Cerpen : Nostalgia Hari Terakhir Emak

5 December 2010  
Kategori: Cerpen

2,499 bacaan 16 ulasan

Oleh : Riza Saffiya

Emak…
Sungguh membosankan melalui hari-hari yang mendatang tanpa emak di sisi. Kini hampir sebelas bulan emak pergi meninggalkan aku. Namun bagai baru semalam aku merasakan pelukan hangat dari emak. Masih terbayang di mata ini, senyuman emak.

Namun Allah lebih menyayangi emak. Aku terkilan sangat bila tidak berpeluang bersama emak di saat emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Emak pergi sendirian. Tiada siapapun yang menemani emak ketika itu. Tiada siapa yang membantu emak mengucapkan kalimah syahadah. Menitis airmataku bila aku kenangkan semua itu, emak.

Masih segar lagi kenangan itu. Di kedinginan subuh, aku jatuh terduduk ketika menerima berita pemergian emak. Hilang segala kekuatan yang ada. Terasa bagai diragut dengan tiba-tiba seluruh semangatku. Aku hanya ingat untuk mencapai kunci keretaku. Tiada apa-apa yang lain yang kubawa bersama ketika pulang ke kampung ketika itu.

Aku memandu di dalam keadaan separuh sedar. Kedinginan subuh itu kurasakan begitu syahdu dan terlalu sayu. Terasa luar biasa kepulanganku dari kebiasaannya. Airmataku bergenang menutupi seluruh pandangan. Masa itu aku berserah saja. Jika ada apa-apa yang menimpaku di jalan raya, aku rela. Segala kenangan bersama emak berputar ligat di minda.

Emak…
Aku ingat lagi ketika arwah ayah pergi menemui Ilahi, mak sedang mengandungkan Busu. Sungguh cekal emak ketika itu. Sedikitpun emak tidak menangis. Tetapi emak tidak lepas-lepas dari memeluk aku dan adik-adik. Emak mahu aku, angah, alang dan acik duduk mengelilingi jenazah arwah ayah.

Ketika arwah ayah pergi, aku baru berumur sepuluh tahun. Emak pula baru berumur dua puluh sembilan tahun. Muda sangat mak masa itu. Aku ingat lagi jiran-jiran cemburu pada emak. Kawan-kawan emak sendiri sanggup menuduh emak mahu memikat suami mereka. Begitulah nasib apabila menjadi ibu tunggal, kan mak. Emak bertenang saja. Emak kata emak tak perlu rasa takut sebab emak di pihak yang benar. Tuduhan mereka, emak abaikan begitu saja. Lama kelamaan mereka pun diam akhirnya. Aku bangga dengan sikap emak yang matang dan tidak cepat melatah apabila berhadapan dengan apa jua permasalahan.

Semenjak ketiadaan arwah ayah, emak bertungkus lumus bekerja bagi membesarkan aku, angah, alang, acik dan busu. Emak menjadi pencuci pejabat di sebuah institusi kewangan di sebelah pagi. Petangnya pula emak mengambil upah sebagai pencuci di sebuah klinik swasta. Sebelah malam pula emak mengambil upah menjahit baju. Sehingga tengah malam, emak bersengkang mata menyudahkan jahitannya. Esoknya awal pagi emak sudah bangun kerana mahu menggoreng kuih dan memasak nasi lemak untuk dijual di kedai. Sungguh aku kagumi semangat kuat bekerja emak di dalam usaha membesarkan aku dan adik-adik.

Emak…
Aku hargai segala pengorbanan emak. Emak sanggup mengenepikan soal mencari pengganti arwah ayah. Seingat aku, ada dua tiga orang yang melamar emak, tetapi emak tolak baik-baik. Emak kata emak tidak bersedia. Namun benarlah, seseorang itu tidak akan dapat lari dari ketentuanNya. Hati emak akhirnya terbuka untuk pakcik Hashim.

Akulah yang paling memahami ketika emak mengajukan niat emak mahu berkahwin dengan pakcik Hashim. Aku, angah, alang, acik dan busu… semuanya merestui niat baik emak. Aku dan adik-adik gembiraa melihat emak bahagia. Sudah sampai masanya emak melepaskan tanggungjawab emak kerana anak-anak emak masa itu telah menginjak usia dewasa.

Panas yang diharap hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Anak-anak pakcik Hashim tidak dapat menerima emak menjadi pengganti tempat ibu mereka. Aku tidak risaukan semua itu kerana aku tahu emak memang bijak mengambil hati. Awal perkahwinan emak dengan pakcik Hashim memang dipenuhi dengan pelbagai dugaan. Emak terpaksa bertahan dengan kesabaran yang emak ada. Bermacam-macam sindiran dilemparkan oleh anak-anak pakcik Hashim kepada emak tetapi emak menelannya sebagai penawar. Emak tidak pernah membenci mereka biarpun emak tahu mereka tidak dapat menerima kehadiran emak di dalam rumah mereka.

Aku simpati dengan keadaan emak. Namun emak menyakinkan aku bahawa satu hari nanti anak-anak pakcik Hashim pasti akan menerimanya juga sebagai emak tiri mereka. Cuma segalanya memerlukan sedikit masa dan kesabaran untuk menanti perubahan yang diharapkan. Aku lega dengan pengakuan emak. Itu yang membuatkan aku tidak risau dengan emak. Emak memang positif di dalam segala perkara. Aku suka dengan cara emak begitu.
Kejahatan perlu ditolak dengan kelembutan. Begitu juga permusuhan. Seandainya kita membalas kekerasan yang dihulurkan dengan kelembutan, pasti yang keras tadi akan bertukar menjadi lembut. Mengalah pula bukan bererti kalah. Menang di dalam situasi yang menjelekkan juga tidak akan memberi erti apa-apa.

Emak…
Akhirnya aku selamat juga sampai. Mesti emak nampak aku menangis berhampiran jenazah emak. Mesti emak nampak aku peluk nenek. Mesti emak terasa aku memeluk kaki emak. Kuselak perlahan tudung nipis yang menutupi wajah emak. Kulihat wajah emak seperti sedang tersenyum. Kusentuh dahi emak. Sejuk! Aku mahu menciumnya namun kekuatanku tidak ada. Aku tidak mampu menahan airmataku dari jatuh terkena emak.

“Long, kalau sayang emak… jangan menangis macam ni.”

Benar saranan nenekku itu. Tetapi wahai nenekku, cucumu ini tidak berupaya. Kekuatanku sudah tiada. Semangatku sudah terbang entah ke mana. Seluruh badanku terasa ringan benar. Hanya jasad yang ada di sini. Rohku pula bagaikan terapung-apung di awangan.

Rupanya semua adik-adikku sudah sampai. Iyalah, mereka berhampiran, hanya aku yang berjauhan. Kelihatan angah, alang, acik dan busu sudah mengambil tempat mengelilingi emak sambil membaca yassin. Kulihat bengkak mata masing-masing kerana menangis pastinya. Bila hatiku mulai tenang, kucapai yassin dan kusertai adik-adikku yang lain. Saudara mara yang lain juga turut bersama membacakan yassin untuk arwah emak.

Pukul 11 pagi, jenazah emak dimandikan. Semua adik beradik perempuan emak memangku emak ketika emak dimandikan. Tentu mak rasa Angah gosok lembut seluruh kepala emak. Angah kata dia bahagia dapat cuci cuping telinga emak, hidung emak, kelopak mata emak. Hanya itu peluang terakhir Angah memandikan emak.

Selesai emak dikafankan, sudah tiba masanya untuk sembahyangkan emak pula. Aku yang imamkan solat jenazah emak hari itu tetapi bila nak baca doa, aku minta imam yang tolong bacakan sebab aku terasa sebak sangat.

Tepat 12 tengahari, jenazah emak dibawa keluar. Ketika itu Angah, satu-satunya anak perempuan tunggal emak sudah terkulai di pangkuan Mak Andak. Seluruh badan Angah terasa panas. Anak perempuan emak demam. Namun Angah gagahi jua. Ini bermakna semua anak-anak mak mengiringi emak ke tanah perkuburan.

Emak…
Saat aku menulis kisah ini, aku sedang menangis. Terasa benar kehilangan emak. Aku minta maaf kerana pernah memaksa emak ke hospital. Aku tahu emak tidak suka ke hospital tetapi emak pun tentu faham, kan. Aku paksa emak ke hospital sebab aku dan adik-adik sayangkan emak. Aku mahu emak sihat. Aku tidak mahu emak menanggung derita kerana kesakitan. Di hospital, ada doktor boleh rawat emak. Di hospital, ada ubat boleh kurangkan rasa sakit emak. Allah sendiri menyuruh hambaNya supaya berikhtiar dan selebihnya kita hanya perlu berdoa dan bertawakal. Ampunkan aku ya emak sebab paksa emak ke hospital.

Emak…
Walau apa pun, aku sentiasa bersyukur, emak telah selamat pergi. Perginya emak ke sana adalah untuk selamanya dan aku bersama adik-adik memang meredhainya. Aku sayang emak tetapi Allah lebih menyayangi emak. Aku terimanya sebagai ketentuan bahawa setiap yang hidup memang tidak dapat lari dari kematian.

Cuma satu saja emak. Aku dan adik-adik merasa kecewa apabila pakcik Hashim kini telah menjumpai pengganti emak. Di saat hatiku dan adik-adik masih meratapi pemergian emak, pakcik Hashim pula sudah berkira-kira untuk bernikah lagi. Ketika baru enam bulan usia pemergian emak, pakcik Hashim sudah menggenggam dan menggoncang tangan tok kadi. Luluhnya hatiku ini, emak.

Ampunkan aku ya, mak. Aku harap rasa tawarku pada pakcik Hashim akan luput dan kembali seperti sediakala. Aku mahu menjadi seperti emak yang sentiasa berfikiran positif. Aku mahu jauhi perasaan buruk sangka aku pada pakcik Hashim tetapi berilah aku masa, ya mak. Aku perlukan sedikit masa untuk memujuk hatiku yang hancur lebur ini. Aku tahu jodoh pertemuan adalah ketentuan Ilahi. Sudah takdir pakcik Hashim bertemu jodohnya di dalam masa yang terdekat ini. Apalah dayaku, mak…

Emak…
Baru semalam pakcik Hashim telefon bertanyakan tentang urusan pembahagian harta milik emak. Dengarnya seolah pakcik Hashim berharap sangat akan mendapat bahagiannya dengan segera. Aku tahu pakcik memang memerlukan sangat wang di saat ini. Yalah, pakcik Hashim bukannya ada mata pencarian tetap. Mana lagi sumber pendapatan yang dia mampu perolehi selain menjual hasil-hasil kebun miliknya.

Urusan pembahagian harta milik emak sedang aku uruskan. Bagi aku, bahagian yang akan kuperolehi nanti akan kusedekahkan bagi pihak emak ke masjid di tempat kediamanku. Kebetulan pula masjid itu mahu diubahsuai, maka aku mengambil peluang ini untuk mendermakan segala duit milik emak. Pastinya untuk emak kerana harta itu adalah kepunyaan emak. Selebihnya aku akan mengupah haji untuk emak. Emak tunggu ya…

Emak…
Pakaian dan pinggan mangkuk milik emak semua sudah kusedekahkan kepada tempat yang memerlukan. Hasilnya untuk emak juga. Tentang perabot yang aku belikan untuk mak, pendinginhawa yang emak minta pasang di bilik tidur dan pemanas air yang ada di bilik air… aku tidak tergamak hendak mengambilnya semula. Biarlah digunakan oleh pakcik Hashim bersama isteri barunya.

Ketika raya baru-baru ini, Angah ada terjumpa dengan pakcik Hashim. Angah yang paling tidak sanggup hendak melihat pakcik Hashim bersama isteri barunya tetapi Angah pula yang diberi peluang oleh Allah untuk berjumpa mereka. Sungguh Angah kata hatinya tersentuh ketika itu. Iya, lah mak. Biasanya kalau nampak pakcik Hashim, emak yang berada disebelahnya tetapi sekarang? Aku hanya mampu menyabarkan Angah saja, mak.

Emak…
Aku bukanlah hendak mengadu apa-apa, cuma aku tidak tahu di mana tempat yang paling sesuai untuk kuadukan semua ini. Akhirnya kertas ini yang menjadi mangsa. Ku coretkan ianya sebagai kenangan. Izinkan aku menyimpan semua ini, mak. Padaku emak tidak pernah pergi. Setiap saat, setiap ketika… jiwaku terasa seolah-olah emak masih ada. Kerana itu jualah apabila pakcik Hashim bernikah lagi, aku merasakan seolah-olah dia menduakan emak yang amat kusayangi ini.

Mak…
Cukuplah sampai di sini dulu. Esok kucoretkan sesuatu buat arwah ayah pula. Mula-mula aku tidak tahu ke mana hendak dihantar surat ini. Kufikir mahu menyimpannya sebagai kenangan sahaja. Tetapi aku teringat laman web ini. Tidak mengapa ya mak, aku kongsikan cerita ini dengan orang lain.

Akhir kata untuk mak, I love you so much dan jutaan terima kasih kerana melahirkan dan membesarkan aku ke dunia ini. Terima kasih kerana memberikanku seluruh kasih sayangmu dari kecil hingga aku masuk sekolah, hingga masuk universiti, hingga aku boleh merasa menaiki kapalterbang dan boleh merasa duduk di negara orang. Namun sampai ke akhir hayat emak, jasa emak masih tidak mampu kubalas.

Terima kasih, emak~

*** TAMAT ***




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

16 ulasan untuk “Cerpen : Nostalgia Hari Terakhir Emak”
  1. qaseh arissa says:

    sedihnya…
    kuar air mata saya baca..
    sedih…
    menusuk jiwa…

  2. zaq zakaria says:

    sangat menyentuh hati..
    cara penulissan cerpen yang jelas dan mudah difahami..
    taniah… zaq zakaria

  3. Kirana Fikriyah says:

    :cry: sedihnya…
    good job, riza safiyya…

  4. anne says:

    mengingatkan aku pada arwah ayah… i miss u dad.. Al-fatihah..

  5. sayawanitasoleha says:

    sedih nye…huhu…bersyukur lah kerana kita masih mempunyai mak..

  6. noraini says:

    pengalaman diri.kita serupa bezanya mak trsayang sy n=masih disisi.smoga Allah S.W.T sentiasa merahmati mereka yg telah kembali. amin.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"