Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 1, 2

20 December 2010  
Kategori: Novel

39,198 bacaan 21 ulasan

Oleh : geemus @ gee muszisya

1

“Boleh aku masuk?” Tiba-tiba Min terjengul di balik muka pintu bilik Anis yang tidak di tutup rapat.

“Tak boleh!” Tegas jawapan Anis langsung tidak menoleh ke arah Min yang masih menunggu jawapan.

“Peduli apa aku boleh ke tidak, aku nak masuk jugak,” selamba Min berkata lalu mengatur langkah ke arah Anis dan melabuhkan punggung di birai katil.
Anis berpaling memandang Min yang sedang tersengih padanya. Itulah Nur Minzatul sahabat baiknya, lebih senang dipanggil Min sahaja. Mereka senasib, dibesarkan di rumah anak-anak yatim Ar Raudhah. Min adalah sahabat paling baik dan menjadi tempat untuknya meluahkan perasaan yang tidak dapat diluahkan kepada kawan biasa. Dia seorang yang sangat memahami dan pendengar yang setia setiap masa.

“Nak apa kawan aku ni?” tanya Anis.

“Aku boring la duduk sorang kat luar tu. Yang kau ni kerja office selalu bawa balik rumah. Tak boring ke? Siang mengadap kerja, malam pun mengadap kerja.”

“Apa nak buat, takkan kau tak tahu kerja aku macam mana. Ke buat-buat tak tau.”

Min mengeluh perlahan sambil mencapai majalah di kepala katil. Tangannya ligat menyelak-nyelak helaian majalah itu.

“Anis…kesian kat kita kan tak ada mak ayah,” suara Min memecah kesunyian malam. Majalah Mingguan Wanita yang ditatap sebentar tadi kembali ditutup.

Anis yang sedang khusyuk menyemak kertas kerjanya berpaling ke arah Min. Terganggu seketika tumpuan untuk menyudahkan laporan yang perlu dihantar kepada client minggu hadapan. Laporan lengkap mesti disiapkan untuk proses pembayaran kos kerja yang telah diselesaikn oleh pihak syarikatnya. Tuntutan kerja ada kalanya memaksa dia turun ke tapak projek bagi memastikan data yang diperolehi adalah tepat. Bukan satu tanggungjawab yang remeh namun dia sukakan cabaran sebegitu.

“Kenapa kau cakap macam tu Min? Kalau ibu dengar mesti dia sedih…kan dia dah anggap kita macam anak dia sendiri.”

“Bukan itu maksud aku… memang aku tak nafikan kasih sayang ibu tidak ada tolak bandingnya, tetapi kelainan tu tetap ada Anis. Maksud aku status kita sebagai anak yatim piatu,” sayu nada suara Min kedengaran.

Anis terpana. Memang mereka dibesarkan di rumah anak yatim Ar Raudhah sejak kecil lagi. Rumah itulah yang mengajar mereka erti kehidupan, erti berdikari, erti ketabahan, erti kesabaran hidup tanpa ibu dan ayah. Namun kasih sayang ibu Mariam yang telah dianggap ibu oleh mereka di rumah anak yatim itu sedikit sebanyak mengajar mereka erti kasih sayang seorang ibu. Anis tetap bersyukur, walaupun dibesarkan tanpa ibu dan ayah sekurang-kurangnya dia mempunyai seorang ibu angkat yang cukup penyayang.

“Sudahlah Min… jangan fikirkan sangat perkara tu, sepatutnya kita bersyukur dengan apa yang kita ada. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kita,” tenang tutur Anis menasihati sahabatnya itu.

Min menghela nafas. Memang betul kata sahabatnya itu, apa yang terjadi sudah ditentukan oleh Yang Maha Esa. “Ye laa… ustazah!”

“Kau ni Min, aku cakap macam tu pun kau dah panggil aku ustazah. Kenapa, ada gaya ustazah ke aku ni?”

Min mencebik. “Eleh aku puji sikit dah kembang semangkuk.”

Anis tersengih panjang. “Apa pulak…kau yang cakap aku macam ustazah,”

“Kau tu ustazah moden…bergaya sangat, tak sesuai jadi ustazah. Ceramah boleh lah,” kata Min seraya tersengih.

“Baru aku nak bangga sikit kau dah cantas. Tak apa lah… aku jadi ustazah kau aje lah macam tu.” Anis kembali menumpukan perhatian kepada kertas kerjanya.
Min hanya tersenyum dengan kata-kata sahabatnya itu. Nuranis Fatihah, seindah namanya gadis yang punya pesona tersendiri. Seraut wajahnya manis dihiasi tahi lalat di bawah bibir. Tanpa perlu tatarias mewah berwarna-warni, dia tetap tampil berseri. Dia menawan dengan lembut tutur kata dan halus budi pekerti yang dimiliki. Ramai yang ingin mendekatinya. Namun, belum ada siapa yang mampu memiliki hatinya. Semua dilayan sama rata, tiada yang istimewa.

“Anis… aku tanya sikit boleh,” suara Min memecah keheningan antara mereka.

“Tanya apa?”

“Kau tak ada hati pada encik Amran tu ke? Dia kan selalu kacau kau. Pantang berselisih sikit mesti dia tegur kau.”
Anis hanya membisu. Pertanyaan Min itu membawa mindanya terbang mengingati peristiwa pagi tadi.
“Hai Anis… awal hari ni?”

“Tak adalah Encik Amran… macam biasa aje.”

“Saya nak turun breakfast… awak mesti belum breakfast lagi kan. Jom join saya. Saya belanja.”

“Eh! Tak apa lah Encik Amran saya dah breakfast kat rumah tadi. Encik Amran pergilah makan. Lagipun saya ada kertas kerja yang nak kena siapkan, minggu depan dah nak hantar,” kata Anis menolak dengan hemah pelawaan itu.

“Ye ke dah breakfast?” nadanya seperti ragu-ragu dengan jawapan Anis itu. “Kalau macam tu awak temankan saya. Saya boring makan sorang-sorang,” ajak Amran masih tidak berputus asa.
Hai… tak faham bahasa jugak orang ni. Karang aku sembur dengan bahasa berapi terasa pulak.

“Lain kali je lah Encik Amran, saya betul-betul nak cepat ni.” Anis masih lagi berlembut, walaupun di dalam hati dah naik meluat dengan perangai Amran yang mengalahkan ulat bulu itu. Kalau ikutkan hati, malas dia ingin melayan tetapi disebabkan Amran salah seorang pengurus syarikat dan mereka kerap berurusan bersama maka disabarkan hatinya melayan kerenah mamat miang itu.

“Dari dulu sampai sekarang jawapan itu jugak yang keluar dari mulut awak, Anis,”

Anis hanya mampu tersengih dengan kata Amran itu. Memang sudah terlalu kerap dia mengelakkan diri dari keluar berdua-duaan dengan Amran.

“Jangan ambil hati Encik Amran… saya bukan apa, nanti ramai yang jealous kalau saya keluar makan dengan Encik Amran. Mengalahkan artis popular pulak saya nanti kena gosip,” kata Anis memberi alasan.

“Ye lah tu… tak apa lah… nak buat macam mana kalau orang tak sudi,” kata Amran, rauk wajahnya jelas hampa dengan penolakan gadis itu.

“Heeee… maaf Encik Amran, lain kali aje ye.” Seulas senyuman diukir di bibirnya. “Saya pergi dululah Encik Amran ye…” Anis terus berlalu tanpa menoleh lagi. Meremang seketika bulu romanya tatkala terlayar kembali ‘drama sebabak’ yang tiada bertajuk itu.

“Anis! Aku tanya ni… kenapa kau diam aje?”

Anis melemparkan jelingan pada Min. Bukan dia tak tahu aku memang tak berkenan langsung dengan perangai Amran tu. Saja buat-buat tak tahu. Pantang diberi muka sikit Amran tu, mulalah miangnya datang. Eeiiii… menyampah betul. “Kau ni tak ada soalan lain ke nak tanya?”

“Ala.. aku tanya itu pun nak marah… sensitif betul kau ni. Jangan Anis… nanti benci jadi sayang pulak,” sakat Min seraya tersengih panjang.

Besar bukaan mata Anis mendengar kata Min itu. Pantas bantal kecil di ribaannya dilemparkan pada Min. Namun, sempat disambut oleh Min. Hilai tawanya masih kedengaran.

“Kau ni kan saja ja tau. Aku bukan benci, cuma menyampah dengan Encik Amran tu… mata dia kalau tengok orang macam boleh scan sampai kedalam. Seram aku.” Gerun Anis bila memikirkan pandangan Amran yang dirasakan tersirat seribu makna itu.

Tergelak Min dengan gaya dan mimik muka Anis. “Tapi dia tengok macam tu kat kau aje… kat orang lain tak ada pun macam tu…”

“Amboi! Mana kau tau Encik Amran tengok macam tu kat aku sorang aje? Kau selalu perhatikan Encik Amran tu ye? Entah-entah kau ada hati kat Encik Amran tu tak… ha…”

“Heh! Tak ingin aku… kesetianku hanya pada abang Faizul ku sorang aje…” Sengaja dilentokkan badannya seakan menggoda di hadapan Anis.

“Menyampah aku dengan orang tengah angau ni… gedik semacam aje aku tengok.” Anis mencebik melihatkan gaya Min yang tersengih bahagia akan perhubungannya dengan Faizul yang baru mencecah lima bulan.

“Dah lah, pergi balik bilik kau. Kacau aku nak buat kerja aje.” Anis kembali berpaling mengadap kerjanya.

“Ye lah… nak keluar la nih… kacau sikit pun tak boleh.” Min mengangkat punggung ingin keluar. Namun, perjumpaan hari esok membantutkan langkahnya. “Anis, esok jadi ke perjumpaan untuk semua staff? Pukul berapa ek?”

“Jadi… pukul 10 pagi.”

“Meeting apa ek?” tanya Min lagi. Sudah lama tidak diadakan perjumpaan dengan semua pekerja. Kenapa agaknya ya? Hatinya tertanya-tanya.

“Mana la aku tahu,” jawab Anis tanpa memanggungkan kepalanya sambil tekun menulis sesuatu.

“Agak-agak apa ek? Entah-entah bos nak ubah management tak?” Serkap jarang Min tidak dihiraukan Anis. Dia lebih menumpukan perhatian pada kerjanya yang perlu disiapkan segera itu.

“Aku agak sebab tu la… kan tak lama lagi Datuk dah nak pencen, mesti dia nak buat sesuatu kan.” Min masih berteka teki sendirian.

“Kau rasa ada apa Anis?”

Anis hanya mendiamkan diri.

“Anis!” panggil Min tetapi tidak diendahkan Anis.

“Anis!!”
Terperanjat Anis bila Min menjerit begitu hampir dengan telinganya.

“Hoi! Kau ni kenapa? Naik cair tahi telinga aku ni tau tak.” Anis mengusap-ngusap telinganya yang terasa bingit dengan jeritan Min tadi.

“Dah aku panggil kau tak dengar.”

“Yang kau nak sibuk-sibuk ni apasal… tak boleh nak tunggu esok. Dah! Jangan kacau aku, banyak lagi yang tak siap ni.”

“Ye lah… aku keluar… kau tu jangan tidur lambat sangat,” nasihat Min. Selepas memberi salam dan ucapan selamat malam, dia terus berlalu keluar dari bilik Anis.
Anis mengeluh panjang. Dia tahu perjumpaan esok adalah untuk memperkenalkan CEO baru Puncak Holding, Akmal Ikram Datuk Mansor.

Satu keluhan terbit di bibirnya bila memikirkan dia akan bekerja sebumbung dengan Akmal yang memang tidak menyenangi dirinya. Bukan dirinya yang terhegih-hegih berkenalan rapat dengan keluarga Datuk Mansor. Datuk Mansor sendiri yang mengundangnya untuk makan malam di rumahnya sebagai tanda ucapan terima kasih kerana memperkenalkan rumah anak yatim Ar Raudhah. Dia hanya mengusulkan cadangan setelah mendengar hasrat Datuk Mansor untuk menderma di rumah anak-anak yatim. Dia bukannya jenis yang mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain tetapi apa salahnya dia menerima pelawaan ikhlas Datuk itu.

Kebetulan pada masa itu, Akmal pulang ke Malaysia untuk menghabiskan cuti semesternya. Masih terbayang di ruang mata pandangan tajam Akmal yang seperti harimau ingin menelan mangsanya. Harap muka aje handsome tetapi perangai tidak seindah rupa.

Sejak dari itu, dia tidak berani lagi menjejakkan kaki ke rumah majikannya itu. Khuatir akan terserempak lagi dengan lelaki sombong itu. Apa dia ingat aku kemaruk sangat pada pangkat dan harta tu?? Tak kempunan pun. Biarlah dia nak fikir apa pun, janji aku tak kacau dia dan dia tak kacau aku.

Anis mengeluh perlahan seraya menyandarkan badannya di kerusi. Hari ni boleh lah cakap macam tu, tetapi hari esok belum tentu akan jadi seperti apa yang kita fikirkan.

————————-

2

Sebaik meletakkan gagang telefon di tempatnya, Anis bingkas bangun. Dia sudah terlambat untuk perjumpaan yang akan diadakan pagi ini. Dia mengerling sekilas jam tangannya. Alamak! Aku dah lambat! Lantas dia keluar dalam keadaan yang tergesa-gesa dan ketika itu tidak disangka akan bertembung dengan Datuk Mansor. Anis sedikit tergamam tetapi apabila Datuk Mansor melemparkan senyuman padanya dia juga turut membalas senyuman itu. Namun bila terpandang makhluk yang berada di belakang Datuk Mansor, senyuman di bibir semerta terasa hambar. Ya… itulah Akmal Ikram Datuk Mansor. Seketika pandangan mereka bertaut. Anis segera melarikan anak matanya memandang Datuk Mansor. Entah kenapa dadanya berdebar.

“Assalamualaikum Datuk,” tegur Anis menutup kegugupan yang bertamu dalam diri.

“Waalaikumussalam… sibuk ke Anis, awak sorang aje ketinggalan bas ni,” seloroh Datuk Mansor memandangkan hanya Anis seorang yang belum ke bilik mesyuarat.

Anis tersenyum.

“Engaged dengan client tadi Datuk… itu yang keluar lambat ni,” jawab Anis.

“Kalau macam tu jom lah kita ke bilik mesyuarat.”

Anis hanya mengangguk. Tidak lekang senyuman di bibirnya. Namun, senyumannya mati bila pandangannya jatuh pada wajah serius Akmal. Apa masalah mamat ni dengan aku? Muka tu tak manis langsung, harap nak senyum lagilah.

Anis membiarkan Datuk Mansor dan Akmal berlalu dulu sementara dia membuntuti dari belakang. Dari dinding kaca kelihatan sudah ramai pekerja yang menunggu.
Berita yang disampaikan oleh Datuk Mansor benar-benar mengejutkan pekerja Puncak Holding kecuali ketua-ketua bahagian yang telah dimaklumkan terlebih dahulu dalam mesyuarat ketua bahagian pada minggu lepas. Mereka tidak menyangka Datuk Mansor akan bersara lebih awal dan digantikan dengan anak sulungnya Akmal Ikram. Semua pekerja menyambut baik keputusan itu demi kesihatan Datuk Mansor.

“Anis” tegur Min sejurus keluar daripada bilik mesyuarat.

“Apa?”

“Handsome anak Datuk tu… terbeliak mata anak-anak dara Puncak Holding bila nampak Encik Akmal tadi.”

“Termasuk kaulah,” sempat Anis menyindir Min yang begitu teruja dengan kekacakan CEO baru mereka itu.

“Kau perli aku ek!”

Anis hanya tersengih. “Aku report kat Faizul nanti baru kau tau…”

“Eh! Sejak bila pulak kau jadi reporter karat si Faizul ni. Berapa dia bayar kau?” Min sudah bercekak pinggang di hadapan Anis tanda tidak puas hati.

“Ada laa…” selamba Anis menjawab.
Min mencebik. “Ada aku kisah…” Min terus berpaling ingin kembali ke mejanya.

“Betul kau tak kisah?” tanya Anis ingin menduga.

“Nope,” ringkas Min menjawab sambil melangkah.

“Betul ke ni?” tanya Anis inginkan kepastian.

“E’ya…” Min berpaling mengadap Anis yang masih terus mengusik.

“Eh… hari ni Faizul ajak kita lunch sama-sama kan. Tak sabar rasanya nak sebarkan berita sensasi hari ni.” Anis sudah tersenyum lebar menyakat Min.

Terhenti langkah Min. Pantas dia berpaling mengadap Anis. “Wey… jangan la… Faizul tu kalau merajuk bukan main susah lagi nak pujuk. Mengalahkan orang perempuan lagi perangai.”

“Haa… tau takut.”

“Awak berdua ni tak ada kerja ke asyik bersembang aje?”
Tergamam Anis dan Min dengan teguran itu. Pantas mereka berpaling ke arah suara itu. Riak terkejut jelas terpancar di wajah kedua gadis tersebut bila Akmal memandang tajam ke arah mereka.

“Saya tak suka pekerja dalam syarikat ni bergosip waktu kerja. Masa kerja untuk bekerja bukan untuk bersembang kosong. Awak berdua faham apa yang saya katakan.”c
Tegas nada suara Akmal kedengaran. Sepasang matanya memandang tepat ke arah wajah Anis. Entah mengapa dia tertarik dengan wajah lembut itu. Namun, Akmal tidak mahu tunduk pada perasaannya sendiri. Dia tidak mahu dikecewakan lagi. Perasaan itu terlalu perit untuk dikenang. Biarlah dia hidup begini walaupun tanpa tulang rusuk pendamping diri. Dia hanya mampu berserah kepada Allah akan talian jodohnya kini. Akmal terus berlalu pergi ke biliknya meninggalkan kedua gadis yang ternyata terkejut dengan sergahannya tadi.

“Ini kau punya pasal Anis,”

“Eh! Apa pulak aku… kau pun sama dua kali lima,” bidas Anis membela diri.

“Kau yang cari pasal dulu,” balas Min pula.

“Kau orang berdua ni, kalau bertelagah masing-masing tak nak mengalah. Macam budak-budak perangainya.” Tiba-tiba Kak Yati setiausaha kepada Datuk Mansor menegur mereka sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Dia ni la kak, suka cari pasal,” kata Min sambil menjuihkan bibir ke arah Anis.

“Apa pulak aku… kau tu yang terlebih gedik hari ni,” balas Anis yang juga tidak mahu mengalah.

“Sudahlah… sampai pagi besok pun tak habis kalau asyik main tuduh aje. Dah! pergi buat kerja!”

“Yes, madam!” serentak Min dan Anis bersuara sambil mengangkat tanda tabik kepada kak Yati sebelum masing-masing melepaskan tawa. Kak Yati hanya mampu tersenyum melihat keletah dua sahabat baik itu yang sudah tiga tahun menjadi warga kerja Puncak Holding. Persahabatan yang sukar dipisahkan lagi, pahit manis dikongsi bersama dan suka duka dihadapi berdua.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

21 ulasan untuk “Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 1, 2”
  1. Aliah Mohd Salleh says:

    Permulaan ceriter yang menarik.Best.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"