Novel : Akukah Juwita 15, 16

10 December 2010  
Kategori: Novel

1,802 bacaan 10 ulasan

Oleh : SWEET BUTTERFLY

BAB 15

“CAKAPLAH dengan siapa kita nak jumpa ni.” Naja mendesak aku sejak tadi. Sebelum keluar rumah, sampai masuk dalam kereta, dari kereta bergerak hingga ke restoran mamak ni, tak henti-henti dia menyoal. Memang tak sabar betul dia ni! Aku menekup telinga dengan tapak tangan. Malas nak dengar dia asyik ulang pertanyaan yang sama. Dah aku kata wait and see, wait and see lah! Huh!

“Eh tengok tu! Mamat tu handsome kan? Kan best kalau bf aku macam tu. Ni tak, aku tengok bf aku makin boroilah. Cuba kau tengok tu, dahlah tinggi, kaki panjang, kalau jadi model ni sure meletup!” Beria-ia si Naja menarik lenganku rapat dengannya. Aku pulak sekadar tersengih dan memerhati. Bukan aku tak nampak lelaki yang Naja katakan itu, aku pun pandang saja lelaki itu sebaik keluar dari kereta hinggalah melangkah masuk ke dalam restoran ini. Aku melambaikan tangan pada lelaki itu bila dia terjengah-jengah. Tatkala lelaki itu menyedari aku dan tersenyum, Naja mencubit-cubit lenganku kesukaan. Hish, buruk betul perangai. Beruk kalau nampak perangai Naja, boleh menangis!

“Kau kenal dia ke? Dia ke orangnya? Nampak tak senyuman dia tu? Huh, anak sapalah ni. Hui, tak rugi aku ikut kau.” Aku menggeleng lemah, apa nak jadilah si Naja ni.

“Hi.” Sapa Rifki dan serentak itu Naja terus bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Tak payah aku nak perkenalkan Naja pada Rifki sebab kini Naja sudah memperkenalkan dirinya sendiri. Tujuan aku nak pertemukan mereka supaya selepas ini aku boleh minta pandangan Naja tentang Rifki. Bolehlah aku fikirkan pendapat Naja dan kemudian buat pilihan. Gaban atau si mamat Poyo.

“Patutlah awak nampak familiar, model rupanya.” Naja tersenyum manja dan aku rasa geli pula lihat dia begitu. Apa kena dengan perempuan ni. Tak sangka gatal jugak kau ni. Dah ada boyfriend pun masih merenyam lagi. Lainlah aku ni yang tak ada sapa-sapa. Yang masih single mingle. Habis, Gaban tu sapa ek? Ni yang buat aku pening.

Sudahnya pertemuan ini jadi tempat mereka bercerita dan bergurau senda pula dan aku macam orang asing saja. Hanya memerhati dan mendengarkan perbualan mereka dari satu topik ke satu topik yang lain. Terselit juga rasa kesal kerana memperkenalkan Naja pada Rifki. Mereka yang baru bertemu nampak macam dah kenal lama, mesra sekali. Si Rifki pun satu, dapat jumpa perempuan lebih cantik dari aku terus dah tak pandang aku. Aku ni dah macam tak wujud je. Waaaa, sedihnya aku!

“Eh, this weekend saya ada show kat Pavillion. Datanglah.” Pinta Naja. Siap meleret hujung ayatnya itu. Manjalah konon!

“Hmm, ok.” Cepatnya Rifki beri persetujuan? At least buatlah perkiraan dulu, bukannya bagi persetujuan macam tu saja. Huh, dasar lelaki! Kalau perempuan cantik pelawa, cepat je terima. Aku memandang bosan pada mereka berdua bila mereka semakin rancak berbual. Siap ketawa-ketawa lagi. Entah apa tah yang lucu sangat, setakat cerita mamak kedai pakai baju terbalik pun nak ketawa.
Telefon berdering, sekaligus membuatkan perbualan Naja dan Rifki terhenti. Serentak itu mereka memandangku dengan pandangan yang pelik. Eh, telefon bunyi tak kan nak marah? Cepat-cepat aku menjawab panggilan. Bukan takut mereka marah, tapi kak Anis yang menghubungi aku. Tentu ada perkara penting.

“Akak nak jumpa Minah.” Suara kak Anis berlainan dari biasa, macam orang tengah menangis. Tapi kenapa dia menangis ya? Hatiku mula resah.

“Boleh tapi kat mana?”

“Kat rumah akak, boleh tak?”

“Ok, jap lagi kita sampai.” Aku terus bingkas dan bersedia untuk pergi.

“Kenapa?” Naja terus menyoal. Oh ya! Aku lupa yang aku bersama Naja dan Rifki. Ketika aku pandang mereka berdua secara bergilir-gilir, masing-masing nampak resah. Jangan bimbanglah aku boleh balik sendiri, teksi berlambak. Korang nak berbual sampai esok pagi pun tak apa. Lagipun letih nak tengok korang berbual mesra, baik juga aku pergi jumpa kak Anis. Mungkin ada sesuatu yang berlaku dan memerlukan pertolongan aku.

“Ada hal nak kena buatlah, penting sangat. Korang sambunglah borak, hea?” Kataku dan terus saja berlalu. Tidak memperdulikan Naja dan Rifki yang tercengang memandang aku. Kebetulan ada pula satu teksi lalu di hadapan restoran dan aku terus saja menahannya.

*******

AKU tergamam seketika, hilang punca bicara. Apa yang kak Anis sampaikan sangat mengejutkan aku. Tatkala aku pandang wajah anak kecil kak Anis, Fiqa yang berusia 2 tahun itu, hatiku meruntun sayu. Aku pandang semula pada kak Anis yang masih menangis. Aku mengerti perasaannya, memahami kesakitan yang terpaksa dia lalui. Kasihannya kak Anis.

“Akak tak sangka akan lalui semua ini. Apa akak nak buat ni Minah?” Aku tak mampu berkata-kata. Pertanyaan kak Anis berat untuk aku balas. Aku sendiri tidak tahu bagaimana nak membantu kak Anis untuk melalui semua ini. Selama ini belum pernah aku lihat kak Anis selemah ini. Sebelum ini dia seorang wanita aktif dan tabah, namun masih terselit sifat kewanitaanya. Malah aku kagumi kak Anis, dia seorang yang tegas dan keperibadiannya sangat menarik. Biarpun dia bergerak pantas tapi kejelitaannya masih terserlah. Orangnya tinggi dan langsing, kalau pakai apapun nampak terletak saja. Kulitnya pula halus dan bersih, wajahnya cantik dan tiada sebarang cela. Segalanya bagaikan sempurna. Rambutnya yang lurus bagaikan direbonding itu nampak lembut sekali, lebih-lebih bila ditiup angin. Macam model iklan syampu. Jadi apa yang masih kurang, apa yang membuatkan abang Adif masih mencari yang lain. Selama ini aku lihat mereka nampak sangat bahagia, malah mereka boleh dikatakan pasangan yang ideal. Tapi kini apa sudah jadi?

“Tapi mungkin juga mereka ada kerja, kak.” Kataku untuk menenangkan perasaan kak Anis. Belum tentu juga abang Adif dan Nelly ada hubungan sulit. Namun kak Anis menggeleng beberapa kali, tanda tidak setuju.

“Minah, mereka tu ke sempadan Thailand. Mana kita ada client kat sana? Akak dapat rasa mereka ada hubungan, entah-entah menikahlah tu. Lepas menikah terus makan angin.” Aku sudah terdiam. Benar juga kata kak Anis. Tapi selama ini, aku lihat Abang Adif dan Nelly tak menunjukkan sebarang tanda yang mereka ada hubungan. Kemesraan mereka sama macam orang lain, tak pula mencurigakan. Kalau betul apa yang kak Anis kata, kiranya mereka ni pelakon terhebat. Orang tak kan perasan dan syak langsung. Ish, pening aku memikirkan hal ini. Yang abang Adif pun satu! Tak cukup ke dengan apa yang dia dah ada, kenapa mesti begitu mudah dalam melahirkan kasih sayangnya. Huh, lelaki memang begitu. Pantang ada kedudukan, rupa dan wang. Mulalah nak menggatal.
“Buat apa nak menangis, adalah kerjanya sampai ke sana. Entah-entah tengah survey material ke? Cepat sangat nak buruk sangka.” Tiba-tiba saja si Gaban bersuara. Bila masanya si Gaban ni pulang, boleh pulak aku tak sedar yang dia sudah melabuhkan punggungnya di atas sofa, tidak jauh dariku.

“Kalau urusan kerja, kenapa tak beritahu kak Anis? Kenapa senyap-senyap pergi berdua dengan Nelly? Lepas tu kak Anis call masing-masing tak nak jawab. Apahal?” Aku pulak yang naik angin. Boleh pulak si Gaban nak bela abang iparnya itu, kalau Gaban ni adik aku, memang aku terajangkan saja.

“Nilah orang perempuan, cemburu tak tentu pasal. Siasatlah dulu bukan terus menuduh. Karang kalau tuduhan tu Allah makbulkan, baru padan muka.” Selamba Gaban berkata. Betullah si Gaban ni, saja nak buat angin aku makin besar berpusar. Karang kalau aku bertukar jadi angin lintang, baru tau! Kali ini makin kuat Kak Anis menangis, siap meraung macam orang baru mati laki. Sampai Fiqa yang sedang leka bermain, terkejut dan terus meluru mendapatkan Gaban. Fiqa mula menangis, sedih aku melihatnya.

“Tengok, kau punya pasallah ni. Bukannya nak tolong tapi buat orang makin sedih adalah.” Marahku sambil melepaskan tamparan di lengan Gaban. Aku mendukung Fiqa dan terus bawa lari dari Gaban. Aku memujuk anak kecil itu dengan membawanya masuk ke bilik tidur. Di dalam bilik itu, aku memujuk Fiqa dengan menidurkannya. Aku menepuk-nepuk Fiqa dengan perlahan hingga berhenti menangis. Fiqa memandangku sambil meraba-raba seluruh wajahku. Kemudian aku mencium pipinya yang montel dan gebu itu. Fiqa tersenyum, comelnya. Terbit rasa senang di hati dengan tingkah Fiqa itu. Aku senyum sendiri dan Fiqa memeluk tubuhku. Aku membalas pelukan Fiqa dengan erat, kemudian membelai rambutnya yang hitam berkilat hingga dia tertidur. Bahagianya aku melihat anak kecil itu dalam pelukanku, lebih seronok agaknya kalau ada anak sendiri. Boleh bermanja dan mencurahkan kasih sayang begini. Mak, abah, kita nak kahwin. Nak ada anak!

“Aku nak cakap dengan kau.” Tiba-tiba suara Gaban bergema. Aku terkejut dan serentak itu aku terus bingkas dari pembaringan, mujur juga Fiqa sudah terlena. Bila masa dia ni masuk ke dalam bilik tidur Fiqa ni. Tengok tu, siap tutup pintu lagi.

“Kita cakap kat luarlah.” Aku bersuara sambil melangkah, mahu meninggalkan bilik ini. Tatkala aku hendak memulas tombol pintu, Gaban menahan aku. Tangan aku dipegang dengan kejap dan aku terkebil-kebil tidak mengerti.

“Kita cakap di sini saja, aku tak nak kak Anis dengar perbualan kita.” Kata Gaban tenang dan perlahan. Tangan aku yang masih dipegangnya, ditarik perlahan menuju ke birai katil. Gaban terus duduk dan serentak itu debaran di dadaku makin hebat. Apa dia nak buat ni? Takut aku dibuatnya. Ketika Gaban menarik aku untuk duduk bersamanya, aku hanya mengeraskan diri dengan hanya berdiri di hadapannya. Tidak mahu berganjak walau seinci.

“Duduklah.” Pinta Gaban dengan lembut. Macam ada kuasa saja permintaan Gaban itu kerana tanpa berfikir panjang aku terus saja melabuhkan punggung. Tiba-tiba Gaban terus tergelak, buat aku terpinga-pinga tak mengerti.

“Asal kau gelak, tadi suruh aku duduk. Dah duduk nak gelak pulak!” Sergahku bila lihat Gaban begitu. Aku dah seram sejuk ni, boleh pulak dia nak gelak macam tu. Bengong ler dia ni!
“Yang kau duduk kat bawah tu kenapa?” Aku mencebik. Yalah, tak kan aku nak duduk sama kat birai katil tu dengan dia? Tentu-tentu saja aku nak cari bala! Walaupun tadi aku niat nak ada anak sendiri tapi tak nak dengan cara begini. Lagipun salah ke aku duduk di atas lantai. Sopan apa, siap bersimpuh lagi tau!

“Kau takut, eh?” Tanya Gaban. Aku hanya mendiamkan diri. Mau tak takut! Apa-apa boleh terjadi. Maklumlah syaitan kan tak pernah putus asa dalam menyesatkan manusia.
“Tadi kata nak cakap, cepatlah cakap!” Gesaku bila Gaban hanya memerhatikan aku yang dah mula rimas dalam bilik yang dingin ini.

“Kau tak payah nak layan sangat gelagat kat kak Anis tu.” Aku terus memandang wajah Gaban yang nampak bersahaja. Aku tak faham kenapa Gaban boleh berkata demikian.
“Dia memang selalu macam tu, tak payahlah kau nak susah hati.”

“Kenapa kau cakap macam tu?” Soalku. Gaban melepaskan keluhan panjang. Sebentar kemudian dia merenung kembali padaku.

“Ini bukan kali pertamalah dia macam ni.” Balas Gaban malas. Macam tak mahu bercerita lebih lanjut tentang apa sebenarnya yang terjadi.

“Maksudnya?” Aku masih belum mengalah. Masih ingin mengetahui hal yang sebenar.

“Dia selalu syak yang abang Adif ada affair, padahal abang Adif bukan macam tu pun orangnya.”

“Cemburu buta?”

“Bukan cemburu tapi dia tu paranoid.”

“Paranoid?” Aku mengulangi, tidak faham maksud sebenar Gaban.

“Kak Anis tu mempunyai kecenderungan mengesyaki dan tidak mempercayai orang lain. Jadi, janganlah percaya sangat dengan apa yang kak Anis katakan. Itu cuma perasaan dan ilusi dia saja.” Aku melopong seketika mendengar ayat Gaban itu. Macam tu pulak? Jadi kerana itu tadi Gaban tidak melayan kerenah kak Anis dan aku pula fikir yang dia sengaja nak membela abang Adif.

“Kalau dah tahu kak Anis begitu, kenapa abang Adif tak beritahu awal-awal atau terangkan pada kak Anis jika dia ada kerja luar dengan orang lain. Jadi tak adalah kak Anis fikir yang bukan-bukan atau paranoid.” Kataku. Gaban memandangku seketika sebelum tersenyum. Nampak manis walaupun sedikit.

“Mungkin sekali dua bolehlah dia buat begitu. Mereka dah lama bersama, sepatutnya sudah faham dan mengerti akan tanggungjawab masing-masing.”

“Bukan susah sangat, beritahu saja sebelum nak pergi atau buat apa-apa.”

“Bukan semua perkara perlu diberitahu satu persatu. Lagipun kak Anis sendiri bekerja dalam bidang sama, dia sendiri sudah faham macam mana kesibukan orang macam abang Adif tu bekerja. Dia bekerja bukan makan gaji tapi dia orang yang membayar gaji, jadi usaha dan masa bekerjanya bukan macam kita.” Aku diam seketika. Kali ini aku kematian buah fikiran. Benar juga kata Gaban. Abang Adif terlalu sibuk, mungkin dia lupa atau tidak berkesempatan untuk maklumkan kak Anis segala tindakannya.

“Lagipun, fitrah seorang lelaki dan perempuan Allah ciptakan berbeza-beza. Pemikiran juga tak sama. Bukan semua kekurangan dan kehendak seorang perempuan itu dapat dipenuhi oleh lelaki, begitu juga dengan sebaliknya.” Sambung Gaban. Aku hanya pandang wajah Gaban yang kelihatan tenang. Gaban hanya membalas pandanganku seketika kerana selepas itu dia sudah mengalihkan perhatiannya pada Fiqa yang tiba-tiba menangis. Didakapnya tubuh anak kecil itu dengan mesra sambil memujuk lembut. Inilah kali pertama aku lihat Gaban dari sudut yang lain. Aku ingat dia tu cuma tau menyakat dan sakitkan hati orang saja. Rupanya Gaban juga seorang yang penyayang dan pandai memujuk.

“Bilalah Pak Su nak timang anak sendiri, asyik-asyik timang anak sedara aje.” Aku tersentak bila Gaban kata begitu sambil melirik padaku. Aku segera menjeling kemudian mengomel sendiri. Siapa suruh timang? Pastu nak jeling aku pulak, nak perli akulah tu!

“Mak Su tu lambat sangatlah nak bagi jawapan.”

“Eh, suka hati je tukar gelaran orang.” Sahutku geram. Gaban senyum kemudian dengan mengadanya mendekatkan dirinya padaku.

“Maknanya kau sukalah aku panggil nama manja kau?” Aku mengerutkan dahi. Sejak bila pula aku ada manja dengan Gaban? Jangan kata nak bermanja, selalu gaduh adalah!

“Timun.” Beritahu Gaban dengan lembut. Serentak itu aku memukul lengan Gaban. Geram betul dengan dia ni! Suka sakat aku dengan nama tu.

“Fiqa jom kita lari, Timun dah mula menyerang!” Jerit Gaban sambil melarikan diri bersama anak saudaranya itu. Akhirnya aku tersenyum sendiri. Tak jadi nak marah bila terdengar tawa Fiqa berderai, kesukaan benar anak kecil itu.

*******

KETIKA aku menjenguk kak Anis di dapur, dia sudah nampak seperti biasa kerana reaksinya kali ini nampak lebih tenang berbanding tadi. Bilaa kak Anis menyedari kedatanganku, dia melemparkan senyuman.

“Akak nak buat apa tu?” Soalku bila lihat kak Anis sudah pun menyediakan bahan masakan.

“Akak ingat ikan pari ni nak masak asam pedas, campur sekali dengan bendi ni. Sedap, kan?” Aku mengangguk perlahan. Kali ini aku mula tidak mengenali kak Anis. Apa sebenarnya yang kak Anis alami. Emosinya tidak stabil, tentu kehidupannya tidak begitu mengembirakan. Kenapa agaknya kak Anis boleh ada kecenderungan mengesyaki dan tidak mempercayai orang lain. Tentu sebelum ini ada sesuatu yang terjadi pada kak Anis sehingga dia jadi begitu.

“Mana Aqil dan Fiqa?”

“Dia orang kat laman.” Kak Anis mengangguk perlahan kemudian meneruskan kerjanya. Kak Anis bila di dapur pantas orangnya sehingga aku hanya jadi pemerhati. Tak tahu nak menolong apa bila semua benda dibuatnya sendiri tanpa perlu bantuan.

“Akak harap Minah tak kisah dengan apa yang terjadi tadi.” Suara kak Anis lembut dan gemersik itu mengejutkan aku.

“Akak rasa aku tak sepatutnya menyusahkan Minah, kan?”

“Kenapa akak cakap macam tu? Kita tak kisah pun kalau akak nak berkongsi apa saja dengan kita. Akak boleh cakap apa saja, kita sedia mendengarnya dan kalau kita boleh tolong, insyaAllah kita tolong kak.” Kataku dengan ikhlas. Tak terbit pun dalam hati yang kak Anis menyusahkan aku, malah aku senang dan terharu andai kak Anis sudi berkongsi masalahnya denganku. Lagipun kak Anis bukan orang asing denganku, aku sudah anggap dia macam kakakku sendiri. Yalah, kalau dulu abang Rosman cepat sikit meluahkan perasaannya pada kak Anis, tentu sekarang kak Anis sudah jadi kakak iparku. Ah, abang Rosman memang lembab sikit dalam bab cintan cintun ni. Sudahnya sampai sekarang belum ada siapa-siapa. Mak nak carikan, abang tak mau. Kata belum mahu berumahtangga, masih mahu membantu keluarga. Entah-entah frust menonggeng sebab kak Anis dah disambar orang. Hai, entahlah. Aku sendiri pun dah terjangkit penyakit abang Rosman. Liat sangat nak serahkan hati pada seseorang. Sedangkan di depan aku ada dua orang lelaki yang sedang menanti aku.

“Pergilah panggil dia orang, kita makan sekarang.” Ujar kak Anis dan aku hanya menurut. Ketika aku ke laman rumah, Gaban sedang memangku Fiqa sambil mendengarkan bicara anak kecil itu. Perlahan-lahan aku mendekati sambil mendengarkan perbualan mereka.

“Nak aiskrim.” Kata Fiqa dengan pelat.

“Kalau nak aiskrim, kena sayang Pak Su dulu.” Sejurus itu Fiqa terus mencium pipi Gaban.

“Lagi sebelah?” Kata Gaban sambil menunjukkan pipi kirinya pula. Sekali lagi Fiqa melepaskan lagi ciuman seperti yang diminta Gaban. Gaban senyum sambil memandang aku yang sudah tiba di hadapannya.

“Fiqa, kalau Mak Su tak cium Pak Su, Fiqa tak boleh makan aiskrim tau.” Bulat mataku sebaik Gaban kata begitu dengan Fiqa. Fiqa segera menoleh padaku. Samdol kau Gaban! Suka sangat nak kenakan aku. Fiqa segera menarik tanganku sambil merengek agar aku menuruti arahan Gaban. Gaban tersenyum gatal. Huh!

“Tak apa, Pak Su tak nak beli biar Mak Su yang belikan. Jom, kita makan tengahari dulu nanti lepas ni Mak Su belikan, hea.” Pujukku sambil mengajak anak kecil itu pergi. Fiqa tersengih sambil mengikut aku. Aku menjelirkan lidah pada Gaban. Eh, ingat aku nak ikut kata kau tu? Mimpilah!

“Eh, mana aci macam ni. Fiqa belot!” Aku sekadar tersenyum. Gaban segera bingkas dan melangkah bersama aku.

“Kau terima pinangan aku, kan?” Kata Gaban perlahan. Langkah terhenti dan aku segera menoleh padanya.

“Bila masa aku cakap?” Tanyaku. Sebetulnya aku memang belum lagi memberikan sebarang jawapan.

“Baru tadi kau bahasakan diri dengan Mak Su. Tu tandanya kau setujulah jadi Mak Su pada Fiqa.” Aku terdiam seketika. Betul ke aku membahasakan diri aku, Mak Su? Ish, gatalnya mulut aku! Tapi tak kan kerana itu Gaban sudah andaikan yang aku terima pinangannya.

“Aku cuma bergurau dengan Fiqa, kau jangan perasan, ya?” Balasku sambil melangkah. Aku dengar Gaban ketawa kecil. Sukalah tu yang aku sudah tersalah sebut.

Selesai makan tengahari, Fiqa terus meminta aku membelikannya aiskrim. Nampaknya anak kecil itu tidak lupa dengan apa yang aku telah janjikan padanya.

“Jom Mak Su, kita pergi makan aiskrim.” Kata Gaban sambil mengendong Fiqa. Tatkala aku pandang pada kak Anis, dia hanya mengangguk. Mengizinkan aku untuk turut serta.

“Kak Anis tu betul-betul dah ok ke?” Soalku sambil memandang pada Gaban yang sedang memandu. Gaban tak segera menjawab sebaliknya sempat dia menoleh padaku seketika.

“Dia memang macam tu. Emosinya boleh berubah-ubah sekelip mata. Kalau tadi dia boleh menangis macam nak kiamat dunia, kejap lagi dia boleh jadi setenang-tenang manusia.” Aku mengangguk setuju. Tadi masa aku datang, bukan main kak Anis menangis tapi lepas beberapa jam, dia boleh memasak pula. Macam tak ada apa-apa berlaku malah semasa makan tengahari tadi dia kelihatan biasa dan tenang saja.

“Tak kan tak ada jalan nak selesaikan masalah dia?”

“Mungkin ada tapi kena jumpa pakarlah.”

“Dah tu, kenapa tak bawak dia jumpa pakar?”

“Ok, kejap lagi kita beli ubat tidur. Balik kita bagi dia makan, lepas dia pengsan kita angkut dia pergi jumpa pakar, boleh?” Cadang Gaban sambil mengerling padaku sekilas. Aku tarik muka. Tahu yang Gaban menyindirku.

“Kau ingat benda macam ni boleh main paksa-paksa? Kak Anis tu patut berubah kerana kehendaknya sendiri, bukan paksaan. Kalau kita paksa, dia akan memberontak dan keadaan akan jadi lebih teruk.” Terang Gaban. Aku menggigit bibir. Kesiannya kak Anis. Kenapa keadaannya jadi begini.

“Dia tu mengalami tekanan perasaan, ke?”

“Entah.”

“Kenapa dia jadi macam tu? Mesti ada sesuatu yang berlaku pada dia, sehingga dia jadi begitu, kan?” Dugaku terus sambil mengharap yang Gaban akan berkongsi cerita denganku. Gaban diam seketika, mungkin berkira-kira untuk terus bercerita denganku.

“Jom, kita dah sampai.” Kata Gaban. Aku jadi kecewa kerana Gaban masih lagi enggan bercerita lebih lanjut tentang kak Anis. Fiqa bersorak riang dan aku hanya tersenyum melihatnya begitu. Seronoknya jadi anak kecil, tidak memahami kesulitan dan hanya gembira bila apa yang dihajati tercapai.

“Nak?” Soal Gaban. Aku sekadar menuding pada aiskrim yang Fiqa dapat, mahu sama sepertinya. Fiqa pula sudah leka dengan aiskrim coklatnya.

“Comelnya anak abang.” Ujar perempuan yang ada di kauntar aiskrim.

“Macam mama dia juga, kan?” Balas Gaban sambil menoleh padaku. Perempuan di kaunter aiskrim itu turut memandang aku. Eh, aku bukan mama Fiqa! Aku masih anak dara lagilah. Aku sempat menjeling pada Gaban. Memandai je tukar status aku. Sejurus membayar, Gaban tersengih panjang sambil mendekati aku yang sedang melayan Fiqa.

“Besarnya?” Soalku terkejut apabila mendapati aiskrim yang Gaban bawa dalam saiz yang besar. Mau kembung kalau aku sorang nak habiskan aiskrim tu.

“Kita kongsilah.” Selamba Gaban bersuara. Satu sudu kecil diberikan padaku dan satu lagi yang ada padanya itu sudah disauknya coklat aiskrim lalu disuap ke dalam mulutnya dengan selamba.

“Langkah pertama, berkongsi aiskrim, esok-esok berkongsi kasih pulak.” Kata Gaban perlahan. Macam nak terkeluar aiskrim yang baru saja aku suap ke dalam mulut. Tatkala aku memandang Gaban, Gaban tersenyum selamba.

“Entah apa-apa je.” Kataku sambil merampas mangkuk aiskrim dari tangannya. Aku mengadap seorang aiskrim tanpa memberikan sedikit pun padanya.

“Kedekutnya.” Kata Gaban padaku. Aku hanya menjeling dan buat tak tahu. Ketika Gaban mahu menyudu sedikit aiskrim Fiqa, dia turut menjauhkan mangkuk aiskrimnya dari Gaban. Aku tersenyum sendiri. Padan muka!

“Anak sedara pun sama! Kedekut!” Keluh Gaban sambil menggigit hujung sudu. Lama juga kami menghabiskan masa di Baskin Robbin. Selain melayan Fiqa, Gaban dan aku hanya berbual kosong. Cuma ada ketikanya aku jadi tersentuh bila Gaban menunjukkan kemesraannya. Aku dapat rasakan yang dia seorang lelaki yang penyayang. Lihat sajalah ketika cara dia melayani Fiqa, sabar dan mesra. Sampai terbit rasa cemburu di hatiku. Entahlah, hari ini aku rasa Gaban berlainan dari biasa.

*******

“MANA kau pergi? Satu hari menghilang?” Soal Naja sebaik aku pulang.

“Adalah.” Jawabku pendek sambil merebahkan tubuh ke atas sofa.

“Tapi bagus jugak kau tinggalkan kita orang, dapat aku luangkan masa dengan Rifki. Eh, aku tak sangkalah rupanya Rifki yang selalu kau kutuk tu handsome. Patutlah kau macam berat je nak kenalkan pada aku.” Pulak? Balik-balik je terus buka cerita pasal si Poyo tu.

“Orangnya baik, suka bergurau, charming, pendek kata, dia tu memang lelaki idaman. Berbeza benar dengan apa yang kau ceritakan pada aku. Seronok dapat kenal dia!” Aku mengerling pada Naja yang tersenyum panjang.

“Kau tak ada perasaan pada dia, kan? Lagipun kau pernah kata yang kau tak suka lelaki macam dia. Dia bukan lelaki yang kau idam-idamkan, kan?” Aku hanya mampu membisu. Rasa terjerat dengan ayat yang pernah aku lontarkan pada Naja dulu. Tapi itu tak bermakna, yang aku langsung tak ada perasaan pada Rifki. Ah, Naja ni. Dia dah mabuk dengan Rifki ke? Habis tu boyfriend dia, apa cerita?
“Kalau aku berkawan dengan Rifki, kau tak kisah kan?”

“Eh, kawan je kan? Apa salahnya?”

“Mula-mula mestilah berkawan dulu, ya tak?” Sahut Naja sambil tersengih. Aku menelan air liur. Apa dah jadi kawan aku ni? Tak kan cepat sangat dia begitu sukakan Rifki. Ah, payah macam ni. Aku mengeluarkan telefon bimbit dan merenung agak lama. Memeriksa andai ada pesanan atau panggilan yang diterima tak dijawab. Namun aku jadi hampa kerana tiada ada apa-apa untukku hari ini. Kenapa Rifki langsung tidak menghubungi aku. Agaknya dia memang seronok bersama Naja. Mungkin hari ini mereka menghabiskan masa bersama tanpa sempat memikirkan tentang aku. Aku menggigit hujung bibir. Ada rasa kesal tapi aku tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana dalam masa yang sama aku juga menghabiskan masa hari ini dengan orang lain. Lagipun aku ni siapa, nak halang Naja atau Rifki. Aku mengeluh perlahan, tak tahu kenapa hatiku tiba-tiba jadi hiba. Bila aku pandang wajah Naja yang ceria, aku jadi begitu hampa dan sedih. Kenapa dengan aku ni?

BAB 16

HARI ini Gaban macam orang meroyan. Pagi tadi selepas Gaban keluar dari pejabat kak Anis, mukanya serius benar. Kemudian selepas itu dia melambakkan bermacam kerja padaku. Yang aku hairan, sejak bila aku jadi setiausahanya? Kenapa tiba-tiba aku disuruh buat perkara yang aku tidak buat sebelum ini. Tapi Gaban memang bijak, belum pun aku bertanya dia lebih dulu memberikan sebab.

“Semua orang sibuk, kau kena tolong aku buat semua ni. Kalau sampai terpaksa bermalam kat sini, kau kena buat. Yang penting, aku nak esok pagi semua siap!” Kata Gaban dengan tegas sampai aku takut nak menjawab. Nak tak nak terpaksa aku turutkan saja. Dalam rasa sedih kerana sikap Gaban yang dingin padaku hari ini, aku jadi lega bila lelaki itu turut sama sibuk di pejabat. Jadi aku tak keseorangan selepas waktu pejabat. Taklah aku takut sorang-sorang buat kerja. Jam 8 malam, Gaban meletakkan duit atas meja dan minta aku memesan piza Domino. Kebulurlah tu, satu hari tak makan. Ah, samalah macam aku.

“Tak nak makan ke?” Soalku setelah siap menghidangkan piza di ruang meja diskusi hujung sudut biliknya. Gaban memandang seketika kemudian berhenti dari melakukan kerja-kerjanya. Dengan perlahan Gaban bergerak menuju ke arahku yang sedang setia menunggunya. Akhirnya kami makan dalam suasana yang sepi, macam dalam bilik mayat rasanya. Sebutir perkataan tak terkeluar pun dari mulut Gaban atau pun aku. Pendek kata kami makan penuh tertib, ikut sunnah Nabi. Makan tak bercakap langsung. Tapi aku sedar yang Gaban asyik memandangku. Tengok tu, sibuk memerhatikan aku sampai nak berkemas pun tak senang dibuatnya. Jangan risau, aku bersihkan semua sekali sampai meja pun jadi licin berkilat!

“Kau nak balik ke?” Tiba-tiba Gaban menyoal sebaik aku ingin keluar dari biliknya. Aku diam seketika sambil mengerling jam dinding. Baru pukul 9, tadi kata kalau kerja tak siap nak suruh aku bermalam kat sini?

“Kau tentu tak sabar nak pergi parti Puan Ros, kan?” Aku tercengang seketika bila Gaban bertanya begitu.

“Parti Gazebo anak kesayangan dia tu?” Ujar Gaban seolah mengingatkan aku. Aku segera menutup mulut yang ternganga lebar. Macam mana aku boleh lupa? Dah dua kali Puan Ros telefon ingatkan aku siang tadi agar datang malam ini sempena merasmikan gazebo yang telah siap dibina. Macam mana sekarang ni? Aku hanya pandang wajah Gaban dengan pandangan yang kosong sebab aku dah tak boleh berfikir apa-apa lagi. Gaban bingkas dan mendekati aku.

“Aku hantar kau.” Gaban sudah pun mendahului aku. Aku yang masih terpinga cepat-cepat berkemas ala kadar sebelum mengekori Gaban.

*******

“ASAL tak habiskan aje perfume tu?” Soal Gaban selamba. Aku diam sambil masukkan semula botol perfume ke dalam beg tangan. Sembur perfume pun salah! Kalau habis satu botol pun, bukan kau punya. Aku tarik muka dan berdoa agar cepat sampai. Tak mahu terhegeh-hegeh muncul bila dah habis majlis. Namun jangkaanku meleset, walaupun kami tiba lewat tetamu masih ramai. Malah laman yang selama ini kosong, kini makin berseri dengan limpahan cahaya serta landskap yang direka Gaban. Malah dari jauh gazebo nampak menyerlah sangat. Aku terpegun seketika melihat perubahan laman hasil sentuhan Gaban itu.

“Hey, kenapa kau orang lambat sampai ni?” Soal kak Anis yang tiba-tiba muncul.

“Siapkan kerja, tolong Aqil sediakan sebut harga material sebab dia nak siapkan kertas kerja.”

“Untuk projek kolej tu?” Aku angguk dan kak Anis terus pandang Gaban dengan tajam. Gaban nampak serba salah.

“Kenapa?” Soalku bila dua beradik itu nampak mencurigakan. Kak Anis pandang aku semula dan tersenyum manis.

“Kertas kerja tu akak nak next week.”

“Bukan esok pagi?” Kak Anis menggeleng. Aku segera pandang Gaban yang kelihatan selamba. Apa masalah dia ni? Dia sengaja nak kenakan aku lagi! Tanpa sebarang kata aku terus tinggalkan dua beradik itu. Huh! Geramnya aku. Gaban sengaja menguji aku. Sengaja buat aku lewat datang ke majlis ini. Sengaja buat aku tak mandi, berdandan dan tukar baju yang lebih cantik untuk ke sini. Gaban sengaja dengki pada aku!

“Datang majlis orang macam nak pergi perang.” Langkah yang aku hayun terhenti. Ketika aku menoleh, Rifki berdiri santai memandangku. Lainnya Rifki malam ini, lihatlah dia yang segak dan menawan. Mengenakan kemeja lengan panjang dan seluar berwarna putih. Rifki buat aku terpegun seketika. Speechless. Rifki mengangkat kening, seolah pelik melihat reaksi aku. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan. Segan bila Rifki menyedari tingkah aku. Bila aku lihat diriku sendiri, jadi malu yang teramat sangat. Apa tidaknya, aku hanya berpakaian pejabat dan tak mandi lagi pula tu. Rasa macam tak sesuai berada dalam majlis sebegini. Macam menyesal pula datang ke sini sedangkan orang yang hadir malam ini semua cantik-cantik belaka.

“Kenapa lambat?” Tanya Rifki serius.

“Ada kerja nak kena siapkan, ni pun tak sempat nak balik rumah terus ke sini.” Rifki sekadar senyum mendengar jawapanku. Entah dia percaya atau tidak. Yang nyata Rifki seakan sangsi dengan jawapanku itu. Alah Rifki, jangan buat aku macam ni. Aku dah penat seharian melayan kerenah Gaban dan sekarang kalau kau buat hal, boleh pengsan aku dibuatnya.

“Hi!” Aku menoleh dan terkejut melihat Naja tersengih lebar.

“Ingatkan kau tak datang.” Ujar Naja dan aku hanya mampu tersenyum pahit. Tiba-tiba lemah semangat aku bila lihat kehadiran Naja di sini. Rupanya Rifki mengundang Naja juga.

“Kau datang dengan siapa? Aqil, eh? Aku nampak dia tadi kat sana tengah berbual dengan mummy Rifki.” Mesra sekali Naja berbicara. Aku pula hanya mengangguk lemah, sudah tak mampu nak berbicara. Serentak itu aku memandang pada Rifki yang nampak selamba. Kenapa sejak Rifki dan Naja bertemu, aku rasakan yang Rifki tidak seperti dulu. Lelaki itu sudah berubah, tidak mesra dan tiada lagi gurauan darinya. Aku mula rasa jauh dengan lelaki itu. Mula rasa yang aku bagai tidak diperlukan lagi. Lihat tu, kini Rifki begitu mesra melayan Naja pula. Sudahlah malam ini Naja cantik sekali, maklumlah model. Pandai menggayakan pakaian yang ringkas jadi menarik dan buat dirinya terserlah malam itu. Tak hairan kalau Rifki terpesona padanya sedangkan aku hanya memakai pakaian biasa, malah nak bandingkan aku dengan Naja memang jauh sekali. Umpama Dayang Senandung dengan Erra Fazira!

“Sorry, aku nak ke tandas.” Aku mencari helah untuk melarikan diri. Tiba-tiba aku rasa benar-benar hiba. Aku macam dah kehilangan sesuatu. Sekarang aku tak tahu, apa tujuan aku ke mari dan mengapa perlu aku ada di sini untuk lebih lama lagi. Dalam meredah orang yang ramai di situ, akhirnya aku nampak kelibat Gaban yang kini sedang keseorangan menikmati segelas minuman. Aku segera menarik tangan Gaban dan tak hirau lagi reaksi dia ketika itu. Tentu saja dia terkejut, sampai tak terkata apa bila aku pakai tarik saja lengannya.

“Aku nak balik sekarang jugak.” Bentakku bila tiba di tempat parkir kereta.

“Mana kereta? Cepatlah, aku nak balik sekarang.” Gesaku sambil melilau mencari kereta Gaban. Aku terdengar lelaki itu mengeluh namun tak mahu memandang wajahnya kerana aku sedang berusaha menahan airmata dari gugur. Lelaki itu terus melangkah menuju ke kereta. Sebaik pintu dibuka aku segera masuk ke dalam perut kereta dan memaksa agar cepat beredar dari situ. Bila kereta meluncur laju, meninggalkan banglo yang kini sudah berseri, air mata terus merembes laju. Tak berdaya aku nak menahannya lagi. Tak tahu kenapa aku begitu bodoh menangis untuk sesuatu yang aku sendiri tak pasti. Makin aku cuba menahannya, makin laju airmata mengalir keluar. Maklumlah, banglo itu sekarang bukan saja berseri kerana sudah ada gazebo, tetapi sudah ada Naja juga.

“Cik adik, boleh berhenti menangis sekejap tak? Awak suruh saya pandu kereta, awak tu nak ke mana?” Itu bukan suara Gaban! Aku terus menoleh dan terkejut melihat seorang lelaki yang aku tak kenali.

“Awak ni siapa?”

“Saya yang patut soalan tu. So, awak ni siapa? Suka-suka tarik orang, lepas tu paksa saya bawak kereta tanpa hala tuju. Awak ingat, saya ni siapa? Pemandu awak?” Lelaki itu bersuara dengan sinis. Aik? Tak kan aku tersilap orang? Rasanya tadi aku tarik Gaban, macam mana boleh bertukar jadi lelaki tampan ni pulak?

“Kita silap orang ke?” Aku menyoal dengan perlahan, rasa malu dan bersalah.

“Lain kali, tengok betul-betul. Kalau rabun, pakai cermin mata!” Aku diam bila lelaki itu meninggikan suaranya. Serta merta airmata mulai kering, tak lagi mengalir deras seperti tadi. Mungkin sebab terkejut agaknya.

“Mana rumah?”

“Rumah siapa?” Soalku terkejut.

“Rumah Perdana Menteri. Rumah siapa lagi, rumah awaklah tak kan rumah saya pulak!”

“Kita tak nak balik.” Aku tak sanggup nak berdepan dengan Naja nanti. Kalau boleh biarlah malam ini aku tidak perlu pulang dulu. Mahu meredakan perasaan yang berkecamuk.

“Dah tu, nak tidur tepi jalan?” Kasarnya lelaki itu bertanya. Dahlah malam ni, malam yang malang buat aku. Tak ada sesiapa lagi ke yang sudi mengambil berat padaku.

“Tak tahu…” Balasku perlahan. Lelaki itu mengeluh dan aku hanya melirik pada lelaki itu. Macam mana aku boleh tersalah tarik orang? Handsome pulak tu, pandai betul aku pilih! Lelaki itu terus memandu dengan serius, tiada lagi sebutir perkataan yang terkeluar dari mulutnya.

“Nak tidur dalam kereta ke?” Aku memandang sahaja wajah lelaki itu. Lelaki itu benar-benar menakutkan aku. Dia kelihatan selamba, tapi aku sudah tak keruan. Aku lebih rela tidur dalam kereta dari tidur di hotel ini bersama dia! Walau dibayar puluhan ribu pun, aku tak ingin. Selisih!

“Jangan fikir yang bukan-bukan. Kat hotel ni ada banyak bilik dan saya tak teringin pun nak sebilik dengan awak. Lagipun, saya dah tak ada tenaga nak tunjuk kehebatan saya pada awak malam ni.” Selamba saja lelaki itu berkata begitu. Langsung tak malu! Aku yang bengang separuh mati. Dalam terpaksa, aku mengekori langkah lelaki itu dari belakang. Sebaik lelaki itu tiba di kaunter pendaftaran, dia terus diberi kunci bilik. Kemudian lelaki itu berjalan agak pantas mendahului aku.

*******

SEBAIK pintu bilik terbuka, aku masih berdiri di muka pintu. Tak berani nak masuk ke dalam bilik bila lelaki itu masih bersamaku. Buatnya dia turut masuk ke dalam bilik ini, bagaimana? Bukan aku kenal pun lelaki tu. Lelaki itu merenung aku dari atas ke bawah, terus menimbulkan keresahan di dalam hatiku. Ketika lelaki itu mendekati aku, dada kembali berdebar hebat. Apa taknya pandangan lelaki itu semacam. Sebentar kemudian lelaki mengukir senyuman, manis. Terpana aku jadinya. Ilmu apa yang dia pakai hingga aku boleh terpukau saat ini.

“Siapa nama awak?”

“Minah Bte Temon.” Dengan cepat aku menjawab. Entah apalah kuasa lelaki ini sampai aku boleh berikan nama penuhku. Lelaki itu mengerutkan dahi, tapi masih tetap kacak. Aku ingat Rifki sudah cukup kacak, rupanya lelaki di depan aku ni 100 kali lagi kacak.

“Cik Minah, entah apalah yang awak sedang fikir sekarang. Yang pasti saya tak tergoda langsung dengan renungan awak tu. Bilik saya kat sebelah.” Aku tersentak, seakan dikejutkan dari mimpi. Selamba rock aje dia mengenakan aku.

“Err, kenapa pulak bilik awak kat sebelah?”

“Kenapa? Ini hotel saya, suka hati sayalah nak pilih yang mana. Awak ingat, saya berani nak tidur sebilik dengan awak?” Serentak itu aku terus masuk ke dalam bilik dan cepat-cepat mengunci pintu.
“Haa, kunci betul-betul, takut malam nanti awak terlepas keluar dan ceroboh pula bilik saya.” Aik? Sempat pulak dia bersuara lagi rupanya. Ee, sewel betullah dia ni! Aku bukan perempuan macam tulah! Ingat aku ni kemaruk sangat ke nak apa-apakan dia? Ceh!

Aku terus saja merebahkan tubuh ke atas katil. Untuk seketika aku memerhatikan telefon bimbit sebelum meletakkannya di atas meja. Entah mengapa aku masih mengharapkan satu panggilan atau sebarang pesanan pula. Aku menutup mata untuk menghilangkan tekanan yang semakin berat. Fikiranku sudah melayang entah ke mana, tapi tiba-tiba wajah lelaki yang tak aku kenali tadi pula yang muncul.

Ketukkan pintu mengejutkan aku, perlahan-lahan aku bingkas dan menuju ke pintu namun hanya separuh jalan langkahku terhenti. Sekarang aku yakin yang bunyi ketukkan itu bukan dari pintu masuk tapi pintu yang berada di tengah-tengah dinding. Dalam debar aku buka pintu itu kerana aku yakin yang mengetuknya tentu lelaki tadi. Saat pintu terbuka, lelaki itu sudah terpacak sambil merenungku tajam. Aku terpinga-pinga tidak mengerti.

“Awak nak apa?” Lelaki itu diam tidak bersuara. Dia hanya melangkah setapak dan setapak secara lembut dan perlahan. Matanya yang tajam itu hanya memandang tepat padaku. Aku mula gementar dan berdebar. Apa yang dia cuba buat?

“Kenapa dengan awak ni?” Aku mulai cemas. Aku mula terfikir benda yang tidak elok mahu dilakukan oleh lelaki itu terhadapku.

“Awak tengah bersedih, kan? Hanya ada satu cara yang boleh menghiburkan awak. Boleh tenteramkan perasaan awak yang tak menentu tu.” Lelaki itu berkata perlahan. Aku semakin takut dengan lelaki itu. Senyumannya pula sangat jahat pada pandangan mataku. Senyuman yang meleret dan sinis itu penuh muslihat. Dia lebih menakutkan dari hantu. Dia mulai berani menyentuhku dan menarik tubuhku dengan kasar dalam dakapannya. Aku cuba melawan tapi pautannya cukup kejap dan kuat. Aku lemas, aku tidak berdaya menahan ciuman rakusnya di sana sini. Aku meraung sekuat tidak, berharap dia akan melepaskan aku namun perbuatanku itu sia-sia.

“Tidakkkkkkkkkkk…………….” Aku menjerit lagi, kali ini berharap lelaki itu akan berhenti.

“Minah! Oii, Minah!” Aku terjaga. Pantas aku bingkas dari pembaringan. Aku memandang sekeliling. Tiada siapa. Lelaki tadi juga tiada di situ tapi aku masih dapat mendengar suara seseorang. Aku segera berlari menuju ke pintu di bahagian tengah, namun tanganku terhenti ketika mahu memulas tombol pintu. Takut apa yang aku alami sebentar tadi berulang lagi. Lama aku mendiamkan diri dan ada suara yang masih memanggil namaku berulangkali. Hingga aku terdengar pintu bagai ditendang dari luar, barulah aku membukanya.

“Kenapa ni?” Lelaki itu nampak kalut sambil liar memandang sekitar bilik.

“Kita bermimpi.” Lelaki itu membesarkan matanya, seakan tidak percaya. Kemudian dia mendengus kasar. Seolah geram dengan jawapanku.

“Heh, awak tak baca doa sebelum tidur ke?” Aku sekadar menggaru kepala yang tidak gatal. Kuat sangat ke suaraku sampai dapat menembusi dinding hotel ini hingga ke pendengaran lelaki itu.

“Tengok tu, ada air liur meleleh.” Aku segera menyapu sekitar bibirku dengan tangan tapi tidak pula terasa seperti ada air liur. Ah, lelaki itu sengaja kenakan aku.

“Dah tua bangka pun mengigau!” Bebel lelaki itu kembali ke biliknya tanpa menutup pintu. Aku menjengah, melihat apa yang dilakukan olehnya. Ternyata dia kembali merebahkan tubuh ke atas katil. Menyambung tidur.

“Jangan kunci pintu tu. Tak payah saya nak jahanamkan pintu tu untuk kejutkan orang mengigau lagi nanti!” Pekik lelaki itu. Aku mencebik, dah kuat sangat ke nak jahanamkan pintu ni? Aku memegang pintu yang keras dan jitu itu. Dia ingat dia tu Hulk Hogan ke, ada hati nak jahanamkan pintu konon. Aku menutup pintu namun tidak pula menguncinya. Seakan yakin yang dia tidak akan melakukan perkara tidak baik terhadapku. Aku kembali merebahkan diri, cuba melelapkan mata. Namun aku buka mata semula bila teringat sesuatu. Kali ini aku baca ayat kursi sebelum tidur. Biar para malaikat melindungiku.

*******

DERINGAN telefon mengejutkan aku, dengan malas aku meraba-raba mencapai gagang telefon. Suara malasku menjawab telefon pasti jelas memberitahu si pemanggil yang kini aku sedang mengantuk sangat-sangat.

“Cik Minah Bte Temon, awak nak jadi anak dara pemalas ya?” Bulat mataku mendengar suara itu. Aku terus bangun dan terduduk tanpa melepaskan telefon. Siapa pulak yang telefon ni. Lelaki semalam tu ke?

“Matahari dah meninggi, masih enak tidur lagi?” Aku menggosok-gosok mata. Pandanganku berpinar-pinar apabila bangun secara tiba-tiba. Hui, terencat pembesaranku.

“Cepat buka pintu, saya nak bagi barang ni.” Talian terus terputus. Aku mengerling jam di lengan. Hah, pukul 12 tengahari? Aku mengutuk diri sendiri. Macam mana boleh terlewat bangun? Habis terlepas subuh.

Serentak itu bunyi ketukkan pintu yang bertalu memecah kesunyian bilik yang dingin itu. Cepat-cepat aku berlari untuk membuka pintu. Aku kuakkan pintu sedikit sahaja untuk melihat barang yang hendak diberikan. Lelaki itu seakan mengerti, sebuah beg kertas dihulurkan tanpa memandang padaku.

“Saya pun tak sanggup nak tengok muka orang yang bangun tengahari. Beruang pun lebih comel agaknya.” Sela lelaki itu. Aku mencebik. Kalau aku beruang, kau tu dugong! Macamlah dia bangun lebih awal dari aku jadi comel!

Pintu aku tutup dengan kasar, tanda marah padanya. Perlahan-lahan aku melangkah, menuju semula ke katil. Beg kertas yang bersaiz besar itu aku lontarkan ke atas katil. Terkeluar isi barangan yang ada dalam beg kertas itu. Aku terkejut, betulkah apa yang aku lihat. Cepat-cepat aku berlari naik ke atas katil. Menarik sehelai seluar dalam wanita yang berwarna hitam. Aku muntahkan lagi isi perut yang terdapat dalam beg itu. Terdapat beberapa lagi pakaian dalam dan persalianan dalam beg itu. Hish, malunya. Mana dia dapat semua ni? Aku membelek anak baju yang bersaiz 36B itu dengan teliti. Mana dia tahu ini saizku? Alahai…..malunya! Aku membenamkan mukaku pada tilam yang empuk. Berkali-kali aku menjerit sendiri sambil menonggeng-nonggeng.

Aku cuba mengumpul kekuatan, menahan rasa segan dan malu ketika berhadapan dengan lelaki itu. Lelaki itu hanya memandangku sekilas dari atas ke bawah. Sengajalah tu nak lihat pilihan pakaian yang melekat pada tubuhku, muat atau tidak.

“Pakaian dalam awak tak longgar, kan?” Aku membesarkan mataku tanda tidak suka pada pertanyaannya yang secara terang-terangan itu. Buat apa nak tanya-tanya, diam-diam sudahlah.

“Hmm, awak ni macam biasa ya buat kerja-kerja macam tu.”

“Bukan biasa tapi saya selalu fokus dengan apa yang saya lihat dan perkiraan saya tepat, tak pernah silap.” Aku mencebik. Sempat lagi dia puji diri sendiri. Namun aku akui, apa yang aku pakai memang saizku. Dari pakaian dalam hingga yang luarnya. Malah aku cukup selesa dengan jeans yang tersarung, tentu mahal harganya. Bila masa lah lelaki ni sempat bershopping. Kemudian, lelaki itu memanggil seorang lelaki yang ada di lobi.

“Lepas perempuan ni makan, hantar dia balik.” Ujar lelaki itu sebelum meninggalkan aku. Langkah yang lelaki itu hayun cukup laju dan langsung tak menoleh padaku lagi. Apalah lelaki ni, kasar dan tak ada budi bahasa.

Kini pandangan tertumpah pada lelaki yang berada di sisiku. Lelaki itu tersenyum kemudian mengajak aku makan tengahari di hotel itu. Lelaki yang layak dipanggil ayah itu hanya melihat saja aku makan, bila aku mempelawa dia untuk makan sama, dia sekadar menggeleng. Katanya, dia masih bertugas. Hai, merasa aku tidur dan makan free kat hotel mewah ni, ada bodyguard pula tu. Tak sia-sia aku salah tarik orang semalam. Selesai makan tengahari, aku dihantar pulang. Mulanya aku keberatan nak duduk di tempat duduk belakang tapi bila digesa oleh pakcik Taha, aku menurut juga. Dengan pakcik Taha, aku bertanyakan tentang lelaki semalam.

“Pakcik, betul ke hotel tu, hotel dia?”

“Hotel tu milik keluarga Tengku Ukail.” Hah, Ukail? Apasal pelik sangat nama tu? Orang yang berkedudukan dan berada memang suka beri nama pada anak mereka yang pelik-pelik!
“Cik dah bersama dia, tak kan tak tahu?” Sambung pakcik Taha.

“Apa maksud pakcik ni? Kami tak buat apa-apalah.” Kataku, terkejut.

“Bukan itu maksud saya. Cik dah mengenali Tengku Ukail, tak kan tak tahu lagi tentang dia.” Aku diam, mula mengutuk diriku sendiri bila cepat sangat tersalah tafsir.

“Dia tak cakap pun.” Macam manalah aku nak tahu tentang dia, nama pun dia tak beritahu. Tapi tak apa, pakcik kan ada, tentu aku akan tahu tentang lelaki itu dengan lebih banyak lagi.

“Pakcik, dia tu ada makwe tak?” Hehehe, jahat aku! Saja nak korek rahsia lelaki itu. Bila lagi, kan?

“Cik bukan makwe Tengku ke?”

“Hah?”

“Bukan ke?” Pakcik Taha sudah gelisah. Aku sekadar menggeleng.

“Saya ingat Cik ni makwe Tengku. Tapi peliklah.”

“Apa yang pelik?”

“Belum pernah saya nampak Tengku Ukail hendak melayan perempuan dengan baik. Sanggup beli sendiri pakaian untuk Cik, pakaian dalam pula tu. Tentulah Cik ni seseorang yang istimewa, kan?” Lah, pakcik ni pun tahu ke yang lelaki itu belikan aku pakaian dalam? Ya Allah, malunya aku. Sudahnya, terpaksa aku bercerita dari mula tentang apa yang terjadi semalam. Biarlah aku berterus-terang sekarang, nanti kalau sudah salah faham, lagi susah.

“Oh, macam tu rupanya. Nasib baik Cik tarik dia, kalau tertarik lelaki yang jahat? Haaa, tak tahulah apa nasib Cik nanti.” Aku mengangguk, setuju dengan ayat itu.

“Pakcik, dia tu memang macam tu eh?”

“Apa maksud Cik?”

“Dia tu, kasar dan sombong ke?”

“Tengku Ukail bukan kasar dan sombong tapi tegas dan pendiam orangnya. Perempuan patut memilih lelaki macam dia sebab dia lelaki yang bertanggungjawab dan baik hati.” Aku terus mengangkat kening. Baik hati? Entah, mungkin juga. Kenal pun baru sekejap tak sempat aku nak scan hatinya. Tetapi seorang lelaki yang mempunyai paras wajah yang menarik, kedudukan dan wang, selalunya seorang lelaki yang suka memainkan perasaan wanita. Seorang yang pentingkan diri sendiri dan ego. Dari perhatian aku, lelaki yang bernama Tengku Ukail itu seorang lelaki yang membosankan, kasar dan sombong. Telefon berdering dan aku menjawabnya dengan segera, tak mahu pakcik Taha terganggu.

“Kenapa tak masuk office lagi?” Dengan tak bagi salam, Gaban terus menyoal.

“Kenapa pula kau bohong aku?” Aku pula yang menyoal.

“Bohong apa?”

“Pasal projek kolej tu. Kan semalam kak Anis kata kertas kerja boleh disiapkan sampai minggu depan. Kau tentu ada alasan kukuh untuk tipu aku, kan?” Dihujung talian, Gaban mendiamkan diri. Aku pula hanya menanti alasan yang bakal Gaban berikan. Cepat Gaban, aku sedang tunggu ni!

“Aku ni seorang yang suka bersedia lebih awal. Tak payah nak kelam kabut di saat akhir.”

“Ya? Huh, kau ingat aku boleh percaya?” Gaban diam lagi. Hah, mati akallah tu.

“Kau memang sengaja nak kenakan aku, kan? Suka tengok aku ke majlis malam tadi dengan tak mandi dan tak dapat nak pakai lawa-lawa, kan?”

“Kau jangan kata itu punca kau larikan diri dari majlis malam tadi.” Balas Gaban, siap ketawa kecil dihujung ayat. Aku menggigit bibir, geram pada Gaban yang kini mahu mengelak dari menjawab pertanyaan aku tadi.

“Kau jangan nak ubah topik. Cakaplah kenapa kau bohong aku semalam?” Aku masih lagi mendesaknya. Aku memang hairan sangat kenapa dia nak buat aku susah semalam. Kalaulah aku tidak dibebani dengan kerja yang sengaja Gaban berikan, tentu aku tidak lupa tentang jemputan itu. Dapatlah aku pulang untuk bersiap, berdandan dan bertemu dengan Rifki lebih awal. Tak adalah aku terlewat dan terpaksa pula menyaksikan kemesraan Rifki dengan Naja. Dan tidak juga aku tersalah tarik orang.

“Kau memang sengaja buat aku lupa tentang majlis malam tadi supaya aku terlewat atau kalau boleh kau langsung tak mahu aku pergi, kan? Apa yang kau cemburukan sangat, haa?” Kali ini aku mula meninggikan sedikit nada agar Gaban mengaku yang dia memang berniat buat begitu. Memang dia sengaja nak kenakan aku, baru puas hatinya.

“Tak apalah, kau tak payah susah-susah nak jawab soalan aku. Hari ni aku cuti, ada hal.” Aku terus matikan talian dan mencampakkan telefon di tempat duduk dengan geram. Yang aku ni pun satu, buat apa nak tanya. Tentu sajalah Gaban lakukan itu semua kerana cemburu, takut aku terlepas pada Rifki.

“Maaf, kalau buat pakcik terperanjat.” Ujarku bila pakcik Taha asyik memandangku. Pakcik Taha tersenyum sambil mengangguk.

Bersambung…..
** nantikan bab seterusnya bila lelaki yang baharu muncul dalam hidup Minah menjadi Budak Jahat di dalam hatinya…..


k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Akukah Juwita 15, 16”
  1. fatim says:

    hahahhaa,,gelak guling2 aku baca bab nih,,ada hero baru,,saingan gaban ngan poyo,, tk sabar tggu sambungan,, ;-) :lol: :o

  2. sue atie says:

    adoiiii…sgt2 lawak la.makin menarik cite nih..saingan baru for gaban..yang minah ni,,slumber badak je tarik org…ape2 good job to writer…citer yg sgt2 best..cukup sume perasa rasenye…sedih + lawak + hepi n so on…huuuu

  3. ;-) thank you…..nantikan ya bab selanjutnya akan datang….

  4. sue atie says:

    to sweet butterfly…xde blog ker.

  5. SUE….ada blog….http://rinafarizq.blogspot.com
    selamat melayari blog kita ya….. :smile:

  6. miss tea says:

    Ermmm…ade hero bru nie…hehehe
    x sbr lak rsenya nk tggu bb16.. :mrgreen: :mrgreen:
    cepat smbg tau..xoxo

  7. anak penguin says:

    hehehe.. suka part tersalah tarik org lain pulak.. mmg minah nie kene beli cermin mata..

  8. Qaseh says:

    menarik…x boring sbb mmg kelakar…cepatla sambung x sabar nak tahu apa jadi seterusnya…:)

  9. zazaa says:

    so sweet… baru berkesempatan nak baca novel ni… nak baca lagi sampai latest chap… :)

  10. naila says:

    w0w..sumpah bez..g00d w0rk 4 u..sure naila nk bli n0vel nyh..tp bl0m kuar agy an

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"