Novel : Dia Suamiku 23, 24

24 December 2010  
Kategori: Novel

25,876 bacaan 116 ulasan

Oleh : norisha natasya

BAB 23

“Ryna, bangun,” sayup-sayup kedengaran suara yang agak janggal. Terpisat-pisat aku membuka mata melihat orang yang sedang mengejutkanku.
“Bangun, solat subuh,” kata Aleef Aakif lagi. Perlahan-lahan aku bangun dari pembaringanku.
“Pukul berapa ni?” tanyaku sambil memandang Aleef Aakif yang berkain pelikat.
“Dah nak pukul 7. Cepat ambil wudhuk kita jemaah,”
“Hurm… Saya uzur,” jawabku pendek. Namun hati ini rasa tenang dengan ajakannya.
“Owh, aku lupa,” katanya lalu berlalu menuju ke sejadah yang telah terbentang.

Sambil melipat selimutku dan membetulkan rambutku yang sedikit kusut, mataku sempat mengerling ke arah tubuh yang sedang menghadap Yang Esa. Tenang rasa hati melihat suamiku itu seorang yang patuh pada ajaranNya. Sekurang-kurangnya aku tidak tersalah memilih cuma cara kami dijodohkan itu tidak kena pada tempatnya. Dan juga mahligai kami ini bukan berdasarkan cinta hanya keterpaksaan semata.

Setelah bersiap-siap aku bergegas ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Namun sebaik sahaja tiba di dapur emak lebih dulu ada di situ. Aku merapatinya.

“Emak nak masak apa pagi ni?”
“Nasi goreng jelah. Mak tengah cari garam dengan gula tak jumpa-jumpa. Kau letak kat mana?” Pertanyaan mak membuatku kelu.

Tanpa banyak soal aku terus sahaja menyelongkar kabinet dapur berhampiranku. Tiada satu pun yang menyerupai gula dan garam. Aku membuka peti sejuk. Kalau-kalau bahan tersebut diletakkan di dalam situ. Walaupun agak tidak masuk akal aku tetap sahaja mencuba. Namun tetap hampa. Ianya tiada di situ. Aku beralih di tempat lain pula.

“Jumpa tak? Hai, Ryna ni jarang masak ke kat rumah?” perli emak. Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Di mana pula Aleef Aakif letak barang ni? Dia ni pun satu. Barang paling penting letaklah di tempat yang mudah nampak. Aku dah lah tak mahir dengan persekitaran dapur dia. Boleh bocor rahsia aku ni.
“Err… selalu masak. Cuma lupa letak dekat mana. Lagipun malam tadi Aleef yang masak,” aku mencipta alasan. Alasan yang wajar dan amat berpatutan aku rasakan ketika ini.
“Mak cari apa tu?” tiba-tiba Aleef Aakif muncul.
“Err.. abang letak mana garam dengan gula?” laju sahaja aku bertanya kepadanya walhal aku terasa amat janggal dengan sebutan itu. Aleef Aakif memandangku.
“La, kenapa sayang tak panggil abang. Abang letak dekat sini semalam,” katanya lalu membuka laci berhampiran dapur. Aku hampir tersedak mendengar panggilan yang baru dia sebutkan. Amboi, tak nak kalah Aleef ni. Aku sempat menjeling ke arah emak yang tersenyum bahagia.
“Baru nak panggil awak dah datang sini. Macam tahu-tahu je,” aku membalas.
“Mestilah tahu. Hati isteri abang mestilah abang dapat rasa,” Aleef Aakif menambah perisa. Ingin sahaja aku tergelak besar ketika itu melihat lakonan kami berdua. Sungguh! Terlalu janggal pada sebutannya. Apatah lagi mendengarnya.
“Mak nak masak apa?” tanya Aleef Aakif.
“Mak masak nasi goreng je. Tengahari nanti kamu nak makan apa? Biar mak masakkan,” tanya emak kepada Aleef Aakif.
“Takpelah, mak. Tengahari ni biar Ryna masak. Kalau mak nak tahu abang ni suka ayam masak merah. Itu memang favourite dia,” kataku memberitahu. Aku sedar Aleef Aakif sedang memandangku ketika ini.
“Boleh juga. Mak pun dah lama tak rasa masakan kau Ryna,” kata emak pula. Alhamdulillah, emak benar-benar telah menerimaku. Aku bersyukur sangat.
“Mana Ariana, Airyl dengan abah mak?”
“Diorang tengah bergilir-gilir mandi tu. Adik kau tak sabar nak berjalan,” sebaik sahaja emak menghabiskan ayat abah, Ariana dan Airyl meluru ke ruang dapur. Kecoh dibuatnya.
“Kak Ryna, kita nak pergi mana hari ni? Pukul berapa nak jalan-jalan?” laju sahaja mulut kecil Airyl berbicara.
“Akak tengok ni Airyl, dari tadi bising je. Duduk rumah dahlah. Penatlah nak berjalan,” kata Ariana pula. Aku dan emak hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Abah pula sudah pun duduk di ruang tamu sambil membelek surat khabar.
“Akak… kita nak ke mana?” tanya Airyl sambil menarik-narik bajuku.
“Nanti kita keluar ye. Petang nanti kita keluar okay,” pujukku.
“Okay, Airyl and Ariana. Jom ikut abang. Kita main game dulu dekat depan. Petang nanti abang bawa semua keluar jalan-jalan,” pancing Aleef Aakif. Airyl melompat kegembiraan. Ariana hanya tersenyum. Aleef Aakif membawa mereka berdua beredar dari dapur. Aku dan emak meneruskan kerja kami di dapur.

Tidak lama selepas itu, kami semua sama-sama menikmati hidangan yang dimasak oleh Puan Suryati. Sempat mataku meneliti disegenap wajah yang berada disitu. Terpancar kegembiraan yang tidak terhingga. Alangkah bahagianya sekiranya semua senyuman ini kekal selamanya. Tiada sengketa, tiada masalah, tiada lakonan yang membelenggu jiwa.

Sesudah makan, Ariana kembali melayan Airyl bermain playstation milik Aleef Aakif. Khusyuk benar mereka berdua bermain sehinggakan abah tiada peluang untuk menonton tv. Sudahnya abah keluar dan menyapu laman. Walaupun tindakannya ditegah oleh Aleef Aakif, En. Malik tetap sahaja berkeras. Abah tetap berkeras mengemas halaman rumah ini. Akhirnya Aleef Aakif terpaksa akur.

Aku pula menghabiskan masa di dapur. Sedang membuat persiapan untuk makan tengahari. Emak pula sedang melayan anaknya yang sedang bermain sambil berehat. Ketika aku leka menyiang ayam dan daging, Aleef Aakif menyelinap masuk ke dapur. Entah bila dia berada di situ aku tidak pasti. Yang pasti tegurannya membuatkan aku sedar akan kehadirannya.

“Nak aku tolong ke?” kata Aleef Aakif sambil berdiri disisiku.
“It’s okay. Sikit je lagi,”
“Macamana kau tahu?”
“La, saya yang masak saya tahulah,”
“Bukan pasal ni. Pasal hal tadi,” aku menghentikan kerjaku dan memandangnya.
“Hal apa pula ni?” tanyaku pelik.
“Hurm… ayam masak merah. Macamana kau tahu?” aku tersengih sambil meneruskan kerjaku semula.
“Banyak yang saya tahu pasal awak En. Aleef. Cuma En. Aleef je tak kenal saya,” jawabku tenang.
“Masa di Universiti ke?”
“Yeah, masa dekat U lagi saya tahu semua pasal En. Aleef. Bila difikir-fikirkan balik macam orang gila pula. Terlalu taksub dengan cinta yang tak pasti. Saya pun tak tahulah kenapa saya boleh buat kerja gila buat research pasal En. Aleef padahal En. Aleef langsung tak kenal saya,” entah kenapa aku begitu senang berbual dengannya hari ini. Mungkin sahaja caranya yang tidak dingin seperti selalu.
“Research? Kau buat macamana?” tanya Aleef Aakif pelik dan aku tergelak melihat raut wajahnya.
“Macam-macam saya buat En. Aleef tapi itu dulu. Sekarang saya tak macam tu lagi. Saya dah sedar. Cinta sebelah pihak ni takkan menjamin apa-apa kebahagiaan pun. Buat diri merana je. En. Aleef janganlah risau. Hubungan ini akan berakhir secepat yang mungkin. Selepas itu, En. Aleef boleh teruskan kehidupan En. Aleef dengan Damisya,” kataku tenang. Namun di dalam hati tuhan sahaja tahu betapa pilunya hatiku kerana terpaksa berpisah. Tetapi demi kebahagiaannya aku sanggup.
“Abang Aakif! Abang!” tiba-tiba Airyl menjerit-jerit dan berlari ke arah Aleef Aakif.
“Kenapa Airyl?” tanya Aleef Aakif.
“Airyl nak main game lain,”
“Okay-okay. Jom tukar cd lain,” kata Aleef Aakif.
“Akak, nanti kita nak pergi mana?” Airyl masih lagi bertanya soalan itu.
“Err… Airyl tanyalah abang Aakif,” aku memandang Aleef Aakif mengharapkan bantuan.
“Petang ni kita ke Sunway okay?” kata Aleef Aakif dan aku sedikit lega.
“Kat situ ada apa?”
“Macam-macam ada. Jom kita ke depan. Akak nak masak tu,” kata Aleef Aakif sambil memimpin Airyl.

Sayup-sayup aku hanya mendengar omelan Airyl yang tidak putus-putus bertanya. Aku tersenyum sendirian. Mujur ada Aleef Aakif. Tidak terfikir pula aku untuk membawanya ke sana. Sambil menyediakan makanan mindaku menconggak perbelanjaan untuk petang ini. Petang ni kenalah aku keluar duit lebih sedikit. Sekali-sekala datang biarlah mereka bermain puas-puas nanti.

********************************************

Bukan kepalang gembiranya hati Airyl sebaik sahaja tiba di pusat membeli-belah Sunway Piramid. Maklumlah ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki di sini. Ligat mulutnya bertanya itu dan ini kepada Aleef Aakif. Hatiku menguntum bahagia. Aleef Aakif begitu pandai menyesuaikan diri dengan keluargaku. Lihat sahaja cara Aleef Aakif melayan kerenah Airyl. Dan Airyl cukup selesa memaut tangan Aleef Aakif.

Namun begitu cuaca yang agak mendung tidak mengizinkan kami untuk pergi ke taman tema Sunway Lagoon. Dikhuatiri hujan bakal merebah bumi pada bila-bila masa sahaja. Mungin tiada rezeki keluargaku untuk melawat taman tema itu. Untuk itu aku membawa mereka berjalan di sekitar pusat membeli-belah sahaja. Nasib baik di sini terdapat alternatif lain.

Aku dan Aleef Aakif membawa mereka melihat satu-satunya tempat yang begitu meriah dengan pengunjung. Keceriaan Airyl sekurang-kurangnya tidak tergugat kerana dia leka menyaksikan pengunjung-pengunjung bermain ice skating di situ. Terlopong mulutnya Airyl menyaksikan mereka bermain ice skating.

“Airyl nak main ice skating tak?” tanya Aleef Aakif. Kami semua memandang ke arah Airyl dan Aleef Aakif silih berganti. Laju sahaja Airyl mengangguk setuju.
“Ary, nak main tak?” tanya Aleef Aakif kepada Ariana.
“Err… nak. Tapi tak reti mainlah abang,” jawab Ariana malu-malu.
“Takpe. Abang pun tak reti main juga. Kita belajar sama-sama,” Ariana menguntum senyum dan akhirnya mengangguk.
“Jom,” kata Aleef Aakif sambil menarik tanganku.
“Huh??” aku terkaku disitu.
“Jomlah sekali sayang,” ajak Aleef Aakif.
“Aa…takpelah. Abang mainlah dengan Ary dan Airyl. Saya jaga mak abah,” aku mencipta alasan.
“Ala….jomlah sekali kak. Ary seganlah kalau takde akak,” giliran Ariana memujukku.
“Pergilah Ryna. Tak perlulah risau pasal kami. Tahulah kami jaga diri,” kata abah.
“Nanti mak dengan abah bosan pula tengok kami main,” kataku.
“Pergilah. Kesian dekat adik kamu tu. Kami dah besar Ryna. Tahulah mak dengan abah jaga diri,” kata emak pula dan aku terpaksa akur.

Perlahan-lahan aku mengikuti mereka bertiga menuju ke kaunter. Hati sedikit berdebar. Ini pertama kali aku akan menjejakkan kaki di permainan ini. Mengimbang badan bukan bidang kepakaranku. Aku khuatir sekiranya aku tidak mampu untuk berdiri di lantai yang licin itu. Aku menyeluk beg tanganku untuk mengeluarkan duit. Namun Aleef Aakif lebih dulu bertindak membayar. Aku memandangnya dan Aleef Aakif tetap bersahaja.

‘Takpelah. Balik nanti aku bayar semula duit yang dia dah keluarkan’ gumamku dalam hati.

Setelah memakai semua peralatan ‘berperang’ kami mula menapak perlahan ke medan perang. Melihat dari cara Aleef Aakif berjalan jelas sekali dia sudah biasa dengan permainan ini. Aku semakin resah. Airyl dan Ariana telah pun masuk ke kawasan ice skating atas bantuan Aleef Aakif. Aku masih lagi berada dipintu dengan hati yang resah. Aku cuba memijak dengan kaki kananku. Licin! Macamana nak jalan atas lantai macam ni?

Perlahan-lahan aku memusingkan tubuhku untuk berpatah balik ke tempat duduk. Namun aku terdengar suara yang cukup aku kenali menegurku.

“Eh, nak ke mana tu?”
“Err… awak mainlah dengan adik-adik saya. Saya tak jadilah main,” kataku sambil berjalan perlahan-lahan menuju ke kerusi yang berdekatan. Nak jalan dekat sini pun badan terhuyung-hayang inikan pula berjalan di atas lantai yang licin tu.
“Adik-adik awak tengah tunggu tu. Cepatlah,” Kata Aleef Aakif sambil memaut tanganku.
“Ryna tak reti main la. Ryna takut,” jawabku jujur.
“Saya kan ada. Saya akan jaga awak. Awak jangan risau,” kata Aleef Aakif lembut. Hatiku tersentuh. Tidak pernah dia ungkapkan kata-kata ini bila berdepan denganku. Kata-kata perlindungan yang telah lama aku nantikan.

Aku akur. Perlahan-lahan aku kembali ke medan perang itu. Sebaik tiba di pintu, aku masih lagi ragu-ragu untuk meletakkan kaki dikawasan licin tersebut. Tiba-tiba aku terasa sesuatu sedang melingkari pinggangku. Dan aku pasti tangan itu milik Aleef Aakif. Terasa selamat bila dia berada disampingku. Tanpa ragu aku menjejakkan kedua belah kakiku di kawasan itu. Buat seketika aku tidak dapat mengimbangi tubuhku. Namun Aleef Aakif erat memaut tubuhku. Sikapnya sungguh mesra. Berbeza sungguh layanannya. Akhirnya aku berjaya juga tiba ditempat Ariana dan Airyl.

“Akak, lambatlah. Penat Airyl tunggu,” mulut comel itu mengadu.
“Nak buat macamana Airyl. Kakak Airyl ni memang penakut,” Aleef Aakif menjawab. Aku mencebik.
“Siapa suruh akak main. Akak kan tak nak main tadi,”
“Alaa.. kak. Kalau akak takde Ary segan nak main sorang-sorang,” jawab Ariana.
“Dah, jom. Kita gerak perlahan-lahan. Jalan pegang dinding dulu. Dah ada confident baru kita ke tengah okay,” kata Aleef Aakif bagaikan seorang jurulatih.

Kami semua menggangguk dan mengikut sahaja arahan Aleef Aakif. Airyl dan Ariana nampaknya sudah dapat membiasakan diri dikawasan ini. Namun aku masih lagi ketinggalan. Masih lagi terkial-kial untuk bergerak.

Mereka bertiga sudah mula berlegar di kawasan tengah. Aku hanya mampu melihat. Gembira sungguh hati Ariana dan Airyl. Walaupn mereka bertiga seringkali jatuh namun mereka tetap sahaja tidak serik. Mataku sempat pula memandang ke arah tempat di mana aku meninggalkan kedua ibubapaku. Mereka tiada disitu. Mungkin sahaja mereka berdua berjalan di kawasan sekitar.

Tiba-tiba tanpa sedar aku dilanggar oleh seseorang dan jatuh terjelupuk. Aduh, sakitnya. Aku memandang pada budak perempuan yang melanggarku. Dia memohon maaf lalu beredar. Aku masih lagi terduduk dan tidak mampu untuk bangun. Seseorang menghulurkan tangan ke arahku. Aku memandangnya dan tersenyum sambil menggelengkan kepala ke arah pemuda itu.

“Takpe. Saya boleh bangun sendiri,” jawabku.
“I tengok dari tadi you terkial-kial nak bangun. I ikhlas nak tolong ni,” kata pemuda itu lagi. Aku masih lagi berkira-kira. Perlukah aku menerima pertolongannya. Sebelum sempat aku menghulurkan tangan kepada pemuda itu Aleef Aakif tiba disisiku.
“Sayang, kenapa tak panggil abang?” kata Aleef Aakif sambil menarikku perlahan-lahan untuk bangun. Aku terpana. Namun perlahan-lahan aku bangun atas bantuan Aleef Aakif.
“Thank you sebab you nak tolong wife I,” kata Aleef Aakif sambil memelukku erat.
“Owh, sorry. I ingat dia tak kahwin lagi,” kata pemuda itu sambil tersenyum dan berlalu.

Perlahan-lahan aku meregangkan pautannya. Menolak lembut tubuhnya yang melekap dibelakangku. Terasa segan dengan pandangan sekeliling. Malu dipeluk sebegitu ditempat awam. Lebih-lebih lagi adik-adikku turut ada menyaksikan adegan ini.

“Kenapa? Tak puas hati?” berkerut wajahku mendengar pertanyaannya.
“Apa maksud awak?”
“Yelah, saya mengganggu awak dengan orang tadi,”
“Bukanlah. Malu orang asyik pandang-pandang kita dalam keadaan macam ni,” terangku.
“Hurm…. yelah tu. Jom, diorang nak keluar tu,” kata Aleef Aakif sambil menarikku. Dalam terkial-kial aku mengikutinya. Dalam kepalaku masih lagi tertanya-tanya. Dia cemburu ke?

***************************************

Sebaik sahaja pulang aku terus sahaja menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Badan sudah terasa melekit dan tidak selesa. Ditambah pula aku masih lagi uzur. Jadi amat-amatlah tidak selesa.

Setelah selesai membersihkan seluruh tubuh, aku beredar ke ruang tamu. Memberi ruang kepada Aleef Aakif untuk menggunakan biliknya. Aku mengambil tempat disisi abah yang sedang menonton drama TV3.

“Alhamdulillah, abah gembira Ryna,” luah abah tiba-tiba.
“Kenapa abah?”
“Yelah, tengok korang berdua dah berbaik semula,” kata abah dan aku mengeluh.
“Kenapa? Ada yang tak kena ke?” tanya abah lagi.
“Sebenarnya…. apa yang abah nampak bukan itu sebenarnya yang terjadi,” kataku jujur. Hanya abah tempatku mengadu.
“Subhanallah… Korang berdua masih tak baik lagi ke?”
“Belum lagi,” abah menggeleng-gelengkan kepala mendengar jawapanku.
“Habis tu apa keputusan Ryna sekarang ni?” tanya abah.
“Err…. Ryna rasa kami akan berpisah juga. Nanti abah tanya anak cik Khalid prosedur-prosedur dia ye,”
“Hurm… abah bukan nak berpihak pada belah mana-mana. Tapi apa yang abah lihat korang berdua akan hidup bahagia bersama. Abah nampak Aakif dah mula sayang dekat kamu,”luah abah.
“Semua itu lakonan je abah. Kami takkan boleh bersama,”jawabku perlahan.
“Ikut koranglah. Tapi abah nasihatkan kalau boleh janganlah bercerai. Kamu cubalah menyayangi Aakif. Berilah Aakif sedikit masa. Mungkin dia masih keliru,” nasihat abah.
“Nantilah Ryna fikir-fikirkan,”
“Apa yang dibualkan anak-beranak ni. Rancak jer bunyinya,” tegur emak tiba-tiba.
“Err… takde apa-apa. Borak pasal tadilah. Pasal awak tadi kita berdua sesat,” kata abah mengubah cerita. Hatiku sedikit terjentik dengan sikap abah. Abah sangat menjaga amanahnya terhadap masalahku.
“Apa pula saya. Awaklah abahnya. Sibuk sangat tengok perempuan sampai lupa jalan,”
“Hish… awak ni. Saya cuma pandang awak jelah. Tak lalu nak pandang perempuan lain. Jaga awak pun saya dah semput, tak kuasalah Yati oii nak mengurat perempuan lain,” kata abah mengusik. Aku tersenyum melihat bibit-bibit mesra antara mereka.
“Owh, sekarang ni awak kata dah semput. Dulu-dulu masa nak kahwin dengan saya kenapa tak cakap macam tu?” kata emak dengan nada merajuk.
“Dulu saya muda lagi. Sekarang ni saya dah tua. Awak ni pun, sampai ke tua cemburu je. Tahulah saya ni hensem,” usik abah lagi.
“Hurm…sebab awak hensemlah saya kena cemburu En. Malik oiii. Ryna, jaga Aakif tu elok-elok. Laki kau tu dah lah hensem bergaya lagi,”
“Ye mak. Tengah jagalah sekarang ni,” aku membalasnya.
“Mana Aakif? Tak nampak pun,” tanya emak.
“Dah tidur agaknya. Seharian melayan Airyl,” kataku.
“Awak ni sikit-sikit menantu. Saya awak tak nak tanya,” kata abah bernada cemburu.
“Cemburu ke?” tanya emak. Aku tergelak.
“Tak kuasalah dah tua-tua ni nak cemburu,” jawab abah.
“Tengok abah kau ni. Depan kau memang tak nak tunjuk. Kalau nak tahu abah kau lagi kuat merajuk dari mak tahu,”
“Yatii….”
“Okaylah mak abah. Ryna masuk bilik dulu. Abah dah merajuk tu,” kataku dan sempat lagi berbisik kepada emak.

Aku kembali semula ke bilik Aleef Aakif. Ternyata Aleef Aakif masih belum lagi tidur. Dia sedang duduk melunjur di atas katilnya sambil membaca majalah. Aku meneruskan langkah ke bilik air. Seketika kemudian aku keluar dan bersiap-siap mengambil selimut dan bantal yang berada di atas katil lalu diletakkan di atas sofa.

Aku membawa beg solekku dan duduk di hadapan cermin. Sedikit krim malam di oles ke mukaku. Kemudian aku meratakannya ke seluruh mukaku. Setelah itu aku menyapu rata lotion di kedua belah tangan dan kaki. Sempat lagi aku mencium kedua belah tapak tanganku. Hurm… wangi.

“En. Aleef, terima kasih untuk hari ini,” aku memulakan bicara.
“Hurm….” seperti biasa Aleef Aakif menjawab.
“Owh, sebelum terlupa. Berapa bayaran untuk masuk ice skating dengan makan tadi?” tanyaku sambil melangkah ke arah beg tanganku yang berada berdekatan sofa.
“Takpe. Aku belanja,” jawab Aleef Aakif. Matanya masih lagi menatap majalah yang dibacanya.
“Betul ni? En. Aleef cakap je berapa saya bayar. Saya tak nak terhutang budi,”
“Tak perlu,” Aleef Aakif sudah menletakkan majalahnya dimeja tepi. Tangannya beralih memicit-micit kakinya.
“Baiklah. Tapi dengan syarat biar saya urut kaki En. Aleef sebagai balas budi,” kataku sambil duduk disisinya.
“Eh, tak payahlah. Aku saja je ni,” Aleef Aakif menolak.
“Saya tahu En. Aleef letih hari ni melayan keluarga saya lebih-lebih lagi adik-adik saya. Saya amat hargai jasa En. Aleef. Saya harap En. Aleef tak menolak. Ada minyak angin?” kataku tetap bertegas.
“Suka hati kaulah. Minyak dekat laci meja,” kata Aleef Aakif akhirnya lalu menunjuk ke arah meja tepi katilnya. Aku terus sahaja mengambil minyak ditempat yang telah disebutkan.

Aku kembali duduk disisinya dan membelakangkannya. Perlahan-lahan tanganku melekap dikakinya. Walaupun hati ini gementar namun aku tetap gagahinya. Aku tidak mahu dianggap sebagai orang yang tidak tahu membalas budi. Aku tahu dia letih melayan kerenah keluargaku lebih-lebih lagi Airyl.

Tangan ini terus sahaja mengurut kedua belah kakinya. Perlahan-lahan aku mengurut kakinya. Ada sedikit kebiru-biruan di betisnya. Mungkin sahaja lebam akibat jatuh semasa bermain ice skating tadi. Setelah selesai aku memintanya untuk duduk ditengah katil bagi memudahkan aku mengurut bahunya. Aku menegahnya dari membuka t-shirt yang dipakainya. Aku malu untuk melihat dirinya dalam keadaan begitu. Namun tidak lama aku mengurut bahunya Aleef Aakif memegang tanganku. Pergerakanku terhenti.

“Kau tidurlah,” tiba-tiba Aleef Aakif berkata.
“Kenapa? Saya belum sudah urut bahu En. Aleef,” kataku yang masih terpinga-pinga.
“Cukup! Tak perlu lagi urut aku!” tiba-tiba suara Aleef Aakif meninggi. Aku terkejut.
“En. Aleef ni kenapa? Tiba-tiba nak marah saya. Saya silap urut ke?” kataku dan mula bangun dari katil itu. Sempat lagi aku menjeling ke arahnya. Wajahnya tegang.
“Aku kata sudah, sudahlah! Pergi tutup lampu!”
“Hish… angin satu badan!” kataku geram sambil berlalu ke bilik air untuk mencuci tangan.

Hati ini masih lagi keliru dan tertanya-tanya. Kenapa dia begitu? Kalau angin baik bukan main baik lagi dengan aku. Kalau angin kus-kus dia dah datang, singa pun boleh hilang suara. Tadi aku rasa elok saja angin dia. Aku tersilap urut ke tadi? Aku rasa aku tak dengar pula dia mengaduh kesakitan. Atau dia marah sebab aku tak beri dia buka baju? Ish, pelik betullah perangai orang tua ni.

———————————————————————-

BAB 24

Huarghhh!!

Sedapnya tidur malam tadi. Ditambah pula dengan hujan sepanjang malam bertambah-tambahlah enak diulit mimpi. Nak bangun pagi pun liat. Aku mengalihkan posisi. Terasa sedikit pelik. Kenapa pelik saja sofa ni. Kenapa lembut dan selesa? Kenapa terasa begitu luas dari hari sebelumnya? Aku mengguling ke kanan dan ke kiri dengan mata yang masih terpejam erat. Luas! Mungkin saja aku masih berada di alam mimpi. Aku menarik semula selimutku rapat ke dada. Terasa hangat dan begitu selesa. Benarkah aku masih lagi bermimpi?

Perlahan-lahan aku membuka mata. Masih agak kabur. Aku bangun dari pembaringanku sambil menggosok-gosok mata. Pandangan semakin jelas. Dan…

‘Haaahhh!!’

Aku terjerit kecil. Cepat-cepat tanganku bertindak menutup mulut sebelum jeritanku didengari oleh keluargaku. Sungguh!! Aku betul-betul terkejut. Aku menggosok-gosok mataku. Dengan harapan semua ini adalah mimpi. Namun sangkaanku meleset. Aku telah seadanya berada di alam yang nyata.

Aku masih keliru. Bagaimana aku boleh berada disini? Macamana aku boleh tidur di atas katil?? Patutlah aku rasa alas tidurku begitu empuk. Rupa-rupanya aku tidur diatas katil milik Aleef Aakif. Tidak! Apa yang sebenarnya berlaku? Cepat saja aku mengangkat selimut untuk melihat pakaianku. Fuh, lega! Masih lagi tersarung kemas ditubuhku.

Aku cuba mengimbas kembali apa yang telah terjadi semalam. Seingatku aku merebahkan diri di sofa setelah aku selesai mengurut Aleef Aakif. Tetapi bagaimana pula pagi ini aku berada di sini?

Mataku perlahan-lahan melirik ke arah sofa. Selimut dan bantal telah disusun rapi. Aleef Aakif tiada di situ. Fikiranku masih buntu. Apa yang berlaku malam tadi? Sesaat itu tubuh Aleef Aakif keluar dari bilik air yang hanya bersarungkan tuala semata.

“En. Aleef!” jeritku sambil menutup mata dengan selimut.
“Hurm… dah bangun pun. Seronok ke tidur dekat situ?” Aleef Aakif bertanya.
“En. Aleef pakai baju dulu,” kataku memberitahu.
“Okay, siap,” kata Aleef Aakif seminit dua selepas itu sambil duduk disisi katil. Aku menjauhkan selimut dari wajahku. Nampaknya Aleef Aakif telah lengkap berpakaian.
“Err… En. Aleef tidur di mana malam tadi?” aku bertanya dengan perasaan berdebar.
“Aku tidur dibilik akulah,” selamba Aleef Aakif menjawab.
“Saya tahulah. Tapi di mana? En. Aleef tidur di atas sofa ke?”
“Kenapa aku perlu tidur di sana kalau ada katil sendiri?” mulutku sudah terlopong mendengar kenyataan itu. Benarkah? Takkan aku tidur sekatil dengannya?
“Err..ssaya…Macamana saya boleh tidur di sini?” tergagap aku berbicara. Aleef Aakif tersenyum lebar. Aku semakin berdebar melihat caranya memandangku.
“Kau tak ingat apa yang berlaku malam tadi?” Aleef Aakif bertanya. Hatiku semakin tertanya-tanya dengan teka-tekinya.
“Aa..pa yang berlaku semalam?”
“Betul ni kau tak ingat?” Aleef Aakif masih berteka-teki. Aku menggeleng.
“En. Aleef cakaplah betul-betul. Jangan main-main,” tanganku mula rasa seram sejuk.
“Hurm….kau tiba-tiba bangun dan tidur sebelah aku,”
“Whatt!!” aku terjerit. Aleef Aakif dengan cepat menutup mulutku.
“Syhhh… jangan jerit nanti family kau dengar!” kata Aleef Aakif sedikit cemas.
“Aaa… macam..lepas..tu..” suaraku mula terketar-ketar. Air mata mulai meniti dibibir mata.
“Hah? Owh, lepas tu kau pun tentu faham. Aku lelaki dan kau perempuan. Kau faham kan?”

Fikiranku buntu. Serabut sangat terasa kepala ini. Apa yang telah terjadi? Kenapa ini yang terjadi? Kenapa aku tidak ingat apa yang berlaku malam tadi? Kenapa?? Jijik terasa diri ini. Menyerahkan diri kepada lelaki dihadapanku begitu sahaja. Aku menekup mukaku dengan bantal. Air mata tidak dapat dibendung lagi. Aku mulai teresak-esak. Terasa malu untuk berhadapan dengan Aleef Aakif. Terasa malu untuk memandang diriku sendiri.

“Hei…hei, kenapa perlu menangis? Kitakan suami isteri,” kata Aleef Aakif sambil memegang bahuku. Aku menepis.
“Suami isteri?? Awak sedar tak hubungan ni? Kita tak mungkin bersama!” aku mula memberontak. Menangis sambil memukul-mukul Aleef Aakif yang ada disisiku.
“Benda dah jadi nak buat macamana?” Aleef Aakif bersuara sambil menepis tanganku.
“Senanglah En. Aleef cakap! Saya perempuan. Yang akan tanggung semua ni saya!! Kenapa En. Aleef tak halang!” suaraku semakin meninggi.

Tiba-tiba tindakanku terbatas. Cepat sahaja Aleef Aakif memegang erat tanganku sambil sebelah lagi tangannya menutup mulutku.

“Syhh… nanti diorang dengarlah!” kata Aleef Aakif mengingatkanku. Aku menolaknya kasar dan kembali menekup mukaku dengan kedua belah tanganku.

Sungguh! Hatiku berasa sangat sakit. Dalam pada itu aku terasa malu. Malu yang amat sangat. Malu dengan diriku dan dia. Kenapalah dia boleh biarkan perkara ini berlaku? Perkara inilah yang amat aku takutkan dan minta dijauhkan.

“Hei…Ryna. Janganlah menangis. Aku gurau je,” perlahan-lahan aku mengangkat kepalaku dan memandangnya.
“En. Aleef tipu! Tolonglah, janganlah buat saya macam ni,”
“Betul! Aku tipu je. Tiada apa-apa pun yang berlaku malam tadi,”
“Betul ni?” tanyaku sekali lagi. Esakanku semakin reda.
“Ya, betul. Aku saja je kenakan kau,” jawab Aleef Aakif dan mulai melangkah ke pintu bilik.
“Tapi… macamana saya tidur disini?” kataku sambil menyapu air mata yang berbaki dipipi.
“Aku angkat kau malam tadi. Ganti tempat tidur dengan kau,”
“Betul ni En. Aleef?” tanyaku sekali lagi. Betul-betul inginkan kepastian darinya. Kerana aku betul-betul tidak sedar apa yang telah terjadi malam tadi.
“Yelah, betul,” kata Aleef Aakif sambil membuka pintu bilik. Aku menarik nafas lega. Membazir sudah air mataku di pagi hari. Ini semua gara-gara Aleef Aakif. Perkara macam itu pun nak buat main.
“Owh ye Ryna…” ayat Aleef Aakif mati disitu. Aku memandangnya sambil menunggu lanjutan bicaranya.
“Next time selalu-selalulah pergi ke gim. Badan kau berat sangat la,”
“En. Aleef!!!” aku menjerit sambil membaling bantal ke arah Aleef Aakif yang galak ketawa. Aleef Aakif sempat mengelak sambil menghilangkan diri disebalik pintu.

Geram rasa hati melihat tingkahlaku Aleef Aakif ni. Tetapi bila difikir-fikirkan lebih mendalam perubahan Aleef Aakif adalah suatu perkara yang baik. Dia telah mula pandai bergurau dengan aku. Walaupun pada hakikatnya gurauan tersebut betul-betul membuatkan jantungku bagaikan hendak gugur.

Sungguh tidakku sangka dia sanggup beralih tempat tidur. Kenapa dia berbuat begitu? Wujudkah kasih sayang itu dalam dirinya? Aku masih tidak mengerti akan dirinya. Ia seringkali mengundang teka-teki dalam hidupku. Dan aku pula, tidak akan mudah untuk menaruh harapan lagi.

*********************************

Aku meletakkan kunci kereta di atas meja solekku. Kemudian meletakkan pula beg baju dan beg tanganku di atas katil. Letih rasa badan. Namun hati ini cukup seronok. Seronok kerana dapat kembali semula ke rumah dan tidak perlu lagi berkongsi bilik dengan Aleef Aakif.

Dua hari bermalam di rumah Aleef Aakif sudah cukup untuk membuatkan aku kurang selesa. Tetapi semuanya kerana terpaksa. Jika bukan disebabkan keluargaku aku tidak perlu untuk berlakon sehingga sebegitu rupa. Berdosa rasa hati kerana terpaksa berbohong dengan orang yang tersayang.

Perlahan-lahan aku merebahkan diri dikatil. Merenung kipas yang sedang megah berputar. Tiba-tiba perbualan pagi tadi mengusik mindaku. Perbualan diantara aku, Aleef Aakif dan ibubapaku. Dan perbualan itu sedikit sebanyak mengganggu fikiranku.

“Ryna dengan Aakif dah rancang nak timang anak ke?” tiba-tiba emak bertanya saat kami sama-sama sedang menjamu minum pagi. Aku tersedak. Mujur sahaja air yang diminum tidak tersembur. Aku dan Aleef Aakif saling berpandangan.
“Apa awak ni Yati. Nanti kalau ada tu adalah. Semua tu kan rezeki,” abah menjawab bagi pihak kami.
“Saya tanya aje. Manalah tahu diorang merancang. Awal-awal ni tak perlulah merancang. Anak tu penyeri rumahtangga,” kata emak.
“Taklah mak, kami tak rancang. Cuma rezeki masih belum ada lagi. Kan Ryna?” Aleef Aakif pula bersuara dan buat aku terkedu. Emak dan abah memandangku menagih jawapan.
“Err…aah. Ala, mak. Lagipun masih awal lagi,” aku tersenyum kelat. Kenapa hal ini yang dibicarakan?
“Apa pula masih awal. Kalau umur kau masa zaman mak dulu-dulu dah ada dua tiga orang anak. Kau janganlah lambat-lambat. Nanti kempunan pula mak dengan abah,”
“Mak janganlah cakap macam tu,” sayu rasa hati mendengar harapan emak.
“Tulah sayang, abang kata jangan rancang. Kesian dekat mak dengan abah,” kata-kata Aleef Aakif buat aku terkejut. Amboi, ini sudah lebih.
“Bila pula saya rancang? Awak tu yang sibuk memanjang,” giliranku pula membuat Aleef Aakif tergamam.
“Ish, korang berdua ni. Benda macam ni pun nak tolak-tolak. Kalau ada terima aje. Yang penting usaha,” kata-kata emak membuatkan aku terdiam. Kesian mak. Emak begitu mengharap tetapi hakikatnya perkara sebegini tak mungkin akan berlaku. Maafkan Ryna, mak.
“Tak perlulah cerita pasal ni. Insya-Allah kalau ada rezeki takkan ke mana,” kata abah meleraikan ketegangan pada semua.
“Harap-harap begitulah. Tahun ni korang beraya di mana?” soalan belati mak begitu menusuk jiwa. Kenapa soalan kontroversi sahaja yang keluar pagi ini?
“Err… tak tahu lagi mak. Kami tak bincang lagi,” aku menjawab sebaik yang mungkin. Berharap tiada pihak yang akan terluka.
“Insya-Allah, raya ni kami beraya di rumah mak abah,” sekali lagi jawapan Aleef Aakif membuatku tersentak. Dia ni biar betul? Kenapa dia selalu memberi harapan yang tak pasti?
“Sayang janganlah buat muka terkejut. Abang baru nak buat surprise,” kata Aleef Aakif sambil menggenggam tanganku erat.
“Alhamdulillah, baguslah. Meriah sikit rumah tu nanti. Dah lama tak sambut raya bersama. Kalau boleh baliklah sebelum raya. Boleh kita sama-sama buat persiapan,” kata emak terharu. Hatiku tersentuh. Mak….
“Insya-Allah mak,” hanya ucapan itu yang mampu diungkapkan.

Perbualan itu betul-betul membuatkan aku kebingungan. Aku tidak tahu kenapa Aleef Aakif memberi harapan kepada emak. Apa motif dia? Adakah ini salah satu dari agendanya untuk membalas dendamnya terhadapku? Aku sungguh takut andainya emak akan kecewa sekali lagi. Hal itu yang paling aku takutkan. Kenapa dia perlu bermain dengan harapan emak?

Aku mengeluh berat. Timbul lagi masalah baru yang perlu diselesaikan. Sebaik mungkin aku cuba untuk hindari masalah namun ia seringkali menghimpit diriku. Nampaknya semakin lama masalahku dan dia bagaikan tiada kesudahan.

“Termenung jauh nampak,” tegur Hamra diambang pintu bilikku. Sebaik sahaja mendengar suara itu aku lantas bangun dan mengukir senyum.
“Takdelah. Cuma letih je,” jawabku ringkas. Hamra duduk disisiku sambil tersenyum simpul.
“Lain macam je aku tengok kau. Ada apa-apa ke ni?” tanyaku.
“Lain macam macamana pula. Aku okay je,” kata Hamra. Wajahnya sedikit merona.
“Ni berseri-seri je. Mesti baru jumpa Halim kan?” tebakku.
“Hurm… Actually tadi aku ke rumah family dia and have some short discussion,” beritahu Hamra.
“What?! Really? Sound good. Apa yang dibincangkan tu?” tanyaku dengan penuh minat. Dari riak wajahnya aku tahu sesuatu yang baik bakal berlaku tak lama lagi. Lagipun mereka berdua telah berkawan lebih dari tiga tahun mengikut perkiraanku.
“Insya-Allah kalau tiada aral lepas raya ni family Halim datang merisik,” kata Hamra tersipu-sipu.
“Wah, baguslah. Aku tumpang gembira. Lagipun korang dah lama berkawan. Dah tiba masanya untuk hidup berkeluarga,” kataku sambil menggenggam erat tangan Hamra.
“Thanks Ryna. Aku harap semuanya akan berjalan seperti yang dirancangkan,”
“Aku doakan korang berdua bahagia. Harap-harap janganlah jadi macam aku,” kataku kepada Hamra. Sungguh! Aku gembira menerima perkhabaran ini.
“Ryna, maafkan aku sebab buat kau rasa begini,” kata Hamra sedikit sayu. Mungkin dia menyangka cerita ini membuka luka hatiku yang semakin parah.
“No, Ham. It’s okay. I’m happy for you. Really!” kataku sambil tersenyum manis.
“Betul ni? Aku tak nak berita ni buat kau rasa sedih,” tanya Hamra. Argh, kau terlalu mengambil berat akanku.
“Betul! Aku gembira sangat hari ni. Aku gembira sebab kawan yang aku sayang ni bakal dilamar orang. Okay, hari ni biar aku masak yang special untuk kau,” kataku bersemangat.
“Lambat lagilah. Lagipun merisik je Ryna,”
“Tak apa, sekali-sekala. Lagipun kita dah lama tak makan sedap-sedap kan?” kataku dan mula bangun untuk menuju ke dapur.

Aku tahu Hamra cukup menjaga perasaanku. Tetapi aku selaku kawannya juga tidak mahu dia mengetahui gelodak hatiku ini. Aku juga ingin dia merasai kegembiraan yang sepatutnya dia sendiri rasai. Ya, memang diakui hati wanita mana tidak tersentuh apabila mahligai yang diimpikan tidak akan pernah bertandang menyinari lubuk hatinya. Dan tatkala seseorang itu membawa perkhabaran gembira itu pastinya hatinya sedikit sedih kerana tidak berada dikaki orang yang sedang mengecapi kegembiraan itu.

Namun semua yang berlaku adalah yang terbaik dari apa yang telah disuratkan kepada kita. Dan aku sememangnya pasrah menerima kehidupanku kini.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

116 ulasan untuk “Novel : Dia Suamiku 23, 24”
  1. elisya says:

    penulis ada blog x???? :cool:

  2. syan says:

    why is it so long taand any longer!!! i cant wait for it naymore..

    we want more.. we want more.. we want more..!!!!!

    i beg u author!!!!!

    please make it faster!

    i’m dying waiting for it!!!!

    plis3!!! i really beg u!!!!!

    help us please!!!! we’re dying now!!!!

  3. miaka says:

    suke cite ni bile nak diterbit kannnnnnn…mane new entry lame dah tunggu tp xde pong

  4. nia says:

    cite ni xnk diterbitkan ke?best sangat

  5. allysponti says:

    errmm…da bpe bulan da tunggu kesambungan….bile nk smbung..:(

  6. noor says:

    terbitkan cerita ni..mnarik sangat :razz:

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"