
Novel : Akukah Juwita 14
Oleh : SWEET BUTTERFLY
BAB 14
PELIK betul aku dengan si Rifki ni, sejak balik secara mendadak ketika di kampung minggu lepas, terus lenyap. Telefon tidak, sms tak berbalas, entah apa jadi dengan lelaki itu. Langsung tak ada khabar berita, entah ke mana hilangnya dia. Wahai mamat poyo, mana kau pergi?
“Dah seminggu, bila nak bagi jawapan?” Aku segera mendongak. Gaban sedang memerhatikan aku dengan renungan yang memikat tapi macam mana aku boleh terlupa yang sekarang ini aku sedang keluar makan malam berdua dengannya. Boleh pula aku memikirkan lelaki lain pula tu di saat aku sedang bersama lelaki lain. Ah, teruk aku ni.
“Kenapa nak tergesa-gesa? Nanti ada masa yang sesuai aku bagi taulah. Lagipun aku kena juga pertimbangkan betul-betul, maklumlah calon yang menanti ramai. Tak bolehlah aku buat keputusan melulu.” Balasku sambil memandang pada Gaban yang hanya tersenyum panjang.
“Kau kena ingat, aku pun terhangat di pasaran. Karang kalau melepas, jangan gigit jari pula!” Aku sekadar tersenyum bila Gaban kata begitu. Tengok tu, tak mahu kalah! Nak juga naikkan sahamnya yang makin merundum tu. Ceh!
“Kalau ada jodoh tak ke mana.” Akhirnya aku membalas dengan nada yang mendatar.
“Setiap orang memang ada jodoh, bezanya hanya cepat atau lambat, jadi atau tidak saja dan aku akan berusaha untuk mendapatkannya. Lagipun aku bukan seorang yang mudah putus asa.” Sahut Gaban sambil memandang tepat pada aku. Ketika ini aku tidak dapat melihat dan juga merasakan adanya ikatan perasaan antara aku dan Gaban. Yang terlihat hanya desakkan dan rasa tidak mahu tewas pada orang lain. Ya, aku tahu Gaban mahu mendapatkan aku kerana tidak mahu tewas pada Rifki.
“Kalau berhajat, kenalah berkorban. Kalau ikhlas, kenalah bersabar dan kalau…” Tak dapat aku nak sudahkan ayat aku bila Gaban memintas dengan pantas.
“Dan kalau cinta, kenalah menunggu. Begitu?” Gaban buat aku terdiam dan dalam masa yang sama aku dapat rasakan seluruh darah menyerbu ke muka. Baru kali ini Gaban menyebut tentang cinta, buat aku kurang selesa.
“Kalau ini satu ujian, aku sanggup tunggu. Lagipun cinta yang tak teruji, bukan cinta sejati namanya.” Aku hanya diam bila Gaban kata begitu. Gaban nampak yakin benar yang aku akan bersetuju menerima pinangannya. Aku sendiri masih keliru dan tak pasti sama ada aku akan menerimanya atau tidak kerana aku masih dapat rasakan masih ada jurang antara kami. Walaupun Gaban selalu ada di depan mata tapi kehadirannya terasa jauh. Meskipun sudah lama mengenalinya aku masih tidak dapat memahami dirinya. Nak kata aku tak suka padanya, tidak juga. Terselit juga sedikit perasaan pada lelaki itu cuma rasa cinta itu saja yang aku kurang pasti. Macam mana agaknya aku nak buktikan yang aku memang mencintai Gaban?
“Esok aku jemput kau.”
“Nak ke mana?” Soalku sambil mengangkat kening.
“Officelah, nak ke mana lagi? Nak pergi honeymoon, entah dapat ke tidak.” Spontan aku mencebik bila Gaban kata begitu. Sempat aje dia hendak menyindir aku.
“Tiba-tiba aje nak jemput, kenapa?”
“Saja.”
“Saja? Boleh pulak saja-saja.” Aku masih giat nak mengusik Gaban lagipun bukan senang nak buat dia begitu. Tapi sejak beberapa hari ini Gaban sudah boleh melayan usikkanku dan adakalanya dia akan mengalah denganku.
“Oklah, apa kata kau aje yang jemput aku, boleh?” Tanya Gaban.
“Boleh! Bak datang kereta,” sahutku dengan pantas dan serentak itu Gaban tersenyum sambil menyeluk poket seluarnya. Lalu kunci kereta diserahkan padaku. Sajalah tu nak test aku!
“Tak nak kunci tu.” Kataku sambil buat muka. Aku pun saja nak test dia jugak ni.
“Habis tu nak kunci apa?”
“Alang-alang nak suruh aku jadi drebar, bagilah kereta baru. Barulah semangat sikit!”
“Amboi, dah pandai demand!”
“Takut ke? Atau menyesal?” Dugaku sambil merenung Gaban yang kelihatan bersahaja.
“Takut tidak, menyesal jauh sekali cuma lepas ni nak kena cari projek lebih sikitlah. Bukan senang nak sara anak orang ni, lebih-lebih lagi anak Pak Temon ni.”
“Tau tak apa! Tu baru kereta, belum apa-apa lagi tau.” Sengaja aku nak mengusiknya. Mahu lihat sejauh mana Gaban sanggup melayan kehendakku.
“Ya, tau. Lepas ni aku serahkan semua kad ATM, buku bank dan kad kredit sekali eh.” Aku hanya tersenyum bila Gaban membalas usikkanku. Lelaki, belum dapat memang semuanya boleh, semuanya indah. Dah kahwin tak tau lagi macam mana. Ah, bila memikirkan bab kahwin ni memang takutlah. Entah bahagia atau tidak. Boleh ke berkekalan hingga ke akhir hayat? Biarlah masa yang menentukan, kalau ada jodoh tak ke mana. Aku tak perlu terburu-buru nak bagi jawapan, yang penting kita kenal hati budi dan keperibadian Gaban dengan lebih mendalam lagi. Biar jelas untuk aku buat keputusan nanti, apa pun terpulang pada hati. Kalau hati berkata ya, maka ya jugaklah jawapan yang aku berikan padanya nanti.
*******
RIFKI! Tiba-tiba saja lelaki itu ada di depan mata dan kini sedang santai berdiri di luar pintu pejabat sambil memerhatikan aku. Kebetulan aku baru saja pulang dari bank kerana mengemaskini cek-cek bayaran pelanggan. Nasib baik juga si Gaban ada kerja luar, kalau tidak, tak tahu macam mana pula situasi seterusnya kalau Gaban lihat Rifki di sini. Dan aku pulak, tiba-tiba saja gementar dan serba tak kena malah langkah yang biasa tersusun ala-ala model aku hilang serta merta. Aku berjalan macam orang yang dah nak tercirit cari jamban. Tapi cepat-cepat aku cuba kawal perasaan dengan berlagak selamba. Aku juga geram pada Rifki sebab dia menghilangkan diri macam tu saja dan tiada langsung khabar berita. Puas aku cuba untuk tidak mahu memikirkan tentang Rifki tapi adakalanya aku tak dapat menipu diri bila terasa sepi dan kosong bila dia tiada.
Rifki mengenyitkan mata, hilang rasa rindu aku pada dia. Rindu? Ceh! Kenapa tiba-tiba nak rindu-rindu pulak! Tapi sekali lagi aku benar-benar rasa rindu bila lihat dia tersenyum manis dan serentak itu jantung terasa kencang berdegup. Demi Tuhan, perasaan aku benar-benar tidak menentu. Semacam saja rasanya hingga terpaksa aku menggenggam tanganku sendiri untuk membuang rasa kegelisahan. Kenapa dengan aku ni? Dan kenapa pulak si Poyo ni buat aku rasa gelisah dan resah macam ni. Buat aku jadi kalut! Akhirnya aku buat tak nampak Rifki yang tercegat di pintu, menonong je aku masuk ke dalam office.
“Amboi, sombongnya dia.” Usikkan Rifki buat aku hendak tergelak. Kalaulah Rifki tahu perasaan aku saat ini, alahai mana aku nak letak muka aku yang cun ni. Bukan sombonglah tapi dah tak keruan!
“Apa hal tiba-tiba muncul ni? Asal tak hilang terus?” Soalku bila dia masih mengekori langkahku.
“Macam mana nak hilang terus? Baru hilang seminggu awak dah marah.” Balasan itu buat aku memandang pada Rifki. Ya, memang aku marah! Sebab Rifki buat aku jadi tak menentu! Buat aku seminggu ini rasa kosong dan sepi! Buat aku seminggu ini rasa ‘sesuatu’ dan yang penting aku marah bila ada rasa rindu pada lelaki itu.
Rifki menguntum senyuman dan dengan selamba menarik bangku di hadapanku untuk duduk. Untuk seketika kami berbalas renungan, meskipun dada macam nak pecah tapi ada terselit rasa bahagia. Namun aku segera mencapai sebatang pen dan berpura-pura untuk membaling pen itu pada Rifki. Tak mahu kami berterusan merenung antara satu sama lain. Tak mahu menghanyutkan perasaan yang tak pasti apa rasanya. Namun Rifki hanya tergelak tanpa mengelak, seakan tahu aku sekadar bergurau dan tidak berani untuk melakukannya. Bukan aku tak berani tapi aku ni baik hati, tak sanggup nak cederakan anak orang. Kang cacat pulak, dah tak ensem!
“Saya rindukan awak.” Akhirnya Rifki berkata perlahan sambil tersenyum panjang. Aku pula macam terkena renjatan elektrik. Kejang di kerusi yang aku duduki itu.
Terkebil-kebil aku tatap wajah Rifki, sebaris senyuman yang manis menyejukkan pandangan. Walaupun aku tahu Rifki suka bergurau dan ini bukan kali pertama dia kata begitu tapi kali ini perasaan aku sudah lain benar. Dan aku tahu Rifki jujur mengucapkan kata rindu kerana aku dapat merasakannya. Sungguh, dalam beberapa hari tidak mendapat khabar darinya apatah lagi tidak dapat mendengar suara dan melihat wajahnya, aku sudah rasa lain dari biasa. Mabuk ke aku?
“Awak rindukan saya tak?” Soal Rifki. Aku terus mencebik, memberi jawapan untuk soalannya.
“Ingatkan dah seminggu tak jumpa, awak rindukan saya.” Perlahan Rifki bersuara. Aku buat-buat tak dengar dan sengaja menumpukan perhatian pada skrin komputer.
“Awak ni macam betul-betul tak rindukan saya saja?” Sekali lagi Rifki membicarakan soal rindu padaku. Aku sudah cukup gelisah melihat kehadirannya pagi ini, sekarang nak tambah lagi dengan ucapan rindu merindu pula. Kalau aku kata aku juga rindu, apa yang Rifki mahu buat seterusnya? Mahu larikan aku dan terus kahwin ke? Tentu tidak, kan? Entah-entah Rifki hanya bergurau! Aku saja yang naik feeling! Aku menarik nafas dalam-dalam, mahu membuang rasa tak menentu yang ada dalam diri. Aku memandang wajah Rifki yang ketika ini kelihatan suram, seakan lelaki itu memang mahukan aku mengucapkan juga kata rindu buatnya. Hah, Rifki memang suka berjenaka!
“Awak ni, sehari kalau tak merepek tak sah. Selain pandai merepek apalagi yang awak suka buat?” Rifki tersenyum, tawar. Mungkin kecewa kerana aku sengaja menukar topik perbualan. Aku tidak mahu Rifki terus nak berjiwang atau lebih tepat lagi mempermainkan perasaan aku pagi-pagi begini. Cukuplah aku teralpa sekejap tadi, tak mahu lagi melayan perasaan yang aku sendiri tak pasti. Lagipun topik rindu itu buat aku rasa tidak selesa.
“Saya ada banyak kepandaian dan kelebihan yang awak tidak tahu. Antaranya saya seorang yang pandai memilih dan selalunya pilihan saya itu yang terbaik.” Aku segera mengangkat kening, kurang mengerti dengan ayat itu. Rifki tersenyum dan mendekatkan dirinya rapat dengan meja. Kemudian memanggil aku dengan tangannya seolah ada rahsia yang hendak dikongsikan. Aku turut sama mendekatkan diri rapat ke meja, kemudian menunggu Rifki untuk berbicara.
“Saya jumpa benda ni, cantik tak?” Rifki berbisik, sambil menghulurkan satu kotak baldu saiz sederhana berwarna hitam. Aku sedikit terkejut namun menyambutnya kerana sudah tidak sabar untuk melihat apa yang ada di dalam kotak itu.
“Masa di Austria saya nampak benda ni, saya terus teringatkan awak.”
“Apa awak buat di sana?” Soalku sambil membuka kotak baldu itu.
“Saya kan Superman, terbangkan orang ke mana mereka nak pergi.” Akhirnya jawapan Rifki berbentuk kiasan itu membuatkan aku mengerti. Rupanya Rifki seorang juruterbang.
“So, awak ni pilotlah?” Rifki sekadar tersenyum.
“Itu pun susah nak beritahu. Ingatkan pembunuh upahan, sampai nak rahsia sangat!.” Perli aku sambil mengerling sekilas pada Rifki. Rifki seperti biasa, muka selamba je. Tapi bagaimana orang seperti Rifki boleh memilih kerjaya seumpama itu. Perwatakan Rifki yang suka berjenaka dan tidak pernah serius itu membuatkan kerjaya yang dipilihnya seakan tidak bersesuaian. Seorang juruterbang seharusnya berperwatakan serius dan tegas, kerana beratus nyawa berada di tangannya. Malah dengan hanya satu kesilapan kecil dan ketidakupayaan menangani masalah, akan membawa padah. Sebaliknya perwatakan sebegitu tidak ada pada lelaki itu.
Kotak baldu hitam itu telah terbuka, satu utas rantai leher bertali hitam dan berloketkan kristal merah berbentuk hati membuatkan aku terpana. Keindahan dan kilauan kristal itu menjadikan aku terpaku, tidak terkata.
“Awak tahu tak kenapa saya memilih kristal? Kristal mempunyai kecantikannya yang tersendiri, ia berkilau, bersinar dan eksklusif. Malah kristal Swarovski ini lebih mahal berbanding dengan jenis kristal yang lain kerana kualitinya. Tapi tidaklah semahal berlian, harganya berpatutan dan boleh dimiliki oleh sesiapa saja. Lagipun Swarovski red heart necklace on cord ni dikatakan sangat sesuai untuk gadis macam awak.”
“Kenapa ia sangat sesuai untuk gadis macam kita?” Soalku setelah asyik mendengarkan saja ceritanya. Rifki tersenyum, lama dan nampak keberatan untuk menjawab soalanku.
“Selain ianya cantik bersinar dan eksklusif, apalagi yang tersembunyi di sebalik rantai ini?” Soalku lagi sambil mengangkat rantai itu dan ditunjukkan pada Rifki. Untuk seketika Rifki sekadar tersenyum, kemudian mula bingkas.
“Malam ni saya nak ajak awak keluar, saya ambil awak nanti.” Kata Rifki dan terus saja berlalu. Aku ditinggalkan dengan persoalan yang belum terjawab. Hari ini Rifki tidak seperti selalu, lelaki itu nampak lebih tenang dan serius. Malah hari ini tiada gurauan yang membuatkan aku geram padanya seperti selalu. Tetapi tanpa usikkan dan gurauannya, aku rasa ada kekurangan. Agaknya aku ni dah mengong! Ahhh……
*******
RANTAI pemberian Rifki sudah tergantung indah di leherku, malah loket kristal Swarovski berwarna merah itu berkilau dan bersinar cantik di dadaku. Benar kata Rifki, aku nampak cantik dan istimewa. Ceh, perasanlah pulak!
Sengaja aku mengenakan rantai itu sebagai tanda terima kasih di atas pemberiannya. Lagipula pagi tadi aku tidak sempat hendak mengucapkannya kerana Rifki berlalu begitu pantas.
Aku segera mengatur langkah, mendekati Rifki yang sudah menanti aku dalam kereta. Rifki membukakan pintu kereta dari dalam dan aku pantas saja melangkah masuk. Untuk seketika Rifki merenung di bahagian dadaku dan renungannya itu mengelirukan aku. Dia ni biar betul, tenung rantai atau dada aku. Gatal betul si Poyo ni!
“Apa yang awak pandang lama-lama ni?” Tanyaku sambil menutup dadaku dengan kedua tapak tangan. Aku pulak mengada-ngada mengenakan baju yang terbuka lebar di bahagian leher. Konon nak tunjuk rantai berloketkan kristal tu pada Rifki. Rifki tersenyum sambil menggelengkan kepala, kemudian dia terus memandu.
“Kita nak ke mana ni?” Soalku memulakan bicara. Rifki seperti biasa, santai berjeans lusuh biru cair dan t-shirt kolar bulat berwarna kelabu. Nasib baik aku tak bergaya sakan, sekadar mengenakan pakaian yang sama sepertinya. Ini kerana aku dah masak sangat dengan perangai Rifki, kalau ajak aku keluar mesti berpakaian macam nak pergi pasar. Namun aku begitu senang dengan keperibadiannya begitu, membuktikan yang lelaki itu seorang yang bersederhana dalam berpakaian malah tidak kisah pun kalau menjamu selera di restoran atau warung. Entah-entah malam ini pun dia nak ajak aku makan burger di kaki lima. Si mamat poyo tu bukannya betul, tak kisah dan selamba saja.
“Tempat yang paling istimewa,” jawab Rifki pendek. Nada yang terlontar juga serius bunyinya. Buat aku merasa curiga padanya.
“Awak ni baru diberitahu mengidap sejenis penyakit yang boleh meragut nyawa awak ke?” Rifki menoleh padaku sambil mengerutkan dahi, tanda tidak mengerti dengan pertanyaanku.
“Habis tu hari ini awak skema je, kenapa?” Rifki ketawa sebaik aku berkata demikian.
“Saya dah agak dah, awak ni seorang yang penyayang, prihatin dan mengambil berat. Hai, ni yang buat saya sayang sangat kat awak,” balas Rifki sambil mengerling padaku. Aku sekadar mencebik, perangai gonjolnya sudah menyerang.
“Saya peliklah dengan awak ni, kenapa dengan mudah awak boleh mengatakan sayang, rindu, pada orang yang baru awak kenal? Selalunya lelaki yang bersikap seperti awak ni, seorang womanizer.” Kataku sambil memandang pada Rifki yang sedang memandu. Rifki tersenyum, langsung tidak tercuit dengan kata-kata itu.
“Saya tak rasa yang saya baru mengenali awak. Bila bersama awak, saya rasa macam kita dah kenal lama.”
“Jadi kerana rasa macam kita ni dah kenal lama, dengan mudah mengucapkan kata sayang, rindu.”
“It’s out of my control. Lagipun awak kan bakal isteri saya, apa salahnya saya panggil sayang?”
“Bakal isteri? Awak betul-betul buat saya rasa hairan. Mula-mula dulu awak kata tak nak kahwin dengan saya, tapi sekarang cakap saya ni bakal isteri pula.”
“Nanti dulu, saya tak cakap yang saya tak nak kahwin dengan awak. Saya cakap, saya tak suka perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga. Remember?” Aku diam seketika, wajah Rifki hanya aku dapat lihat dari sisi kerana lelaki itu memandang tegak ke hadapan.
“Tapi orang yang awak gelar bakal isteri ni dengan pilihan mama awak tu adalah orang yang sama.”
“Orang yang sama tapi situasi yang berbeza. Ok, kita akan bincang hal ini kemudian, sekarang ni kita dah sampai. Shall we?” Rifki menghentikan perbicaraan. Aku pantas memandang sekeliling. Aku langsung tidak sedar yang kami telah tiba di tempat yang Rifki katakan paling istimewa. Mungkin juga kerana topik perbualan kami jadi semakin hangat untuk diperdebatkan.
Tempat ini sangat aku kenali, banglo lama milik Puan Ros yang kini dihuni oleh Rifki. Tapi apa yang Rifki hendak buat padaku ditempat seperti ini, malam-malam pula tu. Aku jadi seram sendiri, aku berkalih memandang pada Rifki. Lelaki itu sekadar tersenyum, kemudian turun dari kereta dengan melangkah tenang dan membukakan pintu untukku.
“Kita nak buat apa kat sini?”
“Awak takut?”
“Saya ni perempuan, awak tu lelaki.”
“Habis tu tak kan saya perempuan, awak tu lelaki?” Balas Rifki sambil tersengih. Tidak lucu langsung, kerana rasa takut sememangnya sudah memakan diri. Aku masih tidak keluar dari perut kereta, masih enggan mengikuti Rifki.
“Saya masih ada mak bapak tau,” aku mengeraskan sedikit nada suara. Kini hanya wajah emak dan abah yang terbayang di ruang mata.
“Siapa pula yang kata awak ni anak yatim piatu?”
“Awak ni masih nak berlawak pula!” Marahku sambil merenung tajam padanya yang kelihatan selamba.
“Awak ni, saya bukanlah jahat sangat sampai tergamak nak apa-apakan awak. Awak tak percayakan saya ke?” Soal Rifki dengan lembut. Namun aku tidak tergoda dengan kelembutannya. Lelaki yang bijak dan lembut ketika berbicara memang tidak patut diberi kepercayaan. Lelaki sebegini yang membaham mangsanya dalam diam dan tanpa sedar. Kenapalah aku begitu bodoh mahu keluar dengannya ke tempat yang aku tidak pasti.
“Awak tahu tak, di antara lelaki dan perempuan yang berdua-duaan, yang ketiganya adalah iblis?” Tanyaku dengan serius. Rifki senyum kemudian mengeluh panjang.
“Saya bukan nak berlagak tapi insyaAllah saya dapat tepis godaan iblis. Iman saya masih kuat dan selagi awak tak buat aksi-aksi yang mengghairahkan, saya jamin awak dapat pulang dengan selamat.” Aku menggigit bibir kerana geram dengan jawapan Rifki itu.
“Awak jangan nak main-main.”
“Awak ni, hish susah saya nak cakap…nanti.” Rifki segera melilau di sekitar laman, mencari sesuatu.
“Nah, awak pegang kayu ni kuat-kuat kalau saya hilang pedoman awak boleh ketuk kepala saya,” ujar Rifki sambil menyerahkan satu ranting panjang padaku sebagai alat pelindung.
“Ini awak kata kayu?” Soalku sambil menarik ranting yang dihulurkan. Ranting yang tebalnya tak sampai setengah inci itu aku layangkan di hadapan Rifki.
“Habis tu tak kan saya nak suruh awak pegang kayu yang besar tu?” Aku menoleh pada longgokkan kayu di hujung laman. Proses ubah suai laman yang masih berjalan dan belum selesai menjadikan sebahagian ruang laman di situ dijadikan tempat letak material dan peralatan pengubahsuaian.
“Buatnya saya memang betul-betul hilang pedoman, tak ke saya jadi arwah nanti?” Sambung Rifki dengan serius. Spontan aku menghayunkan ranting itu pada Rifki, geram betul dengan ayatnya itu. Rifki sekadar tergelak kecil dan aku sudah keluar dari perut kereta. Aku bagaikan ada keyakinan yang Rifki tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruahku. Kalau dia berniat jahat padaku, sudah lama aku jadi mangsanya sewaktu aku pengsan dulu.
“Apa yang kita nak buat kat sini?” Sekali lagi aku bertanya tentang tujuannya membawa aku ke sini. Rifki yang berjalan tenang memandang padaku seketika sambil tersengih.
“Awak tunggu sini,” pinta Rifki sambil melangkah menuju ke gazebo yang tidak jauh dari tempatku berdiri. Sesaat kemudian lampu terpasang di gazebo itu, sekaligus menerangi sekitar laman.
“Makan malam di gazebo?” Soalku sebaik Rifki kembali menghampiriku. Rifki senyum tanpa sebarang balasan. Aku terpaksa melangkah dengan berhati-hati, mengelak dari memijak lopak air. Jalan masih basah dan berlopak, belum dikemas kini kerana pembinaan gazebo sedang berjalan. Namun dalam berhati-hati itu, akhirnya aku tersilap langkah juga. Jalan yang licin membuatkan aku tergelincir tetapi dengan pantas aku segera disambut oleh Rifki. Kalau tidak kerana kepantasan Rifki tentu aku sudah terbaring dan telentang mengadap langit.
Tatkala mata kami bertembung dan bersatu, satu perasaan yang asing menyelinap masuk ke dalam hati. Tanpa disuruh Rifki pantas mengendong aku macam bayi baru lahir. Aku yang tergamam dengan tindakannya itu, sudah terkaku dan tidak terkata. Aku tidak sempat memikirkan apa-apa lagi ketika itu. Aku hanya pandang wajah Rifki yang tenang dan nampak jujur itu. Rifki pula macam putera raja, mahu melindungi aku dari terjatuh lagi dengan mengendong aku sampai ke gazebo dengan gagah dan penuh bergaya. Tapi kalau pencegah maksiat ada di sini, tengok pulak tindakan Rifki begini, sah-sah aku kering buta kena tangkap dengan mereka.
Aku segera melarikan pandangan, masih segan dengan Rifki apabila digendong sebentar tadi. Aku berpura-pura memerhatikan gazebo yang belum siap sepenuhnya itu. Tak sangka aku akan merasmikan gazebo ini bersama Rifki dengan makan malam yang romantik. Aku duduk bersimpuh dan Rifki bersila, duduk beradab cara Melayu ketika menikmati nasi ambang di dalam dulang bulat yang sederhana saiznya. Dari manalah datang idea si Rifki ni nak makan nasi ambang di gazebo yang bercirikan seni bina Melayu. Aku senyum sendiri, tak sangka dalam zaman moden, masih ada yang mahu makan nasi ambang dengan cara begini. Malah majlis kenduri di kampung pun sudah tidak lagi mengamalkannya. Mee goreng, nasi putih bersama ayam masak kicap, rendang daging, serunding, sayur campur dan udang sambal sangat menyelerakan. Membuatkan aku lupa yang aku sedang menikmati juadah itu bersama Rifki. Laju saja aku menyuap makanan, tak toleh kiri dan kanan lagi.
“Seram saya tengok awak makan, macam nak telan dengan dulangnya sekali.” Tegur Rifki sambil membasuh tangan. Aku segera mendongak, memandang Rifki yang bersahaja mengusik aku.
“Tengok tu, makan macam budak kecik,” kata Rifki sambil mengelap lebihan sambal yang melekat di tepi bibirku dengan tisu. Malunya aku bila Rifki memperlihatkan keprihatinannya terhadapku. Kini aku terpaksa akui, Rifki seorang yang romantik, bijak menjadikan sesuatu suasana itu istimewa. Malah malam ini dia menunjukkan sifat budimannya yang selama ini terselindung di sebalik sikapnya yang suka berjenaka dan tidak serius.
“Mana awak dapat idea makan malam macam ni?” Soalku. Dulang yang telah kosong aku alihkan ke tepi.
“Setelah tengok gazebo ini semalam dan saya suka dengan konsep gazebo ni.” Aku senyum, bangga apabila Rifki turut menyenangi konsep gazebo ini.
“Terima kasih kerana membuatkan makan malam kita malam ini begitu istimewa,” kataku dengan ikhlas. Memang malam ini malam istimewa, tak mungkin aku dapat lupa melainkan aku koma seumur hidup.
“Kata orang, makan nasi ambang dengan cara begini dapat mengeratkan silaturahim. Malah secara tak langsung mengajar kita untuk berkongsi dan bertolak ansur. Mungkin permulaan seperti ini sangat baik untuk kita mengeratkan lagi hubungan.”
“Awak ni, memang lain dari yang lainlah,” balasku.
“Betul tu, sebab saya Superman,” sahut Rifki sambil tersenyum, begitu juga dengan aku. Untuk seketika kami membisu, masing-masing hanya memandang langit dan menikmati keindahan bintang-bintang yang bertaburan di langit. Senang dan bahagia bila begitu.
“Hantar kita balik, dah malam ni.”
“Baru nak ajak tidur sini.” Aku membeliakkan mata.
“Baru gurau mata dah terbeliak, mata katak pun kalah.” Kata Rifki sambil tersengih. Rifki, saja nak buat aku geram. Aku terus menjeling dan berlalu. Rifki pula mengejar langkahku sambil memujuk aku dengan lawak bodohnya. Dalam geram, rasa senang terselit juga. Dengan dia aje aku dapat bermanja, terasa juga diri ini dihargai.
“Selamat malam sayang!” Kata Rifki sebaik aku turun dari kereta. Tak sempat aku nak berkata apa, kereta telah bergerak meninggalkan aku. Takutlah tu aku marah padanya. Tak semena-mena aku tersenyum, tak boleh nak marah bila tindakan Rifki sebentar tadi mencuit hatiku.
Aku melangkah dengan santai sambil tangan kananku menyentuh loket yang tergantung di leher. Senyuman masih belum terpadam, tak tahu kenapa terbit rasa senang bila menyentuh loket pemberian si mamat Poyo itu. Ada jampi kut?
“Timun!” Serentak itu aku tersungkur setelah kakiku tersandung anak tangga. Sakit lain cerita tapi malu anak dara cun macam aku ni jatuh!
“Tu lah berangan aje, tangga depan mata pun tak nampak!” Aku menoleh, Gaban telah mendekati aku sambil membelek kaki aku. Timun? Kau panggil aku Timun! Memang Gaban tak makan saman, nak makan selipar kut dia ni. Pastu tiba-tiba pulak ada kat sini.
“Kau ni dari mana?” Soalan Gaban aku tak jawab sebaliknya membelek kaki, kalau-kalau ada kecederaan. Tak ada luka, cuma sakit saja tapi sandal yang aku pakai talinya putus. Tak boleh nak guna lagi, alamat berkaki ayam ler aku sampai ke pintu rumah. Tiba-tiba Gaban bingkas dan aku yang masih terkejut kerana kemunculannya yang secara tiba-tiba itu, hanya melirik dia menuju ke kereta. Apa kena dengan dia tu? Aku cuba bangun dan melangkah tapi rasa sakit masih terasa.
“Nah!” Gaban menghulurkan aku terompah. Aku hampir nak menangis tengok terompah tu. Itu terompah yang Gaban belikan masa aku sarung selipar abah. Tengok tu, belum apa-apa Gaban dah tergelak. Aku geram betul bila dia gelakkan aku macam tu!
“Nasib baik aku masih simpan.” Kata Gaban. Aku hanya menjeling padanya. Namun tak kan aku nak berkaki ayam, nak tak nak aku cuba sarung juga terompah itu. Dengan muka selamba aku terus berjalan, tapi Gaban yang ada di belakang aku makin giat ketawa. Samdol! Aku menoleh dan merenung pada Gaban. Gaban menghentikan tawanya dan hanya memandang aku dengan pandangan yang menggoda. Lain macam saja.
“Yang kau ni malam-malam buta datang sini buat apa?” Jerkahku.
“Berpuluh kali aku call tak dijawab, aku datang dah 2 kali tapi kau tak ada, kau ingat aku tak risau ke? Buatnya jadi apa-apa, kau pengsan ke, kena culik ke?” Aku segera meraba poket seluar. Sah handphone aku tertinggal di rumah! Eh, tiba-tiba pula dia risaukan aku.
“Hmm, ingatkan apa!” Getusku perlahan.
“So, dah nampak aku ni, puaslah hati kau?” Sambungku dan ketika itu Gaban hanya tersenyum.
“Hmm, mau tak puas, akhirnya kau pakai jugak terompah tu!” Gaban sambung gelak dan aku hanya mampu menggigit bibir menahan geram.
“Dah, baliklah.” Jeritku dan terus berpaling, menghayun langkah. Menyampah bila dia gelak macam tu. Macam penyamun tarbus! Aku terus meninggalkan Gaban tanpa menoleh padanya, lagipun aku takut untuk berhadapan dengannya lebih lama, bimbang kalau dia tanya padaku, aku ke mana tadi.
Baru saja aku melangkah masuk ke dalam rumah, telefon menjerit minta diangkat. Gaban! Apa lagi yang dia nak? Aku melepaskan keluhan.
“Hmm, kenapa?”
“Kau dah masuk rumah?”
“Dah, kenapa?” Pelik pulak aku bila Gaban tanya aku dah masuk rumah atau belum.
“Oh, maknanya kau dah tanggalkanlah terompah kau tu ye?” Serentak itu Gaban ketawa. Kurang asam kau Gaban! Kalau kau ada kat depan aku sekarang, confirm kali ni aku baling terompah yang kau beli ni kat kepala. Biar sakit otak kau tu baik. Huh!
“Tak kelakar pun!” Marahku sebelum mematikan talian. Malas aku nak layan gila dia tu. Lucu sangat ke aku pakai terompah tu? Walaupun memang kelakar jugak tapi tak adalah lawak sangat sampai nak kena ulang-ulang gelak! Hah! Gaban saja nak sakitkan hati aku! Patutnya layan aku dengan lebih baik, mesra dan romantik barulah aku boleh pertimbangkan pinangannya tu. Ini tidak, saja nak sakitkan hati aku berulang kali. Karang aku terus bagi jawapan tidak untuk pinangan dia, baru tau! Telefon berbunyi dan aku sangat pasti Gaban sengaja nak kenakan aku lagi.
“Kau jangan nak mengadalah Gaban! Aku reject pinangan kau, baru tau!” Aku terus bersuara dan kemudian matikan talian. Puas hati aku dapat menjerit padanya begitu. Biar Gaban tersentap! Dan selepas itu tiada lagi deringan telefon. Nampaknya Gaban benar-benar takut dengan ugutan tu. Aku senyum sendiri dan terus berjalan menuju ke bilik.
“Oii Minah! Mana kau pergi?”
“Oh, polong mak kau!” Terkejut aku bila tiba-tiba Naja berdiri di muka pintu biliknya dengan muka bertepek tebal krim berwarna hijau. Ingatkan toyol, tapi mana ada toyol setinggi ini.
“Kau tau tak yang si Aqil tu cari kau? Telefon kau tu berdering berpuluh kali, pintu rumah ni dah dua kali diketuk. Kalau ya pun nak merayap bagilah tau.” Bukan main si Naja ni membebel, kalah mak aku. Tengok tu siap mencekak pinggang. Siti Tanjung Perak kalau nampak ni, sure menangis!
“Aku dah jumpa dia kat bawah tadi.” Jawabku sambil masuk kebilik. Aku duduk dia atas katil sambil tersenyum sendiri.
“Bukan main lebar senyum tu?” Naja menyoal. Aku segera menoleh pada Naja yang berdiri di muka pintu. Hai, nak apa lagilah si Naja ni.
“Lepas ni tolong inform Aqil kalau nak ke mana-mana? Jadi tak adalah aku kena soal macam penjenayah.”
“Aik, sejak bila pulak aku kena report pada dia?”
“Dah kau tu bakal bini dia.”
“Belum ada apa-apa lagi ok? Aku belum cakap pun aku akan terima pinangan dia dan selagi itu aku bebas nak buat apa saja tanpa dapat keizinan dari dia.” Terangku.
“Aku tak fahamlah dengan korang ni. Korang berdua ni nampak secocok tapi macam ada sesuatu yang kurang. Kurang apa ek, kurang mesra kut? Kau ni sebenarnya suka dia atau tidak?” Naja buat aku diam seketika. Aku pun selalu fikirkan, aku suka dia atau tidak. Aku pun tak tahu kenapa berat sangat aku nak buat keputusan. Ciri-ciri yang ada pada Gaban, menepati citarasa wanita. Dia mempunyai masa depan yang cerah dan kalau dari rupa paras pula, penampilannya sentiasa kemas dan bergaya. Memang sayang nak tolak lelaki macam tu tapi macam yang Naja sendiri katakan, memang ada sesuatu yang kurang antara kami. Tak cukup rencah kut? Rencah apanya, ingat nak masak rendang ke?
“Entahlah Naja, aku malaslah nak fikir. Setiap kali aku fikir, aku tak dapat jawapan apa-apa.”
“Habis kau nak suruh Gaban tu tunggu sampai bila?”
“Entah, lagipun aku tak pernah paksa dia pun untuk tunggu. Kalau ada jodoh, adalah.”
“Sah, kau tak cintakan dia!” Aku memandang Naja, minta dia jelaskan dengan lebih terang..
“Bila kita cintakan seseorang, kita tak kan keliru dengan perasaan sendiri. Kita tak perlukan alasan untuk menerima cintanya.” Aku hanya diam saja bila Naja kata begitu. Tak mahu komen apa-apa. Mungkin kata Naja ada benarnya. Aku memang keliru dengan perasaan sendiri, susah nak pastikan dalam hati, siapa yang aku sukai. Susah betul bila harus memilih. Aku mengetap bibir, pening bila asyik menemui jalan buntu.













pilihlah gaban jd temanmu,,hehhe
rasanya yang call ke kedua tu bukan gaban tp rifki
PILIH LAH RIFKI…NAK RIFKI JUGA
sweet butterfly:jgn dgr kta mutiara…pilih la gaban jadi hero..teman idup…stuju ngn fatim…
Gaban!
Gaban!Gaban!
sy sokong GAban…yea..hehehehe
kak syima….i lap u lah! chaiyokkk……
INFO : Cerita ini akan dibukukan tak lama lg, end of this year kena serahkan pada pihak penerbit…..jgn lupa bagi sokongan yea!
To P2U : THANKS….
kalau pilih riffki, kesian lak dgn aqil,…………..camtu gak kalau pilih aqil, kesian kat riffki…………apakata ambik 2-2 sekali??????????????????????
nk minah ngan rifki gak..huhuhu

next please..