Novel : Syurga Di Wajahmu 21

14 October 2010  
Kategori: Novel

6,032 bacaan 19 ulasan

Oleh : Laila Hanni

Bab 35

Keesokkan paginya Engku Badrul dan Pak Dollah bertemu di restoren Meena Curry di bandar Jerteh. Setelah Pak Dollah memesan roti canai telur untuknya dan dua keping roti canai biasa untuk Engku Badrul, mereka mengambil tempat duduk yang agak tersorok sedikit.

“Roti canai di sini memang sedap,” kata Pak Dollah.

Engku Badrul yang duduk di hadapannya tersenyum memandang Pak Dollah. Kelihatan resah seperti tidak tahu bagaimana untuk memberi respon terhadap kenyataannya itu. Malah Pak Dollah sendiri bagaikan buntu, tidak tahu bagaimana untuk memulakan kata-kata. Apabila pesanan sampai, mereka mula menikmatinya.

“Hem… apa agaknya yang engku nak beritahu saya semalam?” akhirnya
Pak Dollah memulakan bicara setelah agak lama mereka mendiamkan diri, asyik dengan hidangan di depan mata.

Engku Badrul mengeluarkan satu keluhan yang berat. Bagaimana untuk dia menyampaikan apa yang akan disampaikan nanti. Rupanya sukar sekali untuk membuka pekung di dada. Tambahan lagi, perkara yang melibatkan maruah keluarganya. Tapi, dia perlu menyampaikan perkara ini. Sekurang-kurangnya biarlah semua jelas dengan duduk perkara yang sebenarnya. Tiada rahsia lagi yang akan memberi kesan kepada kedua-dua anakandanya dan Idayu.

“Saya rasa, saya perlu beritahu Pak Dollah beberapa perkara tentang Lokman,” kata Engku Badrul sambil memandang tepat ke dalam mata Pak Dollah.

“Maksud engku ?”

“Masa umur Lokman menjangkau duabelas tahun, ibunya meninggal dunia. Pada waktu itu saya baru saja mulakan syarikat pembinaan saya sekarang,” bicara Engku Badrul memulakan cerita. “Kematian arwah isteri saya amat menyedihkan saya. Dengan kesedihan yang tak dapat dibendung pada waktu itu, kesibukan dengan tugas dan masalah anak yang sedang meningkat remaja, saya jadi buntu. Jadi, untuk mengurangkan beban yang ditanggung, Lokman saya hantar ke sebuah sekolah di England. Bonda saya menentang keras keputusan saya itu, tapi tak saya endahkan. Itu merupakan satu kesilapan besar yang saya buat dalam hidup saya,”

Engku Badrul terhenti seketika. Pak Dollah hanya diam dan menantikan Engku Badrul menyambung bicara.

“Dia membesar di sana tanpa ada yang memimpinnya ke jalan yang diredhai Allah. Dan sekarang, dia berjaya dalam kehidupan di dunia, tapi kehidupan akhiratnya terkontang-kanting. Perkara ini tidak saya sedari sehinggalah beberapa tahun yang lalu. Selepas tamat pengajiannya, dia terus bekerja di sana. Bila kami sedar yang cara hidupnya mengalahkan mat salleh, kami cuba pujuk dia supaya balik ke Malaysia. Mulanya dia buat tak tahu. Tapi, tahun lepas dia bersetuju untuk balik ke Malaysia,”

“Jadi, selama ini dia sendirian di sana…? Tak ada yang berikan panduan dan tunjuk ajar?” tanya Pak Dollah apabila melihatkan Engku Badrul diam seketika.

“Ada… tapi, anak saya tu agak keras hati orangnya. Mungkin kerana sedih dengan kematian ibunya, dia suka memberontak. Penjaganya tak mampu untuk mengawalnya dengan baik kerana sikapnya sendiri,” Engku Badrul mengeluh lagi. Sungguh kesal dia dengan kealpaannya satu ketika dulu. “Kembali ke Malaysia dan tinggal di KL, tiada bezanya dia dengan cara hidupnya di England dulu. Pergaulan bebas, mabuk…. dan entah apa lagi kejahilan yang dilakukan. Jadi, atas nasihat rakan-rakan, saya pujuk dia untuk balik ke Kota Bharu. Sekurang-kurangnya dapatlah saya tengok-tengok dan menegur mana-mana perlakuan yang keterlaluan,” mata Engku Badrul kembali menatap wajah Pak Dollah yang sudah mula sedikit berubah reaksinya. Reaksi Pak Dollah menunjukkan perasaan kesalnya di atas keterlanjuran yang dilakukannya dulu.

“Tapi, sekarang saya sedar, nak lentur buluh biarlah dari rebungnya. Dia dah macam tidak dapat diselamatkan lagi. Dua puluh tahun hidup di UK, menyebabkan kehidupan penuh noda yang dia lalui kat sana dah jadi macam darah dagingnya. Saya sendiri dah tak mampu untuk mengawal keadaan ini. Mungkin itu sebabnya dia sanggup lakukan apa yang dia buat pada Idayu,” ada riak kesal di wajah Engku Badrul. Di matanya bergenang airmata kekesalan yang teramat sangat. Pak Dollah tidak mampu berkata apa-apa. Cuma satu keluhan berat yang keluar dari mulutnya.

“Dan sekarang saya bimbang, Idayu yang akan menerima akibatnya jika mereka kahwin nanti,” sambung Engku Badrul lagi. “Sekarang, terpulanglah pada abang Dollah, samada nak terima atau tidak anak saya itu….,”

Pak dollah mengeluh lagi. Termenung mendengarkan cerita yang disampaikan oleh Engku Badrul. Engku Badrul telah menceritakan perihal Engku Lokman, membuka pekung di dada. Idayu juga ada rahsianya. Pak Dollah merasakan inilah masa yang sesuai untuk dia membuka rahsia Idayu kepada lelaki ini. Biar jelas semuanya.

“Yelah engku, dah ditakdirkan hidupnya begitu. Lahir dalam kemuliaan, dalam keadaan yang bersih dan suci. Tapi, akibat salah didikan, dia ikut jalan sesat,” kata Pak Dollah. Sambil matanya merenung gelas teh tariknya yang sudah berbaki separuh. “Lain pulak dengan Idayu, lahir dalam kehinaan, tapi dengan didikan yang baik, dia jadi seorang yang baik akhlaknya,” kata Pak Dollah tanpa memandang pada Engku Badrul. Berkerut kening Engku Badrul mendengarkan kata-kata Pak Dollah.

“Maksud Pak Dollah? Saya kurang faham…,”

“Saya pun sebenarnya ada perkara yang nak beritahu engku tentang Idayu,” mata Pak Dollah kembali menatap wajah Engku Badrul. “Idayu sebenarnya cuma anak angkat saya,” sambungnya sambil memerhatikan reaksi Engku Badrul. “Dia lahir lebih 24 tahun lalu hasil dari perbuatan jahat orang pada ibunya. Ibunya dirogol…,”

Kedengaran Engku Badrul mendengus, terkejut mendengarkan pengakuan Pak Dollah. Matanya menatap wajah Pak Dollah tanpa berkelip-kelip.

“Dia ditinggalkan ibunya selepas dilahirkan. Tak ada sesiapapun sebenarnya yang tahu siapa ibunya. Masa tu saya berkhidmat dalam polis. Kebetulan saya tak ada anak. Jadi, ketua saya tawarkan anak itu kepada kami,” Pak Dollah berhenti seketika sambil menghela nafas yang panjang. Matanya merenung jauh, mengenang kejadian dua puluh empat tahun yang lalu.

“Kami ambil dia masa umurnya satu minggu. Nama mak dia pun kami tak tahu. Jadi saya bintikan dia dengan nama Abdullah. Kebetulan nama saya juga Abdullah. Jadi, kalau orang tak tau, memang disangkanya Idayu tu anak saya, ” Pak Dollah kembali memerhatikan reaksi Engku Badrul.

“Tak sangka betul, apa yang berlaku pada ibunya dulu kini berlaku pula pada dirinya. Walaupun dia dijaga dengan rapi sekali, masih lagi benda macam tu berlaku. Inilah kehendak Allah agaknya. Dah begitu nasibnya. Kesian dia…,”

Agak lama mereka membisu melayan perasaan masing-masing. Cuba mencari kata putus dalam menyelesaikan masalah ini.

“Jadi Pak Dollah, patut ke kita teruskan hubungan mereka ni…?” tanya Engku Badrul akhirnya.

“Semuanya terpulang pada engku sekarang. Kami ni cuma rakyat jelata. Memang tak layak sebenarnya nak masuk dalam keluarga engku,”

“Itu semuanya tak jadi masalah. Saya tak pernah pandang status kami. Isteri saya pun bukan dari kalangan kerabat. Sejak dulu, bonda saya selalu ingatkan, jangan jadikan status kami ni sebagai alasan untuk meninggikan diri,”

Lega hati Pak Dollah mendengarkan kata-kata Engku Badrul. Matanya terus memandang wajah Engku Badrul yang kelihatan begitu jujur sekali.

“Sanggup ke engku terima anak yang tak tentu keturunannya dalam keluarga engku ?” duga Pak Dollah.

“Dan sanggup ke Pak Dollah terima anak saya yang hidupnya dalam kesesatan dalam keluarga Pak Dollah?,” tanya Engku Badrul pula. “Saya tak risau dengan Idayu. Bonda saya pun senang dengan dia. Saya rasa tak ada masalah untuk kami terima dirinya. Bukan salah dia bila ditakdirkan lahir dalam keadaan begitu. Dia cuma jadi mangsa keadaan. Memang pun kalau boleh saya nak bermenantukan dia. Kalau saya masih muda, saya rasa saya sendiri pun boleh terpikat dengan dia,” kata Engku Badrul sambil tersenyum. Pak Dollah senyum kembali, menganggap kata-kata itu sebagai satu gurauan.

“Tapi Lokman, saya tak sanggup tengok dia terus hanyut dalam kesesatan. Saya rasa Idayu dapat bantu dia mencari dirinya sendiri. Dia pun sebenarnya suka pada anak gadis Pak Dollah tu. Saya dapat rasakan perasaannya pada Idayu. Cuma sekarang, mampu tak Idayu bawa Lokman ke jalan yang diredhai Allah. Saya bimbang hati Idayu akan terluka pula nanti kalau ada sesuatu yang berlaku dalam hubungan mereka,” Engku Badrul terus menyatakan kebimbangannya.

“Mungkin boleh, tapi kita sebagai orang tua, kenalah bantu mereka,” Pak Dollah meneka sendiri. Dia tahu dari nada suara dan reaksi Engku Badrul, bahawa lelaki ini ikhlas. “Lagipun mereka tu memang sepatutnya dikahwinkan. Mereka dah ada hubungan walaupun tanpa kerelaan Idayu. Cuma saya bimbang bagaimana nanti reaksi ahli keluarga engku yang lain,”

“Insyaallah Pak Dollah, saya rasa perkara Idayu tu tak perlulah diperbesarkan. Saya akan beritahu isteri saya sahaja tentang hal ini. Tak perlulah kita buka aib seseorang,”

“Tapi, saya rasa Engku Lokman juga sepatutnya diberitahu. Lagipun dia yang akan kahwin dengan Idayu. Saya rasa baik engku beritahu dia. Kalau diterimanya nanti keadaan Idayu ni, barulah kita teruskan hubungan ini nanti,”

Engku Badrul menganggukkan kepalanya tanda setuju. Ya, keputusan di tangan Engku Lokman. Tapi, dia akan pastikan keputusan anaknya itu akan berpihak kepada Idayu, itu janjinya.

Bab 36

Telefon tangan Engku Lokman berdering ketika dia sedang menyediakan tender bagi projek pembinaan sebuah sekolah baru yang akan dipohon. Tender ini perlu disiapkan secepat mungkin untuk dihantar. Ketika begini, dia cukup tidak suka konsentrasinya diganggu. Dia mengangkat telefonnya dengan malas sekali.

“Helo…,” jawap Engku Lokman memulakan bicara tanpa mengalihkan perhatiannya pada kerjanya.

“Hai sayang….,” kedengaran suara Astri dihujung talian. “Masih kat tempat kerja lagi?” rengeknya manja.

Tumpuan Engku Lokman segera beralih kepada gadis itu. Bibirnya mengukir senyuman, tapi dirasakan kehambarannya, tidak seperti selalu.

“Eh… hai, bila you balik ?”

“Tengahari tadi I sampai. Saja tak inform you sebab nak bagi surprise, you tengah kerja lagi ke… dah pukul 4.00 petang ni..,”

“Haah… ada kerja yang I kena siapkan. You kat mana ni? Nanti I ambil you, kita pergi dinner…,”

“I kat kondo you ni. Dah lah tu, I nak jumpa you sekarang jugak. I rindu sangat pada you. And…. I want you for dinner….,” kata-kata terakhirnya dikeraskan sedikit. Engku Lokman ketawa mendengarkan kenyataan Astri yang menggoda itu.

“Ok…ok… you tunggu I siapkan sikit lagi kerja I ni. I’ll be back around five. And I”ll bring back dinner so that we can be together tonight without any interruption. Ok?”

“I tunggu tau, You jangan lewat satu minit pun. Tepat pukul 5.30 mesti dah sampai..”

“Ok…,”

“Bye..,”

“Bye…,” Engku Lokman meletakkan telefonnya. Merenung jauh ke hadapannya sambil menarik nafas panjang. Astri kedengarannya sungguh gembira. Dia tidak pasti bagaimana penerimaan gadis itu dengan berita yang akan disampaikannya nanti. Ya, berita tentang perkahwinannya mesti diberitahu kepada Astri. Dan dia sendiri perlu menyampaikan berita ini kepada Astri supaya gadis itu tidak salah faham.

****

Setibanya di kondo, Astri menyambut Engku Lokman dengan satu pelukan dan ciuman rindu yang membara. Setelah meletakkan makanan yang dibelinya dalam perjalanan pulang tadi di meja makan, mereka bergandingan duduk di sofa. Televisyen yang terpasang tidak dihiraukan oleh kedua-duanya. Astri asyik dengan permainan asmaranya, bersungguh-sungguh menggoda anak muda itu tanpa menyedari kedinginan Engku Lokman terhadapnya.

Entah mengapa Engku Lokman merasakan kehadiran Astri kali ini tidak dapat menambat hatinya. Ingatannya asyik menerawang mengingati Idayu. Sejak malam dia bersama Idayu, dia memang tidak dapat meluputkan gadis itu sedetik pun dari ingatannya. Dulu dia menyangka, jika dia dapat melempiaskan nafsunya pada Idayu, dia akan dapat melenyapkan gelora di jiwa dan rindu di dadanya.

Tapi, yang nyata rindunya jadi semakin dalam. Tak ada satu malam pun sejak peristiwa itu mimpinya tidak didatangi Idayu. Dan tidak satu detik pun waktu jaganya, wajah lembut Idayu dapat dilupakan. Dia sudah bagaikan gila bayang pada gadis itu. Sesuatu yang tidak pernah terfikir akan berlaku pada dirinya. Engku Lokman cuba membalas pelukan Astri tapi terasa begitu hambar di hatinya. Gadis ini tidak lagi dapat menyentuh hatinya.

Kedinginannya kini bagaikan dapat dirasakan oleh Astri. Gadis itu merenung tepat ke dalam mata Engku Lokman.

“Eh… kenapa ni… You tak rindu kat I ke..?” rengek Astri.

“Rindu… tapi I laparlah. Tadi tak lunch. Kita makan dulu …?” kata Engku Lokman bersahaja cuba memberi dalih. Astri lantas tersenyum manja.

“OK, tapi…, lepas makan… sambung ye….,” katanya sambil bangun untuk menghidangkan makanan untuk mereka berdua.

Semasa makan, Astri bagaikan dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Engku Lokman sepanjang waktu itu. Matanya sesekali dapat menangkap reaksi Engku Lokman yang ada ketikanya diam merenung sesuatu atau tersenyum sendiri sedangkan waktu itu tiada apa pun yang melucukan. Dia dapat merasakan yang fikiran Engku Lokman tidak berada di sini, bersama mereka. Engku Lokman kelihatan seperti berada di awang-awangan, mengenangkan seseorang.

Selesai makan, mereka kembali duduk di sofa. Astri menyandarkan tubuhnya ke dada Engku Lokman dengan manja. Jejarinya membelai-belai lengan Engku Lokman yang melingkari tubuhnya. Dia perlu menggoda anak muda ini dengan lebih kuat lagi untuk mendapatkan perhatiannya.

“Banyak sangat ke kerja you sampaikan masa duduk dengan I pun you dok teringat-ingat, terbayang-bayang pada kerja you tu. Atau… sekarang ni you dok teringat-ingatkan perempuan lain…,” duga Astri sambil matanya terus menatap rancangan di televisyen di hadapan mereka. Kata-kata Astri itu menyedarkan Engku Lokman dari lamunannya. Satu keluhan berat keluar dari bibir lelaki itu.

“I have something to tell you,” akhirnya Engku Lokman bersuara. Dia perlu menyampaikan perkara ini kepada Astri sekarang, tanpa dilengah-lengahkan lagi. Mulai esok, dia akan ke rumah Pak Dollah. Itu syarat yang ditetapkan untuk berkahwin dengan Idayu. Dia perlu tinggal satu minggu dengan Pak Dollah. Malah Engku Badrul juga telah memaksa dia mengambil cuti untuk tujuan itu.

Dia sendiri tidak mengerti untuk apa dia perlu tinggal dengan Pak Dollah. Tapi, syarat yang diberikan itu terlalu kecil dan bukanlah sukar untuk dilaksanakan. Tentu seronok bercuti di kampung yang jauh dari kesibukan kota. Tambahan lagi, bolehlah dia belajar sesuatu tentang kehidupan di desa, itu alasan Engku Badrul. Dan entah mengapa, Engku Lokman merasakan dia amat tertunggu-tunggu akan saat itu.

“Eh… tadi you kata ada benda yang nak dicakapkan, Apa dia…,”
Astri mengembalikan Engku Lokman dari lamunannya.

“I’m getting married…,” begitu bersahaja kata-kata itu keluar dari mulut Engku Lokman. Terkaku Astri mendengarkan kata-kata yang keluar dengan bersahaja itu. Lantas dia menegakkan tubuhnya sambil bertentang mata dengan lelaki itu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

19 ulasan untuk “Novel : Syurga Di Wajahmu 21”
  1. R'aiza says:

    best.. x rugi baca, dari awal lg best. lokman tu memang x patut,dia patut diajar agar m’hormati perempuan. sambung la citer ni cpt2… kalau boleh biar lebih byk konflik utk m’ajar lokman m’jadi p’cinta yg setia.

  2. eleana bt hamiruddin says:

    ;-)

  3. akan tiba masanya nanti e lokman akan jadi pencinta yang amat setia…. teruskan membaca…

  4. norehan yahaya says:

    bila nak keluarkan novel ni??? dah tak sabar nak milikinya…:smile:

  5. zo says:

    cepatlah publish novel ni..

  6. WAWA says:

    :mrgreen: :razz: suka la ceti ni..de blog x..?

  7. kalau nak ke blog, klik kat nama akak ni wawa

  8. IERA86 says:

    x sabar nak bace novel ni…..nak beli jgk

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"