Cerpen : Cerita Satu Malam: Kasihan Azam

5 December 2010  
Kategori: Cerpen

2,353 bacaan 6 ulasan

Oleh : Sury

Aku Farid. Seorang kartunis yang boleh dikatakan berjaya. Definisi berjaya bagi kartunis macam aku ni adalah apabila lawak atas kertas hasil tangannya membuatkan pembaca sakit rahang kerana mengalami penyakit tak kering gusi. Tapi ini bukan cerita aku. Tuuu….cerita tentang dia..Azam. peneylia dan kawan baik aku. Kawan serumah, sebilik, se’astro’, susah dan senang. Dia sahabat terbaik yang pernah aku ada.

Tugasnya sebagai kartunis dan pereka grafik untuk kulit majalah komik keluaran syarikat kami membuatkan dia sesibuk para jemaah menteri di Jabatan perdana Menteri England. Aku memang tabiklah kat dia. Dia memang sumber rujukan terbaik. Dia sentiasa tenang dalam suasana yang stress. Hasil tangannya tidak pernah gagal. Sentuhan dia memang sentiasa menjadi. Bukan sesuatu yang pelik kalau dia digelar tangan ajaib.

Namun kali ini kelihatanya dia agak tertekan kerana majalah Suka Hati kami meyambut ulangtahun yang ke-23 tahun. Dan untuk itu, ketua kami meminta Azam supaya memuatkan komik cinta dalam ruangan ekslusif. Seperti biasa dia menerima tugasan itu dengan tangan yang terbuka. Namun yang membuatkan dia semakin tertekan adalah kerana karya yang sudah disiapkan itu telah ditolak oleh ketua kami. Sudahlah dia hantar lewat, ditolak pula. Ianya merupakan mimpi ngeri. Aku cuba menolong namun komik ku pun masih belum siap. Aku hanya punya dua tangan dan tidak mampu membantu dan komik kami perlu ada di pasaran dua minggu dari sekarang. seminggu dari sekarang karya perlu di hantar kepada pencetak dan seminggu lagi merupakan proses cetakan. Dengan erti kata lain, kami hanya ada seminggu!

Dengan keadaan yang begitu tertekan, dia ada mengatakan kepadaku bahawa dia ingin bekerja hingga lewat malam demi menyiapkan tugasannya. Dia ingin bersedia dengan 2 hingga 3 komik untuk mengelakkan dia menjadi terlampau tertekan sekiranya karyanya ditolak untuk kali yang kedua ini. Dan ini ceritanya selepas peristiwa dia bermalam di pejabat.

Jam sudah pun menunjukkan puku 8.30 malam. Kebanyakan staff lain sudah mula beransur pulang meninggalkan pejabat. Azam pula beredar untuk menunaikan solat Isya’ nya. Sekembalinya dia selepas solat, pejabat sudah pun kosong. Dan Azam mula melakar komiknya….

Dari satu jam ke satu jam seterusnya, tiada apa pun yang terlakar di kertas di hadapannya itu melainkan contengan-contengan yang tidak menggambarkan sebarang cerita. Muzik kuat terus bergema dari speaker komputernya dan mulutnya kadang-kala terkumat-kamit menghayati lagu yang berkumandang…namun itu langsung tidak membantu Azam.

Dia terus mencuba. Perlahan-perlahan dia menulis rangka cerita. Mula melakar watak-watak yang terlibat. Dan sekali lagi tangannya kaku memandangkan mindanya berhenti dari berfikir. Azam menarik rambutnya dan merengus. Keluarlah Idea! Apa masalah aku ni?!

” Azam tension nya…nak minum? Kopi ke nescafe?”
” Kopilah. Mengantuk ni. Dah tepu dah kepala ni.”
Selepas beberapa minit, secawan kopi dihulur. Azam terima dengan senang hati. Diteguknya hingga tinggal setengah. Ahhh….Nikmatnya.

“Azam, apa-apa hal…saya ada di belakang ya. Extension saya 223.” Azam mengangguk tanpa mengangkat muka pun.

Selepas hampir setengah jam berlalu, Azam meneguk habis air kopinya. Nanti! Extension? Kat belakang? Kopi? Eh, bukan aku sorang je ke kat pejabat ni? Ya ALLAH, selamatkanlah aku. Dia menoleh ke belakang, bilik belakang kelihatan terang benderang dan agak riuh. Kedengaran suara-suara yang berbincang entah apa. Dia melihat jam tangannya. Tepat puku 2.00 pagi. Sepanjang malam ini dia berseorangan dan kini dia bersama siapa? Dia meraup wajahnya. Kakinya memberat untuk melangkah, apatah lagi ingin berlari.

“Azam, untuk terbitan komik bulan lepas kita ada tunggakan pembayaran dengan printer. Bila agaknya kita nak uruskan pembayaran tu?” Azam berpeluh sejuk. Berdoa agar perempuan itu tidak mendekati dirinya. Namun langkah perempuan itu lebih pantas dari doanya. Perempuan itu menyuakan fail di tangannya. Azam semakin sejuk. Takut dan tidak mampu menjerit. Dia teragak-agak untuk mengambil fail tersebut.

“Tengok ni, sepatutnya pembayaran patut diselesaikan pada tarikh 20 September kan…ni dah nak print komik bulan ni pun kita masih belum bayar. Azam kena ingat, apa-apa yang melibatkan pembayaran kita kena amanah. Dengan pembekal kertas pun kita belum bayar. Mesti masing-masing tengah tunggu payment diorang. Cepat-cepat hantar memo ke unit kewangan ye, minta diorang proceed payment ni semua.” Azam hanya mendiamkan diri. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Apakah maksud ini? Untuk makluman ke untuk makluman dan tindakan. ALLAHUAKBAR. Selamatkanlah aku Ya ALLAH.

“Macam mana Azam? Nak saya uruskan atau Azam rasa Azam sempat nak uruskan semua ni?” Azam sekadar merenung kosong wajah perempuan di hadapannya itu. Cantik, ayu namun tidak cukup untuk menghilangkan ketakutannya. Tiba-tiba kedengaran bunyi tapak kasut dari arah luar pejabat. Azam menghela nafas lega. Mungkin ALLAH mengutuskan seseorang untuk menyelamatkannya.

“Ha…Raudhah, tolong buka lampu?” Perempuan bernama Raudhah itu memetik suis lampu dan ianya cukup terang untuk menghilangkan kegelapan di segenap ruang pejabat itu. Azam, terasa seakan dicekik.

“Maaflah cik Syahadah, saya terlambat. Ibu saya tak sihat. Takut-takut juga nak tinggalkan dia. Saya tunggu adik saya datang tadi.”

“Tak apa lah Raudhah…yang penting ibu awak ada orang yang jaga.”
“Terima kasih cik Syahadah. Eh, Encik Azam, dah lewat macam ni masih di pejabat?” Dan Azam semakin terasa dicekik.

Perempuan yang bernama Syahadah itu kembali berbalik kepada perbincangan tentang pembayaran kepada pencetak dan pembekal. Otak Azam terlalu lambat memproses data yang disampaikan oleh Syahadah. Dia memang berharap untuk pengsan secepat mungkin namun kebanyakan doanya tidak dimakbulkan.

“Azam, pinjam telefon.” Tanpa menunggu keizinan Azam, Syahadah mengangkat ganggang telefon, jarinya entah mendail nombor extension siapa.

“Hello, Rana…tolong saya sediakan dua orang untuk membantu Encik Azam. Eh, sekejap ye…Azam, dua orang cukup ke untuk membantu?” Azam mengangguk tidak rela.

“Ok Rana, panggilkan Ayu dan Athirah ye untuk bantu Encik Azam disini. Terima kasih.” Ganggang telefon diletak.

“Hurmmm….Azam, Ayu dan Athirah tu kartunis top 5 kami tau…”
“Err..Kak..Eh, Adik..Eh Puan…aaaa.”
“Saya Syahadah. In term of foramlities, cik syahadah. Tapi tak payah lah. Kenapa Azam?”
“Apa yang sedang berlaku ni? Siapa kamu semua ni? Kenapa kamu semua ada disini pada waktu begini? Apa yang kamu semua nak? Boleh tak jangan ganggu saya?” Azam cuba menutup getarnya. Kelihatan Syahadah menepuk dahinya.

“Astaghfirullah..assalamualaikum Azam. Saya Syahadah. Saya bekerja disini membantu Azam dan juga kakitangan yang lain. Saya membantu Azam dalam menyelesaikan pembayaran sebab Azam selalu terlupa untuk membayar kepada yang berkenaan. Ini Ayu dan ini Athirah.”
“Bila masa pulak awak tolong saya selesaikan pembayaran. Bukan ke selama ni saya yang buat sendiri?”
“Stick note yang selalu ada kat komputer awak sebagai reminder tu awak jugak ke yang buat sendiri?”
“Bukan. Farid yang buat.”
“Siapa cakap Farid yang buat?”
“Saya yang cakap.” Kelihatan Azam tidak mahu mengalah.
“Pernah ke awak tanya Farid?”
“Tak pernah. Tapi saya tau dia yang selalu ingatkan saya. Dia kawan baik saya.”
“Baiklah…Tu semua bukan Farid yang buat. Saya yang buat untuk awak. Terima kasih Azam. Nak kopi?” Syahadah tersenyum.

Kelihatan Azam meraup mukanya beberapa kali. Dia memang takut tetapi dia menjadi pelik sendiri mengapa dia tidak melarikan diri, paling tidak pun menjerit. Dia masih terfikir mengapa perkara begini boleh terjadi? Dia percaya dengan perkara ghaib namum dia tidak pernah terdetik untuk berjumpa dengan mereka. Kalau diceritakan kepada kawan-kawan yang lain, peratus paling tinggi adalah ditertawakan. Farid pun, belum tentu dia percaya. Azam menggeleng kepalanya. Entah lah.
Ayu dan Athirah duduk bertentang dengannya. Mereka agak pendiam berbanding dengan Syahadah. Kelihatannya mereka terus duduk dan segera melakar sesuatu merujuk kepada rangka yang dibina oleh Azam. Azam sedikit lega dengan bantuan mereka berdua. Walaupun berat, Azam ada meminta mereka mengarang rangka dari idea mereka agar ada variasi dan boleh diputuskan sama ada diterbitkan sebagai satu cerita atau satu cerita dengan menggabungkan penceritaan mereka bertiga.

Ayu dan Atihrah ada bercerita kepada Azam bahawa mereka adalah antara 15 staf wanita di bawah pimpinan Syahadah. Kartunis disini bertindak sebagai pencetus idea kepada para kartunis majalah Suka Hati. Mereka akan membantu mereka yang ketandusan idea dengan cara mencetuskan idea dalam minda mereka dan mereka pula cuma perlu menzahirkan idea mereka dalam komik. Unit dokumen pula bertindak sebagai reminder untuk perkara-perkara penting seperti pembayaran, mensyuarat dan lain-lain.Azam menggaru kepalanya yang tidak gatal. Masuk akal kah ini? Hurmm..entah lah…

Tentang waktu bekerja pula, mereka masuk kerja pada pukul 2.00 pagi dan tamat pada pukul 7.00 pagi. Azam asyik terfikir, apa yang mereka lakukan bukan lah satu pekerjaan, tapi memberikan bantuan. Dari mana mereka perolehi pendapatan? Berat mulutnya ingin bertanyakan yang lebih-lebih. Takut diapa-apa kan. Memang dia berteman tapi hakikatnya dia berseorangan. Hidup matinya hanya akan diketahui esok, waktu dia bekerja.

Akhirnya, dalam kebingungan yang tidak tentu arah, siap juga satu karya gabungan idea mereka bertiga. Azam kelihatan sangat berpuas hati. Athirah banyak membantu dalam menyiapakan kulit majalah. Cantik! Impresi pertama Azam. Athirah bijak bermain warna lalu menjadikan kulit majalah itu kelihatan sangat ceria. Ayu pula, lakarannya sangat halus. Plot tempat di sebuah perkampungan melayu lama itu kelihatan sangat aman dan cantik. Watak gadis yang bernama Melati itu kelihatan begitu cantik. Perceritaan komik Cinta Bunian itu ringkas dan menarik. Terima kasih Ayu, Athirah kerana membantu. Terima kasih Syahadah kerana menyediakan kopi untuk aku………………….

Terpisat-pisat Azam bangun dari lenanya. Dia menggerakkan tubuhnya. Lenguh seluruh tubuhnya kerana terlena dalam keadaan berteleku di atas meja. Dia meraup wajahnya. Memandang sekeliling. Dia berseorangan dengan lagu yang masih berkumandang dari corong pembesar suara komputernya, dan hari agak cerah. Ahh…aku bermimpi rupanya. Dia menggelengkan kepalanya dan tersenyum sendiri. Astaghfirullah. Dia melihat jam pada tangannya, pukul 6.30 pagi. Dia harus cepat, subuh hampir pergi.

Usai solat subuhnya, dia teringat akan mimpinya. Betapa dia terbawa-bawa beban kerjanya hingga dia kononnya dibantu oleh Ayu dan Athirah. Juga Syahadah yang sentiasa menambah cawan kopinya. Tetapi, ada baiknya mimpi itu kerana dia akan menggunakan mimpinya untuk ruangan ekslusif majalahnya. Ya, Cinta Bunian. Semua, rangka penceritaan, plot tempat, watak-watak ada dalam kepala Azam. Mimpi itu memudahkan kerjanya. Dia masih tersenyum sendiri sambil melipat sejadahnya.

Dia kembali ke tempatnya, tidak sabar-sabar untuk menyiapkan tugasannya. Dia membelek-belek kertas yang agak berterabur di atas mejanya.

“Encik Azam, maaf ya. Ni komiknya, saya tunjuk pada cik Syahadah tadi…” Azam menoleh dan dia terpempan. Athirah?! Dan Ayu tersenyum simpul di sebelah Athirah.

“Encik Azam, kami balik dulu…” sekumpulan lima orang wanita itu menyapa Azam. Kemudian dua tiga orang wanita pula lalu melepasi Azam. Siapakah mereka? Azam kaku tanpa mampu mengerdipkan matanya pun.

“Azam, saya dah siapkan memo ni untuk serahan kepada unit kewangan. Boleh awak tandatangan kat sini? Sebelum balik kang saya letak memo ni kat atas meja Tini. Cepat sikit pengurusan pembayaran nanti..” Azam terasa tidak boleh bernafas dan akhirnya dia rebah. Kedengaran sayup-sayup suara Syahadah berganti dengan suara Farid.

“Kau biar betul Azam…?” Soal Farid bersungguh.
“Betul..tu sebab lah aku pengsan. Sedar-sedar aku dah kat hospital ni. Tapi aku masih ingat apa yang jadi.” Farid menggaru kepala yang tidak gatal.
“Aku tak tipu kau Farid.”
“Aku tak cakap pun kau tipu? Tapi doktor cakap kau pengsan sebab terlalu letih.”
“Doktor mana tahu apa yang jadi kat aku? Dia tahu buat spekulasi menggunakan bukti saintifik je. Ala…tak apa lah Farid. Aku tahu kau tak percaya aku kan…”
“Azam, kau berehat lah. Aku nak kena balik ofis ni. Komik aku tak siap lagi. Petang karang lepas kerja aku datang lagi. Jangan bebankan kepala kau lagi. Kerja ku dah siap kan?” Azam sekadar mengangguk sebal. Farid kawan baiknya tidak percaya akan ceritanya.

Dua hari berada di hospital, doktor megesahkan dia sihat dan dibenarkan dia keluar. Dan dia kelihatan agak bengang ketika doktor meminta dia sentiasa memastikan dia mempunyai rehat yang cukup. Aku juga turut menjadi mangsa ke’bengang’annya. Tapi, aku relak je, tak adalah berkerut dahi macam doktor tu tak pasal-pasal kena marah. Azam..azam.

Selepas seminggu komik kami dipasarkan, Azam menerima banyak surat dari pembaca. Selain dari memuji karya Cinta Bunian, ada yang meminta Azam untuk menjadikan cerita itu sebuah komik bersiri. Namun Azam berkeras enggan untuk meneruskan cerita itu sebagai komik bersiri. Dia asyik berkata karya itu bukan karyanya walaupun mengikut penceritaannya kepada ku, dia berkongsi idea dengan Ayu dan Athirah. Dia berkeras tidak mahu walau dipujuk oleh ketua kami, Encik Yusof. Entah lah.

Aku tidak pasti di mana betulnya kawan aku si Azam tu. Antara dua, beban kerja membuatkan dia berhalusinasi atau memang benar dia berjumpa dengan sekumpulan pekerja wanita yang bukan kakitangan Suka Hati. Yang pastinya dia serik bekerja sehingga lewat malam, berseorangan di pejabat. Dia masih trauma. Kasihan Azam….




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Cerpen : Cerita Satu Malam: Kasihan Azam”
  1. cerita yg menarik… :razz:

    hiks…. jangan-jangan awak ada sekali join wanita bukan kakitangan syarikat tu… sebab awak leh bercerita tentang azam ;-)

    salam kenalan wahai Sury… sesenang add la fb.. klik di sini ….>> [My Facebook]

  2. sury says:

    hye miqael….haa…jgn nt jumpe kang..hehe..thanx for the comment…tgk2 la cerpen sy y lain ye…awk menulis jugak kan? sy skong awk..awk skg sy ye..tata..

  3. Sama-sama Sokong rakan penulis… ;-)

  4. nurul says:

    apakah…diri ini maseh dlm keadaan tidak memahami…betulkah syahadah , ayu, athirah tu wujud… cerita neh ade sambungan kee…ape pon harap betul laa kan dorang tu ade…hehehe

  5. sury says:

    nurul…klu ade cmne…? hehe…

  6. aqua wann says:

    interesting!!!!!…
    lau ada smbungannya, cpt2 la smbung erk….
    gud luck utk writer….

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"