Novel : Dia Segalanya 20

22 October 2010  
Kategori: Novel

7,421 bacaan 9 ulasan

Oleh : sha ibrahim

BAB 20
“Kamu sedar tak apa yang kamu cakap ni! Dari dulu sudah papa cakapkan, jangan sesiapa pun ungkit pasal siapa diri adik dalam keluarga kita! Dia anak papa! Adik kamu!” suara Datuk Rashid bagaikan halilintar.

“Adik? Dia bukan adik Angah! Sampai bila-bila pun Angah tak akan anggap dia adik Angah! Dia bukan adik Angah!” serentak dengan itu tamparan kuat terus hinggap di pipi Faizul.

“Papa!” Suraya menjerit kuat. Dia terus tersedar dari tidurnya. Badannya berpeluh-peluh. Jantungnya berdegup dengan kencang sekali. Dia beristighfar panjang. Apa maksud mimpinya itu? Adakah dia hanya termimpi berkenaan peristiwa yang telah berlaku lapan tahun yang lalu. Tetapi kenapa wajah Faizul yang kelihatan dalam mimpinya adalah wajah Faizul pada masa kini. Dia beristighfar sekali lagi.

Kemudian kedengaran suara azan Subuh. Suraya terus sahaja turun dari katil dan menuju ke bilik air. Harapannya di kala itu hanyalah satu. Dia berharap sangat agar mimpinya itu hanyalah mimpi semata-mata. Dia tak mahu mimpinya itu menjadi kenyataan. Cukuplah peristiwa lapan tahun dahulu yang masih utuh dalam ingatannya.

*******

Suraya mengangkat minuman ke meja makan. Waktu itu, Faizal dan Datuk Rashid sudahpun menunggu di meja. Namun dia masih belum melihat kelibat Faizul. Takkanlah lelaki ni lewat lagi pagi ni. Dia berbicara di dalam hati. Belum sempat dia melabuhkan punggung dia agak terperanjat mendengar suara seseorang yang bersin dengan kuat. Bukan sekali, bukan dua, malah berkali-kali.

“Angah demam ke?” Datuk Rashid terus sahaja menegur Faizul yang sedang berjalan menuju ke meja makan. Faizul hanya mendiamkan diri dan melabuhkan punggung bersebelahan dengan Faizal.

Faizul kelihatan tidak bermaya sekali sehingga memperlihatkan matanya yang kelihatan agak bengkak. Mungkin tidak lena tidur semelam. Faizal yang berada di sebelah menyentuh dahi adiknya dan ditampar lembut oleh Faizul. Suraya tersenyum melihat telatah dua orang bangnya itu.

“Macam mana kau boleh demam ni…semalam kau ok je,” bicara Faizal. Setelah dia menyentuh dahi adiknya tadi dia dapat merasai kehangatannya.

“Aku tak demam la…selesema sikit je..masih mampu pergi kerja,” Jawab Faizul acuh tak acuh. Dia malas nak menjawab sebarang persoalan daripada sesiapapun pada pagi ini. Dia betul-betul hilang mood. Dia langsung tak menyangka tindakannya mengambil angin di balkoni biliknya sehingga jauh malam boleh menyebabkan dia diserang selesema. Sebaik sahaja dia bangun dari tidur kepalanya terasa berat sekali. Setelah itu dia asyik bersin tanpa henti. Sebenarnya sudah lama dia tidak jatuh sakit. Mungkin disebabkan sudah lama dia tak bersenam. Dulu di UK, sebelum dia ke kelas dia akan jogging dahulu di taman yang berhampiran dengan apartment yang didudukinya itu. Dia sudah terbiasa untuk bersenam dahulu sebelum ke kelas. Malah sekiranya hari dia tiada kelas dia akan bersenam pada waktu petang memandangkan waktu paginya dihabiskan dengan tidur sahaja. Tetapi setelah dia menjejakkan kaki ke Malaysia, rutin hariannya itu terus ditinggalkan.

“Habis tu…selesema tu orang tak panggil demam ke?” Tanya Faizal. Dia tahu perangai adiknya yang agak susah untuk memperlihatkan kelemahannya kepada orang di sekeliling. Dia sentiasa berlagak kuat di depan semua orang. Itulah perangai adiknya yang agak susah untuk diubah.

“Angah demam ke? Mama dengar dari dapur Angah bersin tak henti-henti, kalau demam tak payahlah pergi kerja, tak apa kan bang?” bicara datin Rafidah kemudian terus sahaj merujuk kepada suaminya.

“Tak apa…kalau Angah tak larat, rehat sajalah kat rumah, lagipun Along kan ada boleh gantikan kerja Angah hari ni,” bicara Datuk Rashid sambil menghirup kopi panas yang baru sahaja dituangkan oleh isterinya.

“Entah…sejak bila pulak kau rajin sangat sampai demam pun masih nak pergi kerja,” ngomel Faizal.

“Aku sihatla Long…aku kan dah cakap tadi, aku just selesema je…masih boleh pergi kerja la…aku malas nak dengar minah tu membebel lagi bila dia tahu aku cuti lagi hari ni,” jawab Faizul agak kasar. Datul Rashid dan Datin Rafidah berpandangan, kurang faham dengan apa yang diperkatakan oleh anaknya itu. Suraya pula hanya mendiamkan diri dan terus memandang ke arah Faizul. Dia belum pernah melihat wajah lelaki itu lemah sebegitu. Biasanya Faizul sentiasa kelihatan kuat dan bertenaga tak kira dia berada di mana sekalipun tapi kali ini lelaki itu kelihatan cukup lemah. Timbul perasaan bimbang di dalam hatinya di kala itu.

“Kau tengok apa? Aku sihat la….kau tak nampak aku sihat ni?” Faizul terus duduk dengan tegap. Suraya terperanjat apabila ditegur sebegitu. Rupa-rupanya Faizul perasan dari tadi dia asyik memandang lelaki tersebut.

“Tapi kenapa muka Angah pucat je…Angah tak payahlah pergi kerja nanti demam Angah tu bertambah teruk je…tak payahlah pergi kerja la Angah ek?” pinta Suraya agak manja. Faizal hanya tersenyum. Dia mengamati wajah adik bongsunya itu. Raut wajah sebegitulah yang sering ditunjukkan olehnya setiap kali dia dalam kebimbangan.

“Aduh….kenapa semua orang dalam rumah ni, dah berapa kali aku cakap aku ok…aku sihat, aku boleh pegi kerja…dah la, mana jus oren Angah?” Tanya Faizul apabila melihat minuman hariannya masih belum kelihatan di atas meja.

“Ala mama lupa nak ambil….

“Tak apa ma…biar adik pergi ambil, Angah tunggu sekejap ek,” Suraya terus sahaja bangun dan meluru ke dapur. Faizul hanya memerhatikan Suraya. Kenapa gadis itu sentiasa baik dengannya. Sentiasa lembut dengannya.

“Nah…” Suraya terus sahaja meletakkan segelas jus oren di hadapan Faizul. Faizul terus mencapainya dan terus sahaja minuman tersebut diteguknya dengan rakus. Sebenarnya dari semalam dia terasa dia kehausan yang teramat sangat. Mungkin itu adalah tanda-tanda awal dia akan demam selesema pada pagi itu.

“Angah makan la roti tu, lepas ni boleh makan ubat,” ujar Datin Rafidah. Serentak dengan itu Faizal terus sahaja tergelak kecil.

“Makan ubat ma….budak ni nak makan ubat, kalau mama suruh Angah ni makan ubat macam mama suruh dia telan racun…susah bukan main lagi, dekat UK dulu nasib baik dia tak selalu demam, kadang-kadang je, tu pun kalau Along suruh dia makan ubat….1001 alasan yang dia bagi, dia memang tak layan ma!” potong Faizal. Puan Rafidah tersenyum. Memang itulah perangai anaknya itu sejak dari kecil. Faizul yang paling susah untuk makan ubat. Dan yang paling senang nak makan ubat adalah Suraya. Anaknya yang bongsu itu sering sahaja jatuh sakit sejak dari kecil dan nasib baiklah anaknya itu tak susah untuk makan ubat. Dia terus akan makan apabila disuruh.

“Tahu tak apa….pahit tau tak!”

“Dah namanya ubat…memang la pahit, kalau tak pahit orang tak panggil ubat la pulak, pahit tu la boleh buat orang cepat sembuh,” Suraya menjawab kata-kata Faizul.

Faizul terus sahaja mejeling tajam ke arahnya. Kemudian dia menyambung minum jus oren yang berada dalam gelas sehingga habis. Bukan dia tak mahu makan roti ataupun nasi goreng yang telah disediakan oleh mamanya tapi dia langsung tak berselera. Dia hanya dahaga sahaja.

“Betul Angah boleh perge kerja ni, kalau Angah tak larat, Angah boleh ambil cuti saja, rehat kat rumah,” Datuk Rashid bersuara lagi.

“Ya pa…Angah boleh pergi kerja lagi, nanti kalau Angah tak larat bila kat tempat kerja nanti, Angah balik la rumah, tak payah bimbang la papa…Angah kuat lagi, Angah pergi kerja dulu la ek?” jawab Faizul dan terus sahaja bangun dari tempat duduknya.

“Angah…tunggu sekejap…sekejap je,” Suraya bersuara dan terus sahaj berlari anak menuju ke dapur. Faizul agak pelik melihat telatah gadis itu. Faizal dan ahli kelurga yang lain pun agak pelik melihat telatah Suraya.

Tak sampai seminit Suraya kembali dengan membawa dua botol 100 PLUS 500ml yang sememangnya sentiasa ada di dalam peti sejuk di dapur.

“Nah…Angah tak suka makan ubat kan, Angah minum je air ni, boleh kembalikan tenaga Angah…adik selalu jugak minum bila adik terasa letih, bagus tau air ni,” Suraya terus sahaja menghulurkan air tersebut kepada Faizul. Agak lama Faizul memerhatikan telatah Suraya dan barulah tangannya menyambut pemberian Suraya itu. Kemudian dia tersenyum. Entah kenapa dia terasa sedikit lucu melihat telatah dan riak wajah Suraya di kala itu.

“Dah…sekarang aku dah boleh pergi kerja kan,” Faizul terus sahaja melangkah menuju ke pintu utama.

“Angah!” laung Suraya sekali lagi.

“Apa lagi!” Tanya Faizul agak kasar. Dia menoleh melihat Suraya yang sedang berdiri di tempat yang sama.

“Angah kena banyak minum air suam…jangan minum sangat ais…air tu bila dah tak sejuk lagi Angah minum la, barulah selesema Angah tu cepat sembuh,” ujar Suraya lagi sambil tersenyum.

“Baiklah Cik Suraya oi! Memang tak sia-sia la kau ambil medic!” jawab Faizul terus menyambung langkahnya.

“Jangan lupa tau!” laung Suraya lagi.

“Bisinglah!” laung Faizul yang sudahpun berada di pintu utama rumah mereka.

“Percuma saja adik nasihatkan dia tu….bukannya dia nak dengar, mana pernah dia nak ikut kata-kata orang, asyik nak tunjuk keras kepala dia saja,” ujar Faizal. Suraya hanya tersenyum memandang abangnya yang sulung itu. Dia tahu Faizul memang degil dah agak susah menerima nasihat daripada sesiapa pun termasuklah papanya sendiri.

“Bagus jugak adik nasihatkan dia tu….manalah tahu nasihat adik dia nak ikut, kalau cakap mama ngan papa, mana pernah dia nak dengar…Along ni lagilah…asyik nak bergaduh saja ngan Angah,” ngomel datin Rafidah terus sahaj menyuapkan nasi goring ke dalam mulutnya. Datuk Rashid hanya mendengar.

“Dia tu yang degil sangat….kalau Along nasihatkan dia, dia cakap Along nak cari gaduh ngan dia, tu yang kadang-kadang Along dah naik malas nak layan dia tu,” balas Faizal membela diri.

“Semua anak-anak papa degil….dari kamu, ke Angah sampailah adik, masing-masing degil…cuma yang paling degil Angah la, papa pun naik risau memikirkan kedegilan dia tu,” Datuk Rashid bersuara. Faizal hanya mendiamkan diri. Begitu juga dengan Suraya. Masing-masing terkena.

*******

Faizul berjalan menuju ke arah biliknya sambil membawa sebotol 100 PLUS. Percaya ataupun tidak, dalam perjalanan tadi dia sudahpun menghabiskan sebotol 100 PLUS. Betul juga kata Suraya, air itu mampu memberikan tenaga. Tetapi dia sendiri tak tahu dia bertenaga disebabkan air yang dimunumnya ataupun disebabkan air tersebut adalah pemberian Suraya. Gadis yang dicintainya dalam diam.

Faizul melabuhkan punggungnya ke kerusi. Kepalanya masih terasa berat wapaupun badannya sedikit bertenaga. Dia minta sangat agar Najihah tak membawa sebarang berita yang dia akan bertemu dengan sebarang klien di luar hari ini. Dia malas dan badannya tak larat untuk keluar daripada pejabat hari ini.

“Masuk,” Faizul bersuara lemah sebaik sahaja mendengar ketukan pintu.

“Morning Joe…you sihat ke? I tengok muka you lain macam saja pagi ni?” Tanya Najihah. Pagi tadi apabila dia terserempak dengan Faizul sewaktu lelaki itu menuju ke lif, lelaki itu kelihatan letih dan tak bermaya.

“I’m ok…just influenza,” jawab Faizul pendek. Namun pembantu peribadinya hanya mengerutkan dahi. Langsung tak faham dengan apa yang dicakapkan oleh bosnya itu.

“Apa tu?” Tanya Najihah. Faizul tersenyum. Macam manalah dia boleh gunakan bahasa perubatan dengan pembantu peribadinya itu.

“Sorry…I ingatkan I tengah bercakap dengan Suraya…actually something like an infectious illness with headache, fever and sneeze….ala demam selesema la,” ujar faizul setelah mendapati Najihah seakan-akan dalam kebingungan mendengar penerangan daripadanya.

“La…flu!”

“Yup! Flu…tapi kalau you nak tahu ‘flu’ tu adalah singkatan daripada ‘influenza’…biasalah zaman sekarang suka guna singkatan perkataan, mudah dan cepat kan?” Faizul bersuara lagi. Berbaloi juga dia banyak membaca mengenai buku mengenai perubatan.

“You know what Joe…makin I kenal you kan, I rasa you ni makin menarik la pulak, macam mana you boleh tahu banyak hal pasal ‘medication’ ek….oo…lupa, adik you kan medic student, sebab tulah tadi you cakap you ingat you sedang bercakap dengan Suraya,”ngomel Najihah. Faizul hanya tersenyum. Malas dia nak bercerita lanjut berkenaan dengan Suraya. Dia bukan tak tahu dengan perangai Najihah. Gadis yang suka bertanya dan tak malu untuk bertanya. Silap hari bulan rahsianya pecah.

“Ada apa you datang jumpa I ni? you janganlah cakap hari ni I ada appointment kat luar…I tak larat la Jihah,” Faizul terus memicitkan kepalanya yang sentiasa berdenyut dari tadi.

“Nasib you baik…hari ni you memang tak ada sebarang appointment kat luar…cuma beberapa dokumen ni yang perlukan tandatangan you…tapi tak adalah urgent sangat, you boleh semak perlahan-lahan,” Najihah terus sahaja meletakkan beberapa buah fail yang dipegangnya dari tadi ke atas meja Faizul. Faizul menghembus nafas lega mendengar penjelasan yang diberikan oleh pembantunya itu.

“Thanks Jihah…ada apa-apa lagi?” Tanya Faizul. Bukan niatnya mahu menghalau pembantunya itu keluar tetapi matanya teringin sangat nak tidur sekejap.

“No…I keluar dulu, you pun nampak letih sangat tu, you rehatlah dulu…anything I can do for you?” Tanya Najihah sebelum melangkah keluar.

“Yea…sure! Buatkan I air,” pinta Faizul. Najihah hanya mengangguk. Kemudian melangkah menuju ke pintu.

“Oo ya Jihah…tak payahlah you buatkan I air….cuma kalau you tak keberatan, just bawakan segelas air suam untuk I…and satu jug air kosong, maksud I air masak…. I dahaga sangat hari ni,” Faizul memberikan arahan. Dia tahu pembantunya itu akan melakukan apa sahaja yang disuruhnya. Niatnya tadi memang mahukan Najihah buatkan dia milo ais macam biasa tetapi tiba-tiba sahaja dia teringatkan pesanan Suraya.

“With pleasure….you rehatlah, kejap lagi I bawakan apa yang you minta tadi,” Najihah tersenyum.

“You tak payahlah ketuk pintu bila you nak masuk nanti…I rasa I nak tidur sekejap, just letakkan atas meja sofa tu, ok!”

“Ok boss!”

“Kan I dah pesan jangan pandang I lama-lama nanti you terpikat,” ujar Faizul dan terus sahaja menggeliat.

Amira terperanjat mendengar suara lelaki tersebut yang tiba-tiba terjaga dari tidur. Terasa mukanya panas menahan malu. Sememangnya tadi dia sedang asyik memandang wajah Faizul yang agak keletihan sedang tidur. Malah dia mampu mendengar suara lelaki itu berdengkur kecil, mungkin disebabkan tempat tidur yang kurang selesa kerana Faizul hanya tidur di atas kerusinya.

“Kalau you nak datang ke pejabat semata-mata nak tidur….baik tak payah datang!”sinis sahaja Amira berbicara.

“Dan you pulak…kalau masuk ke pejabat I semata-mata nak sakitkan hati I, baik tak payah masuk, ni siapa yang benarkan you masuk ni…setahu I, I dah pesan dekat Jihah, I tak nak diganggu,” Faizul membalas kata-kata Amira dengan agak kasar. Pada pendapatnya dia tak payah nak berlembut dengan gadis itu. Tambahan pula dengan moodnya yang kurang baik hari ini.

“Allo! Sekarang dah tengah hari….Jihah dah keluar rehat, I masuk ke pejabat you ni cuma nak ambil dokumen yang Jihah bagi pada you pagi tadi….you dah tanda tangan?” Tanya Amira langsung tak melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah tersedia bertentangan dengan tempat duduk Faizul.

Faizul terus sahaja melihat jam di tangannya. Nampaknya agak lama juga dia tidur. Kepalanya pula masih belum berhenti berdenyut. Soalan yang ditanyakan oleh Amira hanya dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Faizul menjenguk kea rah sofa dan terpandang air yang dipesannya dengan Najihah pagi tadi. Dia terus bagun dan berjalan menuju ke sofa. Kemudian dia terus melabuhkan punggung di salah sebuah sofa yang terdapat di situ. Matanya memandang tepat ke arah satu jug air masak, satu gelas kosong dan satu termos sederhana besar untuk penyimpanan air panas sudah tersedia di atas meja di tengah-tengah sofa. Faizul tersenyum. Tak rugi dia mempunyai setiausaha yang begitu prihatin sekali.

“Faizul…I tengah bercakap dengan you sekarang ni,” Amira bersuara agak keras.
Faizul hanya membiarkan gadis itu bercakap seorang diri. Dia hanya mencapai gelas kosong dan memasukkan sedikit air masak di dalam jug dan dicampurkan dengan sedikit air panas dan terus diteguk sehingga habis.

“I kenal dengan Jihah…dan I percayakan dia, kalau tak silap I, pagi tadi dia cakap dengan I semua dokumen yang dia serahkan pada I untuk ditandatangani tak diperlukan dengan segera…dan I rasa dia tak silap bagi maklumat pada I,” Faizul berbicara lembut dan tenang. Kemudian dia menuang sekali lagi air kosong ke dalam gelasnya dan diteguk sehingga habis.

“Ya…I tahu, tapi you kena tahu, I tak suka kerja bertangguh, kalau you serahkan dokumen itu awal pada I bolehlah I siapkan kerja I awal sikit,” ujar Amira. Faizul hanya tersenyum.

“I tak tandatangan langsung pun lagi semua dokumen yang ada atas meja I tu, dan I rasa I tak akan siapkan semuanya pada hari ni, so kalau you tak suka kerja bertangguh…itu urusan you…I suka tangguhkan kerja I, dan kalau you nak cepat, you ambil semua dokumen tu, you tanda tangan sendiri, habis cerita!” puas hati Faizul dapat berbicara sedemikian. Sudah lama dia geram dengan perempuan itu semenjak dia dipanggil oleh abangnya tiga hai yang lepas.

“Habis tu you nak siapkan bila semua tu…esok dah hari minggu,” suara Amira semakin meninggi. Setiap kali dia berhadapan dengan lelaki tersebut darahnya sentiasa naik. Ada saja perkara yang dilakukan oleh lelaki tersebut menyakitkan hatinya.

“So….tak ada kena mengena dengan I, I just dengar apa yang setiausaha I cakap….tapi kan, I tak rasa you perlukan dokumen tu dengan cepat, you sengaja nak cari modal untuk bergaduh dengan I kan, perkara yang selalu you buat sebelum ni…sudahlah Cik Amira, kalau tak ada apa-apa hal lagi, you boleh keluar…kejap lagi I nak balik, petang ni I off…Datuk Rashid pun dah beri kebenaran,” Faizul berbicara tanpa memandang langsung ke arah perempuan tersebut.

“You….

“Ataupun you tak puas lagi nak tilik muka I ni….I memang tahu muka I ni handsome!” Faizul menyambung lagi sambil tersenyum sinis.

“Malas I nak layan you!” Amira terus melangkah menuju ke pintu. Faizul tahu kali ni dia menang lagi.

“I pun seribu kali malas nak layan you!” Balas Faizul dan terus bangun melangkah menuju ke kerusinya. Dia mengemas mejanya yang sedikit berselerak. Sekali lagi dia melihat jam di pergelangan tangannya. Harapannya agar Najiha sudah masuk semula ke pejabat. Dia perlu memberitahu gadis tersebut petang ni dia cuti separuh hari. Dia merasakan badannya semakin lemah.

Setelah selasai mengemas meja, dia terus sahaja mencapai kotnya yang tersangkut di penyakut yang telah tersedia dan dipakainya. Patutlah dia terasa sejuk tadi, rupa-rupanya dia menanggalkan kotnya sebelum dia tidur. Sebelum melangkah keluar dia sempat mencapai 100 PLUS yang masih tinggal sebotol yang diletakkan di atas mejanya sewaktu masuk ke pejabat. Minuman itu segera dibukanya dan diteguk lalu melangkah keluar dari pejabat.

******

Faizul turun dari keretanya dan terus sahaja menuju ke pintu utama banglo papanya. Bersin yang dialaminya sedikit berkurangan namun pening kepalanya pula semakin menjadi-jadi malah suhu badannya terasa semakin panas. Dia menggagahkan dirinya untuk memansu kereta dan pulang ke rumah tadi. Nasib baiklah jalan raya tak sesak tadi kalau tidak tentu dia tak mampu bertahan sehingga sampai ke rumah.

Tangga rumahnya dipanjat dengan perlahan-lahan. Badannya mulai berpeluh-peluh. Di kala itu dia berharap sangat agar dia mampu bertahan sehingga ke bilik. Namun pandangannya semakin lama semakin kabur. kepalanya semakin sakit dan dia tahu kali ini dia sudah tidak mampu bertahan lagi.

“Joe!,” namanya dipanggil kuat dan dia terasa ada seseorang yang memegangnya dengan kuat mengelak dia daripada jatuh ke tangga. Perlahan-lahan dia dipapah menuju ke bilik. Matanya sudah tidak mampu untuk memandang siapakah gerangannya yang sedang memapahnya masuk ke bilik namun dia kenal dengan suara yang memanggil namanya tadi.

“Teruk sangat demam Joe ni….nanti Su pergi ambil ubat, Joe makan ubat ek,” Suraya semakin panik. Nasib baik dia ternampak Faizul hampir jatuh ke tangga tadi dan dia bersyukur sangat kerana dia mampu memapah Faizul sehingga ke bilik lelaki tersebut dan meletakkan Faizul ke katil. Dia tak pernah melihat Faizul dalam keadaan yang paling lemah sebegitu. Seiingatnya sejak dari kecil hanya dia sahaja yang selalu sakit dan pengsan. Namun hari ini, dia melihat seorang lelaki yang sentiasa tegap dan kuat hampir tewas disebabkan demam yang pada mulanya dianggapnya sebagai demam biasa. Sudahlah mamanya tiada di rumah kerana ada urusan di luar. Baru sahaja mamanya keluar untuk bertemu dengan rakan-rakannya di luar.

“Tak naklah…aku nak tidur…lepas bangun tidur aku ok la,” dalam lemah dia masih mampu bersuara dan menolak permintaan Suraya agar dia makan ubat. Suraya terpaksa akur dan terus sahaja menyelimutkan Faizul dan ingin melangkah keluar.

Namun belum sempat dia melangkah keluar, tangannya tiba-tiba ditarik. Dia agak terperanjat. Dalam keadaan terpejam Faizul masih lagi mampu memegang tangannya. Dia cuba menarik tetapi ternyata lelaki enggan melepaskan tangannya.

“Temankan aku kejap boleh? Kejap saja…just sit here!” Faizul bersuara tanpa membuka matanya. Namun arahan yang diberikan oleh lelaki itu cukup difahami oleh Suraya. Dia mulai serba salah. Kalau yang menyuruhnya tadi adalah Faizal dengan senang hati dia akan menemani abangnya itu. Tetapi ini adalah Faizul, seseorang yang sebelum ini langsung tak rapat dengan dirinya. Namun timbul pila perasaan simpatinya kepada lelaki tersebut. Suraya akur. Dengan perlahan dia menuju ke katil dan duduk di sisi katil di mana Faizul sedang tidur. Tangannya langsung tak dilepaskan oleh lelaki tersebut. Kemudian Faizul tiba-tiba membawa tangannya ke dalam pelukannya yang sedang tidur mengiring.

“Joe…” Suraya cuba memanggil nama lelaki tersebut namun tiada sebarang jawapan, tetapi setiap kali dia mahu menarik tangannya, dia mendapati waktu itu juga tangannya dipegang dengan kemas. Suraya mencebik. Nampaknya dia tak mampu melarikan diri buat seketika sehinggalah Faizul betul-betul terlena.

Suraya mengambil masa menunggu Faizul betul-betul lena dengan melihat sekeliling bilik lelaki tersebut. Sedikit perubahan telah berlaku di dalam bilik. Walaupun susunan perabot tak berubah namun sekarang perabut yang terdapat di bilik itu sudah dipenuhi dengan barang-barang yang sesuai untuk perabot berkenaan.

Setelah lama meneliti Suraya agak tertarik dengan susunan buku yang terletak di rak buku yang terdapat di bilik itu. Buku-buku yang terdapat di rak tersebut agak tebal, namun dia tak mampu melihat dengan jenis buku tersebut kerana kedudukan rak buku yang agak jauh dengan kedudukannya yang sedang duduk di kala itu. Dia langsung tak menyangka lelaki yang sedang terbaring lesu itu suka membaca. Setahunya abangnya yang tengah ini paling benci membaca apatah lagi dengan buku-buku yang tebal sebegitu. Malah abangnya itu jarang juga menyusun buku-bukunya dengan begitu kemas sekali. Waktu sekolah dulu pun Faizul hanya melatakkan buku teks dan buku tulusnya di dalam sebuah raga yang senang untuk dia cari dan ambil buku tersebut. Namun kali ini dia melihat sedikir perubahan. Mungkin juga banyak, sebab rak buku yang sedang diperhatikan olehnya di kala itu penuh dengan buku-buku. Ingin sahaja dia bangun dan berjalan menuju ke arah rak buku tersebut namun dia bimbang lelaki itu akan terjaga. Dia terpaksa mematikan niatnya itu.

Setelah agak lama dia duduk di birai katil, pinggangnya terasa lenguh, apatah lagi tangannya yang sedang digengam erat oleh lelaki tersebut, terasa agak kebas. Suraya sudah tidak mampu menahan kebas tangannya yang dirasakan ketika itu. Dengan perlahan dia menarik tangannya agar Faizul tak terjaga. Akhirnya tangannya itu terlepas juga daripada genggaman Faizul. Dia tersenyum. Matanya terus memandang wajah Faizul. Ternyata wajah yang dipamerkan oleh Faizul di kala itu adalah wajah yang letih dan tak bermaya. Namun jauh di sudut hatinya Suraya memuji dengan rupa paras Faizul. Ternyata lelaki yang sedang terbaring lemah di kala itu mempunyai raut wajah yang cukup tampan malah dia belum bertemu dengan mana-mana lelaki yang mempunyai raut wajah yang cukup sempurna walaupun Alongnya sendiri. Dia hanyut seketika memerhatikan wajah lelaki tersebut. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang dan dia terkejut dan kembali ke dunia nyata. Badannya tiba-tiba menggeletar. Suraya mulai panik. Apa yang sedang berlaku pada dirinya waktu itu?

“Ya Allah…apa kena dengan aku ni?” Bicara Suraya sendirian. Dia beristighfar panjang dan terus sahaja menarik nafas sepanjang mungkin untuk menghentikan degupan jantungnya yang berdegup dengan kencang. Setelah agak lama barulah dia kembali tenang. Pandangannya mulai beralih ke arah rak buku yang berada tidak jauh dari tempatnya berdiri di kala itu. Suraya terus berjalan perlahan menuju ke sana kerana risau Faizul akan tersedar. Belum sempat dia sampai ke rak yang dipenuhi buku tersebut sayup-sayup dia terdengar namanya dipanggil di bawah. Dia kenal suara tersebut dan Suraya terus sahaja meluru keluar dari bilik Faizul dan turun ke bawah.

******

“Mama….dah lama mama balik?” Tanya Suraya terus sahaj meluru ke arah Datin Rafidah yang sedang melabuhkan punggung di sofa.

“Baru saja kejap….mama tengok ada kereta Angah kat luar…Angah dah balik?” Tanya Datin Rafidah kembali.

“A’ah…demam Angah macam teruk je ma…tadi dia hampir jatuh tangga, nasib baik adik nampak kalau tak, tentu dah jatuh,” ujar Suraya memberitahu perkara sebenar.

“Ya ke? Kalau macam tu mama nak gi jenguk Angah kejap…dia dah makan ubat belum?” Tanya Datin Rafidah lagi. Suraya hanya menggeleng kepalanya.

“Budak ni degil betul la…kalau orang suruh makan ubat bukannya dia nak ikut, macam budak kecik pulak,” ngomel Datin Rafidah sendirian. Dia bangun dan berjalan menuju ke tangga. Suraya hanya mendengar sambil tersenyum. Kemudian dia teringat sesuatu.

“Mama….adik nak keluar sekejap, nak cari ubat untuk Angah,” beritahu Suraya dan terus menuju ke kotak tempat menyimpan kunci kereta yang tersangkut di dinding berhampiran dengan pintu masuk utama banglo mereka.

“Kan ubat dah banyak kat dalam peti kecemasan,” ujar datin Rafidah dan terus menghentikan langkahnya dan memerhatikan Suraya.

“Ubat tu semua pahit…adik nak keluar beli ubat yang tak pahit,” beritahu Suraya sambil tersenyum. Datin Rafidah mengerutkan dahinya. Ada ke ubat yang tak pahit? Detik hatinya. Mungkin juga ada, anaknya itu mesti lebih tahu daripada dirinya memandangkan anak bomgsunya itu sedang menjalani kursus perubatan di universiti.

“Hati-hati bawa kereta!” Pesan Datin Rafidah dan terus sahaja menyambung langkahnya. Dia mahu melihat keadaan sebenar anaknya di atas. Bimbang juga rasanya, tambahan pula anaknya itu jarang sangat jatuh sakit.

********

Suraya membuka pintu bilik Faizul dengan perlahan. Nampaknya lelaki itu masih lagi tidur. Dia berjalan dan terus sahaja meletakkan dulang yang dipenuhi dengan semangkuk sup panas dan juga segelas air suam serta 1 blister ubat yang dibelinya di farmasi tadi. Dia mesti mengejutkan lelaki tersebut agar bangun dan makan ubat yang telah dibelinya itu.

Belum sempat dia mengejutkan lelaki tersebut, kelaihatan Faizul membuka matanya dengan perlahan dan terus sahaja bangun dan menyandar di katil. Hilang sedikit pening kepalanya. Dia menggeliat sambil memerhatikan gadis yang sedang berdiri sambil tersenyum. Kemudian dia beralih pandang ke arah meja kecil di sebelah katilnya.

“Tak lalu makan la….bawak turun benda ni,” ujar Faizul sambil menujukkan tangannya ke arah dulang kecil itu.

“Ala…Joe makan la sikit….sikit pun jadilah…sebagai alas perut, tentu Joe tak makan dari pagi tadi kan, lepas tu baru boleh makan ubat,” pujuk Suraya. Faizul hanya memerhatikan wajah gadis tersebut tanpa berkelip. Suraya pula mulai resah dipandang sebegitu namun dia bersabar sahaja. Dia harus menjalankan amanah mamanya agar memaksa lelaki itu makan ubat.

“Ni siapa yang suruh kau buat semua ni…mama?” Tanya Faizul walaupun dia tahu tekaannya pasti tepat. Tadi dia tersedar sekejap sewaktu mamanya masuk melihat keadaannya. Suraya hanya mengangguk. Faizul merengus. Dia sudah agak, kalau tak mamanya yang suruh sudah tentu gadis itu tak akan bersusah-susah untuk membawa makanan tersebut ke dalam biliknya.

“Mama yang suruh…tapi Su yang buat sup tu, susah-susah Su buat sup ayam tu….Joe makanlah sikit….lepas tu makan ubat, kalau tak macam mana nak sembuh, demam Joe tu Su tengok makin teruk je…makan ek?” Suraya memujuk lagi. Suaranya cukup manja dan dia tak habis-habis tersenyum ke arah Faizul. Akhirnya lelaki tersebut membalas senyumnya dan mengangguk. Suraya tersenyum girang. Dia terus mencapai sup yang berada dalam mangkuk tersebut dan terus sahaja dihulurkan kepada Faizul. Faizul hanya memerhatikan mangkuk yang berisi sup tersebut tanpa menyambut pemberian gadis tersebut.

“Orang sakit mana boleh makan sendiri….suaplah!” Pinta Faizul. Suraya mencebik kemudian tersenyum. Dengan serba salah dia melabuhkan punggungnya ke birai katil dan terus sahaja menyeduk sup tersebut dengan sudu dan ditiupnya terlebih dahulu baru disuapkan kepada Faizul.

Faizul dari tadi hanya memandang ke arah raut wajah yang cukup lembut dan ayu. Setiap kali gadis itu menyuapkan dia sup tersebut dia hanya menerima setiap suapan tersebut. Entah kenapa perasaannya di kala itu cukup bahagia. Hilang segala keletihan yang dirasainya sebentar tadi. Nasib baik dia masih menyedari batasannya kalau ikutkan hatinya ingin sahaja dia menarik gadis tersebut ke dalam pelukannya dan dia pasti demamnya bakal hilang dengan begitu sahaja.

“Ha…habis pun, sekarang ni Joe makan ubat ek?” Suraya bersuara. Faizul agak terkejut mendengar suara tersebut. Rupa-rupanya sudah jauh dia hanyut ke dalam dunia hayalannya sendiri.

“Tadi kau suruh aku makan sup ayam yang kau buat tu….lepas tu kau suruh aku makan ubat, kau sendiri kan tahu aku memang tak suka makan ubat kan,” bicara Faizul.

“Tapi ubat ni tak pahit…ubat demam selesema je, makan ek, sebiji je!” ujar Suraya sambil mengambil blister ubat tersebut. Faizul memerhatikan ubat tersebut.

“Apa tu….Clarinase!” teka Faizul.

“Ha…tahu pun Joe, Clarinase…makan sebiji je,” pujuk Suraya kembali.

Faizul cuba mengingati nama ubat tersebut. Kalau tak silapnya ubat tersebut memang digunakan untuk merawat demam selesema dan turut digunakan untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan alergik. Tetapi dia tak tahu pula rupa bentuk sebenar ubat tersebut.
“Aku tak naklah…aku tak suka makan ubat,” jawab Faizul lagi.

“Makanlah…sebiji je…Joe tahu tak ubat ni tak pahit…Su tak tipu ubat ni memang tak pahit,” Suraya menyambung pujukannya. Dia tahu sebab utama Faizul agak susah untuk makan ubat adalah disebabkan kebanyakkan ubata adalah pahit.

“Boleh percaya ke tak pahit….kenapa pulak tak pahit?” Tanya Faizul pula.

“Betul….sebab ubat ni ‘sugar coated’…manis, lagipun bukannya nak suruh Joe kunyah, telan terus dengan air,” pujuk Suraya lagi. Faizul terus sahaja mencapai blister ubat daripada tangan Suraya. Dia menilik ubat tersebut. Kemudian dia terus membuka dan mengambil sebiji ubata tersebut dan diletakkan di telapak tangannya. Suraya tersenyum dan terus sahaj mencapai gelas yang berisi air dan diberikan kepada Faizul. Dengan perasaan serba salah Faizul menyambut pemberian gadis tersebut. Dengan perlahan dia memasukkan ubat tersebut ke dalam mulut. Ternyata ubat tersebut tak pahit malah manis. Dengan cepat dia minum air dan menelan ubat tersebut. Setelah itu dia memberikan ubat dan gelas yang masih berbaki sedikit air kepada Suraya.

“Tak pahit kan…Su nak bawak benda ni turun, Joe rehatlah, Insya-Allah Joe akan cepat sembuh,” ujar Suraya terus sahaja bangun dan membawa dulang tersebut dan menuju ke pintu. Faizul hanya memerhati. Dia langsung tak bersuara. Suraya pula menguntumkan senyuman kepadanya sebelum keluar daripada bilik.

*******

Faizul baru sahaja selesai mandi. Badannya terasa segar sangat. Kepalanya sudah tak pening lagi cuma suhu badannya yang masih lagi panas walaupun sedikit berkurangan daripada petang tadi. Ingin sahaja di menyambung tidur kembali namun perutnya terasa lapar dan minta untuk diisi. Dia mahu turun ke bawah walaupun dia tahu sekejap lagi tentu makan malamnya akan dibawa masuk ke biliknya seperti petang tadi namun dia tak mahu menyusahkan gadis itu lagi. Dia tahu pasti Suraya yang akan membawa makan malamnya lagi. Dia terus menyarung t-shirt dan short pain dan terus sahaja keluar daripada bilik.

“Mama…Angah lapar,” rungut Faizul sebaik sahaja melabuhkan punggung di atas kerusi di meja makan.

“Angah dan bangun dah…kenapa Angah turun, sekejap lagi mama suruh adik bawa naik makanan kat bilik Angah,” ujar Datin Rafidah yang baru keluar daripada dapur sambil membawa sepinggan lauk yang telah siap disediakan dan diletakkan di atas meja.

“Tak apalah, Angah dah ok dah…Angah boleh jalan…mana yang lain ma?” Tanya Faizul sambil melilau mencari ahli keluarganya yang lain. Tak seorang pun yang kelihatan hanya mamanya sahaja.

“Adik tadi tengah tolong mama…lepas tu dia cakap dia nak naik ke bilik sekejap, kejap lagi dia turun la tu….papa ngan Along pun belum turun lagi,” jawab Datin Rafidah. Dia kembali menuju ke dapur untuk menyambung kerjanya yang masih belum siap lagi. Faizul hanya memerhati tingkah ibunya itu. Sekali sekala dia menoleh ke belakang melihat sekiranya ada sesiapa yang baru turun untuk makan malam.

“Aku dengar teruk kau demam ari ni…dah ok ke?” Tanya Faizal yang baru turun dari biliknya.

“Mana ada teruk…biasa je…kau tengok aku sekarang macam orang yang demam teruk ke?” Tanya Faizul kembali. Dia langsung tak mengaku bahawa dia hampir jatuh pengsan petang tadi. Walaupun pada hakikatnya dia tahu sudah pasti cerita tersebut sudahpun sampai ke pengetahuan abangnya itu.

“Kau….aku kenal sangat Ngah, setiap kali kalau kau demam mana pernah kau nak mengaku yang kau demam, kononnya kuat….tapi hakikatnya tak ada la kuat mana pun,” Faizal seperti biasa selalu sahaja menyakit kembarnya itu.

“Kau kan…ada je benda yang kau nak sakitkan hati aku kan…malas aku layan kau..mana papa?” Faizul mengalah. Sikapa yang jarang dia tunjukkan. Tetapi memandangkan demamnya masih belu kebah dan badannya masih lagi keletihan dia terpaksa beralah dari terus berperang mulut dengan Faizal.

“Tu…” jawab Faizal sambil mulutnya memuncung ke arah papanya yang sedang berjalan menuju ke arah mereka. Faizul menoleh memandangkan dia membelakangi anak tangga naik ke atas yang terletak tidak jauh dari tempat makan.

“Angah..mama beritahu papa tadi Angah demam teruk, kenapa boleh ada kat bawah, dah sembuh dah?” Tanya Datuk Rashid terus menarik kerusi dan duduk di kerusi yang sudah menjadi tempat duduk tetapnya setiap kali menjamu selera. Faizal tersenyum melihat muka kembarnya yang sudah berubah apabila mendengar persoalan yang sama diajukan olehnya sebentar tadi.

“Mana ada demam teruk pa…demam biasa je…mama tu yang pandai buat cerita,” nafi Faizul. Nasib baik bersinnya sudah berhenti. Kalau tidak sudah pasti dia masih dianggap demam teruk. Agak berkesan juga ubat yang yang dimakan olehnya petang tadi.

“Ye ke? Tadi Angah hampir jatuh tangga tau…nasib baik adik ada, kalau tak dah patah riuk dah tulang tu…dah tahu demam tapi masih nak pergi kerja,” Suraya yang entah bila datang dan terus sahaja duduk bersebelahan dengan Faizal dan mengadap Faizul yang sekali lagu berubah wajah apabila mendengar kenyataan yang baru sahaj keluar dari mulut gadis tersebut.

“Ni sejak bila kau pandai membebel macam mama ni?” Tanya Faizul sambil menjeling tajam ke arah gadis tersebut. Semkin hari semakin dia merasakan gadis tersebut semakin berani dengannya. Malah dia merasakan gadis tersebut semakin akrab dengannya. Suraya tidak sperti Suraya yang dulu yang takut untuk bercakap dengannya. Kini gadis itu sudah beranai bersuara dan berani bergurau dengannya. Sebenarnya dia agak selesa dan gembira dengan situasi tersebut tetapi jauh di sudut hatinya dia didatangi dengan perasaan takut dan bimbang. Suraya hanya tersengah mendengar pertanyaan tersebut. Faizal pula tergelak kecil. Lucu melihat semua orang dalam rumah menganggap Faizul sedang sakit.

“Tapi Angah dah sihat sikit sekarang kan?” Tanya Suraya.

“Emm…kenapa? Kau dah malas nak layan aku, ye la, kalau aku dah sembuh tak payahlah kau susah-susah nak atas bawa makanan kan?” Soal Faizul kembali sengaja mahu memancing jawapan apa yang bakal dijawab oleh gadis tersebut.

“Ish..ke situ pulak Angah ni, kalau Angah sembuh…Alhamdulillah…adik sikit pun tak rasa susah dengan apa yang adik buat…bukannya selalu,” jawab Suraya. Datuk Rashid hanya mendiamkan diri melihat dan mendengar perbualan anak-anak mereka. Hatinya terasa sedikit sejuk melihat kemesraan di antara Suraya dan Faizul yang mulai wujud mengikut peredaram masa. Nampaknya anak-anaknya itu sudah mulai melupakan peristiwa yang lepas.

“Amboi rancaknya berbual….sampai lupakan mama yang susah-susah kat dapur,” ujar Datin Rafidah yang baru keluar dari dapur dengan membawa hidangan yang terakhir alu diletakkan di atas meja.

“Ala mama…maaf, nanti adik tolong mama,” Suraya terus sahaja mahu bangun dari tempat duduknya namun segera dihalang oleh Datin Rafidah yang kebetulan berdiri berhampiran dengan anak bongsunya itu.

“Mama gurau sajalah…dah siap dah pun…kalau adik nak tolong boleh, tolong angkat minuman, mama dan sediakan tadi kat dapur,”

“Ok….sedia menurut perintah!” jawab Suraya dan terus sahaja bangun dan melangkah ke dapur. Tanpa disdari dari tadi Faizul asyik memerhatikan Suraya. semakin lama dia duduk duduk di rumah semakin dia melihat kelebihan Suraya yang sebelum ini langsung dia tak tahu. Gadis itu terlalu mudah meminta maaf malah mudah memaafkan seseorang. Gadis itu juga jarang untuk merungut tentang sesuatu perkara.

Setelah Suraya kembali dari dapur dengan satu jug air dan dituang ke dalam gelas. Mereka terus menjamu selera setelah selesai membaca doa makan yang diketuai oleh Faizal.

“Esok jadi la adik nak ke HKL?” Tanya Faizal yang tiba-tiba teringatkan janji adiknya dengan doktor muda yang menelefon ke rumahnya dua hari yang lepas.

“Yalah…kenapa? Along nak ikut?” Tanya Suraya kembali.

“Ish..malas la Along nak ikut…bukannya ada apa-apa pun, adik just nak gi dengar taklimat je kan. Lagipun Along tak nak kacau daun…kesian Doktor Shahrul,” Faizal mulai menyakat adiknya itu. Dia tahu Dr. shahrul sememangnya ada hati dengan adiknya kalau tidak masakan doktor tersebut begitu bermurah hati menolong adiknya semasa membuat latihan praktis dekat hospital sedangkan masih ramai lagi doktor pelatih yang lain yang boleh dia tolong dan ambil berat.

“Ya Allah…nak start lagi la tu…adik tak ada apa-apa hubungan la dengan Dr. Shahrul tu…malas nak layan soal cintan cintun masa belajar ni, buat pening kepala yang dah sedia pening kan mama,” Suraya terus menafikan. Faizal hanya tergelak kecil.

“Ya…mama tahu….anak bongsu kesayangan mama ni tak akan bercinta masa belajar…tambah-tambah Dr. Shahrul tu tentu tak mampu nak buat jantung adik berdegup kencang kan,” Tanya Datin Rafidah. Suraya yang sedang meneguk minuman hampir tersedak. Dia langsung tak menyangka mamanya akan mengeluarkan kenyataan berikut. Faizal dan Datuk Rashid terus sahaja ketawa mendengar kenyataan tersebut ditambah pula dengan melihat reaksi Suraya yang mukanya sudah bertukar kemerahan.

Faizul hanya tersenyum. Dia pernah mendengar kenyataan tersebut dari mamanya dan dari mulut Suraya sendiri. Dia berharap sangat agar doktor tadi tidak mampu membuat jantung Suraya berdegup kencang. Dia langsung tak boleh membayangkan sekiranya doktor muda yang hanya dikenalinya dengan nama sahaja mampu memikat hati Suraya.

Suraya terus sahaja mengurut dadanya. Dia tahu di kala itu mukanya pasti kemerahan menahan malu. Namun pada hakikatnya kenyataan ibunya tadi itu telah menyebabkan dia terfikir akan peristiwa yang berlaku di bilik Faizul petang tadi di mana jantungnya berdegup kencang apabila dia meneliti setiap inci muka lelaki tersebut. Malah dia takut dengan perasaan yang dialaminya pada ketika itu.

“Ye ke?…..hai siapalah yang bertuah sangat yang boleh buatkan jantung adik Along ni berdegup kencang kan?” ujar Faizal. Suraya hanya mencebik lantas menyambung suapannya yang masih lagi berbaki. Faizul pula sudah meminta air basuh tangan dari mamanya dengan alasan dia agak kurang berselera memandangkan demamnya belum lagi kebah sepenuhnya.

“Kita tengok nanti…adik pasti pilihan adik nanti adalah pilihan yang tepat dan betul,” jawab Suraya dan terus memandang ke arah Faizul yang sedang duduk berhadaan dengannya sambil meneguk minuman. Lelaki tersebut langsung tak memberikan sebarang reaksi dengan kata-katanya itu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Novel : Dia Segalanya 20”
  1. arizahamasitah says:

    best sangat2…taniah kepada penulis…. teruskan usaha… :razz:

  2. faiz akmal says:

    waaahaaaaaahhhhhhhh.. sambung3!!!!!!!!!! :grin:

  3. diya says:

    :smile: ..bestnyer cite ni. cpatlah sambung

  4. usagi tsukino says:

    best la cite ni…bile nk dibukukan…rase mcm da xsggup nk tggu tiap2 mggu…ngee

  5. dania says:

    memang best.jalan cerita yang menarik. teruskan usaha menulis sambungan cerita nie. kalau boleh, jadikan novel. good luck :smile:

  6. faz87 says:

    fist time bce..best sgt3….nk bce bab sblm nie laa..

  7. faz87 says:

    waawaaaa..mmg best sgt…da abes bce dr prolog ag.. xsaba tggu next bab..
    tolong cpat ckit….buat novel trus pn xperrrr…eyhh, bkn xper…tp wajib ok.. nk simpan wt koleksi…tolong yer pihak penulisan..en3 xbosan.. sgt2 best, tacing kalo part faizul n suraya…wawawawawa…bilerr next bab nie, xsaba gilerrrr… :mrgreen: :mrgreen: :mrgreen: :mrgreen: :mrgreen:

  8. ana says:

    best…

  9. syasya says:

    best sinopsis ni…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"