
Cerpen : Pelangi hati fatihah
Oleh : REEFHAN KHADEEJA
Fatihah memandu kereta Perodua Myvi hitamnya menuju ke Butik Andaman. Petang itu matahari masih terik seperti hari-hari sebelumnya. Memang ozon sudah menipis, angkara tangan-tangan manusia sendiri, bisik hati Fatihah. Fatihah teringat waktu kecil dahulu, sinaran matahari mulai redup apabila petang tiba. Melintasi Danga Bay, dia teringat peristiwa pertemuannya dengan Azzam sebulan yang lalu.
Ahad itu, Fatihah menunggu Azzam di Station Kopitiam Danga Bay dengan penuh debaran di dada. Entah kenapa, Azzam ingin bertemunya pagi itu. Itupun, Fatihah baru mengetahuinya lantaran email yang dibaca sebelum masuk tidur. Mujurlah dia tergerak untuk memeriksa inbox gmailnya dan mendapat tahu berita kepulangan Azzam ke Malaysia sekaligus mahu bertemu dengannya.
Air limau aisnya dihirup perlahan, sambil berfikir-fikir maksud kedatangan Azzam. Sedang Fatihah asyik berfikir, satu suara memberi salam kepadanya. Hati Fatihah berdesir. Azzam yang kelihatan tampan sudah muncul di hadapannya. Lelaki inilah yang sudah ada di jiwanya selama empat tahun, cuma saja dia tak pernah punya keberanian untuk memberitahu isi hatinya terhadap Azzam.
“Ehem, assalamualaikum. ” tegur Azzam sekali lagi.
“Eh, wa’alaikumussalamwarahmatullah. Sorry sangat, tak perasan” Fatihah menjawab kalut. Harapannya, Azzam tak menyedari yang dia sedang melamun.
“Oh, takpe. Fatihah apa khabar? Ummi Fatihah tak ikut?”
“Ummi ada kursus. Housemate ada teman, tapi dia tengah tengok baju. Alhamdulillah, Fatihah sihat je.”
Azzam mengangguk sambil tangannya melambai-lambai ke arah waiter yang duduk di kaunter. Seperti biasa, Azzam turut memilih limau ais. Memang selalunya Azzam akan order menu yang sama dengan Fatihah.
“Ni untuk Fatihah.” Ucap Azzam saat menghulurkan satu paperbag cantik berwarna merah hati.
“Eh, souvenir dari UK ke. Thank you so much. Boleh bukak sekarang?”
“Bukaklah kat rumah nanti. Hm, ni cincin tunang ke?” Tanya Azzam saat matanya terlihat sebentuk cincin belah rotan di jari manis Fatihah.
“Ha’a. cincin tunang.”
Suasana bungkam seketika. Fatihah dan Azzam sama-sama kelihatan serba salah. Bagi Azzam, dia terlalu menyesali kelewatannya meluahkan perasaannya untuk Fatihah. Perasaan yang belum pernah dia rasakan untuk mana-mana perempuan lain yang telah dia jumpa. Dia teringat larangan Rasulullah untuk meminang atas pinangan orang lain. Fatihah telah pun menjadi tunangan orang. Nak salahkan Fatihah pun, dia sendiri yang tak pernah berikan sebarang tanda yang pasti lantaran terlalu focus dengan kuliah dan pelbagai program.
“Astaghfirullah, aku dah nak jadi isteri orang. Kenapa mesti aku ingat Azzam lagi. Astaghfirullah. Astaghfirullah.” berkali-kali Fatihah melafaz istighfar. Setibanya di Butik Andaman, dia mencuba baju pengantin dan setelah berpuas hati, dia membuat bayaran penuh untuk Kak Min.
Sedaya upaya, Fatihah mencuba untuk mengusir satu nama yang amat dikaguminya itu. Azzam memang dambaan kebanyakan perempuan, dengan ciri kepimpinannya, rupa paras, dan paling penting dia seperti ada aura dan karismanya yang tersendiri. Namun baginya, Ikmal yang benar-benar tulus mengasihinya kerana Ikmal yang terlebih dahulu menunjukkan kesungguhan untuk memperisterikannya. Dia selalu menyedarkan dirinya yang Azzam itu umpama pelangi yang indah. Memang sangat indah dilihat, tetapi seolah mustahil untuk menggapainya.
Ikmal, lelaki gentleman yang dirasakannya hadir bagaikan suatu rahmat. Puas dia menanti jawapan yang pasti daripada Azzam, namun hampa kerana tak sedikitpun Azzam menunjukkan keseriusannya. Beberapa kali dia berjumpa Ikmal dengan ditemani keluarga kedua belah pihak, hatinya dirasakan lebih dapat menerima Ikmal. Seisi keluarga juga mulai sayangkan Ikmal yang pandai mengambil hati ramai. Nenek pun berulangkali berpesan supaya Fatihah terus setia dengan Azzam kerana nenek tahu ramai juga yang cuba melamar Fatihah.Nenek tak mahu hati Fatihah berbelah bahagi, berbolak balik.
Hari berganti hari, dan Fatihah terasa lebih bersedia untuk menjadi isteri Ikmal meskipun sudah dua minggu dia tak terima khabar daripada Ikmal. Setiap malamnya masih dipenuhi istikharah agar hatinya benar-benar mantap andai benar Ikmal itu pilihan ALLAH untuknya. Dia mahu menjadi isteri yang setia menyintai suaminya semata-mata mengharapkan redha ALLAH. Malam itu, Fatihah membuka inbox handphonenya. Mesej Ikmal sebulan yang lepas, dibacanya. Sedikit sebanyak dia terbuai dengan ayat-ayat manis Ikmal meskipun hatinya terasa bagaikan ada yang tak kena. Namun Fatihah tetap meyakini, bahawa tiada penyesalan bagi anak Adam itu sekiranya dia tidak meminggirkan Istikharah dalam urusan sehariannya.
Kemudian, laptopnya dibuka dan Fatihah mula memeriksa inbox gmail. Matanya terlihat satu email baru bertajuk Maaf yang dikirim Ikmal. Mungkin Ikmal nak ucap maaf kerana kehilangannya, bisik Fatihah sendiri.
Maaf.
Assalamualaikum.
Fatihah, saya minta maaf sekiranya email ini benar-benar mengejutkan awak. Saya juga minta maaf kerana hadir dalam hidup awak. Awak ingat tak saya pernah cerita tentang ex-girlfriend saya pada awak? Baru-baru ni dia datang semula dan beritahu saya yang dia nak jadi isteri saya. Maaf kerana hati saya jadi berbelah bahagi. Saya rasa tak dapat teruskan pernikahan ni sebab dah bertahun-tahun saya bersama dia. Saya takut saya tak dapat lupakan dia bila kita bersama nanti. Tentang soal bayaran, saya akan bank in duit gantirugi kerana pihak saya yang memutuskan pertunangan ni. Sekian, mohon maafkan saya.
Tanpa disedari, air mata Fatihah mulai mengalir membasahi pipi. Ya ALLAH, ujian apakah ini? Baru sekejap aku merasa bahagia, baru sekejap aku rasakan hadirnya indah selepas derita. Serentak itu, satu mesej masuk. Mesej itu daripada kakak Ikmal yang menyampaikan rasa terkejutnya dengan keputusan mendadak Ikmal. Dalam mesej itu, kakak Ikmal turut memohon maaf.
Semua kenangan itu masih terasa basah dalam ingatan Fatihah. Setiap kali teringatkan Ikmal, dia melafazkan istirja’ sepenuh jiwa.
“Innalillahhiwainnailaihiraaji’un. Sesungguhnya kita adalah kepunyaan ALLAH dan kepadanya kita akan kembali. Ya ALLAH, berilah ganjaran kepadaku dalam musibahku dan gantilah aku dengan yang lebih baik daripadanya.”
Malam-malam Fatihah kini dipenuhi tahajjud, solat taubat, hajat, dan zikrullah. Baru Fatihah menginsafi lamanya dia terlena dengan cinta dunia sedangkan ALLAH yang sentiasa setia menyinta hamba-hambaNYA. Saat tiada siapa dia mampu mengadu lantaran malu dengan kegagalan cintanya, hanya ALLAH Yang Maha Mendengar. Meski hatinya terasa pedih, Fatihah tetap bersangka baik dengan ALLAH dan mensyukuri petunjuk yang diberikan sebelum dia menjadi isteri Ikmal. Kini Fatihah mulai konsisten menghadiri kuliah maghrib di mesjid sekaligus solat Maghrib dan Isyak berjemaah.
Sepulangnya Fatihah dari office, Fatihah terus bersiap untuk ke solat Maghrib berjemaah di mesjid dengan ditemani dua housematesnya. Kekosongan jiwanya rasa terisi dengan sentuhan butir-butir hikmah kuliah maghrib di mesjid. Malam itu, Imam Hassan menyampaikan kuliah tentang kelebihan Zulhijjah. Tiap patah kata yang disampaikan oleh Imam Hassan didengar dengan penuh tekun. Dalam kuliah itu Fatihah menghayati sejarah pertemuan kembali Adam dan Hawa di padang Arafah setelah 200 tahun terpisah. Menurut Imam Hassan, peristiwa pertemuan Adam-Hawa itu berlaku pada 9 Zulhijjah. Maha suci ALLAH yang mempertemukan sepasang kekasih itu kembali. Benarlah, jika ALLAH berkata jadilah maka jadilah ia. Tiada yang mustahil bagi ALLAH.
9 Zulhijjah.
Fatihah tenang memandu ke kampung halaman dengan ditemani Ummi di sebelah. Entah kenapa, kata-kata Imam Hassan terngiang-ngiang kembali di telinganya. Bahagianya menjadi Hawa yang dapat bertemu semula dengan Adam tercinta. Wahai ALLAH, temukanlah aku dengan lelaki yang dapat membimbingku menuju cinta dan redhaMU, yang akan setia menyintaiku hingga ke syurga. Amiin. Fatihah berdoa penuh harap.
Sepanjang perjalanan, Fatihah ceria bercerita itu dan ini dengan Umminya. Ummi dan Fatihah memang selalunya saling mengusik dan berbincang tentang banyak perkara. Ummi juga bijak menegur dan menasihati Fatihah dalam keadaan yang santai tanpa perlu mencetuskan suasana yang tegang. Fatihah terlalu mengagumi Ummi yang tabah dalam menjadi ibu dan ayah untuk dirinya. Ummi yang nampak lemah lembut itu sebenarnya punyai hati waja dan cekal. Ummi yang banyak mengingatkan Fatihah supaya tetap redha dan sabar dalam apa jua situasi serta perlu mengubah kerugian menjadi keuntungan. Ummi pernah berkata,
“Kadang-kadang kita menangis bila hilang matahari, dan tertanya-tanya ke mana perginya matahari. Rupa-rupanya ALLAH nak bagi kita pelangi yang indah.”
Sekarang, terbukti Fatihah lebih tenang dan bahagia dengan mengisi hari-harinya untuk terus mengingati ALLAH. Benarlah seperti kalam ALLAH, Dengan mengingati ALLAH itu, hati-hati akan menjadi tenang.
Sesekali, Fatihah menyanyi-nyanyi kecil. Sekejap menyanyi lagu Balik Kampung , sekejap lagu Ummi. Sebenarnya, semenjak peristiwa putus tunang itu, sudah lama Fatihah tidak ikut Ummi pulang ke kampung. Dia enggan mengulas andainya orang-orang di kampung bertanyakan tentang Ikmal. Biarlah nenek tuduh dia yang tak setia, tapi rasanya tak mungkin dia memburukkan Ikmal untuk membela diri. Lalu, dia merasakan berdiam diri buat sementara itu adalah langkah terbaik. Ini pun, dia merasakan perlu pulang ke kampung kerana ayahnya telah mengamanahkan Fatihah untuk menjadi wakil untuk menguruskan seekor lembu yang dikorbankan. Meskipun ayah menyambut Aidiladha bersama adik-adiknya di Selangor, perintah ayah dirasakan suatu kewajipan yang wajib dilaksanakan.
Setibanya di rumah nenek, Fatihah lantas memarkir kereta di garaj dan terus mengangkat beg-beg dari bonet kereta. Seperti biasa, adik-adik sepupu Fatihah dengan girang menyambutnya di muka pintu. Dia segera memeluk mereka agar luruh semua rasa rindu yang lama ditanggungnya.
Melangkah masuk ke rumah, alangkah terkejutnya Fatihah apabila terlihat satu wajah yang sangat dikenalinya namun sudah lama tidak ditemui. Azzam? Macam mana dia boleh ada kat sini? Dan lelaki itu hanya tersenyum melihat tingkah Fatihah yang seakan tak percaya dengan kehadirannya di situ.
Setelah mendapat tahu maksud kedatangan Azzam yang ingin melamarnya, Fatihah lantas sujud syukur. Air matanya membasahi pipi dan tempat sujud. Azzam, lelaki pelangi itu melamarnya. Fatihah bertemu kembali dengan Azzam pada 9 Zulhijjah, sepertimana Hawa yang bertemu Adam di padang Arafah. Rupanya sudah lama Azzam tahu tentang berita putus tunang, Cuma Azzam mahu memberi masa untuk Fatihah mengubat hatinya.
Pagi itu terasa indah daripada hari-hari sebelumnya. Pohon-pohon menghijau, bunga-bunga yang berkembang indah seolah-olah turut bertasbih, bertashmid, dan bertakbir mengagungkan ALLAH. Fatihah kelihatan ayu dan anggun dalam persalinan putih bersulam perak. Wajahnya yang selalu hanya beralaskan bedak kini terlihat berseri-seri dengan solekan sempena hari pernikahannya. Fatihah masih tertunduk lantaran tak berani melihat wajah lelaki yang akan menjadi suaminya sebentar lagi.
Kemudian, suara Imam Hassan memecah sunyi.
“Aku nikahkan dikau dengan Nurul Fatihah binti Hisham dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai.”
Lalu diikuti dengan suara Azzam yang kedengaran tenang.
“Aku terima nikahnya Nurul Fatihah binti Hisham dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai.”
Lalu, seisi kedengaran suara seisi mesjid melafaz hamdalah tanda kesyukuran. Air mata Fatihah menitis lagi. Dia memejam mata, menghayati kebenaran janji TUHAN dalam Al-Insyirah.
“Maka sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesudah kesulitan itu ada kesenangan.”
Alam menjadi saksi bahawa dia kini sah menjadi isteri lelaki yang telah lama dicintainya, yang telah terpisah kemudian ditemukan kembali dengan rahmat kasih sayang ALLAH. Anak mata Fatihah kemudian dihalakan ke luar mesjid, lalu dia terlihat sejalur pelangi yang terlihat indah. Dia teringat kata-kata Ummi, bahawa ALLAH mahu berikan dia pelangi yang indah setelah puas mencari di mana matahari. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahhuakbar. Sekali lagi, Fatihah bersujud syukur lalu melaksanakan solat sunat nikah dengan diimamkan suaminya, Muhammad Azzam
Fatihah menulis di diari pemberian suaminya, Azzam..
Alam turut menyaksikan indahnya hari-hariku bersama pelangi ini saat kami berbulan madu di bumi Eropah. Azzam sudah mengaturkan perjalanan kami dari satu tempat ke satu tempat. Sifat gentleman dan romantisnya kini lebih terserlah, kerana menurutnya aku sudah jadi yang halal untuknya.
Dia yang sudah sering merentasi banyak negara, selalu menghiburku dengan lagu Istimewa..
Walau kukembara ke dunia,
walau ketemu ramai wanita,
nyata kau tiada bandingannya,
seikhlas hati aku menyinta.
Kau istimewa, teristimewa.
Musim bunga di bumi Eropah tersenyum indah menyambut kehadiran kami, yang dengan izinNYA akan terpahat kukuh di hati kami yang juga kian mekar.













bestla yang…tak sedau pun yang cerpen ni pendek..khusyuk ku membacanya..sambil2 tersenyum2..terehmm2…hehehehe….