
Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 9, 10
Oleh : geemus @ gee muszisya
9
Anis berjalan perlahan ke arah kolam renang. Sengaja dia turun lebih awal. Sementara menanti Akmal, boleh juga dia berjalan-jalan di sini menikmati angin pagi. Anis melabuhkan punggung di kerusi panjang yang berada di hujung kolam renang itu. Matanya dihidangkan dengan pemandangan laut yang terbentang luas dengan angin sepoi-sepoi bahasa menggamit ketenangan di dalam diri.
Ania menghela nafas panjang. Udara segar terasa menyerap dalam tubuhnya. Damai terasa dijamu dengan pemandangan langit membiru tanpa dilindungi awan kelabu. Betapa indahnya ciptaan Allah yang Maha Esa. Mencipta langit dan bumi, air dan udara, laut dan pantai, saling memerlukan antara satu sama lain. Begitu juga insan di dunia ini adam dan hawa, saling memerlukan untuk melengkapi kehidupan. Burung riang beterbangan berpasang-pasangan keluar mencari makanan. Kelihatan bot-bot kecil nelayan keluar mencari rezeki. Walaupun panas terik dan ombak bergelora ditempuh juga untuk meneruskan hidup.
Bunyi deringan dari telefon bimbit memecah lamunannya. “Hish!! Ada saja yang nak mengacau bila aku tengah syok berangan.” Ngomel Anis sendirian sambil menyeluk beg sandang di atas riba. Telefon bimbit dikeluarkan lalu melihat nombor yang tertera di skrin. Bibir terukir segaris senyuman tatkala melihat nama Min yang tertera.
“Assalamualaikum,” salam diucap mesra.
“Waalaikumussalam… macam mana? Seronok bercuti,” usik Min.
“Seronok kau tanya! Penat kau tau tak! Lain lah kalau kau ada sekali. Boleh kita melencong jalan-jalan makan angin. Ini asyik mengadap kerja aje.”
“Takkan tak seronok kut pergi dengan bos handsome?” usik Min lagi.
“Kau ni call aku nak tanya tu aje lah ye?”
“Alah kau ni… gurau sikit pun tak boleh. Aku sebenarnya nak tanya… kau sampai sini agak-agak pukul berapa? Petang ni aku kena jumpa client. Kalau kau sampai lambat aku balik rumah dulu, kalau cepat aku terus ambik kau kat office,” beritahu Min tentang tujuan sebenarnya menghubungi Anis.
“Aisehhh… lupa aku nak beritahu kau. Aku stay satu malam lagi kat sini.” Ada nada kesal dek kealpaannya untuk memberitahu Min tentang perubahan mengejut yang dibuat oleh bosnya.
“Hah! Stay satu malam lagi. Amboi ! Dalam diam ada isi ye. Kau orang ambik package honeymoon tiga hari dua malam ke?” sakat Min semakin menjadi-jadi.
“Amboi… suka hati pedal jantung kau je ye bercakap. Aku nak buat macam mana, bos tu nak stay satu malam lagi. Katanya ada meeting dengan kontraktor. Lepas tu bos nak belanja staff kat sini makan malam ni,” terang Anis.
“Anis! Semalam tak ada candle light dinner ke korang?”
“Candle light dinner! Huh! Tak ada maknanya! Kau tahu semalam ada ke patut Encik Akmal tu ajak makan nasi bungkus kat restoran hotel ni.”
“Apa!! Bawa nasi bungkus makan kat restoran tu. Kedekut ke apa bos kita tu?” Hilai tawa Min kedengaran dihujung talian.
“Betul! Tapi bukan sebab kedekut. Sebab lain…”
“Sebab apa?” soal Min tidak sabar ingin tahu.
“Bos ajak aku makan kat luar. Aku suggest restoran yang kita biasa pergi tu. Masa kami tengah tunggu order sampai, tiba-tiba muncul minah mana entah, siap buat drama samarinda pulak kat restoran tu.” Cerita Anis bersungguh-sungguh.
“Minah mana pulak? tanya Min hairan.
“Entahlah, mana aku tahu. Asyik pujuk rayu bos aje. Mungkin bos dengan perempuan tu ada krisis kot,” duga Anis.
“Lepas tu?” soal Min berminat ingin tahu kejadian seterusnya.
“Lepas tu… tiba-tiba bos suruh aku pergi cancel order,” jawab Anis.
“Lepas tu.”
“Aku pergi cancel order tu. Kebetulan makanan yang kami order tu dah siap. Jadi aku suruh bungkuskan aje. Boleh makan kat bilik kan,” terang Anis.
“Lepas tu,” soal Min lagi.
“Lepas two, three… kau ni berapa kali nak sebut lepas tu daa…” sempat Anis mengenakan sahabatnya itu.
“Kau ni Anis, aku berkobar-kobar nak tahu, kau nak kenakan aku pulak,” balas Min dengan nada rajuk.
“Alaa… nak merajuk pulak. Nak merajuk tak apa lah… tak payah cerita,” kata Anis sekadar ingin menduga.
“Wey!Kau ni… mana aci cerita separuh jalan. Okeylah, aku tak merajuk dah… sambung cepat, tak sabar aku nak dengar gosip terhangat ni.”
“Hah! Bagus sangat lah tu, pagi-pagi dah ajak aku anyam ketupat.”
“Kita bukan mengumpat apa pun… alah… anggap macam kau cerita drama yang kau tonton semalam.”
“Pandai lah kau! Okeylah, aku sambung. Sampai mana tadi ek?”
Pantas Min menjawab. “Sampai bungkus makanan.”
“Kuat betul ingatan kau kalau bab ni ye,” perli Anis.
Tergelak Min mendengar kata Anis itu.
“Bila keluar aje dari restoran tu bos dengan perempuan tu bertekak. Macam tengok drama swasta pulak aku malam tadi. Entahlah Min, bos memang nampak marah betul kat perempuan tu. Tapi perempuan tu pulak asyik pujuk rayu bos aje,” beritahu Anis mengingati kejadian semalam.
“Entah-entah kekasih dah tak jadi kut Anis?” teka Min.
“Mungkin kut?” Anis turut bersetuju dengan sangkaan Min itu.
“Cantik tak Anis perempuan tu?”
“Hhm..cantik lagi aku,” selamba Anis bergurau. Kemudian dia tergelak dengan tingkah sendiri.
“Wey…perasan pulak kawan aku ni…”
Anis tersengih panjang. “Gurau aje lah. Perempuan tu memang cantik Min. Tapi nampak macam sombong sikit. Mungkin dia cemburu sebab aku ada dengan bos kot. Tengok aku pun jeling-jeling aje.”
“Kau jeling lah balik,” pintas Min.
“Ah! Tak kuasa aku nak main jeling-jeling, kang juling biji mata baru tahu. Biarlah diorang Min, tak payah kita nak ambil tahu,” kata Anis tidak mahu berbual lanjut mengenai perihal kejadian semalam.
“Betul tu Anis. Tapi seronok juga aku dengar citer panas pagi-pagi ni.”
“Tak habis-habis kau ni,” tegur Anis. “Min, kau tolong tengok-tengokkan buah hati kesayangan aku tu ye,” pesan Anis bila teringatkan kereta kesayangannya.
“Ye lah, tak ke mana pun buah hati kau tu. Okeylah Anis, aku dah nak pergi kerja ni.”
“Okay… jaga diri, bye…” ucap Anis menamatkan bicara.
“Assalamualaikum.”
Anis tersentak. Sapaan salam dari arah belakang mengejutkannya. Mujur telefon bimbit di tangan tidak terlepas. Anis mengurut dada. Boleh kena serangan jantung aku kalau macam ni. Ngomel Anis di dalam hati.
Anis menoleh ke belakang sambil menjawab salam. Berdebar dadanya tatkala bertembung pandang dengan Akmal yang sedang merenungnya. Alamak! Bos! Bila masa dia ada kat belakang aku? Entah-entah dia dengar perbualan aku dengan Min sesedap rasa cakap pasal dia dengan perempuan tu. Itu lah Anis, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
Akmal mengatur langkah menghampiri. “Boleh saya duduk?”
Anis hanya mengangguk. Beg sandang di sisi diangkat dan diletakkan di atas riba. Anis mengesot ke tepi menjarakkan duduk diantara mereka. Dia hanya memerhati Akmal mengambil tempat di hujung kerusi. Ini kalau orang tengok mesti ingat tengah bergaduh, seorang ke utara, seorang ke selatan. Dilihat Akmal hanya melemparkan pandangan ke arah laut yang terbentang luas di hadapan.
“Awak tahu tak Anis?” tiba-tiba Akmal bersuara.
Dengan selambanya Anis menjawab. “Tak tahu.”
Akmal menoleh memandang Anis geram. Perlahan Anis mengangkat tangan dan menaikkan dua jarinya tanda ‘peace’ sambil tersengih. “Relax lah bos… pagi-pagi ni jangan serius sangat,” kata Anis cuba menceriakan keadaan.
“Cuba bos lihat sekeliling kita sekarang. Pemandangan yang indah, udara yang nyaman. Ini pun salah satu terapi untuk menghilangkan tension tau bos. Bila minda kita lapang, barulah hati kita pun tenang. Ha! satu lagi, salah satu cara menjaga awek muda, kita kenalah ceria dan senyum selalu.”
“Ooo… awak nak cakap saya ni nampak tua lah, begitu,” pintas Akmal.
“Eh! Mana ada saya cakap macam tu pun. Kalau bos dah terasa, ambik aje lah. Saya tak cakap, bos yang cakap ek!” Nafi Anis dengan kata-kata Akmal itu.
“Awak ni, kalau bercakap macam burung berkicau,” ujar Akmal. Segaris senyuman terukir di wajahnya.
Terbeliak mata Anis memandang Akmal. Geram dengan gelaran yang diberikan kepadanya. Kurang asam! Ada ke patut samakan aku dengan burung. Anis menarik muncung sedepa. Sambil berpeluk tubuh dia melemparkan pandangan ke tengah laut.
Tersenyum Akmal melihat tingkah Anis. “Awak nak tahu tak, Anis?”
“Tak nak!” Pantas sahaja Anis memintas kata Akmal.
Akmal tergelak.
“Sebenarnya saya kagum dengan awak,” ujar Akmal. Dia menghela nafas sambil badan disandarkan. Sepasang matanya merenung jauh ke hadapan.
Erk! Anis terkedu. Dia menoleh memandang Akmal. Mimpi apa pulak puji aku pagi-pagi ni? “Bos puji saya pagi-pagi ni ada nak suruh saya buat apa-apa ke?” tanya Anis tidak percaya.
“Saya ikhlas Anis. Kagum saya melihat pencapaian awak sehingga ketahap ini dengan usaha awak sendiri,” ujar Akmal. Pandangannya beralih pada Anis lalu melemparkan segaris senyuman yang cukup menawan. Keperibadian Anis membawa dirinya untuk bermuhasabah diri tentang kehidupan yang sebenar. Mungkin selama ini dia terlalu mengikut perasaan sehingga terbawa-bawa kepada perubahan sikapnya.
Anis terpana. Senyuman itu sering mengundang rasa debaran padanya. Wajah Akmal ditatap seketika sebelum dia beralih memandang ke laut. “Itu terletak pada diri masing-masing bos. Kita yang mencorak diri kita sendiri, bukan orang lain. Kalau kita berkehendakkan sesuatu kita mesti rajin berusaha dan usaha itu perlu diiringi dengan hati yang ikhlas. Insya-Allah ia akan dipermudahkan oleh Allah. Hanya memohon keredhaan dan perlindungan dari Allah sahajalah tunjang segala keberkatan. Namun, tak semua impian kita akan tercapai. Kekadang kita perlu memujuk hati kita untuk menerima takdir yang telah tertulis. Walaupun pahit, terpaksa jua kita harungi.
Aturan hidup ada pasang surutnya. Hari ini kita berduka, mungkin esok kita akan bergembira. Setiap dugaan dan ujian yang kita hadapi segalanya ada hikmah disebaliknya. Kekadang kita tidak sedar dugaan itulah sebenarnya menjadikan kita lebih kuat dan matang dalam menghadapi hari-hari mendatang,” tenang Anis meluahkan kata.
Akmal bagai terpukau dengan kata-kata itu. Tidak berkedip dia memandang Anis. Kagum dengan kata-kata yang disuarakan oleh seorang gadis yang lemah lembut namun mempunyai hati yang cekal dan bersemangat. Hatinya benar-benar terpaut kini, gadis ini satu dalam seribu. Sukar menemui gadis seikhlas dan setulus hatinya.
Anis berpaling memandang Akmal yang menyepi. Dia terpana tatkala bertembung mata dengan Akmal yang tak berkedip memandangnya. “Kenapa bos pandang saya macam tu?” tanya Anis, tidak selesa bila wajahnya terusan menjadi tatapan mata Akmal.
“Impressive!” Itu saja ungkapan yang mampu dilontarkannya.
Anis hanya tersenyum.
“Itulah menjadi pegangan saya selama ini. Setiap orang ada prinsip dan pendapatnya masing-masing. Terpulang kepada diri masing-masing untuk menilainya.” Jelas Anis mengenai kata-katanya tadi.
“Mengagumkan. Tak sangka gadis seperti awak mempunyai semangat yang kuat. Alangkah baiknya kalau saya boleh kuat semangat seperti awak,” ujar Akmal merenung jauh perjalanan hidupnya yang disulami duka.
“Jangan cakap macam tu bos. Setiap orang ada masalahnya sendiri. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Yang penting kita yakin setiap dugaan pasti ada hikmahnya. Sekiranya sesuatu perkara itu bukan yang terbaik untuk kita pasti ada halangannya yang sudah diatur oleh Allah Yang Maha Mengetahui Segalanya. Siapalah kita untuk menolak takdir yang telah ditentukan olehNya. Kita sebagai hamba Allah yang terlalu lemah berbanyakkan berdoa semoga diberi kekuatan dan dilimpahkan hidayah untuk menempuh dugaan yang mendatang,” ujar Anis memberi kata nasihat kepada bosnya.
“Awak ni sesuai jadi kaunselor,” puji Akmal.
“Tak salah kalau kita saling menasihati antara satu sama lain. Jangan pendam perasaan sendirian, kelak akan memakan diri sendiri. Luahkan perasaan pada seseorang yang kita rasa selesa dengannya. Lain orang, lain caranya, janji tidak melanggar batas-batas agama.”
“Terima kasih kerana menjadi kaunselor saya pagi ni. Tak sangka Puncak Holding mempunyai seorang kaunselor yang berbakat.”
Anis hanya melirik senyum. “Amboi! Melambung bos puji saya pagi ni. Hhm… sebagai balasan, apa kata saya belanja bos breakfast pagi ni.”
“Wah! Murah rezeki saya hari ni. Pagi-pagi dah ada orang nak belanja,” kata Akmal bangga.
“Tapi sebelum tu saya nak minta tolong sikit,” kata Akmal.
Mendengar kata-kata Akmal itu, hilang senyuman di bibir Anis. Ek’eleh… bos aku ni. Dah kata dah, puji aku pagi-pagi ni mesti ada apa-apa. “Bos pernah dengar tak peribahasa ni? Daun palas tudung saji, minta balas lepas puji,” tanya Anis dengan selambanya.
Dengan kerutan di dahi, Akmal menjawab. “Rasanya macam tak pernah.”
“Memang lah tak pernah sebab saya ciptakan khas buat bos.”
Mencerung mata Akmal memandang Anis. “Awak perli saya ye?”
“Siapa suruh bos makan cili pagi-pagi?”
“Saya puji tadi tu ikhlas. Tak ada niat lain pun.”
“Betul ni! Ikhlas dari hati suci murni.” tanya Anis inginkan kepastian.
“Betul!” tekan Akmal bersungguh.
“Bos nak minta tolong apa?” tanya Anis setelah yakin dengan keikhlasan bosnya itu.
“Nanti awak tolong buat tempahan untuk dinner malam ini. Semalam saya ada beritahu awak yang saya nak belanja semua staff kita kan. Apa nama restoran tu ye? Saya dah lupa.” Berkerut keningnya cuba mengingati nama restoran itu. Semalam dia hanya mengambil nombor telefon sahaja tanpa bertanya nama restoran tersebut.
“Restoran ana ikan bakar petai,” jawab Anis menyebut nama penuh restoran itu. Restoran yang agak popular di Pantai Tanjung Lumpur.
“Ha…!Restoran ana ikan bakar petai,” sambut Akmal sambil tersengih. Nama restoran itu agak jarang digunakan tetapi mungkin itu adalah daya tarikan untuk orang berkunjung ke restoran itu selain tarikan dari makanannya.
“Yang bos senyum ni kenapa?” tanya Anis bila melihat bosnya asyik tersenyum selepas dia menyebut nama restoran itu.
“Hah! Tak ada apa-apa, takkan senyum pun tak boleh,” balas Akmal masih tidak lekang senyuman dari bibirnya.
“Menu apa bos?”
“Apa-apa ajelah, terpulang pada awak,” jawab Akmal menyerahkan segala keputusan pada Anis memilih menu untuk dinner malam ini.
“Setahu saya tak ada menu apa-apa ajelah, bos,” bersahaja Anis berkata. Sengaja ingin mengusik bosnya. Bulat mata Akmal memandang Anis geram. “Okey!Okey! Nanti saya order. Jom lah bos kita pergi breakfast. Nanti lambat pulak,” ajak Anis meredakan keadaan.
Reda perasaan Akmal bila mengenangkan pelawaan Anis itu. “Kalau macam tu jom lah. Tadi awak cakap nak belanja kan. Nak makan kat mana?” soal Akmal ceria.
Anis sudah menarik sengih. Dia bangun diikuti Akmal yang masih menunggu jawapan dari Anis.
“Kat hotel ni laa… kat mana lagi. Kan dah include breakfast. Buat apa nak membazir. Bos pilih aje apa yang nak makan, semua ada?” jawab Anis.
Mati senyuman di bibir Akmal mendengar kata-kata Anis itu. “Awak memang suka kenakan orang ye, Anis,” kata Akmal geram.
“Mana ada. Betul lah apa yang saya cakap,” ujar Anis mengiakan kata-katanya tadi. Akmal akhirnya ketawa sambil menggeleng. Senang dengan perangai Anis yang suka menceriakan keadaan.
“Ada-ada saja awak ni Anis. Jomlah,” ajak Akmal dengan tawa yang masih berbaki. Anis hanya mengekori di belakang.
“Hah! Satu lagi.” Tiba-tiba Akmal mematikan langkah dan berpaling memandang Anis. Anis sudah menarik muka dengan tindakan Akmal yang suka berhenti secara tiba-tiba.
“Bos ni… kalau saya tak sempat break tadi, sekarang bos dah ada dalam kolam tu tau. Lain kali boleh tak kalau nak berhenti bagi signal dulu,” bebel Anis menyindir.
Akmal hanya tersengih. “Sorry… saya cuma nak cakap antara awak dengan perempuan semalam. Awak lagi cantik. Bukan cuma luaran tapi hatinya juga cantik,” ujar Akmal sambil mengenyitkan mata pada Anis dan terus berpaling mengatur langkah.
Terkedu Anis dengan kata-kata Akmal. Merona merah mukanya saat ini. Tidak mengangka Akmal mendengar perbualan antara dia dengan Min tadi.
Ya Allah..! Dia dengar rupanya. Malunya aku. Dah sesak nafas aku ni. Oksigen! Oksigen! Tenang Anis. Tarik nafas, lepas… tarik nafas, lepas…
“Anis cepat lah. Kenapa berdiri macam patung aje kat situ? Takkan puji sikit dah jadi ais batu kot,” panggil Akmal bila Anis masih tidak berganjak dari tempat berdirinya tadi.
Mendengar kata-kata Akmal itu, serta merta wajah Anis sudah berubah masam. Hilang segala rasa bersalah. Laju langkahnya dihayun mendahului Akmal. Akmal hanya menggeleng sambil ketawa melihat tingkah Anis yang kalut itu. Sukar untuk digambarkan hatinya tika ini. Tiada ungkapan yang dapat diluahkan dengan kata-kata untuk menggambarkan ketenangan hatinya kala ini. Namun ada satu lagi persoalan yang ingin diketahuinya. Siapa buah hati kesayangan yang disebut Anis tadi? Sudah berpunyakah dia? Dia mesti mencari jawapan persoalan yang mula bermain di benaknya.
————–
10
Anis tidak selesa duduk. Terasa sebu perutnya kerana terlebih makan tadi. Macam pelakon iklan produk eno pula gayanya. Apa tidaknya, malam ini dia mendapat layanan istimewa dari bosnya. Semua jenis makanan disuruh rasa.
“Tak payah bos, saya boleh ambil sendiri,” larang Anis bila Akmal asyik menyedukkan lauk untuknya.
“Apa salahnya tangan awak kan pendek mana sampai,” balas Akmal sambil meletakkan lauk ikan bakar ke dalam pinggan Anis.
Amboi… sesedap rasa dia kata tangan aku pendek. Dia tak tahu muka aku ni dah jadi tontonan. Abang Razak selaku penyelia urusan sudah merangkap penyelia pemerhati asyik tersengih melihat gelagat kami. Mila kerani di tapak projek merangkap radio karat Min yang duduk di sebelahnya sudah beberapa kali menyinggung sikunya. Itu tidak lagi dengan pandangan-pandangan pekerja lain yang menjeling-jeling nakal ke arah kami.
“Pinggan orang lain bos tak nak letakkan lauk juga ke?” tanya Anis separuh berbisik.
“Dia orang boleh ambil sendiri,” jawab Akmal.
“Macam saya tak boleh ambil sendiri,” rungut Anis sebelum menyambung bicara. “Pagi tadi bos kata, saya bercakap macam burung berkicau kan. Kalau bos tak nak saya berkicau kat sini baik bos dengar cakap saya,” kata Anis berbaur ugutan. “Nanti keluar gosip-gosip panas kat office tu siapa nak jawab. Mengalahkan rancangan melodi lagi dia orang terjah. Yang jadi mangsa saya, bukannya bos,” sambung Anis lagi dengan nada berbisik.
“Biarlah. Mulut orang bukan boleh kita tutup,” balas Akmal tidak terkesan dengan kata Anis itu dan dia juga seolah-olah tidak kisah jika digosipkan dengan Anis.
Anis melirik pandang pada Akmal yang bersikap selamba. Tahu pun mulut orang tak boleh nak tutup. Sebab itu kena berhati-hati dari awal sebelum terkena. Kata-kata itu hanya bergema dalam hatinya.
Anis hanya diam. Malas mahu memanjangkan cerita memandangkan mata-mata yang asyik mencuri pandang ke arah mereka. Akmal pula langsung tidak mengendahkan tegahannya itu. Malah semakin banyak pula lauk diletakkan ke dalam pinggannya.
Anis menjeling geram. Memang tak makan saman betul bos aku ni. Nasib baik orang ramai, kalau tidak dah lama aku berkicau dekat telinga dia. Masak nak menjawab kalau sampai ke telinga Kak Munah ni. Reporter tak bertauliah menyebar cerita-cerita sensasi lagi terkini, memang sure heboh satu office nanti.
“Kita dah sampai tuan puteri,” usik Akmal memecah lamunan Anis.
Anis menjeling. Perasaan geram dengan perangai Akmal di restoran tadi masih belum lenyap dari dalam hatinya lagi. Dia terus melangkah keluar. Akmal hanya tersenyum dan turut keluar dari perut kereta.
“Anis, esok jangan lupa bawa balik semua dokumen yang saya beri pada awak tadi. Lagi satu kalau boleh saya nak awak attend juga meeting dengan kontraktor esok. Awak ada banyak kerja ke esok?”
Akmal menoleh. Terhenti langkahnya bila Anis tiada di sisi. Aku bercakap sorang-sorang rupanya. Mana pulak Anis ni pergi? Meliar matanya ke segenap arah. Bebola matanya terhenti pada sesusuk tubuh yang duduk di salah satu sofa di hadapan pentas di ruang lobi hotel itu.
“Kat sini awak rupanya,” sapa Akmal.
“Bos cari saya ke? Saya nak rehat kat sini kejap. Best jugak sesekali dengar life band, boleh jugak release tension.”
Akmal melabuhkan punggung di sofa berhadapan Anis.
“Saya setuju. Melodi yang dimainkan boleh buatkan hati kita tenang,” kata Akmal bersependapat dengan Anis. Kemudian masing-masing menyepi menghayati lagu yang didendangkan.
“Anis! Nak dengar tak saya lepaskan tension kat depan tu,” tanya Akmal sambil mata di hala ke arah pentas.
“Hah! Bos nak lepaskan tension kat situ. Tak payahlah bos. Kalau tadi bos tak duduk depan saya, bolehlah. Nanti buat malu saya aje,” terkejut Anis dengan saranan bosnya itu. Bos aku ni nak buat hal lagi ke? Jangan dia nak terpekik terlolong atas pentas tu sudahlah.
“Apa salahnya kalau saya nyanyi kat situ. Saya ni pandai main piano tau.”
“Ye ke? Entah buaya entah badak, entah eya entah tidak,” sindir Anis kurang percaya dengan kata Akmal itu.
“Awak tak percaya ye. Tak apa nanti saya buktikan.”
“Hah! Nak buktikan! Tak payahlah bos. Kalau bos nak lepas tension pergi lah kat tepi pantai tu. Kat situ bos nak menjerit terlolong sampai terkeluar anak tekak pun orang tak peduli,” kata Anis mula gusar jika Akmal serius dengan kata-katanya.
Bulat mata Anis bila melihat Akmal sudah berdiri sambil tersengih kepadanya. Anis mula tidak keruan. Tangannya mula menggaru kepala. Bos aku ni buat hal lagi. Semalam kat restoran malam ni kat sini pulak. Apa lah nasib aku dapat bos perangai ikut kepala dia aje ni.
Anis hanya berserah saja apa yang akan berlaku nanti. Dia hanya memerhati Akmal berbincang dengan pemain-pemain di situ. Berdebar dada Anis bila Akmal mula mengambil tempat di hadapan piano. Tika itu sempat Akmal mengalih pandang pada Anis seraya tersenyum.
Muzik mula dimainkan. Terpukau Anis mendengar suara Akmal mengalunkan lagu take me to your heart dari kumpulan Michael learn to rock. Lincah jari jemari Akmal memetik piano seperti sudah biasa gayanya.
Hiding from the rain snow
Trying to forget but I wont’s let go
Looking at a crowded street
Listening to my own heart beat
So many people all around the world
Tell me where do I find someone like you girl
Take me to your heart take me to your soul
Give me your hand before I’m old
Show me what love is – haven’t got a clue
Show me that wonders can be true
Tepukan gemuruh dari penonton menyedarkannya Anis dari terus terpaku merenung Akmal. Dilihat Akmal memberi tunduk hormat sebagai tanda terima kasih. Tidak mengangka Akmal mempunyai bakat terpendam, alunan lagu amat bersesuai dengan suaranya. Akmal melangkah menghampirinya. Anis sudah membetulkan duduk. Serba tidak kena pula jadinya. Apa kena dengan aku ni? Gemuruh semacam aje ni.
“Macam mana, okey tak?” tanya Akmal sebaik melabuhkan punggung di sofa.
“Ehem… tak sangka bos ada bakat terpendam ye,” puji Anis tersenyum lebar.
“Tak adalah… sekali sekala main nak lepas tension,” nafi Akmal merendah diri. “Melalui lagu juga boleh menyampaikan sesuatu mesej atau meluahkan perasaan kita pada seseorang,” sambung Akmal lagi.
“Tadi bos nyanyi untuk yang mana satu?” tanya Anis sekadar ingin tahu.
“Saya rasa lebih kepada meluahkan perasaan kot,” jawab Akmal lantas merenung ke dalam mata Anis sambil melemparkan senyuman yang cukup menawan.
Anis terkedu. Dia cuba melirik senyum menyembunyikan rasa tidak keruan. Pandangan Akmal mengundang debaran di dada. Kelu lidahnya, tidak tahu bagaimana untuk berbicara. Anis melarikan pandangan ke arah pentas. Kenapa tiba-tiba perasaan malu menerpa dirinya? Bukan dia hendak perasan, tetapi renungan Akmal tersirat seribu makna.
Tanpa Anis sedari, Akmal terusan merenungnya. Fahamilah Anis, hatiku sudah mula terpaut padamu. Keperibadianmu mempersonakanku. Pemikiranmu mengagumkanku. Adakah hatimu sudah dimiliki? Ingin sekali aku lontarkan hasratku ini. Tetapi aku tahu terlalu awal untuk ku luahkan.













saya dah mengikuti novel ni dlm blog geemus smpai episod Akmal & Anis akan dinikahkan tp ada krisis diantara mereka berdua….

mmg tggu diterbitkan…
gee: tahniah & tq coz layanzz saya dlm `maya’…hihihihi
aduhhh…romantik nya akmal & anis nie
romantiknya