Novel : Cinta 86400 Detik 8, 9

19 November 2010  
Kategori: Novel

875 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Nuqman Hakimy

BAB 8

Kelas masih kosong ketika Ashriel melangkah masuk. Para pelajar masih liat untuk masuk ke dalam memandangkan masih ada sepuluh minit lagi sebelum pelajaran seterusnya bermula. Dari muka pintu Ashriel memandang longlai tempat duduknya. Sungguhpun dia sudah mendapatkan kepastian dari gerak hatinya tapi perasaan keliru sering menunda-nunda hingga dia seolah-olah mengalami kekeliruan besar. Lemah kakinya melangkah menghampiri tempat duduknya. Dengan lemah dia menghenyakkan diri di situ. Terlihat sehelai kertas kecil berlipat empat terletak di tengah meja. Lantas dahi Ashriel berkerut seribu. Kertas apa pulak? Siapa pulak yang pandai bersurat-surat ni? Gumannya dalam hati. Adakah surat ini merupakan satu amaran buatnya lagi? Hati Ashriel lantas bertanya. Perasaan tidak enak kembali menyerang dirinya semula membuatkan debaran di dadanya mula bergegar.

Dengan hujung jari Ashriel menarik kertas tersebut supaya rapat ke mukanya. Dikuisnya lipatan kertas itu tanpa tumbuh sebarang minat. Tertulis di atas kertas itu perkataan “Jadi tak belanja saya makan?” dengan tanda soal besar memenuhi hampir keseluruhan kertas. Juga wajah bermuka bulat dengan mata dan hidung sebesar sebiji guli. Rambut tercacak seperti terkena kejutan elektrik. Disertakan air mata setitik dua tanda menahan geram kerana terpaksa. Ashriel lantas tergelak. Tak sangka kertas itu mampu mengeletik hati.

Setelah membaca tulisan singkat itu Ashriel merasakan dirinya seolah-olah pengembara yang kehausan mendapat seteguk air. Gundah di hatinya hilang dengan sekelip mata melainkan senyum mula menguasai bibir. Ternyata tulisan di atas kertas itu segera membuka hati dan fikirannya dari terus merewang dengan pelbagai andaian pahit. Sekejap itu matanya melingas memandang sekeliling. Di kaki lima Azira melembarkan senyum manis sambil memberikan isyarat pada kertas di atas mejanya itu. Ashriel pantas mengangguk. Turut membalas senyum diberikan. Temujanji pertama mereka berjalan seperti biasa. Selepas saling berbalas bahasa mata Ashriel melihat Azira beredar dari situ. Seperti kehadirannya semata-mata ingin mendapatkan kepastian darinya. Haiii… gadis seorang ini, tak mungkin dia terlupa, gumam Ashriel sambil menggelengkan kepala.

Dua jam lagi dia bakal melangkah ke kawasan larangan demi memberikan peluang kepada hati dan perasaan yang telah berkurun beku menjadi cair. Dia harus memberikan peluang supaya perasaannya mampu mengalami hakikat sebuah kemanisan dan kepahitan walau tidak meletakkan sepenuh harapan perhubungan ini bakal berakhir dengan satu ikatan sah. Umurnya semakin meningkat, jika tidak dari sekarang sampai bila dia harus membiarkan hatinya terus diburu sepi. Setelah tamat belajar nanti kesibukkan kerja mungkin menjadi penghalang untuk dia mencari teman hidup lebih-lebih lagi dengan impian yang tersemai sejak melanjutkan pelajaran ke menara gading. Mungkin ini merupakan takdir hidupnya. Barangkali Azira itu mungkin jodohnya hingga ke mati.

Bukan menjadi impiannya membawa pulang seorang suri dari negara seberang seperti apa yang berlaku terhdap Nurul. Tidak pernah terniat di hatinya mencari gadis seberang. Hatinya masih terpahat kepada kesopanan gadis melayu supaya keturunan melayu itu tidak hilang di telan zaman. Jika tidak dijaga dengan mudah bangsa yang terkenal dinusantara lenyap dari muka bumi. Tapi tidak salah bagi Ashriel jika Nurul memilih pasangan hidupnya dari bangsa asing, cuma jangan sampai dibuang adab kemelayuan itu hingga orang lain rasa menyampah.

Ashriel menarik nafas dalam-dalam dari udara hangat di dalam kelas yang selalu membuatkan dadanya sesak. Seandainya hidup ini tidak berliku tentu kehidupan seharian kurang meriah. Setiap manusia mempunyai perangai yang sama seperti sebuah robot yang telah diprogramkan. Tapi… hidup juga boleh menjadi teruk andai apa yang terjadi pada dirinya diambil kira.

“Hidup tak semestinya indah Ariel.” Ucapan mak terngiang di telinga,
lembut dan menyejukkan.

Dari situ dia mengerti hidup memang tak seindah diimpikan. Adakalanya suka mencuit hati dan adakalanya sedih menyapa jiwa. Ashriel ingat itulah kali pertama dia membocorkan rahsia hatinya kepada seorang perempuan yang penuh dengan kelembutan. Tidak menempelak dan tidak menambah itu dan ini untuk menjadikan jiwanya semakin panas. Tapi memberikan satu nasihat amat berguna untuk disimpan di dalam hati sepanjang mengukur hari sebelum dipanggil menghadap Ilahi.

Malah perpisahannya dengan Nurul dulu di sambut dengan tangan terbuka meskipun pada dasarnya jiwanya terluka. Lama dia berdiri di depan cermin untuk menilai diri sendiri adakah dia memang tidak sesuai dengan gadis itu. Berhari-hari dia bertanya di mana salah dan silapnya. Apa kekurangan dirinya hingga dengan mudah dia dikecewakan.

Maka selepas kecewa dengan cinta pertama dia tidak pernah membuka cintanya kepada sesiapa sehinggalah kehadiran Azira. Gadis itu menyemarakkan kembali tunas-tunas cinta di hatinya setelah hampir tiga tahun tersemadi di dalam pusara jiwanya setelah dibawa pergi oleh Nurul.

Tapi sayang dalam keadaan dia mula tertawan, begini pula jadinya. Bayangkan, dia dipaksa mematikan perasaannya kepada Azira, tak mungkin dia sanggup melakukan walaupun sedikit rasa takut berbisik di hati. Sekurang-kurangnya Ashriel perlu tahu cerita sebenar dari gadis itu. Adakah dia terlalu perasan dengan perasaannya atau mereka berdua memang saling meminati. Dia perlu juga memandang ke hadapan dengan menganggap barangkali tuah itu memihak kepada dirinya. Sekeras-keras batu, andai setiap hari di hempas air, lekuk juga batu itu. Perasaan manusi bukannya mati, perasaan manusia boleh berubah-ubah.

“Hey! Mengelamun lagi!” meja Ashriel tiba-tiba dihentak sesorang membuatkan lamunannya termati. Dalam terkejut Ashriel mengangkat muka merenung wajah tegar Zukri si olahragawan negara yang kini menyandang gelaran Kuda pencen. Alahai… si pencen ni mengacau aja! Rungut Ashriel.

Ashriel lantas tersenyum lalu menarik lengan Zukri supaya duduk di tempat Azira. Sempat Ashriel menjeling Fuad dan Fatin. Dua temannya itu memberikan renungan tajam kepadanya. Macam tempat duduknya mempunyai sensor, cepat sungguh mereka mengesan kedatangan orang.

“Kau ni sejak dua menjak ni aku lihat asyik mengelamun aja. Kau fikir apa? Kau ada masalah, ke?” kononnya Zukri seperti begitu perihatin dengan keadaan menimpa Ashriel. Pemuda itu lalu duduk di tempat Azira dalam keadaan menghadap kepadanya. Matanya tepat menatap wajah Ashriel tanpa bergerak-gerak.

“Entahlah… Zukri. Macam-macam aku fikirkan sampai semak kepala aku. Aduhhh…” keluh Ashriel sambil mengerutkan kening seperti sedang sakit kepala.

“Apa dia? Ceritalah, kot-kot aku boleh tolong.” Zukri kelihatan teruja.

Ashriel menghela nafas panjang kemudian melepaskan perlahan-lahan. Dia teragak-agak untuk bersuara. Apa perlu dikatakan berkenaan termenungnya tadi?

“Tak payahlah kau nak malu dengan aku, bukan aku mengata pun. Setiap orang… semua ada masalah sendiri. Kadang-kadang masalah tu tak elok di simpan. Hah… cepat cerita.”

Cantiknya gaya Zukri mengumpanya. Ashriel menghela nafas lagi. Mula mendapat idea untuk bersuara.

“Hemmm…. masalah aku ni sukar nak selesai.”

“Teruk, ke masalah kau?” Zukri mengerutkan dahi. Ashriel mengangguk sambil menahan senyum. Zukri memandang Ashriel dengan sepenuh perhatian. Tidak sabar-sabar menunggu pemuda itu berbicara.

“Dua tiga hari ni aku asyik fikir fasal ujan semesta kita, nasib rakyat Palastin yang ditindas regim zionis, kegawatan ekonomi dunia, pengaruh letusan gunung berapi pada pemanasan global… dan kejatuhan engkau dalam mempertahankan kejuaraan 100 meter lompat berpagar di sukan Asia kelmarin. Tentu kau malu kena kutuk, bukan?” Kata Ashriel mula mengeluarkan ketawa tertahan.

Zukri membulatkan mata sambil merengus.

“Huh! Mengarut aja kau ni. Tak ada satupun relevan untuk aku percaya.” Balas Zukir terkejut. Jawapan Ashriel tidak seperti diharapkan. Dia menarik muka kecewa. Percuma dia diperbodohkan Ashriel.

Ashriel ketawa lagi, dia tahu Zukri ingin mengorek rahsia kenapa tangannya diseret Fuad. Kenapa mereka bertemu di bawah pokok Ketapang tempat hal-hal peribadi selalu dibincangkan dengan dikelilingi oleh Reduan dan Shafiq. Dua seniornya itu memang terkenal dalam bab-bab menasihatkan orang. Mereka menjadi orang perantaran jika ada pihak sedang menghadapi masalah. Memang dia tidak pernah mencipta masalah dengan mereka malah dia pernah menolong mereka menyelesaikan masalah. Lihat saja Shafiq kerana dia berani menjadi saksi pemuda itu terlepas dari digantung oleh pihak Universiti. Ashriel tahu Zukri nampak tangannya ditarik Fuad menuju ke bawah pokok Ketapang tadi.

“Habis apa?” soal Ashriel ingin juga tahu imegenasi Zukri terhadap kejadian itu. Bakal engineer cak lempong ini selalunya pandangan matanya tembus ke depan. Tau saja apa sedang difikirkan walaupun kadang-kadang pandangannya itu tak masuk akal.

“Mesti kau tengah fikirkan fasal perempuan, kan?” teka Zukri cukup mudah sekali. Memang tepat, kali ini Ashriel mengakui Zukri memang mampu membaca minda sesorang. Tapi… dia tidak ingin mengaku dengan senang. Ashriel mengerti masa ada pertanyaan tersembunyi di dada Zukri dari pandangan mata yang sempat dibaca olehnya. Zukri sengaja memberikan alasan dia sedang memikirkan perempuan sebelum berterus terang dengannya.

“Mana kau tau?”

“Habis sampai sekarang kau masih bergerak solo. Kalau kau asyik termenung… perempuan le, penuh dalam otak kau tu.”

“Laaa… bukannya selama ini aku selalu fikirkan fasal perempuan. Tengok Fatin tu, mak aku, kakak Fuad, semuanya perempuan.” Pintas Ashriel menahan ketawa.

“Bukan merekalah… buah hati kau. Fatin tu kekasih Fuad.” Zukri merenguh. Ashriel ketawa lagi. Kedengaran seperti mengejek.

“Mana ada… tak terfikir lagi. Masuk jawi pun belum. Aku nak tumpukan pada pelajaran dulu. Dapat pointer 4 baru aku fikirkan. Dengar kata sekarang ni kalau kita dapat kelas pertama pinjaman PTPN tak payah bayar. Aku nak kejar tawaran tu dulu. Aku nak bebas dari hutang dengan kemudahan diberikan kerajaan.”

“Elehhh… Apa engkau nak takut… tiap-tiap tahun kau sapu anugerah dekan, setakat kelas pertama dalam genggaman kau. Tak payahlah kau risau Ariel. Encik Rosli pun yakin kau dapat kelas pertama. Hey…. apa hal Reduan dengan Shafiq jumpa kau?”

Bukankah itu agenda utama Zukri datang mencarinya. Buat masa ini Ashriel tidak berminat untuk bercerita dengan sesiapa setelah dia melakukan kesilapan besar menyampaikan respon diberikan Azira kepada Fatin dan Fuad sehingga dia diheret bertemu mereka sampai berpinar otaknya. Biar dia menyimpan rahsia itu seorang diri kerana dia tahu menceritakan masalah kepada orang lain bakal memberikan impak berlainan. Cukuplah dalam beberapa saat tadi darahnya menghentam seluruh urat sarafnya. Sehingga kini bagaikan terasa darah itu masih membara.

“Kau ceritalah pada aku, apa hal bonser dua ekor tu jumpa kau tadi.” Zukri mula memujuk. Ashriel mengangkat mata sebentar lalu memandang ke muka pintu. Azira masih tidak kelihatan. Ke mana gadis itu menghilangkan diri agaknya? Sekarang dia mengharapkan Azira segera masuk ke dalam kelas supaya dia dapat mengusir Zukri dari terus menganggunya.

“Tak ada apa, setakat nak ucapkan terima kasih sebab aku tolong dia dulu.” Kata Ashriel berdalih.

“Itu dah basi, dia jumpa kau dalam kelas. Aku pun tahu cerita tu. Semua orang tahu saham kau melambung fasal kau selamatkan si Shafiq.” Rungut Zukri mula berasa geram. Seperti ingin diketuknya kepala Asriel kerana berani mengeluarkan jawapan sebegitu.

“Tak ada apalah…”

Ashriel mengangkat bahu, Zukri merengus. Geram dengan keenggan Ashriel berterus terang.

“Aku sekarang hairan betullah, kau dah pandai tutup mulut. Dulu… kalau aku tanya senang aja kau jawab. Ini… seribu satu dalih kau keluarkan untuk kelentong aku. Apa, kau ada masalah ke Ashriel? Kalau ada jangan kau malu nak ceritakan pada aku. kkita bukan baru kenal. Dah lebih tiga tahun.”

Zukri… Zukri, mengubah taktik nampaknya. Masih mencuba untuk mengorek rahsia namun dengan cara berlainan. Ashriel pantas saja tersenyum. Taktik seperti itu belum mampu memukau mindanya supaya berterus terang. Dah lapuk, sepatutnya sudah disimpan di dalam muzium negara. Zukri tersilap percaturan, dia ingin mengorek rasa pada masa kurang sesuai.

“Tak ada benda yang aku nak cakap. Setakat Shafiq dan Reduan… aku, kan baik dengan mereka. Kami sekadar berborak. Kebetulan bawah pokok tu tak ada orang, jadi kami duduk aja dekat situ. Kau ni lekas aja syak yang bukan-bukan.”

“Tak payah kau nak tipu aku Ariel. Tempat tu semua orang tau. Tempat persidangan tergempar. Kalau siapa datang sana adalah habuan menanti mereka. Lagilah kalau ada muka Shafiq dengan Reduan. Dia orang berdua tu… bonser! Kau tau bonser! Mata aku tak buta lagi Ariel. Kau bukan datang lengang kangkung, tapi tangan kau diseret ke sana.”

“Alahhh… setakat kena seret tu biasa, aku malas nak pergi sana takut orang syak bukan-bukan. Tengok! Kau pun syak pada aku. Tapi betulll… tak ada apa-apa. Usahlah kau risau. Selama ni ada kau buat masalah?”
Zukri menggeleng. Peribadi Ashriel amat terpuji sekali. Siapa akan percaya jika dia tiba-tiba di tuduh membuat masalah.

“Habis tu kalau tak ada apa, apa kau fikirkan? Kenapa kau asyik termenung aja?” desak Zukir belum lagi mengaku kalah.

“Ya memang aku tengah fikirkan fasal perempuan sekarang ni.” Ujar Ashriel sambil menghela nafas. Semakin bosan dengan gelagat mendesak Zukri. Itu saja jawapannya untuk menghentikan desakkan temannya itu. Tapi… Ashriel sudah menyediakan jawapan disebalik pengakuan tersebut.

“Bukan mak kau?” teka Zukri mula nampak ceria.

Ashriel menggeleng. Ingin tergelak dengan keseriusan Zukri apabila mendengar dia mula memikirkan seorang perempuan. Barangkali kalau dia mengaku berita itu akan mengemparkan seluruh universiti. Potal utama di ruang gossip terbitan bulan depan akan terselit cerita tentang dirinya.

“Bukan Fatin… bukan kakak Fuad?” bersungguh-sungguh Zukri meneka.
Ashriel terus menggelang. Malah kini mengulum senyum. Kelakar menyaksikan gelagat terdesak Zukri. Beria-ia ingin mengetahui perkara itu. Tapi gelagat itu membuatkan Ashriel semakin menyampah pula.

“Buah hati pengarang jantung kau?”

Kali ini Ashriel mengangguk namun pantas menjawab.

“Cukup aku mengaku tapi jangan kau tanya nama dia!” kata Ashriel meletakkan amaran sebelum sempat Zukri bertanya lagi. full stop! Rahsia itu akan disimpan sampai ke mati. Rahsia itu akan terbongkar jika dia mengedarkan kad walimatulurus. Tunggu sehingga ke saat itu barulah mereka tahu sapa buah hati pengarang jantungnya.

Zukri terdiam, dia belum pernah mendengar gosip Ashriel dengan teman sekampus mereka. Semua orang tahu Ashriel rapat dengan Fuad dan Fatin. Mereka ke mana-mana selalu bersama. Jadi dia gagal meneka siapa si cantik manis bakal berpacaran dengan pemuda paling comel di kampus ini. Ishk…. cukub berrahsia juga pemuda comel ini, keluh Zukri dalam hati.

“Hah! Apa hal pulak kau yang mengelamun! Apa masalah aku dah berpindah kepada kau!” sergah Ashriel seperti memperolehi kemenangan dengan perubahan Zukri.

“Ceritalah dekat aku, siapa dia.” Pujuk Zukri tanpa mempedulikan sergahan itu. Sebahagian dari wajah di lenturkan bagi melembutkan hati Ashriel. Tapi tak mungkin Ashriel terpedaya, bukan!

“Tak boleh, kau tak faham ke, aku kata tak boleh!”

“Ishkkk…. kau ni. Tak payahlah berrahsia dengan aku. Janganlah buat aku susah hati.”

“Kenapa perlu kau nak susah hati, Zukri. Bukan masalah kau untuk fikir sapa buah hati aku. Bagi aku cukup aku mengaku, lambat laung nanti kau tau juga. Biarlah kau tahu dengan sendiri. Aku memang tak akan beri tahu sesiapa.”

Dengan jawapan itu Zukri mengerti berita panas itu tak mungkin sampai di telinganya. Dia masak dengan pendirian pemuda itu. Hitam kata Ashriel maka hitamlah jawabnya. Zukri mengarik nafas dalam-dalam. Gagal mencaturkan nasib dalam mengorek rahsia pemuda itu. Tak apa satu hari nanti andaiku tahu akanku tulis puisi di papan putih biar semua orang tahu. Gumam Zukri di dalam hati menahan perasaan geram. Dengan lemah dia bangun.

“Kelas dah nak mula. Azira pun dah masuk.” Ujarnya pantas mengalihkan topik. Kecewa di hatinya usah dikata. Segera dia meninggalkan Ashriel dengan seribu tanda tanya bersarang di kepalanya.

Ashriel tersenyum, memerhatikan Zukri melangkah longlai meninggalkannya. Sekali lagi dia menjeling Fuad dan Fatin. Dua temannya itu tetap memberikan perhatian kepadanya seperti sedang mengintip segala gerak gerinya atas pemergian Zukri dan kehadiran Azira. Kebebasannya seperti menjadi taruhan. Gerak gerinya sering diperhatikan. Aduhhh… kenapa semakin sukar hidup ini! Perasaan benci mula menyelinap dan meracuni hatinya bila kenangan di bawah pohon ketapang mengisi benak fikirannya. Tanpa sedar Ashriel mengetapkan gigi erat-erat.

Namun ketapan erat itu tidak lama, haruman dari tubuh Azira membuatkan dia menegakkan badan dan kepala. Dua matanya memancar sinar bergemerlapan menanti sepasanga mata melemparkan pandangan. Dada Ashriel kembali berdebar-debar menunggu si dara idaman melangkah menghampiri tempatnya.

BAB 9

Beberapa minit sebelum kelas bermula barulah Azira melangkah masuk ke dalam kelas. Saat memulakan langkah senyum di bibirkan segera dibuang, cepat saja Azira menayangkan wajah sombong dan serius. Dari mula pintu dia melihat Zukri si Engineer Cak Lempong sedang rancak bercerita dengan Ashriel. Di amati wajah Zukri dari jauh. Memek wajah Zukri seperti tengah menggoda. Entah apa digodanya, tapi raut wajah Ashriel jelas tidak suka dengan gaya ditunjukkan Zukri. Senyuman di wajah Ashriel adakalanya diselaputi mendung tebal. Dengan gaya Ashriel sebegitu mudah untuk Azira meneka Zukri cuba mengorek rahsia.

Rahsia tentang apa? Hah…!!!

Hati Azira tiba-tiba berdetak takut. Harap-harap bukan rahsia mereka berdua, bisiknya dalam hati. Tadi ketika melayan teguran celupar Ashriel dia cukup pasti tiada sesiapa memberikan perhatian kepadanya. Mereka tidak perasan dia ada mengusik Ashriel kerana kejadian itu berlangsung dalam waktu paling sekejap. Ketawa halusnya juga keluar agak perlahan. Segala-galanya dilakukan cukup berhati-hati jangan sampai menarik sebarang perhatian agar berita itu tidak menjadi gelombang tsunami yang mampu mematahkan harapan tersembunyi dalam dadanya.

Memasuki lorong menuju ke tempatnya Azira sengaja menghentak kasut sedikit kuat bagi menyedarkan Zukri supaya segera mengosongkan tempat itu. Terlihat Zukri bangun membawa seberkas wajah kecewa. Azira tersenyum dalam diam, hodoh sungguh kalau orang lelaki kecewa. Agaknya begini juga jika Ashriel merajuk. Kalau Ashriel merajuk… tentu mata melengkungnya akan tertutup rapat. Wajahnya tidak hodoh, tapi… Azira mengigit bibir sejenak mula membayangkan wajah murung Ashriel.

Bagaimana ya agaknya wajah Ashriel? Bisik hati Azira setelah gagal mencipta raut wajah comel itu dalam keadaan rajuk. Ahhh! Azira pantas mematikan ilusi itu tika dia semakin dekat dengan tempatnya.
Waktu berselisih dengan Zukri, Azira hanya menjeling wajah kecewa pemuda itu. Kasihan Zukri. Hasratnya kecundang di tengah jalan. Pencariannya untuk mengoda jejaka kesukaannya itu berakhir dengan kehampaan. Sukanya dia… Ashriel bukan setakat pendiam tapi perahsia juga orangnya. Ini bermakna perhubungan mereka tetap akan menjadi satu rahsia sehinggalah…. jantung Azira berdegup kencang mencari kalimat paling sesuai untuk diucapkan.

Kata orang, tepak sirih berkerawang emas, tercolet kapur di atas daun. Indahnya mempelai menjeling malu, kompang di arak serata benua. Raja sehari, lah tuuu… Apa fasal teruk sangat bunyi pantun kau ni Azira, main berpantun-pantun pula kau, mentang-mentang Ashriel tu anak Melaka. Jiwa Azira bagaikan digeletek, hampir-hampir wajah seriusnya runtuh.

Sambil melangkah mata Azira curi-curi meninjau ke muka Ashriel, kepala Ashriel tidak lagi tunduk melainkan terangkat tegak ke hadapan melemparkan renungan penuh bercahaya ke wajahnya. Dengan tubuh terkaku tegak itu, kalau dijentik mau tumbang ke lantai. Tak pun melenting sampai ke bumbung. Masing-masing rupanya tengah tinjau meninjau. Aduhh malunya… Ashriel terperasaan perbuatannya itu. Azira kehilangan tingkah tika sukmanya di panah pancaran mata Ashriel. Langkah tegasnya langsung tidak menjadi. Jalannya bagaikan tempang. Jangan tersenyum Ashriel… nanti patah kaki aku! Jerit hati Azira nyaring sekali.

Cepat Azira adjust muka kau, jangan bagi orang nampak. Batin Azira turut menjerit sama.

Kelam kabut Azira menghubungi talian hayat yang terakhir. Bersungguh-sungguh dia mengepam paru-parunya dengan oksigen. Berbekalkan sisa-sisa kekuatan, Azira membalas renungan itu bersama sedikit senyum tercarik di bibirnya. Gulppp… Mata Azira bagaikan melihat rambut Ashriel perlahan-lahan tercacak keras di kepala setelah dia memberikan senyuman. Ada asap terlepas sama. Hebat sungguh kuasanya hinggakan Ashriel sampai begitu.

Sebelum duduk sengaja dia memusingkan badan ke belakang. Sekali lagi muka pemuda itu di pandang. Gurisan senyum di lebarkan sedikit.

“Hai…” sapa Azira cukup halus lalu menghenyakkan ponggongnya di kerusi. Terus memberikan perhatian kepada pensyarah yang kini masuk ke dalam kelas tanpa menunggu Ashriel membalas sapaannya. Indahnya dunia… indahnya dunia… jerit harinya berterusan laksana sudah terjatuh di dalam alam impian.

*****

Senyuman manis diberikan Azira sebelum mengambil tempat telah mencipta kebencian amat dalam kepada Ashriel terhadap Fatin dan Fuad. Perasaan bencinya semakin meluap-luap setelah sedar mereka berdua asyik memberikan perhatian kepadanya. Perbuatan mereka mencampuri urusannya agak keterlaluan dan sungguh melampau. Sepatutnya mereka sedar, simpati terhadapnya jangan sampai berlebih-lebih. Jangan sampai dia sendiri menyampah dengan keperhatian mereka itu.

Ashriel sedar, malah mengerti hubungan rapat mereka bertiga. Tiga tahun sejak di hari pertama dia dan Fuad berjumpa Fatin mereka terus membentuk perhubungan rapat seperti adik beradik. Tapi… rapat bukan bermakna dia boleh ditambat. Rapat bukan bermakna dia harus menurut segala kemahuan mereka sehingga terpaksa mengorbankan kemahuan hatinya.

Ashriel memang kecewa dengan Fuad kerana lekas terpedaya dengan dakyah Shafiq, malah lebih kecewa terhadap Fatin. Fatin membuatkan segala kesukaran di dalam hidupnya bermula. Kerana Fatin menyebarkan berita itu kepada Hanis dia terpaksa meledakkan kemarahan yang selama ini belum pernah tercipta untuk ditatap oleh sesiapa. Sekarang semua mereka tahu dia mempunyai sifat panas baran. Fateha sendiri takut ketika dia melemparkan renungan tajam kepadanya.

Memang Fatin keterlaluan. Ashriel kini amat curiga dengan tindak tanduk gadis itu. Fatin seperti ingin mengongkong segala gerak gerinya. Fatin bagaikan cuba membataskan pergaulannya supaya orang lain mengakui dia ini merupakan hak yang tidak boleh disentu. Melampau sungguh tindakkan Fatin. Kalau setakat ingin memberikan nasihat kenapa Fatin sanggup menguris luka di hatinya. Nasihat boleh dicanai dengan halus tanpa perlu menguris hati. Fatin perlu menperhalusi cara ingin memberikan nasihat supaya dia tidak berasa hati. Sekarang hatinya memang terguris luka dengan perbuatan mereka terhadapnya.

Paling menyedihkan Ashriel bila Shafiq menuduhnya manusia tak sedar diri, miskin, berlagak. Berkawan dengan Azira semata-mata kerana ingin mengaut harta kekayaan. Mata dan renungan Shafiq memandang cukup sinis hingga menumpahkan rasa malu dalam marah di wajahnya. Sumpah… dia berani menjunjung mushaf Al Quran, dia rela di sambar petir andai dia berbohong. Dia rela dadanya dilapah bagi memeriksa apa yang tersembunyi di hatinya. Biar mereka sedar dia tertarik kepada Azira bukan kerana harta.

Dia tertarik kerana memang Azira dilahirkan sebagai seorang gadis cukup mempersonakan. Bagaikan bidardari, atau makhluk dari kayangan turun mandi ketika bulan mengambang. Kalau Azira itu miskin, gadis itu tetap menjadi pilihan hatinya. Perasaannya tidak mungkin berubah kerana dia menyukai gadis itu sejak dari awal lagi pertemuan mereka. Tak pantas rasanya mereka menuduh dengan tuduhan kejam itu.

Ashriel menghela nafas, ingatan dibawah pohon ketapang tetap menari-nari. Begitu segar seperti air dingin menyirami tubuhnya dikala terik mentari begitu membakar. Tidak mudah untuk dilupuskan kejadian itu walaupun nasihat Fateha sesekali datang mencelah. Dia merasakan cukup terhina seperti dia memang tidak layak untuk mencintai sesiapa. Tidakkah mereka sedar cinta itu menyebabkan manusia rela mati untuk mendapatkannya? Tidakkah mereka tahu cinta itu terlalu suci.

Tadi Ashriel berasa sungguh bernasib baik dengan kedatangan Zukri. Sungguh pun kedatangan itu membuatkan hatinya kembali mengeluarkan darah, sekurang-kurangnya kedatangan Zukri itu dapat mengurangkan kesakitan dihadapi. Kedatangan Zukri dapat menutup ruang yang tiba-tiba menjadi kosong. Dia sendiri terkilan dan menyesal walau perasaan itu di bayangi rasa marah. Sekelip mata dia kehilangan teman rapat. Kejadian itu mencipta perasaan janggal untuk mereka beramah mesra seperti selalu.

Bayangkan…. memang sesuatu yang amat janggal ketika dia terpaksa melangkah masuk ke dalam kelas. Langkahnya ternyata longlai. Tiada lagi usik mengusik, hilang sudah tempat melepak. Tiada lagi kenyitan mata Fatin dan marah sayang Fuad sebelum dia beredar setiap kali kelibat pensyarah kelihatan. Semuanya telah diganti dengan perasaan janggal kerana dia terpaksa mengubah rutin hidupnya.

Kelesuannya terubat sedikit dengan pesanan di tulis Azira di atas sehelai kertas. Tapi tidak lama, kedatangan Zukri membuatkan luka di dadanya kembali berdarah. Senyuman manis Azira ketika mengambil tempat membuatkan perasaannya semakin menjadi gundah gulana. Terlalu sukar untuk ditafsirkan gelodak jiwa yang kini terasa menenggelamkan fikiran waras miliknya.

Ashriel mengeluh sekali lagi dengan amat panjang sekali. Matanya meneliti belakang Azira. Secebis rasa sayu tersangkut di hatinya. Adakah Azira juga tidak layak menyerahkan cintanya kepada sesiapa? Adakah mereka memang tidak layak untuk berkasih sayang? Kalau begitu dunia ini memang kejam. Belum lagi mengikat janji dia sudah dipaksa meleraikan perasaannya.

Tapi… Ashriel mengeluh lagi.

Sekarang bagaimana pula untuk dia menangani masalah yang tidak pernah difikirkan ini? Walau marah terlalu menguasai diri, jauh di sudut hati Ashriel tidak sanggup kehilangan Fatin dan Fuad. Dan dia juga tak mungkin menanggalkan perasaan sukanya terhadap Azira. Kedua-duanya amat penting, mereka sebahagian dari warna-warna kehidupan yang akan mencorakkan perjalanan hidupnya agar nampak lebih menarik. Harapan Ashriel segala-gala bakal kembali seperti biasa setelah hari demi hari berlalu pergi. Namun mampukah dia memadamkan titik hitam yang pernah merosakkan perasaannya? Bagaimanakah ingin dia berhadapan dengan mereka semula tanpa dikuasai oleh sengketa?

Kerana persoalan semak itu Ashriel terus termenung dan termenung. Fikirannya bergelut dengan bermacam-macam andaian. Kuliah di hadapan tidak langsung diberikan perhatian melainkan dia pula menjadi perhatian dari pensyarah di hadapan.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"