Novel : Akukah Juwita 9

5 October 2010  
Kategori: Novel

1,720 bacaan 7 ulasan

Oleh : SWEET BUTTERFLY

BAB 9

“UNTUNGNYA kau, bakal mak mertua sayang betul kat kau sampai sanggup suruh orang datang jemput. Eh, dia tak ada anak lelaki lain ke?” Aku hanya mengerutkan dahi dan memandang Naja yang tersenyum panjang. Kalau ikutkan hati, aku tak mahu pergi ke majlis ulang tahun perkahwinan Puan Ros. Tapi setelah didesak berkali-kali oleh empunya badan, aku tak ada alasan lagi untuk menolak. Bila aku berikan alasan yang aku tak tau nak ke rumahnya, sanggup pula hantar orang untuk menjemputku. Agaknya kenapa Puan Ros suka benar denganku? Heran betul aku. Ni belum apa-apa, kalau dah jadi menantu nanti macam manalah agaknya. Ceh, beranganlah pulak aku ni!

“Dahlah, aku turun dulu. Nanti orang kata, dah dijemput lagi nak lambat-lambat.” Aku melangkah sambil melambaikan tangan pada Naja yang mencebik. Langkah yang aku atur sungguh berhati-hati, apa tidaknya aku pakai baju kebaya, yang belahan kainnya sampai ke paha. Kalau apek tua atau bangla yang nampak, sah juling biji mata. Baju kebaya bermotif corak batik dari kain chiffon dan satin ni sangat lembut, selesa sungguh bila tersarung di badan. Cantik sangat malah menyerlahkan lagi keayuan aku malam ni. Terasa macam ratu kebaya. Kalau tak kerana Naja yang bagi pinjam jangan haraplah aku nak merasa baju yang cantik dan semahal ini.

“Cik Minah ke?” Aku sekadar mengangguk apabila seorang lelaki menegurku. Lalu aku mengekori lelaki itu hingga ke kereta. Aku tak sangka Puan Ros mempunyai pemandu yang sangat kacak orangnya. Ini baru pemandu belum lagi anak Puan Ros. Aku segera masuk ke dalam perut kereta, duduk di bahagian belakang.

“Jauh lagi ke rumah Puan Ros?” Soalku kerana bosan sejak tadi suasana di dalam kereta begitu sepi apabila masing-masing membisu.

“Dah nak sampai.” Balas lelaki itu sambil memandangku melalui cermin. Bukan baru sekali malah hampir setiap minit lelaki itu asyik memandangku melalui cermin, agaknya aku lawa sangat malam ni sampaikan drebar pun asyik nak pandang. Itu baru drebar je belum lagi anak Puan Ros! Aku mengulum senyuman, tidak mahu drebar Puan Ros menyedari tingkahku.

Tak lama kemudian kami tiba di perkarangan sebuah banglo mewah. Senibina banglo itu sangat menarik perhatianku. Bukan saja moden malah mengagumkan meskipun ringkas.

“Terima kasih,” ucapku pada pemandu yang kacak itu sebelum keluar dari perut kereta. Aku melangkah perlahan, terasa berat kaki hendak melangkah apabila memandang pada tetamu-tetamu yang hadir. Ketika itu aku terasa sangat janggal berada di tengah kelompok orang kebanyakan. Terasa diri terlalu kerdil, maklumlah aku cuma anak orang kampung, sedangkan yang menghadiri majlis malam ini orang berada dan berstatus tinggi.

“Hai, sampai juga,” sapaan Puan Ros mengejutkan aku.

“Mari, auntie nak kenalkan pada husband auntie.” Aku mengerutkan dahi. Buat apa nak kenalkan kat suami dia, nanti kalau suami dia pun berkenan kat aku lagi susah. Bukan jadi menantu tapi jadi madu. Hah, nak ke? Namun aku sekadar menurut, tetapi dada mula berdebar.

Aku sekadar memaniskan wajah ketika diperkenalkan kepada ahli keluarga Puan Ros. Dari suami, anak sulungnya hingga yang ke bongsu. Alamak, yang bongsu ni macam aku kenal tapi di mana ya? Aku cuba mengingati lelaki itu. Lirikan mata dan senyuman lelaki itu buat aku pasti yang sebelum ini kami pernah bertemu. Eh, bukan ke lelaki yang jadi pemanduku tadi lelaki ini? Alamak? Anak Puan Ros ke yang ambil aku tadi? Kalaulah dia memperkenalkan dirinya tadi, tak adalah aku berlagak duduk di belakang macam cik puan.

“Rifki berbuallah dengan Minah, mummy nak jumpa kawan sekejap. Tinggal ya Minah, jangan malu-malu buat macam rumah sendiri,” ujar Puan Ros. Aku sekadar tersengih saat ditinggalkan dengan anak bongsunya yang tampan itu. Rifkey? Bunyi belakang nama tu macam kunci tak pun kalau tersilap haribulan tersasul panggil Rocky. Kih, kih kih, mampus!

“Tak sangka, panjang betul jodoh kita ni ya.” Aku mengerutkan dahi saat ayat itu terkeluar dari mulut Rifki.

“Kita pernah bertemu ke sebelum ini?” Soalku. Lelaki itu hanya tertawa, buat aku kebingungan sendiri. Ada penyakit ke lelaki ni? Tak alih-alih ketawa lainlah kalau aku buat lawak.

“Awak ni pelupa atau buat-buat lupa?” Sekali lagi aku mengerutkan dahi namun sedikit terasa dengan ayat Rifki itu.

“Ok, biar saya ingatkan semula. Baju kita yang basah, kotor dan busuk ni macam mana pula?” Rifki bersuara sambil melenggokkan nada suaranya seperti perempuan. Aku pula sudah tenganga. Dia ke lelaki yang keretanya aku baling dengan kasut? Alamak, kenapa kecik sangat dunia ni. Aku menggagahkan diri memandang Rifki yang hanya tersenyum panjang. Bengang betul aku lebih-lebih lagi senyuman Rifki semakin sinis.

“Anyway, awak ni asal orang mana?” Soalan Rifki terpaksa aku jawab, nanti kalau tak jawab kata aku sombong tak bertempat pula. Lagi satu anak klien, karang projek Gaban tak menjadi pula.

“Johor.”

“Johor tu besarlah, boleh spesific sikit tak?” Specific sikit, ingat ni kuiz ke? Nak tak nak aku jawab juga soalannya.

“Pontian.”

“Oh, Pontian, sumber pertaniannya adalah nenas, kan?” Aku sekadar tersenyum. Masuk bab geografilah pulak.

“Saya selalu turun JB tapi belum pernah pergi Pontian. Nanti senang-senang boleh bawa saya ronda-ronda.” Aku memandang Rifki. Eh, dia ni. Ingat aku ni pemandu pelancong, nak bawa kau sana sini?

“Tak ada apa yang ada kat Pontian tu, tak happening pun,” jelasku acuh tak acuh. Namun Rifki terus saja tergelak. Lihat dia begitu, aku jadi pelik. Orang lelaki memang cepat terhibur ke bila bercakap dengan perempuan? Cakap sikit ketawa, cakap sikit ketawa. Masalahnya staf lelaki di office pun sama, mereka pun suka ketawa tapi kenapa ya? Ni yang buat aku confuse ni, kalau benar orang lelaki mudah terhibur dan ketawa, kenapa tidak si Gaban. Eh, Gaban ni sebenarnya lelaki ke tidak?

“La, saya hanya nak lihat tempat orang, bukan nak berseronok-seronok. Lagipun dalam masa yang sama bolehlah saya kenal dengan family awak.”

“Eh, nak buat apa?” Tanyaku terperanjat.

“Nak eratkan silaturahim. Macam mana awak buat sekarang ni.” Aku memandang wajah Rifki dengan tajam. Aku tahu, nada dan ayat yang terlontar mempunyai maksud. Aku mula tak sedap hati.

“Apa maksud awak?” Aku bertanya dengan penuh debar. Rifki mula memberikan reaksi yang pelik. Dia merenung aku dari atas ke bawah kemudian tersenyum panjang. Tapi senyuman yang diberikan itu sangat menyakitkan hatiku.

“Dahlah, tak payah nak berpura-pura. Cakap terus terang sajalah, apa yang mummy saya dah janjikan pada awak.”

“Cakap apa? Janji apa?” Soalku tidak mengerti.

“Dia nak masuk meminang dan jadikan awak menantu, kan? Kalau awak berfikir untuk setuju, lupakan sebab saya tak berminat. Saya tak sukalah perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga. Walaupun awak punya pakej yang menarik tapi kejadian tempohari buat saya berfikir beratus kali nak jadikan awak isteri. Dahlah garang, rakus, belum apa-apa kasut dah melayang, kalau dah jadi bini tak tahulah macam mana.” Untuk seketika aku tercengang mendengar bicara Rifki yang panjang lebar itu. Aku tak sangka dia boleh menuduh aku begitu. Memanglah Puan Ros ada kata aku ni macam sesuai dijadikan menantu tapi itu tak bererti aku suka dan terima. Dia ingat aku ni mudah sangat ke terpedaya dengan kekayaan dan terpesona tengok anak bujangnya itu. Allahuakbar! Ujian apa yang sedang melanda aku ni?

“Kita minta maaf, nampaknya kehadiran kita sudah disalah ertikan. Untuk makluman Encik Rifkey…”

“Bukan Rifkey, Rifki. R.I.F.K.I. Rifki Rayyan Bin Rizwan Hasif.” Kata Rifki dengan pantas. Aku menarik nafas dalam-dalam. Lelaki itu siap mengejakan dan menyebut penuh namanya yang pelik tu. Ah, tak kiralah sebutan aku betul ke tidak, yang penting nama itu nama dia.

“Untuk pengetahuan awak, mummy awak tak pernah pun kata nak pinang kita dan kalau betul pun, awak tak payah risau. Kita pun tak teringin nak kahwin dengan orang yang perasan macam awak ni. Awak ingat lelaki dalam dunia ni cuma ada awak sorang je ke? Belum apa-apa dah buruk sangka.” Aku balas dengan kasar sebelum meninggalkan lelaki perasan itu. Menyesal sungguh aku datang ke sini. Patutlah berat sangat hati aku nak pergi, rupanya nak dapat bala!

“Minah nak ke mana tu?” Puan Ros kelam kabut mengejar langkahku. Perasan saja aku hendak pergi dari situ. Aku berpaling, masih cuba memaniskan wajah biarpun hatiku dah hancur.

“Kita minta maaf, kita nak balik.”

“Tapi kenapa tergesa-gesa?”

“Tak sihat.”

“Kalau macam tu nanti auntie panggil Rifki hantar Minah, ya?” Aku segera menarik tangan Puan Ros, menghalangnya untuk memanggil lelaki yang baru seminit ku kenal tetapi telah melukakan perasaanku.

“Puan Ros, tak perlu.” Tegahku. Aku tak mahu perkara ini berlanjutan.

“Atau Rifki ada cakap sesuatu yang menyinggung perasaan Minah?” Puan Ros seakan dapat membaca dan meneka ada sesuatu yang terjadi. Tentu saja Puan Ros dapat menduga, memandangkan ini bukan kali pertama Rifki hendak dijodohkan. Tentu sebelum ini Rifki telah buat hal yang sama terhadap gadis lain juga.

“Maaf puan kalau kata-kata kita menyinggung perasaan puan. Tapi lebih baik kita berterus-terang saja. Kalau puan fikir nak jodohkan kita dengan Rifki, itu bukan satu tindakan yang wajar. Rifki mungkin mahu memilih sendiri pasangan hidupnya jadi biarkanlah dia buat begitu. Kalau kita ada ditempat Rifki pun mungkin kita akan begitu juga. Harap puan mengerti.” Sebolehnya aku melembutkan nadaku agar Puan Ros tidak tersinggung. Aku tidak mahu kerana perkara ini, projek ubah suai laman akan tergendala. Puan Ros sudah kalut, wajahnya tidak setenang tadi.

“Auntie minta maaf banyak-banyak kalau Rifki ada berkasar dengan Minah. Kadang kala dia memang begitu tapi sebenarnya dia seorang yang baik. Sangat menghormati perempuan, nanti auntie cakap dengan dia, ya.”

“Jangan puan, tak mengapalah lagipun kita tak berminat.” Puan Ros nampak tergamam. Namun cepat-cepat aku menguntum senyuman dan menghulurkan salam, tanda mahu pulang. Lambat-lambat Puan Ros menyambut tanganku dengan agak berat. Aku sendiri tak sangka wanita itu benar-benar mahu menjadikan aku menantunya, aku fikir selama ini dia hanya bergurau.

*********

SEBENARNYA aku sangat takut ketika keluar dari banglo Puan Ros. Apa tidaknya, kawasan kediaman di sini besar-besar dan sunyi. Hendak keluar dari kawasan ini sangat jauh pula. Buatnya ada orang jahat ke, apa aku nak buat. Tapi tak kan aku nak duduk lagi di sana sedangkan aku telah dihina sebentar tadi. Mahu tak mahu, aku terpaksa kuatkan semangat. Sambil melangkah, kumat kamit bibirku melafazkan ayat suci. Minta perlindunganNya agar dijauhkan dari bahaya. Bunyi hon kereta benar-benar mengejutkan aku dan ketika aku menoleh, hatiku kembali sakit. Kereta Peugeot 206 yang dipandu oleh Rifki bergerak perlahan, menyaingi langkahku.

“Marilah, saya hantar awak pulang.”

“Tak payah!” Kataku dengan keras. Macamlah aku heran sangat nak naik keretanya itu walaupun sebenarnya aku tertarik dengan kereta tidak berbumbung itu.

“Marilah,” sekali lagi lelaki itu mempelawa dengan lembut. Aku hanya mencebik, masih tidak sudi menerima pelawaan itu. Ikutkan hati memang aku nak naik kereta sebab aku sudah letih berjalan. Bukan aku tak biasa berjalan kaki, tapi menuruni jalan yang berbukit dengan kasut tumit tinggi, memang memenatkan. Tapi demi ego, aku kuatkan juga kaki untuk terus melangkah.

“Kita kata tak payah, tak payahlah!”

“Awak tahu tak, kat sini banyak penyamun, penculik, perogol, pembunuh, kalau mereka tangkap awak macam mana?” Ayat itu semakin menakutkan aku. Sudahlah kawasan banglo mewah di sini sunyi, tak ada langsung kenderaan yang lalu lalang, buatnya benar kata Rifki, tak kan aku nak mempertaruhkan keselamatan aku hanya kerana ego.

“Suka hati awaklah, kalau jadi apa-apa nanti jangan salahkan saya,” kata Rifki sebelum kereta meluncur laju. Tak sempat aku hendak berkata ya, dia dah tinggalkan aku. Memang mangkuk tingkat betullah jantan ni. Namun tak sampai 100 meter Rifki meninggalkan aku, kereta yang dipandunya berundur semula. Buat aku sedikit lega, agaknya lelaki itu sengaja mahu kenakan aku atau dia tak sampai hati hendak tinggalkan aku. Pintu kereta di bahagian penumpang sudah terbuka, seakan tahu yang aku akan naik. Lalu dengan muka yang tebal, aku masuk juga dalam perut kereta. Nasib baik aku ada skil nak tebalkan muka.

“Awak masih marah?” Pertanyaan jenis apa tu? Kalau dia ditempat aku, masakan tidak marah bila orang menuduh kita macam-macam? Aku berpaling padanya namun tidak bersuara tetapi hanya memandang pada Rifki yang sedang memandu dan tanpa diduga Rifki turut sama menoleh. Ketika itu baru aku sedar, matanya sangat cantik. Bercahaya dan tajam. Malah raut wajah yang bersih itu nampak tenang dan tampan. Kalau nak dibandingkan dengan Gaban, dia memang lagi handsome. Malah lelaki itu memiliki seulas bibir yang merah, macam pakai lipstick pula. Hilang kisah aku hendak membalas pertanyaannya. Entah kenapa, bibir terasa sangat berat walhal dalam hati dah berbakul-bakul ayat aku susun. Sudahnya aku tidak bersuara, memendam saja rasa marah. Rifki pula hanya diam saja, mungkin mahu membiarkan kemarahanku reda. Hinggalah aku tiba di rumah pun aku masih membisu, hanya ucap terima kasih ketika keluar dari perut kereta tanpa memandang padanya lagi.

Ketika aku membuka pintu, Naja sudah menunggu penuh setia. Aku hanya kata ’malas’ walaupun didesak oleh Naja agar bercerita tentang majlis di rumah Puan Ros. Aku sudah hilang mood untuk mengingati kejadian malam ini apatah lagi untuk bercerita. Bagi aku, lelaki bernama Rifki patut dinyahkan dari muka bumi ini. Patutlah Puan Ros sibuk sangat nak carikan jodoh untuk anaknya, lelaki perasan yang suka buruk sangka macam dia tak ada kekasih sebab perempuan mana yang sanggup mahukan lelaki macam tu. Aku terus merebahkan diri ke atas tilam tanpa menghiraukan Naja yang merengek-rengek macam kucing jantan gatal minta aku bercerita juga. Aku tutup mata, tak kuasa nak layan Naja.

*********

BULAT mataku melihat sejambak bunga mawar berwarna merah jambu di atas meja sebaik aku sampai di pejabat. Belum pernah aku menerima puluhan kuntum bunga mawar seperti itu. Untuk seketika aku menghidu bunga itu, mahu tahu adakah ia asli atau plastik. Sah bunga asli kerana keharuman dan kesegaran yang menusuk rongga pernafasan. Siapa pula yang romantik sangat nak bagi aku bunga pagi-pagi begini. Lantas sekeping kad yang bersampul, siap digam lagi ku tarik dari celahan bunga itu. Aku terpaksa mengoyakkannya dan untuk seketika mataku semakin membulat melihat nama yang tertera pada kad itu.

“Rifki?” Macam tak percaya! Tiada kata yang tercoret selain satu perkataan yang sukar aku terima iaitu ‘sorry!’. Mudahnya dia memohon maaf setelah menjatuhkan air mukaku. Lelaki itu fikir, dengan semudah itu dia akan mendapat kemaafan dari aku? Aku memasukkan kad tersebut ke dalam laci. Untuk seketika bunga itu aku tatap lagi. Hendak buang, terasa sayang. Inilah kali pertama aku menerima bunga seindah itu. Ah, letak saja di tepi. Biarkan ia begitu saja, biarkan ia layu sendiri.
Lalu jambangan bunga yang agak berat itu aku alihkan ke hujung meja bagi memudahkan aku untuk melakukan tugas. Telefon bimbit berbunyi, memaksa aku menyelongkar beg tangan. Untuk seketika nombor telefon yang tertera membuatkan aku tertanya, siapa gerangan pemanggilnya. Sedangkan aku pasti aku tidak mengenali nombor itu.

“Hai, saya nak jumpa awak, boleh?” Aku terkejut. Tak bagi salam, alih-alih terus bersuara. Walaupun terperanjat, aku masih dapat mengenali suara itu dengan baik kerana nadanya tetap sama biarpun bukan di dalam talian telefon. Satu lagi, mana aku boleh lupa pada orang yang menuduh aku berpura-pura, garang dan rakus pada pertemuan yang pertama.

“Waalaikumssalamwarahmatullahiwabarakatuh.” Sengaja aku berkata demikian untuk mengenakan si pemanggil.

“Err, panjangnya.” Pendek saja balasan dari pemanggil. Aku tersenyum sendiri. Padan muka!

“Awak ni pagi-pagi nak jumpa orang, dah tak ada kerja ke?” Soalku sedikit keras. Sengaja mahu membalas sakit hati yang masih berbekas di dalam hati.
“Saya memang tak kerja sebab tu nak jumpa awak ni. Boleh tak?”

“Nak buat apa? Kita tak bolehlah suka-suka nak jumpa awak, kita ni bekerja makan gaji, nanti bos kita marah.”

“Saya dah minta izin bos awak, marilah, penat saya berdiri dari tadi kat depan pintu office awak ni.” Aku tersentak. Betul ke dia ada di office ini? Aku segera bangun dan menuju ke pintu office. Memang sah, mamat poyo tu ada di situ sambil melambaikan tangannya dengan tersengih-sengih. Aku segera mematikan talian dan terus mendekati lelaki itu. Mentang-mentang aku ni bukan dari golongan bangsawan, nak ajak aku keluar, serabai saja. Lelaki itu memang santai habis, sekadar memakai t-shirt, jeans lusuh dan selipar jamban. Tapi serabai-serabai pun, dia masih kelihatan tampan!

“Mimpi apa sampai ke sini?” Soalku sambil memeluk tubuh. Rifki bersandar santai pada dinding sambil tersenyum. Manis pulak!

“Malam tadi mimpi makan nasi lemak dengan awak. Jom pergi kedai depan tu, kat sana nasi lemak dia power.” Bersahaja Rifki membalas. Aku mengerutkan dahi.

“Suka-suka hati je,” getusku perlahan.

“Saya ajak pergi makan bukan pergi mati, jadi buat apa nak bersedih-sedih. Jomlah,” sahut Rifki sambil menarik tanganku dengan selamba.

“Eh, apa main tarik-tarik ni? Kita ada kaki, kita boleh jalan sendirilah!”

“Awak ni banyak songehlah, saya dah lapar ni, cepatlah sikit jalan tu,” sahut Rifki, langsung tidak mempedulikan kemarahanku.

Rifki bukan main berselera membedal nasi lemak dengan ayam goreng. Sedangkan aku terkulat-kulat nak makan makanan berat pagi-pagi begini. Aku sudah terbiasa tidak makan pagi, paling cepat pun aku jamah makanan jam 11.00 pagi.

“Hai, tertibnya awak makan, patutlah mummy saya kata awak ni calon menantu pilihan yang terbaik.” Aku tersentak. Tak sangka Rifki masih ingin menyakitkan hatiku.

“Kalau jumpa sekadar untuk sembur kita, baik tak payah!” Balasku seraya bangun. Rifki cepat-cepat menahan aku pergi.

“Sorrylah, saya bukan nak sakitkan hati awak, saya bergurau je. Awak ni cepat sangat nak marah, marah tu tak sihat untuk hati.” Aku menjeling, Rifki tersenyum.
“Macam nilah, biar saya berterus-terang. Tujuan saya jumpa awak kerana nak minta maaf. Tentang malam tadi tu, saya tak sepatutnya emosi dan tuduh awak yang bukan-bukan. Saya dah silap menilai awak dan saya menyesal sangat. Saya harap awak dapat maafkan saya,” sambung Rifki perlahan. Aku memandangnya dengan tajam. Entah dia ikhlas ke tidak minta maaf tu.

“Awak minta maaf ni sebab mummy awak yang suruh ke? Kalau ya, kita maafkan supaya awak tak terpaksa buat macam ni lagi,” balasku kurang yakin dengan keikhlasannya. Rifki mengeluh dan mengerutkan dahi sambil menggelengkan kepala. Seolah tidak setuju dengan ayatku itu.

“Sekarang awak pula yang berburuk sangka, saya ikhlas dan bersungguh-sungguh. Bukan sebab mummy yang suruh atau paksa. Saya sendiri yang rasa bersalah, saya tak sepatutnya buat awak macam tu. Lagipun bila difikir-fikirkan semula, saya rasa mungkin pilihan mummy kali ini boleh tahan juga.” Kata Rifki dengan nada yang lembut. Aku mencebik, rasa menyampah pula dengannya. Apa hal nak bergurau pagi-pagi buta ni dengan aku, hilang akal apa?

“Hai, awak tak takut ke, kita ni kan garang dan rakus? Kita bukan saja pandai baling kasut dan calarkan kereta, remukkan kereta pun boleh,” balasku bersahaja. Rifki memandangku kemudian tersengih. Mungkin terasa dengan sindiranku itu.

“Sebenarnya ada bagusnya kalau macam tu, senang sikit tak payah saya ambil bodyguard. Awak bukan sahaja boleh jaga diri sendiri tapi dengan saya sekali.”
“Eh, bila masa pulak kita cakap kita nak jaga awak?”

“Bila kita dah kahwinlah nanti,” selamba Rifki membalas. Spontan aku membesarkan mata, geli dengar ayatnya itu. Ish, tak malu langsung. Semalam beria-ia kata tak mahu kahwin dengan pilihan keluarga, hari ni cakap lain pulak. Bercabang betul lidah mamat ni.

“Kirim salamlah, siapa yang nak kahwin dengan awak?”

“Pada siapa?”

“Pada siapa, apa?” Soalku tidak mengerti. Ayat pertanyaannya itu tak lengkap, buat aku keliru saja.

“Nak sampaikan pada siapa kirim salam awak tulah,” jawab Rifki sambil tersenyum. Aku menjeling.

“Awak ingat kelakar ke?”

“Saya buat kelakar ke?” Soal Rifki pula dengan selamba. Aku mendiamkan diri sambil merenung lelaki di hadapanku itu. Yang pelik, kenapa aku masih boleh berhadapan dengan lelaki itu meskipun dia telah melukakan perasaanku. Mungkin kerana lelaki itu menarik dipandang mata dan ada saja modalnya untuk berjenaka. Dalam pada geram, hati terhibur juga. Tetapi lelaki macam ini perempuan mesti keliling pinggang. Ah, kenapa aku mesti memikirkan sangat tentang lelaki itu. Bukankah aku tengah marah padanya.

“Ish, malaslah nak layan awak ni, kita nak masuk office.” Ujarku terus bingkas. Rifki turut bangun dan segera membayar harga makanan kami. Dia menghantar aku hingga ke pejabat, padahal bukan jauh sangat, seberang jalan saja. Tiba di muka pintu, aku berdiri dan menghalang laluan Rifki untuk ikut masuk. Aku tidak mahu dia hantar aku sampai ke meja pejabat pula, cukuplah sampai di sini.

“Awak part time jaga pintu ke?” Soal Rifki sambil tersengih. Aku sudah membesarkan mata, tanda geram padanya. Dia fikir dengan berlawak macam tu, hati aku akan cair ke?

“Awak tu, tak payahlah sibuk-sibuk nak hantar kita sampai ke dalam. Nanti semua orang tahu.”

“Apalah awak ni, saya nak jumpa Anislah. Cubalah jangan asyik buruk sangka pada saya,” sahut Rifki perlahan dan mendatar. Aku rasa bersalah pula, segan pun ada kerana perasan.

“Tapi kalau semua orang tahu pun apa salahnya. Senang sikit kerja saya, tak payah nak buat announcement nanti.” Rifki kembali berseloroh.

“Cakap dengan awak ni buat sakit hati saja!” Segera aku menolak daun pintu dan terus ke tempatku tanpa menoleh pada Rifki lagi. Layan Rifki tu boleh dapat darah tinggi. Aku terus menghadap komputer, meneruskan kerja yang tergendala. Dari tempatku itu, aku boleh lihat Rifki yang sedang berbual dengan Kak Anis. Mereka nampak mesra, seolah sudah kenal lama. Aku sempat melemparkan jelingan tajam sebaik Rifki melontarkan pandangan dan kenyitan mata yang nakal padaku.

“Eee, tolonglah! Ingat dia buat macam tu aku suka agaknya,” bebelku sendirian sambil mengerling lagi pada Rifki yang kini sedang tersenyum padaku pula.
Tanpaku sedar Gaban sudah berdiri di sisiku. Patutlah aku rasa seperti ada seseorang di sisi kiriku. Rupanya dia, berdiri memerhatikan jambangan bunga yang aku terima dengan wajah yang serius. Aku mula resah sendiri, bimbang jika lelaki itu salah faham terhadapku. Tapi yang aku nak takut sangat kenapa, biarlah Gaban fikir yang bukan-bukan pun, aku peduli apa.

“Sejak bila jadi minah bunga ni?” Aku mengetap bibir, tak percaya ayat seumpama itu ditujukan padaku. Aku hanya mendiamkan diri, berpura-pura sibuk sedangkan dalam hati berdetap-detup. Kenapa dengan aku ni? Aku tidak mampu untuk bersuara apatah lagi untuk memandang wajahnya.

“Sayang.” Aku mendongak dan ternganga seketika apabila Rifki memanggilku begitu.

“Saya balik dulu nanti petang saya jemput.” Sambung Rifki sambil mengenyitkan mata padaku. Tindakan Rifki itu sungguh mengejutkan aku, tak sangka lelaki itu masih ada masa nak bergurau denganku di hadapan Gaban. Aku hanya memandang kelibat Rifki hingga hilang dari pandangan. Kini aku tidak berani hendak menoleh pada Gaban, bimbang hendak melihat reaksinya. Tanpa sebarang kata Gaban terus meninggalkan aku. Kini aku terpinga-pinga sendiri. Marahkah Gaban padaku?


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Akukah Juwita 9”
  1. aini nisha says:

    nak lg nak lg……tp minah ni ngan gaban ke rifki yek….

  2. SWEET BUTTERFLY says:

    ;-) tu kena tunggu ler…..tapi rasanya aini suka sapa ek? Gaban @ Rifki eh?

  3. IEYNA says:

    TAK ADE NAME LAIN KE SELAIN MINAH….TAK MODEN LANGSUNG

  4. miss say says:

    like!!!!
    cnTneu plzzz

  5. SWEET BUTTERFLY says:

    ;-) jgnlah mcm tu IEYNA….nama tu nama kawan kita…. apa salahnya sesekali guna nama biasa, asyik nama glamour je…. :smile: apa pun terima kasih sudi membaca ye!

  6. MUTIARA says:

    :razz: nak dgan rifki katekan xnak gaban…pleaz…rifki comey

  7. AIzah Arshad says:

    ALA DAH BERBAHAGI HATI NI
    CAMNE??????
    GABAN? OR RIFKI???????????

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"