Novel : Cinta 86400 Detik 1

18 October 2010  
Kategori: Novel

3,771 bacaan 5 ulasan

Oleh : Nuqman Hakimy

BAB 1 IZINKAN AKU MELETAKKAN CINTA DI HATIMU WALAUPUN UNTUK SATU HARI

Dah lama Ashriel memerhatikan gerak geri Azira sejak mereka pertama kali terserempak ketika masuk ke dalam kelas. Gadis manis dengan senyuman menawan berserta renungan mata yang mampu membuatkan jantungnya seperti ingin tercampak keluar menyebabkan dia agak gugup untuk menyapanya. Apa tah lagi bila melihat penampilan penuh berkarisma anak gadis kelahiran kota Kuala Lumpur ini dia jadi ragu-ragu untuk meletakkan harapan adakah dia mampu berbicara tanpa dipengaruhi oleh rasa gugup. Sungguhpun Azira duduk di hadapannya tapi sehingga kini selepas hampir tiga bulan masa berlalu satu patah perkataan pun belum terucap. Dia takut untuk menyapa gadis itu, Azira pula langsung kurang berminat untuk bercakap dengan sesiapa. Gadis itu sengaja tarik muka ketika sampai ke tempatnya. Sombong betul!

Ashriel pun kurang mengerti kenapa Azira perlu berwajah serius. Bukankah itu perbuatan yang menyusahkan. Tak penatkah sentias menegangkan muka? Tak lemaskah membiarkan wajah sentiasa ketat. Bukan patten wajahnya begitu. Kalau patten sebegitu memanglah tak boleh diubah. Dah ditetapkan sejak azali lagi. Ini tidak, gadis itu amat cantik sekali bagaikan seorang bidadari. Ashriel betul-betul kurang mengerti dengan gaya gadis itu. Kurang sesuai sungguh dengan muka cantiknya. Tapi seriusnya Azira belum mematahkan hatinya untuk menegur. Sekarang ini Ashriel sedang menyusun keberanian untuk menyapa Azira.

Sebagai jiran senafas hendak juga Asriel bersahabat, bertukar-tukar pendapat, berbincang dan berdebat bagi berkongsi ilmu pengetahuan. Bukankah sahabat itu keperluan jiwa yang mesti dipenuhi, lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka sedang berusaha mengenggam segulung ijazah di tangan. Sungguhpun dia nampak pendiam dan pemalu dia bukanlah dari golongan yang tidak mencampuri masyarakat. Ini tidak… mereka berdua seperti mengalami perang dingin. Macam Amerika dan Soviet Union selepas era perang dunia kedua. Masing-masing membisu seribu bahasa. Masing-masing kaku tanpa bicara.

Kadang-kadang kerana kesukaran itu Ashriel ada terfikir kenapa tidak keinginannya menyapa Azira semudah jalan cerita di dalam cerekarama. Dia boleh saja mencipta alasan mudah. Buat-buat terjatuh pen dan Azira pula dengan perasaan murah hati membantu mengambilkan pennya. Lalu jeling-jeling, senyum-senyum, tegur-tegur, tukar-tukar nombor telefon. Maka bermulalah hati terpaut. Tapi… boleh ke, macam tu? Wujudkah lagi aksi tipikal seperti itu di zaman sekarang?

Ahhh… itu ikut skrip! Bentak hati Ashriel tidak setuju. Segala-galanya sudah dipraktiskan terlebih dahulu oleh pengarah dan pelakon hingga jalan ceritanya nampak lucu dan menarik. Wajah kedua-duanya pun cukup nuteral sekali seperti itulah kejadian tidak disengajakan dalam pertemuan mereka. Pada hal entah berapa banyak kali adegan tersebut terpaksa di ulang. Tapi sekarang ini dia berhadapan dengan realiti sebenar bagaimana ingin menegur seorang gadis pendiam, serius dan nampak cengir. Alamatnya, jika tersilap hari bulan mau hilang darah di wajah kerana di sergah. Itu belum lagi dikira kerongkong yang terpaksa dikorek baru mengeluarkan suara. Hisss… seksa sungguh.

Silap menegur, terang dia akan dituduh ingin mengurat. Memang jiwa tulus lagi suci dan murni Ashriel mengakui tujuan sebenar kenapa dia ingin menegur Azira sebahagiannya bercabang kepada alasan itu. Jantung mana tidak bergegar andai setiap hari matanya asyik menatap wajah gadis secantik Azira. Tipu kalau dia mengatakan tidak. Buta kalau dia membiarkan begitu saja. Cuma Ashriel agak ragu-ragu untuk menyapa takut tersalah teknik. Pengalaman lalu membuatkan dia cukup berhati-hati terhadap gadis seorang ini. Sikap pendiam, serius dan sombongnya memberikan alamat cukup pasti Azira amat sukar di dekati.

Bodoh kamu Ashriel! Bukankah tak salah jika ingin mencuba. Perempuan itu, kan pemalu. Nampak aja keras tapi hatinya lembut. Mana mungkin seorang gadis lebih dulu memperkenalkan diri? Ashriel mengaru-garu kepala yang tidak gatal. Dasar orang kampung, Malu tapi mau! Tukas hatinya keras memperbodohkan diri sendiri.

Ashirel masih menimbang-nimbang keinginan dalam bisikkan takut di hati sambil tetap memberikan perhatian kepada gadis itu. Seperti selalu Azira mengigit-gigit pengsil. Anak matanya tepat memandang ke papan putih di hadapan. Apa sedang difikirkan hingga batang pengsil menjadi santapan? Habit itu membuatkan hampir semua batang pensilnya berlekuk-lekuk hingga kalau diberi peluang untuk meminjam dia mungkin akan berfikir sepuluh kali. Agak-agaknya dalam satu bulan berapa batang pengsil diperlukan untuk digigit? Tanya hati Ashriel meneka. Atau…

“Kebulur kot?” gumam Ashriel tanpa sengaja. Sungguhpun perlahan tapi suaranya itu menyelinap masuk ke telinga Azira membuatkan gadis serius itu perlahan-lahan meletakkan pengsil di atas meja. Perlahan-lahan juga warna merah merayap ke mukanya. Malunya bila ditegur begitu. Ditegur pula oleh jejaka bisu di belakangnya yang sudah hampir tiga bulan mematung diri seperti telah disumpah menjadi batu umpama cerita di dalam hilayat si Tanggang membuatkan pipinya pantas mengembang seperti belon. Kawal ayu Azira nanti pecah muka kau! Bisik hatinya sambil mengawal nafas yang tiba-tiba menderu kencang.

“Tak boleh jadi ni… kena balas juga!” gumam Azira dalam hati. Serang jangan tak serang, tambahnya lagi.

“Kalau tau kita lapar hulur-hulur burger ke, pizza ke.” Rungut Azira membalas. Memang terasa, tapi mula menyiramkan keriangan di hatinya setelah jejaka di belakangnya itu mula mengeluarkan suara. Akhirnya dia mendengar juga jejaka bisu itu menyapa dirinya walaupun dalam sapaan tidak digemari. Kebulur! Sanggup dia kata aku kebulur! Tukas hati Azira seperti tidak percaya itu ayat pertama dari Ashriel menyapanya. Kejam sungguh!

Ashirel terkedu namun pantas berfikir, cisss… ada respon menunggu, apa lagi, sambarlah peluang! Tapi dia masih ragu-ragu untuk menyapa Azira dengan kesamaran respon diberikan itu. Menyindir atau memberi peluang untuk mulutnya terus melancarkan serangan! Perkhhh… macam di medan juang! Bermulalah tugasnya untuk mengalas senjata. Tapi sebagai askar biasa atau panglima kelas pertama?

Kata Fuad Azira anak orang berada. Rumah banglonya terletak di kawasan elit masyarakat orang ada-ada. Sudah semestinya dia amat teliti dalam memilih kawan. Poket kembung dan kereta mewah adalah ciri-ciri utama bagi memastikan temannya nanti berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Jika dibandingkan dengannya, aduhhh… dia hanya setakat naik bas dan jalan kaki. Manakan sama, mereka berdua bagaikan enggang dengan pipit. Tapi… kan, cinta itu buta… jadi… jangan benarkan respon mengoda terbiar menjadi buih-buih kebimbangan. Dalam ragu-ragu Ashriel cuba juga menjawab.

“Arrr… burger dengan Pizza tak ada, kudap-kudap ada (sebutan bagi makanan ringan masyarakat orang kota). Kacang botak, kalau nak boleh juga.” Ujar Ashriel dengan suara halusnya. Serentak itu tangannya mengagau ke dalam beg bagi mencari kacang tersebut.

Tapi tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi pucat ketika menyedar kacang dicari tidak ditemui. Kenapa boleh jadi begini? Sudah ghaibkah kacang dimaksudkan tadi? Pantas dia mengangkat dan meletakkan begnya di atas riba. Seluruh ruang di dalam beg itu habis diselongkar. Poket-poket kecil di sekeliling beg itu juga di buka. Gagal mencari barang dikehendaki dahi Ashriel berkerut seribu sambil cuba mengingatkan sesuatu.

Tak mungkin bungkusan kacang itu dibuang walaupun dia marah kepada kak Tun pagi tadi. Ashriel mengerahkan otaknya berfikir, dia pasti selepas kak Tun mengantikan duit syiling 50 sennya dengan sebungkus kacang dia terus mencampakkan bungkusan kacang itu ke dalam beg. Memang dia pasti kacang itu tidak dibuang. Sekali lagi Ashriel menyelongkar begnya dengan harapan bungkusan kacang itu ditemui. Seakan-akan lega setelah terpandangkan bungkusan kacang yang boleh dijadikan azimat itu terselit dicelah buku-bukunya.

“Adehhh… semput nafas aku, masa macam ni kau main sembunyi-sembunyi ya dengan aku! Aku tahulah kau marah dekat aku sebab campak kau. Tapi… janganlah buat macam ni.” Kata Ashriel menghela nafas bagi membuang gemuruh di dadanya. Kacang botak berharga 50 sen digenggam dengan erat. Mana tahu kacang berharga 50 sen itu menyebabkan sebuah ikatan mula terbentuk. Jika benar apa di kata selepas ini dia akan membeli kacang bertuah itu sebanyak satu papan buat simpanan. Satu bungkus dari kacang itu akan diframekan buat kenang-kenangan. Akan digantung di dinding sebagai hiasan buat mengingatkan kedatangan sekuntum bunga dijambangan hatinya. Perasannya Ashriel, baru menyapa dah berangankan bukan-bukan.

Tanpa di duga Azira menghulurkan tangan ke belakang. Sekali lagi Ashirel tergamam. Nasib tidak terjerit. Kalau tidak…. satu kelas terperanjat. Tapi pantas dia menyambar peluang. Kelam kabut menetakkan bungkusan kacang di atas tangan Azira. Kan! Sudah terjadi apa diangan-angankan. Terima kasih kak Tun kerana mengantikan duit syiling dengan kacang ni meskipun hatinya membentak pagi tadi. Gembirannya, bertapa cepat marah di hatinya bertukar menjadi satu keuntungan lumayan. Aduhhh… siapa sangka buah cempedak dah jadi nangka. Kain kapas bertukar menjadi sutera. Mau balik nanti dia berjumpa dengan kak Tun bagi mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Tentu terperanjat kakak labu sayung itu menerima ucapan terima kasih dari seorang pemuda yang pagi tadinya merengus geram.

“Terima kasih.” Kata Azira dengan beraninya berpaling setelah sebungkus kacang terletak di tangannya. Selamba memandang wajah jejaka sunti yang terpana kaku dengan tindakbalas beraninya itu. Dengan T-shirt lengan panjang berwarna merah hati di tarik hingga ke siku, seluar kargo dari kain khaki menjadikan Ashriel nampak begitu natural sekali. Dengan mata sedikit melengkung ke bawah, kening lebat turut mengikut sama, ditambahkan lagi hidung mancung terletak semakin comel wajahnya kelihatan. Seringkali dia bertanya sudahkah lelaki comel ini mempunyai kekasih hati?

“Arrr… sama-sama.” Balas Ashriel tergagap-gagap. Terpana sejenak tak tahu apa harus dikatakan lagi ketika Azira dengan berani memandang wajahnya. Gadis ini tidak saja mempunyai senyuman menawan tapi juga menarik dan berwajah cemerlang cuma tertutup dengan wajah seriusnya. Rambutnya yang terikat kemas bak ekor kuda berayun-ayun di kepalanya ketika dia berpaling. Seperti sengaja melambai-lambai memanggil hatinya. Memang dia mempersonakan. Bertambah getaran di jiwa lelaki di miliki. Pantas Ashriel mengusap dada takut jantungnya tiba-tiba melenting keluar mendapatkan Azira. Rosak nanti rancangannya.
“Azira.” Kata Azira memperkenalkan diri. Senyum menguris bibirnya menampakkan sebaris gigi putih bersih. Tersenyum bagaikan jelitawan sedang berada dipentas peragaan. Hampir pengsan Ashriel terpersona dengan senyuman itu.

“Tauuu…” sepontan Ashriel bersuara. Azira membesarkan kelopak mata seperti terkejut. Tapi diam-diam satu kelegaan mula membelai jiwanya dengan jawapan sepontan itu. Namanya selalu disebut, patutlah dia asyik teringatkan Ashriel. Azira menyaksikan mata pemuda itu mengecil menahan malu.

Gulppp… ahhh.. kenapa dia terlepas cakap dia tahu nama Azira. Kurang sopan! Bukankah lebih baik dia menganggukkan kepala saja? Sekarang tentu Azira tahu dia sudah menyelidiki latar belakang dirinya. Ashriel kehilangan tingkah dengan keterlanjuran mulutnya bersuara. Sekali lagi Azira tersenyum menyaksikan jejaka comel itu menahan malu tapi punya keinginan untuk berteman. Dan Ashriel menikmati senyuman menawan itu sepuas-puas hati. Malah berharap senyuman itu tidak akan berhenti setakat itu.

“Kita juga tahu nama awak, ingatkan selama ni awak bisu. Rupa-rupanya ada suara.” Habis berkata-kata pantas Azira berpaling menghadap ke hadapan meninggalkan Ashriel terbebil-kebil sendirian. Ketawa kecil bergema di bibirnya. Tidak lama kemudian telinganya mendengar suara meriah derup derap kacang di kunyah. Comelnya wajah malu dia, guman Azira di dalam hati amat gembira sekali.

Sambil menyandarkan badan diam-diam Ashriel tersenyum mengenangkan kejadian pantas sebentar tadi. Seperti tidak percaya tapi dia kena mempercayaainya. Bagi membuktikan dia tidak bermimpi pantas Ashriel mengigit bibir. Sakit! Sekali lagi dia mengigit bibir sehingga terbit sedikit darah. Memang dia di alam nyata. Dia bukan dia alam mimpi. Diperhatikan sekeliling, cahaya matahari mencelah masuk melalui cermin jendela menambahkan kecerahan suasana di dalam kelas itu. Sekarang dia sedar dia masih berada di dalam kelas dan bukannya berada di sebuah alam penuh fantasi penuh kejadian-kejadian magic. Gadis di hadapannya ini bukan setakat menawan tapi agak nakal juga orangnya, tukasnya di dalam hati.

Keadaan kembali seperti biasa cuma Ashriel masih terfikir-fikir bagaimana dia ingin menyapa Azira. Bagaimana dia ingin mengambil kesempatan dengan kejadian sepontan tadi supaya perhubungan mereka tidak berhenti setakat itu. Sambil mencari idea bernas Ashriel mengintai lagi wajah gadis itu. Selamba mengunyah kacang seperti tidak peduli dengan dirinya di belakang yang masih terkejut dengan tindakkan pantasnya. Sekejap-sekejap dia menunduk, sekejap- sekejap dia mendongak. Ishhh… Ekor kudanya bagaikan sengaja melambai-lambai memanggil Ashriel supaya segera menegur. Ingin saja disentapnya ekor kuda itu biar Azira terus berpaling ke belakang. Tapi… jangan cari naas Ashriel. Kasar sangat, nanti dapat penampar!

Sempat dia memandang Fuad bagi memberikan perkhabaran tentang respon baik diberikan Azira, tapi temannya itu sedang tekun menulis sesuatu. Hendak berdehem takut sampai kepada orang yang salah. Hendak di baling takut singgah ke tempat lain. Akhirnya dia terdiam bagaikan orang binggung. Jadi berani Asriel, di mana sifat kelakian kau, tak mungkin selamanya nak sembunyikan! Tak mungkin selamanya kau nak mengharapkan Fuad! Hatinya menegur.

‘Nak tegur tidak, nak tegur tidak?” kata Ashriel di dalam hati setelah gagal mendapatkan pandangan Fuad. Menimbang-nimbang keinginan yang tercetus sejak dulu lagi. Perasaannya mula diusik bimbang andai peluang diberikan ini berlalu dengan sia-sia. Tak mungkin ada peluang kedua atau ke tiga. Dia harus mengikut resam helang terus turun menjunam menyambar mangsa di hadapan mata tanpa teragak-agak.

“Nak bagi saya kacang lagi?” tiba-tiba suara Azira berdesir mengejutkan Ashriel dari lamunan. Azira tersenyum, bertapa manis senyumannya. Buta kau Ashriel, semua yang kau nampak tentang dia manis aja! Jantung Ashriel berdegup dengan keras sekali.

“Kenapa tergamam sampai macam tu sekali?” ujar Azira memandang Ashriel dengan kemas. Suka dia memandang wajah pemuda itu yang kini kelihatan serba tak kena.

Ashriel terkujat, menjawab selagi mampu bersuara. Entah apa diucapkan dia sendiri tidak tahu. Kata-kata itu lolos dari bibirnya begitu saja. Ashriel mengeluh di dalam hati. Kenapa seluruh anggotanya tiba-tiba menjadi kaku melainkan jantungnya berdegup hingga tidak terkawal setelah menatap wajah Azira secara berdepan?

“Ohhh… begitu!” balas Azira sambil tertawa perlahan. Ashriel mengeluh kesal. Apa sudah diucapkan sehingga Azira mampu ketawa. Pasti sesuatu yang tak masuk akal sudah terkeluar dari mulutnya. Pasti Azira mengatakan dia bengong sebagaimana gelaran diberikan Fuad. Jatuhlah sahamnya nanti. Ashriel menarik nafas sambil menanam kekuatan hati. Mengerah keupayaan untuk menghadapi kenyataan sebenar.

“Apa awak tanya tadi?” Akhirnya Ashriel mampu mengeluarkan kata-kata mengikut kawalan otaknya. Wajahnya bertukar kemerahan mengawal rasa malu.

“Kacang tadi.” Ujar Azira sambil tersenyum lagi. Aduhhh… bertambah gelora perasaan Ashriel. Jantungnya kini meronta-ronta ingin melompat keluar. Nasib sempat ditekan.

“Dah habis, saya beli satu aja.” Kata Ashriel perlahan juga terkilan kerana gagal memuaskan kehendak gadis pujaan hatinya.

“Ingatkan nak bagi satu lagi. Saya macam terdengar awak panggil saya.” Kata Azira seperti mampu mendengar jeritan di jiwa Ashriel.

Perkhhh… lapar gila patutlah hari-hari gigit pengsil! Tukas Ashriel dalam hati. Asriel tersenyum agak lambat bagi menyembunyikan bisikkan sinis di hatinya.

“Tak apa… nanti, masa rehat saya belanja awak makan, itupun kalau awak sudi keluar makan dengan saya.” Kata Ashriel selamba. Seperti tidak percaya kata-kata yang terlolos lagi dari bibirnya merupakan satu pelawaan untuk membawa Azira keluar makan. Benarkah Ashriel begitu berani hari ini? Lantas tiba-tiba hatinya tersenyum dalam-dalam. Siapa bila aku bukan lelaki sejati! Bisiknya penuh bangga.

“Dekat mana, KFC, Pizza atau warung tepi jalan.” Sepontan Azira menagih janji. Mata nakalnya cuba meninjau sinar malu dari mata jejaka comel di hadapannya itu yang kelihatan serba tak kena. Aduhhh… meratah sukma sinar dari anak matanya yang berwarna keperangan. Kenapa terlalu mengoda matamu wahai jejaka pemalu? Bisik hati Azira mula diserang rasa semacam. Bagi melawan serangan itu Azira buat-buat mengintai buku di atas meja Ashriel. Ada gambar kartun dilukis dengan pengsil. Juga ada ayat-ayat tertulis di bawah kartun itu tapi matanya gagal membaca disebabkan tulisannya terlalu kecil.

“Mana-mana janji awak selesa.” Kata Ashriel malu-malu. Serentak itu dia meraba poket seluar. Duit sebanyak tiga ratus ringgit untuk membeli buku rujukkan masih berada di situ. Digengamnya dengan erat seperti takut akan hilang. Buat masa ini duit itu memberikan seribu satu makna dan menjadi seribu satu hikmat kepadanya. Hanya itu sandarannya bagi memastikan majlis makan beradap berjalan dengan lancar. Tak apalah dia menangguhkan keinginannya demi memberi ruang untuk hatinya mula bertapak. Mana tahu memang mereka punya keserasaian. Maka bermula malam ini tidurnya akan lena sampai ke pagi. Senyum melayang hingga ke telinga, bulan dan bintang menjadi saksi mimpi semalam amat indah sekali. Ashrielll…. apa yang kau merepekkan ni! Mengucap Ashriel… mengucap.

“Betul?” tanya Azira meminta kepastian. Seterusnya ingin menduga adakah pelawaan itu sekadar pemanis bicara buat mematikan tubuhnya dari berpaling ke hadapan. Anak mata Azira sedikit mengecil meminta kepastian dari Ashriel. Wajah Ashriel nampak amat bercahaya menandakan dia tidak berbohong.

“Janji harus di tepati.” Ujar Ashriel dengan penuh semangat.
“Tak rugi?” tanya Azira ingin terus menduga sejauh mana kehadirannya mendapat tempat di hati jejaka itu. Melihat wajah Ashriel begitu bersungguh-sungguh dia percaya kata-kata itu bukan cakap kosong belaka.

Ashriel menggelengkan kepala. Kenapa perlu rugi pada bulan yang tiba-tiba jatuh ke riba? Kenapa perlu terpegung pada pungguk yang tiba-tiba mampu terbang menghampiri bulan? Apabila cinta memberikan isyarat maka dia harus mengikuti isyarat itu walaupun terpaksa melalui jalan penuh berduri. Ashriel sedar terlalu sulit untuk mendapatkan cinta sejati. Sekarang peluang sudah diberikan, dia akan mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin tanpa ingin berpaling lagi. Tiada istilah rugi bagainya menghabiskan duit dengan kesudian Azira itu. Rugi itu adalah jika dia melepaskan peluang bertuah ini.

“Bertuah!” kata Ahriel sepontan. Merasakan dia cukup berani untuk berterus terang. Sampai masanya dia belajar bagaimana ingin menjadi seorang lelaki sejati dan bukannya asyik mendengar kutukkan Fuad dengan sifat penakutnya tika berhadapan dengan perempuan.

“Bertuah?” ulang Azira buat-buat tidak mengerti. Ayat penyata itu membuatkan perasaannya kembang kuncup. Pantas dia menghirup nafas sebanyak mungkin bagi menghindarkan degup jantungnya bergendang seperti tong kosong. Kalau Ashriel tahu keadaan dirinya haru biru nanti.

“Ya, bukan selalu dapat. Kesudian awak merupakan tuah buat saya. Bayangkan tiba-tiba saya berpeluang makan bersama awak. Mungkin pernah berfikir tapi tak pernah berharap. Terlanjur peluang dah ada ni saya terima aja. Bak kata orang, kecil tapak tangan lapangan terbang KLIA saya tadahkan.” Ujar Asriel membocorkan rahsia hatinya. Saya juga, bisik Azira dalam hati amat gembira. Terasa seperti sebutir bom meledak di telingannya.

“Kalau macam tu, lepas habis kuliah awak belanja saya makan, ok. Rehat takut terlajak pulak.” Ujar Azira memberi cadangan. Seperti tahu masa mula berasa cemburu dengan pertemuan mereka. Ashriel lantas mengangguk setuju. Azira kembali menghadap ke hadapan. Kedua-duanya tersenyum panjang tidak lagi memberikan tumpuan kepada pelajaran di hadapan. Memang betulah kata orang cinta itu memang buta….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Cinta 86400 Detik 1”
  1. Emy says:

    BEST.. :smile: ..x sbr tgu smbgnnya..

  2. sundown rain says:

    best tp kurangkan monolog dlmn yg x perlu dn tmbhkn dialog…klu blh ayt biar sempoi..apa2 pun thumb up… :lol:

  3. myza hamid says:

    jalan cerita menarik, tapi, banyak perkataan yang salah ejaan. setau saya, tak ada perkataan ‘pengsil’.. mula2 ingat typing error.. tapi, kalo dah byk kali ulang, rsnye bukan typing error.. mood jd terbantut sket.. opinion je..

  4. esya says:

    ok je.. not bad la..

  5. G-KA says:

    jalan cerita yang menarik

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"