
Novel : Kau Ditakdirkan Untukku 19, 20
Oleh : geemus @ gee muszisya
19
“Sorry Encik Akmal, kak Yati dah beritahu tapi… ” bingkas kak Yati membela diri. Bukan tidak ditegah tetapi perempuan itu langsung tidak mengendahkan katanya. Hanya menonong sahaja langkah dihayun masuk ke sini.
“Tak apa, kak Yati boleh keluar dulu.” Pintas Akmal. Kak Yati hanya mengangguk mendengar arahan. Memandang sekilas perempuan itu sebelum berlalu pergi sambil merapatkan pintu kembali.
“Haiii..” Sapaan manja Farah tidak diendahkan Akmal. Tumpuan cuma pada kertas di atas meja. Tetapi ternyata itu hanya lakonan semata-mata.
Farah mula menebarkan pandangan ke sekeliling bilik. Pandangan yang damai menjadi santapan anak matanya melihat perabut tersusun rapi berkonsepkan moden tampak eksklusif. Pandangan jatuh pula pada gadis di sebelah, manis berbaju kurung merah jambu dipadankan dengan tudung yang sesuai warnanya tampak ayu sekali. Raut wajah itu diamati lama. Berdetak hati tiba-tiba bila menyedari gadis itu yang sering dilihat bersama Akmal dalam pemerhatiannya. Tanpa ada sesiapa menyedari dia telah mengintip gerak gerik Akmal selama ini. Keinginannya makin memuncak ingin mengetahui siapa gadis itu? Mesti mereka ada apa-apa hubungan, kalau tidak takkan sampai ke rumah Akmal mencari.
Anis perasan pandangan Farah kepadanya lalu melemparkan senyuman nipis beramah cuma. Namun, senyuman sinis dibalas pula. Farah kembali menumpukan pandangan kepada Akmal yang masih menyepi. Berdetik terasa di hati Anis sikap perempuan itu kepadanya. Sombong!
“How are you?” tanya Farah cuba menegur mesra membuka bicara.
“What are you doing here, Farah?” tanya Akmal tegas, sedikit pun tidak memandang Farah yang masih berdiri di hadapannya.
“Sebenarnya I ada hal nak bincang dengan you. Boleh luangkan sedikit masa you untuk I.”
“I sibuk sekarang.”
“Takkan sekejap pun tak boleh.” Tanpa dipelawa Farah menarik kerusi di sebelah Anis. Dengan selamba dia melabuhkan punggung di kerusi sambil menyilangkan kaki. Mengerling sekilas kepada Anis berlagak gaya memuji diri.
Anis yang terpandang berasa hairan dengan tingkah Farah yang tak sudah. Apasal dengan perempuan ni? Asyik menjeling aku aje dari tadi. Ada masalah matakah? atau dia sebenarnya tak suka aku kat sini?
“Bos, saya keluar dululah,” kata Anis meminta diri. Tidak betah dia berada dalam situasi yang semakin tegang itu.
Akmal mengangkat muka memandang Anis.
“We not discuss about your paper work yet,” kata Akmal.
“Tak apa, nanti kalau bos dah free, we can continue the discussion later. Lagipun bos ada tetamu sekarang.” Lembut tutur kata Anis cuba berlagak tenang.
“Saya tak suka menundakan kerja, lagipun saya tak ada hal penting dengan tetamu tu,” kata Akmal tegas. Terdiam Anis. Anis mula tidak sedap hati dengan kata-kata Akmal itu yang bakal menegangkan lagi keadaan.
Farah yang mendengar terasa tersindir. Jelas lagi nyata dirinya disambut dingin, malah ingin dihalau saja dia dari sini. Dia tahu Akmal seolah benci memandangnya, tetapi untuk merebut kembali cinta Akmal dia sanggup menebalkan muka. Sanggup juga menerima apa juga kata-kata pedih menikam jiwa, jika itu hukuman yang patut diterima. Asalkan Akmal sanggup memaafkan dirinya.
“Mal, I nak discuss something dengan you. Only you and m,.” kata Farah berharap diberi ruang untuk berbicara.
“Nak discuss apa lagi Farah!” Tegas sekali Akmal bertanya.
“About us,” jawab Farah ringkas.
“Antara kita dah tak ada apa-apa lagi! So, tak ada apa yang nak dibincangkan,” tekan Akmal lagi.
“I known you still love me. I nak pulihkan hubungan kita. Berilah peluang untuk I jelaskan segalanya,” rintih Farah mengharapkan pengertian Akmal. Sepasang matanya tepat memandang bebola mata Akmal.
Terkedu Akmal di situ. Namun, kemudian perlahan-lahan bibirnya melirik senyum tampak sinis sekali.
“You dah gila ke datang sini tiba-tiba cakap I masih cintakan you. What make you so sure about my feeling? Dan I pun tak faham kenapa you tiba-tiba datang cari I nak pulihkan semula hubungan kita. Apa yang merasuk you, sampai you sanggup bertindak begini.”
“Tak ada apa yang merasuk I. I dah sedar hati I hanya pada you. I yakin you masih cintakan I. Takkan mudah saja you nak lupakan segala kenangan yang kita lalui bersama dulu. Dah lama kita tak jumpa Mal. I betul-betul rindukan you.” Lunak suara Farah merintih manja.
Bibir Akmal terusan tersenyum sinis sambil menggeleng. Begitu mudah memujuk rayu setelah hati dipijak lumat. Bila hatinya sudah terubat, begitu mudah dia kembali menyesali diri. Cukuplah apa yang dirasa dulu, tidak ingin diulang kembali.
“I tahu salah I. Tapi bagilah I peluang untuk menebus segalanya. I sanggup buat apa saja asalkan you sanggup maafkan I dan kita dapat kembali bersama.” rayu Farah.
Anis sekadar memerhati sedari tadi. Berdebar juga hati melihat keduanya bertingkah bicara tadi. Tetapi kini pujuk rayu pula meniti di bibir perempuan itu. Terasa geli pula bila mencecah ke telinga. Kalau orang dah tak sudi, buat apa nak malukan diri. Buat malu kaum hawa saja dia ini. Ingin sahaja dia mencelah meminta diri tetapi takut menganggu bicara mereka. Menjadi penonton sahajalah dia di sini sampai sudah.
“I tidak sebegitu bodoh Farah sehingga sanggup memberi peluang kepada orang yang curang dibelakang I dan tidak tahu menghargai cinta yang I berikan.” Sinis tutur kata Akmal setelah menyepi seketika.
Terkedu Farah di situ. Walaupun kata-kata rayuan yang diluahkan namun dibalas sindiran sahaja. Begitu tekadkah hati Akmal untuk melupakannya. Bagaimana lagi harus aku lakukan?
“Cukuplah Farah, tak payah you nak buang masa kat sini. Biarlah kenangan kita yang lalu terkubur begitu saja. I pun dah tak nak ingatkan lagi. Mungkin juga ini sebahagian kenangan pahit yang terpaksa I tempuh. Mungkin juga pengajaran untuk I supaya lebih berhati-hati, jangan lagi tersilap langkah dikemudian hari.” Ucap Akmal cukup memedihkan hati Farah. Begitu tajam menusuk jiwa.
“What you mean?” soal Farah masih tidak berpuas hati.
“You known what I mean Farah!”
“Takkan tiada langsung kenangan manis untuk you kenang. I tahu dulu salah I kerana menduakan cinta you. Tapi itu dulu, sekarang I dah sedar. I terlalu mengikut hati, tapi you tak boleh salahkan I seorang dalam hal ini.” Bentak Farah menahan marah. Geram dengan sikap Akmal yang terusan menyalahkan dirinya dan langsung tidak mahu berlembut tika berbicara.
“Sekarang you nak salahkan I pulak. Sudahlah Farah, antara kita dah tak ada apa-apa lagi. Kenapa you nak cari I lagi? You dah tak bahagia ke sekarang? So you nak balik dekat I. Hey Farah! You ingat I ni apa! Cukuplah apa yang you dah buat pada I dulu. I dah cukup sabar dengar kerenah you. Kesabaran I ada hadnya. I rasa lebih baik you keluar!” Lantang suara Akmal meluahkan apa yang terbuku dihati. Berombak-ombak dadanya menahan sabar.
“Tapi Mal, takkan you tak boleh bagi peluang pada I.” Rintih Farah begitu berharap.
“You ni tak faham bahasa ke Farah!!” Tempik Akmal berang. Hatinya sudah mula mual dengan sikap degil Farah.
Kecut Anis mendengar suara Akmal dan wajah yang tegang menahan marah. Tidak tenang duduknya. Bukan sahaja khuatir jika berlaku sesuatu di depan mata. Malah akan menjadi bahan bualan pula jika suara Akmal dapat menembusi hingga keluar sana. Bakal mengundang tanggapan serong pula jadinya.
“Okey, fine! but I won’t give up my hope on you. You kenal I macam mana kan,” putus Farah. Biarlah dia mengalah kali ini. Dia akan terus mencuba menawan hati Akmal. Tekadnya di hati.
“It’s up to you. Tetapi I nak ingatkan you. You hanya membuang masa.” Tegas Akmal. Tajam pandangannya menikam mata hitam Farah. Namun sedikit pun tidak menggetarkan Farah malah senyuman dilemparkan kepada Akmal yang memandang. Tidak sedikit pun berbekas di hati kata-kata Akmal tadi.
Sebelum melangkah keluar Farah sempat menoleh ke arah Akmal dengan lirikan mata menggoda bersama senyuman nipis di bibir. Kemudian dia berpaling sekilas ke arah Anis yang memandang. Terkaku Anis di situ. Renungan Farah seperti menyampaikan sesuatu seolah amaran sahaja padanya.
Mengeluh panjang Akmal dengan sikap Farah. Akmal meraup rambut ke belakang bersama keluhan yang sarat. Kemudian badannya tersandar di kerusi.
Anis yang sejak tadi bagai patung bernyawa masih membisu seribu kata. Berkocak dadanya melihat tingkah Akmal. Terpesona dia seketika. Akmal tampak sungguh kacak pada pandangannya. Argh! Apa kena pula dengan aku ni. Dibuai angan hingga lupa siapa diri yang sebenar. Ingin sahaja dia segera beredar tetapi tidak tahu bagaimana ingin memulakan bicara. Di hati berperang dengan tingkah sendiri.
Namun, pandangan tidak beralih ke arah lain bagai ada satu tarikan untuk dia terus menatap wajah di hadapan mata. Dalam ralit melayan perasaan, tidak semena-mena Akmal menoleh ke arahnya. Saat itu jantung seakan berhenti berdegup.
Bertatapan mereka seketika. Perasaan malu mula menguasai diri Anis bila menyedari Akmal perasan dengan renungannya tadi. Kantoi! Kantoi! Tak tahu mana nak disorokkan muka.
“Errr… saya keluar dululah bos. Saya rasa bos pun not in a good mood to continue our discussion. Bila bos dah okey, just call me,” saran Anis kalut. Namun, Akmal hanya membisu sahaja.
“Anis, boleh saya tanya awak satu perkara?” Tiba-tiba Akmal bersuara. Anis yang ingin bangun terduduk kembali.
“Tanya apa?”
“Apa ciri-ciri lelaki pilihan awak?” Perlahan nada Akmal bertanya. Entah kenapa soalan itu yang terlintas difikiran.
“Huh!” Tidak berkedip mata memandang Akmal di hadapan. Apahal pulak dengan bos aku ni? Soalan luar biasa yang ditanya. Bila perempuan itu muncul, pasti ada saja perkara pelik terlintas di otak kepala. Masak aku nak melayan lagi kerenah dia.
“Kenapa bos tanya?”
“Saja.”
“Saja, atau bos nak jadi lelaki idaman Malaya,” usik Anis sambil tersenyum nipis. Melebar senyuman Akmal tercuit dengan tanggapan Anis terhadapnya. Kalau aku berterus terang, macam mana reaksi dia agaknya.
“Mana tahu, saya ni tergolong dalam lelaki pilihan hati awak.” Sengaja Akmal berkata begitu ingin melihat reaksi Anis.
Terkedu Anis. Seolah tidak percaya apa yang baru didengarinya tadi. Bos aku ni buang tabiat ke apa?
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Anis tersedar kembali. Cuba beriak tenang.
“Heee… tak ada apa. Tapi kalau bos saya tak mahulah, nanti tak pasal-pasal saya pula kena serang.” Bersahaja mimik muka Anis melontarkan kata. Sekadar menutup rasa malu dengan reaksi terkejutnya tadi. Asyik memalukan diri saja aku hari ini.
“Awak perli saya ye.” Akmal diam seketika sebelum menyambung kata. Wajahnya tampak tenang. “Saya minta maaf pasal tadi. Tak sepatutnya berlaku di depan awak. Tapi saya tidak dapat kawal emosi. Tercabar kesabaran saya bila dia masih berdegil. Bila saya sudah boleh terima keadaan, tiba-tiba dia muncul kembali. Kemunculannya umpama menoreh luka lama. Tetapi bila saya teringatkan kata-kata awak dulu, meredakan sikit rasa sakit di hati,” jelas Akmal meluahkan rasa di hati.
“Huh! Kata-kata apa?” Berkerut dahi Anis tidak faham.
“Dulu awak pernah cakap, sekiranya sesuatu perkara itu bukan yang terbaik untuk kita pasti ada halangannya yang sudah diatur oleh Allah Yang Maha Mengetahui Segalanya. Manusia sering diduga tetapi dugaan itu sebenarnya menjadikan kita lebih kuat dan matang dalam menghadapi hari-hari mendatang. Dan beryakin setiap dugaan pasti ada hikmah disebaliknya. Dengan kata nasihat awak itu telah merubah hati saya. Membuatkan saya lebih berfikir jauh tentang soal hati dan perasaan. Awak ingat lagi tak di mana awak ucapkan kata-kata itu?” Tenang tutur kata Akmal mengingatkan Anis kembali.
Terpegun Anis. Kemudian mengangguk perlahan. Tidak menyangka nasihat yang diberikan dulu masih kuat diingatan Akmal. Buat penawar dan semangat diri. Ada perasaan puas terbit di jiwa, sekurang-kurangnya ada juga yang ingin menerima.
“Soalan saya tadi awak belum jawab lagi?” soal Akmal bila Anis hanya membisu.
Terleka Anis seketika. Tekanya soalan itu sudah lenyap dari ingatan Akmal. Kenapa beria-ia benar ingin ketahui. Mungkin cuba mendalami hati perempuan barangkali. Melirik senyum nipis di bibir sebelum memulakan kata.
“Hhmm… setiap wanita mengimpikan jodoh yang terbaik untuknya. Tetapi bagi saya biarlah lelaki itu jujur menerima saya seadanya. Mencintai saya seikhlas hati, bertanggungjawab dan boleh memimpin saya ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Untuk mengekalkan satu hubungan itu bukan mudah, yang penting sanggup menghadapi susah senang bersama hingga keakhir hayat. Jangan harap susah sahaja dikongsi bersama tetapi bila senang kita ditolak ke tepi.”
Jodoh pertemuan ketentuan Allah. Siapa kita untuk menolak takdir yang telah ditentukan untuk kita. Berserah dan berdoa semoga apa yang dihajati dimakbulkan, namun sekira sebaliknya itu adalah pilihan yang terbaik yang telah ditentukan olehNya.
“Pada pandangan awak, saya lelaki yang bagaimana? Ada tergolong dalam senarai lelaki pilihan awak tak?” Selamba Akmal bertanya tanpa berselindung lagi.
Meletus tawa Anis bila mendengarnya. Namun seketika cuma bila terpandang wajah serius Akmal yang tajam memandangnya. Berdehem Anis beberapa kali mengawal diri.
“Sorry..reaksi luar kawalan.” Kata Anis sambil mengulum senyum. Menahan rasa lucu yang masih berbaki.
Kesepian Akmal sedikit meresahkan Anis.
“Bos nak tahu juga ke?” Akmal mengangguk perlahan memberi jawapan.
Anis menghela nafas. Kenapa bersungguh benar bosnya hendak tahu. Anis diam sejenak. Jari jemari di bawa ke bawah dagu memikir sambil memandang Akmal umpama penilik gayanya. Akhirnya gelengan dengan mimik muka diberikan menyampaikan Akmal tidak memenuhi kretiria lelaki yang disebutkan tadi.
Membuntang mata Akmal melihat reaksi Anis. “Takkan tak ada langsung?” kata Akmal tidak berpuas hati.
“Entah, bos tu serius aje memanjang.” Selamba Anis membalas.
“Tak semestinya orang serius tak ada ciri-ciri yang awak sebutkan tadi. Awak belum kenal saya lagi macam mana. Boleh jatuh hati awak nanti. Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta,” kata Akmal menyangkal pandangan Anis terhadapnya sambil tersengih nakal.
Mencebik Anis. Miang jugak bos aku ini. Tak habis-habis nak memuji diri. Tadi bukan main marahnya. Sekarang bukan main miangnya. Dengan sekelip mata sahaja dia boleh berubah.
“Ye la dah tak ada orang nak puji, puji diri sendiri sajalah. Okeylah bos, daripada saya layan bos ni. Lebih baik saya keluar buat kerja.” Bersahaja Anis bersuara, tidak betah lagi melayan kerenah Akmal.
“Eh, kerja awak dengan saya belum selesai lagi. Mana boleh keluar dulu.” pintas Akmal.
“Bos tenangkan dulu fikiran bos yang tengah berserabut tu. Perangai pun dah tak betul saya tengok.” Anis mengomel perlahan sambil mengemaskan fail di tangan.
“Hati saya dah cukup tenang bila tengok awak.” Perlahan Akmal menuturkan kata, namun masih dapat mencecah telinga Anis.
Tersentap Anis dalam diam. Berubah wajahnya tiba-tiba. Bergetar jiwanya dirasa saat ini. Mengundang tidak keruan dalam dirinya. Dia berpura-pura tidak mendengar apa yang dikata oleh Akmal tadi. Pantas dia membuka fail di hadapannya. Tidak berani bertentangan mata. Pandangannya hanya dipusatkan pada dokumen dalam fail itu. Entah apa yang dibaca dia sendiri pun tidak tahu.
“Kertas apa yang awak tengok tu Anis, benda yang kita nak bincangkan tu ada di tangan saya sekarang.”
Gulp! Apasal dengan kau ni Anis. Mengelabah tak tentu hala. Merona merah pipi Anis yang putih gebu melebarkan senyuman di bibir Akmal.
“Awak ni lagi marah lagi nampak manis,” puji Akmal makin ligat mengusik.
Membuntang mata Anis mendengar kata Akmal. Bibirnya diketap menahan geram.
“Okey, okey, we start now.” Putus Akmal bila melihat pandangan Anis yang ingin menerkamnya sahaja. Namun, senyuman di bibir tetap terukir. Lapang hatinya walaupun pertengkaran dengan Farah sebentar tadi masih berbekas dihati.
———————————
20
Perlahan Datin Kamariah mengatur langkah ke ruang tamu sambil membawa mug berisi air kosong suam. Memerhati suami yang begitu kusyuk membaca sehingga tidak sedar si isteri sedang melangkah menghampiri.
“Minum pa.” Pelawa Datin Kamariah sambil meletakkan mug itu di atas meja kopi di hadapan Datuk Mansor. Mendengar sapaan itu Datuk Mansor menangangkat muka memandang isterinya sambil menguntum senyum. Kemudian mata ditala kembali pada helaian buku menyambung bacaan yang terhenti. Datin Kamariah melabuhkan punggung di sebelah Datuk Mansor. Hanya memandang suaminya yang sedang membaca. Begitulah rutin suaminya sejak bersara. Masanya banyak diisi dengan membaca dan menghadiri kelas-kelas agama. Penyakit lemah jantung yang dihidapi memaksanya bersara lebih awal. Itu pun setelah puas dinasihati. Mujur nasihat anaknya Akmal mahu didengari. Tiba-tiba dia teringatkan tentang kad jemputan rumah Ar Raudhah.
“Petang tadi Anis datang hantar kad jemputan ulangtahun rumah Ar Raudhah,” beritahu Datin Kamariah lantas bangun mengambil kad jemputan yang terselit di tempat meletak surat di dinding.
Terhenti bacaan Datuk Mansor. Buku di tangan diletak di atas meja lalu mengambil kad yang dihulurkan padanya.
“Minggu depan,” kata Datuk Mansor sebaik membaca butiran yang tertera di dalam kad itu.
“Kita pergi ye pa,” kata Datin Kamariah begitu berkeinginan menghadiri majlis tersebut. Sudah lama dia bergerak aktif dalam kerja-kerja amal. Kerap kali juga dia mengajak suaminya menghadiri majlis rasmi anjuran rumah-rumah kebajikan jika ada kelapangan.
“Rasanya tak ada apa hal minggu depan, insyaAllah boleh rasanya. Lagipun dah lama papa tak melawat rumah Ar Raudhah,” jawab Datuk Mansor sambil meletakkan kad itu di atas meja. Kemudian dia mencapai mug di atas meja dan dihirup perlahan.
“Pa, mama berkenan betul dengan Anis tu. Dah la cantik, perilaku pun elok. Hormat orang tua. Manis aje mata memandang,” puji Datin Kamariah mengingatkan Anis yang bertandang ke rumahnya petang tadi. Perilaku Anis yang lemah lembut menarik perhatiannya. Walaupun dia anak yatim piatu tetapi didikan yang diberikan oleh rumah Ar Raudhah mampu melahirkan insan-insan yang tinggi moralnya dimata masyarakat.
Apatah lagi bila dia mengetahui Anis anak angkat Mariam, sahabat sepermainannya dimasa kecil dulu. Mereka terputus hubungan sejak Mariam mengikut keluarganya berpindah. Tidak menyangka lawatan ke rumah Ar Raudhah dua tahun yang lalu menemukan mereka kembali. Dari situlah sedikit sebanyak Datin Kamariah mengetahui sejarah silam Anis diletakkan di rumah Ar Raudhah.
Datuk Mansor mengerling pada isterinya seperti memahami ada sesuatu yang ingin disampaikan. Hai… lain macam saja bunyi. Puji lebih-lebih ni, mesti ada apa-apa.
“Pa, kalau kita masuk meminang Anis papa setuju tak?” Pertanyaan Datin Kamariah menyebabkan Datuk Mansor tersedak. Hampir tersembur minuman yang diminumnya dek terperanjat dengan cadangan isterinya itu. Pantas dia berpaling memandang Datin Kamariah di sebelah.
“Apa mama cakap tadi?” soal Datuk Mansor inginkan kepastian. Angin tak ada ribut tak ada tiba-tiba nak masuk meminang yang ditanya.
“Papa ni, mama cakap kalau kita masuk meminang Anis tu papa setuju tak.” Ulang Datin Kamariah.
“Meminang Anis untuk siapa?” tanya Datuk Mansor masih tidak dapat menangkap maksud Datin Kamariah.
“Untuk siapa lagi, untuk anak teruna kita tu la.”
“Owh… ingatkan untuk siapa tadi,” balas Datuk Mansor sambil tersenyum senang.
Kini persoalan yang berlegar difikiran terungkai juga.
“Kenapa, papa ingat untuk siapa?” soal Datin Kamariah ingin tahu.
“Ingatkan untuk papa,” selamba Datuk Mansor menjawab sekadar ingin mengusik.
Membuntang mata Datin Kamariah. Cepat saja jarinya hinggap di pinggang Datuk Mansor.
“Aduhh..! sakit la mama!” Mengaduh Datuk Mansor dengan cubitan Datin Kamariah. Bisa juga sengatan bini aku ni. Tangannya mengusap-ngusap tempat cubitan meredakan sakit yang masih terasa.
“Padan muka, miang sangat.” Cemberut muka Datin Kamariah. Walaupun hanya gurauan tetapi bab poligami memang amat sensitif bagi kaum wanita yang bergelar isteri.
“Ala, papa bergurau aje. Tak ada yang lain dalam hati papa ni selain mama seorang.” Ucap Datuk Mansor sambil merangkul bahu Datin Kamariah yang berpeluk tubuh berjauh hati dengan gurauannya tadi. Tidak pernah terlintas difikiran untuk menduakan isteri apatah lagi untuk berlaku curang. Pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan padanya dan anak-anak selama ini tiada tolak bandingnya.
“Isteri papa ni kalau merajuk makin manis papa tengok.” Pujuk Datuk Mansor sambil mencuit pipi Datin Kamariah. Merona merah pipi Datin Kamariah mendengar pujian dari suami tersayang. Datin Kamariah tersenyum sendiri. Hati yang rajuk kembali terpujuk.
“Hish papa ni, malu nanti kalau anak-anak dengar,” kata Datin Kamariah sambil menampar perlahan paha Datuk Mansor.
“Apa nak dimalukan, bukannya anak-anak kita tak tahu perangai papa.” Usik Datuk Mansor sambil mengeratkan lagi pelukan di bahu Datin Kamariah. Datin Kamariah tersenyum bahagia. Sejak dari dulu, begitulah sikap suaminya. Tidak pernah dia merasa kekurangan kasih sayang, malah sejak suaminya bersara masa mereka lebih banyak terluang bersama.
“Mama nak berbincang dengan papa sekarang. Bab romantik tu tunggu nanti-nantilah.” Gurau Datin Kamariah pula.
“Ye la… kita simpan dulu ye sayang.” Nada gurauan Datuk Mansor dibalas jelingan Datin Kamariah. Makin dilayan makin menjadi pula dia. Terlepas ketawa Datuk Mansor melihat jelingan isterinya itu.
“Okey… mama nak bincang apa tadi? Meminang Anis?” tanya Datuk Mansor meleraikan pelukan dibahu supaya lebih selesa untuk mereka berbicara. Pertanyaan Datuk Mansor hanya dibalas anggukan Datin Kamariah.
“Apa pendapat papa?” Tanya Datin Kamariah tidak sabar.
Datuk Mansor menghela nafas. Dia meletakkan buku di atas meja kopi. Terasa berat cadangan isterinya itu. Bukan soal syarikat atau hal dunia yang ditanya. Tapi soal jodoh anak teruna tunggal mereka.
“Sekarang bukan macam zaman dulu mama, ikut pilihan orang tua. Zaman sekarang anak-anak lebih suka dengan pilihan sendiri.” Ujar Datuk Mansor memberi pendapat.
Mengenal hati budi sebelum menempuh alam rumahtangga sering dijadikan alasan anak muda zaman sekarang berbanding dengan zaman dulu, anak-anak lebih suka menyerahkan urusan jodoh kepada orang tua. Ada juga yang menyalahkan ibubapa sekiranya jodoh pilihan keluarga bergolak dengan masalah. Akhirnya ibu bapa malas campurtangan dalam urusan jodoh anak-anak, biarlah anak-anak dengan pilihan sendiri.
“Dah pilihan sendiri tak menjadi, biarlah kali ini along ikut pilihan kita pula. Mama bukan apa papa, dah lama along putus tunang tapi sampai sekarang belum jumpa pilihan hati. Mana tahu along tu serik nak bercinta. Sampai ketua la membujang jawabnya kalau kita tak tolong carikan.” Ujar Datin Kamariah. Risau dengan sikap anak terunanya yang seolah tidak berminat mencari pasangan hidup. Siang malam asyik mengadap kerja yang tak pernah habis. Tak cukup di pejabat disambung pula di rumah.
“Takkan sampai macam tu sekali mama, mungkin along malas nak fikir lagi sekarang. Along kan baru ambil alih kerja papa, mesti banyak perkara yang perlu diuruskan. Nanti-nanti sampai la seru tu.” Sela Datuk Mansor kurang bersetuju dengan pandangan isterinya.
“Nak tunggu sampai bila lagi papa. Umur makin lanjut. Seru tak datang-datang juga. Lagipun mama berkenan sangat dengan Anis tu. Kita pun bukan baru kenal dengan Anis. Papa pun tahu perangai Anis tu macam mana kan. Kalau mama pergi rumah Ar Raudhah, selalu juga jumpa dengan Anis tolong Mariam uruskan rumah Ar Raudhah. Cuma sekarang ni dia dah jarang pergi sana sebab banyak kerja di pejabat katanya. Kalau tidak hari minggu ada aje dia kat sana.” Datin Kamariah tetap bertegas dengan pendapat dan cadangannya. Dia mesti berbuat sesuatu sebelum bunga di taman sahabatnya itu dipetik orang.
“Benda ni tak boleh dipandang ringan mama. Soal kehidupan anak-anak kita. Persetujuan dari kedua pihak tu penting. Mama rasa along dengan Anis setuju ke dengan rancangan mama ni. Mereka yang nak hidup bersama nanti.” Baginya soal nikah kahwin anak-anak tidak boleh dipandang remeh. Bukan nak hidup bersama setahun dua tetapi seumur hidup, silap langkah boleh porak peranda jadinya.
“Dulu papa dengan mama pun orang tua yang jodohkan. Bahagia aje. Sekiranya rumahtangga yang direstui orang tua insyaAllah akan kekal hingga keakhir hayat papa. Mama yakin Anis boleh membahagiakan anak kita,” jawab Datin Kamariah menyakinkan Datuk Mansor.
“Beria-ia betul mama ni. Kalau along dengan Anis setuju dengan cadangan mama, papa tak ada bantahan. Cepat dapat menantu cepat kita timang cucu. Ye tak!” Senda Datuk Mansor.
“Amboi cepatnya berangan. Menantu pun belum tentu lagi dah berangan nak bercucu,” usik Datin Kamariah.
Tersenyum Datuk Mansor mendengar kata usikan isterinya.
“Mana Akmal dengan Isya mama, dari tadi tak nampak?” tanya Datuk Mansor. Tidak nampak kelibat anak-anaknya di bawah selepas makan malam bersama tadi.
“Mana lagi kalau tak dalam bilik. Anak teruna papa tu biasa la mengadap kerja yang tak pernah habis. Yang anak dara pula, kalau tak bergayut, layan internet la jawabnya. Anak-anak dengan hal sendiri, alih-alih tinggal kita berdua saja papa,” keluh Datin Kamariah.
“Anak-anak dah besar mama. Nanti kalau dua-dua dah kahwin tinggal kita berdua juga,” ujar Datuk Mansor sambil tangan mencapai buku di atas meja.
Dalam diam Datin Kamariah mengakui kebenaran kata-kata suaminya. Kesunyian pasti bertandang jika suatu hari nanti anak-anaknya mempunyai keluarga sendiri.
“Papa nak sambung membaca lagi ke. Kalau macam tu, mama naik atas dululah papa.”
“Ye lah, mama naik dulu. Papa nak sambung sikit lagi.”
“Jangan sampai lewat sangat.” Pesan Datin Kamariah. Kesihatan Datuk Mansor mesti dipantau selalu. Rehat yang cukup penting untuk badannya sentiasa rasa segar dan sihat.
“Ye la.” Jawab Datuk Mansor. Begitulah sikap Datin Kamariah yang sentiasa mengambil berat tentang kesihatannya. Tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tidak pernah diabaikan.
Setelah Datin Kamariah berlalu pergi, tumpuan diberikan kepada pembacaan yang terhenti sebentar tadi. Namun, cadangan Datin Kamariah kembali berlegar difikirannya. Bagaimana reaksi anaknya nanti? Menolak atau menerima? Apa-apa pun dia hanya berserah kepada Allah. Sekiranya jodoh itu yang terbaik untuk anaknya, diharapkan dipermudahkan segala rancangan. Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah menentukan segalanya.













best…nice story
BEST LA CITER NI…. GEE CPT2 LA SMBG… KALO NOVWL NI DH DITERBITKAN BGTAU LA… DH X SBR NK TAU KESUDHN ANIS DAN AKMAL

BEST LA CITER NI…. GEE CPT2 LA SMBG… KALO NOVWL NI DH DITERBITKAN BGTAU LA… DH X SBR NK TAU KESUDHN ANIS DAN AKMAL

sambungan plzz…..^_^
gayathiri > terima kasih gayathiri
nadiah > terima kasih nadiah
tunggu sambungannya ya
insyaAllah jika berjaya diterbitkan pasti gee akan bagitau nanti 
tulip > terima kasih tulip
tunggu sambungannya ya 
bila agaknya sambungan cite ni yer?? nak tau gak kesudahan akmal n anis..
bgus jln citer die…truskn berkarya ye..
tahniah penulis. best citer ni. semoga selepas ini penulis akan lagi berjaya dalam melahirkan karya2 yang baik utk tatapan pembaca. banyak kata2 yang boleh buat diri jadi sedar selama ini kita sering seolah2 menyalahkan takdir bila satu perhubungan itu putus ditengah jalan atau dengan kata lain kita gagal dalam percintaan. tapi betul la kalau sesuatu yang kita suka tu tak baik untuk kita Allah pasti akan bagi halangan sebab hanya Dia yang maha tau segalanya. Ya Allah aku mohon keampunan dari semua khilaf dan dosa aku selama ni.