tu Jebon, tak nak peluk?” Usik abah dan aku hanya ketawa memandang Jebon. Ketika aku mendekati Jebon, Jebon mula bergerak seolah melarikan diri dari aku.

“Tengok, kamu dah lama sangat tak balik sampai Jebon lupa dia ada kembar!”

“Abah! Sampai hati samakan kita dengan lembu!” Aku sengaja merengek, mahu bermanja dengan abah.

“Jebon ni pun satu, saja nak eksyen! Padahal muka macam tu juga, tak juga berubah.” Aku membebel sambil mendekati Jebon lagi.

“Dah tu kalau berubah jadi Brad Pitt, takut kamu terus tidur dengan Jebon.” Aku dan abah ketawa, rasa bahagia kerana sudah lama tak bergurau senda. Ketika aku melirik pada abah, abah membuang pandang ke arah lain sambil menyeka airmata yang jatuh setitis dua ke pipi. Sekali lagi aku rasa terharu, rindu ke abah padaku. Atau airmata yang mengalir di pipi abah tu, airmata kegembiraan?.

“Sudahlah, mari kita balik. Abah pun nak ke kedai beli ikan kering kurau boleh suruh mak masak lemak cili padi.” Abah berkata setelah sekian lama aku biarkan abah melayan perasaan. Aku mengangguk, abah tidak lupa makanan kegemaranku sampai sanggup nak mencarinya. Kenapa aku sanggup buat mak dan abah begini sedangkan kasih sayang antara kami begitu kuat? Betullah aku ni macam si Tanggang yang lupakan orang tua dan keluarga. Sepatutnya aku menghargai orang tua dan keluarga lebih dari segalanya. Kini aku sedar, tiada yang lebih bernilai dalam dunia ni selain keluarga. Bila kita berjauhan, barulah kita sedar betapa kita sangat menyayangi dengan orang yang ada di sekeliling kita.

*********

INGAT nak bercuti hanya dua atau tiga hari tapi hari ni dah masuk hari kelima. Selama lima hari itulah aku menghabiskan masa di kampung, dengan duduk bersenang-lenang. Bila mak dan abah tanya, aku hanya jawab ‘cuti panjang’. Entah kenapa aku tenang di sini dan seakan tak mahu lagi kembali ke Kuala Lumpur. Namun sepanjang aku di kampung baru semalam Gaban mengantar pesanan. Sudahlah pesanan yang dihantar pendek lepas tu menyakitkan hati. Pesanan yang dihantar “dah tak nak kerja ke?”, sudahnya aku tak balas pun pesanan tu. Nasib baik si mamat poyo ada, yang tak jemu pagi petang menghantar pesanan ringkas padaku. Ada saja modalnya hendak menghiburkan aku. Tengok ni bukan main si mamat poyo ni menggatal! Dalam sms pun menjadi. Nasib baik dia bukan di hadapanku jadi bolehlah aku gelak sakan tapi kalau berdepan terpaksa aku tahan. Tak mahu tunjukkan padanya yang aku suka usikkannya itu. Rifki, Rifki.

“Hish, jangan mengekek kat situ boleh tak? Buatnya orang nampak, kecoh satu kampung kata anak dara mak yang sorang ni sewel. Nasib baik siang, buatnya malam buta, nanti orang ingat mak bela hantu pulak.” Aku memandang pada mak yang sudah berdiri di belakangku.

“Nape pulak orang nak kata mak bela hantu?”

“Yalah, dah mengekek kat bawah pokok beringin ni, sapa yang tak seram!”

“Alah mak ni ada aje,” sahutku terus ketawa. Mak memang macam tu suka mengusik.

“Tapi kalau kita jadi hantu, orang pertama kita cekik si Halim tu!” Sambungku sambil ketawa.

“Ish, kalau tengok dia sekarang dah tak macam dulu! Dari zero to hero!” Aik? Mak cakap orang putih? Wow, wow, wow!

“Yang melopong tu kenapa?” Emak menyoal.

“You speak London!” Emak tersengih dan mengangkat kening beberapa kali. Ish, ish mak!

“Si Halim tu…” Emak tak jadi bercerita apabila telefon bimbitku berbunyi dan cepat-cepat aku melirik. Si poyo?

“Err, mak kita sambung nanti? Kita jawab panggilan ni dulu ya?” Mak hanya memberikan jelingan.

“Boyfriend lah tu!”

“Bukanlah…..” Aku segera meninggalkan emak. Tak mahu emak syak yang bukan-bukan sekiranya mendengar perbualan aku dan Rifki.

*********

“HAI, ikan kering kurau lagi?” Abah menjenguk mak yang sedang memasak. Aku yang menyediakan pinggan di atas meja tersengih.
“Apa nak buat, anak awak tu nak makan benda ni.” Balas mak dan abah hanya menggeleng.

“Alah, minggu ni je abah nampak lauk tu. Lepas ni bila kita balik KL, dah tak ada dah.” Sejurus aku berkata demikian, reaksi abah dan mak berubah. Nampak sedih saja dan aku pula dihambat rasa bersalah.

“Saya nak ke depan, ada orang bagi salam tu.” Abah berkata dan terus saja berlalu. Emak pula tak lagi berbicara, turut ikut jejak abah. Aku mengutuk diriku sendiri kerana tersilap bicara, sekaligus buat reaksi mak dan abah berubah. Ketika aku sedang sibuk menyenduk ikan kering kurau masak lemak cili padi ke dalam mangkuk, emak mengejutkan aku mengatakan ada seseorang datang untuk bertemu denganku. Puaslah aku bertanyakan dengan emak siapa orangnya, emak tak mahu menjawab.
“Habis tu siapa? Tak kan si Meah pula?” Emak menggeleng.

“Atau Naja?” Sekali lagi aku meneka.

“Bukan, sudahlah tu cepat ke depan.” Ujar emak. Aku menggaru kepala yang tidak gatal dengan senduk.

“Ish, selekeh betullah budak ni, ada ke garu kepala dengan senduk tu. Senduk bekas ikan kering kurau lemak cili api pula tu.” Tegur emak sambil menggeleng. Aku yang lupa, cepat-cepat menyapu rambutku yang terkena sedikit kuah lemak itu. Hmm, alamat berbaulah ikan masin pada rambut!

“Buat air sekali!” Arah emak sambil melangkah meninggalkan aku di dapur. Cepat-cepat aku buat air teh, nasib juga tadi aku dah masak air. Sebaik siap semuanya, aku ke ruang tamu sambil menatang dulang, mataku terbelalak dan hampir saja dulang yang aku tatang itu terlepas dari tangan ketika melihat tetamu yang sedang bersembang mesra dengan abah. Aku tak sangka sungguh lelaki itu begitu berani menjejakkan kakinya ke rumahku. Betul-betul cari bala! Mampus, apa aku nak jawab dengan abah dan mak nanti.

“Lah, berdiri kat situ pulak.” Teguran emak buat aku terkulat-kulat. Hendak melangkah bagaikan sudah tidak berdaya lagi. Senyuman yang dilemparkan oleh lelaki itu buat aku rasa nak telan dia hidup-hidup.

“Pandai pula mencari rumah, tak sesat ke?” Soal abah dengan mesra. Lelaki itu tersengih sambil memandangku dengan mesra.

“Alhamdullilah, tak pula. Perjalanan dari KL sampai ke sini pun berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Macam dapat restu pula,” gurauan itu buat aku nak cekik lelaki itu. Sudahlah datang tidak diundang, memandai pula kata dapat restu. Aku fikir dia hanya bergurau bila dia kata mahu datang menemuiku di sini ketika menelefonku siang tadi. Tak sangka Rifki menjadikan gurauannya itu satu kenyataan dan buat aku benar-benar terkejut.

“Kenapa tak cakap awal-awal yang kawan nak datang? Kalau tak, boleh abah carikan lauk yang best sikit. Minta maaflah, nampaknya malam ni makan lauk orang kampung,” kata abah. Aku cuma mendiamkan diri, sudah hilang bicara.

“Pakcik, saya lagi suka masakan kampung. Setakat ikan keli, ulam-ulam, memang kegemaran saya tu.” Aku menjeling, menyampah dengan balasan itu.
“Ya ke? Baguslah kalau macam tu, eh, marilah kita makan. Minah pun dah siap masak, tapi tak ada yang istimewa. Ikan kering kurau masak lemak cili api, pucuk ubi cicah air asam dan sambal sotong saja,” sampuk emak mempelawa untuk menuju ke ruang dapur. Aku hanya memandang dengan geram. Tangan lelaki itu aku rentap, sebaik emak dan abah melangkah mendahului kami.

“Kalau ya pun tak tahan menanggung rindu, janganlah ganas sangat. Malu kat mak dan abah awak tu.” Aku membesarkan mata, gurauan itu tidak mencuit hatiku.
“Awak pakai syampu apa ni? Lain macam je baunya?” Pertanyaan itu buat aku malu sendiri. Cepat-cepat aku menolak tubuh lelaki itu jauh sedikit dariku. Tidak mahu dia terbau lagi haruman ikan kering pada rambutku.

“Apa awak buat kat sini?” Tanpa mempedulikan pertanyaannya aku pula menyoal keras namun nada yang dilontarkan masih perlahan. Bimbang kalau abah dan emak mendengarnya.

“Rindu.”

“Awak jangan nak mengada-ngadalah,” marahku sambil membesarkan biji mata.

“Cakap macam tu pun, awak panggil mengada-ngada.”

“Minah, Rifki, marilah makan. Karang-karang je sambung bual.” Emak melaung dari dapur. Aku masih memandang wajah Rifki dengan geram namun dia sekadar tersenyum manis.

“Jom kita makan, saya dah lapar ni. Tak sabar nak makan masakan bakal isteri!” Kata Rifki sambil berlalu meninggalkan aku. Geramnya aku hingga tak terkata lagi, ada saja peelnya yang buat aku rasa menyampah.

Ketika di meja makan, semua orang bukan main berselera. Hanya aku seorang saja yang telan nasi macam telan kayu. Selera aku mati sebaik kedatangan Rifki, padahal tadi aku lapar benar.

“Berselera benar nampaknya? Betul ke sedap?” Untuk sekian kalinya emak bertanya lagi. Rifki mendongak dan memandang emak sambil mengangguk.

“Kalau hari-hari macam ni, gemuk saya dibuatnya dan patutlah Minah pandai masak rupanya menurun dari makcik.”

“Pernah rasa masakan Minah sebelum ni?” Abah bertanya dengan wajah yang curiga. Aku pula hampir tercekik bila abah bertanya begitu, bimbang abah fikir yang bukan-bukan. Akhirnya Rifki bercerita pada abah dan mak yang aku memasak ketika pembentangan drawing bersama Gaban.

“Oh, macam tu.” Ada nada lega yang terlontar dari abah. Rifki memandangku sambil tersenyum dan aku hanya membalas dengan jelingan. Geram sungguh kerana mulutnya yang becok tu, langsung tak boleh simpan rahsia, saja nak buat mak dan abah terkejut.

Selesai makan malam, abah dan Rifki berbual panjang di serambi sambil menikmati kopi panas. Ada kala tawa mereka meledak, memecah hening malam. Aku di ruang tamu jadi teruja, apa yang menarik sangat sampai mereka boleh berbual mesra dan ketawa riang sebegitu. Ketika aku hendak mendengarkan perbualan mereka, emak datang mengacau. Ceh! Melepas peluang aku nak dengar perbualan mereka yang rancak tu.

“Kau tak sediakan tempat tidur untuk Rifki? Rifki tu biar tidur bilik kau, bilik Ju tu bersepah sangat. Tapi kau tu pulak janganlah join sekali, kau tidur bilik Ju.” Apalah mak ni, aku pun tak ingin nak tidur sebilik dengan si Rifki yang biul tu.

“Daripada tidur dengan dia, baik tidur dengan mak. Dah lama kita tak tidur dengan mak. Rindu sangat!” Ayat aku itu buat mak sekali lagi berubah reaksi, aku pula terasa hiba. Sedih bila sendiri menuturkan ayat begitu.

“Pergilah salin cadar tu.” Ujar mak dan aku kemudian bingkas menuju ke bilikku. Aku menukar cadar dan sarung bantal, maklumlah macam tak elok pula biarkan tetamu menggunakan cadar yang aku telah gunakan. Kemudian aku beralih mendekati almari, mencari selimut pula untuk Rifki nanti.

“Hai!” Teguran itu mengejutkan aku. Rifki sudah melangkah masuk ke dalam bilik tanpa dipelawa. Kemudian dia berjalan di sekitar bilik dengan memerhatikan ruang bilik yang sederhana itu.

“Mak gebar kita yang warna biru tu mana?” Laungku.

“Ada dalam gerobok tu.” Emak turut melaung dari luar. Aku masih mencari, habis aku selongkar almari pakaianku.

“Gebar dan gerobok tu apa?” Pertanyaan Rifki buat aku tersenyum sendiri. Buat aku tersedar yang lelaki itu orang asing di rumah ini.

“Kata nak jadi orang Johor, gebar dan gerobok pun tak tahu? Cari sendiri!” Balasku sambil melangkah keluar dari bilik. Aku menuju ke bilik Juriah kerana aku dapat rasakan selimut yang aku cari pasti ada di biliknya. Kerana selama ini hanya Juriah yang suka merembat barang-barangku. Tak orang lain, memang kerja budak bertuah tu. Bulat mataku sebaik terpandangkan selimut yang aku cari ada di atas katilnya. Itulah selimut yang aku cari sejak tadi.

“Nah gebar!”

“Selimut awak panggil gebar? Orang Johor ni memang pelik-pelik. Tapi saya suka orang Johor.” Rifki tersengih dan aku hanya menjeling. Tak kuasa nak layan kerenahnya malam-malam begini.

*********

ATAS permintaan abah, Rifki terpaksa menjadi imam solat subuh. Pada mulanya aku bimbang, aku tahu abah sengaja mahu menduga Rifki. Mahu melihat sejauh mana lelaki itu berupaya menjadi lelaki sejati. Abah pernah kata, lelaki sejati adalah lelaki yang mampu dijadikan imam dan ketua keluarga. Namun Rifki ternyata tidak menghampakan abah, lelaki itu berjaya buat abah kagum. Abah kata bacaan Rifki lunak dan dialah lelaki yang patut dijadikan suami. Terselit rasa bangga walaupun Rifki bukan bakal suamiku kerana sekurang-kurangnya dia tidak menjatuhkan air mukaku depan abah.

“Sedapnya bau.” Aku terkejut, teguran Rifki itu hampir saja buat sudip di tangan melayang.

“Awak ni, nak kita mati cepat ke?” Getusku sambil mengurut dada.

“Please don’t die, don’t die.” Ya Allah Rifki ni memang lucu. Ada ke patut, dia meniru gaya Rizwan Khan, watak yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan dalam cerita My Name Is Khan. Layan juga si mamat poyo ni cerita Hindustan! Akhirnya tawa aku meledak walau dah ditahan-tahan.

“Awak masak nasi lemak? Favourite saya tu, hai untung saya bakal isteri memahami citarasa saya.” Tawa aku segera terhenti dan kali ini aku sengaja menunjukkan sudip yang ada di tangan pada Rifki.

“Di sini awak jangan nak merepek. Tak pasal-pasal sudip ni naik kepala.”

“Asyik nak marah saja, cubalah lembut sikit,” bisik Rifki perlahan.

“Seronok kenal dengan family awak, terutamanya dengan abah.”

“Apa yang awak borakkan dengan abah semalam sampai tergelak-gelak macam nak terkeluar anak tekak?” Soalku ingin tahu. Rifki tidak segera membalas, sebaliknya tersenyum panjang.

“Adalah.” Jawab Rifki pendek.

“Cakaplah..” aku memaksa tapi kali ini suara aku lembutkan sedikit.

“Saya cakap nak pinang awak.” Balas Rifki bersahaja, buat aku geram saja. Lalu lengan lelaki itu aku cubit dan mengaduh Rifki seketika.

“Awak nak marah tu kenapa? Kan saya dah cakap nak pinang awak bukannya mak awak.”

“Awak ni kan….”

“Astagfirullah. Apa kau buat tu Minah?” Hayunanku pada Rifki dengan sudip terhenti apabila emak menegur. Rifki tersengih nakal, sengaja mahu menyakitkan hatiku.

“Dia ni la mak, asyik nak sakat orang je.” Aduku sambil menjeling pada Rifki.

“Kalau ya pun tak kanlah sampai sudip naik kepala? Tak baik buat orang macam tu.” Teguran emak buat Rifki makin tersenyum lebar. Mungkin merasa dirinya dibela.

“Tak apa makcik, saya dah biasa kena dera dengan dia ni. Lagipun saya memang suka orang ganas-ganas,” ujar Rifki sambil mengerling padaku. Aku pula bertambah geram padanya, mahu saja sambal tumis dalam kuali ini aku tuang atas kepala Rifki.

“Siapa yang kena dera dengan ganas?” Tiba-tiba abah bertanya. Serentak itu kami memandang pada abah yang baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi sambil tersenyum.

“Anak awak tu, ingatkan dengan Juriah saja dia suka bertekak, dengan si Rifki ni pun sama.” Cerita emak sambil mendekati abah, lalu menuangkan air untuk dihidangkan kepada suaminya. Aku menarik muka, tidak suka emak kata begitu. Lantas sambal tumis aku senduk masuk ke dalam mangkuk.

“Hmm, dari dulu sampai sekarang tak ubah-ubah perangainya tu. Rifki jangan ambil hati pula dengan sikap Minah yang sedikit kasar ni.”

“Saya tak kisah pun makcik, kasar mana sangatlah si Minah ni. Ada masa romantik dan manja juga orangnya.” Terbeliak mataku sebaik Rifki membalas kata emak sebegitu rupa. Mengada-ngada kata aku romantik dan manja depan abah dan emak. Nanti apa pula pandangan mereka padaku, fikir aku gatal dengan lelaki.
Perlahan-lahan aku mendekati mereka, serba salah nak pandang wajah emak dan abah ketika itu. Namun aku sempat mengerling sekilas pada Rifki yang bersahaja ketika meletakkan sambal tumis di atas meja. Geramnya aku pada lelaki itu, rasa macam nak tanam dia hidup-hidup saja.

Bersambung……..


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Akukah Juwita 11”
  1. usagi tsukino says:

    best….tp klu gaban tahu..mesti jeles nyer…

  2. fatien says:

    best…npe gaban xmancul2..?rindu kt gaban..xmau rifki curi hati mina…huhuhuhu…nk gaban!nk gaban!

  3. Suri says:

    ;-) ;-) ;-) gaban pilihan saya :mrgreen:

  4. intan says:

    pndai rifki ambk hati mak bapak minah…
    nmpk cm jujur je….

  5. intan says:

    pndai rifki ambk hati mak bapak minah…
    nmpk cm jujur je…. ;-)

  6. Anna says:

    Gaban ok riffki pon ok.

  7. SWEET BUTTERFLY says:

    :grin: Hai semua! tima kasih sbb sudi mengikuti novel ini. Tunggu bab selanjutnya, kerana sesuatu bakal terjadi……teruskanlah memberi sokongan dan komentar yang membina! Luv……you all!!!! ;-)

  8. MUTIARA says:

    nak rifki juga :lol: ….best sngat…xank gaban :???:

  9. aqilah says:

    bestlah cite ni……..tapikan, kesian kan gaban,……gaya mcm ada hati kat minah, tpi main trik tali…..risau ni……dua2 watak akak suka, tak tahu nak pilih siapa hero…apapun, akak follow…………..

  10. ;-) thanks aqilah…… tunggu dan lihat apa akan terjadi nanti…..yang pasti ada BUDAK JAHAT! :smile:

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"