Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 11, 12

26 January 2011  
Kategori: Novel

21,876 bacaan 20 ulasan

Oleh : geemus @ gee muszisya

11

“Assalamualaikum mama.” Akmal mengatur langkah ke arah Datin Kamariah yang sedang menyusun atur pasu di taman kecil di halaman rumah. Datin Kamariah segera mencabut sarung tangannya menyambut huluran tangan anaknya itu. Tangan Datin Kamariah dikucup lembut oleh Akmal. Datin Kamariah tersenyum senang.

“Penat nampaknya anak mama ni?” tanya Datin Kamariah bila melihat raut wajah keletihan Akmal. Tangan Akmal ditarik mengikutnya duduk di kerusi di taman kecil bersebelahan kolam ikan.
“Ye lah ma… penat sangat. Banyak kerja kat tapak projek tu yang perlu diuruskan,” jawab Akmal. Tangannya dibawa ke pangkal leher dan diurut perlahan menghilangkan sengal-sengal yang semakin menjalar di urat-urat sendinya.

Lenguh terasa badannya kerana memandu terlalu lama. Sengaja dia tidak mahu bergilir dengan Anis walaupun sudah berkali-kali didesak oleh Anis. Raut wajah Anis yang tampak keletihan menyebabkan dia berat hati untuk membenarkannya. Akmal terus menghantar Anis pulang ke rumah walaupun Anis cuba menolak tawarannya itu dengan alasan jalan mereka tidak sehaluan. Cukup hanya meninggalkannya di pejabat kerana dia sudah berpesan kepada kawannya.

Dia tidak mempedulikan apa juga alasan, yang penting Anis sampai ke rumah dengan selamat. Bergelut dengan kerja yang perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat dan mesyuarat dengan kontraktor yang membentangkan berbagai agenda berbangkit sudah cukup membuatkan mereka berdua benar-benar keletihan dengan tekanan kerja itu.

“Along nak air ke? Mama boleh buatkan,” simpati Datin Kamariah melihat anaknya yang begitu keletihan.

“Eh! Tak payah lah mama. Sekejap aje along nak rehat kat sini.” jawab Akmal segera memegang tangan Datin Kamariah yang ingin bangun.

“Papa mana ma?” soal Akmal bila kereta Datuk Mansor tidak kelihatan di garaj.

“Papa keluar sekejap, jumpa kawan katanya,” jawab Datin Kamariah.

Mata mereka serentak ditala ke arah perkarangan rumah bila menyedari sebuah kereta suzuki swift memasuki garaj. Kelihatan seorang gadis keluar dari perut kereta dan mengatur langkah ke arah mereka.

“Assalamualaikum,” sapa Farisya dengan senyuman menghiasi wajah. Anak perempuan bongsu kepada Datuk Mansor dan Datin Kamariah. Dengan penuh hornat dia tunduk mencium tangan Datin Kamariah dan Akmal.

“Lambat balik Isya hari ni?” soal Datin Kamariah. Farisya sudah mengambil tempat di antara Akmal dan Datin Kamariah.

“Banyak kerja mama… hari ni pun kena keluar jumpa client. Penat semalam pun tak hilang, hari ini kena pergi jumpa client baru lagi,” keluh Farisya dengan beban kerja yang semakin banyak di pejabatnya.

“Eleh… penat sikit dah nak mengeluh. Tengok along ni, pergi sana sini okey aje,” perli Akmal.

“Along tak apa lah tulang besi. Memang tak rasa apa,” balas Farisya sambil menjeling.

“Oit! Ingat along ni robot ke. Itulah, along suruh kerja kat syarikat papa, tak nak… sekarang baru tahu,” sakat Akmal lagi.

“Emh! Tak nak lah kerja dengan along. Lagi teruk. Nanti Isya asyik kena buli dengan along aje. Isya yang teruk buat kerja, along dok syok goyang kaki,” kata Farisya sambil mencebik.
“Amboi… sedapnya mulut mengata along. Ingat along ni kaki buli ke?” Jari telunjuknya ditunjal perlahan di kepala adiknya itu.

“Apa along ni… main tunjal-tunjal kepala orang pulak,” marah Farisya. “Memang pun along tu kaki buli,” sambungnya. Farisya menjelir lidah pada Akmal. Geram dengan abangnya yang sorang ni. Asyik main tolak kepala aku saja tahunya. Yang paling kerap gosok kepala aku macam laa aku ni budak-budak lagi.

“Nak kena lagi lah tu. Perangai macam tak cukup umur,” sindir Akmal dengan tingkah Farisya. “Kerja macam tu lah adik. Kalau lagi banyak pengetahuan yang kita cari lagi banyak pengalaman yang kita dapat. Yang penting macam mana kita nak manage kerja tu supaya lebih teratur,” jelas Akmal sambil menggosok kepala Farisya manja seperti memujuk budak kecil gayanya. “Bila Isya nak kerja kat syarikat papa?” tanya Akmal.

Tangan Farisya pantas menepis tangan Akmal dari kepalanya. Akmal hanya ketawa dengan telatah adiknya itu. “Belum masanya lagi along… Isya nak cari pengalaman kat tempat lain dulu.”
“Macam di syarikat papa tak boleh cari pengalaman. Tak apa, Isya carilah sebanyak mana pengalaman yang Isya nak, tapi jangan lama sangat. Along bagi masa setahun saja tau,” kata Akmal serius.

“Okeylah… setahun pun setahun lah,” ujar Farisya mengalah.

“Korang ni asyik fikir soal kerja aje. Habis tu bila mama nak dapat menantu kalau macam ni?” soal Datin Kamariah tiba-tiba mencelah.

“Eh! Mama ni tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba cakap soal kahwin pulak. Isya belum sampai seru… lagipun mana boleh Isya langkah bendul. Mama suruh along kahwin dulu,” jawab Farisya. Namun wajah Farisya mula berubah bila terasa kata-katanya akan menyebabkan Akmal tersinggung. Dia memandang wajah Akmal yang hanya diam merenung permukaan meja. Farisya berbalas pandang dengan Datin Kamariah seolah-olah memahami gelodak hati Akmal yang kecewa dengan ikatan masa lalu.

“Isya minta maaf along. Isya tak bermaksud nak…” ucap Farisya tetapi belum sempat Farisya menyudahkan kata, Akmal pantas bersuara. “Tak ada apalah Mira. Along dah boleh terima semuanya. Cuma along kesal sebab melibatkan maruah keluarga kita. Benda yang lepas kita jadikan pengajaran untuk masa hadapan. Along sedar sekarang, sesuatu yang bukan terbaik untuk kita pasti ada halangannya. Allah nak menguji supaya along lebih tabah. Setiap ujian yang diterima pasti ada hikmah disebaliknya.” tutur Akmal dan lirikan senyuman menghiasi wajahnya bila mengingatkan kembali kata-kata Anis yang telah tersemat di dalam hatinya.

Terpaku Datin Kamariah dan Farisya mendengar kata-kata Akmal itu. Tidak berkedip mata mereka memandang Akmal. Akmal memanggungkan kepala bila keadaan sepi diantara mereka.

“Kenapa mama dengan Isya tengok along macam tu?” soal Akmal bila melihat Datin Kamariah dan Farisya terpaku memandangnya.

“Along sihat ke hari ni along?” soal Farisya risau. Tangannya melekap di dahi Akmal. Tak panas pun. Apa kena dengan along aku hari ni? Lain macam aje ni. Desis hatinya.

“Along sihat lah. Dahlah, along masuk dulu, nak mandi. Dah melekit badan ni,” beritahu Akmal lalu bangun sambil mengangkat beg di sisinya.

“Kenapa dengan along tu ma?” soal Farisya sebaik Akmal masuk ke dalam rumah.

“Mungkin along dah sedar kut,” duga Datin Kamariah.

“Tapi takkan dengan tiba-tiba? Pelik?” Farisya menongkat dagu cuba memikirkan kemungkinan yang membawa perubahan sikap abangnya itu. “Along tu baru balik dari Kuantan kan ma?” soal Farisya lagi.

“Ha’ah! Kenapa?”

“Hari tu heboh pasal makhluk halus di Kuantan kan, ma. Entah-entah ada yang melekat kat along tak?” jawab Farisya berbisik pada Datin Kamariah.

“Hish!! Budak ni… boleh tak jangan cakap benda mengarut macam tu,” lenting Datin Kamariah dan sepantas kilat tangannya mencubit lengan anaknya itu.

“Adoiii… sakit laa ma, mengalahkan ketam mama ni,” Amira mengaduh sambil mengusap-ngusap lengannya. Mahu lebam lengan aku lepas ni. Memang berbisa betul cubitan mama.
“Isya bukan apa… pelik sangat tengok along tu. Sejak along frust menonggeng mana ada macam ni. Pantang sebut sikit dah nak marah?” jelas Amira. Tidak pernah dia melihat alongnya seperti sekarang ini. Dulu wajah along pasti akan berubah murung jika bercakap pasal jodoh dan bila diungkit pasal Farah Hanim cepat sahaja dia melenting.

“Kalau pasal tu mama pun hairan. Along dulu suka menyalahkan dirinya sendiri kerana dia, papa dan mama mendapat malu. Tapi mama dengan papa tak pernah menyalahkan along. Kami terima semuanya sebagai suratan takdir,” jelas Datin Kamariah dengan sikap Akmal yang terlalu mengikut perasaan.

“Entahlah along tu. Apa nak dihairankan sangat. Macam along tu ma… satu pergi sepuluh mari,” kata Amira sambil mengangkat kesepuluh jarinya di hadapan Datin Kamariah.

“Amboiii..!! Senangnya bercakap… kalau Haikal pun fikir macam Isya… memang frust menonggeng laa anak mama ni…” gurau Datin Kamariah. Amira hanya tersengih. Hubungannya dengan Haikal sudah menjangkau tiga tahun sebagai pasangan kekasih. Setakat ini baik-baik saja, walaupun kadang-kadang ada juga perselisihan faham tetapi masing-masing cuba bertolak ansur. Biasalah pasangan kekasih kalau tak ada merajuk, pujuk memujuk memang tak sah. Nasib baik Haikal memahami ragamnya yang agak manja.

“Along bukan macam tu Amira. Along anak yang baik. Mahu menjaga maruah keluarga… sebab tu apa yang terjadi dulu memberi kesan pada along. Tambahan pula itu cinta pertamanya. Dah lama mereka berkawan, tapi tak sangka Farah boleh berubah macam tu sekali. Kesian mama tengok along. Tak tentu arah jadinya. Alhamdulillah berkat doa dan perangsang dari papa dan mama along dapat menghabiskan pengajiannya,” cerita Datin Kamariah.

“Kesian along kan, ma. Mira doakan along akan berjumpa dengan seseorang yang baik dan penyayang seperti mama,” ujar Amira sambil memeluk bahu Datin Kamariah.

“Sama-samalah kita doakan yang terbaik untuk along,” balas Datin Kamariah pula. Walaupun cuba diselindung tetapi ibu mana yang tidak kenal hati budi anaknya. Dia tahu anaknya itu suka memendam perasaan sendiri. Hati mana yang tidak terseksa jika orang yang disayang tinggalkannya kerana mengejar cinta yang lain. Sentiasa dia berdoa semoga anaknya akan dipertemukan dengan jodoh yang terbaik. Dia percaya ada hikmah disebaliknya. Pada Allah Yang Maha Agung dia berserah moga anaknya dipertemukan dengan seseorang yang betul-betul menyanyanginya sepenuh hati suatu hari nanti.

————————-

12

Anis memicit-micit dahinya. Kepalanya terasa sakit sejak semalam lagi. Bukan main panjang leteran Min umpama anak ayam saja di telinganya dek kedegilannya untuk masuk office juga pagi ni.

“Hai…” tegur Amran di belakang Anis.
Anis tersentak. Kus semangat nasib baik tak tercampak balang gula di tangannya. Anis hanya memerhati Amran bersandar santai di kabinet agak hampir dengannya.

“Hai.” balas Anis pendek. Malas melayan. Bukan boleh dilayan sangat mamat kasanova perasan macho ni. Makin dilayan makin menjadi nanti.

“Lamanya awak pergi site. Rindu betul saya kat awak,” beritahu Amran dengan lirikan senyuman menggoda.

Uweekkkk..! Geli geleman tekak aku nih. Mamat ni kalau mengayat berdiri bulu roma ku. Anis hanya berlagak bersahaja.

“Muka awak nampak pucat. Tak sihat ke?” tanya Amran sambil merenung gadis yang diminatinya dalam diam.

“Tak adalah, saya sihat aje Encik Amran. Mungkin sebab letih kot.” jawab Anis. Tangan ligat membuat air. Tidak selesa dengan Amran yang memerhati gerak gerinya.

“Itulah… kerja kuat-kuat sangat sampai menyusahkan diri,” perli Amran.

Mamat ni pagi-pagi lagi nak main sindir-sindir pulak. Aku dah lah sakit kepala tahap lampu kuning ni, jangan sampai naik lampu merah ada juga yang naik darah karang.

“Habis tu takkan nak goyang kaki aje Encik Amran. Kita hidup ni, mesti lah cari rezeki yang halal, barulah hidup diberkati Allah,” balas Anis sambil berpaling memandang Amran di sebelahnya. “Encik Amran ni sakit pinggang ke? Dari tadi saya tengok senget sebelah aje badan tu. Kalau sakit pinggang… dalam first aids tu ada panadol extend untuk sakit sendi dan otot. Tidak pun yoko-yoko pun elok jugak,” sambung Anis lagi. Kali ini, sepantas kilat Amran menegakkan badannya mendengar kata Anis itu.

“Hish! Awak ni, hilang macho saya awak cakap macam tu. Saya ni muda lagi, belum kahwin and still available mana ada kelonggaran otot sendi lagi,” kata Amran dengan pandangan menggoda dilemparkan kepada Anis.

Ehm… ulat bulu dah naik daun. Dah mula nak jual minyak urat pulak. Menyampah! Kutuk Anis dalam hati.

“Ye lah, saya tengok asyik menyendeng ke kabinet aje, saya ingatkan sakit pinggang. Okeylah Encik Amran, saya ada kerja sikit. Saya pergi dulu.” ujar Anis ingin berlalu pergi. Namun pantas dihalang Amran.

“Awak ni kalau berlama sikit dengan saya ada aje alasan,” kata Amran. Hatinya mula hilang sabar dengan perangai Anis yang sering mengelak darinya.

“Apahal dengan Encik Amran ni. Saya nak pergi buat kerja,” kata Anis tidak senang dengan perlakuan Amran yang semakin berani itu. Tajam pandangannya menikam mata Amran yang galak memerhatinya.

“Tapi tak sangka jugak awak ni. Suka pancing ikan besar ye,” sindir Amran. Dia tidak begitu menyenangi bila melihat Anis sering bersama Akmal. Tambahan lagi bila dia mendapat tahu Anis pergi ke tapak projek bersama Akmal. Ada perasaan cemburu mula tumbuh di lubuk hatinya.

Ewah, ewah, ini sudah lebih… aku tengah sakit kepala dia tambah lagi dengan sakit hati aku pulak. Karang ada yang kena curah dengan air milo panas aku ni.

“Saya tak suka memancing ikan Encik Amran. Saya selalu beli ikan kat pasar aje. Tak payah susah tunggu macam pungguk rindukan bulan nak dapat seekor ikan pun. Tak tahu lah saya kalau Encik Amran yang suka memancing? Tak begitu Encik Amran,” sinis kata-kata Anis membuatkan Amran terkedu. Niat ingin menyakitkan hati Anis tetapi diri sendiri yang terkena.
“Awak faham maksud saya Anis, tak payah nak pusing cerita.”

“Ikut suka Encik Amran lah nak sangka apa pun. Nak pancing ikan besar ke, ikan bilis ke, yang penting saya tak kacau orang. Prinsip saya kalau sesuatu tugas yang diberikan, saya akan buat yang terbaik. Tak sangka pulak ada orang salah sangka dengan apa yang saya buat. Terpulanglah pada Encik Amran nak menilai macam mana. Lain ladang lain tuannya, lain orang lain pandangannya.” Anis terus berlalu pergi.

Pagi-pagi dah bagi aku naik angin. Kan dah kena sembur. Ah! Lantaklah! Nasib baik tak keluar ayat merapu segalanya. Ngomel Anis. Anis mengeluh. Kenapalah Encik Amran suka mengganggu ketenteraman aku?

Hilang moodnya untuk bekerja hari ini. Dengan sakit kepala ditambah sakit hati menyebabkan dia hanya menyendiri di dalam biliknya sahaja. Namun, Anis cuba selesaikan beberapa kerja yang tertangguh. Hari ini dia akan balik awal, habis waktu kerja dia angkat kaki.

Anis mula berkemas untuk pulang. Rasa sakit kepalanya semakin memberat terasa. Panadol sudah ditelan tetapi masih berdenyut-denyut sakitnya. Badan pun sudah mula terasa bahang panas tanda hendak demam.

“Awak dah nak balik ke, Anis?” tegur Akmal di muka pintu.

Terkejut Anis. Adoi aii… aku memang boleh kena semput kalau orang tiba-tiba datang tegur ni. Boleh bikin lemah jantung aku kalau macam ni selalu.

“Ha’ah, nak balik,” jawab Anis ringkas. Tangannya ligat menyusun fail-fail di atas meja.

“Awal awak balik hari ni,?” tanya Akmal lagi. Selalunya Anis pulang lambat. Kenapa hari ini dia pulang awal? Ada hal ke? Mukanya pun nampak pucat aje. Tak sihatkah dia? Persoalan demi persoalan bermain di minda Akmal.

“Ha’ah hari ni nak balik awal,” jawab Anis tanpa memandang Akmal.

“Awak tak sihat ke Anis?” Akmal masih mengajukan soalan.

“Ha’ah tak sihat sikit,” jawab Anis sambil memasukkan komputer riba ke dalam beg.

“Awak dah pergi klinik ke?” soal Akmal risau.

Anis angkat muka memandang Akmal. Berapa banyak soalan dia nak tanya? Ingat ini kaunter pertanyaan ke? “Ada lagi soalan bos nak tanya,?” tanya Anis seperti menyindir sahaja. Perubahan sikap Akmal kadang-kadang merimaskan. Dia tidak mahu orang berpandang serong terhadapnya gara-gara perangai bosnya yang kerap bertanya soal syarikat dan mendapatkan pandangannya mengenai sesuatu perkara.

Akmal hanya menggeleng bila menyedari Anis seolah-olah tidak senang bila dia banyak bertanya.

“Kalau tak ada apa saya balik dulu,” kata Anis berharap Akmal memberi laluan padanya kerana Akmal berdiri di tengah muka pintu biliknya. Akmal yang memahami signal mata Anis bergenjak ke tepi.
Alahai… kesian pulak aku tengok muka seposen bos aku ni. Kenapa berubah benar perangai dia?

“Saya balik dulu bos, badan rasa tak sedap sikit?” perlahan tutur Anis, tak sampai hati melihat Akmal masih menanti jawapan dariya.

“Jangan lupa pergi klinik,” pesan Akmal. Risau dia melihat keadaan Anis. Raut wajah yang kelesuan menggusarkan hatinya.
Anis hanya tersenyum dan melangkah pergi. Dia tidak berhasrat untuk ke klinik cukuplah sekadar berehat dan tidur sahaja. Mungkin kerana tekanan kerja menyebabkan kepalanya sakit dan badannya terasa lemah. Moga dengan rehat secukupnya badannya akan kembali segar esok.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

20 ulasan untuk “Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 11, 12”
  1. AniLufias says:

    Gee : kan akak dah bgtau , ramai minat citer awk nie
    heheheheheheh…aduiiiiii
    rindunya dgn Akmal yg romantik & anis yg cute
    lalalalallalalala

  2. Syirah says:

    chaiyok…nak lagi n3
    tahniah kpd penulis
    gaya bahasa yg senang difahami & x bosan…

  3. gee says:

    >yanie : terima kasih yanie…nantikan sambungannya ya :smile:

    >K AniLufias : terima kasih K Ani kerana terus setia dgn KDU…gee amat sangat hargainya…terima kasih dgn sokongan K Ani :smile:

    >Syirah : terima kasih Syirah… tunggu sambungannya ya :smile:

  4. syafiqah says:

    tak ada sambungan ke ? nak tahu pengakhiran cerite nie. akmal sweet jea dgn anis . :)

  5. Syirah says:

    kak gee : suka jea…bila nak terbit nie

  6. wani says:

    cian akmal ;-)

  7. gee says:

    Shafiqah > dah ada Shafiqah…terima kasih sudi layan :smile:

    Syirah > Insya-ALLAH Syirah ;-) :smile:

    wani > ;-) :smile:

  8. rosmpkmn says:

    tak sabar nak g popular ni nk cari buku nih

  9. Aliah Mohd Salleh says:

    Ceriter ni memang menarik. Tunggu next entry.

  10. Bila Kaki Novel Bersuara says:

    Kak Gee.. sape Farisya, sape Amira?? ;)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"