Cerpen : Mencari Seorang Ashraf Muslim

19 December 2010  
Kategori: Cerpen

10,094 bacaan 72 ulasan

Oleh : Aliesha Kirana

Ashraf Muslim berlutut di hadapan Aliya, memegang cincin nan indah bertatah berlian yang berkilauan. Aliya terkedu memandang perlakuan Ashraf Muslim, hatinya berdegup kencang.

“Aliya, sudi tak awak… jadi isteri saya, bersama saya, sehidup semati, sampai ke syurga?”

Aliya pandang wajah Ashraf Muslim lama-lama, tak percaya.

‘What? Hero pujaanku melamar? Betul ke ni? Kalau mimpi, janganlah aku bangun!’

Aliya mengangguk pada Ashraf Muslim, tanda setuju dengan lamaran itu.

Aliya tersengih sorang-sorang macam kerang busuk, kerang pun tak sebusuk sengihnya itu. Mana tak sengih, Ashraf Muslim melamar dia! Gila ah, jejaka idaman Malaya mahukan dia!

Perlahan Aliya cubit pipinya kuat-kuat. Erk! Tak sakit pun.

Ashraf Muslim bangun dari melutut dan mendekatkan diri pada Aliya. Perlahan dia mendekatkan tangannya pada wajah Aliya sebelum…

“Adoii!” Aliya menjerit kesakitan. Kali ni dia betul-betul sakit, bila pipinya dicubit. Terus dia buka matanya yang baru nak feeling bercinta dengan Ashraf Muslim dalam mimpi yang indah.

“Padan muka kau, aku gerak tak nak bangun, lepas tu dok usap-usap tangan aku. Apa kes?” Nani dah menjerit ke telinga Aliya. Aliya cepat-cepat tutup telinga sambil berpaling dari menghadap singa betina di hadapannya itu. Kang tak pasal-pasal dia bermandi air liur Nani yang bersembur tu, mentang-mentanglah dia belum mandi, senang hati je Nani nak mandikan dia macam tu.

“Ei, kau ni kacaulah Nani! Baru je Ashraf Muslim datang melamar aku, kau dah potong line!”

“Ashraf Muslim ke Fizo Omar, Fizz Fairuz ke, ada aku kesah? Kau sedar tak, kau tu dah lambat nak pergi kerja, dari tadi alarm kau tu berbunyi sampai satu rumah dengar. Yang kau dok sebelah alarm tu pun kau tak dengar ek? Naik pekak telinga aku!”

Aliya segera mengalih pandangan ke sisi katil, tempat telefon bimbitnya diletakkan. ‘Eh iyelah…’ Aliya tersengih bila lagu Pelesit Kota masih memekak di dalam bilik. Cepat-cepat dia menutup alarmnya itu.

“Terima kasihlah cik kak, sebab tolong gerakkan aku. Sekarang syuhh syuhh. Aku nak siap.”

Aliya menggoyang-goyangkan tangannya seperti menghalau ayam. Nani yang hangin, terus keluar dari bilik.

Sebaik Nani keluar, Aliya cepat-cepat mencapai bingkai gambar yang terpamer wajah Ashraf Muslim, yang diambil dari keratan akhbar lalu sengaja diletakkan dalam bingkai itu.

‘Ashraf Muslim…. Hmmm, kenapalah senyumanmu manis sekali, bisa bikin hatiku cair. Aduh…’ bingkai gambar itu ditenung dalam-dalam.

Aliya berangan-angan lagi, melayang entah ke mana.

“Woi, tak nak pergi kerja ke?” Nani menjerit dari bawah. ‘Potong la minah ni…’ cepat-cepat Aliya bangun dari katil dan bersiap.

Nani tersengih-sengih saat Aliya menuruni tangga dengan berbaju kurung dan bertudung warna sedondon. Nampak ayu gitu.

“Kau ni kenapa? Sengih-sengih. Aku tau la aku lawa…” Aliya membebel sambil dia memakai stokin.

“Tak adalah. Memang la kau lawa. Tapi kenapa tiba-tiba hari ni berbaju kurung bagai. Selalu pakai kemeja aje. Buang tebiat ke? Ke nak masuk Gadis Melayu?”

Aliya belek-belek dirinya. ‘Lawa jugak! Kalah Gadis Melayu la camni…’

“A ah, nak masuk Gadis Melayu, boleh jugak jumpa Ashraf Muslim.”

“Ish, tak habis-habis dengan Ashraf Muslim kau tu. Artis lain tak ada ke?”

“Ish tak maulah, Ashraf Muslim saja kat hati aku ni.”

“Eleh, mentang-mentanglah si Ashraf Muslim tu dah alim-alim sekarang, baru kau terhegeh nak kat dia kan?”

Aliya bingkas bangun dari duduknya, lalu segera berlalu ke dapur. Nani ikut membontotinya.

“Tolong sikit eh, aku ni, sejak dia jadi jahat dalam Manjalara pun aku dah suka dia tau. Semua orang menyampah kat dia masa tu, aku sorang je suka tengok dia tau.” Ujar Aliya sambil meneguk air oren di dalam gelasnya.

“hmm, ye lah tu. Kalau kau dapat die, jadi bini tokey kambing la ek? Busuk!” Nani menutup hidungnya.

“Cis, berani kau kutuk bakal suamiku, mau kena pelangkung kau ni ek…”

Nani tersengih lagi.

“Dahlah, aku nak pergi kerja, kang lambat, bos aku mengamuk.”

“Yelah, kau yang bangun lambat tadi, jangan salahkan bos kau pulak.”

“Iyelah. Yang kau ni tak siap lagi kenapa?”

“Aku kerja petang la hari ni…”

“Ooo…”

———————————————————————————–

Aliya sibuk menyiapkan tugasnya di pejabat saat telefon bimbitnya berdering dengan nyaring, cepat-cepat dia mengangkat telefon.

“Assalammualaikum mak!” Aliya tahu itu ibunya, bukanlah sebab dia ada kuasa psikik, tapi sebab sudah terang lagi bersuluh, nama ibunya terpampang di skrin.

“Waalaikumussalam. Petang nanti ada hal tak?”

“Kenapa mak?”

“Anak Makcik Syira yang dok kat Mesir nun, nak balik Malaysia. Dengar khabar nak menetap di sini, Makcik Syira call mak tadi, suruh tolong jemput anak dia kat airport.”

Aliya cuba mengingati Makcik Syira, jiran mereka dulu yang juga merupakan kawan baik ibunya, sekarang dah berpindah ke Mesir sebab suaminya bekerja di sana. Satu keluarga pindah ke Mesir, termasuklah anaknya, Adif Farhan.

‘Adif Farhan…’ fikiran Aliya menerawang, cuba mengingati insan itu. Adif, teman masa kecilnya tapi seawal lima belas tahun lagi dia dah ikut keluarganya berpindah. Sekarang dah sepuluh tahun berlalu, mesti Adif dah besar panjang. Eh mestilah! Adif tu bukannya duduk kat Neverland, tempat budak-budak tak membesar tu. Huhu.

“Woi, anak kesayangan mak! Ada lagi ke kat sana? Ke mak tengah cakap dengan tunggul?” suara ibu Aliya yang nyaring cepat-cepat menyedarkan Aliya. Tergelak dia sendiri sebab boleh mengelamun masa tengah bersembang dengan ibunya.

“Ada ni mak! Sorry-sorry…”

“Saja kamu ni kan? Nak bagi bil telefon ni melambung. Orang panggil tak jawab-jawab. Itu mesti kes teringatkan Adif la tu… macam mak tak tahu. Jangan risau, kalau kamu berkenan, nanti mak jodohkan korang berdua.”

Gulp! Aliya menelan liur. Sampai macam tu pulak imaginasi ibunya.

“Ei mak merepek apa ni? Tak mahulah Liya!”

“Kalau mak paksa macam mana?”

Gulp! Telan liur lagi. Rasa kerongkong macam kesat je ni.

“Haha! Tahu takut, terdiam kamu ya. Tak apa, yang tu nanti kita bincang, yang penting jangan lupa jemput Adif kat airport petang ni, pukul enam.”

“Yelah mak…”

Aliya meletak gagang usai memberi salam. Kata-kata ibunya masih terngiang dalam fikirannya. ‘Betul ke mak ni? Nak jodohkan aku dengan si Adif tu?’

Adif yang kurus kering itu sekali lagi menerjah ingatan Aliya. Dulu Aliya berbadan besar, Adif pula kurus kering, jadi memang Aliya sukalah membuli Adif. Kalau Adif tengah main basikal-basikal, mesti Aliya suka rampas basikal Adif, Adif pulak senyap je bila dia buat macam tu. Baik je budaknya. Haha.

———————————————————

‘Mana pulak mamat ni? Kata pukul enam, dah enam setengah dah ni… batang hidung tak nampak lagi… Dahlah aku tak kenal yang mana satu. Haishh!’ Aliya mengomel sendiri sambil mengerling jam tangannya.

Mata Aliya tercongok memandang ke arah balai ketibaan. Kad manila yang dicontengnya nama Adif Farhan diangkat lagi, kali ini lebih tinggi, biar sampai dari dalam kapal terbang lagi boleh nampak.

“Aliya?” teguran seorang lelaki dari arah belakang. Aliya segera berpaling ke arah suara itu.

Erk! Aliya rasa macam nak pengsan.

“Ash…hrrraafff….Mmm…Mmmussliiimmmm?” Aliya tergagap, tercengang melihat jejaka idamannya di hadapan.

“Ashraf apa?” jejaka itu garu-garu kepala. ‘Ala buat-buat tak tahu pulak, comel!’ Aliya menjerit dalam hati.

“Aliya… ni Adif la…” Adif merenung Aliya dalam-dalam.

“Aaa…diiiffff?” mata Aliya membulat mendengar nama itu.

“Eh, sejak bila awak ni gagap? Dulu masa kecik-kecik ok je.” Adif bersuara sambil membetulkan beg yang disandangnya.

Aliya cuma diam. Matanya meneliti wajah Adif, memang sekali pandang macam Ashraf Muslim, tapi dua kali pandang, baru nampak bezanya.

‘Kenapa kecil-kecil dulu aku tak sedar muka dia macam Ashraf Muslim ek? Eh masa kecik dulu, aku mana kenal Ashraf Muslim lagi,’ Aliya menepuk dahi.

“Eh awak tak apa-apa ke Aliya?”

“Er, saya ok!”

“Oh, tak gagap. Ingat dah jadi gagap lepas saya pindah dulu. Mana lah tahu kan.”

Aliya mencebik. ‘Perli aku pulak, huh!’

“Pandai lagi awak cakap Melayu ek? Ingat dah lupa.”

“Mana boleh lupa, nanti macam mana nak cakap dengan buah hati.” Aliya pandang wajah Adif sekilas, kurang mengerti.

“Buah hati? Orang Malaysia ke?”

“Buat-buat tak paham pulak dia ni.”

“Apa?”

“Kalau awak nak suruh saya cakap Arab pun boleh, nak ke?” Adif tersengih.

Aliya cepat-cepat geleng. Manalah dia nak faham kalau Adif mula cakap Arab. Dah la wajah ala-ala Ashraf Muslim, pakai pulak kopiah, nak cakap arab pulak. Nanti sebijik macam Ustaz Amirul! Watak Ashraf Muslim dalam Puaka Niyang Rapik. Cair der…

“Ni awak nak saya hantar awak ke mana ni? Mak cuma pesan suruh ambil awak, tapi tak bagitahu nak hantar awak ke mana…” Aliya berbicara acuh tak acuh tanpa memandang ke arah Adif. ‘Pandang kang cair pulak aku!’

“Hantar saja saya ke hati awak, boleh?”

Cepat-cepat Aliya menoleh. Erk panahan mata yang tajam, cepat-cepat Aliya tunduk.

Adif ketawa kecil, sopan sekali.

“Janganlah merepek, bagitahu la betul-betul.”

“Hantar saya ke hotel ajelah. Saya pun tak tahu nak ke mana lagi ni. Rumah sewa belum dapat.”

“Oklah kalau macam tu.”

Telefon berdering tiba-tiba. ‘Eh mak! Macam tahu je menantu dia dah tiba.. erk menantu?’

“Assalammualaikum mak. Ni Adif dah sampai dah, Liya nak hantar dia ke hotel ni.”

“Waalaikumussalam. Eh tak payah Liya, bawak dia balik rumah kita.”

“Eh tak apa ke mak?”

“Tak apalah. Dia tu dah macam anak mak dah. Abah kamu pun ada kat rumah. Apa takut? Lepas dia dapat rumah sewa nanti, barulah dia pindah.”

“Aliya…” Adif memanggil. “Apa mak awak kata?”

“Dia suruh awak tidur kat rumah kami.” Aliya separa berbisik.

Adif membuat isyarat, meminta telefon itu dari Aliya. Cepat-cepat Aliya menghulurkan.

“Tak payahlah mak, susahkan mak aja nanti…” Adif berbicara. ‘Mak? Sejak bila dia panggil mak aku emak?’ Aliya garu kepala.

“Kalau macam tu, iyelah. Terima kasih mak!” Adif kelihatan riang. Sebaik dia memberi salam, talian terus dimatikan.

“Kenapa?” Aliya menyoal.

“Mak awak suruh saya bermalam kat rumah awak.”

“Itu saya tahu…”

“Habis tu?”

“Kenapa awak panggil mak saya, mak?”

“Suka hati sayalah.”

“Sejak bila?”

“Sejak saya bakal jadi menantunya…”

Aliya terpempan. ‘Bakal menantu?’

“Apa yang awak merepek ni Adif? Saya tak faham la.”

Adif tersenyum penuh makna. Naik pening Aliya tafsirkan senyumannya itu.

“Awak tak tahu lagi ke?”Adif bersuara sambil memasukkan barangannya ke dalam bonet kereta.

“Tahu apa?”

“Awak dan saya, kan bakal…”

Aliya terkedu. ‘Bakal apa? bakal bertemu? Bakal berpisah? Bakal bercinta? Bakal berbesan? Erk apakah!’

“Bakal apa?” Aliya bertanya separa menjerit, mahu segera tahu.

“Eh tak sabar ek Liya..”

Aliya tertunduk malu.

“Tanyalah mak awak nanti. Dia ada jawapannya.”

—————————————————————————-

Aliya termenung sendirian di laman rumah, sambil merenung ikan koi yang berenang-renang di dalam kolam, dia teringatkan kata-kata ibunya petang semalam, saat dia menghantar Adif ke rumahnya.

“Kamu dengan Adif bakal…”

“Bakal apa, mak? Mak pun nak jadi macam Adif ke? Cakap separuh-separuh.”

“Bakal disatukan!” ibu Aliya menyambung ayatnya. Aliya terlopong.

“Bakal disatukan? Liya tak paham la mak.”

“Ish kenapa kamu ni lambat sangat tangkap ek? Mak dah elok cakap melayu ni, tak paham jugak! Sekali mak cakap Sanskrit baru kamu tahu…”

“Ish, memang la Liya paham pasal disatukan tu. Tapi kenapa mak?”

“Mama Adif tu, nak sangat berbesan dengan mak. Dia pun kenal kamu dari kecik, dah tahu hati budi kamu, Adif pun tak bantah cakap mamanya bila mama dia cakap nak satukan kamu.”

“Err, kenal Liya sampai tingkatan satu je pun dah kira kenal hati budi ke mak?”

“Ish kamu ni, jangan bantah cakap orang tua boleh tak? Tengok macam Adif tu, terima aje kamu tu. Kamu jangan memilih sangat, dapat Adif tu dah kira pakej lengkap. Yang paling sempurna yang boleh mak dapatkan untuk kamu. Rupa ada, ilmu ada, agama kuat, apa lagi?”

“Tapi mak?”

“Tapi lagi? Pang kang?”

“Erk!”

Liya memegang pipinya. Mujur ibunya cuma bergurau, kalau tak, mahu lebam pipinya.

“Eii.. kenapa mesti Adif? Kenapa aku tak boleh pilih sendiri suami aku? Aaaa stress!” Aliya telangkup wajahnya pada meja di taman itu.

“Wei, kau ni kenapa? Sejak balik dari rumah mak kau, tension semacam je aku tengok.”

Nani yang datang entah dari mana, tiba-tiba duduk di sebelah Aliya, sambil membawa dua mug berisi air coklat panas. Aliya hirup air itu perlahan. Perghhh! Nikmatnya.

“Mak aku tu, apa mimpi entah tiba-tiba aje…”

“Tiba-tiba apa?”

“Tiba-tiba je nak jodohkan aku dengan Adif tu.”

“Adif? Adif yang kau tolong ambil kat airport tu?”

“A ah la… yang tu.”

“Wah! Bestnya kau Liya, keluarga tolong carikan… aku ni bila la nak sampai jodoh. Tak ada sapa nak…”

“Ish, tak mahulah aku. Aku bukan kenal dia sangat pun. Kecik-kecik dulu ada la.”

“Kau tak nak aku ambik nanti baru kau nangis.”

“Ambik la!”

“Ok tak Adif tu? Hensem tak?”

“Boleh la..”

“Muka dia ada iras siapa? Tahap hensem dia tahap mana?”

“Ish kau ni dari tadi cakap pasal paras rupa, tak penting la paras rupa tu. Sebab tu la kau lambat jodoh. Memilih sangat.”

“Mana ada! Aku saja je nak tau. Takkan itupun kau nak kedekut.”

“Muka dia… hmmm…” Aliya tiba-tiba terbayangkan wajah Adif.

“Macam Ashraf Muslim.”

“Hah? Macam pujaan hati kau tu? Wah! Bertuah la kau…”

“Apa pulak.. bukan dia tu Ashraf Muslim pun. Muka je ada iras.”

“Bersyukur lah Liya, dapat jugak kau orang yang seiras Ashraf Muslim, takkan kau nak lepaskan pulak dia tu?”

“Aku buntu laaa Nani…”

Aliya terus terdiam melayan hati sendiri. Bagaimana dia mahu membuat keputusan. Dia memang gilakan Ashraf Muslim, sukakan kelembutan lelaki itu, ketenangannya, kesopanan dan kesusilaan, eh rukun negara! Tapi Ashraf Muslim hanyalah sekadar anganannya, bila ada depan mata sebijik macam tu, blur la Aliya. Ini soal rumahtangga, soal yang serius, bukan takat angan-angan kosongnya.

“Kenapa susah sangat kau nak terima dia? Padahal muka dia seiras jejaka idaman kau kan? Aku tak paham la…” Nani menegur Aliya yang sudah hanyut entah ke mana.

“Itulah masalahnya Nani…”

“Kenapa pulak?”

“Memang la aku rasa macam suka kat dia, tapi aku takut aku suka dia sebab wajah dia macam Ashraf Muslim. Bukan sebab dirinya sendiri.”

“Pulak!”

—————————————————————–

“Liya tak suka ke kita disatukan?” Adif bersuara saat Aliya duduk di meja makan, menghadap minum petang yang disediakan ibunya saat dia singgah di rumah hujung minggu itu. Aliya memang akan balik setiap hujung minggu, rumah sewanya dan rumah keluarganya pun tak jauh sangat, hampir sejam perjalanan, tapi sebabkan nak pergi kerja jauh, sebab tu Aliya duduk menyewa.

Hampir Aliya tersedak cucur pisang yang sedang dimakannya saat mendengar soalan Adif itu, mata Aliya membulat memandang Adif.

“Bila masa saya cakap tak suka?”

“Tak payah cakap, dari riak wajah pun dah tahu.”

‘Erk, ada ilmu tilik muka ke Adif ni, seram ah! Kang dia baca aku, mampus…’ Aliya risau, cepat-cepat dia palingkan muka, takut Adif membaca wajahnya.

“Mana ada, merepeklah awak ni.”

“Kalau macam tu, awak setuju?”

“Entah la…”

“Entah?”

“Tak tahu.”

“Kalau awak tak mahu, saya bagitahu mama. Kita boleh batalkan.”

“Awak pulak macam mana? Setuju ke?”

“Saya tak kisah. Lagipun memang saya…”

“Saya apa?”

“Saya yang minta dijodohkan dengan awak…”

“Erk!”

“Amboi, asyik bersembang… ni bincang pasal persiapan kahwin ke?” mereka serentak berpaling. Aliya menarik nafas lega bila melihat ibunya terpacak di hadapan mereka. Sekurang-kurangnya dia tidak berasa janggal berduaan bersama Adif. ‘Adif minta dijodohkan dengan aku?’ hatinya ligat memikirkan persoalan itu.

“Mana ada mak, ni Aliya ni, bukannya nakkan Adif pun.”

“Aliya! Betul ke?”

Aliya tersenyum lalu bingkas bangun dari situ. Serabut dia memikirkan semua ini. Biarlah dia berfikir dengan tenang sebelum membuat keputusan.

———————————————————————

Sudah sebulan perkara ini berlalu, Aliya masih buntu dalam membuat keputusan. Kalau boleh memang ibunya mahu dia menerima Adif, tapi Adif sendiri menyuruh ibunya memberi masa supaya Aliya dapat berfikir dengan tenang. Adif tak mahu memaksa Aliya membuat keputusan yang begitu penting dalam hidupnya.

Bagi Aliya, memang rasa cinta sudah berputik dalam hati, namun sukar dia tafsirkan, apakah cinta itu tulus untuk Adif atau sekadar kerana Adif mengingatkannya pada Ashraf Muslim. Aliya sangat buntu, Aliya takut kelak lepas berkahwin, dia masih membayangkan Adif sebagai Ashraf Muslim. Pasti dia menanggung dosa mengingati lelaki lain saat sudah ada suami disisinya.

“Aliya, jom! Pergi shopping!” Nani yang entah datang dari mana menarik tangan Aliya yang sedang duduk di sofa.

“Eh apahal tiba-tiba ni?”

“Syyhh, diam! Ikut je lah. Nanti aku belanja wayang Aku Masih Dara.”

“Eh tunggu la aku siap dulu.”

“Ala tak apa, ok dah tu.”

Aliya pandang dirinya. ‘Seluar track dengan t-shirt lusuh ni Nani cakap ok?’

“Ish gila ke hapa kau ni. Tunggu kejap aku pergi salin baju dulu.”

“Yelah. Cepat sikit tau!”

Saat sampai di perkarangan kompleks membeli-belah itu, Aliya tercengang saat melihat kelibat Adif Farhan, dia tersenyum seraya melambai ke arah mereka.

“Kenapa dia ada sini Nani?” Aliya berbisik di telinga Nani.

“Adalah, jom!” Nani menarik Aliya menghampiri Adif.

“Terima kasih sebab tolong saya Nani.” Adif bersuara. ‘Tolong? Apa ni?’ Aliya buntu.

Nani tersengih.

Adif dan Nani jalan beriringan di hadapan, meninggalkan Aliya seorang di belakang. Hati Aliya terasa sebal. ‘Tahulah nak mengorat Adif, janganlah tarik aku sekali tadi.’

Saat tiba di sebuah restoren, mereka mengambil tempat, ingin mengisi perut masing-masing.

“Duduk dulu ya, aku nak pergi toilet.” Nani meminta diri.

Aliya sekadar mengangguk lantas menghirup air minumannya.

“Aliya…” suara Adif itu segera membuatkan Aliya mendongak.

“Aaaa!” Aliya menjerit ketakutan.

“Syhh.. syhh… Aliya ni Adif la…” Adif di hadapannya segera memandang Aliya. Topeng muka yang baru disarungnya segera dibuka semula, sambil menunjukkan tanda OK pada orang sekeliling yang memerhati.

“Kenapa awak buat macam tu, terkejut la saya.”

“Saja…” Adif berbicara sambil memakai semula topeng tersebut.

“Awak ni gila ke?”

“Apa?” Adif sengaja dekatkan mukanya pada Aliya. Bertambah seram Aliya rasa, meremang bulu romanya.

“Pakai topeng macam ni, macam orang gila. Tahu tak?”

Aliya pandang sekeliling, mujur tiada lagi mata memerhati, tempat mereka duduk pun agak tersorok.

Perlahan Aliya menggelengkan kepalanya.

Adif merenung Aliya dalam-dalam. “Saya nak tanya awak. Awak rasa awak boleh tak jatuh cinta dengan seseorang tanpa lihat wajahnya?”

“Entah!”

“Saya boleh, sebab saya jatuh cinta dengan seseorang yang saya tak tengok wajahnya. Cuma dengar cerita dari mama saya.”

“Saya peduli apa?” Aliya mencebik. ‘Gila ke apa Adif ni? Tiba-tiba cerita pasal cinta-cinta ni.’

“Awak kena tengok orang tu dari hati budinya. Kalaupun semua orang dalam dunia ni berwajah sama, awak tetap akan dapat mengecam setiap satunya dari hati awak.”

“Maksud awak?”

“Kenali diri orang itu dari hatinya, bukan dari wajahnya. tak kisah lah wajahnya seiras siapa pun.”

‘Eh macam pelik je nasihat dia ni…’

“Maksud awak?”

“Saya tahu, awak takut nak terima saya, sebab wajah saya seiras Ashraf Muslim kan? Nama yang pertama kali awak sebut masa jumpa saya.”

Aliya terkedu.

“Saya memang tak kenal siapa itu Ashraf Muslim, tapi bila saya dengar awak sebut namanya, cepat-cepat saya cari pasal dia. Tapi saya tengok tak adalah iras mana pun. Hensem saya lagi.”

Aliya ketawa lucu.

“Saya tahu awak keliru Aliya. Nani dah terangkan segalanya. Awak takut awak sukakan saya cuma sebab saya seiras Ashraf Muslim kan?”

Aliya terdiam seribu bahasa, tak mampu nak membalas.

“Sekarang awak tengok saya dalam topeng ni, saya adalah Adif, bukan Ashraf Muslim, awak masih sukakan saya atau tak? Kalau saya dan Ashraf Muslim, keduanya memakai topeng ni, awak boleh cam tak kami? Dari hati awak?”

Aliya merenung wajah itu, yang ada di depan matanya cumalah wajah topeng ala V for Vendetta. Tapi jauh di dalam hatinya dia tetap dapat merasakan satu getaran buat insan di sebalik topeng itu. Walaupun Adif bertopeng, dia masih bisa mengenal hati budi Adif, peribadi seorang Adif Farhan yang dikenalinya sewaktu dulu.

Perlahan Aliya tersenyum. Bahunya dijongket menandakan dia tidak tahu. Padahal di dalam hatinya bagaikan sudah menetapkan sesuatu di dalam hatinya.

“Liya!” Nani memanggil. Segera dia menghampiri Aliya.

“Ish lamanya kau pergi toilet. Memerut ek.”

“Sori beb. Sakit perut.”

“Sakit perut ke sengaja arr?”

Nani tersengih macam kerang busuk.

“Bila nak tonton Aku Masih Dara?” Aliya menyoal penuh pengharapan.

“Erk, esoklah. Hari ni wayang full.”

“Ala, kau ni. Tak dapat aku tengok Ashraf Muslim hari ni.”

“Relaks la. Kan kau dah ada Ashraf Muslim celup.” Nani ketawa kecil sambil merenung Adif yang sudah membuka topengnya. Ada riak kecewa dalam wajahnya itu.

“Yang tu lain…”

“Yang itu apa?”

Aliya tersenyum. ‘Itu Adif, bukan Ashraf Muslim,’ Aliya bermonolog sendiri. Kenali seseorang dari hatinya, bukan wajahnya.

Aliya pandang wajah Adif sekilas, seraya tersenyum. Ini Adif! Bukan Ashraf Muslim!

——————————————————————

Malam itu saat mereka di ruang tamu, Aliya menghampiri Nani yang sedang asyik menonton televisyen.

“Kenapa kau buat macam tu tadi Nani?”

“Macam apa?”

“Kenapa kau berpakat dengan Adif tu? Bila masa korang kenal?”

“Semalam Adif telefon masa kau dalam bilik air, aku jawabkan. Adif minta tolong bawak kau jumpa dia, sebab dia cakap kau tak mahu jumpa dia lansung. Ni aku tolong lah ni…”

“Ish, kenapa kau buat macam ni?”

“Untuk kebahagiaan kau Liya. Jangan menolak tuah. So apa kau rasa? Hati kau macam mana sekarang?”

“Rahsia!”

“Alah dengan aku pun kau tak percaya ke?”

“Dengan kaulah aku paling tak percaya, kang kau report kat Adif macam mana?”

“Ala aku report supaya dia boleh tahu cara nak menawan hati kau aje.”

“Sebab tu tak boleh bagitahu kau!”

“Ala kedekut!”

——————————————————————————————–

“Liya, Adif dah balik Mesir.”

“Betul ke ni mak?”

“Iyelah.”

Aliya terkedu saat mendengar kata-kata ibunya dari hujung talian, lemah longlai selurut urat nadinya tika itu, badannya rasa tidak bermaya. Perlahan tangannya lepas dari menggenggam telefon di telinga.

“Liya.. Liya…” suara ibunya di hujung talian tidak lagi dihiraukan. Dadanya dipenuhi rasa sebak yang mencengkam. Air mata dibiarkan berjuraian di pipi.

‘Kenapa awak pergi tanpa mahu tahu perasaan saya Adif?’

Kau yang bodoh sebab lepaskan dia pergi….

Tapi aku tak bermaksud begitu, aku cuma perlukan masa untuk menimbal semua ini….

Tapi sampai bila Liya? Kau ingat Adif boleh sabar ke dengan kau?

Aku tak jangka dia akan pergi begitu pantas…

Kau telah menolak jodoh yang terbaik untuk kau Liya…

Aliya gumam. Hatinya merintih sendiri, penyesalan mula menebal dalam dirinya akibat menafikan cinta yang kian mekar dalam hati.

“Aku bodoh kan Nani?”

“Apa yang kau merepek ni Aliya?”

“Aku tak bersyukur kan?”

“Sudahlah Aliya, aku tahu kau sedih sebab Adif dah pergi. Yang penting sekarang, berdoa agar Allah bukakan hati dia untuk kembali ke sini…”

“Aku rasa macam dah tak ada harapan la Nani, dia mesti dah tak mahukan aku,” Aliya berbicara dalam sendu.

“Sabarlah Liya. Sabar.” Nani memeluk sahabatnya itu, cuba mengusir gundah dalam hatinya.

————————————————————

Sejak Adif pergi tanpa khabar tiga bulan lalu, sejak itu Aliya terasa begitu kehilangan. Setiap saat dia merindui Adif, tiada lagi Ashraf Muslim yang dirinduinya, hanya Adif Farhan.

Dah penat dia berendam air mata, sampai bengkak-bengkak matanya, Aliya mahu kuat, tak mahu lagi sedih-sedih. Nak menyesal pun tak guna, sebab dia yang tak mahu terima Adif pada mulanya. Dia tak mahu berharap lagi yang Adif akan pulang semula.

“Minggu depan Adif baliklah.”

Hampir tersembur air yang sedang diminum Aliya saat mendengar kata ibunya itu. Baru saja dia tak mahu berharap, tiba-tiba berita itu pula yang diterimanya.

“Apa mak?” Aliya kurang percaya. Matanya membulat, mahu mendengar perjelasan ibunya.

“Minggu depan bakal suami kamu tu baliklah.”

“Bakal suami?”

“Iyelah, kan dia balik Mesir sebab nak buat persiapan dari pihak dia, nanti dia datang sini bawak rombonganlah. Kenapa? Kamu tak mahu dia lagi ke? Sudahlah Aliya, terima jelah Adif tu, rugi kamu nanti.”

Aliya terkesima mendengar kata ibunya. Matanya digosok beberapa kali untuk memastikan dia tidak bermimpi.

“Bbbb….betul ke ni mak?”

“Iyelah, mak tak bagitahu Liya ke yang dia balik untuk buat persiapan?”

“Tak ada pun.”

“Oh, sori. Mak terlupalah tu.”

Aliya tepuk dahinya, dek kerana tercicir maklumat yang satu itu, dia sudah menganggap Adif pulang ke Mesir untuk selamanya, kerna satu perkara itu, Aliya menanggung sesalan yang tidak berpenghujung.

Air mata Aliya mula bertakung di tubir mata, bukan kerana dia sedih, tetapi terlalu gembira. Hatinya menjerit kegembiraan atas berita itu. ‘Syukur Allah masih memberiku peluang kedua.’

—————————————————————–

“Apa khabar Aliya?” Adif menegur saat tiba di lapangan terbang.

“Alhamdulillah,” Aliya menjawab dalam debaran yang menggetarkan jiwanya. Rasa rindu yang ditanggung selama ini akhirnya sembuh jua saat melihat wajah kesayangannya itu. Tak ada lagi dia tersilap memanggil Adif sebagai Ashraf Muslim sebab yang di depannya itu memang Adif Farhan. Dia dapat mengecamnya kali ini.

“Dah tak gagap jumpa Adif?”

Aliya ketawa mendengar usikan Adif itu.

“Tak gagap dah!”

“Maaf sebab pergi tanpa bertemu Aliya terlebih dulu hari tu, Adif kalut sebab mama suruh balik cepat-cepat.”

“Iyelah….” Aliya tersenyum melihat gelagat Adif yang kelihatan serba salah.

“Mama dah paksa Adif cepatkan tarikh pernikahan kita sebab mama nak Adif ada peneman di Malaysia ni, tapi kalau Aliya rasa belum bersedia, Adif boleh pujuk mama.”

Aliya cuma tersenyum tanpa membalas apa-apa.

————————————————–

“Temankan abang pergi majlis kahwin kawan kejap, boleh tak?” Suara dari corong telefon itu buat Aliya bungkam

“Abang?”

Aliya pandang skrin telefonnya. Betullah Adif Farhan, tapi kenapa sebut abang ni?

“Adif, awak salah telefon orang ke?”

“Betullah, saya telefon awak, Cik Aliya Athyrah binti Haji Arif Asyraf.”

Erk! Nama penuh pun dia ingat?

“Habis dah tahu call saya, kenapa ber‘abang’ habis ni? Bila masa awak jadi abang saya?”

“Ye lah. Abang awak. Abang sayang…”

“Ish mengada la.”

“Please temankan yer?”

“Hmmm… tanya mak dulu.”

“Dah tanya dah, mak izinkan.”

“Yelah.”

Aliya dan Adif duduk menghadap makanan yang disediakan, belum sampai lima minit mereka duduk, Adif cepat-cepat bangun.

“Nak pergi mana?”

“Adalah.. kejap!”

“Ada permintaan dari saudara Adif Farhan untuk menyanyikan sebuah lagu buat pasangan pengantin kita.”

Aliya tecengang. Matanya meliar melihat Adif sudah naik ke atas pentas persandingan di dalam dewan yang indah itu.

“Kasih dengarlah hatiku berbicara

Kasih izinkan diriku bertanya

Bisakah cinta bersemi

Mengundang restu Ilahi

Adakah bahagia yang diimpi

Menjadi satu realiti

Kasih kusedari kekurangan ini

Kasih kuinsafi kelemahan diri

Kuingin sunting dirimu

Menjadi permaisuri hatiku

Sebagai isteri yang berbudi

Kebanggaan para suami….”

Suara Adif beralun indah bergema di segenap dewan. Semua mata memandang ke arahnya, termasuklah Aliya yang terlopong mendengar suara merdu Adif. Mata Adif sesekali dihala ke arah Aliya sambil tersenyum.

Usai menyanyi, seluruh dewan bergemuruh dengan tepukan para pengunjung majlis itu. Adif menundukkan wajahnya seraya turun dari pentas.

Adif tersenyum saat duduk semula di sisi Aliya.

“Saya tujukan lagu tu khas untuk awak. Harap awak faham.”

Aliya berjeda seketika. Mengingati semula bait lagu Impian Kasih itu. tiba-tiba dia tergamam.

“Awak faham kan sekarang? Saya ikhlas Liya. Harap awak boleh pertimbangkan.”

Seketika kemudian Aliya tersenyum.

“Jangan tanya saya, tanyalah mak.”

“Mak dah bagi persetujuan pun kan?”

“Kalau macam tu, ikut mak lah.”

“Maknanya, awak setuju Liya?”

Aliya tersenyum penuh makna.

“Saya dapat lihat awak dari hati awak, sebagai Adif Farhan, bukan bayangan Ashraf Muslim lagi. Terima kasih sebab sabar dengan saya.”

Adif tersenyum gembira.

“Lagipun Ashraf Muslim bukan penyanyi, tapi awak boleh menyanyi dengan merdu sekali.” Aliya menyambung sambil tersenyum.

“Tapi awak kan mencari seorang Ashraf Muslim?”

“Sejak saya dapat Adif Farhan, saya dah tak perlukan seorang Ashraf Muslim lagi sebab Adif Farhan dah cukup sempurna untuk saya.”

“Terima kasih sayang….”

—————————————————————

“Boleh tak tolong abang?” Adif bersuara saat masuk ke bilik isterinya itu, Aliya.

“Tolong apa?” Aliya kehairanan memandang suami yang baru dinikahinya itu, dia mengambil tempat di sisi suaminya yang duduk di tepi katil.

“Tolong tukar gambar tu boleh? Rimas la abang…”

Aliya mengekori telunjuk Adif yang mengarah ke sisi katilnya. Bingkai gambar yang terpampang wajah Ashraf Muslim masih di situ. Tersenyum manis sekali.

“Ala biar jelah. Sama je pun muka. Bukan orang perasan pun.”

“Aliya!!”

Aliya ketawa mengekek. Seronok mengusik suaminya yang belum habis perasaan cemburunya pada Ashraf Muslim.

“Nanti abang bagi gambar, letak gambar abang. Jangan fikir pasal Ashraf Muslim lagi. Ok?”

“Yup, baik bos!”

Adif mencubit pipi isterinya itu, sebelum memeluknya erat.

“Abang cintakan Aliya.”

“Aliya pun sama…”

‘Pencarianku mencari seorang Ashraf Muslim sudah berakhir dan aku telah mendapat yang lebih baik dari itu, aku mendapat seorang Adif Farhan, insan yang terbaik buatku. Terima kasih Ya Allah.’ Aliya tersenyum bahagia.

p/s : Buntu nak letak konflik apa, jadi cerita ni kurang konflik sikit. Sekadar cerita santai. Hehe. AK bukan kipas-susah-mati Ashraf Muslim, tapi AK kagum pada perwatakannya yang sopan santun dan terjaga perlakuannya. Setiap orang mencari seorang Ashraf Muslim kan? Hehehe.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

72 ulasan untuk “Cerpen : Mencari Seorang Ashraf Muslim”
  1. K-POPPERSS says:

    Waaa!!!nama Asyraf Muslim je semua kakak dgn sepupu perempuan excited nak baca!ngeh..best kot!!!Asyraf Muslim terbaik!!

  2. Cerpenslover says:

    Bagus, tapi belum jumpa mak yang guna istilah ‘wei’. Tak mustahil?
    Satu kesalahan ejaan. Boleh diperbaiki.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"