Cerpen : Cerita Cinta Dongeng!!

13 February 2011  
Kategori: Cerpen

20,604 bacaan 115 ulasan

Oleh : Syamnuriezmil

Suasana negeri Jauh-Jauh Sangat amat tenteram dan sakinat bak kata satu peribahasa seperti air dalam talam, negeri yang aman sentosa. Luar biasa indahnya hari ini kerana hari ini merupakan hari keputeraan baginda raja, Raja Allauddin Syah, raja yang mentadbir negeri ini. Gegak-gempita jadinya di Taman Firdausi, penuh dengan rakyat yang hadir menyerikan majlis. Masing-masing sangat gembira dan mendoakan akan kesejahteraan Raja Allauddin Syah.

“Beta sangat girang hari ini, rakyat jelata semua mendoakan beta agar beta sejahtera. Tetapi, hati beta ini gundah gelana dengan keadaan puteri kesayangan beta!”

Agak sedih bunyinya, sebak sungguh rasa di dada Raja Allauddin Syah bak Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Tidak betah baginda untuk makan dan minum apabila teringatkan puteri yang ditinggalkan di dalam kotak kaca di dalam hutan.

“Sabarlah hamba tua suami patik. Keadaan bakal pulih kalau ada putera raja yang sanggup menyintai puteri kita yang masih tidak bangkit beradu setelah 10 tahun disumpah nenek kebayan itu. Harapan patik setiap hari adalah ada hamba Allah yang dapat menjumpai kotak kaca itu. Pulas patik berpesan kepada tujuh hulubalang yang menjaganya, agar berjaga bergiliran, takut-takut juga gajah liar yang mengamuk di dalam hutan.”

Raja Allauddin Syah hanya mengangguk bersetuju dengan titah sang isteri, Permaisuri Dhimirah An-Nur.

“Memanda menteri!”

“Ampun Kurnia tuanku, patik mohon mengadap!”

“Diperkenankan.”

Memanda menteri berada di sebelah singgahsana Raja Allauddin Syah, mohon mengadap. Setelah memberi sembah, memanda menteri Khuwalid bangun bersopan.

“Khabarkan pada beta, walaupun negeri beta ini Jauh-Jauh Sangat ini sangat jauh sehingga terletak di hujung dunia, sampaikan Perdana Menteri Malaysia pun sukar untuk melawat negeri ini, masih tiadakah seorang putera yang datang menghampiri? Apa kata kita open to rakyat jelata? Kalau siapa yang berjumpa, dialah yang punya! Beta sudah tidak tahan sebak di dada, melihat puteri beradu sahaja!” bentak Raja Allauddin Syah.

Dia sangat tidak sabar, sudah lama dia menanti, 10 tahun! Kalau dulu baju anak tunggalnya itu singkat, sekarang sudah bertambah kainnya. Makna kata, anaknya sudah semakin besar.

“Ampun Kurnia tuanku. Masalahnya tuanku, sebelum nenek kebayan mati, dia sudah bersumpah, hanya seorang putera yang berdarah diraja sahaja yang berhak mendapatkan cinta Puteri Dhylia An-Nur. Kalau tidak, sumpahan itu tidak akan dilepaskan. Kalau tidak bernasib baik, puteri tidak akan bangkit dari peraduannya!”

“Nauzubillah… Jangan berkata begitu memanda menteri. Beta tak sedap hati!” Ternya Permaisuri Dhimirah terkejut dengan kata-kata memanda menteri Khuwalid.

“Ampun kurnia tuanku Permaisuri. Patik hanya mengingatkan kata-kata akhir nenek kebayan itu. Kita tidak boleh hendak berputus harapan tuanku, kita mesti jadi penghubung kaki tangan terhadap kuasa Allah. Apa yang terjadi, pasti ada hikmahnya.”

“Tuanku!”

Berlari seorang hulubalang bernama Hilir, termengah-mengah. Naik semput pula dilihatnya! Hilang semangat Raja Allauddin Syah. Raja Allauddin Syah mengurut dadanya. Nasib baik tidak jatuh dari singgahsana.

“Kenapa hulubalang? Nampak seperti perkara mustahak. Bertenang dahulu sebelum bertitah!”

“Sorry tuanku! Benda ni tak boleh nak ditunggu-tunggu lagi.” Hilir tercungap-cungap.

Memanda menteri Khuwalid mengerut dahi. “Di manakah adab sopan kamu kepada Raja? Apa kamu ingat istana raja ini bapa kamu yang punya?” Marah memanda menteri Khuwalid.
Hulubalang itu menunduk. Kemudian terus menyembah duli. Dia terlupa, dia berada di singgahsana raja!

“Ampun kurnia tuanku! Patik mendapat tahu, ada putera raja tiba di kotak kaca tuan Puteri Dhylia An-Nur, tuanku!”

Membulat mata Raja Allauddin Syah. Permaisuri Dhimirah An-Nur tersenyum lebar.

“Alhamdulillah!” Permaisuri Dhimirah mengucapkan syukur.

“Tapi tuanku…”

“Tapi apa hulubalang?” tanya Raja Allauddin Syah.

“Patik agak suspen nak cakap ni tuanku. Patik takut betul tuanku murka!”

“Hulubalang!!” jerit Raja Allauddin Syah.

Hilir tersentak. Dia mengambil nafas.

“Okay..okay!! Masalahnya sekarang, tuan putera itu, seekor katak!”

“Apa???!!!” Raja Allauddin Syah dan memanda Menteri Khuwalid terkejut.

“Hahh… Erkk..” Permaisuri Dhimirah An-Nur, sudah terkulai, jatuh pengsan!

******

“Beta ialah Putera Raja Nazriel Hisyam, dari negeri Dekat-Dekat Sangat!”

“Tunjukkan bukti!” perintah Hulubalang 1.

“Jangan anggap hamba ini pendek, tapi hamba pandai bersilat! Sependek-pendek hamba, gunung daik bercabang tiga sudah hamba daki, masuk rekod tahun lepas, sudah lebih 3 kali!” ujar Hulubalang 2.

“Takkanlah beta nak tipu tuan hamba tujuh bersaudara. Sudah tentu beta tahu, tuan hamba bertujuh handal belaka. Kalau tidak Raja Allauddin Syah tidak akan benarkan tuan hamba semua menjaga dan mengawal kotak kaca itu.” Terang katak itu.

“Bukti! Kami mahu bukti. Kalau tidak kami anggap tuan hamba menceroboh! Kami tidak mahu menanggung risiko, kalau tuan hamba bukanlah berdarah keturunan raja sebenarnya, akan mengakibatkan tuan puteri negeri kami mati!”

Bueekkkkkk….

Si katak itu memuntahkan sesuatu dari dalam perutnya yang boroi itu.

Ting!!

“Nah, itu buktinya! Itu adalah cincin pusaka beta yang ditinggalkan oleh almarhum ayahanda beta. Beta sedih mengenangkan pemergian baginda. Tebas ladang tanamkan kobis, tanam sirih buatkan para; betapa tenang hati terhiris, murung sedih terimbas juga. Ini semua gara-gara Paduka Bonda Tiri beta! Memberikan racun kepada baginda dan menyumpah beta menjadi seekor katak!”

Tiba-tiba… terdengar tangisan. Menangis yang beria-ia.

“Hamba teringatkan bini hamba! Sudah lama hamba di hutan belantara, entah mati entah hidup bini hamba! Berilah peluang kepada si katak ini, manalah tahu tuan puteri boleh pulih. Kita tawakal sahaja kepada Allah, inikan tentuan Dia yang maha Esa! Lebih cepat dia mencuba, lebih cepat kita boleh balik!” ujar Hulubalang 7. Hulubalang 7 ini memang sensitif jiwanya.

“Hishhh, tuan hamba ini. Jangan suka menganyam nyiru, nyiru dibawa dari Buncit; jangan suka menanggung rindu, rindu bawa jadi penyakit.” Hulubalang 4 menegurnya.

“Bolehlah tuan hamba berkata begitu, tiada siapa yang menunggu di negeri Jauh-Jauh Sangat! Lebih baik tuan hamba duduk di sini berkawan dengan satwa rimba! Lebih sesuai agaknya.”

“Tuan hamba jangan bagi hamba berang! Elok-elok jadi orang, disebabkan tuan hamba punya mulut, hamba bertukar menjadi jembalang!” Marah Hulubalang 4.

“Beta pohon, jangan bergaduh dahulu. Lihatlah cincin beta itu. Beta tak bohong. Bohong kan berdosa, masuk neraka bukan niat Beta!” ujar katak itu.

Hulubalang 5 dan 6 beriringan pergi mengambil cincin itu. Yang lain berkawal seperti katak itu sangat merbahaya. Walhal katak itu lebih kecil daripada mereka, namun kerana kasih dan sayang yang tidak terhingga kepada sang puteri yang cantik jelita dan sempena arahan dari paduka baginda Raja Allauddin Syah, dijunjung juga. Demi puteri yang satu, habis semua pokok epal di dalam negeri Jauh-Jauh Sangat ditebang mereka, sampaikan sebiji epal pun tidak diimport kerana gara-gara sebiji epal lah, tuan Puteri Dhylia An-Nur beradu sehingga tidak bangkit selama 10 tahun. Buah Epal itu telah diracuni oleh nenek kebayan yang sebenarnya menaruh hati kepada Raja Allauddin Syah. Oleh kerana Raja Allauddin Syah tidak mencintai nenek kebayan itu, walaupun telah membuat major dan minor pembedahan plastik serta suntikan botox dan vitamin C, Raja Allauddin Syah sangat menyayangi Permaisuri Dhimirah An-Nur tidak berbelah bahagi. Lalu nenek kebayan, membalas dendam kepada anak baginda kerana itu adalah satu-satunya anak tunggal yang Raja Allauddin Syah sayang. Kerana cinta… seluruhnya binasa!

“Benar! Ini cincin Diraja. Hamba pernah melihat cincin seperti ini dipakai oleh Paduka Baginda Raja Allauddin Syah!” ujar Hulubalang 5.

“Kalau begitu bagi kami masa 5 minit untuk berbincang. Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat.” Cadang Hulubalang 6.

Akhirnya mereka bertujuh, berkumpul dan berbicara sesama mereka.

5 minit menunggu dah masuk ke 10 minit menunggu. 10 minit sudah masuk ke 15 minit. Si katak tidak tahan menunggu. Dia hanya ada masa sebelum pukul 7.00 malam, sebelum matahari terbenam dan bulan mengambil tempat. Kalau tidak, sumpahannya akan berkekalan! Puas dia melompat dari negeri Dekat-Dekat Sangat ke negeri Jauh-Jauh Sangat, kadang-kadang terpaksa meminta bantuan gajah dan harimau untuk menumpang di belakang, sehinggalah purnama ke seratus kalinya, sampai juga di kawasan kotak kaca.

‘Tak boleh jadi ni, beta harus berbuat sesuatu. Si kerdil tujuh bersaudara ini takkan perasan kalau beta melompat ke arah kotak kaca tersebut.’ Bisik hati Putera Katak.

Dia teringat akan pesanan tok nujum negerinya. Sumpahan itu masih tidak akan berakhir, selagi Puteri Dhylia An-Nur tidak mencintainya. Pada purnama yang ke seratus hari, dia perlu mengucup bibir Puteri Dhylia An-Nur. Itu yang tok nujum beritahu sebelum dia dihukum mati oleh Paduka Bonda Tirinya yang kejam.

Si katak melompat perlahan-lahan mendekat kotak kaca itu. Terpukau si katak apabila melihat wajah Puteri Dhylia An-Nur. Rambutnya yang panjang, ikal dan lebat, lagak seperti rambut Rapunzel! Kulitnya putih berseri bak cahaya menerangi, kalah Puteri Salju Putih. Bibirnya merah delima, tidurnya lena seakan esok hari tiada apa! Si katak dengan kudrat yang ada, dia menolak perlahan-lahan kotak kaca itu. Akhirnya terbuka juga dengan izin Allah!

Apabila dia mahu mendekati bibir Puteri Dhylia An-Nur, seorang hulubalang sudah terperasan akan kehilangan dia.

“Jangan!!!!” jerit Hulubalang 1 apabila dia ternampak katak itu sudah masuk di dalam kotak kaca.

“Tidakkkkkk….” menjerit Raja Allauddin Syah sebaik tiba di situ.

Terpana tujuh hulubalang bersaudara. Tetapi sudah terlewat kerana… si katak sudahpun mencium bibir sang puteri!

******

Tersebutlah kisah di negeri Dekat-Dekat Sangat, tinggal lah seorang permaisuri yang cantik tetapi kejam. Dialah yang telah membunuh paduka raja negeri Dekat-Dekat Sangat dan menyumpah putera Raja Nazriel Hisyam menjadi seekor katak.

“Wahai cermin saktiku, di antara seantero dunia, di seluruh alam buana, di segenap mayapada ini, siapakah yang paling cantik sekali selain beta?”

Cermin yang setinggi 7 kaki itu mula berbicara. “Setakat ini tuanku, tiada yang cantik selain tuanku! Tuanku lah yang paling cantik di marcapada ini.”

Tersenyum simpul Permaisuri Faishah. Gelak besar dia! Itulah kerja dia hari-hari. Kalau tidak mengarahkan hulubalang untuk mencari dan membunuh wanita yang cantik, dia akan senantiasa menilik cermin sakti miliknya. Sampai naik bosan cermin sakti itu. Google lah benda lain pulak! Terlalu taksub dengan kecantikan walhal apalah sangat dengan kecantikan itu, sungguhpun lemak santan akhirnya basi juga. Cantik itu hanyalah luaran, bila dah tua, buruk juga jadinya.

“Tuan hamba, agaknya negeri kita ini bakal hilang dari peta dunia!” bisik Kanan, salah seorang hulubalang di situ.

“Hushh… kenapa tuan hamba berkata begitu?” tanya Kiri, teman seperjuangan Kanan.

“Raja mangkat sudahlah lama, putera raja pula lama menghilang, sudah hampir 10 tahun, entah mati entah hidup! Permaisuri yang ada, tak guna, asyik mengejar kecantikan sahaja, kalaupun buat pertandingan Ratu Cantik Dunia, kemudian dibunuh semuanya, tiada guna juga! Apa pandangan tuan hamba? Cantik benarkah Permaisuri Faishah itu?” jawab Kanan.

“Cantik lagi nenek hamba!”

Kanan tergelak besar.

“Kanan!!!” jerit Permaisuri Faishah.

“Ampun kurnia tuanku. Patik, Kanan datang mengadap!”

“Apa yang tuan hamba bicara sampaikan beta keluar pun tuan hamba tidak perasan?”

‘Gluppp!! Mati Kanan kalau bicara yang benar, kena pancung sia-sia.’ bisik hati si Kiri. Dia menunduk ke bawah.

“Ampun kurnia tuanku, patik dan Kiri sedang berbicarakan tentang kecantikan tuanku yang tiada bandingannya. Beratur putera raja sampai ke luar negeri untuk meminang tuanku! Hebat sungguh penangan kecantikan tuanku sehingga tiada tandingan, terpukau alam buana!” puji Kanan beria-ia. Di dalam hati hanya Allah yang tahu betapa debarnya dada kerana menipu.
Bibir Permaisuri Faishah segera mengukir senyuman.

“Oleh kerana itu, beta kurnikan 1000 dinar untuk Kanan!”

“Terima kasih tuanku! Daulat Tuanku! Panjang umur tuanku!!” ucap Kanan dan Kiri serentak.

Kanan dan Kiri tersenyum gembira. Bukan sukar untuk menerima imbuhan, puji saja cantik, hati Permaisuri Faishah bagaikan berbunga setaman firdausi.

“Memanda menteri!!”

“Ampun kurnia tuanku. Patik pacal hina datang mengadap.”

“Berikan 1000 dinar kepada Kanan dan Kiri! Beta sangat berkenan dengan pujian yang diberikan. Kanan dan Kiri!”

“Ampun kurnia Tuanku!” Kanan dan Kiri berdiri tegak.

“Jangan bagi sesiapa ganggu beta hari ini. Beta hendak beristirehat di dalam kamar peraduan.”

“Tapi tuanku… patik hendak berbincang perihal ekonomi negeri! Lambakan buah kurma di pelabuhan sangat banyak, kapal-kapal semua tidak mahu belayar kerana tuanku telah menitahkan untuk membunuh isteri mereka. Kesemuanya tidak ada mood nak buat kerja!” Ujar memanda menteri Jaafarudin.

Tersentak Permaisuri Faishah. Membulat matanya! Dia agak berang!

“Memanda menteri ini siapa hendak mengajar beta?”

“Erkk… Maafkan patik tuanku kerana kelancangan patik berbicara!”

“Sudah hendak masuk bulan ramadhan kah yang sibuk sangat hendak mengeksport buah kurma?”

“Belum lagi tuanku. Baru mengenjak masuk Tahun Baru Cina!”

“Aikk… kenapa tidak diimport limau mandarin? Apakah tiada musim? Kalau begitu, biarkan saja kurma itu dilambak kan. Tahulah mereka hendak menjaga periuk nasi mereka.” Cemuh Permaisuri Faishah. Terus dia beredar dan malas mahu ambil tahu keadaan negeri yang sedang nazak.

Memanda menteri Jaafarudin hanya mengelengkan kepalanya. ‘Di manakah gerangannya putera Raja Nazriel Hisyam?’ Dia bertanya di dalam hati. Gusar memikirkan kehilangan putera itu.

‘Entah-entah sudah dibunuhnya dek permaisuri??’

Jeng jeng jenggg…

******

Raja Allauddin Syah terdiam, menjerit tiada gunanya lagi. Terjerit-jerit bagai babi kena sembelih, takut akan jadi apa-apa kepada puteri tunggal kesayangannya. Tiba-tiba… Berkilau cahaya menerangi segenap belantara. Cahaya itu menerangi sepelusuk negeri Jauh-Jauh Sangat. Raja Allauddin Syah dan hadirin lain, menutup mata kerana cahayanya sangat terik.

Ting!!

Terdiam dengan melihat apa yang berlaku. Si katak yang dulu hijau berkilat, kini sudah bertukar menjadi.. erkk??!!

“Si hodoh! Tangkap dia hulubalang!” titah Raja Allauddin Syah.

Si hodoh itu tidak bergerak. Dia hanya berdiam diri. Melihat bayangan mukanya di kotak kaca itu, dia juga terkejut. Ingatkan boleh bertukar kepada wajah asal, rupanya sudah menjadi orang, badannya berbulu dan wajahnya bertukar menjadi hodoh. Berbulu seperti orang utan!
“Beta ialah putera Raja Nazriel Hisyam, dari negeri Dekat-Dekat Sangat!” jerit si hodoh itu. Dia meronta tidak mahu ditahan.

Dalam keadaan yang sangat merunsingkan itu…

“Ayahanda? Bonda!”

Suara Puteri Dhylia An-Nur memecah kerunsingan itu.

“Dhylia!!” meluru Permaisuri Dhimirah An-Nur mendekati puterinya. Bersarak serasa hilang, bercerai serasa mati, rindunya teramat sangat!

Mereka berdua berpelukan. Menitis air mata Raja Allauddin Syah.

“Ayahanda!”

“Ya anakanda.”

“Mari dekat sini ayahanda. Siapakah gerangan yang menyelamatkan anakanda, ayahanda?”
Raja Allauddin Syah mendekati anakandanya. Kemudian dikucup dahi puteri tunggalnya lama. Sesungguhnya, si hodoh di hadapannya ini telah banyak berjasa. Berjaya juga menbangunkan puterinya yang beradu lama.

“Lepaskan dia!” perintah Raja Allauddin Syah.

“Ampun Kurnia tuanku. Terima kasih kerana melepaskan patik.” Si hodoh mengusap pergelangan tangannya. Dia memerhatikan Puteri Dhylia An-Nur, tidak berkelip matanya. Terpesona dengan keanggunan dan santun budi bicaranya.

“Anakanda, inilah putera raja Nazriel Syah, dia yang memulihkan anakanda!”

Puteri Dhylia An-Nur bangkit dari peraduan. Dia bangun berdiri bertentangan dengan si hodoh. Dia menekup hidungnya.

“Berapa lama sudah tuan hamba tidak bersiram?”

Si hodoh terus mencium bau badannya. ‘Huhh… gila busuk baunya! Tengit… Menjerit hidung rasanya.’ Dia tersengih-sengih.

“Terima kasih tuan hamba kerana telah menyelamatkan patik.” Ujar Puteri Dhylia An-Nur sengau kerana menutup hidung.

Si hodoh mengangguk-angguk.

“Sudah terbukti, tuan hamba adalah berdarah raja. Kalau tidak masakan anakanda beta boleh terjaga. Beta amat terhutang budi pada tuan hamba. Dari si katak bertukar menjadi si hodoh. Apa pula sumpahan selepas ini yang mengena tuan hamba agaknya? Budi yang baik perlu dibalas, mengenang jasa dari jauh tuan hamba datang! Apa yang tuan hamba pinta, beta akan perkenankan!” Titah Raja Allauddin Syah.

“Patik berserah kepada Allah S.W.T. Asalkan cinta patik disambut tuan puteri!”

“Beta??” terkejut Puteri Dhylia An-Nur.

“Anakanda beta?” terperanjat Raja Allauddin Syah.

“Tidakkkk!!!” menjerit Permaisuri Dhimirah An-Nur, langsung pengsan. Permaisuri berdarah rendah beginilah jadinya. Asal terkejut, pengsan, asal terperanjat, pitam!

******

“Wahai cermin saktiku, di antara seantero dunia, di seluruh alam buana, di segenap mayapada ini, siapakah yang paling cantik sekali selain beta?”

‘Haihhh…’ Cermin sakti itu mengeluh lagi. Masuk hari dekat seratus kali dia terpaksa menilik lagi. Benda yang sama juga yang terkeluar! Cermin sakti naik bosan.

Cermin yang setinggi 7 kaki itu mula menilik. Dia jadi pelik. Permaisuri Faishah merasakan lambat.

“Kenapa lambat sangat wahai cermin sakti?”

“Ampun kurnia tuanku. Patik tilik punya tilik… bukan nama tuanku yang muncul!”

“Apa!!! Tuan hamba jangan bagi beta murka! Pecah berderai tuan hamba nanti! Semua perempuan cantik telahpun beta bunuh. Siapa pula yang meragut carta nombor satu dari beta?”

“Tuan Puteri Dhylia An-Nur dari negeri Jauh-Jauh Sangat. Dialah yang paling cantik di marcapada ini. Kecantikannya tiada bandingan. Malah Gisele Bunchen pun tidak menang pertandingan.”

“Arggggghhhhhh!! Jahanam!!”

Permaisuri Faishah bengang. Lantas dia menutup cermin sakti itu dengan kain dan beredar ke peraduannya. Disana di menjerit memanggil Kanan dan Kiri, datang mengadap. Dia menyuruh Kanan dan Kiri memanggil Tengah!

‘Panggil Tengah? Siapa pula yang hendak dibunuh dek Tengah?’ bisik hati Kanan.

Tengah merupakan si pembunuh upahan Permaisuri Faishah yang gagah lagi perkasa itu. Walaupun begitu, Tengah ini mempunyai satu kelemahan. Sekiranya sesiapa yang tahu akan kelemahan itu, dapat membuat Tengah menjadi sensitif dan tidak jadi membunuh. Dan hanya Putera Raja Nazriel Hisyam yang tahu kelemahan itu.

Berlari Kanan dan Kiri memanggil si Tengah datang mengadap.

“Bunuh Puteri Dhylia An-Nur!” titah Permaisuri Faishah.

“Titah dijunjung tuanku!”

Kanan dan Kiri yang mendengar, mengigit jari.

******

Sayang seribu kali sayang, Puteri Dhylia An-Nur tidak sanggup untuk memberikan cinta kepada si hodoh! Pandang mukanya pun tidak lalu apatah lagi hendak menjadi pendamping hidup. Tidak akan licin si katak puru, jika senantiasa berhujan sekalipun! Kalau sudah hodoh, hodoh jugalah sampai ke hujung nyawa. Bagaimana hendak menyintai kalau tidak melekat di hati?

“Ayahanda sudah bernazar! Terima sajalah permintaan si hodoh itu.” Pinta Raja Allauddin Syah.

“Tak mahulah ayahanda. Sungguhpun dia yang menyelamatkan anakanda, tetapi hati ini tidak sanggup menerima apatah lagi hendak dijadikan suami. Kalau ayahanda berada di tempat anakanda, mahukah ayahanda mengahwini si hodoh? Kalau ayahanda memaksa juga, ayahandalah yang kahwin, yang berjanji bukannya anakanda.” Ujar Puteri Dhylia An-Nur bersahaja.

Raja Allauddin Syah gering hulu. Ke hulu ke hilir, segenap ruangan istana sudah dijelajahinya. Apalagi yang mahu dikatakan lagi, fikir banyak kali, takut jatuh gering, kalau tak fikir, dia sudah bernazar.

“Negara bakal ditimpa bencana kalau sudah bernazar, perlu ditepati!” kata-kata Tuk Nujum negeri tersemat di kepalanya, masih terngiang di telinganya. Jangan seperti embun di atas daun, niat saja tetapi sering berubah niatnya!

“Kalau adinda pun, tidak akan adinda benarkan puteri kesayangan jadi taruhan!” titah Permaisuri Dhimirah An-Nur.

“Mahu negeri kita dilanggar todak seperti Singapura dulu ka? Nanti adinda pula tidak boleh bershopping! Kalau kekanda tidak menunaikan nazar, negeri kita bakal dilanda musibah!”

“Ampun kurnia tuanku. Putera Raja Nazriel Hisyam datang mengadap!”

Raja Allauddin Syah cepat-cepat ke meja makan. Hidangan untuk santapan malam sudah pun disiapkan. Masing-masing sudah menunggu di hadapan meja.

“Diperkenankan!”

“Ampun kurnia tuanku. Patik, Putera Raja Nazriel Hisyam mengadap, tuanku!” Si hodoh datang menyembah. Cantik pakaiannya dengan busana diraja tetapi bagai gagak menggonggong telur. Hanya cantik pada pakaian, wajahnya masih hodoh teramat sangat! Tubuh besar ragam dan berbulu seperti orang utan itu menghampiri meja makan. Sebelahnya, Puteri Dhylia An-Nur. Si hodoh mengangguk dan senyum. Puteri Dhylia An-Nur mahu termuntah, tetapi ditahannya juga. Sungguhpun sudah bersiram dengan air mawar dan 6 jenis bunga wangi yang lain, bau badan si hodoh tetap juga busuk dan melantung!

“Marilah kita bersantapan. Cepat kita santap, cepat kita beradu. Tentu semuanya letih dan kepenatan.” Titah Raja Allauddin Syah.

Sesudah Raja Allauddin Syah membaca doa makan, mereka berempat mula bersantapan! Dengan keadaan yang sangat gelojoh, si hodoh melantak makanan di hadapannya, seolah setahun tidak menjamu makanan. Lagak dia seperti seekor satwa liar dalam kelaparan. Baunya pula busuk tidak tertahan.

Puteri Dhylia An-Nur terus bangun! Dia agak tidak lalu untuk bersantap apabila melihat keadaan itu.

‘Macam inikah calon suamiku?’ detik hatinya.

“Anakanda?” tanya Raja Allauddin Syah.

“Tuan Puteri??” Putera Raja Nazriel Hisyam turut bangun.

“Anakanda tidak boleh makan dengan keadaan tangan menekup hidung dan kegelojohan si hodoh. Izinkan anakanda makan di dalam kamar peraduan ya ayahanda!”

“Adinda pun sama! Mari anakanda…” ajak Permaisuri Dhimirah An-Nur.

Mereka berdua terus berlalu ke kamar peraduan. Raja Allauddin Syah mengelengkan kepalanya. Si hodoh terdiam. Tiba-tiba seleranya hilang! Bukan dia pinta untuk tiada adab di hadapan makanan, tetapi sifat liarnya menguasi sifat sejati manusianya. Dia pun tidak mahu disumpah sebegini!

“Makan sajalah tuan hamba. Nanti pandailah beta menasihatkan anakanda beta itu.” Tutur kata lembut saja bicara Raja Allauddin Syah.

“Tidak perlulah tuanku bersusah hati. Patik perlu berusaha sendiri. Kalau tuan puteri menerima patik dengan rela hati, insyaAllah sumpahan ini bakal hilang dengan sendiri. Alah bisa tegal biasa. Bukan dekat patik datang ke negeri ini, yang tajam akan tumpul, yang bisa akan tawar. Kenalah berlembut dengan orang yang tidak suka pada kita, sudah takdir jodoh ada, tidaklah ke mana tuanku!”

Raja Allauddin Syah tersenyum. Dia agak terpesona dengan kata-kata berhemah Putera Raja Nazriel Hisyam! Tak akan hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar, tidak akan hilang martabat seseorang itu kalau dia merendah diri. Raja Allauddin Syah sangat kagum!

******

“Wahai cermin saktiku, di antara seantero dunia, di seluruh alam buana, di segenap mayapada ini, siapakah yang paling cantik sekali selain beta?”

“Tuan Puteri Dhylia An-Nur dari negeri Jauh-Jauh Sangat, tuanku Permaisuri Faishah.”

“Arghhhhh!!!” Permaisuri Faishah menjerit.

Lantas dia menutup pintu kamar cermin saktinya dan duduk di atas singgahsananya yang tersergam indah berwarna merah jambu! Habis warna di istananya bertukar dari kuning, warna diraja kepada warna merah jambu, warna kegemarannya.

Kanan dan Kiri terkejut!

“Habislah kita Kiri! Kantung kecil hamba sudah penuh ni, mahu melimpah ruah!”

“Tuan hamba jangan hendak mengada. Jangan tinggalkan hamba seorang diri di sini. Kalau mahu buang air, buang sahaja di sini!” marah Kiri.

“Kanan!! Kiri!!” jerit Permaisuri Faishah.

Bergegas mereka berdua mengadap.

“Ampun kurnia tuanku. Sembah patik harap dijunjung!”

“Berapa jauhkah negeri Jauh-Jauh Sangat?”

“Di hujung dunia tuanku! Kalau naik kapal terbang, enam hari baru tiba. Itupun kena transit dulu di Jepun sebentar.” Ujar Kiri. Pengetahuan geografinya lebih tinggi dari Kanan. Kanan yang mahu terkucil hanya berdiam diri. Kalau tuanku permaisuri menjerkahnya, sudah tentu bah di dalam istana!

“Ini sudah masuk enam hari. Kenapa si Tengah tidak sampai lagi? Dia naik apa?” tanya Permaisuri Faishah.

“Ohhh… Tengah! Dia tu adventure sikit orangnya. Pasti dia sedang berjalan ke sana.”

“Apa???!!!” Mata Permaisuri Faishah membulat! Dia memegang kalungnya menahan marah. Itu merupakan kalung kesayangannya. Dengar cerita, kalung itu merupakan kembarnya. Sewaktu lahir, kalung itu ada bersamanya. Kalau mahu membunuh Permaisuri Faishah, kalung itu perlu dipecahkan. Tetapi siapa yang berjaya mencapai kalung itu dari lehernya? Tidak seorang pun yang berani!
“Kalau melompat, 100 purnama. Kalau berjalan mungkin 50 purnama, tuanku! Kalau ikut pengiraan patik, dia mungkin di Ipoh, Malaysia.” ujar Kiri. Kanan hanya mengangguk-angguk.

“Telefon Tengah! Suruh dia berhenti di situ, naik keretapi ETS dan naik kapal terbang di KLCC. Ini bukan perjalanan shooting jalan-jalan cari makan, ini perjalanan jalan-jalan cari pasal! Tak ada maknanya nak adventurous, makan tahun nak sampai! Selagi Puteri Dhylia An-Nur ini tidak mati, selagi itu hati beta tidak tenang!”

“Titah tuanku dijunjung!”

Bergegas Kanan dan Kiri keluar dari bilik itu. Mula mereka hendak menelefon Tengah mengkhabarkan perintah itu, tetapi Kanan dan Kiri mempunyai idea yang lain. Mereka menelefon saudara mereka Hulu dan Hilir yang menjadi hulubalang istana di Jauh-Jauh Sangat menyatakan khabaran itu. Esoknya baru mereka mahu menelefon si Tengah! Biar Tengah lengahkan masa.

“Mana tuan hamba tahu, 100 purnama kalau ke negeri Jauh-Jauh Sangat secara melompat? Hamba tak tahu rupanya tuan hamba mahir dalam ilmu hisab!” ujar Kanan.

Kiri tersenyum.

“Ini rahsia. Kain ini kain sutera, kalau mandi tolong sidaikan, rahsia ini kita berdua, orang lain dibilang jangan.”

Kanan mengangguk-angguk.

“Sebelum hamba melepaskan tuan putera yang disumpah menjadi katak pergi menghilang, tok nujum beritahu, 100 purnama mesti sampai ke Jauh-Jauh Sangat!” bisik Kiri.

Rupa-rupanya Kiri merupakan orang yang bertanggungjawab menyelamatkan Putera Raja Nazriel Hisyam dari mati. Dia yang bertanggungjawab membawa putera berjumpa dengan Tok Nujum negeri sebelum dihukum mati oleh tuanku permaisuri dan dibunuh oleh Tengah.

“So, sekarang ni tuan putera di negeri Jauh-Jauh Sangat?”

Kiri mengangguk… “Syuhhhh….” Dia meletakkan jari telunjuknya di bibir.

“Semoga selamat!”

“Daulat tuanku!!”

“Daulat tuanku!!!”

******

“Diumumkan ketibaan Putera Raja Inderawan Shah dari negeri Sedang Jauh Sedang Dekat, masuk mengadap.”

Tiupan semboyan yang kuat itu menandakan Raja Allauddin Syah ada tetamu diraja.

“Diperkenankan.” Titah Raja Allauddin Syah sambil membetulkan kedudukannya di atas singgahsana diraja.

“Ampun kurnia tuanku. Patik, Raja Inderawan Shah dari negeri Sedang Jauh Sedang Dekat, datang mencemar duli di istana tuanku.”

“Dipersilakan tuan hamba duduk.”

Puteri Dhylia An-Nur yang juga ada di situ menjeling. Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia melihat seorang putera yang kacak dihadapannya. Dia langsung terpegun dan tersenyum malu. Tidak sedar, si hodoh melihat gelagatnya, dia agak sayu. Sudah pasti yang datang ini, mahu melihat sang puteri! Mungkin mahu masuk meminang agaknya?

‘Naik ke bukit bekerja daya, tempat orang menggaji kayu, untung nasib takdir hamba, bunga kembang menjadi layu. Hemm… orang lain buat kerja, orang lain dapat habuan!’ bisik hati si hodoh, sedih tak keruan. Menangis di dalam hati, tiada yang tahu!

“Apakah hajat tuan hamba ke mari?” tanya Raja Allauddin Syah.

“Menjenguk kawan lama.”

“Ohhh… tuan hamba kah yang menjadi kawan sepermainan patik?” jerit Puteri Dhylia An-Nur. Dia baru teringat, 10 tahun yang dulu, Putera Raja Inderawan Shah sering ke istana, bermain-main di taman bunga.

Raja Allauddin Syah hanya merenung tajam.

“Ke mana tuan hamba dahulu sewaktu puteri beta beradu pengsan di dalam kotak kaca?” titah Raja Allauddin Syah sedikit meninggi suara.

Dia agak terkilan, kerana seorang putera pun tidak mahu menghampiri anaknya dulu. Bagi geluk tinggal di air! Mengharapkan bantuan, seorang pun tiada, nasib baik ada si hodoh! Bila sudah pulih, semuanya datang mengadap! Mencemar duli konon. Kalau tidak dikenangkan, semua negeri bersaudara, sudah lama dihantar meriam dan tombak! Kalau perlu kereta kebal dan kapal selam ikut serta! Ataupun bom macam negeri Hiroshima. Geram Raja Allauddin Syah di dalam hati.

“Ayahanda, di mana kelakuan sopan ayahanda?”

“Maafkan patik, tuanku. Patik ke UK menuntut ilmu, baru pulang dengan 5 ijazah di tangan.” Cerita Putera Inderawan Shah.

“Wahh… sungguh bijak tuan hamba!”

Putera Inderawan Shah tersenyum. Raja Allauddin Syah naik menyampah.

‘Jangan berangan lah aku mahu kahwinkan kau dengan anak aku!’ ujar Raja Allauddin Syah di dalam hati. Calon suami itu ditolak mentah-mentah walaupun hati puterinya sudah terpaut!

‘Aku ni 10 ijazah pun tak ada pula nak cakap riak! Dia baru 5… elehhh… Entahkan ijazah beli!’ bisik hati si Hodoh. Si hodoh mahu berlalu. Dia merasakan tidak sesuai duduk di situ… Tiba-tiba, bahunya terlanggar.

Berlari Hulu dan Hilir mahu menyampaikan pesanan kepada Raja Allauddin Syah.

“Maafkan patik, terlanggar bahu tuan Putera!”

“Tidak mengapa.”

Setiba di hadapan Raja Allauddin Syah.

“Ampun kurnia tuanku! Hamba berdua ada pesan yang sangat-sangat urgent dan complicated!” ujar Hulu. Hilir mengangguk-angguk. Mukanya ketat, kalau boleh dia mahu lebih ketat menunjukkan betapa seriusnya dia.

“Sebentar! Bicara negeri, hanya orang di dalam negeri sahaja perlu tahu. Mohon maaf!” titah Raja Allauddin Syah.

Putera Inderawan Shah bangkit mengundur diri dan si hodoh juga mahu beredar.

“Tuan hamba Putera Raja Nazriel Hisyam, sila tunggu. Panggilkan memanda menteri dan Datok Temenggung datang mengadap!”

Bergegas memanda menteri Khuwalid dan Datok Temenggung Awang Hitam datang mengadap. Bicara tertutup itu menyebabkan masing-masing tertanya-tanya apa pesanan dan berita yang dibawa Hulu dan Hilir.

“Begini, saudara hamba berdua, Kiri dan Kanan menelefon hamba tadi. Mereka mengkhabarkan tuanku Permaisuri Faishah dalam keadaan mengerikan. Dia membuat amukan seluruh negeri dan mengupah Tengah untuk membunuh tuan Puteri Dhylia An-Nur!”

“Permaisuri Faishah?? Itu paduka bonda tiri patik!” ujar si hodoh terperanjat.

“Bunuh patik??” Puteri Dhylia An-Nur tersentak. “Tapi kenapa?” dia ingin tahu.

“Permaisuri Faishah ini tidak boleh melihat ada orang yang lebih cantik daripadanya. Dia akan membunuh semua orang yang cantik! Setakat ini habis semua perempuan cantik telah dibunuhnya dan Tengah menjadi orang suruhannya.”

Tiba-tiba si hodoh ketawa.

Raja Allauddin Syah mengerut dahi.

“Mengapakah tuan hamba ketawa bagai si mandul dapat anak?” tanya Raja Allauddin Syah.

“Janganlah tuan semua bimbang. Tengah mendapat lawan sepadan!”

“Apa maksud tuan putera raja? Setahu hamba, Tengah orangnya ganas dan bengis sekali!” ujar Hilir.

“Orang yang kuat, bukan selamanya kuat. Patik kenal si Tengah! Dia dari negeri patik, hanya patik sahaja yang tahu kelemahan si Tengah! Patik sahaja yang boleh menghalang si Tengah dari membunuh tuan puteri!” ujar si hodoh tegas dan menyakinkan.

Puteri Dhylia An-Nur jadi rawan. Teluk Cempedak airnya biru,tempat budak bermain air; hatiku susah sering terharu, nasi ditelan serasa pasir. Dia jadi takut dengan ugutan bunuh itu. Baru sahaja terlepas dari sumpahan, sudah ada yang mahu membunuhnya!

‘Nasib baik bonda tiada di sini, sedang melawat kebun bunga orkidnya, kalau ada, sudah tentu pengsan lagi!’ bisik hati Puteri Dhylia An-Nur.

“Mahukah tuan hamba menolong patik? Setelah apa yang patik berbuat kepada tuan hamba, kelakuan patik yang menjelikkan terhadap tuan hamba, masih lagi tuan hamba mahu menolong patik?” ujar Puteri Dhylia An-Nur.

Si hodoh tersenyum.

“Patik menolong bukan kerana simpati, tetapi kerana tanggungjawab sebagai seorang insan. Insan hodoh dan buruk ini memanglah tidak layak untuk bersama dengan tuan puteri. Bagai burung pipit sama enggang, mana boleh sama terbang!” ujar si hodoh sayu.

“Janganlah tuan hamba berkata begitu!” Hilang sudah pemikirannya kepada Putera Inderawan Shah. Dia sangat terharu kerana ada yang sanggup mengadai nyawa untuknya.

“Ini bukanlah masa hendak bersedih hati, kita perlu merancang strategi.” Ujar si hodoh.

“Apakah agaknya taktik dan strategi yang tuan hamba cadangkan?” tanya Raja Allauddin Syah.

“Taktik peperangan apa yang tuanku perlukan? Perang Badar? Perang Khandak? World War II??” Datok Temenggung Awang Hitam menyampuk!

“Beta tak tanya Datok Temenggung!” Marah Raja Allauddin Syah.

Datok Temenggung Awang Hitam terdiam. Memanda Menteri Khuwalid menahan gelak. Negeri tidak pernah dilanda musibah dan peperangan, Datok Temenggung agak excited setelah lama tidak bekerja dan makan gaji buta!

“Kita perlu laksanakan sebuah majlis tari menari. Di malam itu, kita perlu menjemput sebanyak mungkin, perempuan yang cantik-cantik. Jangan lupa beritahu DJ kita malam itu, pasang lagu Tercipta Untukmu, kumpulan Ungu dari negeri Indonesia.”

“Ungu dari negeri Indonesia?” tanya memanda menteri Khuwalid.

“Tuan hamba jangan berbuat lawak perihal melawan musuh negeri! Ini kes serius tuan hamba!” ujar Datok Temenggung Awang Hitam. Tugasnya menjaga keamanan negeri dirasakan tercabar apabila Raja Allauddin Syah hanya mahu mendengar cadangan si hodoh! Si hodoh pula dirasakan bermain-main. Masakan musuh hendak datang, dibuat pesta tari menari?

‘Tu diaa… apa benda ni nak menari bagai? Sat lagi pembunuh mai, kita tak sedaq.. duk menari syok-syok! Lagi-lagi permaisuri tu, kalau dah dengar muzik poco-poco… poco-poco lah jadinya!’ Bisik Datok Temenggung Awang Hitam di dalam hati.

“Hulu dan Hilir! Kapan agaknya Tengah bakal tiba?”

“Esok beliau akan tiba di Malaysia. Beliau dititahkan untuk naik kapal terbang dari KLCC dan mendarat di sini lebih kurang 4 hari lagi tuanku!” ujar Hilir sambil mencongak-congak.

“Tak bolehkah kita tangkap dia sewaktu dia di lapangan kapal terbang?” tanya Memanda Menteri Khuwalid.

Semua mata memandang kepada si hodoh. Si hodoh mengelengkan kepalanya.

“Biarkan dia sampai ke pesta tarian itu! Patik mahu umpannya mengena dan dalangnya juga terkena. Biar darah di balas dengan darah!” ujar Si hodoh. Dalam hati dia sangat berharap, Permaisuri Faishah akan turut menyertai pesta tarian itu.

“Hulu dan Hilir!! Khabarkan berita ini ke sepelusuk negeri. Jangan lupa hantarkan jemputan istimewa buat Permaisuri Faishah. Masuk semua sumber dan media massa, tak kisahlah, facebook ke twitter ke. Beritakan yang negeri Jauh-Jauh Sangat akan membuat pesta tari menari bertemakan Cerita Dongeng yang paling besar di seluruh dunia!” titah Raja Allauddin Syah.

“Titah dijunjung tuanku!!”

******

“Puteri Dhylia An-Nur!! Puteri…”

Berlari tuan puteri ke tingkap kamar peraduannya.

“Tuan hamba? Tuan hamba Putera Raja Nazriel Hisyam kah itu?”

“Patik, tuan puteri.” Si hodoh tersenyum gembira apabila namanya disebut dek tuan puteri. Tadi sewaktu santapan malam pun, tuan puteri duduk disampingnya dan tidak mengenjak walaupun seinci. Tertanya-tanya juga dalam hatinya, adakah hati sang puteri ada ruang untuknya? Tetapi perubahan itu ternyata mengembirakan hati si hodoh! Walaupun masih tiada ungkapan cinta, tiada juga perubahan ke atas dirinya, dia yakin cinta itu boleh dipupuk! Cinta seperti bakar tidak berapi, cinta dalam diam!

Puteri Dhylia An-Nur tersenyum. Dia segera menurunkan rambutnya yang panjang itu.

“Naiklah tuan hamba. Naik gunakan rambut patik sebagai tangga. Kita berbual, mata bertentang mata.”

“Ehh.. tak perlulah guna rambut. Di tepi ini ada tangga! Lagipun sudah malam lah tuan puteri, patik datang hendak mengucapkan selamat malam, selamat beradu dan semoga mimpinya indah! Janganlah tuan puteri risau dengan hal itu, biar patik uruskan.” Ujar si hodoh meyakinkan.

“Kalau tiada tuan hamba, entah apalah nasib patik!” Puteri Dhylia An-Nur memujuk hati.

“Jangan lah tuan puteri risau ya. Selamat malam tuan puteri!” jerit si hodoh. Di dalam hati berbunga riang!

“Ikan buntal tidak bersengat, mari jatuh di atas titi, tepuk bantal panggil semangat, ingin bersua di dalam mimpi.” Ujar Puteri Dhylia An-Nur.

“Di atas para buah pauh, burung plastik buah melaka, tuan puteri jauh patik pun jauh, di dalam mimpi kita berjumpa.” Balas si hodoh.

Puteri Dhylia An-Nur tersenyum mendengar balasan pantun itu. Hilang gundah rasa di jiwa. Terbang sudah kerisauan di dalam hati.

“Selamat malam.”

“Selamat malam!”

******

Kanan bersungguh-sungguh mendapatkan Tuanku Permaisuri Faishah. Pos ekspress di tangannya, dipersembahkan kepada tuanku permaisuri. Menjerit girang Permaisuri Faishah apabila mendapat jemputan ke majlis tari menari di negeri Jauh-Jauh Sangat!

‘Arghhh… malas aku hendak melayan cermin sakti! Mestilah bukan aku yang cantik tetapi aku mahu kelihatan paling cantik di dalam majlis itu nanti. Apabila puteri itu mati, semua kecantikan akan aku peroleh! Mesti ramai yang cantik di dalam majlis tari itu, akan aku sedut semua kecantikan itu, aku bunuh semuanya!! Hahahaha’

Permaisuri Faishah tergelak besar. Ada saja rancangan jahat yang berlegar di kepala otaknya.

“Kanan! Perintahkan Vera Wang datang mengadap! Beta hendak tempah baju ke acara pesta itu. Beta hendak yang terbaik darinya. Kalau dia tidak boleh sediakan, beta terpaksa panggil Radzuan Radziwill. Dia pun okay juga kan?”

Kanan hanya mengangguk-angguk.

‘Manalah aku tahu pasal fesyen? Sedangkan baju aku pun tidak pernah bertukar!’ bisik hatinya. Dia mengelengkan kepalanya mengenangkan karenah permaisuri negerinya yang memeningkan kepalanya. Dalam hati berharap Putera Raja Nazriel Hisyam balik dan membetulkan negeri ini yang sudah agak terpesong geraknya!

“Yang aku kenalkan Kiri, pereka fesyen tu… Tom Tom Bak!” ujar Kanan apabila bercerita pada Kiri.

“Hishh.. bodoh alang sungguh tuan hamba ini! Bukan tom tom bak, itu rancangan untuk kanak-kanak. Anak hamba cukup seronok melihatnya! Pereka fesyen itu namanya Tom Abang Saufi!” Kiri membetulkan kenyataan Kanan.

Kanan mengangguk-angguk. “Hah dialah gerangannya. Wah pandai sungguh tuan hamba ya, semuanya tuan hamba tahu! Boleh jadi tuan hamba ini eksklopedia bergerak negeri.”

Kiri ketawa. “Ada sajalah hamba ini! Itulah gunanya Blackberry dan wifi percuma! Boleh google sepantas kilat! Hamba beli pakai wang kurnia tuanku tempoh hari.”

“Ohhh…”

******

Muncul sudah hari yang ditunggu. Tengah sudah pun diberitakan sampai di lapangan terbang Allauddin Syah Azimuddin Syah. Puteri Dhylia An-Nur hari itu dikawal ketat! Kiri, kanan, depan dan belakang, semuanya mengawal. Siapalah lagi kalau bukan tujuh hulubalang bersaudara yang mengawalnya.

“Cantiknya tuan puteri!” Terpegun Hulubalang 1 melihat Puteri Dhylia An-Nur sudah siap berpakaian cantik. Rekaan baju dari pereka termasyhur di negeri Jauh-Jauh Sangat, setiap helaian benangnya disulamkan dengan berlian. Berkilauan, cantik sekali! Tidak terucap dengan kata-kata.

Puteri Dhylia An-Nur tersenyum gembira.

“Mana sepatu beta?” Dayang istana segera memberikan sepatu yang telah dibersihkan itu untuk dipakai oleh Puteri Dhylia An-Nur.

Sepatu itu ditempah khas dari pereka sepatu terkenal dunia yang dilahirkan di Malaysia, Jimmy Choo. Beribu koleksi Jimmy Choo yang dikumpul oleh Puteri Dhylia An-Nur. Walaupun sudah 10 tahun dia beradu pengsan, Jimmy Choo tidak akan melupakannya. Seringkali dihantar sepatu rekaan khas dan limited edition itu kepada sang puteri! Ingatan dan tali persahabatan begitu erat sekali!

“Kalau beta mangkat, sepatu ini perlu dipelihara sebaiknya. Ini sepatu kesayangan beta.”

“Hishhh… apa pula tuan puteri berkata begitu! Si hodoh kan ada. Dia pasti akan menjaga tuan puteri! Hamba yakin, si Tengah bakal menyesal menjejak kaki ke negeri Jauh-Jauh Sangat!”

“Ya, betul kata Hulubalang 7 itu, tuan puteri. Perihatin sungguh hamba lihat si hodoh itu terhadap tuan puteri. Sekejap-kejap dia menjenguk tuan puteri di kamar ini. Sekejap-kejap dia memeriksa pintu dan tingkap.”

Tuan Puteri Dhylia An-Nur tersenyum. Dia pun perasan akan hal itu.

“Sudah… kita sudah terlambat. Pesta sudah hendak bermula.” Ujar Hulubalang 2. Dia menjaga masa. Paling banyak hulubalang yang ada, dialah yang paling menepati masa. Masa itu emas, moto hidupnya.

“Eagle is flying… eagle is flying!” ujar Hulubalang 3 melalui walkie-talkienya.

Semua memandang dia kehairanan.

“Dari manakah tuan hamba belajar?” tanya Hulubalang 4.

Hulubalang 3 tersenyum. “Hamba belajar dari channel 702, cerita The White House. Kod ini bermaksud, tuan puteri sudah hendak bergerak.” Jawab Hulubalang 3 berwajah selamba.

“Ohhh…” ujar Hulubalang 4.

‘Macam-macam hal!’ bisik hati Hulubalang 4.

Hulubalang 6 termasuk yang lain hanya mengelengkan kepalanya! Banyak karenahnya.

******

Pesta majlis gilang gemilang itu, meriah sekali! Satu-satu kerabat diraja masuk mencemar duli dan diperkenankan oleh Raja Allauddin Syah. Di sisinya, Permaisuri Dhimirah An-Nur senantiasa di sisi. Sampai sekarang, permaisuri tidak tahu menahu tentang hal ini, memandangkan penyakit darah rendah yang dihadapi. Takut pula diserang gering di saat genting. Mana satu hendak diselamatkan pula!

Si hodoh pula setia berdiri di sebelah Puteri Dhylia An-Nur. Sekelip mata pun tidak berupaya untuk berkerdip, dia masih menantikan si Tengah! Tidak mungkin si Tengah akan berpakaian seperti rakyat biasa, dia mesti menyamar sebagai putera raja juga. Kalau dia mengenali si Tengah, pasti si Tengah akan berbuat seperti yang difikirkan. Setakat ini tiada siapa yang boleh mengagak dia itu sebenarnya Putera Raja Nazriel Hisyam.

“Indah sungguh majlis ini ya Kekanda. Ramai yang hadir memeriahkan majlis pesta tari menari ini ya.”

Raja Allauddin Syah hanya tersenyum. Di dalam hati hanya berdebar, dia tidak pasti strategi ini berkesan atau tidak atau… dia bakal kehilangan puteri tunggalnya sekali lagi, kali ini untuk selamanya!

“Putera Raja Inderawan Shah dari negeri Sedang Jauh Sedang Dekat mencemar duli, tuanku.”

“Ampun kurnia, tuanku!” Sembah Putera Raja Inderawan Shah. Dia sempat mengerling ke arah Puteri Dhylia An-Nur, tetapi puteri buat tak tahu. Raja Allauddin Syah tersenyum.

Sejak peristiwa tempoh hari, Raja Allauddin Syah melihat puteri tunggalnya itu amat rapat dengan si hodoh. Mungkinkah, nazarnya termakbul nanti?

“Permaisuri Faishah dari negeri Dekat-Dekat Sangat mencemar duli, tuanku!!” jerit Hilir bergilir dengan Hulu mengkhabarkan kerabat-kerabat yang datang mengadap.

Permaisuri Faishah tersenyum.

“Ampun kurnia tuanku!”

“Diperkenankan. Sihat tuanku?”

“Patik, sihat.”

Permaisuri Faishah memandang tajam kepada Puteri Dhylia An-Nur. Puteri Dhylia An-Nur pula mempersembahkan senyuman. Getar di dadanya tiada siapa yang tahu!

“Inikah dia Puteri Dhylia An-Nur? Anakanda tunggal tuanku?” tanya Permaisuri Faishah.

Raja Allauddin Syah mengangguk.

“Kalau anak tiri patik masih hidup, mungkin kita bolehlah berbesan!” ujar Permaisuri Faishah sambil ketawa. Raja Allauddin Syah tersenyum kelat. Dia agak terkejut dengan ketawa yang menyeringai itu. Menakutkan!

Si hodoh yang berdiri di sebelah Puteri Dhylia An-Nur agak tersentak. Dalam hati dia sangat geram! Tetapi dia tidak mahu marah menguasai tindakannya. Nanti dikaburi mata dengan kebencian, orang yang dia sayang tidak boleh dipertahankan.

“Mari menari tuan hamba?” ajak Puteri Dhylia An-Nur.

“Patik tak pandailah tuan puteri. Tersilap langkah, terpijak kaki.” Ujar si hodoh.

“Tak apa, patik lead, tuan hamba follow!”

Si hodoh tersenyum. Permintaan sang kekasih hati, mana boleh hendak menolak. Mereka berdua sudah di tengah dewan tarian. Yang sedang menari semua ke tepi, tidak tahan dengan bau tengit si hodoh.

Permaisuri Dhimirah An-Nur mencebik. Dia sangat tidak suka dengan situasi, geram melihatnya! Kapal selam belayar malam, nampak api timbul tenggelam, bagaimana hati tidak geram, bagai timun dibuat ulam.

“Senang saja, ke depan, ke belakang, ke tepi, tengah balik!” ajar Puteri Dhylia An-Nur.

“Okay, patik cuba.”

“Muzik!!” jerit Puteri Dhylia An-Nur.

Mereka menari perlahan-lahan. Raja Allauddin Syah senang hati. Tetapi Permaisuri Faishah, sakit hati melihatnya. Melihat kecantikan Puteri Dhylia An-Nur yang mengusarkan dada!!

‘Lotion apa dia pakai?? Sampaikan kulitnya putih melepak! Lipstik apa dia pakai?? Sampaiii merah seperti biji saga! Syampoo apa dia pakai?? Sampaikan lembut dan ikal mayang! Simply Sitikah? Rejoice kahh?? Ataupun D’navechee?’ geram hati Permaisuri Faishah tidak terhingga.

Tiba-tiba dia melihat di dalam kelompok itu… bayang-bayang si Tengah kelihatan! Permaisuri Faishah seraya tersenyum!!

‘Yes… yesss!! Akulahhh yang paling cantik sebentar lagi!!”

Berlari Hulu dan Hilir seketika menampak bayangan Tengah! Terus disampaikan kepada si hodoh. Tarian si hodoh terhenti. Dia meminta DJ memasangkan lagu Tercipta Untukmu!

Dup dappp duppp dappp… debar dada Puteri Dhylia An-Nur.

Tuppp tapp tuppp tappp!! Bunyi langkah tegar si Tengah! Di matanya hanya ternampak rupa Puteri Dhylia An-Nur. Permaisuri Faishah menyeringai keseronokan. Hulubalang lain dan Datok Temenggong Awang Hitam sudah mengepung Permaisuri Faishah! Namun, sekelip mata mereka semua tercampak. Hebat sungguh ilmu hitam baginda!

Tiba-tiba.. lagu Tercipta Untukmu terhenti! DJ di situ kelam kabut!

‘Alamakkk… CD rosak!!’ DJ sudah menggaru kepala.

Tidak berkerdip mata si hodoh apabila ternampak si Tengah meluru kepada tuan Puteri Dhylia An-Nur. Badannya yang sasa dan gagah itu menolak orang lain yang sedang menari. Lagu Tercipta Untukmu yang berdendang itu seperti cd rosak. Sekejap ada sekejap tidak menjadi Tengah sekejap kuat, sekejap lemah! Namun digagah juga, semuanya musnah bagi sesiapa yang menghalang perjalanannya! Sekejap melemahkan langkah si Tengah, apabila terhenti lagu itu, mempercepatkan langkah si Tengah, menghampiri sang puteri.

‘Masa ini pula cd nak rosak!! Itulah aku suruh jemput kumpulan Ungu mendendangkan terus, tak mahu pula. Katanya expenses bertambah. Kan dah jadi masalah!’ detik hati si hodoh!

Tengah sudah mengeluarkan pisau belati kesayangannya. Pisau belati itu acapkali memakan darah manusia yang tidak berdosa! Gara-gara sakit jiwa ditinggalkan isteri sewaktu di atas pelamin sedang DJ memasang lagu Tercipta Untukmu. Entah macam mana dia jadi gila dan mentalnya tidak berapa baik. Sewaktu itu, si hodoh sedang mencemar duli di majlis perkahwinannya memandangkan Tengah merupakan pengawal peribadi si hodoh. Tengah sangat berang ditinggalkan, dia mengamuk seperti babi gila dan akibatnya seluruh keluarga isterinya mati dibunuh. Namun si hodoh dapat diselamatkan disebabkan waktu itu, lagu Tercipta Untukmu sedang berkemundang. Tengah dapat ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap! Oleh kerana Tengah berupaya menjadi seorang pembunuh kerana tidak punya belas kasihan, Tengah dikeluarkan dari penjara dengan syarat menjadi orang suruhan Permaisuri Faishah!

“Lari tuan Puteri! Lari…”

“Tapi… tuan hamba bagaimana?”

“Lari!!”

Semua hadirin yang menghadiri pesta itu, berlari menyelamatkan diri. Melihat Tengah mengamuk di tengah-tengah pesta, hulubalang 7 bersaudara, menyelamatkan Raja Allauddin Syah dan Permaisuri Dhimirah An-Nur. Apabila mahu menyelamatkan Puteri Dhylia An-Nur, Permaisuri Faishah menjadi penghalang!

Melihat keadaan yang kusut itu, Puteri Dhylia An-Nur berlari mengikut orang ramai. Permaisuri Faishah mengejarnya dari belakang! Di penghujung jalan menghala ke luar istana, ada satu gaung yang sangat dalam. Malam yang pekat lagi kelam, Puteri Dhylia An-Nur berlari sekuat hati. Dia tidak lagi peduli, malah tidak ingat struktur bumi negeri Jauh-Jauh Sangat yang penuh gaung dan bukit.

Sementara itu, si Tengah berlawan pedang dengan si hodoh!

“Ini beta Tengah! Beta Putera Raja Nazriel Hisyam!!”

“Arrggghhhh… apa yang hamba tahu, putera raja bukan hodoh dan berbau tengit seperti tuan hamba!” Jerit Tengah.

Lagu Tercipta Untukmu berkemundang sekejap-kejap. Tengah menjadi sayu dan lemah kembali. Si hodoh sibuk mencari cincin pusakanya untuk ditunjukan kepada si Tengah! Itu sahajalah yang boleh memujuk si Tengah daripada membunuhnya. Si hodoh tidak mahu si Tengah mati, kerana si Tengah adalah mangsa sepertinya juga. Mungkin sudah lebih teruk, kerana sudah disihir menjadi pengikut setia!

Tiba-tiba lagu itu terhenti! Tengah menjadi agresif! Ditikamnya pisau belati itu dirusuk kiri si hodoh. Si hodoh mengaduh kesakitan.

“Ini buktinya Tengah! Beta adalah pewaris tunggal negeri Dekat-Dekat Sangat!”

Tengah mengambil cincin itu. Dia tersentak!

“Tuanku!!!” Jerit Tengah!

Dia menekan luka di perut si hodoh. Dia baru tersedar yang ditikamnya itu putera raja yang telah menghilang lama! Dia kemudiannya menarik pisau itu dan menikam jantungnya sendiri.

“Tengahhh!!” jerit si hodoh.

“Banyak nyamuk Kuala Gaung, nyamuk tidak takut api, banyak dosa hamba tanggung, sedikit pun hamba tidak takut mati! Maafkan hamba tuanku!”

“Tengahhhh!!!” jerit si hodoh lagi.

Pemergian Tengah amat syahdu. Tengah dulu merupakan seorang pengawal peribadi yang baik. Mungkin mentalnya belum pulih, tetapi dia seorang wirawan negara. Si hodoh menutup matanya. Dia melihat sekelilingnya yang musnah. Bayangan Permaisuri Faishah jauh menghilang mengejar sang puteri idaman hati.

“Pheewwwitttt….” si hodoh memanggil kuda yang mengawal lagak seperti Amy Search di atas pentas. Hendak berlari, dia tidak mampu. Luka dirusuk kirinya amat dalam. Dia kemudian menaiki kuda itu dan pantas bergerak laju.

Entah macam mana, dalam proses kejar mengejar sang Puteri Dhylia An-Nur, Permaisuri Faishah tersadung dek batu akibat dari sepatunya yang tinggi berinci-inci. Dia jatuh terjelepuk!

“Aduhhh!!”

Dengan kesempatan itu, si hodoh yang juga mengejarnya dari belakang, menarik loket kesayangan paduka bonda tirinya.

“Tolong patik!”

“Tak ada masa!”

“Tuan hamba tolong patik, patik akan berikan segalanya!”

“Patik ialah Putera Raja Nazriel Hisyam yang paduka bonda sumpah menjadi katak dahulu! Ini balasannya kerana membunuh ayahanda hamba!” Si hodoh meletakkan loket itu di atas tanah dan dihancurkan menggunakan batu. Menjerit Permaisuri Faishah kegeringan. Dia merasakan sakit yang perit! Lama-lama, dia menjadi batu dan hancur seperti debu. Debu-debu itu kemudiannya diterbangkan angin! Itulah akibatnya mengamalkan ilmu hitam yang dilaknat Allah.

Puteri Dhylia An-Nur masih tidak sedar yang sebenarnya dia tidak lagi dikejar. Akibat terlalu takut, dia masih berlari dan terus berlari dan tidak tahu, sebenarnya dia sudah di penghujung gaung!

“Ahhhhhh….” jerit Puteri Dhylia An-Nur. Nasib baik dia sempat berpaut!

“Tolong patik!! Tolong!!!!” jeritnya lagi.

Sementara itu, si hodoh menjerit-jerit memanggil nama Puteri Dhylia An-Nur. Keadaan malam yang kelam dan gelap itu, si hodoh sukar untuk melihat!

“Tolong!!! Tolong….” jerit Puteri Dhylia An-Nur.

Melihat tangan putih yang mengapai-gapai, berlari si hodoh mendapatkan tangan itu. Nasib baik puteri berkulit putih melepak, di dalam gelap pun boleh nampak!

Si hodoh memegang kuat tangan itu. Cuba menariknya, masih tidak berdaya. Tikaman yang terkena di rusuk kirinya, amat dalam. Sekali dia menarik tuan puteri, sekali itu darah keluar dengan banyaknya. Dia semakin tidak larat!

“Tolong jangan lepaskan tangan patik, tuan hamba!!”

“Patik tak akan lepaskan tangan tuan puteri. Percayalah pada patik!”

Puteri Dhylia An-Nur menoleh ke bawah. Gaung itu sangat dalam. Gelap gelita! Pasti dalamnya seperti gaung di Grand Canyon! Puteri Dhylia An-Nur seriau. Dia jadi gayat!

“Patik takut, tuan hamba!!” jerit Puteri Dhylia An-Nur. Dia memejamkan matanya.

“Sabarlah tuan puteri. Jangan cuba memandang ke bawah.”

“Patik minta maaf kerana kelakuan buruk patik terhadap tuan hamba. Patik kesal! Patik harap tuan hamba dapat memaafkan patik.”

“Patik tidak pernah terasa hati dengan kelakuan tuan puteri. Selayaknya patik menerima layanan seperti itu.”

“Janganlah tuan hamba berkata begitu. Sepatutnya patik perlu membalas budi tuan hamba selama ini. Patik tidak sedar diri seperti telur mengatakan lepang tak pandai duduk.” Ujar Puteri Dhylia An-Nur sayu. Dia rasa bersalah terhadap layanan yang diberikan kepada si hodoh. Benar-benar rasa bersalah!

“Patik tidak mahu simpati tuan puteri.”

“Sepatutnya budi dibalas dengan cinta, bukan simpati. Patik cintakan tuan hamba!”

“Apaaa??!!”

“Ya… patik cintakan tuan hamba, seikhlas hati patik.”

Tiba-tiba… cahaya terang menerangi segenap alam kelam itu. Badan si hodoh itu bertukar menjadi badan seorang manusia. Tiada lagi bulu lebat seperti orang utan! Wajahnya bertukar menjadi seorang yang sangat kacak. Tuan Puteri Dhylia An-Nur terpegun.

“Alhamdulillah… berkat keikhlasan hati tuan Puteri Dhylia An-Nur mencintai patik, patik dapat bertukar seperti sediakala kembali. Terima kasih tuan puteri! Terima kasih.” Ujar Putera Raja Nazriel Syah tersenyum manis.

Melihat ketampanan itu, Puteri Dhylia An-Nur jadi kaku. Satu ayat pun tidak terkeluar dari mulutnya. Speechless!

“Patik… patikkk..”

“Patik apa tuan puteri?”

“Tolong ambil sepatu patik ini. Biarlah patik mati jatuh ke dalam gaung, asalkan sepatu Jimmy Choo patik ini terpelihara!”

Putera Nazriel Hisyam ketawa. “Jangan bergurau senda di dalam situasi ini, tuan puteri.” Namun di ambil juga sepatu itu dari tangan Puteri Dhylia An-Nur.

Mata mereka bertembung! Dalam melayan perasaan, Puteri Dhylia An-Nur tidak sedar dia sedang bergantung nyawa! Entah bagaimana, tangannya terlepas! Badannya laju terjauh dari pautan.

“Tidakkkk!!!”

“Tuan puteriiii!!!”

“Tolong!!”

“Patik terjun tuan puteri… tunggu!!”

******

Bedebukkk!!!

“Adoiiii mak!! Sakitnya!”

Dhylia mengusap pinggangnya! Terjatuh dari katil yang mempunyai 7 tilam ini… sudahlah tinggi, lagak beradu macam puteri raja. Puteri raja apa namanya! Tilam nipis, bukan tilam air. Ini semua gara-gara mimpinya yang panjang, terjun gaung sebagainya, dia langsung terjaga. Habis hilang mimpi-mimpinya indah tadi! Endingnya tak best langsung, ada ke terjun gaung?

‘Eh mana putera aku tadi? Errkk.. mana kotak kaca tadi? Lorr… ingatkan real! Mimpi rupanya. Hampeh! Astagfirullahaladzim…’ Dhylia mengucap panjang. Tangannya tersentuh buku cerita yang dibacanya.

‘Gara-gara cerita dongeng si Syamnuriezmil ni la! Hemm… Mandilahh!!’ Dhylia meletakkan buku itu di atas katil dan bangun menyambar tuala.

“Dhylia!!” Jerit Dhimirah. “Astagfirullahaladzim!! Sakit jiwa betuiii laa mengejut anak dara yang seorang ni. Kalau dapat tidur lah, mengeruh sampai lusa belum tentu nak bangun! Kau ingat kau ni anak raja ke.. takpun snow white yang tidur tak bangun-bangun?? Bangunlahh wehh… tak nak pi kerja ke?” Marah Dhimirah. Puas dia mengetuk pintu bilik Dhylia, tidak juga buka. Dia kemudian membebel sambil menuruni tangga.

“Hishh.. awak ni Dhimirah. Bising tak tentu hala. Itulah satu-satunya anak kita, 10 tahun kita menunggu dia muncul dalam rumah tangga kita. Kalau tak kerana arwah nenek awak yang banyak pantang tu, tak adalah kita anak sampai ke hari ni. Biarlah, bagai menatang minyak yang penuh!” ujar Allauddin.

“Mandi agaknya!!” ujar Allauddin lagi.

Usai Dhylia mandi dan bersiap untuk ke pejabat, Dhylia terus ke ruang tamu. Dia melihat maknya dari tadi duk membebel tak habis-habis.

“Mak, Lia mimpi tadi! Lia jadi puteri raja!! Macam benar betul mimpi Lia tadi. Hishhh… cantik mak dalam mimpi Lia tu, siap pakai crown lagi! Bukan pakai kain batik ni. Tapi mak pakai macam ni pun, still cantik, menawan, kan ayah?”

Dhimirah mencebik.

Allauddin tergelak.

“Pandailah kamu. Rambut tu! Pergilah potong. Rimaslah mak tengok! Nak taruh panjang sampai ke lutut ke?”

“Hehe.. nak jadi Rapunzel! Kalau mak tak bagi putera raja naik pakai tangga, Lia turunkan rambut!”

“Abang… tengok anak abang ni. Tersampuk agaknya!”

Dhylia ketawa. Cepat-cepat dia menyanggulkan rambutnya itu dan memakai tudung shawl. Pagi-pagi kalau cuba basahkan rambut, alamatnya satu jam belum tentu kering! Ini semua idea Allauddin, dia suka sangat anaknya berambut panjang sebab masa kecil dulu Dhylia botak saja. Oleh kerana takut Dhylia botak sampai dewasa, itu yang dipaksanya Dhylia membela rambutnya.

“Nah apple! Minum teh tu sikit.” Selalu anaknya bersarapan di pejabat. Dia hanya akan bekalkan sebiji epal merah kepada Dhylia.

“Hishh… tak mau! Entah-entah ada racun. Nanti tak bangkit macam snow white!”

“Kamu ni kenapa? Ikut sukalah…”

Dhylia tersengih. Dia lantas menyalami Allauddin dan Dhimirah kemudian terus ke luar dan mahu memakai kasut. Tiba-tiba…

“Makkk!!” Jerit Dhylia.

Berlari Dhimirah ke luar.

“Ni pasai apa pulak?”

“Katak!! Katak dalam kasut!”

“Lorrr… buang lah!”

“Geli arr… Berani katak ni duduk dalam kasut mahal Lia! Jimmy Chang ni.” Dhylia geram. Jimmy Chang merupakan pereka kasut maknya. Disebabkan kaki Dhimirah besar dan lebar, jarang kasut boleh diperoleh di pasaraya. Terpaksalah custom-made! Samalah dengan Dhylia!

Dhimirah mengambil kasut Dhylia dan mengeluarkan katak itu dari kasut anaknya. Apabila kata tu keluar, Dhimirah mahu menghalaunya jauh pakai penyapu. Tapi ditahan Dhylia! Dhylia serentak terkenang akan mimpinya.

“Jangan makk oii!!”

“Laa.. nanti dia melompat ke arah kamu karang, kamu juga yang menjerit tak jejak tanah.”

“Takpa.. takpa. Manalah tahu dia tu sebenarnya putera katak yang datang usha Lia!”

Dhimirah mengerut dahinya. “Kamu ni gila agaknya…”

Dhylia tergelak.

Entah macam mana, katak itu berpatah balik dan tidak semena-mena dia melompat ke arah Dhylia. Dhylia yang terkejut itu, terus tercampak kasutnya jauh.

Kali ini giliran Dhimirah pula tergelak.

“Mak ni…”

“Mak malas nak layan kamulah. Dah cepat pergi cari kasut, dah lambat pergi kerja ni. Mak nak pergi teman ayah kamu sarapan.”

Dhylia mencebik. Dia berjengkit-jengkit berjalan ke hadapan, mencari-cari kasutnya.
‘Haram jadah punya katak! Ingatkan bolehlah bertukar jadi putera kacak, Putera Raja Nazriel Hisyam. Menyusahkan aku betul! Yang aku ni, dok berangan macam dalam mimpi pula… perasaan! Hishhhh… mana kasut ni!’

Matanya membulat apabila ternampak kasut yang dibaling tadi. Sewaktu hendak mengambil kasut itu…

Bedebukkk!!

Dhylia terlanggar sesuatu. Dia terduduk!

“Adoiii laaa…” Dhylia mengosok kepalanya. Asyik jatuh saja hari ni… nak malang ke?

“Sorry!”

Lelaki di hadapannya, menyapu kepalanya juga.

“Errkkk… awakkk!!”

“Maaf, ini kasut awak ke?”

Dhylia tergamam.

“Hello… Kasut awak kan ni?”

“Yaa.. ya!” Dhylia mengangguk.

“Lain kali, jangan baling-baling! Kasut mahal ni. Kalau terkena kepala saya tadi macam mana? Tak ke biul kepala saya setahun!!” Dia tergelak. Dia terus duduk menghadap Dhylia.

Dhylia tersenyum. Nazriel menyarungkan kasut itu kepada kaki Dhylia, entah macam mana dia terasa debar berjumpa dengan Dhylia! Macam rasa sesuatu…

“Baiklah Putera Raja Nazriel Hisyam. Akan patik ingat sampai bila-bila! Terima kasih!”

“Aikkk… macam mana awak tahu nama saya?” tanya Nazriel pelik.

“Erkkk… nama awak Raja Nazriel Hisyam? Betul?”

“Yerp!!”

Dhylia menepuk dahi. ‘Adakah semua di dalam mimpi itu sedang berlaku atau hanya kebetulan?’

“Mak awak nama Faishah ke??”

“Tak…” Nazriel mengelengkan kepalanya. Dia mengerut dahi, pelik!

“It was a long story!!” ujar Dhylia. ‘Huh nasib baikkk!!’

“It’s okay, saya ada banyak masa untuk mendengarnya. How about lunch? Perhaps.. dinner tonight?” ajak Nazriel.

“Harap bukan saya sedang biul sekarang ni!”

Nazriel tergelak. “Awak tak biul.. saya yang biul!”

Dhylia tertawa dan bersetuju dengan cadangan makan malam malam ini.

‘Gara-gara cerita cinta dongeng si Syamnuriezmil ni, buat malam aku termimpi-mimpi, siang terngigau-ngigau!! Haiiihh… Syamnuriezmil ni laaa.’ Dhylia tersenyum.

Aikkk… aku lak salah! Heheh… Cerita dongeng memang membuat kita terawang-awang! Lagi-lagi cerita Cinderella dan prince Charmingnya yang sering melekat di dalam hati kita! Mana tahu cerita dongeng, jadi realiti? Tak mustahil kan… ;) ~Syamnuriezmil~

P/s : Ini merupakan cerpen kedua saya yang berkonsepkan moden purba. Yang pertama adalah cerita Tidurlah Puteriku (ada dalam P2U). Baca juga cerpen yang diupload hari ini Si Hitam Manis Pilihan Hati. Oppss.. kalau nak sambungan cerita moden purba ini, Dhylia kenalah tidur balik kan?? Heh…

———————-
Novel TERLANJUR MENCINTAI karya penulis Syamnuriezmil pada bulan 3. Ingin membaca bab awal yang disiarkan di penulisan2u? jom baca KLIK DISINI




k l i k  i k l a n  m e n a r i k

Komen dan ulasan karya

115 ulasan untuk “Cerpen : Cerita Cinta Dongeng!!”
  1. nurul says:

    haha lawak la. KREATIF!

  2. vista says:

    lawak betul cter ni .. hahahaha … agknye sy kena tido n mmpi cmtu jugk lh .. mne thu mmpi jdi kenyataan .. hahahaha … the best !!!

  3. kakaciken says:

    interestig.. best jgak kalo bce cite dongeng cmnie…

  4. Zalila Zaharin says:

    memang best gila kot antara semua cerpen nie lah paling best lawak tang mimpi tuh moden purba hahahahaha!!! gelak tak habis2 memnag best arhhh tapi kalau nak lagi tip top bagi panjang tang dah bagun dari mimpi tuh……..apapun g00000d j00000b Syamnuriezmil debaekkk arhhhh!!!!!!

  5. Miz Lonely says:

    Lain dari cerpen lain yg pnah sy bca sblm ni..besttttt!!!!!!!….teruskn berkarya..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

"Penerbit KaryaSeni"      "Penerbit Penulisan2u"      "Penerbit Fajar Pakeer"