Cerpen : Anak Haram

18 December 2010  
Kategori: Cerpen

5,874 bacaan 30 ulasan

Oleh : Ilham Murabbi

Darlia berjalan menyoroti kebun pisang Pak Rahman. Berjalan terloncat-loncat sambil memegang ranting kayu. Kelihatan Pak Rahman sedang mencantas-cantas daun pisang yang kering. Baju sekolah comot dan lusuh. Namun, kanak-kanak yang seusia itu, masih belum mengerti apa-apa lagi. Hanya yang bermain di fikiran adalah berseronok dan bermain dengan kawan-kawan. Beg yang digalas kadang-kadang ke kiri dan ke kanan. Sesekali berhenti seketika di tepi jalan raya yang lengang. Jalan kampong itulah yang sering dilalui oleh Darlia.

“Pak Cik!Pak Cik Rahman…Pak Cik Rahman…”Nada Darlia kedengaran berirama.

“Kau nampak ni?!!!” Sergah Pak Rahman sambil menghulurkan sebilah sabitnya.

Begitulah keadaan Darlia, yang sering menjadi hamburan kemarahan dan makian penduduk kampung yang tidak selesa dengan kehadiran mereka sekeluarga. Darlia berlari-lari ketakutan. Apalah dosa dirinya sehingga dimarahi sedemikian. Di sekolah sering dicerca dan dipulaukan oleh rakan-rakan. Darlia sering keseorangan. Insan yang tidak mengerti apa-apa. Apa salahnya?Dia juga mahu berseronok seperti kanak-kanak yang lain.

*****

“Anak haram tu, bila nak mati agaknya. Kampung kita ni tak aman selagi ada anak haram tu!” Abang Leman meluahkan perasaannya.

“Kalau macam tu, usir jer anak haram tu keluar dari kampung ni…Tok Penghulu ni membuta sangat…tak fikir perasaan orang kampung. Sebab ada anak haram tu lah kampung kita ni selalu tak aman!Anak aku tu pun selalu balik sekolah jer cakap, anak haram tu selalu buat kacau dalam kelas. ” Abang Syuib berbicara sambil meneguk kopi pekat. Begitulah seharian di kedai kopi di hujung Kampung Gerimis di pagi hari.

“Ni ha…dalam surat khabar ni…buang bayi dah jadi adat agaknya…ramai sangat berzina…ni mak bapak tak fikir pasal anaklah ni…aku kalau anak aku buat macam ni….aku libas tak cukup tangan agaknya…”Pak Kassim berbicara.

“Semua bincang pasal apa ni?”Tanya Tauke Lim mengangkat barang runcit yang ditempah oleh Mak Munah tuan punya kedai kopi.

“Bincang pasal apa lagi…pasal anak haram kat kampung kita la…ni…spesies dia pun ada dalam akhbar ni..kau baca ni Lim!”

“Owhhh..budak Darlia tu ker? Apalah salah sangat budak tu sampai kamu semua ni hina sangat budak tu…Itu salah mak bapak dia..bukan dia….”Ujar Tauke Lim pelat sambil menyapu peluh didahi. Baju cap pagodanya basah di pagi hari. Semua menjuihkan mulut pada Tauke Lim.

*****

“Nenek…Darlia nak pergi sekolah…” Ujar Darlia yang baru hanya berusia lapan tahun. Setiap pagi begitulah Darlia memberitahu neneknya.

“Pergi sekolah, jalan baik-baik…tengok kiri dan kanan…ni bekal nasi goreng…nenek bekalkan takut Darlia lapar nanti…”Ujar Mak Limah lembut pada cucunya.

Biarpun diejek Darlia anak haram, tetapi dia lebih mulia daripada manusia yang menghina. Ibu bapa Darlia meninggal dalam kemalangan jalan raya. Walaupun anak Mak Limah pernah terlanjur, tetapi Mak Limah masih menyayangi anaknya. Darlia ketika itu masih berusia setahun. Namun, cucunya itulah menjadi pengganti kehilangan anaknya dalam kemalangan jalan raya. Tidak sanggup Mak Limah ingin membuang cucunya kerana itu darah dagingnya. Mungkin itu balasan Allah dan mungkin juga Allah lebih menyayangi ibu bapa Darlia.

*****

Baru sahaja Darlia ingin membuka bekalan nasi goreng yang dibekalkan oleh neneknya, nasi goreng yang ingin disuap ke mulut itu tumpah jatuh ke lantai. Dilihatnya tiga orang rakan sekelasnya di hadapannya bercekak pinggan. Nasi gorengnya dikuis dengan kaki. Darlia terkebil-kebil sambil menelan air liur. Air mata Darlia gugur…Darlia menangis tersedu-sedu sambil memanggil nama neneknya.

“Nenek….Darlia nak makan…Darlia nak makan…Darlia lapar…nasi Darlia dah tumpah nek….”Darlia menekupkan muka di atas meja di dalam kelas.

“Mak dengan bapak aku cakap kau anak haram…sebab tu mak ayah kau mati awal…!Nanti kau mati kau akan masuk neraka!” Muhammad Afiq berbicara lantang sambil bercekak pinggan. Kecil-kecil pun sudah tahu bersikap kurang ajar dan bermusuh-musuh.

” Anak haram..haha…anak haram….mak ayah kau kena bakar..tinggal dalam neraka yang panas…sambil menggelepar…nanti kau pun macam tu jugak….” Nabil mencelah sambil menyindir-nyindir.

Walaupun Darlia tidak mengerti…tetapi Darlia tersentuh hati apabila disebut tentang ibu dan ayahnya. Darlia tidak sempat untuk merasai kasih sayang kedua ibu dan bapanya.

“Woii…cikgu…cikgu…cikgu Mahfuza datang woiii…blah..blah oii..kau Darlia kalau cakap pada cikgu..siap kau!” Rezqi memberi amaran.

Darlia segera menyapu air mata. Namun, riak wajahnya yang masih bersedih tidak dapat disorokkan. Kanak-kanak tidak dapat menipu. Kanak-kanak mempunyai sentuhan emosi yang mendalam.

*****

Cikgu Mahfuza merapati Darlia.

“Kenapa Darlia…Darlia menangis ya?Cikgu tahu Darlia menangis…” Cikgu Darlia melihat ke segenap kelas 2 Amanah. Semua 30 murid-murid 2 Amanah membungkam seribu bahasa.

“Cikgu tahu siapa yang kacau Darlia…ada yang mengacau Darlia….siapa yang bagi nasi Darlia tumpah?Baik mengaku sekarang!”Suara tegas Cikgu Mahfuza kedengaran dalam kelas mengecutkan perut setiap pelajar yang mendengarnya. Semuanya tunduk tidak mengaku.

Air mata Darlia tumpah lagi. Terdengar esakan Darlia. Rezqi, Nabil dan Muhammad Afiq menjadi kecut perut. Cikgu Mahfuza juga tinggal di Kampung Gerimis. Dia sudah tahu sebab musababnya Darlia sering sebegitu. Sering menjadi mangsa umpatan penduduk kampung dan minda anak-anak kecil sering dijajah oleh ibu bapa sendiri yang bersikap pesimistik dan penuh kekotoran hati. Sudah lama dibiarkan dan menjadi pemerhati dari jauh. Darlia anak didiknya dan seisi murid di Sekolah Rendah Gerimis Satu itu adalah anak didiknya. Biar siapa pun mereka dan apa jua latar belakang mereka, Cikgu Mahfuza harus bertindak untuk membantu anak didiknya itu sedar dan menjadi manusia yang berperikemanusiaan. Sayu hati Cikgu Mahfuzah mengenangkan nasib anak didiknya itu. Sudahlah kematian ibu dan bapa, neneknya pula buta. Mengharapkan ihsan Badan Kebajikan Masyarakat sahaja yang membantu. Itupun hanya RM 150 sebulan.

“Baiklah…cikgu tak akan paksa sesiapa pun untuk mengaku…tetapi…apa yang kamu lakukan pada Darlia, pasti Allah akan balas…kerana Allah sudah pesan…sesiapa yang berbuat jahat pada manusia yang lain, Allah akan membalas di akhirat nanti…Cikgu tidak tahu, tetapi Allah tahu…” Cikgu Mahfuza mematikan bicaranya di situ.

“Darlia…jangan menangis ya…nanti habis kelas nanti…Darlia jumpa cikgu, ya…”Cikgu Mahfuza mengusap-usap belakang Darlia. Darlia berhenti menangis. Perutnya berbunyi-bunyi. Subjek Bahasa Melayu itu diteruskan selama setengah jam sebelum tamat loceng persekolahan.

*****

9 tahun berlalu. Cikgu Mahfuzah mengalirkan air mata apabila anak didiknya itu ke rumahnya membawa khabar gembira. Sudah tiga tahun Cikgu Mahfuza berpindah dari Kampung Gerimis, bermula episode dirinya lumpuh.

“Cikgu, Darlia dapat 10A1, cikgu…terima kasih, cikgu…”Ujar Darlia

Cikgu Mahfuza yang ketika itu hanya mampu berada di atas kerusi roda. Dirinya lumpuh separuh badan. Darlialah yang sentiasa menjenguknya di rumah. Darlia sudah seperti anaknya walaupun Cikgu Mahfuza belum berkahwin dan tinggal dengan seorang adik dan ibunya.

“Darlia…tahniah…Cikgu bangga dengan usaha Darlia…”Manik jernih mengalir di pipi Cikgu Mahfuza.

“Darlia dapat tawaran belajar, cikgu…persediaan ke Jepun…”Ujar Darlia. Lantas Cikgu Mahfuza memeluk Darlia. Terharu atas kejayaan anak muridnya itu.

“Terima kasih, cikgu…cikgu selalu bantu saya ketika saya susah…dan cikgu juga bersama-sama saya ketika saya susah dan senang…saya hargai pengorbanan cikgu…”

“Hidup biarlah berjasa…walau siapapun kita…Darlia binalah kehidupan dan sentiasalah ingat pada Allah apa jua yang kita lakukan. Jadilah insan yang mulia pada mata Allah…”

“Saya sedar siapa diri saya cikgu…sekarang saya sedar…walaupun ibu dan ayah saya pernah terlanjur…tetapi….saya menyayangi mereka cikgu…itu kesilapan lalu mereka…dan tidak bermakna saya juga kotor cikgu…saya juga berhak bina kehidupan saya cikgu…”

“Benar…setiap manusia itu mempunyai peluang….ada kehidupan yang pahit dan juga manis…belajar daripada pengalaman kehidupan orang lain…belajar daripada pengalaman sendiri…untuk dijadikan pedoman…kawan-kawan kamu yang lain macam mana?Nabil…Syafiq…Aziqa..Rezqi…” Senyum Cikgu Mahfuza.

“Nabil?Saya tak pasti cikgu…Dia dah lama berhenti sekolah masa tingkatan empat lagi…Syafiq tinggal di rumah pemulihan, cikgu…Aziqa dapat masuk UITM, Rezqi akan ke Jepun juga cikgu…”

*****

10 tahun berlalu….Darlia mengutuskan undangan perkahwinan pada Cikgu Mahfuza. Tertulis dalam kad utusan, Darlila dan Muhammad Rezqi. Cikgu Mahfuza tersenyum. Memori yang berlalu berbelas tahun lalu masih segar dalam ingatannya.

*****Manusia itu mempunyai nafas dan roh kehidupan yang ditiupkan dalam hati dan segenap tubuh. Manusia semuanya baik dan hanya yang tidak baik adalah bila diterasuki oleh hawa nafsu dan jarum syaitan sahaja. Hanya manusia yang kebal dan pandai membawa dan mencorak diri sahaja yang mengerti akan kehidupan sesudahnya melakukan kekhilafan. Manusia itu perlu diberi peluang kerana kehidupan dan dunia ini adalah peluang yang diberikan oleh Allah sepenuhnya untuk dinikmati dengan baik bukan untuk dizalimi*****




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

30 ulasan untuk “Cerpen : Anak Haram”
  1. lynzz says:

    nice job…tp cepat sangat bis…continue g k…

  2. milo ais says:

    betul3..cepat sangat abis..x p best!!!..congrate.. :razz: :razz: :razz:

  3. KooH says:

    hmm ..the ending is not good ..biasa2 sj ..

  4. menulis xsmpai 2 jam…cepat sgt post..hahaa…ginilah jadinya..ok2..terima kasih ats pdgn semua… :razz:

  5. tikah says:

    even singkat sngt jln cter ni…
    ttp best…
    good job…

  6. syeraho says:

    flow citer dah ok, tp bile smpi plot darlila dh brjaye, n kahwin, rasa cam plotnya pelik skit.. sye msih x dpt gmbaran jelas tema citer ni n message yg ingin dtujukn dlm citer nh

  7. nor says:

    sepatutnye penulis kene bg taw mcm mne rezki tu blh terime darlia….pe2 pon congrate kat penulis…

  8. Dhia Farisha says:

    best tp cume ending jew x bgitu memuaskan hati i..pttnya lebih baik lg…

  9. yattfitri says:

    sedih cian dya..
    dya x salah kan knpa buat dya cm 2..

  10. DXR says:

    apa nih, cincai je ending die
    rezqi tuh kan salah satu drpd setan 3 ekor tuh? tu2 je kwin ngan darlia!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"