Cerpen : Selamat Hari Jadi Awak

21 November 2010  
Kategori: Cerpen

3,552 bacaan 6 ulasan

Oleh : Haliza Haliz

Air mata Puan Saza sudah kering. Soalan daripada wartawan bernama Rakesh itu tidak dapat dijawab. Dia sudah tidak berdaya hendak menangis lagi. Penantian selama 12 tahun berakhir begitu sahaja. Dua belas tahun dia menanti. Menanti untuk mendapat seorang puteri maklum sahajalah itulah satu-satunya puteri tersayang. Dua belas tahun dia memanjat doa. Akhirnya, penantiannya tidak sia-sia. Sebelum itu, dia dikurniakan tiga orang putera tetapi, keinginannya untuk memiliki anak perempuan tidak pernah padam. Nyata, anak perempuan tunggalnya pinjaman semata-mata. Bukannya miliknya. Tetapi, sebagai manusia biasa, dia tidak dapat lari dari berkata kalaulah. Menyesal dan sebagainya.
Sudah ketentuan Ilahi. Anak kesayangan pergi tanpa dia jangka. Kesan lebam dan calar yang selama ini berbekas itu rupanya bukanlah kerana terjatuh, tergelincir seperti yang dikatakan anaknya. Sejak kecil, puteri itu suka hidup dalam dunianya sendiri. Tetapi, kasihnya pada puteri itu tidak pernah padam. Dia bukan sahaja kesayangannya tetapi kesayangan abang-abangnya. Malah, suaminya pun begitu. Amat menyayangi puteri itu. Tidak perlu dipaksa, dia akan ikut. Puan Saza tidak sangka ciuman dan pelukan sebulan lalu itu yang terakhir.
Luahan rasa anak gadisnya tentang rakan-rakannya memang adakalanya menakutkan dirinya. Bahkan dalam diri Puan Saza tersimpan rasa takut tetapi dia sering menyedapkan hatinya agar jangan terlalu memanjakan anak-anaknya. Dia tidak mahu puteri kesayangannya itu nanti jadi besar kepala dan tidak tahan cabaran. Sebab itu, keputusan suaminya mahu anak kesayangannya ke sekolah asrama tidak dibantah.
” Puan, jika puan tidak keberatan, boleh kami tahu, anak puan tidak pernah ke beritahu puan….,”
” Kamu wartawan apa tahu? Temuramah apa pun, tidak bawa anak saya balik,” gumam Puan Saza. Hatinya benar-benar luka. Luka kalau dilihat, mungkin bernanah.
” Apa salah mak cik, anak muda? Apa salah dia? Kalau dia salah, beritahulah. Beritahu mak cik terus, biarkan mak cik sendiri hukum dia dengan tangan ini sendiri. Kalau dia mati pun di tangan ini, mak cik ibunya,” kata hatinya. Puan Saza tidak sanggup lagi melihat wajah Rakesh yang dirasakan penuh persoalan itu. Dia tahu, dalam keadaan biasa mungkin dia dikatakan biadap, tetapi dia rasa Rakesh faham. Tanpa apa-apa perkataan, dia bangkit tinggalkan Rakesh yang terpinga-pinga.
Rakesh agak tersinggung dengan perbuatan Puan Saza tetapi demi tugasan dia harus juga sembunyikan perasaan tersinggungnya. Dalam diam, Rakesh melangkah masuk ke dalam bilik puteri kesayangan Puan Saza. Bilik itu nampak sedikit bersepah di bahagian katil. Tetapi, meja belajarnya kemas. Lampu meja pun masih baru. Gambar-gambar yang berbingkai merata di dinding itu.
Buat kali pertama, hati Rakesh bagai dijentik sesuatu. Dia juga pernah membuli dan pernah menjadi pelajar yang dibenci kerana sikapnya yang suka membuli. Rakesh teringat dirinya. Tetapi, syukurlah dia tidak pernah sebabkan kematian.
Mata Rakesh tertangkap pada sesuatu di celahan rak itu. Diari. Diari milik Allahyarham Nabila Aziz. Mangsa buli yang menemui ajalnya.

” Kepada diari,

Aku tahu, buat kali pertama aku luahkan coretan isi hatiku padamu. Aku sudah tidak cukup kuat untuk menanggung seksa dalam diriku. Hidup di sekolah asrama, sehari bagiku umpama sehari dalam neraka. Sejak hari pertama, kumpulan ini sudah mula menunjukkan petanda tidak sukakan aku. Pada awalnya, aku tidak langsung berminat mendekati mereka kerana aku sangka, aku tiada urusan atau hal dengan mereka. Tetapi, aku mula tidak faham, kenapa aku mula jadi mangsa ejekan mereka. Bahkan, ke mana-mana sahaja aku pergi pastinya aku dijeling tajam.
Malah, kadangkala, aku diketawakan di khalayak ramai. Aku tahu, aku banyak kurangnya. Aku terlalu lemah dan berlembut dengan rakan-rakanku. Tetapi, aku bersyukur pada Tuhan kerana dikurniakan tiga orang rakan yang memahami. Rakan-rakan yang sentiasa berusaha menenangkan hatiku di saat aku tidak berpuas hati. Tanpa mereka, bagaimana agaknya, kehidupan aku. Saban hari, aku asyik diketawakan, diejek, diperli dan disindir.
Tidak sanggup atau tegar aku hendak ceritakannya pada Mama. Mama, wanita itu pasti sedih jika mendengar ini. Mama tidak seperti aku. Dia tegas. Air mata aku sering linangkan di saat aku bersendirian. Pada sahabat-sahabatku, aku cuba sembunyikan kesedihan hatiku. Teringin sekali aku ingin mendengar kesalahanku dari mulut mereka.
Gara-gara perkara kecil aku jadi mangsa. Gara-gara tertutup pintu tatkala mereka lalu, aku ditolak ke dinding. Sakit ditolak lagi sakit dari dicerca. Sekali lagi aku mendapat simpati. Nyata, mengundang rasa tidak berpuas hati. Malah, aku disalahkan dalam apa jua yang aku lakukan. Hasil kerjaku tidak sesempurna mana. Aku disalahkan kerana kelemahan dan kesilapanku.
Tetapi, sikap mereka umpama angin. Adakalanya, baik dan adakalanya seperti taufan. Mereka maki hamun aku, tetapi acapkali memerlukan bantuan atau perlu bekerjasama dalam sesuatu perkara, sikap mereka mengalahkan bidadari dari syurga. Sekali lagi aku terpedaya. Aku terasa diri dipergunakan. Malah, ucapan terima kasih yang terkeluar pun hambar rasanya.
Tetapi, aku tidak pedulikan semua itu. Aku percaya, keikhlasan aku tetap akan dibalas dengan pengertian. Bukanlah mahu rapat atau mendapat faedah dari mereka, cukuplah sekadar hubungan yang keruh dapat dijernihkan. Cukuplah mereka tidak lagi melayan aku dengan buruk. Tetapi, aku tahu jauh di sudu hati, mereka tetap tidak sukakan aku bahkan kebencian mereka mungkin semakin meluap.
Tahun menginjak. Sikap lembutku menjadi kelemahan. Aku dipulaukan oleh rakan-rakan kerana mereka. Mereka cakap, aku burukkan mereka dan aku hipokrit. Aku tidak tahu betul atau tidak. Mungkin ke tatkala aku meluahkan rasa, aku terlepas cakap dan kata-kata itu sampai kepada mereka. Aku beristighfar. Dalam hati, aku mohon ampun banyak-banyak. Jika duka lara aku ini hanya di dunia, aku rela hadapinya. Aku sanggup jika ini boleh meringankan bebanku. Aku mula ada masalah untuk mencari rakan untuk bekerjasama.
Bahkan rakan-rakan baikku menerima impak yang sama. Sekaligus, aku berubah menjadi manusia yang keras hati. Tidak lagi aku percaya janji-janji manis manusia seperti mereka. Nyata, perbincangan yang dibuat sebelum itu tidak mendatangkan apa-apa hasil. Keadaan hidupku, bertambah teruk. Aku anggap semua ini dugaan. Aku rasa bersalah yang amat pada rakan-rakanku yang setia.
Bulan Ramadhan, bulan yang mulia. Aku diacah sekali lagi. Buku tebal sengaja dihayun bagi menakutkan diriku. Mujurlah aku sempat mengelak. Aku diketawakan. Bersama dua orang rakan, kami pergi menjengah ke bilik mereka untuk kepastian. Nyata, reaksi pertama yang kami dapat, kami diketawakan. Memandang hari hampir lewat, kami meminta diri apatahlagi insan yang lakukan itu sudah pun tidur. Aku pulang ke bilik tanpa ada rasa apa-apa.
Dua malam kemudian, bilik aku dikunjungi. Mereka datang membuat kecoh dan membuat bising. Aku tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Mereka empat orang, aku seorang diri. Perkara itu aku ajukan pada salah seorang guru. Guru itu kata, mereka sebenarnya hendak buat aku marah. Mereka mahu sakitkan aku. Dengan cara itu, mereka dapat buktikan aku salah mereka benar. Rancangan mereka gagal pada waktu itu.
Sekali lagi, aku jadi mangsa. Aku ditolak ke tepi dan barang-barang aku bertaburan. Tanpa rasa bersalah, aku diketawakan. Dalam hati, manusia jenis apa agaknya mereka. Tetapi, aku hairan dalam keghairahan mereka membuli aku, aku tetap juga menerima ucapan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin daripada mereka. Apa sebenarnya mereka mahu?
Awak, kalau saya salah, awak tidak perlu cakap apa salah saya kerana segalanya awak sudah beritahu. Cukuplah sekadar cakap, apa yang saya perlu lakukan untuk tebus salah saya. Awak tahu, air mata saya ini sudah sering jadi tetamu dan ia tidak pernah jemu menemani saya. Apa yang saya hendak cakap pada Mama setiapkali mata saya bengkak kerana menangiskan perbuatan awak pada saya? Saya tidak pernah minta awak hadir dalam hidup saya dan saya juga rasa awak pun begitu. Saya minta maaf atas perbuatan saya, awak cakap tidak akan maafkan saya sampai mati. Mungkin salah saya besar. Kawan-kawan awak pula cakap, awak buat semua itu sebab balas dendam atas perbuatan saya. Awak semua balas dendam sebab saya berlagak saya mangsa. Saya tidak selemah itu awak. Saya tidak pernah mahu gelakkan awak.
Saya pandang awak tinggi. Awak ada banyak kelebihan. Awak ada masa depan yang cerah bukan saya sahaja bahkan hampir semua orang. Tetapi, untuk saya istana kecil pun belum tentu saya dapat singgah. Saya bukan macam awak. Keluarga awak yang saya dengar orang senang tetapi Baba dan Mama saya terpaksa membanting tulang untuk menyara kami adik-beradik. Bahkan, saya juga sering mendengar orang memuji kecantikan dan kecerdikan awak. Ramai yang takut untuk dekati awak kerana rasa awak bagus. Tetapi, saya mana ada semua itu. Awak semua kata tidak berminat untuk berkawan dengan saya, saya juga boleh cakap perkara yang sama. Kenapa? Saya ada unsur-unsur mahu ambil kesempatan dan mengambil faedah dari kelebihan awak semua ke?
Saya berusaha keras untuk menjadikan hidup saya lebih baik dari semalam. Tidak pernah sekalipun, saya terfikir untuk itu. Tidak sekalipun, saya terfikir untuk berkongsi populariti awak semua. Tidak sekalipun, terfikir untuk dapatkan perhatian. Saya sayangkan Baba Mama saya. Sayang sangat. Sebab itu, saya tidak berani untuk berbuat apa-apa pada awak semua. Jika boleh, saya boleh buat apa-apa pun tetapi saya terfikirkan Baba Mama saya. Mereka bersusah payah hantar saya ke sini untuk menuntut ilmu bukan mencari pasal dengan awak semua.
Kehadiran saya dalam hidup awak semua menyusahkan ke? Jika ya, kenapa tidak katakan dari dulu. Saya akan jauhkan diri dari awal. Kenapa akhir-akhir ini baru cakap? Kenapa tidak jelaskan dulu? Selepas perang mulut, awak masih lagi cuba untuk dekati saya dan rakan-rakan. Saya sudah buat sedaya yang mungkin untuk pergi dari hidup awak dan kawan-kawan. Tidak pernah sekalipun, saya jenguk ke blog awak. Bahkan, saya tidak pernah add awak dalam Facebook. Rakan-rakan awak pun saya sudah removed dan blocked. Untuk apa semua itu? Untuk
tebus kesalahan saya pada awak semua. Saya sedang tunaikan jani saya pada awak semua. Saya tidak akan dekati malah pandang awak semua lagi. Bukan ke itu yang awak semua pinta. Saya tidak mahu susahkan awak semua lagi. Bahkan perancangan teliti sedang saya usahakan. Tamat pelajaran di sekolah ini, saya akan berusaha pergi sejauh mungkin. Impian ini belum lagi saya sedia untuk dibisikkan ke telinga Mama Baba saya. Saya masih cari peluang supaya awak semua tidak akan nampak wajah saya di mana-mana lagi. Saya akan pergi tanpa awak semua dapat halang saya pun.
Saya tahu, awak semua tidak kisah. Mungkin Tuhan tahu apa-apa yang terbaik buat saya. Selama ini, banyak yang terhalang kerana kejujuran saya dan yang banyak terbilang kesilapan saya. Tidak lama lagi, hari jadi awak, bukan? Saya tidak berani berikan awak hadiah. Sebab, hadiah saya tidak setanding dengan hadiah yang awak dapat dari rakan-rakan awak ataupun teman lelaki awak. Saya pernah jumpa dia. Dia baik sekali. Saya rasa, dia sayangkan awak dan mampu jaga awak. Nanti, kalau panjang jodoh awak dengan dia atau awak bertemu jodoh dengan sesiapa, awak didiklah anak-anak awak supaya tidak jadi seperti saya.
Didiklah dia supaya jadi cerdik dan tidak bodoh macam saya. Saya yang silap sebab tidak cuba untuk hidu kedukaan yang bakal mendatang. Langkah saya yang tempang saya tidak tahu bila saya dapat tegakkan. Memandangkan tahun ini, tahun terakhir kita bersama-sama mengharungi pelajaran di sini, saya doakan awak panjang umur murah rezeki. Saya tidak tahu, sempat atau tidak saya ucapkan. Tetapi, tidak kiralah panjang atau tidak umur saya, tahun depan belum tentu kita jumpa dan ini mungkin ucapan selamat hari jadi terakhir. Jadi, saya ucapkan selamat hari jadi awak walaupun hanya sekali sahaja ucapan selamat hari jadi yang saya pernah terima daripada awak, tetapi itu bukan halangan sebab saya tidak mungkin akan lakukannya lagi pada tahun hadapan.

Sekian, terima kasih diari.

Air mata Rakesh tumpah. Dia membelek lagi bahagian belakang sekali diari itu.
” Apa-apa berlaku, Baba Mama jangan salahkan dia. Lupakan Adik dan maafkan dia tanpa syarat. Adik sayangkan Baba Mama. Ayah Mama dia pun begitu. Adik tidak pernah salahkan Baba Mama dan Baba Mama jangan hukum ibu bapa mereka. Mereka sudah didik anak mereka sebaik mungkin. Berilah mereka peluang untuk belajar dari kesilapan mereka. Kalau Allah SWT boleh ampunkan hamba-Nya, kalau Nabi Muhammad boleh ampunkan umatnya, siapalah kita manusia biasa untuk nafikan sebuah kemaafan,”

” Mulia sungguh hati dia,” Encik Aziz berkata. Air mata yang ditahan nyata tumpah juga. Puan Saza juga tidak mampu berkata apa-apa. Rakesh mengesat air matanya.
” Jadi, apa Encik Aziz dan Puan Saza mahu lakukan?”
” Tanpa Nabila tiada apa-apa pun yang boleh kami lakukan. Kami hanya boleh luahkan apa-apa yang kami rasa. Hanya kerana tidak berpuas hati…..,” Encik Aziz sebak.
” Bohong kalau kami kata kami tidak sakit hati. Ibu bapa mereka telefon merayu supaya anak-anak mereka diberi peluang,” Puan Saza juga hanya mampu meluahkan rasa.
” Maafkan saya, encik, puan,”
” Berilah kami masa untuk berfikir dulu. Biar saya berbincang dengan abang-abangnya. Jika itu harapan anak kami, mungkin sebagai tanda kasih kami, kami akan pertimbangkan,” Encik Aziz cuba meredakan rasa sedihnya.
” Nabila sudah tiada. Kalau untuk memberi peluang mereka keluar dari penjara itu, mungkin kami akan usahakan. Tetapi, untuk memaafkan biarlah kami pertimbangkan. Kami tidak boleh lihat wajah mereka pun sekarang,”
” Tidak mengapa , puan. Kami faham,”
” Terima kasih, Rakesh,” kata Encik Aziz dan isterinya mendakap tubuhnya.

Tiba sahaja di pejabat, Rakesh terus menemui editornya. Editornya juga menitiskan air mata tatkala mendengar ceritanya.
” Ia akan jadi tajuk utama akhbar esok,”
” Tidak, encik,”
Encik Rashid terkejut. Dia memandang wajah Rakesh dalam-dalam.
” Kenapa?”
” Ini permintaan mereka. Biarlah semua ini berakhir sahaja. Encik Aziz dan Puan Saza kata, mereka tidak mahu aibkan orang. Mereka mahu privasi kerana hati mereka akan bertambah luka lagi jika cerita in menjadi tatapan orang ramai,”
Encik Rashid mengangguk dan faham.
” Sejak bila awak menjadi berperikemanusiaan ini?” soal Encik Rashid hairan kerana setahunya Rakesh seorang yang hati kering.
” Kes ini menyentuh hati saya. Ia bukan pertama di Malaysia tetapi saya rasa tersentuh. Sebenarnya, semasa zaman sekolah dulu, saya juga pernah jadi pembuli,”
Encik Rashid ketawa kecil.
” Tetapi, kini awak sudah menjadi seseorang,” Encik Rashid berkata.
” Betul. Saya harap, kes buli ini tidak berulang lagi,”
Encik Rashid mengangguk.
” Soal itu, nanti saya fikirkan,”
” Terima kasih, encik,”

Keluar sahaja dari bilik editor itu, Rakesh terus membuka Facebook. Dia menaip sesuatu pada bahagian search dan nyata pencariannya tidak sia-sia. Pantas dia menekan added as friend dan menghantar mesej.
” Hai, ingat saya lagi? Apa khabar sekarang? Maafkan saya atas segala perbuatan pada awak selama ini. Saya harap, awak sihat sejahtera hendaknya. Hari ini, saya dapat satu pengajaran dan pengajaran itu mengingatkan saya pada awak. Saya harap, awak tidak berdendam pada saya. Jika ada, saya harap awak dapat memaafkan saya.
Rakesh a/l Raju

Rakesh mendapat satu panggilan. Ada kemalangan. Dia perlu ke sana. Tergesa-gesa dia tinggalkan mejanya. Facebooknya dibiarkan terbuka. Ada angka 1 pada notification dan bahagian mesej.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Cerpen : Selamat Hari Jadi Awak”
  1. perindu says:

    bila smbngannya…. :sad:

  2. ann says:

    Mempunyai unsur moral yang baik,tapi di harap penulis memperbaiki lagi mutu penulisan terutama sekali dari segi tatabahasa,thanks..

  3. dalila says:

    sedih laa cerita ni… :cry:

  4. amy says:

    yg last tu ape mksdnye??
    rakesh ke yg buli arwah tu ?? :sad:

  5. No, rakesh ni wartawan…. dia ditugaskan untuk menulis cerita tu… masa zaman sekolah dulu, dia pun kaki buli. Jadi, dia terkenangkan zaman silam dia. Selepas kes Nabila, dia ambil keputusan untuk cari mangsa buli dia… dia nak minta maaf..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"