Novel : Dahlia 9, 10

21 January 2011  
Kategori: Novel

743 bacaan Jom bagi ulasan

Oleh : Noor Azihan Sulaiman

“Dahlia, balik ke sini cuti nanti,” tegas suara Mama Mira di corong telefon bimbit mengarahkan Dahlia menurut kemahuannya.

Dahlia hanya terbata-bata. Pertama kali dalam hidupnya, Mama Mira mendesak dia berkunjung ke rumahnya. Mungkin kerana memikirkan Dahlia hanya sendirian selepas kehilangan ayah dan ibunya (datuk dan nenek sebenarnya).

Dahlia hanya mengiyakan. Pulang ke rumah Mama Mira adalah merupakan suatu perkara yang pelik dan asing baginya. Dahlia harap dia dapat menyesuaikan diri dengan keluarganya itu. Lagipun anak-anak Mama Mira (adik-adiknya sendiri) amat mesra dengannya.

Terkenangkan adik-adiknya, hati Dahlia sayu seketika. Adik-adik yang bijak dan petah berkata-kata. Dahlia merindui senyum tawa dan senda gurau mereka.

Hujung minggu itu, Dahlia bergerak menuju ke rumah ibu kandungnya. Tiba di halaman rumah, suasana sepi menyelubungi kediaman itu. Ke mana perginya Mama Mira? Adik-adik pula di mana? Dahlia tertanya-tanya.

Dia membunyikan loceng pintu. Sepi. Tekan sekali lagi. Dan setelah tiga kali menekannya, barulah dia terlihat kelibat seseorang menyelak langsir di dalam rumah. Dahlia menarik nafas lega.

Pintu utama terbuka lebar. Mama Mira dengan wajah yang agak keruh, bergerak menuju ke pagar dan membuka kunci mangganya.

“Assalammualaikum, mama,” sapa Dahlia bersopan.

“Waalaikummussalam,” hambar.

Pintu pagar terbuka lebar.

“Masuklah,” masih kedengaran dingin.

Dahlia teragak-agak sebelum melangkahkan kaki mengekori Mama Mira.

“Adik-adik mana, ma?” mata Dahlia melilau ke sekitar rumah. Sebuah pasu besar berisi bunga hidup terhias indah di atas meja bulat betul-betul di tengah ruang tamu itu. Cantik rumah ini, desis Dahlia kagum.

“Ada di atas, menonton televisyen agaknya.”

Dahlia dibawa ke sebuah bilik di tingkat bawah berhampiran tangga. Terkuak sahaja pintu itu, hati Dahlia sekali lagi dicuit rasa kagum. Bilik yang terhias indah dengan sebuah katil kelamin bercadar satin gaya keinggerisan. Langsirnya juga daripada corak kain yang sama.
Mungkin ini bilik tamu, fikir Dahlia.

“Masuklah,” pelawa Mama Mira. Ada sedikit kemesraan (agaknyalah).

Dahlia meletakkan beg sandangnya di atas katil bersaiz queen itu. Beg pakaiannya diletakkan di sisi katil. Mama Mira berlalu pergi meninggalkan Dahlia sendirian.

Dahlia menghantar pemergian Mama Mira dengan pandangannya. Setiap kali terlintas wajah Mama Mira di fikirannya, Dahlia seringkali terbayangkan keadaan Mama Mira sehingga tercipta dirinya di dalam rahim sang ibu.

Kini, Mama Mira berada nyata di hadapannya. Sekali lagi bayangan itu melintasi mindanya. Di manakah Mama Mira bergelandangan dulu? Di lorong manakah? Di hotel murahan manakah? Di bawah jambatan manakah? Siapakah lelaki bangsat yang telah meniduri mamanya?

Lelaki bangsat ? Lelaki bangsat itu mungkin ayahnya. Dahlia menarik
nafas, sesak. Dia sudah cuba membuang prasangka itu jauh-jauh, namun dia tidak mampu.

Kadang-kadang dia berasa berdosa yang amat kerana membayangkan situasi yang sedemikian rupa. Tapi hati ini tidak dapat dibohongi.

Lamunan Dahlia terhenti tatkala terdengar suara riuh-rendah menghampiri biliknya. Adik-adiknya yang seramai empat orang itu menerpa ke arahnya dengan wajah riang. Dia lantas bangun memeluk mereka. Keempat-empatnya berebut untuk memeluk Dahlia serentak. Dahlia tertawa melihat kelakuan adik-adiknya.

Setelah keadaan agak mereda, Dahlia mencempung Damia, adik perempuan yang paling kecil berusia tiga tahun ke atas ribaannya. Adik-adik yang tiga orang lagi duduk di sisinya. Masing-masing tidak sabar-sabar untuk bercerita.

“Cik Lia cuti berapa lama? Nanti boleh kita pergi jalan-jalan tepi pantai,” Adlina, anak sulung Mama Mira (anak kedua sebenarnya kerana Dahlia adalah anak yang sulung) menyarankan.

“Cik Lia, kita pergi berkelah, ya,” Ashraf, adik Adlina pula memberikan cadangan.

“Alah, mandi laut la, Cik Lia,” tokok Addin tidak mahu ketinggalan. Si kecil Damia tidak mempedulikan semua itu. Dia menarik-narik tudung ungu muda Dahlia. Dahlia mencium pipinya bertalu-talu. Geram melihat pipi gebu Damia.

“Ya, ya, nanti kita pergi semua sekali,” Dahlia menenangkan adik-adiknya.

“Horey!!!” serentak mereka menjerit kegembiraan.

Dalam keterujaan itu, mereka dikejutkan dengan kedatangan Mama Mira di pintu bilik.

“Hmm…sementara engkau bercuti ni, bolehlah kau tengokkan budak-budak ni sekejap, ya Dahlia. Mama kena ke Seremban, ambil barang kedai,” rendah nada suara Mama Mira. Ada udang di sebalik batu rupa-rupanya.

“Tak apa, mama. Apa salahnya,”

“Horey!!!” sekali lagi budak bertiga itu terjerit kegembiraan. Damia tidak mempedulikan itu semua kerana dia leka membelek manik-manik putih bersinar di tepi tudung Cik Lianya.

Dalam masa seminggu ini, Dahlia akan tinggal di sini menemani adik-adiknya. Pembantu Mama Mira turut sama menemani Mama Mira ke Seremban mengambil barang pesanan pelanggan. Dahlia rasa lebih bebas melayani budak-budak itu tanpa kehadiran Mama Mira.

Rasanya Mama Mira tidaklah begitu memusuhinya. Cuma, Dahlia hairan, mengapa selama hayat ayah dan ibu, Mama Mira tidak pernah mahu menunjukkan kemesraan terhadapnya ?

BAB 10

“Cik Lia, tengok ni, apa yang Lin dapat,” Adlina yang berusia sebelas tahun itu berlari-lari sambil kedua-dua tangannya menggenggam sesuatu.
Dahlia yang sedang menyusun pinggan di atas hamparan plastik biru itu segera menoleh ke arah adiknya. Mereka berlima mengisi percutian ini dengan berkelah di tepi pantai. Damia yang tidak lekang dari sisi Dahlia sedang bermain-main dengan sebuah pinggan plastik.

Dua orang adiknya, Ashraf dan Addin berlari mengekorinya, ingin tahu apakah yang diperoleh kakak mereka. Ketiga-tiganya tercunggap-cunggap menghampiri Dahlia. Dahlia menumpukan perhatian ke arah genggaman tangan Adlina.

Adlina membuka genggamannya perlahan-lahan. Seekor ketam kecil berwarna jingga merayap keluar dari celah-celah jemarinya. Adlina ketawa senang. Adik-adiknya merengus kerana terasa dipermainkan.

“Macamlah best sangat dapat anak ketam tu,” rungut Ashraf, kecewa.

Dahlia hanya tertawa melihat gelagat adik-adiknya. Anak ketam itu diletakkan di atas pinggan kecil permainan Damia. Semakin galak Damia bermain dengan permainan barunya sambil mulutnya becok memperkatakan sesuatu yang kurang difahami kerana sebutannya agak pelat.

Adik-adiknya kembali berlari ke gigi air. Ombak laut yang tidak begitu kuat, sesekali menghempas ke pantai, meninggalkan buih putih dan kemudian pergi dan kembali lagi dan lagi, berulang-ulang kali tanpa letih dan jemu. Dahlia mengkagumi keindahan alam ciptaan Illahi.

Telefon bimbitnya memperdengarkan ringtone lagu InsyaAllah dendangan Maher Zain menandakan ada panggilan masuk. Dahlia merenung skrin dan tertera nama Zamani. Setelah tiga hari bercuti, inilah kali pertama Zamani menghubunginya.

“Sayang, apa khabar? Abang rindu,” Dahlia tergelak kecil mendengar suara Zamani menyatakan penanggungan jiwanya.

“Sayang tak rindu kat abang ke?” Dahlia masih lagi tergelak-gelak.

“Tak adalah. Biasa saja,” Dahlia hanya berbohong. Hakikatnya, dia sentiasa merindui lelaki itu. Merenungi telefon bimbitnya sepanjang masa tanpa alpa sambil menantikan panggilan dari jauh dan akhirnya penantian itu ternoktah saat ini.

“Ya lah, orang dah jumpa anak-anak saudaranya, mana nak ingat kat kita lagi,”keluh Zamani berpura-pura merajuk.

Dahlia terus melayani perbualan Zamani sambil matanya mengawasi Damia di sisi dan adik-adiknya yang lain bermain di gigi air. Cuti semester kali ini akan diisi bersama adik-adiknya sebelum dia kembali ke kampong untuk menjenguk rumah peninggalan dan pusara ayah ibu.

Zamani masih menyangka bahawa mereka adalah anak-anak saudara Dahlia seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini. Pasti Zamani akan terkejut besar seandainya suatu hari nanti, rahsia sulit ini terbongkar.

Petang terus merangkak tiba. Dahlia mengajak adik-adiknya kembali ke rumah mereka. Teksi yang membawa mereka tiba dua jam kemudian di halaman rumah. Puas hatinya dapat membuatkan adik-adiknya gembira. Walaupun hakikatnya, budak-budak itu belum tahu pertalian sebenar antara mereka. Cik Lia yang selama ini disangkakan ibu saudara mereka adalah kakak yang dikandung dan dilahirkan oleh ibu yang sama iaitu Mama Mira.

Pada sebelah malamnya, Dahlia mengambil peluang untuk mengajar adik-adiknya mengaji al-Quran. Ilmu sedikit yang ada dalam dirinya dimanfaatkan sebaik mungkin. Selepas itu dia memantau Adlina membuat latihan kerana tahun hadapan, Adlina bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Seminggu berada di rumah itu, Mama Mira pulang. Dia membawa banyak kain pasang, baju kurung dan tudung pelbagai jenis untuk dijual di kedainya. Apa yang menjadi kemusykilan Dahlia, selama dia di sini, tidak sekalipun dia melihat kelibat Papa Rashid.

Ingin bertanya, timbul rasa segan di hati. Mungkin betul cakap-cakap orang kampong sebelum ini. Mama Mira berkahwin dengan suami orang. Dia isteri kedua Papa Rashid dan sebagai orang yang bermadu, dia mestilah tahu membawa diri.

Mama Mira yang seminggu ke luar daerah kelihatan keletihan. Dia ke dapur untuk mendapatkan sedikit minuman. Tiba di ambang pintu, dia kelihatan sedikit terperanjat. Dahlia di dapur sedang memasak sambil dibantu adik-adiknya. Damia pula leka membelek anak patung Barbie di sisi Dahlia yang bersila menghiris bawang.

Adlina mengeluarkan periuk dan meletakkannya di atas tungku manakala Ashraf membasuh pinggan dibantu Addin yang mengelap dan meletakkannya di atas rak. Satu pemandangan yang amat asing baginya. Budak-budak ini masuk ke dapur? Hmm…memang pelik.

Mama Mira membatalkan hasratnya untuk mencari air minuman di dapur. Dia bergerak perlahan-lahan menuju ke biliknya. Mendapatkan air minuman di dalam refrigerator kecil dalam kamar tidurnya.

Selesai membasuh pinggan mangkuk, Dahlia membenarkan adik lelakinya yang berdua itu naik ke bilik untuk menonton televisyen sambil membawa Damia bersama. Dia terus di dapur untuk menyediakan makan malam bersama Adlina.

Asam pedas ikan pari. Menurut Adlina itu adalah masakan kegemaran mama. Dahlia menyediakan bahan-bahannya. Bawang putih, bawang merah, cili merah dan lengkuas ditumbuk bersama.

Adlina membantu membersihkan ikan pari. Dahlia menumis sedikit halba dan bahan-bahan yang ditumbuknya sehingga naik bau. Kemudian, dia memasukkan air dan perahan air asam jawa. Setelah itu, barulah dimasukkan ikan pari, bunga kantan, daun kesum dan garam.

Sesudah itu, mereka menyediakan resepi kedua, sayur campur goreng. Selepas menumis bawang putih, bawang merah dan cili merah, Dahlia memasukkan udang hidup dan sedikit tempe yang dipotong dadu. Adlina memerhatikannya sambil belajar.

Sedikit sos tiram dimasukkan untuk mendapatkan rasa sayur campur goreng yang lebih enak. Dan selepas itu barulah Dahlia memasukkan sayur campurnya lalu dimasak sehingga empuk.

Mama Mira berpura-pura tidur sewaktu Dahlia mengejutkannya untuk makan malam. Dahlia menghampiri mamanya perlahan-lahan. Melihat mama yang seakan lena di peraduan, sekali lagi minda Dahlia bergentayangan.

Inikah mama yang mengandung dan melahirkan aku? Inikah mama yang menyerahkan mahkota kegadisannya untuk diragut oleh seorang lelaki yang bukan bergelar suami? Mustahil wanita yang memiliki wajah selembut ini sanggup melakukan perbuatan mungkar dan terkeji itu.

Dahlia mengeluh perlahan. Sifat peribadi seseorang tidak dapat dinilai secara lahiriah sahaja. Mama Mira membukakan matanya perlahan-lahan. Memandang Dahlia yang masih merenungnya.

“Mama, makan malam dah sedia,” sapa Dahlia menyembunyikan rasa terkejutnya.

“Solat Maghrib dulu baru makan,” Mama Mira memberikan cadangan.

Dahlia menganggukkan kepala sambil berlalu menuju ke biliknya.
Mama Mira sudah bersedia di meja makan namun anak-anaknya tiada seorang pun yang kelihatan. Aneh dengan keadaan itu, dia bangun perlahan-lahan menuju ke bilik Dahlia. Sekali lagi Mama Mira dikejutkan dengan suasana yang baru di rumahnya.

Dari dalam bilik itu kedengaran seperti suara berlagu. Siapa yang menyanyi? Apa lagunya? Mama Mira menolak daun pintu perlahan-lahan.

Sebaik sahaja daun pintu terkuak, Mama Mira dapat melihat dengan jelas, anak-anaknya sedang mengaji al-Quran di bawah bimbingan Dahlia.
Mama Mira terpanar seketika. Perlahan air jernih turun di pipinya. Dia merapatkan kembali daun pintu itu agar tiada siapa yang melihat gelagatnya. Dia berlari menuju ke biliknya. Menghamburkan tangisan semahu-mahunya. Sedih hatinya melihat situasi sedemikian.

Dia dikejutkan saat pertama kali kakinya melangkah masuk ke rumahnya sendiri. Situasi yang berbeza dan sangat asing (sebenarnya sangat mendamaikan) dengan kedatangan Dahlia. Dahlia anak yang dulunya tidak direstui kehadirannya ke dunia ini.

“Lin tahu apakah maknanya Quraan?” tanya Dahlia sebaik sahaja adik-adiknya menutup al-Quran selepas menyelesaikan bacaan mereka.

“Tak tahu, Cik Lia,” pantas Addin menjawab.

“Quraan itu maknanya bacaan. Al-Quraan pula ialah Kalam Allah swt yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Membacanya adalah satu ibadah,” terang Dahlia panjang lebar. Mengangguk-angguk kepala adik-adiknya seperti burung belatuk.

“Cik Lia, ustaz Lin ada cakap, al-Quraan diturunkan secara beransur-ansur. Kenapa ya?” Dahlia tersenyum mendengar pertanyaan Adlina.

“Ada banyak hikmahnya al-Quran diturunkan sedemikian rupa. Antaranya ialah agar isinya lebih mudah dimengertikan dan dilaksanakan. Jika diturunkan secara serentak, manusia mungkin enggan atau keberatan untuk melaksanakan suruhan dan larangan Allah yang terlampau banyak.”

Sekali lagi adik-adiknya mengangguk seperti belatuk menebuk lubang mencari serangga. Semoga mereka faham apa yang aku sampaikan, desis Dahlia perlahan.

“Turunnya sesuatu ayat al-Quran juga adalah sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi. Ini akan lebih mengesankan dan berpengaruh di hati,” Dahlia meneruskan penerangan setakat ilmu yang diketahuinya.

“Baiklah, ada masa nanti Cik Lia akan ceritakan lagi. sekarang ni mari kita pergi makan malam. Adlina pergi panggil mama dulu, ya,” Dahlia menutup tazkirah ringkasnya pada malam itu.

Adik-adiknya berlumba-lumba menuju ke meja makan. Dahlia hanya tersenyum. Dia bangun menyusun telekung dan sejadah yang telahpun disusun oleh adik-adiknya agar lebih kemas.

“Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah atau sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah dinamakan ayat-ayat Makkiyah manakala ayat-ayat yang diturunkan di Madinah atau sesudah Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah dinamakan ayat-ayat Madaniyah,” bagaikan terdengar-dengar suara Ustazah Wan Kalsom memberikan penerangan sewaktu dia berada di dalam kelas tingkatan Lima Cempaka, empat tahun yang lalu.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"