Novel : Sekadar Di hati 15

29 October 2010  
Kategori: Novel

3,240 bacaan 14 ulasan

Oleh : Hanni Ramsul

Zarith melarikan pandangan. Jiwanya terusik melihat tingkah Najwa. Sebaik dulang minuman terhidang di meja, gadis itu terus mendapatkan Luqman. Jemari kini erat tergenggam di celahan jemari lelaki itu. Menghantar satu rasa celaru di hati. Sungguh dia tidak senang dengan pemandangan di hadapannya. Senyum Luqman membuat dia bertambah terasa Najwa kini semakin jauh daripadanya. Kemesraan yang terpamer sejak kakinya melangkah masuk, cukup mendera hati sendiri. Matanya kembali pada wajah Najwa yang penuh dengan senyum setiap kali mata bertemu dengan renungan Luqman. Wajah itu kini sedikit berisi. Namun nampak cukup berseri di matanya. Sedang berbahagiakah gadis ini? Kalau melihat pada tingkah pasangan ini, memang jelas cuma kebahagiaan yang terbias di wajah. Barangkali sesiapa pun pasti akan bahagia andai bersuamikan abangnya itu. Tiba-tiba timbul rasa menyesal dengan keputusannya untuk menjengah muka di pintu teres dua tingkat milik abangnya itu. Dia tidak kuat untuk berdepan dengan kebahagiaan pasangan ini.

“Kenapa tiba-tiba balik ke sini?,”

Pandangan teralih semula ke wajah abangnya. Soalan Luqman membuat dia kelu seketika. Perlahan dia mencari wajah Najwa pula. Gadis itu kini tunduk. Pasti tidak mahu memandang wajahnya. Atau tidak berminat untuk mendengar jawapan dari soalan suaminya itu?

“Saya balik untuk Najwa,”lancar sahaja penjelasan itu meniti di bibir.

Jawapan yang membuat Najwa mengangkat muka. Jemarinya di genggaman Luqman dieratkan. Untuk dia? Apa maksud Zarith? Apa lagi kesakitan yang ingin Zarith berikan padanya? Belum cukupkah beban yang lelaki itu titipkan lewat musibah yang menimpa? Tidak cukupkah ego Zarith untuk dirinya yang telah membuang separuh daripada semangat hidupnya?

“Saya mahu bertanggungjawab atas perbuatan saya, Aja,”

Najwa berpaling muka. Terkejut sebenarnya. Selebihnya, pengakuan itu membuat dia mual. Rasanya dia sudah tidak perlukan pengakuan itu kini. Dia semakin kuat berada di sisi Luqman. Dia semakin yakin untuk melalui apa yang telah tersurat untuknya. Dia tidak perlukan seorang lelaki bernama Zarith.

“Saya tak perlukan belas kasihan awak,”

“Aja…,”suaranya merendah. Sedikit memujuk. Najwa pula pantas mencari wajah Luqman.

“Abang. Saya tak nak jumpa dia…,”

Zarith menahan nafas. Permintaan itu seperti selumbar yang perlahan mencucuk ke sudut hati. Bertambah pedih tatkala jemari Luqman mengelus lembut tangan Najwa. Memujuk keresahan isterinya itu. Segera pandangannya dilarikan. Sakit. Sakit yang tidak terungkap itu benar-benar mendera sekeping hatinya yang rawan.

“Saya nak cakap sesuatu dengan awak, Aja,”dia bersuara lagi. Memaksa pandangannya kembali terarah kepada pasangan itu. Terasa sedikit kekok komunikasi antara dia dan gadis itu kini. Kalau dulu lidahnya cukup lembut mengalun panggilan sayang buat gadis itu. Kini segalanya serba canggung. Gadis itu kini sudah menjadi isteri abangnya. Menyedari hakikat itu, Zarith disapa sayu sekali lagi.

Najwa mengangkat punggung. Ingin bergerak berlalu apabila jemari Luqman mencapai tangannya.

“Duduk dulu,”lembut suara Luqman memberi arahan.

“Aja tak ada apa-apa lagi nak cakap dengan dia. Untuk dengar apa-apa yang keluar dari mulut dia pun, Aja tak nak,”

“Aja… jangan macam ni. Duduk dan dengar dulu,”Luqman memujuk lembut.

Najwa pula akur dalam terpaksa. Sekali lagi dia memandang situasi yang membuat dia menyesal meninggalkan Najwa. Dulu kata-kata pujukan itu hanya miliknya. Dan, akur Najwa juga cuma miliknya.

“Apa yang Rith nak cakapkan?,”

Lamunannya sedikit terganggu. Soalan itu tidak terus dijawab.

“Boleh saya cakap dengan Aja, bang?,”perlahan dia berusara.

Luqman diam. Buat seketika dia merenung wajah Najwa yang kelat. Tertunduk merenung jemari sendiri. Dia tahu Najwa keberatan dengan permintaan Zarith. Kemudian memandang pula wajah Zarith yang berbayang dengan rona pilu. Perlahan dia mengeluh.

“Apa pun yang kamu nak cakap, jangan sampai mengguris perasaan Najwa. Dah banyak sangat kamu sakitkan hati dia,”akhirnya Luqman bersuara sambil mengangkat punggung. Memberi ruang untuk dua insan itu berbicara. Najwa mengangkat muka dengan wajah kelat. Pantas dia mencapai hujung jemari Luqman. Luqman tersenyum.

“Aja, abang kat bilik bacaan,”ujarnya lembut sambil menolak perlahan tangan Najwa.

Najwa bungkam. Dia mahu bersama Luqman. Dia tidak mahu berdepan dengan lelaki ini. Dia benci lelaki ini. Matanya menyorot langkah Luqman. Tanpa Luqman terasa kekuatannya sedikit tergugat.

“Aja sihat?,”

Teguran itu memaksa dia memalingkan muka. Menatap wajah yang pernah menghimpunkan segunung rindu di hatinya. Juga wajah yang telah meranapkan segala kepercayaannya.

“Kalau awak andaikan saya sepatutnya menderita. Saya sepatutnya separuh gila dengan apa yang awak tinggalkan untuk saya, rasanya keadaan saya sekarang sedikit mengecewakan awak,”tajam bicaranya tanpa menghiraukan soalan Zarith yang lembut menjamah cuping telinganya.

“Atas dasar apa perkahwinan ini?,”

“Apa pentingnya pada awak?,”

Zarith diam seketika. Najwa tiba-tiba menjadi seorang manusia sinis.

“Saya pulang untuk awak. Saya mahu ambil tanggungjawab saya,”

“Saya boleh hidup tanpa awak. Lagi pun, tanggungjawab ini belum tentu tanggungjawab awak kan? Awak pernah ragu tentang itu,”

“Saya mengaku itu silap saya. Saya mengaku saya bodoh buat tuduhan begitu, padahal saya teramat kenal awak, Aja. I am so sorry. Waktu tu saya tak terfikir tindakan bodoh saya membuat awak menderita,”

“Benda dah berlalu,”

“Kita hadapi semua ni bersama? Terima saya semula ya?,”

“Saya tak setaraf dengan awak. Saya cuma budak kilang yang tak ada maruah. Tak layak untuk orang bermaruah macam awak,”

“Aja… saya tahu saya salah. Saya bercakap tanpa berfikir,”

“Sudahlah tu. Kita tamatkan saja perbualan ini. Saya tak ada benda lagi nak cakap,”

“Saya nak awak kembali pada saya, Aja. Saya lebih berhak. Itu anak saya. Kalau abang saya cuma mahu menutup perkara ni, saya dah pulang untuk ambil tanggungjawab tu,”

Najwa tergelak sinis. Benar-benar mudah segala apa yang bermain di fikiran lelaki ini.

“Pada saya, bukan setakat itu saja yang abang awak dah buat untuk saya. Bukan semata-mata kerana tanggungjawab yang awak pernah suruh saya buang. Abang awak telah selamatkan saya dari mati bunuh diri, selepas awak dorong saya ke arah itu. Abang awak sanggup menutup semua aib yang awak suruh saya hapuskan ini, demi mak saya. Demi kesihatan mak saya. Abang awak sanggup terima saya kerana tak mahu saya dicerca masyarakat. Jadi, jelas abang awak bukan semata-mata menggalas tanggungjawab yang awak tolak. Dia berkorban. Banyak yang dia korbankan. Jadi, jangan sesekali fikir, bila awak muncul begini, saya akan minta abang Luqman pergi. Dan, dia tak pernah sesekali minta saya bunuh nyawa yang saya kandung ini!,”

Zarith tertunduk. Tiba-tiba malu dengan semua onarnya. Terasa begitu kerdil dirinya di sisi Luqman.

“Sampai bila perkahwinan ini?,”

“Bukan kerja saya untuk tentukan selama manakah jodoh antara kami,”

“Macam mana awak nak hidup dengan dia kalau yang ada cuma rasa tanggungjawab dan simpati? Kita bina semuanya sekali lagi? Saya bersumpah , saya tak akan sia-siakan awak. Tanpa cinta macam mana Aja nak teruskan perkahwinan ni?,”

“Kerana cinta, ini bayaran yang harus saya terima. Jadi jangan bercakap tentang cinta dengan saya. Saya tak perlukannya. Sama seperti saya tak perlukan awak dalam hidup saya. Saya senang dengan hidup saya sekarang,”

“Aja bahagia?,”

“Jauh lebih baik berbanding saat awak campak saya macam sampah. Saat awak tabur duit awak sebagai jalan penyelesaian. Saat awak berterus-terang perempuan macam saya tak layak untuk awak. Saat awak minta saya jadi pembunuh anak awak sendiri,”

Zarith kelu. Benar-benar kehilangan kata-kata. Seburuk itukah biasan diri yang telah dia pamerkan pada Najwa. Juga seburuk itukah tingkahnya selama ini?

“Langsung tak ada peluang untuk saya? Saya masih sayangkan awak. Berada jauh dari awak, buat saya sedar, saya cintakan awak. Saya tak pernah nak permainkan awak,”

“Kalau sayangkan saya. kalau cintakan saya… pergi jauh-jauh dari hidup saya. Saya tak perlukan sayang dan cinta awak,”

“Aja…,”

Segera dia mengangkat punggung.

“Saya dah habis cakap. Saya tak nak cakap dengan awak lagi. Saya beritahu abang Luqman, perbualan kita dah tamat,”tanpa memberi peluang untuk Zarith bersuara, dia terus berlalu. Mahu mencari wajah Luqman. Langkahnya terhenti di hadapan bilik bacaan. Mengetuk perlahan pintu yang tidak begitu rapat. Seketika daun pintu terbuka. Wajah Luqman terjengul.

“Zarith nak jumpa. Dia dah nak balik,”

“Dah habis bincang?,”

Najwa diam. Cuma bergerak memberi ruang untuk lelaki itu melangkah keluar. Luqman turut diam. Cuma langkah dihayun perlahan. Diekori Najwa di belakangnya.

“Dah nak balik?,”soalnya lembut pada Zarith yang duduk membelakanginya. Zarith kelihatan sedikit tersentak. Terus berdiri. Berpaling perlahan sambil tersenyum tawar.

“Ha ah. Saya minta diri dulu bang,”

“Yalah. Ada masa, datanglah lagi. Kirim salam dekat mama. Cuba-cubalah pujuk mama ya,”

Zarith tersenyum tawar. Untuk kali terakhir, matanya meraup wajah Najwa. Pantas gadis itu merapat pada Luqman sambil jemari memaut lengan Luqman.

“Saya balik dulu,”laju dia bersuara sambil terus melangkah menuju ke pintu. Luqman bergerak mengiringi. Dia tahu Zarith tidak selesa. Dia tahu Zarith kelihatan kecewa. Tapi, semua ini pilihan lelaki itu sendiri. Sudahnya dia cuma membiarkan Zarith berlalu. Mustahil dia mampu jernihkan kemelut saat ini dengan perasaan sendiri yang berbelah bagi. Baik dirinya, Zarith mahu pun Najwa sendiri. Dia tahu, satu hati pun tidak tenang menghadapi pertemuan ini. Kereta Zarith menjauh dan telinganya mendengar satu keluhan lembut dari bibir Najwa. Dia menoleh. Jemari Najwa masih erat di lengannya.

“Abang suka Aja macam ni. Tapi, abang kurang setuju kalau Aja buat macam ni, semata-mata nak sakitkan hati Zarith,”

“Buat apa?,”

Luqman tersenyum. Tanpa menjawab dia cuma memandang tangan Najwa yang melingkari lengannya. Membuat Najwa laju merunkaikan pegangan. Luqman tersenyum.

“Abang tahu Aja marah pada Zarith. Tapi, tak baik sengaja sakitkan hati orang macam tu,”

“Aja…,”

“Abang pun terasa tau. Terasa Aja gunakan abang untuk balas dendam pada Zarith,”

Najwa ternganga. Memang dia mahu hati Zarith sakit. Namun, di luar sedarnya, dia turut mengguris hati Luqman.

“Aja minta maaf bang. Aja tak ada niat macam tu,”

Luqman tersenyum kecil.

“Abang gurau aje,”

“Aja silap. Maafkan Aja ya. Aja ikut perasaan,”

“Tak apa. Abang faham,”

Najwa diam.

“Zarith cakap apa?,”risik Luqman sambil menarik Najwa ke sofa. Memberi isyarat agar Najwa melabuhkan punggung di sisinya. Najwa akur.

“Tak nak cerita kat abang?,”

“Aja tak nak fikir pasal dia. Abang tak akan tinggalkan Aja kan? Abang tak akan serahkan Aja pada Zarith kan?,”

“Aja kan isteri abang,”

Najwa diam. Tunduk dan terus tunduk. Tidak mahu lagi membiarkan fikirannya berselirat dengan pujukan Zarith.

***




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

14 ulasan untuk “Novel : Sekadar Di hati 15”
  1. LS says:

    hanni ramsul, best cerita ni, banyak unsur pengajaran kat sini.
    terpikat dengan watak luqman, andai saja lelaki sebaik itu wujud dimuka bumi, tentu kes buang bayi tidak berleluasa,

  2. enarin says:

    best sgt citer ni knapa tiada sambungannya/????????

  3. Fiera says:

    best la cerita ni….. hanni ramsul pls smbg ye……

  4. Jecques says:

    Ini da dbukukan kr? Xda sambungan lg?

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"