Cerpen : Penjaga Hati

16 January 2011  
Kategori: Cerpen

4,150 bacaan 8 ulasan

Oleh : Shakir Abdullah

ANGIN similir meniup lembut daun jendela. Kedinginan yang menyelimuti pada malam ini terasa benar lainnya. Entah mengapa, itulah yang aku rasai sejak dari pagi tadi. Semua gerakan dan perbuatanku dirasakan serba tidak kena. Seperti ada bencana atau malapetaka yang bakal berlaku.

‘Ah, pedulikan saja semua itu. Yang penting sekarang, aku sudah selamat pulang ke rumah,’ monologku sendirian.

Langkah kaki ku atur menuju ke dalam ruang kamar. Daun pintu yang membentengi ruang dalam kamar ku tolak dengan lembut. Aku menjengahkan kepalaku ke ruang dalam kamar. Sekujur tubuh yang sedang terbaring di atas katil mencuri tumpuanku. Tanpa aku sedar, seulas senyuman terukir dibibir. Aku melangkah menuju ke meja tulis yang terletak di sudut kiri bilik. Derapan langkahku sengaja dibiarkan perlahan kerana khuatir akan menganggu lena si empunya kamar. Aku memberhentikan langkah sebaik sahaja tiba di hadapan meja tulis. Foto berbingkai yang tersusun di sudut kanan meja menjadi bahan tatapanku.

‘Comelnya,’ bisik hatiku.

Wajah kanak-kanak perempuan yang tercoret di dalam foto memenuhi segenap ruang mataku. Senyuman manis yang terlukis dibibir kanak-kanak itu mendamaikan hatiku. Terasa benar kedamaiannya. Aku menarik nafasku sedalam yang mungkin. Kelopak mata cuba dirapatkan. Pita-pita memori yang terakam di dalam minda cuba ku selongkar. Mencari semula memori indah yang pernah suatu ketika dulu menjadi teman setia lenaku.

**********

“PAPA, tengok tu!” ucap Alya sambil tangan kecilnya menarik seluar Encik Khalid.

“Ada apa sayang?” soal Encik Khalid lembut. Tumpuan diberikan pada puteri tunggalnya.

“Tu, sana tu,” balas Alya sambil menudingkan jarinya pada sebatang pokok yang tidak berapa jauh dari tempat mereka berdiri.

Encik Khalid memandang pada pokok yang ditunjukkan Alya. Mata lelakinya tertacap pada seekor kucing yang sedang terbaring di bawah pokok.

“Eh, ada kucing la Alya. Jom kita tengok,” kata Encik Khalid sambil memimpin tangan anaknya. Mereka berjalan menghampiri pokok yang ditunjukkan Alya sebentar tadi.

Setibanya di bawah pokok, Encik Khalid merapatkan tubuhnya pada anak kucing yang sedang terbaring berlumuran darah. Telinga kirinya terkoyak seperti di gigit sesuatu.

“Papa, kucing ni berdarah la,” ucap Alya dengan penuh prihatin. Mata kanak-kanak kecil itu masih lagi melekap pada mamalia yang sedang terbaring di hadapannya. Encik Khalid menganggukkan kepalanya tanda mengerti dengan kata-katayang di dengarinya sebentar tadi.

“Ya sayang. Kucing ni sakit. Sebab itu telinga dia berdarah,” Encik Khalid memberikan penjelasannya.

“Kenapa dia sakit? Sebab ada orang buat dia ke?” tanya Alya bertubi-tubi. Encik Khalid tersenyum mendengar soalan dari puteri kecilnya. Dia tidak menyangka yang anak sekecil Alya juga tahu akan erti kekejaman.

‘Tiadakah lagi kasih sayang dan belas ehsan dalam dunia ini?’ rintih hati Encik Khalid.

“Papa tak tahu sayang. Mungkin kucing ni jatuh kot,” Encik Khalid memberikan alasan sebagai respon pada soalan puterinya.

“Papa tak nak tolong kucing ni ke?” Alya bertanya lagi. Sifat prihatin jelas terpancar dari anak matanya.

“Alya nak tolong kucing ni?” duga Encik Khalid. Matanya dihalakan pada wajah comel puteri kesayangannya. Cuba menduga akan keprihatinan insan kecil itu.

Alya menganggukkan kepalanya sebagai jawapan kepada soalan yang diberikan oleh papanya. Rasa kasih muncul dan memenuhi segenap ruang hati kecilnya. Dia kasihan melihat mamalia kecil yang berada di hadapannya. Tidak sanggup baginya untuk membiarkan makhluk ciptaan Allah S.W.T ini terbaring lesu di bawah pohon yang belum tentu lagi selamat kondisinya.

“Jom kita bawak dia ke klinik haiwan. Nanti doktor boleh tolong,” ucap Encik Khalid sambil mengangkat anak kucing yang sedang terbaring lesu dihadapannya. Alya hanya memandang perbuatan papanya tanpa sebarang bunyi. Langkah kecilnya di atur mengikut jejak langkah Encik Khalid yang sudah pun berjalan dihadapan.

**********

KELOPAK mata kembali di buka. Bayangan silam mula hilang dengan perlahan-lahan. Detik pertama pertemuanku dengan gadis itu tidak pernah ku lupa. Wajah comel dan sifat keprihatinannya menyentuh jiwaku. Sungguh aku tidak menyangka yang masih ada lagi insan yang sanggup mencurahkan simpatinya padaku. Di saat aku sudah mula hilang kepercayaan pada manusia di sekelilingku, dia muncul dengan membawa payung harapan. Sanggup membenarkan aku menumpang di bawah payungnya dan sama-sama mengharungi kehidupan yang entah bila akan menemui noktahnya.

Alya Irdina, itulah nama insan yang telah menyelamatkan diriku dari menemui titik noktah dalam hidupku. Bermula dari hari itu, aku menjadi sebahagian dari keluarga Encik Khalid. Puteri tunggal mereka, Alya sering menghabiskan masanya bermain denganku. Aku juga menjadi tempat untuk Alya bercerita. Setiap kali kesunyian menyinggah, pasti aku yang dicarinya. Sungguh bahagia kehidupanku tatkala melangkah masuk ke dalam keluarga ini. Layanan mereka sungguh mesra. Bahkan, aku sudah dianggap sama seperti ahli keluarga mereka sendiri.

Namun, ada sesuatu yang mengusarkan diriku. Aku risau jika suatu hari nanti aku terpaksa meninggalkan keluarga ini walaupun pada waktu itu aku enggan melakukannya. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana rasanya hati Alya saat dia menyedari ketiadaanku nanti. Aku tidak mahu gadis comel ini menangisi pemergianku. Kalau boleh, aku mahu Alya sentiasa tersenyum kerana senyuman manisnya sama seperti sinaran mentari yang terbit kala ia berada di hujung ufuk sebelah timur.

“Tom! Tom ke tu?” kedengaran satu suara menyapa dari belakang. Aku kaget seketika. Dengan pantas, aku segera bersembunyi di bawah katil yang berada tidak berapa jauh dari tempat aku berdiri sebentar tadi.

‘Alamak, Alya dah bangun ke? Macam mana aku boleh tak perasan,’ ucap ku pada diri sendiri.

“Tom! Tom ke tu?” Alya bertanyakan lagi soalan yang dibiarkan sepi sebentar tadi.

‘Perlu ke aku jawab? Hurm, tak payah la. Baik aku diam jer. Nanti dia ingat yang dia sedang mimpi. Leceh la kalau dia tahu aku masuk bilik dia,’ aku bermonolog lagi.

Dalam pada masa yang sama, suara Alya tidak putus-putus memangil namaku dari bahagian atas katil. Namun, setiap panggilannya ku biarkan sepi tanpa bersahut. Sengaja aku berbuat begitu agar kehadiranku ini tidak menganggu lenanya.

‘Lagipun, bukankah hari esok masih ada untuk aku bersama dengannya,’ aku berkata di dalam hati.

“Kau pasti ke?” sampuk satu suara yang entah dari mana puncanya. Aku tersentak apabila suara yang belum pernah aku dengari itu menyapa telingaku. Mataku meliar mencari punca suara yang ku dengar sebentar tadi.

“Di sini, aku di hujung katil,” ucap suara itu lagi. Seakan mengerti dengan apa yang aku cari. Aku segera keluar dari tempat persembunyianku.

Sebaik sahaja aku keluar dari bawah katil, mataku terus terpandangkan wajah Alya yang sudah kembali hanyut dalam tidurnya. Aku tersenyum tanpa dipaksa. Kemudian, aku mengalihkan fokus mataku pada bayangan yang sedang duduk di hujung katil. Sekujur tubuh yang sedang duduk menyapa bebola mataku.

“Siapa kau?” tanyaku dengan nada yang perlahan kerana khuatir akan mengejutkan Alya yang sedang nyenyak tidur. Bayangan yang berada di hadapanku tersenyum memandangku.

“Aku rasa, kau sendiri sudah sepatutnya tahu siapa aku sebenarnya,” jawab bayangan yang berada di hadapanku. Aku memfokuskan pemerhatianku. Cuba mengamati bayangan yang ku lihat.

‘Hurm, badan dia kecik jer. Macam badan kanak-kanak lelaki. Rasa-rasanya, sebaya dengan Alya. Tapi, apa dia buat dekat sini? Jangan-jangan, dia pun suka tengok Alya tidur. Tak boleh jadi ni, aku mesti buat sesuatu,’ ucapku di dalam hati.

“Jangan risau, aku bukannya datang untuk rampas buah hati kau. Tapi aku datang sini untuk menjemput kau,” ucap budak lelaki itu.

“Jemput aku? Nak jemput ke mana?” soalku hairan. Budak lelaki itu tersenyum padaku apabila mendengar soalan kurang bijak yang diajukan oleh aku.

“Kau betul-betul tak tahu? Hurm, pelik. Selama ni, belum pernah lagi ada yang bertanyakan aku soalan ni. Cuma kau saja yang berani bertanya. Jadi, apa boleh aku buat. Terpaksalah aku berterus-terang. Emm…nak mula dari mana ya. Oh ya, baik aku mulakan dengan memperkenalkan diri aku dulu. Nama aku, Malaikat Maut dan aku datang ke sini untuk menjemput kau kerana masa kau di atas muka bumi ini sudah tamat,” ucap budak lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Malaikat Maut.

Aku sekali lagi tersentak. Terkejut dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Terasa seperti disambar halilintar rasanya hatiku ketika itu. Sungguh aku tidak menyangka yang Malaikat Maut sedang berdiri di hadapanku sambil menunggu masa untuk menjalankan tugasnya.

“Be…betul ke kau ni Malaikat Maut?” aku bertanya inginkan kepastian.

“Benar, akulah Malaikat Maut dan aku ke sini adalah untuk menjalankan tugas aku seperti yang kau sendiri sedia maklum,” balas Malaikat Maut sambil tersenyum. Aku kelu mendengar kepastian yang sudah ku dengari sebentar tadi.

‘Mengapa boleh jadi begini? Kenapa mesti pada saat aku sudah mula mengecapi erti bahagia? Kenapa ketika aku sudah mula merasa apa itu erti cinta? Kenapa? Kenapa harus begini jadinya?” aku meraung di dalam hatiku.

Keperitan yang aku alami ketika ini, cuba ku benamkan ke dasar hati. Menjerit di dalam sepi agar tiada seorang pun yang menyedari kerana aku tidak mahu insan teristimewa dalam hidupku meratap dan merintih sambil tercari-cari di mana kewujudanku selepas ini.

“Kenapa mesti kau sedih?” soal Malaikat Maut padaku. Aku mengangkat wajahku seraya memandang wajah budak lelaki di hadapanku.

“Kau boleh baca hati aku?” aku memulangkan semula soalan padanya. Soalan yang diajukan padaku ku biarkan sepi tanpa jawapan.

“Sudah tentu, kenapa?” balas Malaikat Maut ringkas.

“Tak ada apa-apa. Cuma, boleh kau baca hati dia?” aku bertanya lagi sambil memandang wajah mulus Alya yang sedang lena dibuai mimpi.

“Tak ada masalah. Cuma, aku tidak boleh ceritakannya pada kau,” respon Malaikat Maut.

“Kenapa?” aku bertanya ringkas.

“Itu sudah di luar bidang kuasa ku kerana aku bukannya ditugaskan untuk memberi khabar. Tetapi aku ditugaskan untuk mengambil nyawa. Maafkan aku. Aku tidak mampu,” jawab Malaikat Maut hampa.

“Tidak mengapa, maafkan aku jika permintaanku ini keterlaluan,” balasku perlahan. Aku sudah tidak berminat lagi untuk berbual. Hanya bayangan Alya sahaja yang ingin aku tatap sebelum aku pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Boleh aku bertanya? Itupun, jika kau tidak keberatan untuk menjawab,” ucap Malaikat Maut dengan penuh sopan. Aku mengalihkan perhatianku pada bayangan yang sedang berbual denganku. Dengan perlahan, aku menganggukkan kepalaku tanda setuju dengan permintaan yang dibuat.

“Kenapa kau nak tahu hati budak perempuan ni? Penting sangatkah dia dalam hidup kau?” soal Malaikat Maut. Aku tersenyum mendengar soalan yang diajukan padaku.

“Sangat. Sangat penting. Aku sendiri pun tidak tahu sejak bila, tapi aku yakin yang aku sudah mula suka pada dia. Kalau boleh, aku nak selalu bersama dengan dia. Menjadi teman jika dia bersedih dan menjadi pelindung jika dia ditimpa bencana. Namun, semua tu hanya tinggal sejarah. Aku sudah tidak mampu untuk melindunginya lagi dan aku juga tidak akan mampu melihat senyuman manisnya itu,” responku dengan nada yang hiba. Perasaan sebak mula menghujani ruang hatiku. Dalam tidak sengaja, setitis air jernih mengalir dari celah kelopak mataku.

“Maafkan aku jika soalan aku tadi membuatkan kau sedih,” Malaikat Maut cuba meniupkan kata-kata semangat.

“Tak mengapa, aku gembira kerana akhirnya aku dapat juga berkongsi rasa sayang aku ini dengan kau. Walaupun dia tidak mendengar, namun aku sudah cukup gembira bila dapat meluahkan kata-kata cinta aku padanya,” ucapku dengan penuh emosi.

“Jadi, sebab itu kau sanggup gadaikan nyawa kau demi cinta yang kau rasa?” tanya Malaikat Maut lagi. Aku memandang mata budak kecil di hadapanku. Cuba mencari erti di sebalik soalannya.

‘Macam mana dia tahu yang aku pernah selamatkan Alya?’ soalku dalam hati.

“Macam mana kau tahu?” aku bertanyakan juga soalan yang sudah lama terakam di benakku.

“Aku kan Malaikat Maut. Lagipun, sudah lama aku ikut kau. Tapi, aku masih tidak berkesempatan untuk mencabut nyawa kau sebab masanya belum tiba. Patutlah orang cakap yang kau ni ada sembilan nyawa. Sebab susah untuk aku ambil nyawa kau,” ucap Malaikat Maut.

Jam di dinding ditenung. Jarum jam sudah menunjukkan hampir pukul dua pagi. Aku sekali lagi merenung wajah Alya. Cuba menikmati setiap inci wajahnya kerana mungkin itulah tatapan terakhir yang mampu ku lakukan.

“Baiklah, masanya dah tiba. Kita mesti gerak sekarang,” ucap Malaikat Maut padaku.

“Boleh aku buat permintaan yang terakhir?” aku bertanya pada Malaikat Maut.

“Silakan,” balas Malaikat Maut sambil menganggukkan kepalanya.

“Aku sebenarnya tak percaya pada kelahiran semula. Tapi, jika diberi kesempatan untuk aku dilahirkan semula ke dunia ini, aku nak sangat jadi seorang budak lelaki yang ditakdirkan untuk bercinta dan berkahwin dengan gadis comel yang bernama Alya Irdina,” ucapku sambil tersenyum menahan hiba.

“Semoga permintaan kau itu akan tercapai,” ucap Malaikat Maut sambil tersenyum.

Aku berpaling dari memandang wajah Alya yang sedang lena di atas pembaringannya. Langkah kaki ku hayun dengan lemah meninggalkan ruang kamar. Langkahan yang akan membuatkan aku pergi jauh meninggalkan Alya keseorangan.

‘Alya, aku harap kau tidak akan menangisi pemergianku ini. Selamat tinggal kekasihku,’ luahku di dalam hati.

**********

SUASANA di sekitar Sekolah Menengah Permai Tirana kelihatan meriah dengan kemasukkan pelajar-pelajar baru. Sesi pendaftaran yang berlangsung di dalam dewan besar kelihatan lancar. Alya yang baru sahaja selesai dengan urusan pendaftaran melangkah keluar dari dalam perut dewan. Dokumen-dokumen penting yang dibawa bersama di simpan di dalam fail. Kini, bermulalah episod baru dalam hidupnya sebagai seorang pelajar Tingkatan 3. Dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh pada tahun ini dan ingin melupakan segala kepahitan yang dialaminya selama pemergian Tom. Dia tahu yang Tom juga tidak mahu dia bersedih dan dia yakin bahawa Tom akan sentiasa bersama dengannya.

Alya berjalan menuju kerusi batu yang terletak di bawah gazebo tidak berapa jauh dari dewan besar. Niatnya untuk mencari tempat berteduh sementara menunggu rakannya, Diana selesai dengan urusan pendaftaran. Punggung di labuhkan di atas kerusi batu yang sudah tersedia. Perhatian di arahkan pada pokok-pokok bunga yang di tanam sekitar gazebo.

‘Cantik pokok-pokok bunga ni. Kalau Tom nampak, mesti dia suka,’ fikir Alya sambil mengukir senyuman. Buat seketika, dia hanyut memikirkan teman lamanya. Memori indah yang dicipta bersama kembali menerjah fikiran.

“Alya,” sapa satu suara dari arah belakang. Alya terkejut dengan sapaan yang dibuat. Dia menjerit kecil sebagai respon diluar kawalannya.

“Maafkan saya jika awak terkejut,” ucap suara yang didengari Alya sebentar tadi. Alya segera menoleh memandang pada gerangan yang memanggil namanya tadi. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat wajah tampan seorang budak lelaki yang sedang berdiri menghadapnya.

“Maaf la kalau saya menganggu. Nama awak Alya Irdina ke?” tanya budak lelaki itu. Bagaikan dipukau, Alya menganggukkan kepalanya sebagai respon pada jawapan lelaki itu. Matanya masih lagi pada wajah tampan yang mula mencuri tumpuan hati perempuannya.

“Jadi, saya rasa ini mesti awak punya,” kata lelaki itu sambil menghulurkan sekeping kertas pada Alya. Alya menyambut huluran kertas yang diberikan lelaki itu. Sijil yang tertera nama ‘Alya Irdina’ ditatap dengan penuh hairan.

‘Pelik, bila masa pulak dia simpan sijil aku? Entah-entah aku tertinggal tak masa pendaftaran tadi. Adoi, malu nyer. Mujur dia yang jumpa,’ bisik Alya di dalam hati.

“Maaflah ye, saya tak sedar pulak yang saya tertinggal sijil ni tadi. Saya ni memang pelupa sikit orangnya,” ucap Alya sambil tersenggih.

“Takpe, mujur saya yang jumpa,” balas lelaki itu sambil tersenyum.

‘Manisnya dia senyum,’ bisik hati kecil Alya. Senyuman lelaki kacukan Belanda ini, benar-benar menggodanya.

“Emm…awak ni budak baru ke? Saya rasa saya tak pernah tengok awak sebelum ni,” tanya Alya memulakan bicara. Lelaki di hadapannya mengangguk sambil tersenyum sebagai respon.

“A’ah, saya budak baru. Saya asal dari Indonesia, tapi lahir di Malaysia. Papa saya selalu berpindah atas urusan kerja, jadi saya terpaksalah ikut sama. Sebab tulah saya selalu pindah sekolah,” balas budak lelaki ramah.

“Thomas!” laung satu suara tidak berapa jauh dari tempat Alya berdiri. Alya dan budak lelaki itu berpaling pada suara yang di dengari mereka.

“Rasanya, baik saya pergi dulu. Lagipun, saya belum daftar lagi. Nanti marah pulak papa dengan mama saya. Jumpa nanti ya,” ucap lelaki itu seraya melangkah meninggalkan Alya yang masih lagi berada di tempatnya.

“Emm…boleh saya tahu, nama awak?” tanya Alya. Pelajar lelaki yang tadinya sedang berjalan menghentikan langkahnya.

“Oh, lupa pulak. Nama saya Evan Thomas. Panggil saja Tom,” balas lelaki itu sambil tersenyum. Dia kemudiannya berjalan meninggalkan Alya yang kelihatan terkejut sebaik sahaja mendengar nama pelajar lelaki itu.

‘Mustahil, tak mungkin. Adakah ini kebetulan? Mimpikah aku?’ soal Alya bertubi-tubi. Dia tidak menyangka yang dia sekali lagi akan mendengar nama itu. Tom, itulah nama kucing jenis Norvegian Forest kesayangannya yang telah lama pergi menyepi tanpa khabar berita.

Sungguh, dia benar-benar terkejut dengan nama panggilan yang didengarinya. Terasa seperti hidupnya kembali ceria. Kini, dia sudah menjumpai Tom yang dicarinya selama ini. Walaupun rupanya berbeza, namun perasaan yang dialaminya masih tetap sama.

‘Tom, aku benar-benar rindu padamu. Terima kasih kerana sudi penjadi peneman setia hidupku dan kali ini, biar aku yang menjadi penjaga hatimu,’ ucap Alya dalam hati.

p/s: Cerpen ini hanyalah sekadar rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan mana-mana kepercayaan dan agama. Diharap, semua pembaca terhibur.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Cerpen : Penjaga Hati”
  1. qrieya says:

    citer ni sama ngan komik kaoru,143 . kalo x caya leh cari.tp x la sama sumernya..so ok la

  2. khadija says:

    a’aah…sy pn ad bc komik koaru tue…..
    x ksah la tp due2 best… :mrgreen:

  3. iman says:

    best tapi kenape cam tergantung… last cam tu je ke… :|

  4. E-ja88 says:

    boring lah…tak best sgt,tergantung…. :evil:

  5. missfiza says:

    not bad~~

  6. wawa says:

    ok lar…. cuba lagi… :)

  7. nur medina says:

    ada sedikit persamaan dengan komik kaoru…teruskan usaha..good luck..

  8. sayasukabaca says:

    nak komen sikit…
    kalau penulis memberi peringatan pada pembaca y cerpen ni xd kene mengena dengan mana-mana agama,
    adakah penulis cuba untuk menidakkan kepercayaan agama yang pembaca anuti?
    saya tak berminat nak menyentuh sensitiviti sape2…
    tapi cuba penulis baca novel2 Ramli Awang Mursyid…
    most of his novel sound not real…but when we read his book he able to make it real…siap bole wat ala2 islamic lagi…
    so, saya nak gitau penulis yang cerita2 dongeng or fantasi tu bole je buat,,,
    it can be real if you really beleive that it can sound real
    pape pon.
    cerita ni best
    sounds different
    good luck for the next try
    :D

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"