Novel : M.A.I.D 20

17 December 2010  
Kategori: Novel

31,578 bacaan 131 ulasan

Oleh : Permaisuri

Nampak sahaja kelibatku, Mr Lee terus mengangkat tangannya tinggi dan melambai ke arahku. Aku juga membalas lambaiannya. Sengaja aku sampai awal hari ini. Sebungkus roti canai telur kuberikan kepada lelaki yang kelihatan sedang melipat akhbar berbahasa cina miliknya. Dengan pantas lelaki di hadapanku ini mengeluarkan garfu dan sudu untuk menjamu selera sambil mengucapkan terima kasih berulang-ulang kali kepadaku. Tapi, pergerakannya terhenti seketika ketika mata kami bertemu.

“Amoi, you ada masalah ka?” Soal lelaki itu. Aku hanya menggelengkan kepala.

“Jangan tipu sama saya. Kalau ada masalah, cerita sama saya, mungkin saya boleh tolong.” Ujarnya lagi. Memang tertulis di wajahku yang aku mempunyai masalah, agaknya. Sampai Mr. Lee pun boleh perasaan. Bungkusan yang berisi roti canai dibukanya dengan cermat sekali.

“Bukan saya, tapi kawan saya.” Ujarku yang malu hendak mengaku cerita yang bakal kuceritakan adalah kisahku. Mana tahu, ringan sikit otak selepas berkongsi dengan Mr. Lee.

“Oh, kawan you ada masalah apa? Duit ka?” Soal Mr. Lee lagi. Secebis roti canai dimasukkan ke dalam mulut.

“Bukanlah Mr. Lee. Ini masalah hati dan perasaan.” Ujarku pula sambil tersenyum tawar. Entah dia ni faham atau tidak dengan apa yang bakal kuceritakan ini.

“Oh, masalah sama boyfriend dia ka?”

“Bukan, bukan. Macam ni. Ada lelaki A ni suka sama kawan saya, tapi kawan saya suka sama lelaki B.” Aku memulakan kisahku.

“Oh, apa masalah? Kalau suka sama itu B, pilih B la.” Cepat sahaja Mr. Lee memberikan respons.

“Tapi, dia tak tau lelaki B tu suka atau tak sama dia.” Ujarku pula. Hish, lelaki B atau pun Mr. F bukan masalahnya sekarang. Yang menjadi masalah adalah Haikal, iaitu lelaki A.

“Oh, kawan you bertepuk sebelah tangan la?” Aku menggigit bibir apabila mendengar soalan pengawal keselamatan yang sedang enak menjamu selera ini. Ah, tak kisahlah kalau aku bertepuk sebelah tangan ke, dua belah ke, 3 belah ke. Hish! Nak buat macam mana, perasaan bukan boleh dipaksa-paksa.

“Mungkin jugak. Masalahnya, itu lelaki A dan lelaki B adalah adik-beradik.” Ujarku lagi.

“Adik-beradik? Wah, complicated jugak masalah you punya kawan tu.” Kata Mr. Lee kusambut dengan anggukan, tanda setuju.

“Hm..memang complicated.” Balasku.

“Lelaki B bukan masalahnya sekarang tetapi lelaki A. Sekarang kawan saya tak tahu macam mana nak menolak cinta lelaki A.” Ujarku. Ya, inilah masalah sebenarnya sekarang.

“Hm..kalau tak beritahu, lagi susah tau. At least, kalau kawan you beritahu itu A sekarang, dia boleh cari amoi lain sebagai pengganti. Kalau tak beritahu takut dia ingat kawan you pun syok sama dia. You tau kan, diam tanda setuju!” Aku tersentak mendengar kata-kata Mr. Lee.

Diam tanda setuju? Alamak, sudah dua hari aku mendiamkan diri sahaja dan tidak memberikan kata putus. Cuma, satu mesej kuhantarkan kepada lelaki itu mengatakan yang dia tidak perlu lagi menjemputku di rumah dan menghantarku ke penthouse. Tak boleh jadi ni.

“Ha?! Diam tanda setuju? Betullah Mr. Lee..kalau macam tu, saya akan cakap sama saya punya kawan sekejap lagi.” Ujarku dengan pantas. Mr. Lee hanya mengangguk.

“Okaylah, saya mau naik atas dulu. See you.” Sambungku lagi dan terus berpaling untuk melangkah.

“Eh, nanti, itu lelaki A mesti kacak macam Encik Haikal dan itu lelaki B mesti ada sikit-sikit macam Encik Harris, kan? Betul tak?” Soalan Mr. Lee itu mematikan pergerakanku. Aku terus menoleh ke arahnya.

“Tak lah, Mr. Lee. Lelaki A dan B tu lagi hensem berjuta-juta kali dari Encik Haikal dan Encik Harris. Okaylah ye, saya naik dulu..bye!” Kataku dan terus melambai ke arahnya. Hish, Mr. Lee ni, macam tahu-tahu pulak!

“Bye, bye! See you.” Ujarnya yang ketawa kecil.

Aku terus melangkah masuk ke dalam lif yang dipenuhi dengan beberapa orang manusia di dalamnya. Ketika sampai di tingkat 29, seorang wanita keluar dari lif bersama denganku. Kepalanya ditutup dengan “hood” yang berada pada baju . Sejak bila pula Mr. F ada jiran baru ni? Ah, kalau betul dia jiran Mr. F, nanti aku akan dapat juga berkenalan dengannya.

Sesampai sahaja di hadapan pintu penthouse, aku menekan loceng pintu. Sementara menunggu pintu dibuka, aku memikirkan cara untuk memberitahu Haikal tentang keputusanku. Sebenarnya, aku takut kalau hubungan persahabatanku dengan Haikal akan terputus selepas aku menolak cintanya nanti. Sudah dua hari aku datang ke penthouse sendiri dan sudah dua hari jugalah aku asyik serabut dengan masalah yang membelenggu fikiranku ini. Nasib baik Haikal tidak lagi memaksa untuk menghantar dan menjemputku ke sini.

Pintu yang terbuka membuatkan aku terus memandang ke arah wajah lelaki di hadapanku. Alangkah terkejutnya aku kerana yang membuka pintu bukan Mr. F tetapi Haikal. Tiba-tiba aku teringatkan kata-kata Mr. Lee supaya berterus-terang sahaja.

“Selamat pagi Haikal.” Ujarku. Lelaki yang tersenyum segak itu kemudian bersuara.

“Good morning, dear.” Aku pula terus masuk ke dalam penthouse dan menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan. Sambil itu, aku ada juga tercari-cari kelibat Mr. F yang tidak kelihatan batang hidungnya.

“Noorul.” Aku mengerling ke arah lelaki yang sedang menghampiriku. Tanganku pula mencapai roti bakar dan kusapukan dengan jem.

“Ye, saya.”

“Kalau Asyraf ganggu awak, jangan malu-malu untuk cakap dengan saya tau. Sepantas kilat saya akan sampai untuk membantu awak.” Ujarnya lagi sambil tersenyum manis.

“Terima kasih Haikal. Setakat ini, semuanya berada di dalam keadaan terkawal.” Ujarku. Tidak tenteram rasanya hati selagi tidak memberikan jawapan kepadanya. Nampaknya sementara Mr. F belum turun lagi, eloklah aku beritahu sekarang.

“Er..Haikal, saya ada perkara nak beritahu awak..” Aku memberanikan diri untuk berterus-terang. Roti di tangan kuletakkan di dalam piring.

“Awak dah ada jawapannya?” Soal Haikal dengan penuh minat. Tekaan lelaki ini memang tepat.

“Ye..Haikal, saya harap sangat awak boleh terima jawapan yang bakal saya berikan ni.” Ujarku.

“Saya sebenarnya tidak boleh terima awak..” Lega rasanya apabila ayat tersebut berjaya kututurkan di hadapan Haikal.

“But why?” Soal Haikal yang nampaknya sedikit terkejut dengan jawapanku itu.Dia kulihat memandang ke atas seketika. Sebelah tangannya pula meraup wajah dan sebelah lagi diletakkan di dalam poket seluar.

“Saya akui awak adalah seorang lelaki yang sangat baik, Haikal. Saya selesa apabila berada di sisi awak tetapi, perasaan tak boleh dipaksa. Saya sayangkan awak sebagai sahabat tetapi saya tak cintakan awak.”Ujarku dengan perlahan.

“Noorul, perasaan cinta tu boleh dipupuk. Saya janji saya akan buat awak jatuh cinta dengan saya.” Balas Haikal dengan bersungguh-sungguh. Aku pula sudah menjadi sedikit terharu dengan kata-katanya itu tetapi masih tidak cukup untuk mewujudkan rasa cinta di hatiku terhadapnya.

“No Haikal. Saya tak nak berikan awak harapan palsu dan buang masa awak. Saya doakan awak bertemu dengan perempuan yang lebih baik daripada saya.” Kataku kepadanya. Haikal memandangku sambil menggelengkan kepala.

“Noorul, I love you so much..just so much..” Dapat kurasakan kekecewaan dalam nada suaranya ketika ini.

“Haikal, kita tetap boleh jadi kawan kan?”

“Hm..awak tolak saya sebab lelaki yang ada dalam hati awak tu kan? Ingat tak awak pernah cakap dengan saya dulu yang awak single but not available sebab ada seseorang di dalam hati awak?” Soalannya membuatkanku menjadi kelu kerana lelaki di dalam hatiku adalah abangnya sendiri, Mr. F.

“Er..saya..”

“It’s okay, Noorul. Saya boleh terima kenyataan yang awak tolak cinta saya tapi awak juga harus terima kenyataan yang saya akan tetap tunggu awak sampai bila-bila.” Ujarnya. Aku pula mulalah terasa hendak menggaru kepala yang tak gatal.

“S..saya rasa awak tak patut buat macam tu.” Ujarku dengan ikhlas.

“Kenapa pula? Selagi awak belum berkahwin, tak salah kan kalau saya terus mencuba?” Sambungnya lagi. Alamak, kalau aku tak kahwin, maksudnya sampai bila-bila lah dia akan mencuba?

“Tapi, saya rasa..”

“Saya akan berikan awak peluang untuk mengenali saya dengan lebih rapat lagi. Mungkin, awak akan nampak nanti yang saya betul-betul ikhlas cintakan awak.” Ujarnya dengan penuh semangat.

Peluang? Ingin sahaja aku katakan padanya yang aku tidak memerlukan peluang itu tetapi aku tidak mahu menjadi terlalu kejam. Hanya senyuman tawar sahaja yang mampu terbit di bibir.

“Dah la, jom saya tolong awak bawa dulang ni ke meja makan. Along mesti dah nak turun tu.” Ujar Haikal apabila melihat tiada perkataaan yang keluar dari bibirku. Dia terus mencapai dulang dan membawa ke meja makan.

Aku pula sudah tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya dia sudah dapat jawapan yang diperlukan. Jadi, tidaklah dia kecewa nanti sekiranya hatiku masih tidak terbuka untuknya. Dulang berisi air coklat kucapai dan terus kubawa ke ruang tamu.

Mr. F yang sudah pun berada di meja makan hanya mengerling kepadaku. Kemudian, dia menyambung perbualan dengan Haikal. Agak-agaknya, lelaki ini tahu atau tidak tentang perasaan Haikal kepadaku? Eh, tak mungkin Haikal beritahu kepada abangnya tentang ini. Tak mungkin. Aku membuat kesimpulan sendiri dan terus berlalu ke dapur.

***

“Noorul! Ambil baju lain, sekarang!” Jeritan Mr. F yang berada di muka pintu bergema di seluruh tingkat ini.

Jelas kelihatan di wajahnya yang dia tidak menyangka air akan tumpah. Mungkin kerana terkejut, serentak dengan itu aku terus menepis-nepis air yang tertumpah di atas bajunya itu. Apabila menyedari tindakanku, aku terus mengalihkan tangan dari badannya.

“Okay, sekejap ye.” Ujarku. Satu tompokan besar air jelas kelihatan pada bajunya di bahagian dada. Dia terus membuka kasut untuk masuk ke dalam penthouse kembali. Aku pula seperti lipas kudung melangkah naik ke atas dan mengambil baju lain dari dalam almari.

Kalau difikirkan balik, bukan salahku tetapi salah lelaki itu sendiri. Mana tidaknya, selepas sahaja makan tengahari, lelaki itu melangkah keluar untuk kembali ke pejabat. Selesai memakai kasut di hadapan pintu, dia menyuruhku membawakannya segelas air. Biasalah tengahari begini, dengan cuaca yang panas memanglah akan kerap dahaga. Aku pula menurut perintahnya. Ketika sampai di muka pintu, lelaki itu yang tidak sabar hendak mengambil air dari tanganku dan akhirnya air suam tersebut tumpah ke atas bajunya.

“Encik, ini bajunya.”

“Thanks. Isk, hari ada meeting lah macam-macam hal jadi.” Gumam majikanku yang melihat jam di lengannya. Kemudian, dia terus mencapai baju yang berada di tanganku dan masuk ke dalam salah sebuah bilik di ruang bawah. Setelah selesai bersiap, dia berlari keluar dari penthouse dengan tergopoh-gapah.

Aku pula hanya melihat sahaja telatah lelaki itu. Hendak ketawa pun ada apabila teringatkan wajahnya ketika air tertumpah tadi. Mr. F, Mr. F. Aku menggelengkan kepala. Syukur kerana Mr. F sudah sedikit berubah. Kalau dulu, pasti aku akan ditengkingnya dengan teruk sekiranya kejadian ini berlaku dan walaupun terang-terang dia yang bersalah, pasti aku akan dipersalahkan.

Tapi, itu dulu. Aku juga tidak tahu bagaimana perubahan dalam perhubungan kami boleh berlaku. Walaupun tidaklah mesra, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak lagi kulihat bersusah-payah mencari salahku.

Hish, sepatutnya aku rakam ucapan terima kasih darinya tadi. Mana tidaknya, kalau dulu jangan haraplah ucapan itu dapat kudengari keluar daripada mulutnya. Senyuman yang semakin lebar di bibir mati apabila mengingatkan Haikal. Aku berharap sangat apa yang aku beritahu kepada lelaki itu pagi tadi tidak akan memutuskan hubungan persahabatan yang sudah sedia terjalin di antara kami.

***

Niatku untuk masuk ke dalam bilik kutahan dulu apabila terdengar suara orang berbisik. Sejak bila pula hobi Iman bercakap seorang-seorang ni? Tak pun, dia tengah berdoa kot. Aku menjengukkan sedikit kepala untk melihat dengan lebih jelas. Gadis itu sedang berbual di telefon rupanya. Mataku mengamati tubuh kecil molek Iman yang sedang meniarap itu. Selalu kalau bercakap telefon, bukan main kuat lagi. Silap-silap aku yang berada di dapur pun boleh dengar butir bicara yang dibualkannya itu sebijik-sebijik.
Aku memasang telinga untuk mendengar betul-betul apa yang sedang dibualkan.

“Saya rasa awak kena cepat.” Ujar Iman. Cepat? Apa yang cepat?

“Hm..itu saya tak pasti.” Katanya yang kelihatan menggarukan kepala dengan sebelah tangan. Apa agaknya masalah dia ni. Dengan siapa pula dia sedang bercakap?

“Dah, tapi dia cakap belum bersedia. Awak kena tunjukkan yang awak betul-betul serius. Kalau tak, memang berputih mata lah awak.” Ujar kawanku itu. Siapa pula yang akan berputih mata ni? Aku terus masuk ke dalam bilik dan berpura-pura seperti tidak mengambil tahu apa yang dibualkan. Rambut yang basah kukesat dengan tuala dan kemudian aku memilih baju untuk dipakai.

“Awak dah 3 bulan kan kerja kat kilang? Hm..janganlah risau sangat, tak lama lagi pasti awak akan diserap sebagai pekerja tetap tetapi kena serius lah!” Ujar Iman lagi sambil memandang ke arahku. Nada suaranya juga tiba-tiba berubah. Oh, bercakap dengan rakan sekilang rupanya! Hish! Buat suspen je. Ingatkan rahsia apalah sangat yang dibualkan tu.

“Okay, jumpa esok ye. Apa-apa mesej je. Assalamualaikum.” Ujarnya dan kemudian mematikan talian.

Kawanku itu kemudian memandang ke arahku sambil tersenyum. Memang pelik si Iman ni. Selalunya kalau bercakap dengan rakan sekerja, guna aku dan kau sahaja. Mungkin dia tak rapat sangat kot dengan orang tu. Aku cuba mengingat kembali baju warna apa yang kusediakan untuk Mr. F pakai ke pejabat esok. Ha, Kemeja lengan panjang berwarna hijau gelap berjalur putih. Aku pula terus memilih baju kurung cotton berwarna putih dan berbunga hijau sambil tersenyum simpul.

***

Riuh rendah jadinya ruang tamu Mr. F dengan kehadiran Iman dan Haikal. Kata Iman, kebetulan mereka berada di kawasan Gurney jadi mereka berdua pun ke mari. Mr. F pula nampak biasa sahaja dengan kehadiran dua manusia ini. Tidak nampak pula riak kurang senang di wajahnya. Malah, sekarang dia dan Haikal sedang sibuk bermain catur.
Aku yang mengerling ke arah mereka sesekali menumpukan perhatian pada pizza yang berada di hadapanku. Iman dan Haikal yang memesan pizza “Hawaian Chicken” dari Pizza Hut ini untuk dimakan bersama kami. Tanganku pula pantas mengeluarkan “Deli wings” dari dalam paket kertas. Kemudian, kepak-kepak ayam itu keletakkan di dalam piring yang bersaiz sederhana besar.

“Noorul, kau tak takut ke berdua sahaja dengan Mr. F?” Soalannya menyebabkan aku memandang wajah Iman sekilas.

“Apa nak ditakutkan? Kan kau juga yang cakap Mr. F tu tak ada perasaan? Hati batu. Lagipun aku dah nak balik tadi masa korang sampai. Hubungan kami pula tak lebih dari seorang majikan dan pekerja.” Ujarku .

Memang pelik tetapi hakikatnya, Mr. F adalah satu-satunya lelaki selepas ayah di dunia ini yang aku percayai. Sejak bila? Sejak dia menyelamatkanku dari dilanggar oleh kereta Airil dan sejak tangannya menggantikan tanganku untuk bersalam dengan lelaki itu. Ah, mana mungkin aku lupakan peristiwa yang terjadi di hadapan rumah Maizara satu ketika dahulu.

“Tapi, kau tak boleh terlalu percayakannya tau. Lainlah kalau..” Kata Iman lagi dan aku terus memotong kata-katanya itu.

“Haikal?” Soalku sedikit geram. Sudah kuagak, nama itu yang akan keluar dari mulutnya. Entah kenapa Iman kulihat seperti mahu aku dan Haikal bersatu walaupun aku tidak ada perasaan terhadap lelaki itu. Nyatanya, aku benar-benar tidak selesa dengan keadaan ini.

“Eeee..aku lagi takut dengan Haikal tu. Kadang-kadang, “over” sangatlah cara dia tu!” Jawabku sambil mencebikkan bibir.

“Tak selesa aku jadinya kalau di hadapan Mr. F dipanggil-panggilku dengan panggilan
“dear”. Sudahlah tu, senyumannya dan renungannya tu, memang boleh buat orang salah faham tentang hubungan kami, tau tak?” Sambungku lagi. Sengaja aku berkata begitu kerana aku mahu dia tahu yang aku tidak ada perasaan langsung dengan lelaki itu.

“Noorul, Haikal tu..” Kata-kata Iman hanya berakhir di situ apabila terdengar laungan Haikal.

“Girls, korang okay?” Iman hanya mengangguk sambil tersenyum tawar.

“Kenapa? Kami nampak macam tak okay ke?” Soalku cuba berseloroh. Lelaki itu hanya tersenyum.

“Noorul, get me a cup of tea, please.” Ujar Mr. F.

“Okay encik. Kejap ye.” Jawabku dan terus ke dapur untuk membancuh air teh.

Setelah memberikan air teh kepada Mr. F, aku membawa pinggan berisi kepak ayam bersama kotak yang berisi pizza lalu kuletakkan di atas meja kaca di hadapan sofa. Kemudian, aku melabuhkan punggung di sisi Iman. Tiba-tiba kedua-dua orang lelaki itu memberikan sepotong pizza kepadaku dengan serentak. Menyedari keadaan itu, Mr. F meletakkan pizza itu kembali ke dalam kotak. Pizza di tangan Haikal pula kuambil dengan ucapan terima kasih. Iman yang kelihatan gembira dengan keadaan itu kemudiannya meminta diri untuk ke tandas. Sempat lagi dia berkomunikasi menggunakan mata dan bibir dengan Haikal sebelum berlalu. Hish, apa agaknya hubungan yang terjalin di antara mereka ini? Pelik betul aku.

***

Terkebil-kebil aku mengamati wajah Haikal dan Iman yang terpacak di hadapan pintu silih berganti. Aduh, apa lagi yang dimahukan mereka hari ini? Minggu lepas mereka datang untuk minum petang dan makan pizza di sini. Semalam pula mereka mengajakku bersiar-siar di taman, kemudian Iman menghilangkan diri entah ke mana. Hari sebelum itu pula, kami bertiga ke gym yang terletak di tingkat 19 dan jangan tak tahu, Iman yang katanya sakit perut itu menghabiskan masa di dalam tandas meninggalkan aku bersama Haikal berdua. Sesungguhnya, akhir-akhir ini, rajin pula si Iman dan Haikal datang melawat selepas kerja. Aku tertanya sendiri, apa pula yang mereka mahukan dariku hari ini?

Nampaknya, memang Haikal tidak akan berputus asa untuk mendapatkan cintaku.
Kedua-dua manusia yang kemas berpakaian sukan itu kulihat membawa bersama beberapa raket badminton di tangan mereka. Hai, sejak bila pula perempuan yang suka benar bersolek 24 jam ini suka bersukan? Yang aku tahu, kalau diajak berjalan banyak sedikit di pasar malam pun sudah panjang lebar rungutannya. Inikan pula hendak terlompat-lompat bermain badminton, memang sesuatu yang di luar kebiasaan.
Seperkara lagi, tahukah Iman bermain badminton? Semasa melihat dia bermain permainan itu bersama Noorin di kampung dulu, sampai sengal urat perutku kerana asyik ketawa. Mana tidaknya, main dengan Noorin pun dia boleh kalah. Iman, Iman, lawak apa yang cuba kau buat petang-petang begini? Hish!

“Noorul! Kau ni berangan ya?” Tempik Iman yang tidak puas hati denganku. Aku pula yang terkejut dengan suaranya yang ala-ala tarzan tu memandang tepat ke wajahnya.

“Noorul, awak habis kerja pukul 6 petang kan? Sekarang dah pukul 6: 02 minit petang, jom lah kita main badminton.” Aku menjeling ke arah jam yang berada di lengan apabila mendengar kata-kata Haikal itu tetapi aku benar-benar tidak ada mood untuk bersukan. Tambahan pula Mr. F masih belum balik kerja dan aku hanya boleh melihat wajahnya esok pagi, bertambah tidak bersemangatlah aku. Aku ingin terus pulang sahaja sekarang.

“Not today, Haikal. Lagipun, saya tak bawa baju untuk bersukan. Tak kan nak main badminton dengan baju kurung ni kot?” Ujarku sambil tersenyum manis. Logiknya alasan ini memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Pandai juga aku menciptanya. Senyuman di bibir bertambah lebar.

“Jangan risau, kawanku! Aku dah bawakan baju dan seluar sukan kau, siap dengan kasut lagi. Nah, pergi salin cepat.” Kata Iman dengan penuh semangat.

Beg sandang belakangnya diserahkan kepadaku. Hish! Beriya betul Iman ni. Dulu, semasa aku mengajaknya menemani aku berjogging setiap petang, tidak pernah sekali pun permintaanku itu diikutnya. Jangan tak tahu, hobi si Iman selama ini ketika balik kerja adalah bermalas-malas di hadapan televisyen. Itu yang aku pelik apabila dia memegang raket badminton petang-petang begini. Hish, sudah tukarkah hobinya itu?

“Aku letih sedikitlah hari ni, Iman. Korang pergi berdua je lah, mesti lagi romantik.” Ujarku sambil mengenyitkan mata kepada Iman.

“Romantik? Kau ingat Haikal ni kekasih gelapku ke? Tak ada maknanya nak romantik-romantik. Kita nak bersukan, cergaskan badan. Tengok badan kau tu, dah gemuk lah. Kau nak tunggu jadi besar macam tong dram tu, baru nak exercise?” Panjang lebar ayat yang keluar dari mulut Iman bersama dengan soalan yang pedasnya lebih sikit daripada cili api. Aku ketawa kecil manakala Haikal pula yang sedikit muram hanya tersenyum tawar. Ish mamat ni, aku tak nak ikut main badminton pun nak sedih ke?

“Ehem.” Deheman itu membuatkan Haikal dan Iman bergerak sedikit ke tepi. Maklumlah tuan punya rumah dah balik, haruslah mereka beri laluan supaya majikanku itu dapat masuk ke dalam penthouse dengan aman.

“Along, baru balik?” Tanya Haikal. Eh, eh mamat ni. Mestilah baru balik, tak kan lah Mr. F baru hendak keluar bekerja kot. Majikanku itu hanya mengangguk. Kemudian dia memberikan beriefcasenya kepadaku untuk dibawa masuk. Ha, ini adalah satu lagi perkara yang membuatkanku tersenyum hingga ke telinga.

“Hm..baru balik. Masa Carl call along tadi, along dah ada dalam kereta pun. Nak main badminton ke bro?” Soal Mr. F yang mencapai raket badminton dari tangan Haikal. Selepas itu dicuba pula beberapa aksi memukul bola dan “smashing”. Hish, kacak, kacak! Kemudian raket itu dipulangkan kepada Haikal.

“Let’s play together, Carl. Tunggu Along tukar baju dulu.” Ujarnya kepada Haikal dan terus masuk ke dalam. Mr. F akan menyertai mereka bermain badminton? Kenapa tiba-tiba aku terasa seperti hendak bersukan pula ni?

“Okay Haikal, saya pun nak tukar baju ni.” Aku terus berkata begitu sebelum mencapai beg sandang belakang yang berisi baju dan seluar sukanku dari tangan Iman. Entah kenapa, aku dapat rasakan yang Iman serta Haikal sedikit terkejut dengan jawapanku itu.

“Korang masuk la dulu. Tunggu kejap tau.” Ujarku kepada mereka. Dapat kulihat betapa peliknya wajah Haikal dan Iman kerana secepat kilat aku ubah fikiran. Nak tergelak pula aku.

Sambil bernyanyi-nyanyi kecil, aku naik ke atas dan terlupa pula yang Mr. F sedang berada di atas juga. Aku hanya sedar apabila ternampak kelibatnya di dalam bilik yang berseluar panjang tanpa berbaju. Kenapalah dia tidak tutup pintu bilik? Debaran di dada semakin laju apabila matanya bertemu dengan mataku.

“Mengintai saya ke?” Soalannya membuatkan aku terus berlari turun ke bawah.
Nasib baik tak jatuh bergolek. Relaks Noorul, kau bukan sengaja nak tengok pun. Dah nama pun, ter, terlihat! Hish, kenapa aku gelabah macam ni? Padahal selalu sahaja aku lihat budak lelaki bermain bola sepak kat kampung dulu tanpa berbaju. Lagilah, mereka tu siap berseluar sukan paras lutut lagi, tapi aku tidaklah gelabah begini.

“Noorul, kenapa muka kau pucat ni?” Soal Iman sedikit pelik.

“Apa yang awak nampak Noorul?” Suara itu! Aku menoleh sekilas ke arah Mr. F yang tersenyum nakal. Bila pula dia berada di bawah ni? Hish, sukalah tu dapat buat aku gelabah macam ni.

“T..Tak ada apa-apa Iman. K..Kejap ye, aku tukar baju dulu.” Ujarku dan terus masuk ke dalam salah sebuah bilik yang ada di ruang bawah. Pengajaran yang kudapat hari ni adalah, jangan naik ke atas apabila lelaki itu berada di situ. Wajah kuraupkan berulang kali kerana renungan mata Mr. F sebentar tadi tidak mampu kubuang daripada fikiranku.

***
Bersambung :D
————————
Novel online terbaru penulis berjudul KLIK!. jom baca di KLIK DISINI




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

131 ulasan untuk “Novel : M.A.I.D 20”
  1. Ainani Azlan says:

    novel ni adlah slh satu novel yg plg best yg prnh sy bca.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"