Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 5, 6

4 January 2011  
Kategori: Novel

22,856 bacaan 11 ulasan

Oleh : geemus @ gee muszisya

5

Anis bernyanyi kecil mengikut alunan lagu dari corong radio kereta. Pemerhatian sepenuhnya diberikan kepada pemanduan supaya selamat sampai ke pejabat. Keadaan jalan raya pagi ini agak lengang memandangkan ada yang tidak bekerja pada hari sabtu ataupun kerana dia keluar agak lewat melepasi masa masuk bekerja . Perjalanan ke pejabat tidaklah sejauh mana tetapi jumlah kereta yang banyak di jalan raya setiap pagi menyebabkan sesuatu perjalanan menjadi jauh.

Berbagai ragam pemandu dapat dilihatnya setiap pagi. Kesesakan jalan raya memberi satu tekanan kepada pemandu. Sebab itu dia selalu mendengar radio kerana celoteh dari dj radio sekurang-kurangnya dapat menghilangkan sedikit stress padanya.

Sedang Anis sedang mendayu-dayu menyanyikan lagu ‘hanya kau yang mampu’ tiba-tiba sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan laju memintas di hadapannya ketika dia ingin membelok di satu simpang. Beristighfar panjang Anis sambil mengurut dadanya kerana terperanjat dengan kemunculan motosikal itu secara tiba-tiba. Kurang asam punya motor, dia ingat motor besar boleh suka-suka hati bawa laju. Kalau jatuh baru padan muka. Nak tunjuk hebat konon. Membebel Anis melepaskan ketidakpuasan hatinya.

Keretanya bergerak perlahan memasuki perkarangan pejabat. Setelah memarkirkan kereta, Anis bergerak perlahan sambil menjinjit beg komputer ribanya. Dari kejauhan Anis terpandang sebuah motosikal berkuasa tinggi diletakkan di kawasan letak kereta untuk orang atasan di hadapan pintu utama. Siapa punya motor ni? Tapi macam biasa nampak. Dimana ya? Berkerut seribu kening Anis memerah otak cuba mengingati di mana dia pernah ternampak motosikal itu.

“Haaaaa…. motor ni yang pintas aku tadi.”
Anis bergerak pantas mendekati motosikal berkuasa tinggi itu.

“Assalamualaikum Anis,” sapa Pakcik Isa apabila ternampak Anis yang kelihatan agak tergesa-gesa. Pengawal keselamatan yang bertahun-tahun berkhidmat di Puncak Holding memang peramah orangnya.

“Wa’alaikumussalam pakcik.” Anis tersentak namun dijawab salam itu dengan tenang. Walau di dalam hati berkobar ingin tahu siapa pemilik kenderaan di hadapannya.

“Kenapa masam aje ni? Selalunya pagi-pagi berseri-seri pakcik tengok?” tanya Pakcik Isa. Hairan memandang muka Anis yang sedikit tegang dan memandang tepat ke arah kenderaan di hadapannya. Anis memerhati dengan teliti dan nalurinya kuat mengatakan motosikal itu yang memintas keretanya sebentar tadi.

“Pakcik nak tahu kenapa muka Anis masam pagi ni.” Anis memandang pakcik Isa sekilas.

“Sebab motor ni laa pakcik. Tadi sedap-sedap saya tengah melayan perasaan tiba-tiba motor pelesit ni muncul depan saya. Laju pulak tu.” Anis melontarkan amarahnya sambil menuding jari ke arah motosikal berkuasa tinggi itu.

“Habis angan-angan saya musnah. Geram betul! Dia ingat jalan raya ni bapak dia punya. Kalau nak bawa laju-laju pergi litar lumba. Kat situ kalau nak bawa tak ingat dunia pun tak ada orang nak marah. Nasib baik Anis tak ada sakit jantung tau pakcik, kalau tidak dah lama jalan. Dia ingat motor besar orang heran sangat,” hambur Anis melepaskan saki baki kemarahannya.

“Pakcik tahu ke siapa punya motor ni?” Anis masih membelek-belek motosikal itu.

Dalam marah ada rasa terpegun dalam dirinya. Inilah pertama kali dia dapat melihat dengan dekat motosikal berkuasa tinggi yang harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Dia berpaling memandang pakcik Isa yang hanya diam menyepi. Raut wajah pakcik Isa seolah-olah ingin menyatakan sesuatu padanya tetapi mengapa pakcik Isa hanya diam sahaja. Sepasang mata pakcik Isa yang terarah di belakangnya menambahkan kehairan di benak fikiran. Anis menjongket ke dua keningnya tanda tidak mengerti isyarat muka pakcik Isa itu.

Anis tidak berpuas hati lalu berpaling ke belakang dan apabila terpandang makhluk di hadapanya yang berjeket hitam dengan topi keledar di tangan sudah dapat diteka siapa gerangan pemilik motosikal itu. Renungan tajam tepat ke anak matanya sudah dapat ditelah isi hati empunya badan. Anis dapat merasakan mukanya sudah tidak berdarah, kesal dengan sikapnya yang suka melepaskan amarah sesuka hati. Begitulah sikapnya bila marah. Apa yang dikatakan tadi sudah tidak diingat. Anis masih kaku di tempatnya berdiri. Dia hanya memandang sepi motosikal itu dihidupkan enjin oleh tuannya dan berlalu pergi hingga hilang dari pandangan.

“Mati aku…” keluhan kerisauan terluah dari bibirnya sambil menggaru kepala yang sudah menjadi tabiatnya.

“Kenapa pakcik tak cakap kat Anis motor tu CEO kita punya tadi.” Kekesalan dan kerisauan mula menjalar dalam dirinya.

“Macam mana pakcik nak cakap. Mulut Anis tu macam bertih jagung bila marah. Sampai tak sempat pakcik nak menyelit,” kata pakcik Isa sambil melirik senyum. Tercuit dengan gelagat Anis yang mengelabah tadi. Mendengar sahaja kata-kata pakcik Isa, Anis sudah menarik muka seolah-olah merajuk dengan kata-kata pakcik Isa itu. Pakcik Isa sudah melepaskan tawanya bila melihat wajah rajuk Anis.

“Tak payahlah nak tarik muncung Anis, dengan pakcik pun nak merajuk. Bukan pakcik tak tahu perangai Anis tu,” kata pakcik Isa dengan ketawa yang masih berbaki. Akhirnya Anis turut tersenyum walaupun didalam hati padat rasa kegusaran dan kegelisahan dengan reaksi bosnya nanti.

“Anis masuk dululah pakcik,” kata Anis meminta diri untuk masuk ke pejabat. Suasana sepi ruang lobi pejabat menjemputnya bagai mengerti hatinya yang walang. Anis melangkah longlai ke biliknya. Namun masih disedari beberapa orang pekerja sedang khusyuk dengan kerja masing-masing.

Anis cuba melontar jauh kegusaran hatinya dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjanya. Keasyikan bekerja, sedikit sebanyak dapat melenyapkan peristiwa tadi. Anis sedang leka membelek fail di rak berhampiran sisi mejanya tanpa menyedari seseorang sedang memerhatinya. Setelah berpuas hati dengan maklumat yang terdapat di dalam fail tersebut Anis ingin kembali ke tempatnya tetapi alangkah terkejutnya apabila ada makhluk sedang berdiri di belakangnya.

“Aaaaa….”

Lantaran kerana terlalu terperanjat Anis menjerit dan serentak dengan itu fail di tangan terlepas dari pegangan. Terasa hendak gugur jantungnya. Anis mengurut dada yang berdegup kencang dek kerana terlalu terperanjat.

“Bos ni tak reti nak bagi salam ke?!” terlontar amarah dari bibirnya.

“Yang awak menjerit macam nampak hantu ni, kenapa?” soal Akmal kembali yang sememangnya juga terkejut mendengar Anis menjerit tadi.

“Dah bos tiba-tiba aje ada kat belakang saya. Lepas tu pakai serba hitam pulak tu, mana saya tak terkejut,” beritahu Anis. Tajam pandangannya dilemparkan pada Akmal. Tidak senang dengan perbuatan Akmal yang selalu muncul secara senyap-senyap di dalam biliknya. Akmal membalas renungan tajam Anis. Pandangan Akmal itu mengingatkan Anis tentang peristiwa pagi tadi menyebabkan matanya tersorot ke arah lain.

“Ada apa bos nak jumpa saya ni?” Anis membuka bicara bagi mengelakkan dirinya terus direnung tajam oleh Akmal.

“Masuk bilik saya sekejap,” kata Akmal dan terus berlalu dari bilik Anis.

Mati aku… mesti dia nak marah pasal tadi. Mulut ni tak reti nak control langsung. Anis menampar perlahan mulutnya. Ah! Mengadap aje lah Anis. Macam tak biasa. Gumam Anis di dalam hati.

Dengan malas langkah diatur ke bilik Akmal yang tidak jauh dari biliknya. Sebelum mengetuk pintu Anis sempat membaca beberapa doa yang diketahuinya buat penguat semangat. Selepas mendengar arahan masuk Anis dengan perlahan melangkah masuk. Bagaikan seorang pesalah menunggu hukumannya Anis melangkah menghampiri meja bosnya.

Akmal kelihatan sedang khusyuk membaca dokumen di atas mejanya. Anis setia menunggu arahan seterusnya. Hampir sepuluh minit berlalu Akmal masih khusyuk meneliti dokumen di atas meja tanpa mempedulikan Anis di hadapannya.

Dia ingat aku tunggul kayu ke nak terpacat aje kat sini. Dari berdiri tegak dia sudah berdiri santai kerana kakinya sudah mula terasa lenguh. Bos aku ni nak balas dendam ke? Ye lah dah sedap-sedap mengutuk dia macam-macam, siapa yang tak hangin kan. Tapi penyabar jugak bos aku ni, tak terus marah depan pakcik tadi. Walaupun muka serius memanjang tapi memang tetap handsome. Tanpa disedari senyuman nipis terukir di bibir dan matanya terus menatap raut wajah jejaka di hadapannya.

Akmal mendongak. Kehairanan bersarang difikirannya bila melihat Anis sedang tersenyum memandangnya. “Apa yang lucu sampai awak tersenyum sorang-sorang?” tanya Akmal.

Senyuman Anis serta merta mati. Tidak tahu jawapan apa yang harus di susun bagi menutup kegugupan melainkan hanya berdiam diri menunggu arahan. Akmal masih merenung tajam ke wajah Anis. Anis yang menyedarinya hanya tunduk merenung lantai tidak berani bertentang mata. Ada gusar dihatinya dengan renungan itu.

“Ada apa bos nak jumpa saya?” tanya Anis. Tidak sanggup berlama lagi dalam kebisuan. Anis memberanikan diri bertanya tujuan bosnya itu ingin berjumpa dengannya.

“Siapkan report ni, minggu depan saya nak tengok.” Akmal meletakkan dokumen yang disemaknya tadi di hujung hadapan mejanya.

Tanpa berlengah Anis terus mengambil dokumen tersebut. Kelegaan terpancar di wajahnya menyangkal prasangka buruk sebentar tadi.

“Lagi satu, lusa kita bertolak pukul sepuluh pagi dari office. Pastikan semua dokumen yang perlu dibawa bersama, jangan ada yang tertinggal.” Akmal memberi arahan. Anis hanya mengangguk. Di hati tidak sabar hendak beredar dari bilik yang dirasakanya panas walaupun dipasang hawa dingin yang bersuhu tinggi. Bila dilihat bosnya kembali mengadap kerja di hadapannya memberi peluang Anis meminta izin keluar.

“Kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu,” kata Anis.

“Lagi satu saya nak cakap.”

Anis setia menanti butir bicara yang akan diutarakan oleh bosnya itu.

“Lain kali, kalau bawa kereta tu jangan suka berangan. Slow sangat mengalahkan kereta lembu.” Penuh sindiran Akmal melontarkan kata-katanya.

Membuntang mata Anis. Apa!! Dia kata aku bawa kereta macam kereta lembu. Ada riak bengang di wajah Anis. Mukanya merah padam menahan marah.

“Sekarang awak boleh keluar,” kata Akmal dan kembali mengadap dokumen di hadapannya.

Mencerung pandangan Anis semakin bengang dengan sikap Akmal. Tanpa berlengah dengan laju dia bergerak keluar. Tanpa mempedulikan sesiapa, laju dia melangkah ke biliknya. Setibanya dia di bilik, dokumen tadi dihempap ke atas meja.

“Benci! Benci! Benciiiii….!”

Anis mundar mandir di dalam biliknya bagi meredakan kemarahan yang bersarang dalam dirinya. Bila terasa penat dia mula duduk kembali di kerusi menghilangkan lelah dan mengumpul sedikit ketenangan. Dia menarik nafas beberapa kali meredakan perasaan yang membara.

“Geram betul! Sedap mulut dia cakap aku bawa kereta macam kereta lembu. Habis tu dia bawa motor macam pelesit boleh pulak.” Gumam Anis sendirian melepaskan amarah yang masih berbaki. Sabarlah wahai hati, sabar itu separuh dari iman.

Ah! Buang masa aku marah kat mamat tu sorang-sorang kat sini? Hati sakit, kerja pun tak siap. Fail yang diberikan Akmal tadi dibuka. Dia melihat sekeping nota dilekatkan pada dokumen itu. Terdapat beberapa maklumat yang dikehendaki Akmal tercatit pada kertas itu.

Manakala di bilik Akmal, sebuah senyuman terukir diseraut wajah yang sukar dimengertikan. Dia mengalihkan pandangannya ke dada langit yang membiru melalui tingkap bilik. Jauh pandangannya, cuba menyelami dasar hatinya. Kenapa perasaan aku begini? Aku sering rindu ingin menatap wajahnya? Layakkah aku di hatinya? Adakah dia dapat menerima sejarah silamku?

———————————–

6

Akmal dan Anis bertolak ke Kuantan setengah jam lewat dari masa yang dijadualkan kerana Akmal ada beberapa perkara yang perlu diuruskan. Mereka menaiki kereta Toyota RAV4 milik syarikat yang dibelikan khas untuk CEO baru untuk kemudahannya ke tapak projek. Masing-masing mendiamkan diri, hanya kedengaran celoteh dj radio diselang-seli dengan lagu pilihan. Anis mulai bosan. Sesekali dia mencuri pandang ke arah Akmal di sebelah.

Mamat ni memang jenis tak ada perasaan agaknya. Diam aje. Boleh ye dia tak bercakap lama-lama. Ada ketul emas dalam mulut kot. Hai… nasib badan dapat bos macam ni. Baik aku layan novel, lagi bagus!

Anis membuka beg sandang di atas ribanya lalu dikeluarkan novel yang baru dibeli minggu lepas. Belum berkesempatan untuk membaca dek kekangan kerja yang menimbun. Memang tabiatnya suka menyimpan stok novel dan akan dibaca bila ada masa terluang.

Anis begitu khusyuk membaca sehingga tidak pedulikan keadaan orang disebelahnya. Kekadang Anis tersenyum sendiri namun cuba dikawal supaya Akmal tidak menyedari senyumannya. Tiba-tiba terlepas tawa kecil dari mulut mongelnya bila hati tercuit tanpa dapat dikawal lagi.

Akmal menoleh sekilas ke sisi tatkala mendengar tawa kecil itu. Berkerut dahinya memandang Anis pelik.

“Opsss… sorry,” kata Anis tidak berkutik jadinya dan perlahan buku itu di angkat ke atas sehingga hampir menutupi wajahnya.

Akmal kembali memandang ke hadapan menumpukan perhatian pada pemanduan. Anis meneruskan bacaannya. Namun seketika cuma, ketawa kecil Anis meletus kembali pabila hati tercuit dengan cerita yang dibaca. Sekali lagi Akmal menoleh dan melemparkan pandangan kehairanan kepada Anis di sebelah.

“Gila ke apa baca buku pun boleh senyum ketawa sorang-sorang?” Akmal mengomel sendirian namun dapat mencecah gegandang telinga Anis. Pantas Anis berpaling ke arah Akmal yang bersahaja memandang ke hadapan.

Amboi, amboi, amboi… memang mulut tak ada insuran mamat ni. Hari tu cakap aku otak tak betul, hari ni cakap aku gila pulak. Dah melampau mamat ni. Ngomel Anis di dalam hati.

“Habis tu kalau orang menonton tv senyum ketawa sorang-sorang kira gila jugak ke bos? Semua orang dalam dunia ni gila kalau macam tu…” tempelak Anis geram.

Akmal terkesima. Dia diam seketika memerah otak untuk membalas namun tidak ketemu jawapan. “Itu lain…” jawab Akmal ringkas cuba menyangkal kata-kata Anis yang memerangkap dirinya sendiri.

“Apa yang lain?! Sama apa. Bezanya cuma menonton dengan membaca. Tetapi tetap sama, menghayati sesuatu cerita,” kata Anis melontarkan ketidakpuasan hatinya.
Terdiam Akmal.

Kenapa diam pulak? Dah tak ada idea nak jawab? Dia belum tahu lagi siapa Nuranis Fatihah. Kalau marah memang dah tak ingat siapa kat depan. Kira apa, bos ke, lawyer ke, majistret ke belasah aje. Dah memang perangai macam ni dah tak boleh nak ubah, nak buat macam mana. Itu lebih baik daripada dia simpan dalam hati, bakal makan hati berulam jantung nanti.

Tiba-tiba Akmal ketawa sambil menggeleng kepala.

Anis terkejut. “Gila ke apa tiba-tiba ketawa sorang-sorang?” kata Anis memulangkan paku buah keras.

Akmal masih ketawa. Anis tarik muka masam tidak puas hati sambil menyilangkan tangan ke dada. Geram dengan Akmal yang masih ketawa. Bila melihat muka marah rajuk Anis, Akmal mula mengawal tawanya.

“Awak ni ada angin jugak ye?” sambil tersenyum Akmal memancing kata memulakan bicara.

“Manusia ni memang banyak angin!”

“Sorry… saya terover tadi, tak sengaja.”

Hati Anis mula sejuk bila ucapan maaf terbit dari bibir Akmal.

Anis mengeluh kecil. “Saya pun minta maaf jugak bos, dah tersembur bos tadi.” Mendatar nada Anis bersuara tanpa memandang Akmal di sebelah bila menyedari keterlanjurannya berbicara tadi.
Akmal mula menghakis perasaan serba salah Anis. “Tak apa, saya tak kisah… tapi okey jugak sekurang-kurangnya menghilangkan rasa mengantuk saya ni,” kata Akmal menghakis perasaan serba salah Anis.

“Bos mengantuk ke, tak nampak macam mengantuk pun?” kata Anis sambil mengamati raut wajah Akmal.

“Sekarang dah tak mengantuk, tadi memang mengantuk sangat. Awak mana sedar asyik dengan buku awak tu aje dari tadi?” Kata Akmal mula berbicara santai.
Anis diam. Mengakui kebenaran kata-kata Akmal.

“Apa kata nanti awak drive pulak,” cadang Akmal.

Tiba-tiba benak fikiran Anis terlintas sesuatu. Dia ingin melepaskan rasa tidak puas hati dengan kata-kata Akmal padanya tempoh hari.

“Saya mana boleh drive bos, kalau saya drive belum tentu esok kita boleh sampai Kuantan,” selamba Anis menuturkan kata.

“Kenapa pulak?” Berkerut dahi Akmal tidak faham dengan kata-kata Anis.

“Hari tu bos jugak yang cakap, saya bawa kereta macam bawa kereta lembu,” bersahaja Anis melontarkan kata sindiran Akmal terhadapnya tempoh hari.

Mendengar kata-kata itu, ketawa Akmal bergema lagi. Kali ini lebih kuat sehingga berair matanya. Anis membatukan diri, tidak kuasa melayan ketawa Akmal yang semakin menjadi-jadi.

“Sorry… sorry… out of control,” kata Akmal cuba mengawal ketawanya bila melihat Anis sudah menarik muncung sedepa.

“Sorry naik lori!” balas Anis terasa hati bila diri diketawakan.

“Hari tu memang kereta awak slow sangat. Nasib baik tak banyak kereta. Kalau tidak dah lama awak kena hon. Tak pasal-pasal menambahkan persepsi kurang memuaskan kepada cara pemanduan kaum wanita. ”

Anis pantas menoleh memandang Akmal. “Jadi bos nak kata yang saya ni lembab bawa kereta, macam tu?”

Akmal terkedu. Dia tahu Anis sedang marah. Alamak! Aku terlepas cakap pulak. Nak bagi alasan apa ni? Ligat dia memerah otak mencari jawapan.

“Bukan macam tu, maksud saya… perempuan kan bersifat lemah lembut. Kekadang sifat tu terbawa-bawa semasa memandu dan sentiasa berhati-hati. Betul tak!” beritahu Akmal, berharap jawapan yang diberikan dapat menyejukkan hati Anis.

“Wah! Pandai bos bodek ye. Tak payahlah bos, sekilas ikan di air saya tahu, bos nak cakap perempuan ni bawa kereta lembab kan. Betul tak!”

Kelu lidah Akmal dengan telahan Anis. Wajahnya serba salah. Akhirnya Akmal hanya mampu tersengih menampakkan sebaris giginya.

“Bukan semua pemandu wanita macam tu tau. Ada yang memandu lebih baik daripada lelaki. Cuba bos tengok kebanyakkan kemalangan sekarang. Golongan mana yang banyak terlibat? Bukan lelaki ke? Jangan suka bersangka buruk dengan cara pemanduan kaum wanita. Saya hari tu pun bukan apa, dah dengar lagu tangkap lentok terus jadi minah berangan sekejap. Lagipun hari tu mana ada banyak kereta. Jadi saya tak mengganggu pemandu lain.”

Akmal hanya tersengih dengan celoteh Anis. Sudah lama hatinya tidak terasa senang seperti sekarang. Walaupun hanya mendengar Anis membebel tetapi dia rasa terhibur. Mungkin sudah lama hatinya dibendung duka dan kecewa. Perasaan yang dipendam selama ini telah membawa perubahan kepada sikap dan pandangannya terhadap golongan wanita.

“Okey… saya minta maaf. Tapi saya tak kira, awak bawa kereta macam lembu ke, macam kura-kura ke, nanti bila kita berhenti kat rest area awak kena drive pulak. Lagipun saya tak biasa jalan ke site tu. Awak kan dah biasa pergi,” beritahu Akmal, memang dia tidak biasa jalan di sini kerana inilah pertama kali dia melawat tapak projek semenjak dia memegang jawatan CEO Puncak Holding.

“Kalau bos tak tahu saya boleh tunjukkan jalan.” Anis masih memberi alasan.

“Siapa bos? Saya ke awak?” serius kata Akmal membuatkan Anis terdiam.

“Ye lah… nanti saya drive pulak.” Sikit-sikit nak paksa orang, sikit-sikit nak tanya siapa bos. Anis merenung ke hadapan. Tiba-tiba hatinya tersedar sesuatu. Hish! aku ni tak baik buat bos macam tu. Dia kan majikan aku. Dia tak terasa ke apa yang aku cakap. Tak berkecil hati ke dia? Anis mencuri pandang wajah Akmal.

“Apa yang awak pandang-pandang saya ni Anis?” tanya Akmal. Dari ekor mata Akmal perasan sesekali Anis tertoleh ke arahnya seperti ingin menyatakan sesuatu.

“Erk!!” Alamak malunya, dia tahu aku curi pandang dia.

Anis tersengih malu. “Tak ada apa… saya cuma nak cakap, bos jangan terasa dengan apa yang saya cakap. Saya memang macam ni. Kadang-kadang out of control. Bos jangan kecil hati dengan saya ye.” Lembut suara Anis memohon pengertian Akmal.

“Tak apa, saya pun salah juga,” kata Akmal merungkai rasa bersalah dalam diri Anis.

“Betul ni!” Melebar senyuman Anis, senang dengan kata-kata bosnya itu.

Akmal mengangguk sambil tersenyum.

Perjalanan mereka tidak lagi ditemani sepi. Mereka lebih banyak berbual dan berkongsi cerita. Seusai makan dan bersolat di kawasan rehat, mereka meneruskan perjalanan. Kali ini Anis pula yang memandu. Sikap tenang Anis menarik perhatian Akmal. Kadang-kadang dia mencuri pandang Anis yang bernyanyi perlahan mengikut alunan lagu yang berkemundang. Walaupun hampir tidak kedengaran apa yang dinyanyikan, namun Akmal tertarik dengan perwatakkan Anis yang kalau dilihat sifatnya yang lembut tetapi ada tegasnya. Cara layanan Anis terhadap dirinya memang berbeza daripada mana-mana gadis yang ditemuinya sebelum ini. Hatinya tertarik ingin mengenali lebih dekat siapakah Nuranis Fatihah?

“Macam mana bos? Lulus tak ujian memandu saya?” tanya Anis sambil menjongket keningnya kepada Akmal sebaik tiba di tapak projek.

Akmal menoleh ke arah Anis yang sedang menanti jawapan darinya. “Bolehlah,” jawab Akmal bersahaja.

Bulat mata Anis memandang Akmal dengan jawapan yang diberi. “Bolehlah aje.”

Akmal tergelak.

“Bos memang… bukan nak puji sikit, penat tau drive jauh-jauh.”

Anis membuka pintu kereta dan melangkah keluar.

Akmal turut keluar dari perut kereta. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman mendengar Anis sedang berceloteh panjang sambil mengangkat fail dari tempat duduk belakang kereta.

Tatkala mendengar seseorang memberi salam, serentak mereka menoleh ke arah suara itu. Kelihatan beberapa orang staff menghampiri menyambut kedatangan mereka. Akmal diperkenalkan kepada pekerja-pekerja di tapak projek. Walaupun penat, namun Akmal berpuas hati dengan sambutan pekerja-pekerjanya di sini. Lewat enam petang Akmal dan Anis mendaftar masuk ke Swiss Garden sebaik menyelesaikan beberapa urusan di tapak projek.




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

11 ulasan untuk “Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 5, 6”
  1. Aliah Mohd Salleh says:

    Dah nampak serasi Hero dan Heroin ceriter ni.makin best ceriter ni.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"