Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 3, 4

28 December 2010  
Kategori: Novel

27,481 bacaan 12 ulasan

Oleh : geemus @ gee muszisya

3

Sejak Akmal memegang jawatan CEO, Anis merasakan ada saja yang tidak kena dimata Akmal. Kenapa Akmal seolah-oleh mendera perasaannya, malahan kerja yang sepatutnya diberikan kepada orang lain diberikan padanya. Meskipun bebanan kerja yang banyak namun Anis tidak pernah mengeluh. Prinsipnya yang sukakan cabaran menjadi pendorong kepadanya untuk tekun bekerja dan menyelesaikan tugas yang diberikan sebaik mungkin.

“Anis, kau tak nak pergi lunch ke? Dah pukul satu ni,” ajak Min. Simpati dia melihat Anis yang tekun bekerja sehingga tidak peduli waktu makannya. Entah kenapa bos baru mereka suka memberi kerja kepada Anis sehingga tidak menang tangan dibuatnya.

“Kau pergi dululah Min, aku ada kerja lagi yang tak siap ni, esok dah nak hantar kat bos,” jawab Anis tanpa memanggungkan kepala.

“Ala…tinggalkan sekejap kerja tu, lepas makan sambung balik,” kata Min tetap ingin mengajak Anis turun makan bersamanya.

“Tak boleh… banyak lagi ni… kau tapaukan aje lah untuk aku ye.”

“Aku hairan kenapa Encik Akmal tu selalu bagi kerja kat kau. Padahal kerja tu bukan kerja kau.” Berkerut kening Min memikirkan perlakuan Encik Akmal yang dirasakan tidak adil dalam pembahagian kerja.

“Kau boleh complain pada Datuk perkara ni Anis. Teruk sangat aku tengok kau sekarang. Makan pun dah tak menentu.”

“Hish! kau ni, dia kan baru kat sini, kita sepatutnya memberi sokongan dan bantuan kat dia yang masih belajar dalam selok belok syarikat.”

“Erm… ye la tu, entah-entah dia tak tau buat kerja tak,” bisik Min hampir di telinga Anis.

“Ewah… ewah… kau ni sesuka hati sesedap rasa mengata orang.”

“Heeee, mana tahu kan.” Tersengih Min dengan tanggapan negatif mengenai CEO baru mereka.

“Dah lah! Daripada kau dok topup dosa kat sini, baik pergi makan.”

“Ye lah, aku tapaukan kau lauk macam biasa lah ye, ke nak lauk lain,” soal Min.

“Macam biasa je.”

“Ok, aku cau cin cau dulu.” Min terus berlalu keluar dari bilik Anis.

Anis meneruskan kerja yang terganggu tadi. Dalam beberapa minit kemudian, Akmal datang menjengah di muka pintu. Namun, dia tidak berniat hendak menyapa Anis yang sedang leka dengan kerjanya. Akmal hanya memerhati dalam diam. Manakala Anis langsung tidak menyedarinya.

Lama raut wajah Anis menjadi santapan matanya. Keayuan wajah dan kelembutan gerak laku menarik perhatiannya. Apatah lagi senyuman yang terlukis di bibir seumpama penawar sakti melenyapkan segala kedukaan.

Mengapa getaran itu sering hadir di hatinya kini? Tapi dia tidak mahu lagi tunduk pada perasaannya. Bagaimana dia harus menolak perasaan yang tiba-tiba muncul dalam dirinya? Tidak! Aku harus kuat. Pengalaman lalu masih segar diingatannya.

“Erm, erm…”

Anis berpaling ke arah datangnya suara itu. Dia melihat Akmal bersandar tenang di muka pintu. Entah mengapa, dirasakan Akmal begitu tampan dengan gayanya begitu. Saat mata bertaut, dia dapat rasakan ada debaran yang bertamu. Dah mereng agaknya kau, Anis. Tiba-tiba ada perasaan tak tentu hala.

“Encik Akmal sakit tekak ke?” Terpana Akmal dengan teguran Anis yang tidak disangkanya. Tubuhnya sudah berdiri tegak dek teguran itu. Boleh tahan jugak berani minah ni.

“A’ah, sakit tekak sikit,” jawab Akmal sedikit gugup. Terpaksa dia mengaku untuk menutup malunya.

“Anis saya ada hal nak berbincang dengan awak,” beritahu Akmal tujuan sebenarnya. Wajahnya tampak serius sahaja.

“Sekarang ke Encik Akmal?” ragu-ragu Anis bertanya.

“Pukul dua setengah nanti.” Akmal melihat sekilas ke arah jam tangannya.

“Okay.” Dalam tenang ada gusar yang bertandang. Hal apa ek! Aku ada buat salah ke? Tengok muka, tak nampak macam aku ada buat salah pun. Kenapa dia tidak mesra seperti Datuk? Serius memanjang. Kadang tu masam aje mengalahkan asam kecut. Tanpa sedar tersungging senyuman kecil di bibirnya.

“Apa yang awak tersenyum sorang-sorang tu.”

Terperanjat Anis, disangkakan Encik Akmal sudah berlalu pergi. Bila masa Encik Akmal ni berpatah balik. “Hah! Tak ada apa-apa senyum tu kan satu sedekah,” jawab Anis sedikit canggung.
“Hai… kalau senyum sorang-sorang tu bukan sedekah namanya. Tu macam orang otak tak betul.”

Mata Anis terbuka luas mendengar kata Akmal itu. Amboi! Sedapnya bahasa. Tak berlapik langsung. “Ada apa-apa lagi Encik Akmal?” tanya Anis cuba bermanis muka.

“Awak tak pergi lunch ke?” Pertanyaan Anis dibalas dengan pertanyaan oleh Akmal.

“Tak, Min tapaukan untuk saya.” Apasal bos aku baik sangat hari ni. Ada udang di balik mee ni, baik ada makna tu. Mesti nak bagi kerja lagi kat aku. Habislah aku… bila masa nak siap semua kerja ni. Ingat aku kuli batak dia ke? Hari ni dah jumaat, esok cuti nak jugak berehat kat rumah.

“Kalau macam tu tak apalah, saya pergi dulu.”
Berkerut dahi Anis memandang Akmal melangkah keluar dari biliknya. Apa kena dengan dia ni? Tangan Anis menggaru kepala. Pelik aje aku tengok. Ah!Lantaklah!

“Saya nak kita pergi ke tapak projek minggu depan,” tegas kata Akmal dengan keputusannya.

“Encik Akmal, benda ni boleh diselesaikan di sini saja tanpa perlu turun ke tapak projek,” kata Anis pula. Malasnya aku nak pergi, bukan besar sangat masalah, setakat nak tengok lebihan material, supervisor pun boleh periksa.

“Bagi awak memang senang, tapi saya masih baru di sini, awak kena faham tu,” balas Akmal pula tetap dengan keputusannya. Payah betul minah ni, ada saja jawapan.

“Kalau macam tu Encik Akmal pergi dengan Encik Amran, dia boleh ajarkan apa yang patut, lagipun saya ni kan perempuan tak berapa sesuai nak masuk store,” cadang Anis. Alasan aje tu Anis padahal sebelum ni bukannya kau tak biasa buat kerja tu.

“Bukan sebelum ni sebulan sekali awak turun ke tapak projek ke?”

“Betul, tapi kalau nak check material, supervisor pun boleh buat Encik Akmal.”

“Itu saya tahu, tapi saya nak tengok keadaan tapak projek jugak. Macam mana perjalanan urusan kerja di sana.”

“Sebab tu saya cadangkan Encik Akmal pergi dengan Encik Amran… dia lagi tahu selok belok tapak projek, lagipun saya hanya uruskan tentang claim, bukannya progress kerja di sana,” usul Anis lagi. Tak faham betul bos aku ni, suka sangat bagi arahan yang tak ada kena mengena langsung dengan kerja aku.

“Anis! Sekarang ni siapa bos, awak ke saya?” tekan Akmal. Degil jugak minah ni. Sekarang aku guna kuasa aku baru dia tahu.

Muncung wajah Anis. “Ye lah, saya ikut aje keputusan bos…” perlahan Anis bersuara. Kejam betul, mentang-mentang dia bos, asyik kena ikut cakap dia aje.

“Aik! Dah tukar gelaran dah?” Hairan Akmal dengan panggilan Anis pada dirinya.

“Tadi bos jugak yang tanya… siapa bos di sini. Takkan gaharu cendala pula,” selamba Anis menjawab.
Akmal tersenyum. Suka dia melihat wajah Anis yang memuncung begitu.

“Okaylah kalau macam tu hari isnin kita pergi.” Akmal mula mengemaskan kertas-kertas yang berselerak di atas mejanya.
Hah! Hari isnin! Apa punya kejam bos aku ni. Dah hari isnin ada dateline dengan client, mesyuarat lagi. Macam dah tak ada hari lain. Ngomelnya di dalam hati

“Kenapa, ada masalah ke?” tanya Akmal sebaik terpandang raut wajah Anis seperti tidak berpuas hati.

“Hari lain tak boleh ke bos? Banyak kerja saya nak buat hari tu.”

Tajam renungan Akmal pada Anis. Bukan pasal alasan yang diberikan tetapi panggilan yang digunakan Anis padanya. “Awak ni tak habis lagi ke perli saya?”
Berkerut dahi Anis. “Bila masa saya perli? Kan bos tanya tadi, jadi saya jawab.” Mana ada aku perli apa pun cuma cakap agenda hari isnin tu aje.

“Yang awak panggil saya bos tu, kenapa?”

“Tadi bos jugak yang ingatkan saya… siapa bos di sini. Jadi tak salahlah kalau saya panggil bos… bos kan.”
Geram Akmal dengan sikap degil Anis.

“Awak ni harap muka aje comel tapi degil.”
Terbeliak mata Anis. Amboi… dalam puji sempat kutuk aku. Sabarlah wahai hati.
“Tak betul ke apa yang saya cakap?” sela Anis. Kenapa aku suka nak melawan cakap dia? Apa yang dah merasuk kau ni, Anis?

Akmal melirik senyum. Keletah Anis mencuit hati. Cepat melenting jugak orangnya.

Anis terpaku seketika tatkala terpandang segaris senyuman terukir di bibir bosnya itu. Handsomenya. Aduhai… tergoda aku dibuatnya. Baik aku keluar, boleh semput aku kalau lama-lama duduk dalam ni. Kuatkanlah imam hambaMu yang lemah ini ya Allah.

“Okay bos saya keluar dulu, kalau ada apa-apa bos beritahulah saya nanti.” Anis terus bangkit. Fail-fail di atas meja dicapai dan dikepitkan ke dada.
Akmal hanya mengangguk dan memerhati Anis berlalu keluar dari biliknya. Dia bersandar santai di sofa. Pen di tangan dilemparkan ke atas meja. Apa kena dengan aku? Kenapa wajahnya yang ingin ku pandang selalu? Tingkahnya sentiasa mencuri perhatian ku? Mengeluh panjang Akmal dengan sikapnya sejak akhir-akhir ni.

———————

4

Nuranis Fatihah berbaring di sofa sambil menonton televisyen. Kegemarannya dihujung minggu melepak sambil menonton televisyen diwaktu pagi sudah menjadi kebiasaan. Selepas menonton dia akan menghabiskan masanya mengemas rumah dan membasuh pula sebelum berkunjung ke rumah ibu angkatnya, Puan Mariam.

Aktiviti mingguannya sejak akhir-akhir ini agak terganggu kerana timbunan kerja yang menuntut masa senggangnya di hujung minggu. Tapi dia cuba yang terbaik menguruskan kerja-kerja yang diamanahkan. Sambil itu, Anis membaca rencana menarik dalam majalah wanita yang baru dibeli semalam sementara menunggu rancangan kegemarannya, soal jawab bersama ustaz yang disiarkan seawal tujuh pagi. Hanya dengan cara itu sajalah dia dapat menambahkan ilmu agama di dada. Boleh dibilang dengan jari kalau nak harapkan dia membelek buku agama jika dibandingkan minatnya yang suka mengumpul koleksi novel. Pantang melalui kedai buku ada saja novel baru yang ingin ditelek.

Dia bersyukur, berkat didikan yang diperolehi dari rumah anak yatim Ar Raudhah menjadi panduan dan penyuluh padanya tentang batasan-batasan dan larangan sebagai umat Islam. Namun, dia juga manusia biasa kekadang terlalai dengan godaan duniawi. Lantaran itu, doa sentiasa dititipkan seusai solat agar diri dilindungi daripada godaan syaitan yang tak jemu menghasut anak-anak adam.
“Hhmm… malasnya nak pergi office.” Anis merungut sendiri bila mengenangkan kerja yang bertimbun di atas meja pejabatnya. Letih kerja dengan bos berhati batu ni, asyik lambakkan kerja kat aku aje tahu. Dia ingat aku kuli batak dia ke? Hari ni pun tak dapat jenguk ibu. Spontan tangan mencapai telefon bimbit di atas meja di hadapannya.

“Assalamualaikum ibu…” Anis bersuara manja. Terlalu rindu pada ibu angkat yang sudah lama tidak dijenguknya.

“Wa’alaikumussalam, mendayu aje suara anak ibu ni kenapa?”

“Rindu kat tomyam berapi ibu…”

“Oooo… rindu tomyam. Kat ibu tak rindu lah ye?” kata Puan Mariam seolah merajuk, namun dia tahu Anis hanya bergurau dengannya.

“Hehehe… lawak je… kat ibu lagi rindu.”

“Kenapa dah lama tak balik rumah ibu?”

“Sibuk sangat ibu, hari ni pun kena pergi office,” beritahu Anis mengadu.

“Tak apa… nanti bila senang boleh datang rumah ibu,” mendatar suara Puan Mariam bersuara.

“Ibu tengah buat apa tu?” tanya Anis.
Dia mengagak tentu ibu sedang sibuk menyediakan sarapan pagi. Ibu memang suka masuk ke dapur. Kebanyakkan masa ibu dihabiskan di rumah anak-anak yatim Ar Raudhah sejak Tuan Hamidi pulang ke rahmatullah kerana serangan sakit jantung pada usia 58 tahun. Mungkin dengan cara itu dapat menghilangkan rasa kesunyiannya.

“Ibu tengah masak, nanti nak hantar ke rumah Ar Raudhah.”

“Masak apa ibu?”

“Nasi lemak.”

“Sedapnya…” Terliur Anis bila mengenangkan masakan ibu yang menyelerakan. Masaklah apa pun memang kena dengan citarasanya, betul kata orang tua dulu, air tangan juga memainkan peranan dalam sesuatu masakan.

“Kalau nak merasa datanglah rumah ibu.”

“Ala… ibu ni saja tau… sian kat Anis. Nanti ibu masak lagi ye.”

“Amboi! Siap order lagi. Dah sarapan ke belum ni?”

“Belum ibu, sekejap lagi. Hhm…ibu, hari isnin Anis outstation,” beritahu Anis sambil bangkit dari pembaringan lalu bersandar di sofa. Dia mengerling sekilas ke arah jam dinding.

“Pergi dengan siapa?”

“Pergi dengan bos Anis”

“Bos Anis tu lelaki ke perempuan?”

Anis senyum. “Lelaki…” jawab Anis ringkas. Dia tahu ibu risau akan keselamatan dirinya.

“Berdua aje?” tanya Puan Mariam inginkan kepastian.

“A’ah, berdua je,” jawab Anis bersahaja.

“Selalunya Anis pergi dengan Min kan?”

“Min tak boleh ikut sebab dia terpaksa gantikan Anis dalam satu mesyuarat. Ibu jangan risau, Anis boleh jaga diri. Kalau bos Anis tu cuba buat sesuatu, Anis tahu apa nak buat,” kata Anis cuba meyakinkan Puan Mariam.

“Anis nak buat apa?” pintas Puan Mariam bertanya tidak sabar ingin tahu.

“Anis buka langkah,” jawab Anis, di bibir mula terukir senyuman.

“Langkah? Langkah apa?” tanya Puan Mariam tidak tahu.

“Langkah apa lagi ibu, langkah seribu laa…?” Anis sudah mengekek ketawa kerana dapat mengenakan ibunya dipagi hari.

“Budak ni… saja nak kenakan ibu ye,” geram Puan Mariam dengan kenakalan Anis, ada saja idea untuk mengusiknya.

“Jangan bimbang ibu, bos Anis tu tak makan orang. Anis janji akan jaga diri,” kata Anis menyakinkan lagi Puan Mariam.

Walaupun Anis hanya anak angkat tetapi Puan Mariam sudah menganggap Anis seperti anak kandungnya sendiri. Puan Mariam tidak mempunyai zuriat hasil perkahwinannya dengan arwah suaminya, Tuan Hamidi. Disebabkan itu Puan Mariam mengambil Anis sebagai anak angkat. Namun, ada peristiwa yang disembunyikan oleh Puan Mariam dari pengetahuan Anis. Rahsia yang disimpan kejap demi keselamatan Anis. Biarlah masa yang menentukan bilakah rahsia itu akan terbongkar.

“Ibu percaya anak ibu pandai jaga diri, tapi kadang-kadang kita boleh terlalai juga,” kata Puan Mariam menyuarakan kegusarannya.

“Insya-Allah Anis akan sentiasa ingat pesan-pesan ibu.”

“Ibu bukan apa, Anis tu perempuan. Cantik pulak tu, risau jugak ibu zaman sekarang macam-macam perkara buruk berlaku.”

Anis tersengih. Dalam risau ibu sempat pula memujinya.

“Anis tahu ibu risau. Anis janji akan jaga diri… ibu jangan risau ye. Okay ibu… Anis kejap lagi nak masuk office. Mandi pun belum lagi. Bila senang nanti Anis call ibu lagi ye.” Anis mengerling ke arah jam dinding, sudah melebihi jam 8.00 pagi. Dia tidak mahu masuk terlalu lewat ke pejabat, takut tidak sempat menyiapkan kerja yang akan diserahkan pada Min isnin nanti.

“Jaga diri baik-baik, bila sampai sana nanti jangan lupa call ibu. Kirim salam kat Min nanti,” pesan Puan Mariam.

“Insya-Allah… ibu pun jaga diri.”

Anis memberi salam sebelum mengakhiri perbualan. Terubat rindunya. Ibulah yang banyak membantunya selama ini, terutama diwaktu dia melangkah ke menara gading. Pernah dia cuba untuk bekerja sambil belajar tetapi ibu tegas menegah. Wang saku yang dihulur setiap bulan padanya diterima dengan hati separuh rela tetapi dia tidak berani menolak kerana khuatir ibu akan berkecil hati.

Sudah lama dia kepingin mengetahui tentang asal-usulnya, tetapi ibu selalu mengelak bila disoal tentang itu. Menurut ibu ada sepasang suami isteri datang menghantarnya ke rumah anak yatim Ar Raudhah. Jika ditanya lebih lanjut, ibu seolah-olah cuba melindungi kesahihan yang sebenar. Tetapi dia terpaksa akur, kerana ibu yang menjaganya dengan penuh kasih sayang selama ini. Dia tidak mahu ibu terguris hati hanya kerana kedegilannya ingin membongkar kisah lampau.

“Hoi!” sergah Min bila melihat Anis asyik dengan menungannya.

“Oi mak kau,” terlatah Anis dek terperanjat dengan sergahan itu. Pantas Anis menoleh pada Min yang sedang tersengih umpama kerang busuk sahaja. Lantas bantal kecil yang ada di sisinya menjadi mangsa. Berderai tawa Anis melihatkan rambut Min yang serabai kerana penangan balingannya tadi mengenai tepat pada sasaran.

“Kau ni suka buat aku terkejut. Lain kali bagi salam dulu. Kau bukan tak tahu aku ni berdarah gemuruh. Cepat terkejut. Nasib baik aku ni tak ada sakit jantung, kalau tidak dah lama pergi simpang batu dua.” Anis mula berleter. Geram dengan sikap Min yang suka menyergahnya.

“Eleh… macam dia tu tak biasa buat kat orang,” balas Min sambil tunduk mengambil bantal kecil itu lalu melabuhkan punggung di sebelah Anis.

“Eh! Kau kata nak masuk office pagi ni… aku tengok elok aje dok bertenggek lagi kat sini.” Min berpaling memandang Anis yang masih bersantai di sofa. Anis ada memberitahunya semalam hari ini dia terpaksa masuk kerja untuk menyiapkan dokumen yang akan diserahkan padanya untuk mesyuarat isnin nanti. Kesian kawan aku ni, orang cuti dia kena kerja.

“Aku masuk lewat sikit… aku baru lepas cakap dengan ibu. Ibu kirim salam kat kau,” beritahu Anis, mendatar sahaja suaranya kedengaran.

Min mengamati wajah Anis seketika. Ada riak kekeruhan terbias di raut wajah itu. Dia faham benar dengan perangai sahabatnya ini. Tiada siapa yang tahu disebalik senyuman dan tawanya itu tersingkap seribu persoalan dalam dirinya yang belum terungkai.

“Hoi…pergi mandilah. Dah bau macam kambing gurun kau ni.” Min menyiku lengan Anis, mengejutkannya dari terus mengelamun.
Anis mencebik.

“E’eleh minah ni. Macam dia dah mandi. Entah-entah gigi pun tak berus lagi.”

Sambil tersengih seperti kerang busuk, Min bertanya kepada Anis. “Kau nak tahu ke aku dah berus gigi ke belum?”

Laju Anis menggeleng, pantas tangannya menutup hidung. Sudah dapat mengagak apa yang akan dilakukan oleh Min.

“Kau ni tak senonoh betul Min, pagi-pagi kau nak merosakkan deria hidung aku ni. Dah la bau mulut kau tu macam longkang belakang rumah,” kata Anis. Tangannya masih menutup hidung dan mulutnya.
“Apa! kau kata bau mulut aku macam longkang.” Membuntang mata Min sambil bercekak pinggang. Bertuah betul minah ni. Min mendekatkan tubuhnya pada Anis namun sepantas kilat Anis bangkit. Mereka berkejaran mengelilingi sofa bagaikan kanak-kanak riang sahaja.

“Min, takkan exercise dalam rumah kot, aku tahu kau tu nak turunkan berat badan,” sindir Anis pada Min yang masih mengejarnya.

“Kurang asam betul minah ni. Sudah lah, naik semput aku pagi-pagi ni.” Min menghenyakkan punggung di sofa menghilangkan penatnya. Dia mengakui mudah penat memandangkan badannya yang sedikit gempal.

Anis turut melabuhkan punggung di sebelah Min bersama sengihan panjang di bibirnya. “Sorry… aku bukan apa, kau selalu sangat buat macam tu. Geram aku! Kalau wangi tak apa jugak. Ni bau macam…” terhenti kata-katanya bila melihat renungan tajam Min padanya.

“Lagi sekali kau sebut aku buat sungguh!” kata Min sambil menunding jari ke arah Anis memberi amaran.

“Opppss…” Anis pantas menutup mulutnya.

“Oit minah… kau nak masuk office pukul berapa?” tanya Min sambil mengerling jam dinding.

“Alamat pukul berapa aku nak sampai office? Aku pergi mandi dulu.” Anis bingkas bangun.

Min menggelengkan kepala melihat tingkah Anis tadi. Itulah sahabat dikala susah dan senang. Walaupun Anis seorang periang namun kedukaan hatinya sukar diselami. Selagi mampu dipendam perasaannya dia akan bertahan. Sekiranya tidak mampu lagi, padanyalah tempat Anis mengadu. Harapannya semoga persoalan akan terjawab suatu hari nanti. Sekiranya itu adalah yang terbaik untuk diri Anis, semoga Allah memakbulkan doanya walaupun pedih untuk diterima namun persoalan harus dirungkaikan jua.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

12 ulasan untuk “Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 3, 4”
  1. rosmpkmn says:

    best

  2. Aliah Mohd Salleh says:

    Saya suka ceriter ni menarik.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"